Pada akhir tahun 70-an, kita pasti ingat perompak dan penyamun yang telah mengganas di sekitar Lembah Klang yang dikenali dengan nama Botak Chin.
Botak Chin telah dijatuhkan hukuman mati kerana kesalahannya merompak sehingga beberapa orang telah mati dengan kegiatan buruknya itu.
Apa yang menyusahkan pihak berkuasa untuk menangkapnya selama beberapa tahun ialah kerana sifat Botak Chin yang pemurah dan sering membantu masyarakatnya yang menghadapi masalah kehidupan.
Botak Chin dianggap seperti Robin Hood oleh orang-orangnya dan polis mengambil masa bertahun-tahun untuk menangkapnya kerana dilindungi oleh masyarakat sekelilingnya.
Antara yang dirompaknya termasuklah bank-bank, kedai-kedai emas serta stesen-stesen minyak dan kegiatannya ini berlarutan bertahun-tahun lamanya.
Tetapi kita tidak mampu untuk menyamakan Botak Chin dengan perompak-perompak kolar putih yang kesannya adalah sama malahan perompak kolar putih ini lebih dahsyat kesannya memandangkan mereka ini menyusahkan seluruh rakyat jelata yang menyokong mereka.
Penyamun kolar putih ini adalah perasuah-perasuah di dalam kerajaan yang bermaharajalela dan pihak berkuasa juga amat payah untuk membuat penyiasatan terhadap mereka.
Akhirnya, ada di kalangan penguatkuasa membiarkan sahaja rasuah ini berlaku dan sebaliknya bersama-sama membaham laba daripada kegiatan perasuah ini.
Akta Rahsia Rasmi (OSA) menjadi pelindung kepada mereka yang menyalahgunakan kuasa, sehinggakan rakyat tidak dibenarkan mengetahui isi perjanjian konsessi lebuhraya yang diswastakan.
Antara Botak Chin dengan perasuah ini tidak ada langsung perbezaannya malah penyamun berkolar putih ini lebih berbahaya kerana mereka boleh membebankan rakyat, terutamanya yang berpendapatan rendah.
Jumlah yang dirompak oleh Botak Chin berbanding dengan perompak berkolar putih ini terlalu kecil.
Saya pasti bayaran tol yang begitu tinggi oleh rakyat sekarang ini adalah disebabkan oleh rasuah dan kebenarannya akan hanya diketahui sekiranya perjanjian ‘concession’ antara kerajaan dan syarikat konsessi dipamerkan kepada rakyat.
Penyamun berkolar putih ini terdiri daripada menteri-menteri dan pegawai-pegawai besar kerajaan dan ahli-ahli politik yang berkuasa. Setelah selesai merompak, mereka diberikan pula pencen yang lumayan sesudah dibersarakan daripada merompak.
Pendek kata, rakyat sentiasa berhutang kepada perompak-perompak berkolar putih ini sehingga mereka meninggalkan dunia ini.
Kita mesti perangi perasuah-perasuah ini, dan jangan biarkan mereka mentadbir kita lagi.
Apabila kita nampak mereka yang rasuah ini kita ingatlah pada Botak Chin…dan kita katakan dengan hati kita, ‘itulah Botak Chin’.
Jika kita terjumpa anak perasuah, sebutkan di dalam sanubari kita, ‘Itulah anak Botak Chin’ dan begitulah seterusnya.
Botak Chin dan mereka yang mengamalkan rasuah ini hanya berbeza daripada rupa dan wajah sahaja, tetapi daripada sudut moralnya mereka adalah sama.
Kalau ada pun perbezaan mereka hayalah satu: Botak Chin perompak berkolar biru sedangkan perasuah di kalangan yang berkuasa ialah perompak berkolar putih, siap dengan tali leher dan kot-kot mahal di samping ada pemandu dan pengawal peribadi.
Kalau kita sandarkan penilaian kita daripada sudut fiqah, sampai di akhirat nanti mereka dan Botak Chin mungkin duduk sebaris di sisi Sang Pencipta.
“The Good is for the Good and the Bad is for the Bad”. Kata perbilangan Inggeris.
Tuhan sahajalah yang maha mengetahui.
Bagi kita manusia yang serba lemah ini, cara kita membuat penilaian ialah melalui sudut hukum hakam fiqah yang dibawa oleh Muhammad s.a.w.
Sekian…………………………………..Aspan Alias
No comments:
Post a Comment