‘Di mana kan ku cari ganti’……itulah secebis senikata salah satu lagu popular Seniman Agong Tan Sri P Ramlee.
Saya sedang cuba menghafal senikata lagu ini untuk saya nyanyikan apabila UMNO sudah tiada lagi kerana hasil kedurjanaan para pemimpinnya.
Bukan senang hendak menggantikan UMNO yang akan terkubur dalam pilihanraya yang akan datang kerana pemimpin-pemimpin sekarang masih berkeliaran di atas sana.
Jika ada pun alternatifnya yang paling hampir ialah parti PAS yang saya agak boleh memberikan harapan untuk menjaga orang Melayu, itu pun kalau parti itu membawa budaya Melayu dan buangkan budaya Arab yang mereka tonjolkan sekarang.
Saya dilahirkan di dunia ini sebagai orang Melayu dan saya tidak bersedia membawa pakaian Arab dengan memakai jubah dan serban seperti yang lazim saya perhatikan selama ini.
Saya ingin meminta maaf jika ada pihak yang berasa terkilan dengan apa yang saya katakan ini, tetapi percayalah iman dan ehsan tidak terletak pada pakaian yang kita kenakan pada batang tubuh kita.
Saya menyokong perjuangan Islam PAS tanpa syarat kerana agama tidak boleh setakat dikendung-kendung, malahan wajib kita junjung.
Agama jangan kita tempel-tempelkan tetapi wajib diamalkan setiap waktu kerana ianya adalah ad-din.
Saya hanya tidak selesa dengan ‘disposition’ PAS sahaja, bukan perjuangannya. Kalaulah selama ini PAS tidak nampak seperti anti-sosial, saya fikir parti ini sudah lama menjadi parti pemerintah.
PKR itu parti yang halal dan boleh disertai tetapi saya lebih sukakan parti yang dianggotai oleh ramai orang Melayu kerana terlalu biasa dengan parti yang berteraskan bangsa kita.
Parti DAP memang tidak payah kita sebut kerana sebab-sebab yang kita sama-sama maklum.
Habis bagaimanakah keadaan semasa UMNO sudah tiada lagi nanti? Dapatkah anda bayangkannya?
Pak Lah yang beria benar hendak terus memimpin dan Najib berhempas-pulas untuk mengambilalih ini untuk apa?
Kalau Najib mengambilalih, bayangkan bencana yang akan datang dan mampukah dia berjuang untuk membangunkan kembali parti kita ini?
Najib tidak pernah merasa susah dalam hidupnya kerana dia hanya pandai menyusahkan orang lain dengan sikap pengecut dan perangai mudanya sahaja.
Setakat ini, Najib belum pun membuktikan bahawa beliau mampu untuk membuat sesuatu untuk rakyat kerana lama juga saya mematah-matahkan jari untuk mengira apa-apa yang telah dibuat olehnya yang memberi faedah secara terus kepada orang Melayu.
Najib tidak ada bezanya dengan Pak Lah, rakyat sudah mual dengan mereka.
Itulah sebabnya saya menyokong Tengku Razaleigh (TR) kerana beliau telah banyak meninggalkan bekas tangan beliau kepada rakyat yang cuba dipadamkan oleh mereka yang takut kepada bayang-bayang.
Bank Bumiputra, Petronas, Bank Islam, KUB, PNB, ASNB, Pernas, Kumpulan Fleet, dan banyak yang lain lagi.
TR jugalah yang membawa kembali syarikat-syarikat gergasi yang berpusat di luar negara kembali ke Malaysia seperti Guthries Corporations, Tradewinds, Sime Darby dan lain-lain.
Semasa orang Melayu masih tidur nyenyak, TR sudah melakukan ini semua untuk kita dan apabila kita bangun semuanya sudah disediakan oleh beliau untuk kita rakyat Malaysia.
Dengan sumbangan yang begitu besar, masih lagi ada golongan yang cuba menyorokkan hakikat ini termasuk seorang Menteri yang tahu segala-galanya tentang hal ini semasa beliau bekerja dengan TR belasan tahun lamanya.
Menteri ini takut untuk menyebutnya kerana hendak ‘cari makan’ dan kepada Menteri yang baru ini saya ucapkan ‘Selamat Cari Makan’.
Dalam keadaan kekosongan kepimpinan ini memang patut TR diberikan tugas untuk memperbetulkan keadaan yang sudah cacamarba ini.
Jika dulu beliau mengadakan asas ekonomi untuk orang Melayu, dalam keadaan sekarang berikanlah tugas memperbaiki kerosakan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin sekarang ini.
Sekian, Terima Kasih……………………………Aspan Alias.
1 comment:
Pan, kau kata bukan senang hendak menggantikan UMNO yang akan terkubur dalam pilihanraya yang akan datang kerana pemimpin-pemimpin sekarang masih berkeliaran di atas sana.
Jika ada pun alternatifnya yang paling hampir ialah parti PAS yang saya agak boleh memberikan harapan untuk menjaga orang Melayu, itu pun kalau parti itu membawa budaya Melayu dan buangkan budaya Arab yang mereka tonjolkan sekarang.
Comment:
I agree totally with you, Pan. Kalau PAS dapat buang budaya Arab yang mereka tonjolkan dah lama aku masuk PAS. Aku memang tak selesa sebab aku tak tahu macam mana nak ikat "sarban" dan tak tahu dengar ceramah pakai kopiah dan kain pelikat tak pakai "seluar dalam". Perjuangan dan prinsip PAS memang lebeh baik dari UMNO sekarang. Alangkah baik jika PAS ubah sikit penampilan pemimpin mereka mirip kapada budaya kemelayuan daripada "kearaban". Budaya Arab tidak boleh diresapkan sama dengan budaya Melayu. Budaya Melayu memang keislamannya masih tetap tersemat dijiwa orang Melayu. Jadi apa nak "diarabkan". Ini yang aku tak dapat nak sesuaikan diri aku dengan pemimpin dan parti PAS. Aku rasa tepencil apabila bersama mereka.Mereka seolah-olah macam hipokrit !!
Post a Comment