06 July 2008

Demokrasi kuno

Selama yang saya ingat tidak ada antara pemimpin pada hari ini berusaha untuk membekalkan rakyat dengan sikap yang sempurna bagi rakyat yang mengaku mereka berada di dalam sebuah negara yang merdeka, makmur dan bahagia.

Rakyat diasuh untuk menjadi pengikut setia yang membabi buta dan jika ada kesalahan pemimpin-pemimpin rakyat akan disekat daripada membuat sesuatu secara demokratik bagi memperbetulkan keadaan.

Pemimpin yang berkuasa sentiasa berikhtiar untuk kekal berkuasa dengan apa cara sekali pun kerana sikap bertanggungjawab sudah tidak ada dalam pemikiran mereka.

Pihak yang tidak bersetuju akan diselar serta tidak dibenarkan untuk bertindak walaupun perlembagaan membenarkannya.

Kesalahan hanya boleh dilakukan oleh orang yang berkuasa sehinggakan tidak ada kesalahan yang boleh diambil tindakan oleh pihak-pihak penguatkuasa dan sebaliknya sentiasa melindungi dan menutupi kesalahan orang berkuasa yang bernama dan bergelar ini.

Pemimpin yang bersalah itu terus-menerus memegang kuasa dan sentiasa terlepas daripada hukuman yang setimpal untuk mereka.

Kegiatan rasuah mereka tidak dapat dibuktikan kerana dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi dan lain-lain sekatan undang-undang ciptaan perasuah dan penyangak berkolar putih ini.

Malahan ada kes di mana seorang pemimpin muda dipenjara selama 2 tahun kerana mengeluarkan dokumen yang membuktikan tindakan rasuah seorang menteri.

Menteri itu sampai bersara tidak dikemukakan ke mahkamah walaupun pihak Peguam Negara sudah bersedia untuk membuat pendakwaan terhadap Menteri tersebut.

Tetapi mata-mata yang mengambil rasuah RM100 akan dihadapkan ke mahkamah dan disiarkan secara besar-besaran dalam akhbar-akhbar perdana untuk memalukan mereka.

Saya terbaca affidavit Anwar Ibrahim dalam saman RM100 juta terhadap Dr Mahathir dan saya ingin mempersoalkan tentang di mana perginya wang UMNO berjumlah RM2 billion yang ditinggalkan oleh Bendahari Agong UMNO sebelumnya iaitu Tengku Razaleigh Hamzah.

Kenapa Bendahari Agong Tun Daim tidak pernah menjawab persoalan ini dan kenapa Daim lepas daripada segala isu yang sepatutnya menjadi isu yang patut diketengahkan?

Siapakah yang melindungi Daim sehinggakan dia tidak dapat diapa-apakan terhadap kehilangan sebegitu besar jumlah wang ahli-ahli UMNO?

Kenapa Dr Mahathir tidak membuat bising terhadap Daim seperti beliau mengkritik Abdullah Badawi?

Dr Mahathir adalah Presiden UMNO semasa itu dan tentunya Dr Mahathir tahu ke mana perginya wang kita semua itu dan kalau Presiden parti tidak bertindak di mana lenyapnya suara ahli-ahli Majlis Tertinggi yang lain?

Dalam pentadbiran sekarang budaya itu kian meluas tetapi tidak ada pihak yang berusaha untuk memperbaiki keadaan dan kita tidak tahu apa yang akan menjamin keadilan kepada generasi kita di hari muka.

Kumpulan kroni Perdana Menteri mendapat segala-galanya melalui syarikat-syarikat yang ada hubung kaitnya dengan anak dan menantunya.

Akhirnya rakyat telah memberi peringatan dengan memberi kemenangan besar kepada parti-parti pembangkang dalam pilihanraya baru-baru ini.

Ramai mengharapkan manifestasi yang ditunjukkan oleh rakyat ini akan membuatkan pemimpin-pemimpin akan bersedia untuk melakukan sesuatu untuk menjaga imej parti tetapi mereka tidak menampakkan keinsafan mereka.

Pemimpin-pemimpin yang sudah dianggap lemah dan usang masih lagi berada di atas malahan ditokok tambah lagi dengan membawa masuk pemimpin-pemimpin yang sudah terbukti mempunyai rekod buruk ke dalam barisan jemaah kabinetnya.

Akhir-akhir ini ramai pemimpin akar umbi sudah menunjukkan sikap mahukan perubahan kerana sudah jemu dan bosan memerhatikan sikap buruk para pemimpin dengan memanggil pimpinan alternatif UMNO iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dengan tujuan membawa angin perubahan yang sangat dinanti-nantikan.

Usaha ini sekarang sedang dirancang untuk digagalkan dengan memperkenalkan kod etika yang bertujuan untuk menyekat gerakan ini.

Kod etika ini tidak membenarkan kempen dilakukan oleh puak yang inginkan perubahan sedangkan mereka yang sedang berkuasa melakukan kempen mereka melalui jawatan-jawatan eksekutif mereka melalui media massa perdana yang ada.

Inilah yang akan membawa kehancuran kepada parti kita pada masa yang akan datang.

Walaupun saya tidak ingin melihat parti ini hancur selagi hayat saya masih ada, tetapi dengan apa yang sedang berlaku sekarang ini mungkin kehancurannya boleh kita lihat dalam masa yang tidak berapa lama lagi.

Kalau sampai ke tahap itu nanti menangis dengan air mata darah sekali pun tidak akan mampu mengembalikan perjuangan orang Melayu.

Perbilangan kita ada mengingatkan semua: Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna.

Kita ada pilihan antara kita untuk memimpin dengan baik. Ingatlah, ‘buah tidak jatuh jauh dari pokoknya’. Carilah buah itu! Apabila terjumpa buah itu semua akan merasa manisnya…Insya-Allah!

Perbilangan orang Negri Sembilan ada menyebut, ‘kok banyak samo kito lapah, kok sikit samo-samo kito cicah’.


Sekian………………………………………………Aspan Alias

No comments: