27 February 2011

Pilihanraya Sarawak : BN boleh menang tetapi tidak mustahil akan tumbang.

Pilihanraya negeri Sarawak kali ini merupakan pilihanraya yang paling sengit bagi negeri itu. Pembangkang nampaknya siap sedia untuk menghadapi kekuatan kuasa Taib Mahmud dan kali ini Taib tidak boleh lagi merasa keyakinan yang berlebihan yang beliau akan membawa kemenangan mutlak seperti yang beliau pernah berikan kepada BN.

Kesungguhan pihak yang membangkang untuk mengambil alih dari BN Sarawak pimpinan Taib kali ini lebih nyata kerana suara-suara halus yang inginkan perubahan dan peralihan kuasa di kalangan rakyat negeri itu semakin hari semakin kuat. Oleh kerana BN pimpinan Taib begitu bermaharajalela pada pandangan masyarakat maka banyak idea yang innovatif muncul untuk mendekati rakyat bagi memujuk mereka untuk melakukan perubahan untuk kebaikan negeri itu.

Masalah parti-parti pembangkang ialah untuk menghampiri rakyat pengundi di kawasan pedalaman yang mudah dilakukan oleh BN yang berkuasa. Blog ini telah menyebutkan bagaimana parti-parti pembangkang selama ini menghadapi kesulitan untuk mendekati pengundi di kawasan pedalaman seperti di rumah-rumah panjang dan kawasan penempatan-penempatan rakyat yang miskin.

Setiap kali pilihanraya pengempen-pengempen bagi parti pembangkang tidak dapat mendekati pengundi dengan mudah kerana penekanan yang dilakukan oleh Taib Mahmud dengan kuasa politik dan wang yang ada kepada beliau. Kalaulah negara kita melaksanakan demokrasi secara tulin dengan memberikan pembiayaan kepada parti pemerintah dan alternatif dan dibenarkan kedua-dua pihak mendekati rakyat dengan terbuka, perubahan di Sarawak sudah lama berlaku.

Kali ini pembangkang yang begitu serius untuk menolak kepimpinan BN di bawah Taib telah menggunakan kaedah mendekati rakyat dari jauh dengan menggunakan perkhidmatan radio, ‘Free Sarawak Radio’ yang beroperasi dari Convent Garden, London yang diharapkan dapat mendekati hati rakyat yang ingin diperjuangkan oleh pihak yang ingin melihat tamatnya pemerintahan kuku besi Taib selama ini.

Dengan adanya gerakan seperti ini terhadap sesuatu pemerintahan ianya hanya membawa satu kefahaman bagi mereka yang mempunyai pemikiran siasah yang serius; iaitu mereka serius untuk memperbetulkan keadaan yang begitu serius yang dihadapi oleh rakyat. Bagi rakyat Sarawak yang tidak boleh berbuat apa-apa oleh kerana kuasa politik yang menekan yang dilakukan oleh Taib, kumpulan yang sedar dan insaf akan tanggungjawab mereka terhadap negeri kelahiran mereka terpaksa melakukan gerakan yang mereka anggap sebagai tanggungjawab yang patut dipikul oleh mereka untuk membetulkan keadaan.

Kalau gerakan yang begitu seirus dilakukan oleh anak-anak Sarawak dengan kaedah yang betul-betul disiplin, selalunya gerakan itu akan berjaya. Banyak contoh-contoh yang boleh kita lihat dengan mata kepala kita sendiri yang perubahan boleh berlaku dengan sekelip mata sahaja.

Banyak perubahan telah berlaku dengan pantas dan apa yang berlaku di keseluruhan Semananjung Arab dan Utara Afrika sekarang ini adalah contoh yang sedang kita lihat dengan begitu jelas. Keruntuhan Tembuk Berlin yang telah memisahkan Jerman kominis dengan Jerman yang demokratik pada tahun 1989 dahulu berlaku dalam masa sebulan dua sahaja.

Di negara-negara Arab tidak ada parti-parti politik yang dibenar beroperasi secara halal pun boleh melakukan perubahan dengan cepat tetapi mereka melakukannya dengan cara berkonfrontasi yang merbahaya. Tetapi di negara kita, rakyat tidak perlu melakukan demonstrasi jalanan kerana kita mempunyai banyak parti-parti politik yang dihalalkan oleh perlembagaan negara dan rakyat hanya perlu memberikan undi kepada mereka melalui pilihanraya yang diadakan setiap 45 tahun sekali.

Rakyat tidak perlu berpenat lelah untuk berdemonstrasi dan melumpuhkan sistem kehidupan seharian kita. Walaupun begitu banyak kenyataan pemimpin-pemimpin kita membuat kenyataan untuk menyedapkan telinga dan hati sendiri, hakikatnya tetap yang BN di Sarawak tidak lagi sebuah ‘coalition’ yang semantap dahulu.

Penolakan rakyat semakin hari semakin jelas dan dengan adanya kesempatan untuk melakukan perubahan secara aman di negara ini maka kesempatan inilah yang memungkinkan BN kecundang dalam masa yang terdekat ini. Alasan untuk menolak kepimpinan BN oleh Taib ini adalah merupakan asas yang tidak lagi boleh dipersoalkan kebaikan niat pihak yang inginkan perubahan ini.

Dalam masa dan zaman ini mana-mana pemerintahan yang dikendalikan oleh seorang individu yang seperti pemerintahan sistem Raja dan Maharaja seperti di negara-negara Arab akan mendapat tentangan dari rakyat yang inginkan cara pemerintahan yang tidak rasuah yang menerbitkan sistem krnism yang begitu menebal. Di Sarawak elemen ini jelas kedapatannya.

Jika ada pihak yang serius yang melakukan pembelaan kepada rakyat maka isu penekanan Taib dan parti pemerintah terhadap rakyat dan siasah negeri itu, pihak itu akan mudah mendapat sokongan dan dukungan rakyat yang ramai.

Hanya yang perlu dilakukan oleh parti-parti pembangkang ini ialah untuk mendekati rakyat dengan waktu dan masa yang mencukupi untuk melakukan perubahan itu. Alasan untuk rakyat memberikan sokongan terhadap usaha mereka adalah kuat dan jika ada apa-apa perubahan di Sarawak, itu adalah perubahan yang akan membawa keabikan dan faedah kepada negeri dan rakyat negeri itu.

Kita perlu ingat, perubahan drastik dan cepat memang tidak mustahil untuk berlaku dan dialami dizaman sekarang ini. Perubahan memang tidak lagi mustahil.

24 February 2011

Hajjah Illani dalam kenangan

Saya mendapat berita tentang pemergian Hajjah Illani Ishak buat selama-lamanya melalui SMS dari beberapa orang sahabat sebaik sahaja saya membuka talipon bimbit saya pada jam 7.30 pagi tadi akibah penyakit barah. Saya terkejut di atas pemergian beliau yang saya kenali sejak beliau masih bersekolah di Tuanku Kurshiah College (TKC) Seremban, Negeri Sembilan. Saya semasa itu bersekolah di Anglo Chinese School (ACS) Seremban.

Saya mengucapkan takziah kepada suami beliau, Adam serta seluruh ahli keluarga dan menerimanya sebagai takdir yang telah dijanjikan oleh Allah swt. Tidak ada siapa yang boleh mengalih dan menganjak waktu ajal kita yang hanya didalam pengetahuan Tuhan maha esa.

Saya bersama-sama dengan rakan-rakan yang lain akan sentiasa mengingati Hajjah Illani sebagai seorang yang sangat giat di dalam bidang belia dan politik sebaik sahaja beliau keluar dari menara gading dengan ijazah dalam bidang undang-undang.

Illani pernah menjadi Exco Pergerakkan Wanita UMNO Malaysia beberapa tahun sebelum perpecahan UMNO pada tahu 1988 dahulu. Beliau seterusnya menyambung kegiatan politik beliau dan telah berjaya memenagi kerusi Parlimen Kota Bharu selama dua penggal sejak 1990 di atas tiket Parti Melayu Semangat 46.

Beliau selepas itu telah bergiat di dalam banyak pertubuhan NGO dan sentiasa aktif melakukan kegiatan-kegiatan sosial dan tidak pernah berhenti dari melakukan ubudiah kepada masyarakat di negara ini.

Marilah kita berdoa agar rohnya di tempatkan di kalangan roh-roh orang yang beriman dan sentiasa mendapat cucuran rahmat Allah sentiasa.

Al-fatihah.

23 February 2011

Revolusi Arab - Jangan biarkan merebak ke sini.

Sekarang Libya pula bergolak. Muammar Gaddafi kini menghadapi masalah yang sama seperti apa yang berlaku di Mesir, Tunisia.,Yemen, Bahrin dan hampir keseluruhan negara-negara Arab dan Utara Afrika. Kekacauan berlaku tengah malam semalam di Benghazi dan Trippoli yang telah menggoncang kekuatan mutlak dan kekebalan Muammar Gadafi yang telah berkuasa sejak 42 tahun dahulu selepas beliau menjatuhkan Idriss pada tahun 1969.

Semasa saya menulis ini seramai ratusan orang di Tripoli dan Benggazi telah mati terbunuh oleh gerakan tentera yang setia kepada Muammar Gadaffi bertindak terhadap penunjuk perasaan itu dengan disambut dengan kecaman terhadap kerajaan Libya dari negara-negara barat khususnya Amerika Syarikat dan EU.

Malahan beberapa duta Libya ke beberapa buah negara termasuk dutanya ke Malaysia telah mengkritik kerajaan mereka sendiri kerana tindakan yang keras yang diambil keatas penunjuk perasaan yang mulanya aman yang menjadi ‘violent’ apabila tindakan pihak tentera dan pasukkan keselamatannya bertindak ganas terhadap penunjuk perasaan itu. Malahan dutanya ke India telah mengambil tindakan meletakan jawatan beliau kerana membantah kezaliman pihak pemerintah. beberapa buah jet pejuang Libya telah digunakan oleh tentera udara yang berpaling tadah dan telah mendarat di Malta, sebuah pulau di Laut Mediterranean.

Saif al Islam Gadaffi, anak Muammar Gadaffi telah menjadi kutukan rakyat kerana sifatnya yang ‘arrogant’ apabila muncul di peti television sambil menggertak rakayat mereka akan diambil tindakan kepeluru yang terakhir. Saif telah menyalahkan pihak pembangkang dan kumpulan Islam yang menyebabnya berlakunya pemberontakan ini. Tuduhan ini ialah untuk meyakinkan dunia barat yang keadaan barat akan terancam jika kumpulan ini mengambil alih kuasa dari keluarganya.

Saif telah menggertak negara barat yang Tripoli tidak akan menghantar menjual minyak ke negara EU jika barat mengambil sikap memihak kepada penunjuk perasaan itu. Tetapi Saif tidak memikirkan yang kesemua telaga minyak yang terletak di Timur Libya telah dikuasai oleh rakyat yang memberontak itu.

Tetapi yang lebih menarik untuk kita bertanya ialah kenapa dalam sekelip mata sahaja ‘arab revolution’ ini berlaku di hampir keseluruhan negara Tmur Tengah dan Utara Afrika? Kenapa ianya berlaku hanya kepada negara-negara Islam sahaja dan kenapa pula negara-negara barat khususnya Amerika Syarikat yang mengudakan Ketua-Ketua Negara yang sedang menghadapi pemberontakkan ini sekarang memihak kepada pihak yang berdemostrasi dan yang cuba menggulingkan kuasa yang dilindungi oleh pihak barat ini?

Kenapa negara barat yang sejak sekian lama yang mempertahankan Muammar Gadaffi tidak mengindahkan Muammar dan keluarganya dalam keadaan sekarang ini malahan Menteri-Menteri Luar EU telah membuat kenyataan mengutuk Muammar kerana berkeras dengan pemberontak di Libya?

Barat selama ini telah berkawan dan bersahabat rapat dengan maharaja-maharaja arab dan pemerintahan ‘absolute monarchy’ di Timur Tengah kerana kepentingan ekonomi dan dalam masa yang sama dapat memecahkan perpaduan Arab yang menjadi jiran di sekeliling negara haram Israel itu.

Dengan apa yang berlaku di dunia arab sekarang ini ialah timbulnya manifestasi rakyat negara arab mahukan perubahan kerana sudah terlalu jemu dengan sistem pemusatan kuasa kepada pemerintah yang zalim yang selama ini diperkuatkan oleh kuasa-kuasa barat yang mengambil kesempatan di atas kekayaan dunia arab dengan hasil buminya iaitu minyak.

Pemerintahan keluarga monarchy dunia arab pula berpaut dengan sokongan kuasa besar barat khususnya Amerika Syarikat dan EU sedangkan rakyat negara-negara ini tertekan oleh kuasa keluarga monarchy yang menekan rakyat sejak berabad yang lalu.

Kata perbidalan, ‘lulus jarum lulus kelindan’. Apabila berlaku sahaja penentangan negara Tunisisa yang menggulingkan pemimpin mereka Zainal Al Abidin semangat itu merebak keseluruh negara arab dan Utara Afrika yang sama mengalaman sistem pemerintahan keluarga yang berkuasa penuh terhadap rakyat.

Apabila kejadian penggulingan pemerintahan kuku besi seperti ini berlaku kuasa-kuasa besar yang memperjuangkan demokrasi beralih sokongan kepada rakyat yang memberontak untuk mendapatkan sokongan rakyat yang akan mengambil alih kuasa di negara masing-masing. Kuasa-kuasa besar seperti AS selepas ini akan berbaik-baik dengan kuasa rakyat untuk kepentingan ekonomi dan ‘so-called’ keselamatan AS dan sekutunya yang rapat di kawasan itu iaitu Israel.

Apabila jatuhnya pemerintahan Hosni Mubarak ramai rakyat Israel yang kayaraya telah terbang keuar dari negara Israel untuk menentukan keselamatan mereka kerana mereka khuatir dengan sikap pemerintahan baru Mesir yang tidak pasti melindungi keselamatan negara haram Israel itu.

Dalam situasi di dunia arab sekarang ini kita akan melihat perubahan pattern dan lanskap politik dunia dan ini mungkin memberikan harapan yang kemunculan perpaduan arab yang baru yang selama ini disekat oleh ‘conspiracy’ pemimpin-pemimpin ‘monarchy’ negara-negara ini dengan AS untuk menjamin keselamatan Israel.

Jika kita lihat yang sangat bersyukur dengan apa yang sedang berlaku hari ini ialah rakyat negara-negara dunia arab ini yang akan mengalami politik yang baru dan yang lebih merasakan nikmat setidak-tidaknya buat sementara waktu ini ialah rakyat palestin yang selama ini dihimpit oleh kezaliman Israel terhadap rakyat dan negara mereka. Palestin selama ini berjuanga sendirian kerana pemimpin-pemimpin negara aran yang berjiran dengannya tidak dapat membantu hasil dari permainan politik pihak barat.

Apa yang kita harapkan ialah supaya pemerintahan baru negara-negara arab yang bakal terbentuk akan benar-benar bersatu kerana perpecahan di antara mereka selama ini adalah hasil dari permainan politik dunia barat. Barat telah membuatkan yahudi zionis Israel bermaharajalela menekan dan menzalimi rakyat palestin yang sedang bergelumang mempertahankan negara mereka yang semakin hari semakin mengecil hasil dari pencorobohan kawasannya oleh regim Israel sejak kewujuddan negara itu pada tahun 1948 dahulu.

Kita sekarang boleh belajar dengan apa yang berlaku di negara arab ini. Satu pelajaran yang kita dapati ialah kesabaran rakyat ada batasnya. Pihak yang tertekan dengan kezaliman tiada hijabnya dan doa mereka selalunya terkabul. Yang menzalimi pihak yang lain tidak akan kekal dan itu adalah hakikat ‘nature’ yang jelas.

Permainan politik peribadi yang tidak terbatas oleh pemimpin yang mabuk kuasa akhirnya akan berakhir kerana doa rakyat yang ramai yang tidak berpuas hati dan terhimpit itu akan akhirnya termakbul. Kita mesti mengelak dari berlakunya seperti yang berlaku di dunia arab. Kita tidak mahu melalui pengalaman di mana rakyat keluar ke jalanraya untuk menuntut apa yang mereka kehendaki.

Negara kita adalah negara demokrasi walaupun ada elemen-elemen penekanan yang sangat sistematik di negara ini. Jika kita tidak berpuas hati dengan pimpinan kita ada jalan keluar yang terbaik, iaitu beramai-ramai kepeti undi untuk merubah kepimpinan yang kita rasakan tidak baik.

Rakyat negara ini tidak perlu menunggu sampai ketahap yang terlalu buruk sebelum kita bertindak. Kita ada pilihanraya dan rakyat berwajib untuk menukar kepimpinan kita yang tidak berguna secara aman dan beransur-ansur.

Selalu saya berkata; kita lakukan pembersihan seperti makan tebu, busuk seruas kita buang seruas. Kalau busuk dua ruas kita buang dua ruas. Jangan kita tunggu sehingga keseluruhan batang tebu itu busuk, kerana jika sampai ketahap itu maka kita terpaksa buang keseluruhan batang tebu itu. Itu akan membawa kepada rakyat memilih cara menukar kepimpinan seperti apa yang berlaku di dunia arab sekarang ini.

Itu sahaja setakat ini.

20 February 2011

Pilihanraya Sarawak - Masihkah Sarawak 'fixed deposit' BN?

Sarawak akan menghadapi pilihanraya negeri selewat-lewatnya pada bulan Julai yang akan datang. Sarawak sekarang menjadi tumpuan pemimpin-pemimpin parti politik yang akan menawarkan calun masing-masing untuk mendapatkan mandat rakyat bagi menubuhkan kerajaan negeri yang sekian lama dipegang oleh BN hanya dengan seorang pemimpin yang bernama Tan Sri Taib Mahmud (TSTM).

TSTM telah menerajui kerajaan Sarawak selama 30 tahun dan masih lagi mahukan kuasa memimpin itu diberikan kepadanya. Nampaknya Sarawak tidak mempunyai pemimpin lain dari Taib Mahmud kerana semua yang telah dianggap akan menjadi pengganti beliau semuanya sudah bersara dan tidak mahu lagi terlibat dan politik.

Jika BN masih lagi memenangi pilihanraya ini, Taib Mahmud akan duduk menerajui kuasa di Sarawak sekurang-kurangnya selama 35 tahun sebelum menghadapi pilihanraya yang berikutnya. Ini merupakan rekod yang tidak boleh ditandingi oleh mana-mana pemimpin di negara ini. Malahan TSTM akan menjadi salah seorang ketua kerajaan yang paling lama dalam dunia ini.

Apa pun alasan yang diberikan oleh mana-mana pihak untuk mengekalkan TSTM sebagai ketua kerajaan sebuah negeri merupakan satu tindakan yang sangat membosankan kerana yang akan dihadapi oleh kerajaan pada masa yang akan datang ialah masalah yang mungkin tidak dapat diselesaikan dengan mudah. Di Sarawak nampaknya BN terutamanya TSTM sengaja mahu menempah masalah untuk rakyat yang telah begitu lama dikelirukan oleh pemerintah yang tidak mahu mengenali apa itu kebencian rakyat.

Sarawak sedang menghadapi ‘vacuum’ kepimpinan yang sangat besar kerana TSTM tidak pernah mahu mendidik, membentuk dan menyediakan pimpinan lapisan bagi negeri kenyalang itu. Tidak ada rekod sesebuah negara itu akan berada di dalam keadaan yang aman politiknya jika dipimpimpin oleh seseorang dengan begitu lama.

Pilihanraya akan tiba tidak beberapa bulan sahaja lagi dan pemimpin-pemimpin pusat mundar mandir ke Kuching seperti orang keluar masuk jamban untuk berkempen bagi meneruskan kenikmatan pimpinan yang ada pada hari ini yang kian hari kian jelas merasakan yang negeri itu adalah kepunyaan peribadinya.

Persoalannya, sampai bila TSTM hendak menongkat langit? Sampai semua kompartmen balak habis? Sampai semua tanah-tanah negeri terjual?Atau sehingga ada di kalangan ahli keluarga beliau mampu mengambil alih tempat beliau? Atau apa?

Tidak adakah walaupun seorang dari 3 juta rakyat Sarawak yang berkemampuan untuk mengambil alih kerajaan dan memimpin Sarawak? Apa lagi alasannya?

Tidak adakah kemampuan pucuk pimpinan persekutuan untuk menasihatkan Ketua Menteri ini untuk melepaskan jawatannya untuk mempastikan rakyat Sarawak tidak merasa resah dengan pimpinannya? Kalau pucuk pimpinan boleh menggunakan kuasa dan pengaruhnya untuk mengenepikan kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat di Semenanjung dengan cara haram, kenapa tidak ada pula kudrat untuk menasihati TSTM untuk mengundurkan diri secara terhormat?

Sekarang semua di pihak kerajaan sedang melutut dan meminta agar kaum Cina di Sarawak memberikan sokongan kepada BN dengan alasan hanya BN sahaja yang mampu untuk menyelamatkan masa depan mereka. Ini adalah disebabkan pengundi-pengundi Cina lebih tertarik untuk mengundi pembangkang khususnya DAP.

Kemenangan DAP dalam pilihanraya kecil Sibu telah memberikan semangat DAP untuk menawan kerusi-kerusi bandar dan kawasan sub-urban di Sarawak. Dengan kembalinya SNAP dalam politik Sarawak pula akan memberikan tekanan kepada BN didalam 29 kerusi Iban dan Dayak selain dari beberapa kerusi yang pasti akan menerima cabaran besar di dalam pilihanraya negeri kali ini.

Sarawak telah dikatakan sebagai fixed-deposit bagi BN kerana semasa pilihanraya Mac 2008 yang lalu pembangkang hanya memenangi 13 kerusi DUN dan satu kerusi parlimen iaitu di Bandar Kuching yang dimenangi oleh DAP. Pada tahun yang lepas BN telah kehilangan kerusi parlimen Sibu kepada DAP di dalam pilihanraya kecil. Dengan 2 kerusi parlimen DAP, parti itu kini sedang mendapat suntikan semangat yang kuat untuk mendapatkan kerusi tambahan di dalam pilihanraya umum yang akan datang. Isu yang laris semasa pilihanraya di Sibu adalah isu TSTM sahaja.

Jika DAP mampu mengekalkan sokongan kaum Cina di Sarawak ianya akan terus menambah bilangan 13 kerusi pembangkang di Dewan Undangan negeri Sarawak. Jika SNAP yang kini kembali ke arena politik negeri itu secara giat maka tidaklah mustahil jika parti itu akan berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya belasan kerusi dikawasan Iban dan Dayak. Berlaku sahaja keadaan ini maka Sarawak tidak akan lagi menjadi fixed-deposit bagi BN.

Saya sendiri menjangkakan BN akan berjaya mempertahankan kerajaan negeri di bawah bayu ini, tetapi bolehlah kita anggapkan kemenagan seperti yang diperolihinya seperti dahulu tidak akan berulang lagi. Keadaan inilah yang akan mempengaruhi keadaan di semenanjung dan di Sarawak sendiri di dalam pilhanraya yang akan datang.

Harapan BN untuk mendapatkan majority 2/3 di Dewan Parlimn jika 5 peratus dari pengundi Melayu kembali kepada BN akan melesat jika 25 peratus tambahan rakyat di Sarawak dan Sabah yang akan mengundi pembangkang.

Kalau di kaji halus-halusan kenapa BN menghadapi keadaan seperti ini, ialah kerana rakyat sudah nampak dan merasakan dengan jelas yang pemimpin-pemimpin BN baik di Semenanjung mahu pun di Sabah Sarawak terlalu mementingkan politik dan kuasa peribadi. Dibawa bersama dalam ‘package’nya ialah rasuah dan salah guna kuasa yang tidak mengenal batasnya.

BN pimpinan TSTM selama ini menguasai pengundi dengan wang ringgit yang besar. Lagi pula pembangkang tidak dapat untuk mendekati pengundi di pedalaman. TSTM selalunya akan menggunakan kuasanya untuk menyekat perjalanan pemimpin pembangkang ke pedalaman dengan tidak membenarkan kapal terbang kecil yang membawa pemimpin pembangkang di kawasan pedalam yang jauh itu.

Jika pihak pembangkang benar-benar hendak pergi ke pedalaman itu mereka terpaksa pergi sekurang-kurangnya seminggu sebelum penamaan calun dan duduk di tempat yang di tetapkan sehingga hari mengundi. Pembangkang tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menyaingi kemampuan kewangan TSTM seorang. Itu tidak termasuk sumber kewangan yang bertimbun dari Kuala Lumpur.

Walau bagaimana pun adalah terlalu awal untuk memberikan ulasan yang tepat kerana di dalam politik bermacam-macam dan berbagai kemungkinan boleh berlaku. Tetapi alangkah baiknya TSTM bersara sahaja dari membiarkan pemimpin-pemimpin BN negeri dan pusat berhempas pulas untuk mempertahankan BN kerana kerakusan seorang pemimpin seperti TSTM.

Inilah akibatnya jika politik itu dijadikan kepunyaan peribadi dan keluarga seseorang pemimpin.

19 February 2011

Happy Birthday YB Lim Kit Siang

Besok, 20hb Februari adalah hari jadi YB Lim Kit Siang (LKS), maka genaplah umur beliau 70 tahun. LKS merupakan seorang pemimpin politik veteran yang telah menempuh segala onak dan duri di dalam mengharungi politik tanahair yang telah banyak memberikan sumbangan kepada perjalanan siasah negara sejak lebih dari 40 tahun dahulu.

Itulah hakikat pengalaman bagi seorang ahli politik yang memperjuangkan ketelusan dan keunggulan demokrasi dan dalam perjalanan itu LKS telah dan akan berhadapan dengan berbagai-bagai dugaan peribadi yang jarang-jarang dialami oleh pemimpin pembangkang dalam sejarah perjalanan demokrasi di negara ini.

LKS tetap mendapat sokongan yang besar dari rakyat negara kerana keberaniannya untuk memperjuangkan apa yang beliau anggap benar. Kalau dahulu LKS mendapat sokongan dari kaum Cina sahaja tetapi kini bellau telah benjaya mendapatkan sedikit sebanyak sokongan dari kaum lain termasuk dari kaum Melayu yang merasa kecewa dengan tahap rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku didalam negara ini.

Walaupun saya seorang ahli UMNO saya wajar mengakui yang LKS adalah pemimpin yang mempunyai ‘consequence’ yang besar dalam politik tanahair apatah lagi dalam keadaan dan situasi politik negara pada masa ini. Mungkin ramai akan mengkritik saya kerana memberikan pengiktirafan kepada LKS tetapi saya tidak boleh berbohong dengan menyangkal hakikat yang LKS adalah seorang pemimpin yang terkenal bukan sahaja di negara ini tetapi juga merintasi ‘geographical boundaries’ sehingga ke merata dunia ini.

Akhirnya saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ‘selamat hari jadi yang ke 70’ dan diharap sdr LKS akan terus berdaya untuk memberikan sumbangan untuk politik tanahair dan berusaha terus untuk memerangi rasuah yang besar yang sedang dihadapi oleh negara yang kita kasihi ini.

Walaupun saudara akan terus menghadapi dugaan besar dalam perjalanan politik saudara tetapi saya percaya saudara tidak akan mengalah dalam matlamat untuk mewujudkan demokrasi yang sebenarnya dan membersihkan negara dari penyakit merbahaya, iaitu rasuah yang keterlaluan sekarang ini.

Umur 70 tahun adalah umur yang masih muda bagi seorang pejuang yang terhindar dari melakukan kesalahan rasuah yang keterlaluan.

Akhirnya saya mengucapkan sekali lagi, ‘Selamat hari jadi kepada saudara Lim Kit Siang semoga saudara tidak berhenti dari menghidupkan politik negara kita yang kita kasihi ini.

Bila kah agaknya kita dapat menikmati demokrasi sebenarnya?

Kerajaan demokrasi ialah kerajaan yang benar-benar dipilih oleh rakyat setelah rakyat membuat pertimbangan yang serius dengan bebas tanpa gangguan dan kawalan dari unsur yang menekan. Demokrasi yang terunggul ialah demokrasi yang dilaksanakan dengan penuh jujur dan etika yang tinggi.

Yang dimaksudakan sebagai kejujuran dalam demokrasi ialah dengan membiarkan rakyat membuat penilaian tanpa tekanan dan penggunaan kuasa yang dilakukan oleh pihak semasa yang sedang memegang tampok kuasa.

Apabila sampai tempoh dan penggalnya kerajaan akan kembalikan kepada rakyat untuk membuat keputusan samada untuk mengekalkan kuasa yang ada pada pemerintah yang sedang menyandang kuasa itu atau memberikannya kepada pihak lain yang menawarkan kepimpinan dan kerajaan alternatif kepada rakyat.

Pihak yang sedang memerintah mestilah berlaku adil dan memberikan sepenuh peluang kepada pihak pembangkang kepada kemudahan media seperti telivision dan media letronik serta media cetak yang ada untuk rakyat mendapatkan maklumat bagi mereka membuat pertimbangan yang tepat.

Malahan di negara-negara maju pilihanraya ini dibiayai oleh kerajaan dan disediakan peruntukan perbelanjaan pilihanraya bagi pihak kerajaan yang menyandang kuasa dan pembangkang yang menawarkan kepimpinan dengan dasar alternatif dan corak pentadbiran yang berlainan bagi memenuhi kehendak rakyat yang mempunyai pelbagai keinginan dan ‘preferences’ masing-masing.

Di Amerika Syarikat dan di England misalnya kedua-dua pihak yang memerintah dan pembangkang berdiri dibelakang ‘rostrum’ dan berdebat secara terbuka dan ditontoni oleh semua rakyat melalui peti-peti television dan media alternatif yang ada di dalam negara-negara tersebut.

Masing-masing parti akan memaparkan program serta dasar masing-masing secara terbuka dan tidak akan akan ada pemimpin yang berani untuk bercakap dengan nada lain bila berhadapan dengan kumpulan yang berbeza untuk meraih undi dan sokongan ramai. Di negara-negara maju tidak ada pemimpin yang mengikut resmi cicak kubin yang akan bertukar warna kulit mereka mengikut warna tempat mereka hinggap. Pemimpin seperti ini memang tidak mendapat tempat kerana rakyat menganggap pemimpin seperti ini adalah seorang yang pembohong.

Pembohongan adalah satu kesalahan yang tidak ada kemaafan bagi rakyat di negara-negara maju dan rakyat selalunya akan menolak pemimpin atau parti yang bersifat pembohong itu. Rakyat di negara maju faham dan memandang rendah kepada pimpinan yang tidak bercakap benar kerana mempunyai persepsi yang bercakap bohong itu merupaka satu penyakit yang susah untuk diubati dan disembuhkan. Tetaoi disini lagi pemimpin berbohong lagi kuat mendapat sokongan kerana ramai rakyat yang masih suka dibohongi dari mendengar perkara yang benar.

Mereka percaya kepada perbidalan ‘once a liar he remains a liar’ dan rakyat di negara-negara tersebut tidak akan merelakan diri mereka dibohongi oleh pemimpin mereka kerana jika mereka ditadbirkan oleh manusia yang berbohong lambat laun negara akan rosak binasa. Begitulah tingginya etika kepimpinan yang mereka amalkan semata-mata untuk menjaga keutuhan dan kebaikan untuk rakyat dan negara mereka.

Sistem demokrasi yang kita amalkan di negara kita tergulung kedalam kategori demokrasi yang lazim diamalkan di negara-negara dunia ketiga. Pemimpin yang berkuasa selalunya akan menggunakan kuasa yang ada kepada mereka untuk mempengaruhi rakyat bagi mengekalkan mandat rakyat kepada mereka. Berbagai-bagai tekanan terhadap rakyat secara sistematik dilakukan untuk mempastikan rakyat kembali memberikan dukongan kepada mereka.

Parti pembangkang tidak dapat menggunakan media massa perdana untuk menyiarkan rangka dan pelan mereka jika diberi mandat untuk memerintah sedangkan parti yang sedang berkuasa akan menggunakan sepenuhnya media massa perdana yang lazimnya akan berpihak kepada yang memerintah.

Dalam sejarah pilihanraya di negara kita belum lagi pernah parti lawan kepada kita mendapat peluang untuk bersama-sama menggunakan media massa letronik yang dipunyai rakyat. Sejak 40 tahun dahulu parti pembangkang seperti DAP telah mendapat momokan yang parti itu adalah parti merbahaya dan cuba dianggapkan seolah-olah parti itu adalah seperti Parti Komunis Malaya.

PAS juga dimomokan dengan sebagai parti yang militan. Tetapi apabila PAS terbukti mampu untuk bekerjasamaq dengan DAP dituduh pula PAS sebagai parti yang tidak islamik. Semua yang dilakukan oleh PAS tidak kena kepada pihak yang berkuasa. Tetapi sekarang kesusahan yang dihadapi oleh PAS sudah mulai reda setelah parti itu telah terbukti mampu untuk membina kerjasama yang baik walaupun diantara komponen PR itu banyak perbezaannya. Malah kejasama itu lebih jelas berjaya kerana berkemampuan untuk bersama mentadbir kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh PR.

Kejayaan inilah yang tidak disukai oleh BN dengan menggunakan media massa perdana untuk memcahkan kesatuan yang telah terjalin diantara parti-parti altenatif ini. Tetapi itulah politik kita di dunia ketiga ini walaupun kita mendengar pimpinan kita hendak menjadikan negara kita sebagai negara maju menjelang tahun 2020.

Walaupun permainan media massa ini tidak ada noktahnya tetapi rakyat sudah mula pudar keyakinan terhadap media perdana kerana setelah kian lama rakyat sedar yang media perdana yang dikuasai kerajaan itu hanyalah alat propaganda pihak pemerintah sahaja. Rakyat kini mahu melihat dan membaca perkara yang lebih ‘quantitative’ yang lebih yang lebih memberikan input pengetahuan yang berfaedah secara terus kepada rakyat.

Media massa yang hanya berelemenkan propaganda sudah mula tidak diminati oleh orang ramai dan ini boleh dilihat dari kejatuhan pembaca kepada beberapa akhbar media perdana yang dahulunya mempunyai ‘circulation’ dalam bilangan ratusan ribu sehari.

Kalaulah kita mahukan kesuburan demokrasi yang benar-benar demokrasi kita sepatutnya memulakannya dengan mengendalikan pilihanraya dengan perbelanjaan kerajaan. Kedua-dua pihak dari kerajaan dan pembangkang patut diberikan peruntukan oleh kerajaan seperti yang dilakukan di Amerika Syarikat dan banyak negara maju yang lain.

Rakyat sepatutnya memulakan tuntutan untuk dilaksanakan demokrasi secara ini kerana ianya bukanlah satu perkara yang baru didalam proses demokrasi. Hanya di negara kita dan Singapura sahaja di rantau ini yang parti pembangkang yang halal kewujudannya tidak diberikan kemudahan ini. Kita tidak boleh lari dari melaksanakan sistem ini jika kita benar-benar mahu menjadikan negara kita sebagai negara maju.

Kita tidak boleh lagi menafikan hak mana-mana pihak untuk mendekati rakyat seperti tidak mengeluarkan ‘permit’ untuk berceramah dan sebagainya. Berdebat secara terbuka diantara parti kerajaan dan pembangkang patut diadakan selalu bagi membolehkan rakyat menilai pihak mana yang lebih berkemampuan untuk mengeluarkan ‘idea-idea’ yang bernas dan mampu dilaksanakan. Politik secara ini merupakan satu tuntutan masa dan kita wajar mengikuti kehendak masa dan zamannya,

Jika debat terbuka boleh diadakan kerap kali maka tidak akan ada lagi tuduh menuduh diantara satu pihak dengan pihak yang lain dan fitnah memfitnah tidak akan mudah dilakukan lagi. Debat terbuka ini juga akan membolehkan kita menilai pihak mana yang bertotokohan untuk menjadi pemerintah.

Bagi pendapat saya seorang jika benar pihak kita ini jujur, ikhlas dan tidak pernah melakukan perkara sumbang kepada negara maka tidak ada sebab kita perlu takut untuk berhadapan untuk berdebat dengan pihak pembangkang. Malahan disitulah kesempatan yang keemasan untuk membuktikan yang tuduhan pihak BN yang parti pembangkang itu sebagai kilang mengeluarkan fitnah itu benar.

Tetapi pihak kita tidak pernah berani untuk berdepan dalam debat besar-besaran dengan PR maka sekali gus kita dianggap sebagai pihak yang takut untuk berdebat kerana khuatir segala kelemahan kita yang dituduh oleh pembangkang itu pula yang benar. Kalau kita betul-betul di pihak yang benar kita tidak perlu takut. Jika kita takut maka jelaslah yang kitalah yang lebih bermasalah dari pihak PR untuk menunjuk dan membuktikan kebenaran pihak kita.

Orang ramai memang mempunyai persepsi yang pemimpin BN khususnya UMNO tidak akan bersedia untuk berdebat kerana sesungguhnya pihak kita sedang mengahadapi masalah untuk membuktikan yang tuduhan pihak pembangkang dan pihak-pihak lain itu adalah tidak benar. Menolak cabaran untuk berdebat itu memang dengan pantas dianggap oleh rakyat sebagai mengiyakan tuduhan pihak pembangkang terhadap kita.

Jangan disangkal hakikat ini.

17 February 2011

Kebaikan dan kelembutan rakyat - dianggap sebagai kelemahan.

Najib nampaknya bersungguh untuk mendapatkan sokongan setiap kaum di negara ini untuk memberikan dukongan kepada pentadbirannya. Kesungguhannya nampak jelas dengan tidak putus-putus membuat pengumuman selepas satu pengumuman dan semuanya adalah untuk menambat hati rakyat untuk berdiri di belakangnya didalam pilihanraya umum yang bakal tiba.

Najib sedang melakukan ‘taici’ dengan semua pihak kerana beliau belum lagi berjaya untuk mencari ‘reconciliation point’ untuk menagih sokongan semua pihak. Tindakan beliau bercakap berlainan dengan berlainan bangsa yang dihadapinya itu menunjukkan beliau belum lagi mempunyai keupayaan untuk menarik sokongan semua pihak terhadapnya.

Apabila orang Melayu memberikan sokongan, sokongan itu datangnya dari lakunan beliau sebagai pejuang Melayu tetapi dalam masa yang sama MCA dan bangsa yang menganggotai parti itu akan membidas UMNO kerana mereka menganggap UMNO itu sebagai parti ‘racist’. Apabila beliau berhadapan dengan bangsa Cina beliau mengatakan yang orang Cina mempunyai hak samarata dengan konsep 1Malaysianya dan ketika ini orang Melayu pula akan ‘meroyan’ dan mengkritik beliau terutamanya dari PERKASA pimpinan seorang Ahli Parlimen Bebas dari Pasir Mas.

Pendeknya Najib tidak mampu untuk mencari resepi yang mantap untuk mendapatkan sokongan menyeluruh dari kaum Melayu dan Cina. Sampai bila Najib bertahan untuk melakunkan watak yang bermuka-muka ini sama-samalah kita lihat dan perhatikan.

Setelah bertindak membelakangkan semangat DEB dengan melupuskan syarat peruntukan untuk Bumiputra dalam pelancaran NEM tahun lepas tidak beberapa hari yang lalu diumumkan pula TERAJU untuk memantau penyertaan Bumiptra dan ianya adalah berlawanan dengan NEM ciptaannya itu. Bagi perlaksana dasar pegawai-pegawai kerajaan begitu keliru untuk melaksanakan yang mana satu hendak diikuti.

Kita tidak boleh mempunyai muka yang terlalu banyak wajah yang berbeza bergantung kepada tempat dan siapa yang dihadapinya. Tidak ada rekod yang membuktikan sifat bermuka-muka ini mampu untuk bertahan secara ‘sustainable’ dalam jangka masa yang panjang. Kawan-kawan kita dari bangsa Tionghwa pandai untuk menilai permainan ini. Itulah sebabnya mereka teah menunjukkan sikap yang terbuka bahawa mereka tidak boleh lagi bertahan untuk mengekalkan sokongan kepada BN.

Itu jugalah sebab utama kenapa DAP mendapat tempat di hati keseluruhan masyarakat Cina dan juga secara beransur-ansur mendapat sokongan dari kaum Melayu pada masa ini. Cadangan DAP utuk menurunkan bebrapa calun Melayu kali ini akan melengkapkan usaha DAP untuk melambangkan parti itu sebagai parti berbilang kaum.

Justru itu sebahagian orang Melayu akan pasti memberikan sokongan kepada parti yang tetap terlalu teruk dimomokkan oleh media massa negara ini sejak 40 tahun dahulu. Apabila DAP sudah mendapat tempat dihati rakyat maka ianya bukan lagi satu usaha yang mudah bagi BN khusunya MCA untuk menyaingi sokongan rakat terhadap DAP. Rakan-rakan Melayu dan India Muslim di P Pinang khususnya telah nampak bukti bagaimana urusan kerajaan P Pinang lebih baik dari kerajaan BN dahulu.

Majlis-Majlis Perbandaran di Pulau Pinang buat kali pertama telah berjaya mendapat pendapat ‘surplus’ yang agak besar dan ini tidak pernah berlaku semasa parti GERAKKAN memerintah P Pinang selama 40 tahun dahulu. Bukti ini dilihat dengan mata-kepala rakyat dan ianya membuktikan kerugian yang dialami oleh kerajaan tempatan di Pulau Pinang selama ini adalah kerana ketirisan dan rasuah yang tidak dapat dikawal.

Berita ini tentulah tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan BN di Pulau Pinang kerana mereka lebih suka untuk melihat kerugian di Majlis-Majlis Tempatan untuk dijadikan isu politik tempatan. Itulah sebabnya ramai rakan-rakan di Pulau Pinang memberitahu bahawa cita-cita BN khusunya UMNO dan MCA untuk mengambil alih kuasa kerajaan di Pulau Pinang bolehlah dianggap seperti mimpi di siang hari sahaja.

Jika calun-calun MCA dikalahkan didalam pilihanraya yang akan datang oleh DAP maka DAP akan mendapat nikmat sokongan orang-orang Cina dan Melayu dan parti itu merupakan parti yang tunggal untuk mewakili suara kaum Cina di negara ini. Ini sangat berbeza dari dahulu dalam mana kaum Cina yang diwakili didalam kerajaan Persekutuan dan Negeri diwakili oleh dua parti kaum Cina iaitu MCA dan GERAKKAN.

Blog ini telah menyebut puluhan kali untuk kita semua memulakan politik baru yang boleh mentautkan perbezaan diantara kaum di negara ini. Ianya mestilah dilakukan oleh seorang yang berpengalaman yang dihormati oleh semua kaum dan mempunyai sifat ‘magnanimity’ yang tinggi. Kita terpaksa mencari seorang Melayu yang boleh bercakap secara benar dan jujur dan boleh ikuti oleh semua kaum.

Pemimpin serupa ini sudah tiada di dalam barisan kepimpinan kita maka itulah sebabnya pucuk pimpinan kita adalah seperti cicak kubin yang berubah warna mengikut tempat dia hinggap dan melekap.

Kita sekarang menyaksikan tindakkan kita cuba untuk menunjukkan segala kelemahan yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PR) sebagai kaedah untuk mendapatkan keyakinan orang ramai. Tidak apalah kaedah itu kerana itu merupakan cara politk yang lazim bagi poitik dunia ketiga ini. Tetapi kita mesti juga menunjukkan kebaikkan dan kejujuran kita didalam mentadbir kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri-negeri yang masih ditadbir oleh BN.

Mengambil alih kerajaan negeri Perak secara ‘illegitimate’ dua tahun lalu hanya membebankan UMNO kerana rakyat Perak sedang menunggu masa untuk mengembalikan kerajaan negeri itu kepada PR. Memecah belahkan wakil-wakil PR di Dewan Lagislatif tidak menghambat sokongan rakyat kepada PR yang pernah disokongnya dahulu.

Tindakkan merampas kuasa yang dilakukan di Perak telah menyentuh perasaan rakyat kerana rakyat bukannya memilih BN dalam pilihanraya itu, tetapi dengan kuasa yang ada di Persekutuan itu telah digunakan untuk melakukan perkara yang tidak disenangi oleh rakyat Perak.

Jika kita halusi keadaan yang ada sekarang kita melihat dengan terang dan jelas, banyak pihak yang telah menubuhkan badan-badan siasah untuk menumbangkan BN. Usaha semua pihak untuk berunding bagi menghadapi BN satu lawan satu yang diperkatakan dimana-mana itu bukti jelas yang terlalu banyak pihak yang ingin menjatuhkan BN khususnya UMNO.

Di Malaysia Timor (Sabah dan Sarawak) usaha sedang giat dijalankan untuk mencari titik persefahaman diantara MCLM, UBR dan SNAP di Sarawak dan ini membayangkan terlalu banyak pihak yang mahu melihat BN kali ini gugur didalam pilihanraya yang akan datang. Walaupun mereka berbeza tetapi mereka mempunyai motif dan niat yang sama; iaitu untuk memberikan pengajaran kepada BN yang mereka anggap sudah keterlaluan mengambil kelembutan rakyat ‘for granted’ atau sebagai satu kelemahan.

Jika titik persefahaman itu dicapai maka kita akan menyaksikan perubahan kepada ‘pattern’ politik tanah air dalam masa yang sesingkat ini. Politik bukan sesuatu yang static tetapi ianya sentiasa hidup dan berubah mengikut masa dan keadaan.

Di Sarawak menumbangkan BN itu bukanlah suatu usaha yang tidak dijangkakan kerana Taib Mahmud sudah menjadikan Sarawak sebagai negerinya sendiri. Sehebat mana pun pemimpin itu sejarah dunia telah membuktikan yang pemimpin yang duduk ditampuk kuasa terlalu lama akan menjadikan negeri atau negara itu kacau bilau.

Salah seorang dari bapa saudara saya berpesan, ‘jika kau jadi guru besar, jangan duduk di satu sekolah itu lama-lama, nanti kau ingat sekolah itu kau yang punya’. DAN itu pun hakikat yang berlaku di Sarawak.

15 February 2011

TERAJU - Apa yang diterajuinya?

Pelancaran Unit Peneraju Agenda Bumiputra (TERAJU) baru-baru ini mendapat reaksi yang tidak memuaskan setengah pihak dan Najib dianggap oleh pihak-pihak ini sebagai pemimpin yang flip-flop kerana berubah haluan dari pendirian yang telah dibuatnya sebelum ini.

‘Kuala Lumpur and Selangor Assembly Hall’ (KLSCAH) memberikan reaksi yang negatif dan menganggap keputusan mewujudkan TERAJU sebagai tindakkan yang menyimpang jauh dari NEM yang diumumkannya tahun lepas. Pada pihak ini Najib belum lagi membuktikan yang beliau benar-benar mengumumkan sesuatu yang belum tentu mahu dilksanakannya.

Penyakit mengubah haluan sebelum melaksanakan perancangan yang telah diumumkan memang menjadi perkara yang sangat lazim bagi Najib. Tidak tahu pula kenapa beliau tidak dianggap sebagai seorang flip-flop sebagai yang dilabelkan terhadap Abdullah Badawi dahulu. Sekarang baru kita jelas bahawa flip-flop itu hanya diperuntukkan untuk Abdullah Badawi sahaja.

Jika pihak lain flip-flop ianya tidak menjadi isu. Dr Mahathir telah flip-flop dari Ulta Melayu menjadi Melayu Liberal semasa menjadi PM sekarang kembali menjadi Ultra sesudah bersara itu tidak flip-flop. Itu perjuangan namanya. Jika zaman Dr Mahathir UMNO itu parti yang baik tetapi setelah beliau bersara UMNO itu adalah parti ‘contract’ dan parti ‘AP’.

Puluhan ribu AP yang dikeluarkan oleh MITI dan ratusan kontrak-kontak mega yang dirunding terus dengan kontaktor-kontraktor yang besar-besar semasa beliau menjadi PM dahulu itu tidak ditakrifkan sebagai ‘UMNO parti AP dan contract’. Itu dinamakan sebagai usaha pembangunan. Dr Mahathir seperti Kamal Attartuk mempunyai sikap ‘don’t do what I do; just do what I ask you to do’.

Tahun lepas Najib telah memngumumkan pemansuhan dasar 30 peratus penyertaan Bumiputra untuk mengelakkan negara terjebak dalam kononya ‘middle-income trap’ dan ianya bermakna tidak ada lagi keistimewaan dan semangat NEP yang telah banyak membantu usaha untuk penyertaan yang ‘equitable’ dikalangan berbilang kaum dinegara ini.

Sekarang ini wujud pula TERAJU yang belum pun dinyatakan segala pelan yang sedang difikirkan oleh TERAJU untuk Bumiputra, kita sudah menghadapi reaksi negatif dari banyak pihak. Orang Melayu ini nampaknya seolah-olah satu bangsa yang terlalu malang kerana sentiasa tersepit dalam semua keadaan.

Bermacam-macam perancangan yang diumumkan untuk orang Melayu ini tetapi perancangan itu kadangkala dibatalkan kadangkala timbul kembali. Teringat pula saya kepada ‘TV Commercial’ biskut chocfudge; kadangkala ada kadangkala tak ada. Hanya yang kita berharap segala af’al tuhan ini akan membawa hikmah kepada bangsa kita ini pada masa-masa yang akan datang.

Sebagai seorang Melayu saya nampak situasi begini; orang Melayu bukan sahaja disaingi oleh bangsa-bangsa lain tetapi disaingi oleh kerajaan yang dipimpin Melayu ini. Kerajaan yang menyaingi orang Melayu dan apabila Melayu gagal pemimpin kita menyalahkan orang Melayu pula.

Semua agensi kerajaan menyaingi Bumiputra. Semua ‘public companies by guarantee’ yang sekarang dinamakan GLCs menyaingi orang Melayu dan Bumiputra dalam banyak peluang perniagaan dalam negara kita. GLC setakat ini hanya mampu menaikkan ego beberapa individu sahaja. Ketua-ketua eksekutif GLC merupakan kumpulan elit yang kecil yang tegulung kedalam kumpulan ‘the rich and the famous’ hasil dari kedudukan mereka didalam syarikat kepunyaan rakyat itu.

Tugas dan fungsi mereka untuk memajukan syarikat-syarikat tersebut tetap tidak tercapai dan dasar untuk memindahkan pegangan-pegangan pemilikan itu kepada Bumiputra tetap belum diselesaikan. Walaupu telah diumumkan yang beberapa syarikat akan disenaraikan diPasaran Saham tetapi belum lagi sehingga kehari ini kerajaan membayangkan bagaimana caranya untuk mengekalkan pegangan itu ditangan Bumiputra.

Pembahagian harta kekayaan negara tidak selesai dengan hanya menyenaraikan saham-saham syarikat yang terbesar secara ‘direct’ kerana pencapaian pegangan Bumiputra dikatakan hanya 18.7 peratus sahaja. Pertamanya orang Melayu masih lagi tidak berkemampuan untuk membeli saham-saham yang diperuntukkan melalui Kementerian Perdagangan dan Perindustrian dengan pengkalan pegangan jangka masa yang panjang.

Itulah sebabnya saya selalu mengatakan yang usaha yang serius dan yang mempunyai ‘consequence’ yang besar ialah pentadbiran ‘pre-Mahathir’ sahaja. Pegangan Bumiputra yang hanya sebanyak 2.7 peratus telah berkembang kepada 18.4 peratus pada tahun 1984 dahulu. Tetapi apabila ekonomi negara dipacu oleh Daim Zainuddin yang dilantik oleh Mahathir pada Jun 1984 dahulu tidak berdaya untuk meningkatkan pegangan hak milik oleh Bumiputra dan dari 1984 sehingga ke hari ini kerajaan pimpinan Mahathir dan seterusnya hanya mampu untuk menambah 0.3 peratus sahaja. Bagaimana hndak kita katakan yang Mahathir dan pimpinan seterusnya berjaya untuk mencapai matlamat unggul DEB dahulu iaitu untuk mencapai keharmonian kaum yang ‘ultimate’.

Yang berjaya hanyalah segelintiran rakan-rakan pemimpin yang istimewa yang dibantu oleh pimpinan kita sehinggakan mereka menjadi orang-orang yang terkaya tanpa usaha yang gigih. Usaha gigih puak-puak ini hanyalah untuk menjaga pucuk pimpinan yang berpengaruh dan jika budaya ini masih berterusan maka kita akan mempunyai penduduk yang kaya bertambah kaya dan yang miskin bertambah miskin.

Yang pasti hasil dari pengabaian dasar yang telah terbukti membawa faedah kepada rakyat itu maka jurang pendapatan diantara kaum dan sesama kaum terutamanya dikalangan orang Melayu bertambah melebar dan tidaklah menjadi satu perkara yang mengejutkan jika rasa tidak puas hati di kalagan rakyat itu bertambah meruncing dari masa kemasa.

Kejayaan dasar yang baik ini tentulah memerlukan pengorbanan. Apakah pengorbanan itu? Jawapannya ialah pemimpin dan perlaksana tidak mempunyai kepentingan dalam projek pembagunan negara. Tetapi oleh kerana masing-masing mahukan kekayaan yang luar biasa maka mereka terpaksa mencuri di sana sini dan seterusnya menggagalkan semua perancangan walau secantik mana pun perancangan itu di atas kertas.

Tidak akan membawa kejayaan apa-apa dasar pun jika dasar itu dikotori dengan rasuah yang mementingkan saku dan kantung pemimpin-pemimpin kita sahaja. Ratusan billion ringgit wang yang didapati dengan menyalahgunakan kuasa telah masuk kedalam bank-bank luar negara dan pengaliran wang negara dan rakyat keluar negara itu jugalah penyumbang terbesar kepada masalah kewangan negara yang tidak baik pada hari ini.

Kalau segala perancangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri bulan-bulan dan tahun-tahun yang lepas tidak berjaya maka kita tidak boleh yakinkan diri kita yang kali ini penubuhan TERAJU yang diumumkan beliau minggu lepas akan berjaya. Pengumunan itu tidak lebih dari ‘window-dressing’ untuk pilihanraya umum yang akan datang dan tidak lebih dari itu.

Tetapi rakyat tidak boleh bersuara dengan lantang kerana kumpulan pembodek dan pengampu kepada mereka yang berkuasa bertambah dari masa ke masa dan dari hari ke hari, bulan dan tahun-tahun yang akan datang.

Mereka mungkin kekal selagi mereka didokong oleh mereka yang berkepentingan dan menghalalkan segara cara untuk mendapatkan keuntungan peribadi semata-mata.

Lepas TERAJU ini apa pula yang akan diumumkan? Wallahu alam.

13 February 2011

Kalau BN tidak mendapat kemenangan 2/3 Muhyiddin akan jadi PM lebih awal

Kegagalan Abdullah Badawi untuk memimpin parti dan kerajaan menyebabkan BN tidak mampu untuk mendapatkan kemenangan 2/3 didalam Dewan Parlimen dalam pilihanraya umum yang lalu. Hasilnya Abdullah terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dengan ‘sedikit’ imbuhan dalam bentuk tanah yang bernilai puluhan juta ringgit di Kuala Lumpur sebagai ‘ganti-rugi’ kerana meletakkan jawatan.

Orang nombor duanya Najib naik menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO serta Pengerusi BN peringkat nasional. Abdullah telah mendapat tekanan yang begitu besar sehinggakan beliau terpaksa berfikir dengan mendalam yang akhirnya membawa beliau mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Setelah beraku sedikit ‘golden hand shake’ beliau meletakkan jawatan dan Najib Razak mengambil alih jawatan beliau. Apa yang penting kita ketahui ialah perletakkan jawatan itu adalah hasil dari penolakkan yang jelas oleh rakyat terhadap BN pimpinan UMNO sehinggakan BN hampir-hampir tumpas dan hanya mampu untuk memerintah dengan ‘majority’ yang tipis di Dewan Parlimen Persekutuan.

Lain-lain perkataan jika seseorang Perdana Menteri tidak mampu untuk mendapatkan sokongan 2/3 di Dewan Parlimen maka pada bila-bila masa sekali pun Perdana Menteri wajar meletakkan jawatan kerana ‘precedent’ ini telah dimulakan dengan perletakkan jawatan oleh Abdullah Badawi. Seandainya BN menghadapi keadaan yang sama didalam pilihanraya yang akan datang maka Najib akan terpaksa meletakkan jawatan sebagai PM seperti yang dilakukan oleh Abdullah Badawi 2 tahun yang lepas.

‘Game plan’ perletakkan jawatan bagi Abdullah Badawi dahulu adalah untuk mempercepakan kenaikkan Najib, dan usaha untuk memberikan tekanan kepada Abdullah meletakkan jawatan dilakukan oleh Muhyidin Yassin. Muhyiddin menjadi orang kuat menekan Abdullah untuk mengundurkan diri kerana jika Najib naik ke kerusi Perdana Menteri beliau sendiri menagih jawatan Timbalan PM kepada Najib walaupun beliau belum tentu untuk menjadi PM kerana Najib adalah 6 tahun lebih muda darinya.

Yang penting beliau mesti menjadi Timbalam PM kerana jika ada apa-apa yang berlaku kepada Najib beliau sudah bersedia untuk mengambil alih jawatan yang disandang oleh Najib itu.

Akhir-khir ini tidak kurang juga ramainya rakan-rakan di dalam UMNO membuat andaian yang jika Najib tidak berupaya mendapatkan kemenangan 2/3 didalam pilihanraya yang akan datang maka Muhyiddin akan mengambil tempat Najib kerana kegagalan mempertahankan majoriti 2/3 atau untuk mengembalikan kemenangan 2/3 itu merupakan satu kegagalan kepada Najib.

Malahan sudah nampak tanda-tanda dari perbualan penyokong-penyokong pimpinan ingin melihat BN untuk memenangi pilihanraya kali ini dengan hanya mendapat majoriti yang mudah bagi memudahkan Muhyiddin mengambil alih kepimpinan negara seperti Najib mengambil alih dari Abdullah Badawi dahulu.

Saya difahamkan yang ada pemimpin veteran yang berkepentingan untuk melihat Muhyiddin mengambil alih kepimpinan UMNO dan negara kerana jika keadaan itu berlaku maka mudah baginya untuk menempatkan ahli keluarganya menaikki tangga kepmpinan negara kita.

Jika apa yang saya dengar itu benar maka usaha untuk memantapkan UMNO itu sudah pasti tidak akan mendatangkan apa-apa munafaat bagi parti ini. Mengikut apa yang didengar mendesak Najib untuk meletakkan jawatan akan lebih mudah jika BN mendapat majoriti yang simple seperti apa yang dialami dalam pilihanraya yang lalu.

‘Game plan’ setengah pihak didalam UMNO ini sebenarnya amat merbahaya bagi BN kerana jika silap perkiraan maka UMNO dan BN akan menghadapi kemungkinan menerima kekalahan hasil dari politiking yang tidak sihat di kalangan pemimpin-pemimpin serta ahli-ahli parti kita sendiri.

Bagi pihak yang ingin melihat perkara ini berlaku telah mula bercakap tentang kegagalan Najib untuk melaksanakan pelan-pelan pembangunan yang diumumkan oleh beliau kepada umum. Kumpulan ini nampaknya lebih suka jika pelan ini gagal kerana ianya akan memudahkan usaha mereka untuk menekan Najib untuk berundur dari memimpin negara.

Baginya isu terhadap Najib itu sangat memenatkan mereka untuk mendapatkan keyakinan rakyat keseluruhannya. Selama ini saya berpendapat isu-isu peribadi Najib dan keluarganya yang heboh diperkatakan itu datangnya dari luar UMNO, tetapi akhir-akhir ini isu ini sebenarnya disuburkan oleh mereka didalam UMNO dan BN sendiri kerana permainan politik dalaman yang sangat kotor dan tidak berfaedah.

Tetapi itulah penyakit yang sedang dihadapi oleh UMNO. Kalau politiking seperti ini masih berlaku maka tidaklah mustahil UMNO akan kecundang dihadapan mata rakyat dalam pilihanraya yang akan datang. Didalam UMNO kini elemen ‘orang Najib’ dan ‘orang Muhyiddin’ nampaknya akan timbul secara beransur-ansur dan ini merupakan satu situasi yang tidak sihat untuk parti.

Jika benar apa yang dikhabarkan itu, maka Najib akan mengambil tindakkan untuk hanya mencalonkan orangnya didalam pilihanraya yang akan datang. Untuk memberi alasan bagi menggugurkan seseorang penyandang itu adalah perkara yang mudah kerana keseluruhan mereka yang sedang menyandang di kerusi Parlimen dan Undangan negeri ada masalah masing-masing.

Alasan rasuah dan salah gunakuasa merupakan alasan yang paling mudah bagi Najib untuk menurunkan sesiapa sahaja yang sedang menyandang itu.

Lagi pun Najib mempunyai hak untuk menentukan sesiapa yang boleh atau tidak boleh bertanding kerana janji beliau untuk menurunkan ‘winnable candidates’ itu akan tetap dilaksanakan. Najib mempunyai hak untuk memastikan yang pemilihan calun didalam pilihanraya kali ini adalah dari mereka yang setia kepada beliau.

Saya kehilangan seorang lagi sahabat

Saya seisi keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga kepada sahabat saya yang saya kenali sejak 1981 dahulu, YB Dato' Zaharudin Kasim yang telah menghembuskan nafasnya yang terakhir petang semalam setelah berada di dalam keadaan kesihatan yang uzur sejak beberapa lama.

Kepulangan beliau menambahkan bilangan sahabat-sahabat seangkatan yang telah pergi buat selama-lamanya dan ini membayangkan kepada sesiapa yang seangkatan dengan saya itu sudah jauh masuk ke dalam usia yang menghampiri ke penghujungnya. Hanya kita tidak tahu saat dan waktunya bila kita akan dipanggil oleh Maha Pencipta kerana masa dan ketika kita dipanggil itu adalah hakNya semata-mata.

Saya hanya bertemu beberapa kali sahaja sejak beliau kembali ke Pahang kerana dipiih untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang yang mewakili DUN Kerdau sejak pilihanraya umum yang lalu dan Zahar sentiasa memberitahu saya bahawa beliau tidak sesihat seperti dahulu. Kali terakhir saya bertemu Zahar ialah semasa beliau dimasukkan ke rumah sakit di Kuala Lumpur tahun yang lepas.

Kesihatan beliau mula terganggu sejak kematian isteri beliau beberapa tahun dahulu dan beliau adalah seorang sahabat yang tidak pernah lupa kepada kawan-kawan dan saya tidak pernah mengalami rasa kecil hati dengan beliau kerana beliau adalah seorang yang mudah memahami jiwa sahabat-sahabat yang hampir dengan beliau secara peribadi.

Marilah kita bersama-sama sujud, bertawajjuh serta bertawassul ke hadzirat Allah swt mendoakan roh beliau agar berada sebaris dengan roh-roh para aulia dan ambia seterusnya dicucuri rahmat dari Allah swt serta syufaat Rasullallah saw.

Al-fatihah.

10 February 2011

Kalau tidak perlu tongkat lagi, jangan dibuang - Elok disimpan untuk masa depan

UMNO tidak lagi mempunyai ‘privilege’ untuk mendapatkan sokongan secara otomatik dari orang Melayu seperti yang pernah dialaminya dulu-dulu. Sekarang orang Melayu mempunyai pilihan kepada UMNO. Apa pun yang dikatakan untuk menafikan keadaan ini orang Melayu ada PAS dan PKR dan DAP pula sudah mula mendapat tempat di hati ramai orang Melayu. Ini hakikat dan sesiapa mempunyai hak untuk menafikannya jika semata-mata untuk menyejukkan hati sendiri.

Maka kita sudah mula nampak yang UMNO sedang berusaha untuk mengembalikan sokongan orang Melayu dengan beberapa langkah mutakhir ini yang diambil oleh pucuk pimpinan, PM Najib. Samada langkah-langkah mutakhir ini berjaya dilaksanakan bergantung kepada masa dan kemampuan pimpinan kita untuk merealisasikan pencapaian yang disebutkan didalam perancangan yang diumumkan sehari dua yang lepas.

Tetapi hikmah yang kita dapati dari desakankan kuat rakyat jelata yang kini sudah celek membuatkan UMNO terkial-kial untuk melakukan apa yang sepatutnya dilakukan sejak 3 dekad dahulu. Bak kata perbilangan Inggeris, ‘It’s better late than never’ dan bagi seorang rakyat seperti saya dan ramai yang lain tetap akan memerhati dan meneliti perlaksanaannya, samada benar seperti yang dirancangkan atau hanya sebagai retorik biasa yang menjemukan seperti yang selalu kita dengar sejak satu dua dekad yang lalu.

Dengan keadaan ini, kita telah mula melangkah kearah sistem 2 parti yang pada saya akan menjadikan politik negara lebih matang dan memberikan peluang kepada rakyat untuk memilih yang mana satu yang dianggap lebih baik diwaktu pemilihan dilakukan oleh rakyat. Dahulunya kita selalu mendengar alasan pihak UMNO dan BN menyeru rakyat untuk memberikan kesinambungan kepada pemerintahan UMNO dan BN kerana ‘continuity’ itu penting untuk tidak mengganggu pelan pembangunan yang dirancang terganggu jika kuasa diberikan kepada pihak yang lain dari UMNO dan BN.

Alasan itu sudah tidak lagi diterima rakyat terutamanya dikalangan rakyat yang masih muda dan belia kerana banyak yang dirancang oleh pihak kerajaan telah gagal semasa peringkat perlaksanaan dan ‘delivery’nya. Kita selalu gagal apabila sampai ke peringkat perlaksanaannya. Rakyat merasakan sudah puluhan kali peluang itu diberikan kepada UMNO untuk terus berkuasa tetapi kuasa yang diterima itu selalunya dikotori oleh kegiatan rasuah dan sebagainya sehinggakan segala yang dirancang itu tidak ada yang berjaya dilaksanakan dengan sempurna. Pemimpin kita selalu mengambil kebaikkan dan timbang rasa rakyat terutamanya orang Melayu sebaga kelemahan yang boleh dipandang remeh dan enteng sahaja.

Disinilah UMNO dan BN selalu menghadapi kegagalan kerana melakukan rasuah sudah menjadi perkara yang lazim dan masing-masing tahu yang masing-masing itu melakukan kerja yang tidak semenggah itu. Tetapi oleh kerana masing-masing mempunyai rekod yang sama yang diketahui oleh masing-masing maka tiada siapa yang akan dapat mengambil tindakkan kepada sesiapa dikalangan mereka untuk membetulkannya. Maka budaya it uterus sahaja berkembang dengan tidak ada siapa yang boleh mengawalnya.

Ramai berharap dengan pengumuman apa yang dinamakan TERAJU oleh PM Najib semalam akan membawa suatu yang baik bagi meneruskan usaha menjayakan program ‘social dan economic engineering’ sejajar dengan semangat untuk mengimbangi pegangan dan pengaruh ekonomi dikalangan rakyat dan diantara kaum yang senget sebelah sekarang ini. MCA nampaknya tidak bersetuju dengan program ini kerana parti itu mahukan segala-galanya diberi samarata tanpa mengira kaum.

Saya secara peribadi berharap TERAJU akan tahu apa yang patut dilakukan. Jangan pula kali ini apa yang diumumkan oleh PM itu gagal lagi seperti kegagalan semua perancangan yang diumumkan sejak beberapa bulan yang lalu. Kita takut jika PM hanya menumpukan sepenuh masa membuat perancangan tetapi tidak ada satu pun yang berjaya disempurnakan.

TERAJU masih dalam peringkat pengenalannya dan saya beranggapan ianya adalah pengganti kepada Unit Penyertaan Bumiputra yang telah diluputkan oleh kerajaan sejak Dr Mahathir mengambil alih jawatan PM dahulu.

Masih belum diberitahu apa kah langkah-langkah berkesan untuk mengimbangi pembahagian kekayaan negara dikalangan rakyat berbilang kaum dinegara ini. Katanya lima syarikat kepunyaan kerajaan akan disenaraikan diBursa Saham K Lumpur untuk perlaksanaan awal TERAJU ini. Hanya yang belum diberitahu bagaimana kah cara dan kaedah untuk pengekalan saham-saham tersebut ditangan Bumiputra.

Saham-saham yang dipegang oleh Bumiputra melalui pengagihan dari Kementerian Perdangan dan Perindustrian ini selalunya menghadapi masalah ‘redemption’ yang tinggi yang akhirnya menguncupkan pegangan Bumiputra didalam syarikat-syarikat yang disenaraikan diBursa Saham Kuala Lumpur. Walau bagaimana kita tidak boleh membuat penilaian kepada TERAJU ini masa sekarang. Kita berharap kali ini ianya benar-benar dilaksanakan dengan baik dan keuntungan yang jelas bagi Bumiputra yang masih memerlukan tongkat lagi.

Jika ada pihak yang hendak membuang tongkat itu silalah. Bagi kami yang ramai ini masih inginkan tongkat itu. Jika kami tidak memerlukan tongkat itu lagi nanti, kami tetapi tidak akan membuangnya. Kami akan simpan tongkat itu, kerana mungkin suatu hari nanti kita akan memerlukannya lagi.

Kita jangan bersikap bongkak dan takbur dengan mengatakan kita tidak perlukan tongkat lagi semata-mata ada pemimpin kita yang mahukan tongkat itu dibuang selama-lamanya.Kalau kita imbas kembali sejarah, pemimpin inilah yang menggunakan tongkat untuk 'bail-out' perniagaan anaknya dengan menggunakan wang rakyat melebihi RM 1 billion kerana kerugian yang dialami oleh anak kesayangannya dalam perniagaan perkapalan.

Pendeknya rakyatlah yang telah berkorban untuk anaknya berniaga sehingga menjadi 'multi-millionaire' sekarang ini.

07 February 2011

Shuhaimi dituduh menghasut - Kenapa Dr Mahathir, Anwar Ibrahim, Sanusi Joned. Najib dan yang lain tidak dituduh?

Ahli Dewan Undangan negeri Sri Muda Shuhaimi Shafiei hari ini dihadapkan ke mahkamah kerana tuduhan ‘seditious’ terhadap ke Bawah Duli Tuanku Selangor melalui halaman blognya semasa Selangor menghadapi krisis perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini.

Beliau dituduh dibawah seksyen 41(1)(c) yang membolehkan beliau dipenjara tidak kurang dari 3 tahun dan denda tidak melebihi RM5000. Shuhaimi setakat yang saya ingat merupakan ahli Legislatif yang pertama berhadapan dengan tuduhan seperti ini.

Bagi saya jika benar Shuhaimi melakukan kesalahan itu maka beliau wajar menerima apa-apa hukuman setimpal jika beliau didapati bersalah mengikut lunas-lunas undang-undang. Itulah gunanya undang-undang diwujudkan untuk melindungi pihak-pihak yang wajar dilindungi dan memberikan hukuman kepada sesiapa yang menyalahi undang-undang yang digubal oleh mana-mana Dewan Legislatif di negara ini.

Tetapi apa yang memusykilkan saya ialah kenapa undang-undang itu dikuat kuasakan hanya kepada Shuhaimi dan hanya sekarang sahaja baru pihak yang berwajib begitu tangkas dan cepat menghadapkan Ahli Dewan Undangan negeri itu ke muka pengadilan?

Saya bertanya soalan ini kerana semasa krisis perlembagaan yang paling hebat pada 1993 dahulu banyak lapuran polis telah dibuat terhadap ramai pemimpin UMNO termasuk Dr Mahathir, Abdul Ghaffar Baba (Allahyarham), Hanafiah Man dari Alor Setar, Anwar Ibrahim, Najib Tun Razak, Nazri Aziz, Sanusi Joned, Utusan Melayu, Berita Harian dan ramai lagi individu-individu yang telah menghina Raja-Raja Melayu masih belum diambil tindakan?

Utusan Melayu telah menyiarkan berita yang Ke Bawah Duli Yang DiPertuan Besar NS Almarhum Tuanku Jaafar telah menyewakan tanah Baginda untuk membela babi di Lukut yang merupakan fitnah yang tegar dan menghina kedaulatan seorang Raja Melayu?

Semasa itu pemimpin-pemimpin UMNO kesemuanya telah membuat kenyataan-kenyataan ‘seditious’ dan disiarkan didada-dada akhbar dan dibaca oleh semua rakyat di negara ini. Kalau nak dikira, hampir keseluruhan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Menteri-Menteri UMNO sepatutnya dihadapkan ke mahkamah untuk diadili.

Dalam krisis itu Raja-Raja Melayu dihina dan dinesta oleh pemimpin Melayu dari UMNO sendiri. Tidak pula kedapatan kenyataan-kenyataan yang ‘seditious’ dari pemimpin-pemimpin bukan Melayu dari DAP dan MIC. PAS juga tidak membuat sebarang kenyataan yang menghina Raja-Raja Melayu kerana PAS tidak menyokong pindaan untuk mengurangkan kuasa Raja yang telah diperuntukkan oleh perlembagaan negara.

Jika dibandingkan kenyataan Suhaimi dengan kenyataan menghentam Raja-Raja Melayu dahulu ianya ibarat langit dan bumi. Saya ingin menekankan supaya Dr Mahathir, Anwar Ibrahim dan kalau boleh Sanusi Joned juga dihadapkan ke mahkamah kerana mengetuai UMNO yang telah membuat kenyataan-kenyataan yang sangat ‘seditious’ ketika itu.

Kenyataan mereka itu membayangkan seolah-olah Raja-Raja Melayu itu tidak ada langsung gunanya kepada rakyat dan negara. Pihak yang berwajib tidak boleh melakukan ‘selective prosecution’ kerana itu merupakan tindakan yang tidak adil.

Kenapa ada pihak yang terselamat dari tindakan undang-undang sedangkan ada pihak lain yang begitu cepat diambil tindakan walaupun kenyataannya tidak sepedas apa yang diluahkan oleh pemimpin-pemimpin kita semasa krisis perlembagaan yang dicetuskan oleh UMNO itu.

Kepada sesiapa yang sudah lupa atau pun terlalu muda untuk mengingati isu ini pada tahun 1993 dahulu silalah cari akhbar-akhbar perdana sekitar tahun 1993 dahulu.

Banyak lapuran polis telah dibuat terhadap mereka tetapi sampai kehari ini belum lagi diambil tindakan walaupun sudah hampir 20 tahun. Kenapa ahli-ahli politik yang berkuasa begitu kebal dari tindakan undang-undang sedangkan Raja-Raja Melayu dihilangkan kekebalannya.

Kita mesti ingat kepada nasihat Dr Mahathir; Melayu jangan mudah lupa.

04 February 2011

Kalau tidak mahu berubah, rakyat akan mengubahnya.

Hosni Mubarak buat kali pertamanya bercakap kepada media dan semalam beliau telah bercakap kepada ABC TV. Dalam temu ramah dengan ABC Hosni berkata yang beliau sudah bosan memegang tampuk kuasa sejak 30 tahun yang lalu dan ingin bersara dari jawatan yang disandangnya sekarang apabila pilihanraya pada hujung tahun ini tiba. Beliau juga tidak berminat untuk meletakkan anak beliau Gamal Mubarak untuk menggantikan beliau seperti mana yang diwar-warkan oleh setengah pihak.

Hosni juga memberi amaran kepada parti Hisbul Muslimin Mesir akan mengalami ‘vacuum’ kepimpinan yang besar jika beliau meletakkan jawatan sekarang dan meminta pihak-pihak yang menentangnya untuk bersabar dan menunggu pilihanraya yang tidak lama lagi akan diadakan. Hosni Mubarak memberi tahu Barak Obama yang Amerika tidak faham situasi di Mesir dan pemikiran rakyatnya dan adalah tidak wajar jika Obama menekannya untuk meletakkan jawatan sekarang.

Kita tidak ada kena mengena dengan Mesir tetapi nilai dan keperibadian kepimpinan itu memang ada kaitannya kerana nilai kepimpinan itu adalah satu nilai yang universal; yang baik diterima dan yang tidak baik itu dihindarkan. Kalau kita kaji dengan terperinci dengan apa yang disebut oleh Hosni itu, alasan yang diberikan itu adalah alasan yang agak biasa didengar kepada mana-mana pemimpin yang sedang didesak untuk mengundurkan diri.

Kalau disini pihak yang memerintah akan menggunakan alasan ‘continuity’ atau kesinambungan pentadbiran itu penting untuk menjana pembangtunan negara dan rakyat. Tetapi jika dibandingkankan dengan apa yang disebut oleh Hosni itu memang tidak ada bezanya dengan alasan pimpinan kita apabila berhadapan dengan rakyat semasa pilihanraya. Matlamatnya sama; iaitu untuk terus berkuasa.

Tetapi lebihnya Hosni kalau dibandingkan dengan pimpinan kita beliau berikrar yang beliau tidak akan lagi mempertahankan jawatannya semasa pilihanraya pada penghujung tahun ini. Disini pula yang ada sikap itu ialah Datuk Husein Onn yang telah dari awal mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNOnya pada pemilihan berikutnya, iaitu pada tahun 1981.

Datuk Husein, sebagai seorang yang datangnya dari keluarga ‘aristocrat. yang ‘magnanimous’ telah mula merasakan yang beliau tidak mendapat sokongan yang bulat hasil dari kekecohan parti disebabkan isu Dato’ Harun Idris. Dato Harun telah menjadi korban dan telah dikambing hitamkan oleh setengah pihak kerana takut dengan pengaruh Ketua Pemuda UMNO itu dalam politik tanahair. Hasil dari rasa tidak puas hati setengah pihak terutamanya dikalangan Pemuda, maka Datuk Husein telah ditentang jawatannya sebagai Presiden UMNO dalam pemilihan 1978 dahulu.

Syed Jaafar Albar yang ketika itu berusia 62 tahun telah memenangi kerusi Ketua Pergerakkan Pemuda dan kemenagan Jaafar Albar itu merupakan manifestasi jelas tentang pengaruh pemuda yang begitu kuat dan kemenangan Albar itu merupakan isyarat jelas untuk Husein membuat keputusan tentang kepimpinannya.

Tindakkan Sulaiman Palestin menawarkan diri untuk menyaingi Datuk Husein itu adalah hasil dari permainan politik seseorang yang inginkan Husein cepat-cepat bersara. Husein tidak mahukan UMNO itu berpecah kerana beliau, maka beliau mengumumkan dari awal lagi yang beliau tidak lagi berhasrat untuk mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan pada 1981.

Jika Husein masih mahukan jawatan itu memang mudah bagi beliau kerana beliau telah memenangi pertandingan itu dengan majoriti yang besar kerana Hj Sulaiman hanya mendapat sebanyak 125 undi sahaja. Tetapi Husein sanggup berkorban untuk menjaga keutuhan parti dan kiat mesti juga ingat pengorbanan Husein itu adalah disebabkan ada orang yang mahu mengambil kesempatan di air yang keruh itu untuk mengorbankan beliau.

Begitulah sikap seorang pemimpin jika ianya datang dari keluarga ‘aristocrat’ yang ‘magnanimous’ dan beliau tidak bertindak untuk mempertahankan kuasa dengan melakukan berbagai-bagai helah seperti mematikan partinya dan sebagainya untuk terus berkuasa. Tetapi pemimpin yang bercirikan ‘gentleman’ itu sudah tiada lagi dan jika ada pun pemimpin seperti ini tidak digemari oleh UMNO. Pemimpin yang berkualiti ini selalunya akan diketepikan secara sistematik untuk memberikan tempat kepada pimpinan yang agak ‘gullible’ dan ‘ungentleman’.

Apa yang berlaku di Mesir sekarang ialah kekosongan kepimpinan seperti apa yang disebut oleh Mubarak itu. Tetapi kekosongan itu adalah hasil dari kerakusan beliau sendiri yang tidak menunjukkan niat untuk berhenti. Tiga dekad pemerintahannya telah melenyapkan semua benih-benih kepemimpinan dinegara itu sehinggakan tidak ada sesiapa lagi yang layak untuk menjadi pemimpin yang ‘viable’ untuk mentadbir Mesir.

Jika kita kaji dimana-mana negara yang dipimpin oleh seorang pemimpin yang duduk ditampuk kuasa dengan begitu lama sesiapa sahaja yang mewarisi kepimpnannya akan menghadapi masalah yang besar. Presiden Tito dari Yugoslavia telah memerintah negara itu selama 3 dekad dan apabila beliau meninggal dunia negara itu telah berpecah kepada lima wilayah dan telah berlaku peperangan pembersihan ethnik yang begitu menyanyat hati bagi orang yang mimpikan kedamainan.

Hallie Salasie dari Ethiopia telah memerintah negara itu selama lebih dari 3 dekad dan akhirnya negara itu jadi muflis dan kucar kacir. Hanya yang didapati dari peninggalannya ialah hartanya yang melebihi 30 billion dollar.

Romania telah bertindak membunuh ketua negaranya dikhalayak ramai setelah memerintah hampir 30 tahun, dan Indonesia telah menggulingkan Suharto setelah menjadi pemimpin kuku besi selama 3 dekad dan kesemua negara-negara yang mana pemimpinnya bergayut kepada kuasa terlalu lama sememangnya akan meninggalkan kekosongan kepimpinan yang akan memudharatkan negara.

Kita juga hampir menjadi begitu tetapi kita lebih demokratik sedikit dari negara-negara yang disebutkan tadi. Tetapi kesan dari tindakkan Mahathir mengekalkan kuasa sebegitu lama memang banyak meninggalkan ‘vacuum’ kepimpinan dan ianya begitu nyata. Selepas kepimpinan beliau negara tidak lagi berada didalam keadaan yang begitu diyakini oleh rakyat. Ini adalah disebabkan semua mereka yang sepatutnya mengambil alih tempat beliau yang berkepimpinan telah tidak berada didalam kepimpinan parti lagi. Semasa Mahathir meninggalkan Putrajaya, yang tinggal hanyalah Pak Lah dan Najib. Maka bergunalah akar-akar ini kerana tiada rotan yang tinggal lagi.

Yang tinggal bersamanya hanyalah barisan apa yang dipanggil sebagai ‘blind sycophants’ yang hanya mengangguk macam burung balam dan Mahathir memunafaatkan sokongan yang diberikan oleh pemimpin pelapis yang tidak bertulang belakang ini untuk menyambung kuasa yang dinikmatinya tanpa banyak halangan. Tidak ada seorang pun pemimpin yang berkemampuan bersamanya untuk meneruskan kepimpinan ‘viable’ bagi negara ini lagi. Siapa sahaja yang ada didalam hiraki parti itulah yang menerima warisan kepimpinan dan inilah yang kita dapati sekarang ini.

Ramai diantara pemimpin kita hari ini ibarat garam. Garam itu penting untuk mengenakkan masakan, tetapi tidak boleh dibubuh terlalu banyak pula; nanti tidak termakan pula masakan itu. Garam hanya perlu setakat sesedap rasa sahaja, tidak boleh lebih.

Sesungguhnya diMesir, Tunisia dan di Yaman keadaan yang berlaku lebih kurang sama dengan apa yang berlaku disini. Tetapi rakyat disini lebih baik dari di negara-negara yang disebutkan tadi. Mereka lebih suka untuk menolak pimpinan negara melalui undi yang ada kepada setiap seorang satu undi itu. DAN eloklah begitu. Kita tidak akan membudayakan cara yang dilakukan oleh rakyat di Mesir, Yaman dan Tunisia itu.

Kita orang Melayu masih lagi ada sedikit adab dan adat. Hanya kita berharap agar kebaikan orang kita Melayu ini tidak dianggap sebagai kelemahan atau kebodohan. Rakyat tidak bodoh. Hanya mereka mempunyai kesabaran yang lebih. Mereka sedang memerhatikan segala-galanya dengan penuh fokus.

Mereka sekarang sudah tahu yang berkuasa sebenarnya adalah mereka. Mereka tidak rela lagi diperintah untuk membajak sawah seperti kerbau, siang dan malam sedangkan ‘tikus-tikus’ gemuk memakan hasilnya di kepuk padi.

Apa yang dilakukan oleh rakyat Mesir, yaman dan Tunisia itu ialah untuk menghapuskan tikus-tikus yang berkeliaran di merata-rata negara tersebut yang telah membaham segala hasil pembajakkan mereka selama ini. Sekarang mereka mahukan hasil penat jerih membajak itu kembali kepada mereka.

Kita yakin apabila tikus-tikus itu sudah tidak ada lagi hasil padi mereka akan dapat mereka menufaatkan untuk kesejahteraan keluarga setiap rakyat.

03 February 2011

Dr Mahathir bertukar wajah lagi

Isu perkauman semakin hari semakin panas dan ianya dipanaskan lagi oleh pemimpin-pemimpin veteran kita dan yang terakhir ialah oleh Dr Mahathir sendiri. Akhir-akhir ini Dr Mahathir sering memberikan kenyataan yang agak keterlaluan dengan membangkitkan semangat perkauman seperti yang pernah beliau lakukan semasa beliau mengkritik Tunku Abd Rahman setelah beliau (Mahathir) kalah di tangan PAS pada tahun 1969 dahulu.

Semasa beliau kecewa kerana kekalahan beliau pada pilihanraya itu Dr Mahathir telah membangkitkan semangat orang Melayu dengan menuduh yang Bapa Kemerdekaan itu telah melalaikan orang Melayu dan terlalu pro Cina dan bangsa-bangsa bukan Melayu. Kekalahan beliau dalam plihanraya itu membuatkan beliau menuding jari kepada semua orang kecuali pada diri beliau sendiri dengan menyibarkan surat terbuka menghentam Tunku dan menuduh Tunku dengan berbagai-bagai tuduhan yang menyakitkan. Surat terbuka itu telah dihantar kepada semua rakyat semata-mata untuk mengajak rakyat menjatuhkan Tunku.

Sikap ultra beliau telah menjadikan beliau diikuti oleh orang Melayu khususnya ahli-ahli UMNO dan ini merupakan strategi politik beliau yang sangat berkesan baginya. Dr Mahathir mengkritik keras Tunku kerana mewujudkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menuduh Tunku sebagai pemimpin kuku besi dan tidak demokratik. Mahathir menentang ISA dengan kuatnya sehinggakan Tunku terpaksa memecat beliau dari keahlian UMNO. Tetapi Akta itu jugalah yang diperketatkan beliau setelah beliau mendapat kuasa dan ramai dikalangan ahli politik yang tidak sebulu dengannya ditahan dibawah ISA.

Beliau bertindak berdiri diatas pentas PAS semasa pilihanraya Kecil Kapar apabila ADUN Hamzah Alang meninggal dunia. Pada beliau UMNO tidak ada gunanya langsung dan menuduh Tunku meminda undang-undang seperti menukar seluar dalam sahaja. Dr Mahathir menzahirkan perasaan marahnya kepada bangsa Cina yang telah memihak kepada PAS didalam pilihanraya umum 1969 di Kawasan Kota Setar yang telah menyebabkan kekalahan beliau dengan majoriti melebihi seribu undi. Pemimpin PAS yang telah mengalahkan beliau tidak lain dari Mursyidul Am PAS semasa itu, Hj Yusuf Rawa.

Semasa beliau didalam pemecatan beliau adalah orang yang paling hampir dengan pergerakkan pelajar dan salah seorang darinya ialah Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir menggunakan pelajar-pelajar untuk berdemonstrasi dan semasa itulah bermulanya budaya demonstrasi jalanan pelajar-pelajar dan Mahasiswa di pusat-pusat pengajian tinggi. Hubungan Anwar dengan Mahathir memang begitu baik dan Dr Mahathir merupakan orang yang menjadi ikutan Mahasiswa semasa itu.

Kegiatan Mahasiswa hanya dikekang dengan Akta Universiti dan Kolej yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir sendiri setelah Tun Razak melantik beliau menjadi Menteri Pelajaran apabila beliau kembali kepangkuan UMNO pada tahun 1973 apabila beliau diterima sebagai ahli UMNO diRawang setelah permohonannya ditolak oleh semua cawangan UMNO diKedah.

Ramai diantara Mahasiswa yang berdemonstrasi diatas galakkan beliau dan membantu beliau dibalas dengan menyumbat mereka kedalam kem tahanan dikemunting, Perak.

Setelah mendapat mandat dan kuasa yang diberikan oleh parti dan kerajaan Dr Mahathir akhirnya menjadi Perdana Menteri dan imej pro Melayu beliau mulai pudar dan beliau sudah bertukar wajah menjadi seorang pemimpin yang liberal, malahan beliau merasa rimas dengan dasar mengutamakan Melayu sebagai yang diperuntukkan oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB). Beliau tidak lagi selesa dengan dasar memberikan tongkat kepada orang Melayu dan beliau mahukan tongkat untuk orang Melayu dan Bumiputra itu dibuang.

Walaupun DEB belum selesai dilaksanakan kerajaan pimpinan beliau sudah mula menekankan kepada dasar pembangunan jangka panjang tanpa memberikan tumpuan kepada dasar ‘social dan economic engineering’ yang terkandung didalam DEB itu. Unit penyertaan Bumiputra didalam semua bank-bank dan Kementerian-kementerian serta Jabatan-jabatan kerajaan ditutup. Dr Mahathjir mahukan pembangunan ‘express’ yang telah menghasilkan banyak elemen negatif kepada negara dan rakyat.

Yang penting bagi beliau negara mesti dihiasi dengan bangunan yang tinggi-tinggi dan semuanya mesti ditunjukkan sebagai yang terpenjang dan tertinggi serta terbesar didalam dunia. Dengan pembangunan yang tidak terancang projek-projek ‘express’ yang mega-mega telah memaksa kita mengimport ‘capital goods’ yang terlalu banyak hinggakan kos pembinaan sesuatu projek itu telah melibatkan perbelanjaan yang dua atau tiga kali ganda dari harga yang sebenarnya.

Selain dari itu pengimportan ‘capital goods’ yang begitu ‘massive’ telah menyebabkan kejatuhan nilai mata-wang kita dan hasilnya matawang kita telah dirobek oleh spekulator matawang antarabangsa dan krisis kewangan pun melanda negara kita tanpa kawalan.

Oleh kerana pembangunan hendak dilakukan dengan cepat maka proses tender terbuka mula dilupakan dan digantikan dengan proses rundingan terus dan disinilah bermulanuya budaya rasuah yang keterlaluan dan pemimpin-pemimpin kita terlibat dengan penyalaha gunaan kuasa dan rasuah yang begitu besar. Ketirisan yang begitu jelas dalam jumlah yang ratusan billion berlaku dan rakyat sedang membayar segala kos ketirisan pada hari ini.

Subsidi-subsidi kepada rakyat yang memerlukan dihapuskan tetapi segelintiran orang-orang yang teristimewa telah mengambil kesempatan diatas segala pengorbanan rakyat yang ramai ini. Dengan keadaan ini maka timbul pula masalah yang baru; iaitu pengecilan kelas menengah rakyat yang dibina oleh DEB yang telah menampakkan kejayaan sebelum Dr Mahathir mengambil alih tampuk kuasa negara.

Banyak lagi yang boleh diulas tentang isu Dr Mahathir dengan dasar pembangunannya. Tetapi kali ini kita hendak memahami siapa Dr Mahathir yang sebenarnya. Persoalan ini timbul kerana penampilannya yang berbeza dengan keadaan dan masa. Disatu masa beliau seorang yang berjuamg untuk Melayu tetapi dalam masa yang berlainan beliau adalah penyekat kepada dasar-dasar yang membina kemajuan orang Melayu.

Beliau meminta supaya Melayu tidak pakai tongkat. Mungkin elok jika kita tidak menggunakan tongkat itu, tetapi tongkat itu jangan dibuang. Tongkat itu patut disimpan dahulu kerana mungkin tiba masanya kita memerlukan tongkat itu…semula...jadi janganlah dibuang.

Dalam zaman pesaraannya Dr Mahathir kini kembali memakai baju Ultra Melayu, baju yang beliau pernah pakai sebelum mendapat kuasa dahulu. Didalam ucapannya beru-baru ini beliau telah mengingatkan bangsa lain supaya tidak lagi mengingati negara dari mana datuk nenek mereka datang. Ucapan beliau ini membayangkan yang beliau begitu was-was dengan generasi baru ini jika masih mengingati dan menganggap mereka masih menganggap negara dari mana datuk nenek mereka datang dahulu sebagai tempat untuk menempatkan kesetiaan mereka.

Dr Mahathir tidak sepatutnya menyebut isu sensitif seperti itu kerana kita hendak mengelakkan dari generasi muda kaum Cina terutamanya untuk membalas dengan mengingati Dr Mahathir sendiri dengan negara dari mana datuk nenek beliau datang dahulu. Kita tidak mahu memanjangkan isu yang boleh memecahkan keharmonian rakyat negara ini.

Sebenarnya Dr Mahathir seorang yang amat bijak tetapi kebijaksanaan beliau itu tidak dapat dimunafaatkan oleh rakyat yang inginkan perpaduan dan kehidupan muhibbah dalam negara kosmopolitan ini.

01 February 2011

Disini ramai Muslimnya tetapi kurang Islamnya - Disana kurang Muslimnya tetapi banyak Islamnya

Nik Aziz, Mahathir dan Lee Kuan Yew (LKY)adalah nama-nama yang terbabit dengan polimik 3 segi. Dr Mahathir sememangnya berseteru politik dengan LKY ini dan Nik Aziz pula adalah seteru politik dengan UMNO yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir yang melantik diri beliau sendiri sebagai Presidennya yang pertama yang dikenali sebagai UMNO (baru).

Dalam permainan politik Dr Mahathir, beliau menggunakan isu Melayu dan Islam diSingapura sebagai isu untuk menyatukan orang Melayu Islam untuk terus menyokong kerajaan yang memerintah hari ini. Dr Mahathir sentiasa menjadikan orang Melayu Singapura sebagai contoh dan alat untuk menakutkan orang Melayu diMalaysia supaya jangan menerima parti lain selain dari UMNO dan BN jika Melayu masih mahukan masa depan mereka tidak menerima nasib seperti Melayu Singapura.

Secara tradisinya UMNO terutamanya Dr Mahathir telah menggunakan isu 13 Mei sebagai ‘allying factor’ untuk menakutkan orang Melayu dan bangsa lain yang kejadian berdarah itu mungkin akan berulang jika rakyat membelakangkan UMNO dan BN dalam pemilihan untuk mencari pihak mana yang patut memerintah negara ini. Tetapi isu 13 Mei ini sudah terlalu usang dan tidak laku lagi, maka Dr Mahathir menggunakan isu yang dikatakan olehnya yang Melayu diMalaysia akan menjadi Melayu Singapura yang kononya di’marginalized’ oleh kerajaan Singapura.

Tetapi Melayu Singapura sendiri menyatakan rasa puas hati mereka dengan kehidupan diSingapura. Malahan mereka merasakan mereka adalah lebih baik keadaan mereka dari Melayu diSemenanjung Malaysia ini. Mahathir menyatakan yang orang Melayu diSingapura telah dihimpit dengan dasar kependudukkan negara itu dengan mengambil alih tanah-tanah kepunyaan orang Melayu untuk dibangunkan rumah-rumah kediaman untuk semua rakyat disana.

Dr Mahathir membidas Nik Aziz kerana Nik Aziz berpandangan yang Islam Yang dianuti oleh Melayu Singapura adalah lebih baik dari Islam yang diperjuangkan oleh Nasionalis diMalaysia. Mahathir menuduh Nik Aziz sebagai pemecah orang Melayu kerana dengan sokongan Nik Azizlah orang yang dipecat dari UMNO (Anwar) menjadikan Melayu berpecah 3 dalam siasah negara kita.

Segala yang disebut oleh Dr Mahathir dan Lee Kuan Yew sebenarnya adalah semata-mata ‘political statement) yang amat sempit. Semuanya mengambil Islam dalam bentuk ‘form’ semata-mata. Semuanya ada perbahasan masing-asing jika dibahaskan dalam kontek politik semata-mata.

Blog ini pernah menyebut yang kita boleh lihat banyak Islamnya dinegara barat tetapi Muslimnya kurang. Yang tepenting didalam mana-mana agama sekali pun ialah cara hidup mereka (Addin) bukannya dalam kontek ‘form’ semata-mata.

Dinegara seperti negara kita ramai yang Muslim tetapi tidak ramai yang Islamnya. Yang terlebih penting ialah menjaga Islam itu jika kita sudah menajdi seorang Muslim atau dilahirkan sebagai Muslim. Apakah dia cara-cara menjaga Islam itu?

Salah satu dari yang banyak cara menjaga Islam itu ialah mengelak dari mengambil dan memakan rasuah. Tetapi inilah sebenarnya selalu dilakukan oleh orang-orang Muslim dinegara kita. Berkokok pemimpin-pemimpin kita bercakap perihal Islam tetapi mulut yang bercakap tentang Islam itulah yang begitu biasa dengan menjamah rasuah.

Ramai diantara media arus perdana dan alternative dipenuhi dengan isu agama yang dimainkan kerana politik. Masing-masing membuka pekong individu-individu yang dibencinya dengan memanggil mereka sebagai anjing, binatang, babi, haram jadah, sial dan berbagai nama lagi yang dilemparkan kepada orang lain kerana perselisihan faham atau pun semata-mata kerana politik berpuak-puak itu. Islam kah ini?

Sampai bilakah kita hanya berjuang untuk meningkatkan ‘form’ semata-mata tanpa ‘content’ ini?. Sampai bila kita yang ramai pula membiarkan dan selalu bersubahat dengan perasuah dan menyokong pihak yang melakukan rasuah sebegitu besar? Islamkah kita ini? Adakah sudah pasti kita mendapat syurga jika kita menumpang dosa dengan menyokong pimpinan yang rasuah dan tidak bermoral itu.

Itulah sebabnya dinegara Scandinavia tidak kedapatan rasuah dilakukan dengan sewenang-wenangnya, dan itu adalah tuntutan Islam. Sebenarnya kah negara kita ini sebagai negara Islam jika dinegara ini kedapatan terlalu banyak kes-kes yang menghina Islam seperti membuang bayi yang berlaku saban hari saban minggu? Mayat anak-anak kecil yang baru lahir bergelempangan dimana-mana.

Pembunuhan dlakukan dengan begitu banyak sekali setiap hari dimana-mana. Sumbang mahram sudah menjadi kejadian yang biasa dan tidak dapat dikira lagi. ‘Haruan’ yang memakan anak-anaknya adalah fenomena biasa.

Kenapa perkara ini sering berlaku dinegara kita sedangkan kita adalah sebuah negara Islam? Percayakah atau tidak yang Islam itu mestilah ada didalam sanubari kita? Islam itu mesti berada didalam darah kita yang mengalir didalam tubuh kita. Apabila Islam itu benar-benar mengalir didalam sanubari kita barulah berkat perjuangan Islam yang disebutkan oleh pemimpin-pemimpin kita yang sedang berkuasa dan sudah bersara.

Apabila sanubari kita dikotori dengan memakan rasuah yang haram, tidak mungkin seseorang pemimpin itu mampu memperjuangkan addin Islam itu tadi kerana segala-galanya adalah bergantung kepada naluri yang bersih untuk membina niat yang suci dalam perjuangan Islam itu tadi. Jika terlalu ramai diantara kita yang memakan rasuah bagaimana darah yang kotor yang mengalir didalam tubuh kita hendak memperjuangkan Islam itu?

Naluri yang kotor tadi tidak akan mampu menghalang seseorang itu dari melakukan perkara-perkara yang haram sepertu rasuah dan sebagainya. Bayangkan jika ramai diantara kita khususnya pemimpin-pemimpin yang memakan hasil rasuah bagaimana nak dikatakan Islam dinegara ini lebih baik dari Singapura dan negara maju yang lain.

Jika kita hendak memperbandingkan negara mana yang lebih baik Islamnya, cuba kita bertanya negara mana yang lebih dan negara mana yang kurang rasuahnya? Negara mana yang ramai melakukan sumbang mahram dan yang mana yang kurang berlakunya perkara-perkara seperi itu? Dimanakah lebih banyak berlaku rompakkan dan yang mana yang kurang berlakunya perompakkan itu?

Saya lebih cenderung untuk meyakini yang Singapura lebih berjaya memperjuangkan kebersihan pentadbirannya tanpa rasuah yang keterlaluan dan itu adalah kejayaan memenuhi tuntutan Islam.Cuba kita lasakkan mulut kita sedikit; diantara Singapura dan Malaysia negara mana yang lebih banyak kegiatan membuang jenin didalam tong-tong sampah dan longkang-longkang atau dimana-mana?

Sesungguhnya baik atau buruknya Islam dilihat dianatara dua negara ini berpaksikan kepada cara dan addin Islam itu. Jika kita adalah seorang Muslim tidak semestinya kita adalah seorang yang Islam. Islam itu berada didalam diri kita sendiri. Jika kita penuh dengan noda dan dosa dan sentiasa melakukan perkara buruk seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa itu kita belum lagi seorang Islam walaupun kita adalah seorang Muslim.

Itulah sebabnya dinegara maju seperti diEropah dan Jepun kita banyak melihat elemen Islam itu walaupun tidak ramai Muslimnya tetapi dinegara kita walaupun ramai Muslimnya tetapi Muslim-Muslim inilah yang memperkosa Islam dengan begitu nyata sekali.

Rami diantara kita hanya memakai baju Islam tetapi didalam baju itu terselindung kebathilan yang tidak terhingga besarnya. Perjuangkanlah Islam itu dengan sebenar-benarnya. Islam bukan setakat selesai dengan formnya sahaja. Perjuangkan Islam itu untuk mencari jalan yang membina addin agama itu dengan sebenarnya.

Pejuang Islam tidak akan tertipu dengan ketakutan untuk berkata benar dan tidak akan bersama-sama menutupi dan melakukan kesalahan yang bertentangan dengan segala tuntutannya. Melindungi rasuah oleh pimpinan kita itu merupakan kerja hina yang ‘unislamc’ dan elok bagi mereka yang melakukannya itu supaya berhenti berkata-kata tentang Islam. Mari kita perbaikki diri kita dahulu sebelum kita berani mengatakan Islam kita lebih baik dari Islam sianu itu.

Dinegara-negara maju, walaupun bukan negara Islam tetapi banyak nilai dan cara Islam itu terdapat disana. Yang terpenting ialah mereka dapat dan berjaya mengurangkan berlakunya kerja-kerja yang tidak digemari oleh Islam itu.

Untuk meletakkan seseorang itu jauh atau dekat dari Tuhannya adalah kerja Tuhan semata-mata. Hanya DIA yang Maha MengetahuiNya.