18 July 2008

Abdullah perlu ikut jejak Husein

Kalau difikirkan secara mendalam Abdullah Badawi sepatutnya berbuat seperti apa yang dilakukan oleh Datuk Husein Onn apabila beliau berhadapan dengan masalah ketika menjadi Perdana Menteri.

Husein Onn merupakan contoh terbaik untuk diikuti oleh Abdullah bagi menangani masalah kepimpinan beliau yang semakin hari semakin tenat.

Ketika Husein mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdul Razak yang pulang ke rahmatullah pada 16 Januari 1976, Husein Onn telah mewarisi sedikit sebanyak masalah yang dihadapi oleh UMNO pada masa itu.

Terdapat segelintir daripada pemimpin dan ahli UMNO yang tidak berpuas hati dengan pelantikan Husein Onn berkaitan dengan isu Dato’ Harun Idris, Menteri Besar Selangor dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia sewaktu itu.

Dato’ Harun telah menjadi mangsa permainan politik kotor, sehinggakan beliau telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah dan Husein Onn juga memainkan peranan dalam mengusulkan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar itu dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.

Hasilnya, Dato’ Harun telah dipenjarakan selama 6 tahun atas tuduhan rasuah yang dianggap sebagai satu ‘political prosecution’ yang menjijikkan.

Tetapi ramai ahli UMNO tidak berpuas hati terhadap kepimpinan Husein kerana beranggapan ini adalah kerana permainan politik kuasa asing yang didalangi oleh beberapa orang pemimpin dalaman UMNO itu sendiri.

Dalam pada itu, Dr Mahathir telah dikatakan sebagai orang yang secara halus telah mengambil kesempatan dengan menyokong untuk meletakkan Sulaiman Palestin untuk menandingi Husein Onn sebagai Presiden UMNO pada tahun pemilihan 1978.

Sulaiman Palestin merupakan orang kuat Dato’ Harun yang bertindak memprotes tindakan Husein menjatuhkan Harun Idris yang dianggap ramai sebagai pejuang Melayu tulen yang sukar dicari ganti.

Pada pemilihan itu, Sulaiman Palestin hanya mendapat 125 undi protes dan yang selebihnya tetap di belakang Husein Onn.

Husein kemudiannya mengambil keputusan untuk mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden yang akan datang (1981) kerana menghormati pandangan minoriti di dalam UMNO.

Beliau berasa tidak selesa untuk terus memimpin lebih lama kerana beliau dapat merasakan bahawa ada segelintir ahli UMNO dan rakyat yang tidak menyokongnya dan inilah semangat demokrasi tulen kerana beliau juga menghormati pandangan minoriti.

Husein tidak mahu melihat rakyat berpolimik disebabkan oleh isu-isu yang boleh memecahbelahkan parti dan negara meskipun beliau berada dalam situasi yang lebih kuat daripada apa yang sedang dihadapi oleh Abdullah pada masa ini.

Sekarang, wajar kita memperingatkan Abdullah bahawa apa yang dilakukan oleh Husein Onn itu merupakan satu tindakan yang mulia dan memang sudah amat sesuai bagi Abdullah untuk mengikuti jejak Husein yang akhirnya bersara sambil diiringi oleh doa dan air mata rakyat.

Husein tidak pergi merata-rata untuk meraih sokongan dengan membuat temberang di sana sini kerana beliau datang daripada keluarga aristokrat yang dihormati dan tentunya beliau tidak rela berbuat sesuatu yang asing bagi keluarganya yang baik- baik.

Akhirnya, kita hadiahkan surah Al-Fatihah kepada roh Datuk Husein Onn agar ditempatkan sebaris dengan roh-roh ambia’ dan aulia’ dengan mendapat limpahan syafaat serta rahmat Allah swt.

Al-Fatihah


Sekian…………………………………………..Aspan Alias.

4 comments:

Anonymous said...

bro pan,
nampak gayanya agak sukar untuk pm dollah bersara seperti yang dilakukan oleh hussein onn dulu. kepentingan anak menantu (termasuk partner menantu) perlu dikawalselia terlebih dahulu agar mereka terjamin dalam tempoh dua tahun akan datang.

saya penuh yakin bulan disember 2008 nanti, malaysia akan mempunyai perdana menteri dan timbalan perdana menteri yang baru kerana dollah dan najib akan dibersarakan oleh perwakilan umno, itupun kalau para perwakilan berani membuat perubahan. hidup tr dan my dan selamat berjuang.

CINTA suci abadi said...

sama sama lah kita berdoa akan berlaku perubahan...

pakbelalang said...

Negara kita perlu ditadbir oleh pemimpin yang professional seperti Tun Mahathir yang tajam pemikirannya dan beliau juga boleh dianggap sebagai golongan pemimpin aristokrat berlatar belakangkan keluarga yang bijaksana dan very cultured. Seperti juga Najib dan Tengku Razaleigh boleh memimpin negara dengan baik kerana berlatar belakangkan aristokrat yang tidak mengalami "kejutan budaya" (culural shock). Mahyuddin pun begitu juga berlatar belakang keluarga yang sangat dihormati di Muar. Siapa tidak kenal Che gu Mat Yassin, seorang tokoh guru agama yang popular di Muar ketika dahulu.

Tetapi Pak Lah berlainan kategori. Dia tidak dapat memertabatkan personalitinya ketahap aristokrat itu sebab dia "khayal dan berangan-angan" seperti aristokrat tapi tak kena pada tempatnya dan merapu-rapu!!

shahbandarmalakat said...

Datuk Hussein Onn adalah seorang Negarawan ...mana boleh bandingkan dengan Dolah ..macam langit dengan bumi...Hussein jiwanya sentiasa sensitive atas kesusahan rakyat...dia begitu berhati hati sekali..dia tak gelojok..dia fikir habis..fikir sepuluh kali..baru buat keputusan ..dan dah buat keputusan dia tak akan tarik balik...Hussein adalah Hussein ..satu personality tiada tolak bandingnya...

Bila jadi PM , otaknya sentiasa memikir pasal rakyat...Dolah..fikir pasal sedap je ... Jean saja