27 February 2012

Kalau benar selamat, kenapa Lynas bina kilang pemprosesan nadir bumi di Pahang?..bina sahaja lah di Australia

Kerajaan patut membatalkan niat untuk meneruskan pembangunan pemprosesan nadir bumi oleh Lynas Advance Material Plant (Lamp), di Gebeng, Kuantan. Pemberhentian kerja pembinaan ini sepatutnya menjadi isu yang paling besar yang perlu diselesaikan secepat mungkin. Ini merupakan fokus rakyat dan secara keseluruhannya rakyat mahukan kilang pemprosesan nadir bumi di tutup serta merta.

Kerajaan patut merasakan denyut jantung rakyat dan tidak boleh mengambil ringan terhadap isu ini semata-mata kerana kepentingan beberapa orang yang berpengaruh di negara ini atau di Pahang khususnya. Biarlah berpuluh billion pun pendapatan yang di katakan akan diperolehi oleh negara, tolaklah operasi kilang pemprosesan nadir bumi ini. Carilah jalan atau perniagaan yang lain untuk dibina di Pahang ini bagi membangunkan negeri itu. Biarlah pembangunan sesebuah negeri itu tidak di cemari dengan bahaya pencemaran yang sangat merbahaya ini.

Nadir bumi yang dibawa masuk dari Australia ini membawa banyak persoalan yang mudah mendapat jawapannya. Kita tidak tahu apa sebenarnya penyebab yang kerajaan berkeras untuk meneruskan usaha pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi ini. Apabila nadir bumi dibawa masuk ke negara ini, sedangkan Australia yang mempunyai negara yang sangat besar itu mempunyai 2/3 keluasan bumi mereka yang tidak boleh didiami itu tidak mahu membina kilang pemprosesan nadir buminya sendiri.

Kalau Australia yang mengeluarkan nadir bumi itu tidak sanggup untuk membina kilang pemprosesan itu, kenapa negara kita yang sekecil ini sanggup menerima ‘export’ barangan merbahaya ini ke negara kita? Jika Lynas Australia mengatakan yang kilang itu selamat dan tidak akan mengeluarkan radiasi diudara kita, kenapa mereka mahukan dan berkeras untuk membinanya di Kuantan? Kenapa sanggup berbelanja berbillion-billion ringgit untuk mengeksportnya ke Kuantan dan menyebabkan rakyat kita keluh resah dengan kehadiran kilang ini di Gebeng?

Saya difahamkan yang tidak ada sebuah negara Afrika pun yang sanggup menerima nadir bumi dari Australia ini kerana mereka tahu dalam jangkamasa panjang ia akan merbahayakan kehidupan rakyat mereka. Dalam ratusan buah negara yang berkerajaan di dunia ini tidak ada negara yang mahukan kilang pemprosesan nadir bumi ini di bawa masuk ke negara mereka. Kenapa pula kita yang bersedia menerimanya? Banyak pendapat yang saya dengar kenapa kerajaan kita sanggup menerima dan membina kilang pemprosesannya di sini. Diantaranya ada pihak yang telah menerima wang besar untuk memudahkan Lynas membina kilang ini.

Kalau ini sebabnya maka ia lagi satu bukti yang rasuah itu boleh menjadikan pemimpin kita hilang pertimbangan dan akan melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral asalkan sahaja mendapat wang yang berkepul-kepul. Sekarang ini kita masih beruntung kerana ada pihak yang sedar dan insaf dan memberikan kesanggupan untuk mengadakan ‘rally’ membantah pembinanaan kilang itu.

Ia menunjukkan aspirasi rakyat yang sebenarnya dan jika kilang ini masih juga di teruskan maka rakyatlah yang akan membuat perhitungan kali ini. Rakyat sedar mereka adalah dari gulungan bawahan dan tidak ada mana-mana lagi negara tempat mereka berlindung. Tidak seperti mereka yang telah menerima wang brkepul-kepul tadi, mereka boleh mencari negara dan tempat lain untuk hidup senang lenang pada masa-masa yang akan datang.

Kita berharap pemimpin-pemimpin yang berkuasa supaya berkorbanlah kali ini untuk rakyat. Jika ada yang telah menerima wang sogokan, pulangkanlah balik kepada empunyanya dan hentikanlah kilang ini. Janganlah berniaga di atas perasaan rakyat. Hormatilah pandangan rakyat kali ini. Kalau selama ini tidak ada perasaan terhadap keresahan rakyat, kali ini belajar-belajarlah untuk berbuat baik kepada rakyat yang sedang terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi ini.

Hormatilah semangat demokrasi kita. Hentikanlah sikap angkuh dan sombong itu sehinggakan tidak mempedulikan perasaan rakyat khususnya disekitar kilang serta daerah-daerah yang bersekitaran kilang ini.

Pergi tanya kepada mereka di Australia itu, jika benar kilang ini selamat kenapa tidak bina sahaja di Negara mereka yang luas itu, yang siap dengan padang pasir yang hampir memakan keluasan 50 peratus dari keluasan negara itu? Kenapa pilih Gebeng? kenapa pilih Malaysia? Mentang-mentanglah di negara ini senang untuk berunding asalkan ada ‘fulus’ janganlah ambil kesempatan di atas kelemahan pemimpin kami di sini.

Himpunan Hijau yang diadakan semalam di Kuantan itu merupakan kemuncak dari rungutan rakyat yang tidak diberikan perhatian oleh pemimpin dan parti yang memerintah. Sekalung tahniah kepada YB Fauziah Salleh, ahli parlimen Kuantan yang telah tidak berhenti-henti memperjuangkan nasib masa depan rakyat Kuantan dan sekitarnya sejak tindakan Lynas ini membina kilang pemprosesan nadir bumi ini diluluskan oleh kerajaan ini.

Semoga YB mendapat hidayah dan sentiasa berada didalam perlindungan Tuhan Maha Esa. YB mesti faham, diakhir zaman ini amat payah untuk memperjuangkan kebaikan. Laluilah kesusahan ini dengan tenang. Hanya kesabaran sahaja yang akan membuahkan kejayaan untuk mempastikan keselesaan dan kesihatan rakyat dan generasi yang akan datang tidak dikorbankan oleh gulungan kapitalis yang tidak berperikemanusiaan ini.

Jika rakyat tidak mahu generasi kita menghadapi risiko yang amat merbahaya ini, hanya satu jalan sahaja untuk mempastikan kilang pemprosesan nadir bumi ini dihentikan, iaitu dengan menolak parti yang menganjurkan projek ini pada pilihanraya yang akan datang.

26 February 2012

Alangkah leganya jika terlepas dari cengkaman 'bapa-bapa ayam' ini

Selepas arahan dari Putrajaya, kini rakyat sedang berhadapan dengan isu berapa kah ‘settlement figure’ yang sebenarnya yang telah ditetapkan untuk penyelesaian diluar mahkamah diantara Tajuddin Ramli dengan MAS. Rakyat ingin tahu kerana semua wang yang terlibat dalam kes ini adalah wang rakyat. Tidak perlu menyalahkan sesiapa termasuk parti-parti pembangkang kerana apa yang berlaku dalam kes ini adalah di sebabkan oleh kelemahan dasar dan perlaksanaan kerajaan.

Semasa Tajuddin mengambil alih MAS dalam proses perlaksanaan dasar ‘pengswastaan’ kerajaan dahulu, banyak pihak telah membuat kritikan terhadap kerajaan pimpinan Dr Mahathir tetapi maklum sajalah Dr Mahathir tidak peduli dengan pandangan ramai kerana beliau berkata pengswastaan MAS itu adalah satu perkara yang ‘necessity’ untuk dilakukan.

Pandangan pihak lain tidak perlu diambil kira. Entah apa sebabnya MAS yang begitu berjaya semasa itu hendak diswastakan sedangkan syarikat penerbangan kepunyaan kerajaan itu sangat maju dan MAS adalah diantara syarikat penerbangan yang ‘premium’ dipesada antarabangsa. Hanya Dr Mahathir sahaja yang tahu kenapa ianya dilakukan.

Kita semua tidak boleh ambil tahu dan lagi pun bekas PM itu sangat kuat sokongan terutamanya dari UMNO semasa itu. Sokongan kuat orang Melayu semasa itu di ambil sebagai kelemahan Melayu dan beliau boleh melakukan apa sahaja walaupun ia bakal merosakkan sebuah syarikat penerbangan yang begitu maju. Tugas orang Melayu khususnya dalam UMNO hanyalah untuk mengangguk sahaja. Apabila datang kerugian besar beliau juga mahukan kita semua mengangguk dan pertahankan kesalahan yang sengaja dilakukannya sendiri.

Begitulah yang berlaku dalam banyak hal pelaksanaan dasar yang tidak menentu itu. Begitu jugalah dengan isu NFC sekarang. Muhyiddin dan ramai pemimpin UMNO menyalahkan pembangkang sedangkan isu ini timbul setalah membaca lapuran Ketua Audit Negara bukannya ditimbulkan oleh pembangkang. Seperti juga dalam kes MAS ini, isu NFC ini bakal membawa padah kepada negara dan rakyat dalam bentuk kerugian wang rakyat.

Sekarang banyak suara yang kita dengar supaya Dr Mahathir memberitahu segala-galanya secara terperinci tentang isu MAS ini. Pertamanya kenapa perlu MAS di swastakan dan kenapa diberikan pengswastaan itu kepada Tajuddin. Kenapa berikan pengswastaan ini kepada Tajuddin yang tidak ada rekod dan pengalaman didalam pengurusan syarikat penerbangan?

Apabila MAS menghadapi kerugian besar maka kerajaan mengambil tindakan untuk melakukan ‘bailout’ terhadap syarikat ini dan mengambil balik MAS dengan membeli sahamnya yang harga yang sama iaitu RM8 sesaham. Lagi sekali rakyat terpaksa membayar segala kerugian ini.

Kerajaan mengambil tindakan mahkamah terhadap Tajuddin dan Tajuddin telah diarah untuk membayar kembali kepada kerajaan sebayak RM580 juta tetapi Tajuddin telah bertindak dengan membuat ‘counter sueing’ terhadap kerajaan sebanyak rm13 billion. Di sinilah persoalan besar timbul. Kenapa Putrajaya mengarahkan supaya isu inidiselesaikan diluar mahkamah. Ini persoalan besar dan pertanyaan banyak pihak ini merupakan satu soalan cupu mas yang bernilai berbillion-billion ringgit.

Adakah kerajaan sudah sedar yang pihaknya akan kalah didalam kes ini dan rakyat akan tahu cerita sebenarnya? Kenapa hendak diselesaikan diluar mahkamah? Kalau hendak selesaikan diluar mahkamah berapakah jumlah yang terlibat, dan siapa yang akan membayar siapa? Adakah tindakan ini semata-mata untuk melindungi nama-nama individu pemimpin yang terlibat mengambil kesempatan dalam proses pengswastaan ini?

Bermula dari pengswastaan inilah MAS sudah menjadi syarikat penerbangan yang begitu kerdil dari pandangan industri penerbangan antarabangsa. Kini MAS hanyalah menjadi ulam dan makan kepada mereka yang sedang mengambil kesempatan ke atas kelemahannya. Kalau tidak masakan syarikat Air Asia yang hanya sedang menunggu untuk ‘bungkus’ boleh mengambil alih pegangan sahamnya yang terbesar didalamnya?

Siapa yang pandai sangat dalam Khazanah Nasional yang boleh merelakan keadaan ini berlaku? MAS ibarat seorang perempuan yang lemah yang boleh diperlakukan oleh ‘bapa-bapa ayam’ untuk dijadikan pelacur bagi kepentingan ‘bapa-bapa ayam’ yang sedang mencari makan dengan apa sahaja cara ini waimma melampaui batas-batas moral dan agama anutannya.

Sekarang Dr Mahathir tidak mahu bertanggungjawa apabila diminta berbuat demikian. Dia menyatakan yang beliau bukan mengetuai MAS dan tidak ada sebab untuk berbuat demikian. Ini merupakan kenyataan yang tidak bertanggungjawab sedangkan keputusan pengswastaan itu telah melalui persetujuan kabinet yang beliau menjadi pengerusinya. Betullah beliau tidak bertanggungjawab tetapi beliau mesti mengambil ‘accountability’ terhadap kes ini.

Saya telah menyebut isu ‘accountability’ ini banyak kali. Dr Mahathir perlu belajar untuk mengambil ‘accountability’ dari kepimpinannya. Lagi pun beliau akhir-akhir ini terlalu banyak membuat komen terhadap pihak lain maka elok Dr Mahathir menjawab persoalan terhadap kredibiliti kepimpinan beliau sendiri.

Di Korea apabila lima orang banduan lepas lari dari penjara, maka yang bertanggungjawab ke atas kelemahan itu adalah ketua pengarah penjara negara itu. Tetapi menteri dalam negerinya meletakkan jawatan kerana mengambil ‘accountability’ terhadap kejadian itu. Begitulah tinnginya nilai etika kepimpinan negara tersebut. Tetapi disini dalam sibuk mengaku yang kita sebuah negara yang akan masuk ke dalam kumpulan negara maju tidak lama lagi, sikap tidak mengambil ‘accountability’ ini masih menjadi budaya kepimpinan negara kita.

Bagi saya, isu penyelesaian isu MAS diluar mahkamah ini perlu dilakukan secara terbuka. Rakyat sudah jemu dengan perlakuan pimpinan BN sejak dua tiga dekad dahulu. Lepas satu isu besar, akan timbul lagi isu yang lain yang tidak henti-henti.

Sampai bila pimpinan kita bersikap seperti ‘bapa ayam’ yang melacurkan rakyat untuk kepentingan wang ringgit dan harta benda untuk keluarga mereka. Kalaulah Utusan sanggup membantu rakyat untuk membetulkan keadaan ini, alangkah baiknya. Tetapi akhbar itu sedaya upaya menutupnya dari pengetahuan rakyat yang ramai.

Sekarang ini terpulanglah kepada rakyat samada mahu terus menjadi mangsa ‘bapa-bapa ayam’ ini atau melakukan sesuatu dari ‘hegemony’ dan cengkaman ‘bapa-bapa ayam’ ini.

Satu lagi isu yang nyata, UMNO tidak mungkin kembali kepada parti perjuangan. Parti ini hanya merupakan parti sebagai modal peniagaan bagi sekumpulan kecil pemimpin-pemimpinnya.

23 February 2012

Budaya vandalisma semakin berkembang

Apabila terfikir kembali tentang isu penyenaraian Felda, saya tidak dapat melihat apa kah sebabnya yang kerajaan mahukan penyenaraian ini dilakukan dalam apa juga keadaannya. Saya tidak faham kenapa setiap badan-badan serta agensi kerajaan yang maju sentiasa berakhir dengan kerosakan.

Dulu MAS merupakan sebuah syarikat penerbangan yang premium jika berbanding dengan syarikat-syarikat penerbangan lain di dunia ini. Oleh kerana MAS begitu berjaya di bawah pengurusan Saw Huat Lai dan kemudiannya dikembangkan lagi oleh Tan Sri Aziz Abd Rahman maka setiap mata mereka yang meleleh air liur telah menjualkannya kepada Tajuddin Ramli. Sejak penyerahan MAS kerpada Tajuddin Ramli MAS telah menjadi apa yang kita lihat pada hari ini.

Dibawah pengurusan Tajuddin, MAS telah kerugian berbillion-billion ringgit sehinggakan kerajaan terpaksa melakukan ‘bail-out’ dengan membeli kembali saham-saham syarikat itu dengan harga yang sama yang dijual kepada Tajuddin sebelumnya. Kerugian yang dialami oleh MAS begitu besar sehinggakan MAS tidak lagi boleh bangun sampai ke hari ini.

Hari ini MAS telah dipergunakan oleh Air Asia, dalam satu ‘share swapping’ yang sangat menyedihkan mereka yang memahami keadaan sebenarnya. Tindakan “share swapping’ ini pula diberikan sokongan oleh pihak kerajaan (Khazanah). MAS mendapat hanya air lelehan dari Air Asia sahaja. Kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana mereka yang telah kita berikan amanah untuk menjaga kepentingan rakyat itu tidak jujur dan hanya memikirkan kepentingan diri mereka sendiri.

Banyak lagi insiden-insiden buruk seperti ini telah dilakukan oleh pihak yang berkuasa. Sekarang ini penjenayah kolor putih ini sedang cuba untuk memerah dan merosakkan Felda pula. Di mana sahaja ada wang yang besar di situlah pemimpin berlumba-lumba untuk mengambil kesempatan.

Sesungguhnya Felda tidak payah disenaraikan terutamanya KPF itu. Jika sungguh niat pimpinan Najib ini ikhlas dan mahukan juga ada penyenaraiannya elok disenaraikan anak-anak syarikatnya yang banyak telah membuat keuntungan besar dalam mana KPF itu sendiri membeli saham dalam syarikat IPO yang baru itu. Ini lebih bermakna.

Tetapi masalahnya niat kenapa hendak menyenaraikan Felda serta koporasinya itu tidak dapat kita bayangkan. Tentulah ada niat yang terselindung hanya diketahui oleh mereka yang mempunyai niat yang tersembunyi itu.

Apa sahaja agensi kerajaan yang membuat banyak keuntungan di situlah ramai pemimpin berlumba-lumba untuk merosakkannya. Kadangkala saya terfikir juga yang pimpinan kita merupakan kumpulan yang suka melakukan vandalisma terhadap semua perkara yang baik dan kukuh yang telah dilaksanakan oleh pimpinan yang terdahulu.

ATAU dalam bahasa kasarnya mereka ini merupakan kumpulan ‘makhluk perosak’ yang tidak ingin melihat kejayaan kepada rakyat dan negara ini. Usahkan hendak membina kejayaan yang baru….yang sudah berjaya pun hendak dirosakkan.

22 February 2012

Peguam UMNO dan bekas Ketua Hakim Negara pula dapat projek besar

Di Malaysia ini semuanya boleh berlaku, kecuali bertanding Presiden UMNO. Rasuah boleh, menyalahgunakan kuasa boleh dan sudah menjadi biasa dan lazim, Pinjam wang kerajaan beratus juta yang sepatutnya digunakan untuk membiayai pemiliharaan lembu boleh digunakan untuk membeli kondominium mewah diseluruh dunia. Pemimpin-pemimpin dan menteri-menterinya boleh menerima komisyen pembelian kapal selam, kapal perang udara serta pembelian kapal perang dilaut. Kalau dikumpulkan jumlahnya mungkin berbillion ringgit, tetapi ia tidak mengapa kerana di Malaysia ini semuanya ‘Malaysia boleh’

Di Malaysia juga yang naik menjadi pemimpin itu ramai yang takut kepada isteri atau yang selalu ditakut-takutkan oleh isteri mereka. Mereka yang tidak takut isteri jarang yang dapat naik ke atas atau tidak naik langsung. Ada menteri susah hendak memberikan ‘appointment’ kepada sesiapa yang hendak berjumpa dengannya, tetapi apabila meminta berjumpa dengan pak menteri itu melalui isterinya, tidak sampai setengah jam menteri itu akan memberikan tarikh dan masa untuk berjumpa itu.

Semuanya boleh berlaku. Maklumlah kita mempunyai slogan ‘Malaysia boleh’. Semuanya boleh kecuali untuk berbeza dengan pimpinan UMNO. UMNO itu ‘supreme’, lebih tinggi dari Raja-Raja, kerana pada tahun 1993 dahulu UMNO telah menelanjangkan Raja-Raja seolah Raja-Raja itu lebih rendah dari manusia biasa seperti saya ini. Hanya sekarang baru kita mendengar UMNO kembali bercakap baik kepada Raja-Raja terutamanya setelah terdesak. Apabila terdesak UMNO akan berlindung di bawah ketiak Raja-Raja pula. Semuanya boleh.

Sekarang timbul pula satu lagi isu dalam lingkungan slogan ‘Malaysia boleh’, iaitu bekas Ketua Hakim Negara bersama peguam UMNO Hafirizam Harun telah dianugerahkan projek lebuhraya bernilai RM2.2 billion pula. Di seluruh dunia khususnya negara-negara maju hakim itu tinggi kedudukannya. Hakim-hakim itu tinggi darjat mereka di dalam hiraki masyarakat. Hakim itu mempunyai disiplin kehidupan harian yang amat tinggi dan ianya akan tetap begitu sehingga akhir hayat mereka. Tetapi oleh kerana slogan ‘Malaysia boleh’ bekas ketua hakim negara kita pun menjadi ahli perniagaan besar dan diberi pula konsessi lebuhraya bertol dilembah kelang.

Jauh sangat rendahnya kredibiliti Jabatan Kehakiman kita sampai bekas ketua hakim negara pun mendapat konsesi lebuhraya bertol. Kalau kita tegur perkara ini akan ada di kalangan penyokong-penyokong UMNO akan memberi jawapan seperti, “hakim pun nak makan juga. Takkan hakim nak jadi peon pula!”. Slogan ‘Malaysia boleh’ ini boleh mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.

Jika kita lihat hakim-hakim di India, England, Australia dan di mana-mana sahaja hakim-hakim tidak terlibat dengan perniagaan. Tetapi oleh kerana di sini perkara ini sudah menjadi biasa maka jika kita kritik isu ini, kita pula dianggap sebagai kumpulan yang salah. Itulah sebabnya saya pernah berkata UMNO ini merupakan agen yang membawa dalil-dalil hari hendak kiamat. Perkara yang salah dikatakan benar dan yang benar dianggap salah. Ini lah sumbangan besar UMNO, iaitu meruntuhkan etika ‘professionalism’ umat Melayu dan ini akan memakan masa puluhan tahun untuk membetulkannya kembali. Itu pun jika pemerintah yang sekarang ini tidak lagi diberi mandat.

Sememangnya pemerintah pada hari ini sudah kehilangan hidayah. Lagi ramai orang mengkritik lagi banyak perkara-perkara sumbang dilakukannya. Pimpinan tidak ada rasa malu dan segan membenarkan perkara seperti memberikan konsessi lebuhraya yang tidak beretika ini dilihat oleh rakyat seluruh negara dan juga masyarakat antarabangsa. Malahan inilah kejadian yang amat tidak senonoh yang dilakukan oleh pemerintah kerajaan yang mengaku sebagai kerajaan yang demokratik dan transparen.

Tidak ada lagi ketua hakim negara bagi negara maju yang mendapat konsessi lebuhraya sejurus selapas bersara dari perkhimatan awam. Bagaimanalah keadaaan negara jika mereka yang mempunyai mentaliti sebegini terus memerintah kita. Apakah yang akan terjadi kepada nasib masa depan generasi kita yang tidak mempunyai hubungan baik dengan mereka yang berkuasa itu?

Kita yang ramai-ramai dibawah ini disuruhnya bertungkus lumus untuk memenangkan mereka dengan bayaran RM500 tetapi apabila berkuasa mereka yang tidak pernah mengeluarkan peluh untuk UMNO pula yang mendapat habuan yang begitu besar. Pendeknya rakyat yang ramai ini diperlakukan seperti buruh kasar tetapi segala keuntungannya diberikan kepada rakan kroni dan yang hampir dengan pimpinan yang mendapat kemenangan tadi.

Kerja keras yang membanting tulang itu adalah kewajipan rakyat tetapi segala labanya adalah untuk kroni dan rakan-rakan mereka yang berkuasa. Orang Melayu dijadikan seperti hampas tebu, habis madu sepah dibuang. Pimpinan sampai hati melihat rakyat yang kebanyakkannya orang Melayu beratur dan berpanas berjam-jam lamanya untuk mendapatkan imbuhan serta upah menyokong mereka dengan RM500 setelah kekayaan mereka diperah dan di hisap oleh mereka yang berkuasa serta kroni-kroni belaan mereka.

Pimpinan tahu, kambing dan lembu yang ditambat itu mesti diberi makan. Maka itulah dia upahnya untuk makan lembu-lembu yang ditambat itu, iaitu wang ‘sogokan’ RM500. Ianya ibarat lembu yang telah membajak sawah seharian dan pulangannya hanyalah rumput-rumput kering yang disabit dan dikumpulkan ditepian laman rumah mereka. Sesekali diberikannya garam untuk menyihatkan tubuh badan lembu-lembu itu. Esok harinya lembu-lembu ini akan bekerja lebih kuat lagi untuk kepentingan tuan mereka yang berkuasa itu.

Dalam pada itu masih ada orang Melayu berbangga dengan kejayaan pemimpin-pemimpin mereka yang telah memerah keringat mereka untuk kepentingan pemimpin-pemimpin sokongan mereka.

Sedih juga melihat gelagat mereka ini, tetapi apa nak buat. Mereka sendiri yang suka dibohongi dan peralatkan pimpinan mereka. Masih ada dikalangan orang Melayu yang bertepuk tangan keriangan apabila pimpinan mereka menipu dan memperalatkan mereka sambil meraut segala harta benda mereka dan dibawa lari. Masih ada orang kita yang masih bersukaria kepala mereka di ‘gomeng-gomeng’ oleh pemimpin sebangsa mereka sejak dua tiga dekad dahulu. Nasib kaulah jang!

21 February 2012

Berniaga buluh kasap: hujung hilang pangkal lesap

Saya terbaca berita yang beberapa veteran UMNO telah bertemu secara tertutup untuk mencari jalan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang Melayu. Diantara yang hadir itu ialah Dr Mahathir Mohammad, Ibrahim Ali, Presiden Perkasa, TS Sanusi Juned, Datuk Khalid Yunus serta beberapa orang kuat Perkasa termasuk ketua wirawatinya dan pemuda kepada pertubuhan yang sangat ‘famous’ itu.

Saya bersetujulah apa yang mereka lakukan itu, tetapi yang saya nak sentuh kali ini ialah mereka yang berjumpa itu ialah dikalangan orang-orang yang telah memecah belahkan umat Melayu dahulu. Bermula dengan tindakan Dr Mahathir menggunakan peguam Sri Ram untuk mematikan UMNO dan terus menyekat usaha sekumpulan ahli UMNO untuk menghidupkan UMNO lama benar-benar telah memecah belahkan orang Melayu. Orang Melayu berada dalam dua kumpulan; yang satu adalah kumpulan yang sayangkan UMNO asal itu dan yang satu lagi kumpulan yang membawa ahli-ahli UMNO ke dalam pertubuhan baru yang bernama UMNO baru.

Dalam perpecahan inilah tersingkirnya Ketua Hakim Negara semasa itu, Tun Salleh Abas yang telah mengambil keputusan untuk membawa semua sembilan orang hakim-hakim Mahkamah Agong untuk menghakimkan kes tuntutan bekas ahli-ahli UMNO untuk menghidupkan parti itu. Dr Mahathir tidak bersetuju kerana beliau mahukan UMNO yang baru untuk menyingkirkan semua pemimpin yang tidak sebulu dengannya.

Maka berpecahlah orang Melayu khususnya ahli-ahli UMNO dalam banyak kumpulan. Selepas itu dipecahkan orang Melayu dengan Raja-Raja mereka dalam krisis UMNO dengan Raja-Raja Melayu dahulu. Sanusi Juned yang merupakan ‘general’ Dr Mahathir merupakan orang yang melaksanakan perintah Dr Mahathir untuk melupuskan UMNO untuk digantikan dengan UMNO yang ada pada hari ini. Salah seorang dari kumpulan itu Dato Haji Khalid Yunus telah membuat kenyataan pedas terhadap Raja-Raja Melayu sehingga tidak ada tolok bandingnya.

Sejak dari itu orang Melayu berpecah belah dan sekarang kumpulan ini jugalah yang berjumpa secara tertutup untuk membetulkan orang Melayu. Saya menganggap tindakan mereka ini tidak akan kemana-mana dan Melayu tetap akan berpecah belah sehinggalah pemimpin-pemimpin jenis ini tidak lagi terlibat dalam UMNO.

Elok ramai-ramai baca kembali akhbar-akhbar perdana seperti Utusan, dan kumpulan NST pada tahun 1993 untuk kepentingan mereka yang tidak berada atau bergiat didalam UMNO semasa itu. Kepada pemimpin seperti Hishamuddin, Shafie Apdal dan yang lain-lain yang tidak pernah menjadi ahli UMNO yang dulu elok baca semuanya ini.

Kepada semua yang garang-garang yang kononnya pejuang Melayu dan UMNO elok memulakan membaca semuanya ini kerana ia akan menjadikan mereka lebih faham kenapa orang Melayu kini berpecah belah. Sekarang orang melayu sudah jemu dengan perpecahan ini, maka mereka sekarang mahu bersatu kembali tetapi bukannya dibawah UMNO. Mereka sudah letih dengan kerenah kepimpinan UMNO yang bercakap tentang perjuangan orang Melayu tetapi sampai sekarang orang Melayu tidak kemana jua.

Tempoh 54 tahun dengan retorik kosong ini sudah cukup untuk orang Melayu bersabar. Jika UMNO diberikan kuasa lagi kali ini dalam pilihanraya sekali lagi isu yang sama akan kita dengari dan begitulah sampai bila-bila.

Akhirnya orang Melayu ini akan masuk angin keluar asap. Berniaga pula ibarat berniaga buluh kasap; hujung hilang, pangkal lesap.

20 February 2012

Budaya samseng : Itulah dalil jelas nak kehilangan kuasa

Hari ini saya mendengar apa yang berlaku di Semberong, Johor malam tadi. Mengikut
laporan, kereta ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, telah dibaling dengan berbagai-bagai objek pada 11.30 malam tadi dan ini merupakan satu budaya yang sedang terbentuk didalam UMNO, iaitu budaya samseng. Budaya memaki hamun dalam UMNO sudah meningkat kepada budaya samseng pula.

Tidak perlu seseorang itu untuk memihak kepada mana-mana pihak tetapi jika benar perkara ini berlaku, maka sahlah UMNO sedang membentuk satu budaya samseng, sebagai satu lagi kaedah untuk menakut-nakutkan orang ramai dari menyokong pihak yang menentang BN. Pelakuan kumpulan yang mengganggu program pihak PR ini adalah satu tindakan yang telah keluar jauh dari moral politik apatah lagi yang melakukan perkara yang tidak bertamaddun ini adalah di kalangan pemuda Melayu.

Tindakan mereka ini dibiarkan sahaja oleh pihak penguatkuasa undang-undang, iaitu pihak polis kita. Politik ini adalah perang psikoloji bukannya peperangan terbuka seperti peperangan tentera diantara dua negara yang bersengketa. Apa yang dilakukan oleh pihak yang menyokong parti pemerintah ini menunjukkan indikasi yang amat jelas, yang parti pemerintah sedang berada didalam keadaan yang panik kerana takut dengan sokongan pihak alternatif yang kian hari kian membesar dan kuat.

Yang amat menjijikkan pihak tertentu tidak dapat menerima hakikat yang mereka adalah seperti telur dihujung tanduk bersabit dengan sokongan rakyat terhadap mereka. Oleh kerana sudah terlalu biasa dengan kuasa sejak berdekad-dekad dahulu, kehilangan sokongan dan kuasa ini amat memedihkan mereka. Sakitnya ibarat memisahkan kulit dengan daging.

Bahagian Semberong ini adalah kawasan yang diwakili oleh Hishamuddin Husein, menteri dalam negeri negara kita. Apa yang berlaku ini memang menjejaskan imej menteri itu, apatah lagi tindakan polis mendiamkan sahaja apa yang berlaku dihadapan mata kepala mereka itu adalah menakutkan kepada sesiapa yang kuat berfikir tentang masa depan anak-anak dan generasi kita.

Setelah kita mencapai kemerdekaan selama 54 tahun, kita masih lagi terbelenggu dengan budaya samseng yang menjijikkan ini semata-mata untuk mendapat kemenangan undi didalam pilihanraya. Kalau beginilah keadaannya, apakah perbezaannya diantara pemerintahan diktator dengan pemerintahan demokrasi? Kalau begini keadaan elok kita haramkan sahaja semua parti dalam negara ini dan kepada siapa yang sedang memerintah, perintahlah negara ini sesuka hati seperti mentadbir reban ayam mak bapak kita.

Bagi saya kelakuan dan gelagat samseng ini adalah kerja yang amat hina sekali dan tidak pula mendapat teguran dari parti mereka. Takkanlah untuk mengekalkan kuasa ahli-ahli serta penyokong parti pemerintah sanggup menjadi kumpulan haram samseng dan mengganggu kegiatan parti lain. Bagaimana kah negara dan rakyat untuk membuat persediaan untuk menjadi rakyat negara maju yang berpendapatan tinggi jika masih terkongkong dengan budaya rakyat negara dunia ketiga. Tidak hairanlah kenapa setangah rakyat kita berpendapat yang negara kita ini adalah negara Zimbabwe atau Congo yang berlainan namanya.

Bagaimana kita boleh mengaku yang negara kita adalah negara yang aman sedangkan samseng-samseng berkeliaran disana-sini untuk memerhatikan segala kegiatan yang asasi bagi rakyat yang inginkan perubahan. Keinginan perubahan yang sedang dilakukan oleh rakyat ini adalah hak mereka. Negara ini bukannya BN yang punya tetapi dipunyai oleh semua rakyat yang berbagai kaum, agama, budaya dan cara hidup mereka.

Sampai bila mereka hendak terus berkuasa dengan menakut-nakutkan rakyat? Pemimpin BN khususnya UMNO nampaknya sudah hilang hidayah sehinggakan cara samseng kini menjadi begitu lumrah. Bulan lepas dua kejadian di mana usaha setengah pihak untuk menganjurkan perkumpulan untuk politik diganggu di Selangor sehinggakan ada yang telah dimasukan ke hospital kerana kecederaan yang di alami hasil dari tindakan samseng ini. Entah apa imbuhan yang mereka dapat dari tindakan samseng mereka ini tetapi ia nyata merupakan satu budaya yang ketinggalan zaman.

Rakyat harus melakukan sesuatu untuk menolak budaya ini. Semua diantara kita tahu bagaimana hendak melakukannya. Kita lakukan penolakan ini dengan cara yang paling berhemah dan kita tidak boleh terikut-ikut dengan budaya samseng yang menjijikan ini. Hanya lakukan sesuatu yang dihalalkan oleh undang-undang didalam peti undi semasa pilihanraya nanti.

Kita ambil tindakan dengan memberikan reaksi terhadap kegiatan samseng ini dengan cara yang terbaik sesuai dengan ‘attribute’ manusia yang merupakan secantik-cantik kejadian Tuhan ini.

Pihak yang cuba membetulkan keadaan ini jangan sesekali menggunakan kata-kata kesat dan tindakan samseng seperti yang dilakukan oleh mereka yang sedang merasa tertekan ini. Kita mesti yakin jika sesuatu pihak itu berkelakuan seperti samseng ini sahaja sudah menunjukkan yang mereka sedang berada dihujung hayat kuasa yang ada pada mereka sekarang ini.

Jika kita dinesta dan dihamburkan dengan kata-kata kesat hanya beristighfar banyak-banyak. Kita tunjukkan perbezaan diantara kita dengan mereka. Perbezaan inilah yang sedang diperhatikan oleh rakyat ramai sekarang ini.

19 February 2012

Debat CSL vs LGE : MCA tunjukkan lagi sikap chauvinisnya

Perdebatan diantara Lim Guan Eng (LGE) dan Chua Soi Lek (CSL)semalam menampakkan sikap serta pandangan MCA dan Presidennya yang ‘flip-flop’. Pandangan Soi Lek jelas menunjukkan lidah bercabang-cabang diantara parti terbesar dalam BN, UMNO dan MCA. Saya tidak tahu mengapa CSL memberanikan diri untuk berdebat dengan topik sistem dua parti atau sistem dua bangsa dengan Setiausaha Agong DAP itu. Dari awal lagi saya telah menelah yang MCA akan gagal untuk meyakinkan orang ramai yang parti itu adalah sebuah parti yang hampir hilang seluruh kerdibilitinya dimata rakyat ramai.

Kita boleh mempelajari beberapa perkara dalam perbahasan ini. Pertamanya ia menunjukkan yang MCA lah yang anti Islam dengan menjadikan perhubungan baik di antara PAS dan DAP sebagai isu besar dalam perdebatan itu. Bagi MCA, PAS itu adalah parti Islam dan kerjasama DAP dengan PAS itu hanya akan menjadikan DAP sebagai keldai politik PAS untuk kepentingan PAS dan Islamnya.

Dengan kenyataan CSL itu maka hilanglah isu DAP anti Melayu dan Islam itu kerana MCA menganggapnya sebagai satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Bagi MCA ia mahukan DAP menolak PAS kerana PAS adalah parti Islam yang didominasi oleh orang Melayu Islam. MCA tidak selesa melihat kerjasama DAP dengan parti Islam ini dan ia menunjukkan yang anti Melayu dan anti Islam itu adalah MCA. MCA masih tidak menyedari yang isu rasis dan agama ini adalah isu yang tidak lagi laku kepada generasi sekarang ini.

UMNO pula selalu menyatakan tentang isu ini bertentangan dengan pandangan MCA. Oleh kerana permainan politik yang dianggap tidak bijak UMNO sebaliknya menuduh PAS diperguna oleh DAP pula. Ini menunjukkan yang parti-parti komponen dalam BN masih mahukan cara mengekalkan kuasa dengan memecah belahkan kerjasama yang terjalin diantara parti-parti dalam pakatan itu.

CSL menggunakan isu kerajaan Perak yang diketuai oleh seorang pemimpin PAS (Nizar) walaupun DAP telah memenangi 18 kerusi dalam pilihanraya yang lalu, sedangkan PAS dan PKR hanya memenangi 13 kerusi. CSL telah cuba membuktikan tuduhan beliau yang DAP diperguna oleh PAS sehinggakan calon PAS telah menjadi Menteri Besar Perak sedangkan majoriti kemenagan itu adalah dari pihak DAP. CSL lupa yang UMNO mempunyai majoriti kerusi di Pulau Pinang semasa BN mentadbir negeri itu sedangkan Ketua Menterinya di wakili oleh parti Gerakan.

Dalam kes di Perak CSL mesti faham yang jawatan Menteri Besar mesti seorang Melayu sebagaimana yang diperuntukkan oleh Undang-Undang tubuh negeri itu maka itulah sebabnya Nizar Jamaludin telah dilantik menjadi Menteri Besar negeri itu sehinggalah BN melakukan rampasan kuasa mengikut pintu belakang dua tahun dahulu.

Dalam kes di Perak itu ia dapat membuktikan yang DAP menjunjung perlembagaan negara dan negeri dan sanggup merelakan seorang Melayu menjadi Menteri Besar walau pun parti itu memenangi kerusi yang lebih dari parti-parti lain dalam komponen PR itu. Oleh kerana itu UMNO, BN dan orang Melayu keseluruhannya tidak ada sebab untuk merasa sangsi untuk memberikan sokongan kepada DAP dari sekarang ini.

Sesungguhnya tuduhan MCA dan UMNO terhadap DAP yang bersalah-salahan itu hanya menunjukkan ketakutan MCA terhadap sokongan rakyat berbilang kaum terhadap DAP sekarang ini. Dengan kata-kata CSL semalam ia membuktikan yang MCA sudah terasa ‘desperate’ untuk mendapatkan sokongan rakyat terutamanya kaum Cina kepada parti itu walaupun CSL memainkan isu rasis yang begitu menebal dalam perbahasan itu. BN tidak dapat memberikan pendapat dan pandangan yang sama terhadap DAP; UMNO menuduh DAP rasis dengan mengatakan parti itu memperkudakan PAS dan sebaliknya MCA pula menuduh DAP diperkudakan oleh PAS.

Parti-parti dalam BN begitu gelisah dengan sikap parti-parti dalam PR mampu untuk bertoleransi diantara satu dengan lain didalam gabungannya. Kesemua parti dalam PR adalah parti ‘multiracial’ yang menjadi cara yang terbaik untuk negara dalam zaman sekarang ini. MCA dan UMNO amat resah jika politik rasis ditolak rakyat kerana dengan penolakkan isu-isu rasis ini ia akan menghilangkan ‘confort zone’ BN yang selama ini kekal di atas isu perkauman yang menebal. Lagi berpecah rakyat dengan isu perkauman lagi mudah untuk BN mengekalkan kuasa.

Rakyat sudah mula merasakan nikmat hidup bertoleransi diantara rakyat yang berbilang kaum dan agama. Rakyat tidak mahu lagi diperkotak katikkan oleh politik yang berbau perkauman kerana mereka sedar yang akan menerima kebahgiaan atau celaka didalam hidup adalah mereka sendiri (rakyat) bukannya pemimpin-pemimpin yang sudah kaya raya seperti Qarun di zaman Firaun dahulu.

Jika kita dengar pandangan sempit dan chauvinis MCA ini kita akan kerugian terus terusan. Sikap bermuka-muka MCA sangat jelas kerana suatu masa yang tidak berapa lama dahulu MCA telah mengingatkan PAS yang DAP menentang hukum hudud dan PAS perlu berwaspada terhadap DAP. Tetapi semalam MCA telah menakutkan orang Cina supaya tidak menyokong DAP kerana PAS akan melaksanakan hukum hudud di Kelantan dan Kedah. Entah mana satu sikap sebenar MCA dan CSL. Sekejap begini sekejap begitu. Mungkin kita patut meminta CSL membuka mulutnya lebar-lebar bagi kita melihat apakah jenis lidah yang ada didalam mulutnya itu dan berapa cabang lidahnya.

Bagi DAP, parti ini sedang mendapat sokongan semua pihak setelah puluhan tahun bersusah payah berjuang dengan tohmahan dan momokan parti-parti yang berkuasa. DAP sangat ditakuti oleh banyak pihak kerana parti itu sedang menjadi parti yang sedang meningkat kepopularitinya di kalangan semua pihak. Adalah amat tidak bermoral bagi mana-mana pihak yang menganggap DAP sebagai chauvinis kerana yang chauvinis sebenarnya ialah BN; UMNO dengan chauvinis Melayunya dan MCA dengan chauvinis cinanya.

Isu rasis tidak lagi mendapat tempat dihati rakyat yang ramai. MCA tidak akan berjaya untuk melabelkan DAP sebagai parti chauvinis kerana DAP sekarang sudah mula mendapat kepercayaan rakyat berbilang kaum. Dengan kemasukan ramai orang-orang Melayu didalamnya, ia amat menggerunkan MCA dan parti-parti dalam komponen BN. MCA tidak boleh disertai oleh orang Melayu kerana parti itu hanya untuk orang Cina. Itulah sebabnya MCA sedang berusaha keras untuk mendapat sokongan orang Cina yang rata-rata memberikan sokongan bukan sahaja kepada DAP, tetapi juga kepada PAS.

Jika rakyat menolak isu rasis untuk hidup aman dan damai dinegara kita ini maka semua parti-parti rasis dalam BN akan mati tegak dan tidak menjadi relevan lagi dalam jangka masa yang singkat ini.

Apa yang perlu dilakukan oleh DAP ialah untuk meneruskan pentadbiran kerajaan bersama dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat secara adil dan berjuang habis-habisan untuk mengecilkan atau menghapuskan ketirisan yang berlaku dalam pentadbiran BN selama ini.

Walaupun ia memakan sedikit masa untuk memberikan bukti tentang ketelusan pantadbiran PR, ia akhirnya akan disedari oleh rakyat jelata, empunya negara yang kita semua cintai ini. Tiada siapa yang bertanggungjawab kepada negara kita selain dari kita rakyat yang ramai ini.

16 February 2012

Nasib masa depan Shahrizat adalah 'prerogative' PM, kata Najib

“Masa depan politik Shahrizat bergantung kepada Perdana Menteri” kata PM Najib. Sesungguhnya itulah hakikatnya jika dipandang dari sudut jawatannya sebagai ahli jemaah kabinet negara. Sememangnya jawatan menteri itu adalah ‘prerogative’ Perdana Menteri seratus peratus. PM boleh melantik sesiapa sahaja dalam jamaah menteri, waimma melantik orang yang tidak berguna kepada negara dan rakyat.

Begitu juga dengan pemilihan sesiapa yang hendak dilantik sebagai senator yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan. Itu juga adalah ‘prerogative’ Perdana Menteri. Oleh kerana ‘prerogative’ Perdana Menteri itulah maka kita lihat ramai menteri-menteri kabinet Najib itu ramai dikalangan mereka yang menjadi persoalan dan isu besar dalam politik negara pada hari ini.

Itulah sebabnya kita melihat ramai menteri-menteri yang masuk ke dalam jemaah menteri itu mengikut ‘pintu belakang’ kerana mereka telah ditolak oleh rakyat dalam pilihanraya yang lalu. Selalunya mereka ditolak oleh rakyat kerana bersebab. Tentulah penolakkan itu disebabkan kerana mereka tidak melepasi tahap kelayakan yang asas tetapi oleh kerana Perdana Menteri tidak menghormati pandangan rakyat, mereka ini dibawa juga ke dalam kabinet oleh Najib dan tentunya Najib mempunyai sebab yang tersendiri membawa yang ‘reject’ ini ke dalam jemaah menteri beliau.

Shahrizat telah ditolak oleh pengundi Lembah Pantai dalam pilihanraya dahulu. Begitu juga Koh Tsu Koon. Tetapi mereka masih dibawa ke dalam kabinet oleh Najib dan memegang jawatan yang tinggi-tinggi. Idris Jala tidak pernah pun menjadi ahli kepada mana-mana parti dan tidak pun tahu rupa borang pencalonan pilihanraya. Raja Nong Cik pun begitu dan beliau kini menjadi Menteri bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan. Ramai lagi ahli-ahli parlimen yang dipilih rakyat tetapi mereka hanya diarah untuk menjadi pak turut sahaja.

Shahrizat yang telah didesak oleh rakan dalam partinya sendiri untuk berundur berkata yang beliau tidak akan meletakkan jawatan, Beliau berkata beliau mempunyai 1.3 juta ahli wanita UMNO dibelakangnya. Saya tidak tahu kenapa dibabitkan ahli-ahli wanita UMNO bila berhadapan dengan skandal wang yang sangat besar oleh keluarganya. Tetapi ramai juga ahli-ahli wanita UMNO yang tidak bersetuju Shahrizat kekal dalam jawatannya kerana ia sudah pasti menjejaskan nama baik UMNO khususnya wanita.

Tetapi oleh kerana itu adalah ‘prerogative’ Perdana Menteri maka Shahrizat kekal sehingga saat ini sebagai seorang menteri. Najib boleh memilih untuk mengekalkan Shahrizat atau meletakkan beliau ditepian politik perdana negara kita. Najib mempunyai hak untuk mengikut kehendak ramai atau menolak kehendak ramai dikalangan ahli-ahli dan pemimpin UMNO sendiri.

Didalam UMNO apabila seseorang itu sudah mendapat pangkat yang tinggi seperti menteri, kesalahan sebesar mana pun amat susah untuk dibuktikan kerana ‘prerogative’ Perdana Menteri tadi. Tetapi mata-mata yang menerima sogokan sebanyak RM200 sangat cepat dan mudah untuk diambil tindakan.

Kalau ditanya beberapa orang menteri yang ada sekarang ini semuanya mahukan supaya Nor Mohammed Yakcop dibersarakan kerana imej beliau yang tidak setaraf dengan jawatan yang beliau pegang. Setiausaha politik beliau ditangkap dengan jumlah wang yang besar dalam rumahnya di Pulau Pinang, tetapi Nor Mohammed Yakcop masih segar bugar dalam kabinet Najib kerana itu adalah ‘prerogative’ Perdana Menteri.

Justru itu kita telah melihat bukti kukuh yang ‘prerogative’ yang ada pada Perdana Menteri itu hanya diperguna untuk mengekalkan orang yang tidak lagi layak untuk diletakkan dimana-mana. Oleh kerana terlalu ramai pemimpin ‘reject’ dalam pentadbiran kita, maka keseluruhan parti itu juga sudah menjadi parti ‘reject’.

Oleh kerana parti itu sudah menjadi parti ‘reject’ maka pimpinan menggunakan wang ringgit untuk membeli perasaan rakyat dalam kita menghampiri pilihanraya kali ini. Maka beraturlah rakyat lima enam jam untuk mendapatkan jumlah wang sebanyak RM500 kerana kesuntukan dalam kehidupan dan di antaranya yang teramai beratur itu adalah kaum parti pemerintah itu sendiri iaitu Melayu.

Sebegitu lama kita merdeka rakyat masih dibeli dengan wang secebis itu untuk meneruskan kuasa yang mereka sedang pegang dengan penuh keenakan itu. Dalam pada itu beretoriklah pimpinan kita kononnya akan membawa negara kepada negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2015.

Saya tidak nampak bagaimana ia akan dicapai bila rakyat masih diarak untuk beratur untuk mendapatkan RM500 itu. Ini kah dia salah satu cara untuk meningkatkan pendapatan rakyat sehingga USD15,000 setahun seperti yang dijanjikan oleh pentadbiran Najib kepada rakyat?

Dari RM500 jika nak sampaikan kepada pendapatan tahunan sebanyak US15,000 setahun itu, amat jauh untuk dicapai. Tidak tahu lah samada tahun 2015 itu merupakan ‘target’ yang tepat untuk mencapainya. Tetapi kalau ‘target’ itu pada tahun 3015 mungkin matlamat itu akan tercapai.

Tetapi bagi segelintir yang dalam kuasa serta kroni-kroninya, usahkan US15,000 setahun, malahan USD berbillion-billion pun boleh dicapai. Maklum sajalah mereka akan terus bermaharajalela dalam kuasa kerana Perdana Menteri menggunakan ‘prerogative’ beliau untuk mengekalkan mereka yang tidak semenggah ini dalam barisan pimpinan yang tamak haloba tanpa batas itu.

Selagi PM menggunakan ‘prerogative’ beliau untuk mengekalkan pimpinan yang tidak semenggah ini dari menggunakan ‘prerogative’ beliau untuk mengeluarkan mereka dari barisan kabinet negara, selagi itulah kita tidak dapat memperbaiki keadaan yang kita semua hadapi.

Maka kali ini kita mengharapkan rakyat pula untuk menggunakan ‘prerogative’ mereka untuk melakukan pertukaran yang amat diperlukan oleh rakyat kini.

15 February 2012

Dalam pilihanraya lalu lebih dari 1 juta ahli UMNO keluar parti semasa mengundi.. Kali ini bagaimana?

Saya telah diberitahu oleh rakan-rakan dalam UMNO yang parti itu akan membawa Tengku Ahmad Rithauddin, Pengerusi jawatankuasa disiplin parti, ke setiap negeri melalui badan-badan perhubungan UMNO setiap negeri. Tujuannya ialah untuk memantau permasalahan yang besar didalam UMNO dalam pilihanraya umum nanti, iaitu sabotaj oleh ahli-ahlinya sendiri.

Saya telah banyak menulis tentang kerapuhan sokongan ahli-ahli UMNO terhadap partinya. Tidak pernah saya terlupa dalam pilihanraya 1999 dan 2008 begitu ramai ahli-ahli UMNO telah mengundi parti-parti pembangkang dan itu merupakan satu perkara yang begitu normal dalam UMNO sekarang ini. Parti itu sedar yang ia tidak boleh mempercayai ahli-ahlinya apabila sampai waktu pilihanraya.

UMNO ini merupkan satu parti besar tetapi masalah menguruskan ahlinya pun besar. Ahli-ahli UMNO sekarang bukannya seperti dahulu, hanya mengikut lenggang dan tari pemimpin mereka. Sekarang mereka lebih kritis dari dahulu. Dalam pilihanraya yang lalu lebih dari 50 peratus (1.6 juta) ahli-ahlinya telah bertukar haluan dengan mengundi parti-parti ‘alternative’.

Jika semua ahli-ahli UMNO itu menyokong partinya, masakan ramai calon-calon UMNO telah rebah bergelimpangan dalam pilihanraya yang lalu kerana ditolak oleh pengundi-pengundi termasuk oleh ahli-ahlinya sendiri. Inilah masalahnya jika sebuah parti itu terlalu bergantung kepada jumlah ahlinya. Banyak parti-parti didunia ini termasuk di negara kita ini, berjaya tanpa ahli yang ramai. DAP hanya mempunyai 135 ribu orang ahli sahaja tetapi undi yang diperolehi oleh parti ini dalam pilihanraya yang lalu melebihi 2 juta orang.

Yang penting bagi sesebuah parti politik terutamanya yang memerintah ialah kemampuan untuk menggubal dasar yang dihormati bukan sahaja oleh ahli-ahlinya tetapi oleh pengundi yang ramai. Selain dari dasar yang sempurna, dasar itu mesti dilaksanakan dengan baik tanpa tercemar dengan isu rasuah dan isu salah gunakuasa yang keterlaluan.

Sebaliknya UMNO memilih untuk menjadi parti yang besar ahlinya sehinggakan sampai kehari ini ahli-ahlinya melebihi 3.2 juta orang. Kita faham kenapa UMNO memilih untuk mengambil keahlian yang ramai. Tujuannya ialah untuk mengharapkan yang kesemua ahli-ahlinya akan mengundi parti itu dalam pilihanraya. Tetapi jika lebih dari 40 peratus orang Melayu menyertai tanpa tapisan maka parti itu akan disertai oleh ramai yang tidak ada perjuangan.

Tugas yang diberikan kepada Tengku Ahmad Rithauddin itu bukan kerja mudah kerana perasaan tidak puas hati ahli-ahli UMNO terhadap kepimpinan sudah menyeluruh dan tidak ada cara untuk memantau perasaan dan tindakan individu ahli dalam peti undi itu. UMNO telah mengabaikan perasaan ahli-ahlinya dan hanya mahu melakukan pembetulan sesudah penyakit ‘sabo menyabo’ itu sudah mengalir di dalam sanubari mereka. Dulu-dulu kritikan ahli-ahli yang sedar dianggap sebagai membangkang dan itulah yang saya hadapi semasa dalam UMNO dahulu.

Ahli-ahli UMNO nampak jelas bagaimana pemimpin-pemimpin yang mentadbir dan berjuang dalam parti hanya sambil lewa sahaja dan mereka tidak ditunjukkan tauladan yang baik oleh pimpinan mereka di setiap peringkat. Pemimpin UMNO ada satu sikap kepimpinan yang meminta ahli-ahlinya, ‘do what I ask you to do, don’t do like what I do’.

Saya bercakap dan berhubung dengan rakan-rakan saya yang ramai didalam UMNO setiap hari dan saya merasakan apa yang mereka rasa. Mereka merasakan mereka telah menjadi orang tawanan kerana mereka terpaksa mengangguk kepada perkara yang mereka tidak yakini. Mereka tidak dapat hendak berfikir kerana mereka dimainkan dengan perasaan rasis yang menebal. Mereka diminta untuk percaya yang hanya UMNO boleh menentukan nasib masa depan orang Melayu.

Tetapi nasib mereka masih juga dalam keadaan yang sama; dari dahulu hingga sekarang. Lebih dari 5 dekad orang Melayu dijanjikan dengan kemajuan bangsanya tetapi tidak juga maju. Mereka dijanjikan bulan dan bintang oleh UMNO yang baru ini. Mereka tahu yang pimpinan UMNO merupakan kepimpinan yang ‘clueless’ dan tidak tahu untuk mengatur kemajuan bangsanya dengan baik.

Ramai dikalangan ahli-ahli dan penyokong UMNO didalam perkhidmatan awam juga sangat marah dengan apa yang berlaku dalam isu SSBA yang diluluskan oleh kabinet Najib. Penyelarasan gaji dilakukan oleh SPA sahaja, tidak seperti dahulu. Dahulu ada Suruhanjaya Di Raja diwujudkan untuk melakukan penyelarasan gaji kakitangan awam.

Sekarang itu dipertanggungjawabkan kepada pihak yang berkepentingan. Itulah sebabnya terdapat setangah penjawat awam hanya mendapat kenaikkan gaji kurang dari RM10 dan ada yang naik gaji mereka sehingga RM8000 kepada RM20,000 sebulan. Apa maknanya ini?

Mampukah Tengku Ahmad Rithauddin memantau perasaan semua ahli dan penyokong UMNO ini dalam peti undi dalam PRU nanti? Justru itu, UMNO sepatutnya menumpukan kepada masalah yang sangat besar dalam parti itu terlebih dahulu dari menuding jari kepada pihak pembangkang dalam semua hal.

Tetapi yang kita tahu sekarang, UMNO mengakui bahaya yang mereka bakal hadapi tidak lama lagi. Itulah sebabnya orang seperti Tengku Rithauddin kembali penting untuk memantau geraklaku ahli-ahlinya dalam pilihanraya nanti. Perkara yang terbesar yang akan dihadapi oleh UMNO ialah masalah calon yang bakal diturunkan nanti. Semuanya merasakan mereka adalah ‘winnable candidates’ dan tidak ada siapa yang tidak ‘winnable’ di kalangan pemimpin-pemimpin di bahagian-bahagian masing-masing.

Dalam kata lain UMNO dan pucuk pimpinan sendiri tidak percayakan ahli-ahlinya yang ramai itu. Keadaan itu akan berlaku lagi kali ini kerana perebutan untuk menjadi calon dan banyak hal yang lain. Jika ahli-ahli UMNO sendiri memangkah pembangkang, apa yang kita hendak sokong sangat UMNO ini?

14 February 2012

Siapa yang telah menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi, sila kembalikan kepada Kerajaan

Nazri Aziz meminta NFC membayar balik semua wang yang telah dipinjamkan oleh kerajaan sebanyak RM 250 juta itu. Nazri berpendapat Shahrizat tidak perlu berhenti atau berundur dari kerajaan. Kata-kata Nazri ini memberikan banyak perkara yang membuatkan kita lebih memahami cara dan kaedah UMNO menyelesaikan masalah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kita dan keluarga mereka.

Kenyataan Nazri ini boleh membayangkan cara berfikir dan sikap pemimpin kita berhubung dengan isu-isu besar yang dihadapi oleh negara. Sikap pemimpin kita boleh membezakan nilai diantara sikap serta ‘attitude’ kepimpinan yang sepatutnya ada kepada pemimpin demokrasi dengan apa yang sebenarnya ada pada pimpinan kita.

Jika Shahrizat menjadi pemimpin dinegara maju, misalnya di England, beliau sepatutnya berhenti dari awal lagi untuk menjaga imej kerajaan.. Shahrizat adalah ahli jemaah kabinet negara, maka etika wajar menjadi elemen yang terpenting dalam pentadbiran itu. Etika dalam kepimpinan merupakan nilai yang lebih tinggi dari undang-undang kerana etika itu datangnya dari disiplin diri yang tinggi untuk mempastikan seseorang pemimpin itu tidak menjejaskan imej kerajaan yang dia berada bersama didalamnya.

Yang terlibat dengan menggunakan wang pinjaman kerajaan secara salah yang telah melanggar perjanjian itu adalah suami kepada Shahrizat dan keluarga terapat yang tinggal sebumbung dengannya. Shahrizat sepatutnyanya berhenti dan berundur dari jawatannya dalam kabinet negara. Yang membolehkan keluarganya mendapatkan wang sebanyak itu adalah kerana Shahrizat seorang yang berpengaruh dalam kerajaan.

Jika Shahrizat hanya seorang bidan di klinik kerajaan di kampong saya, Salleh Ismail tidak mungkin mendapat pinjaman yang begitu banyak dengan menggunakan dan berbelanja pula dengan wang itu untuk membeli benda-benda lain dengan banyak yang pasti akan menjejaskan matlamat NFC itu.

Oleh itu pandangan Nazri yang Shahrizat tidak perlu berundur itu merupakan pandangan yang tidak beretika dan jauh sekali dari menghormati rakyat negara yang demokrasi ini. Shahrizat telah gagal samasekali untuk menjaga statusnya sebagai seorang ahli jemaah kabinet dan inilah yang tidak dapat dihayati oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Bagaimanakah kita untuk menuju kepada sebuah negara maju jika etika yang senang di fahami dan diikuti ini tidak dapat dipenuhi semata-mata kerana terlalu sayang dengan jawatan dari sayangkan sebuah kerajaan yang beliau adalah salah seorang menterinya?

Tetapi saranan Nazri supaya NFC membayar kembali setiap sen yang diperolehi dari kerajaan itu dibayar kembali. Kita tidak mahu lagi perkara seperti dahulu berlaku dalam mana kerajaan dan rakyat terpaksa membuat ‘bail-out’ kepada projek-projek kerajaan yang diusahakan oleh kroni-kroni dan mereka yang hampir dengan kuasa itu.

Kita masih teringat bagaimana Mirzan di ‘bailout’ oleh rakyat dengan menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaannya yang gagal dengan jumlah yang berbillion. Sampai bilakah rakyat hendak membayar hutang pemimpin serta sanak saudara pemimpin yang berpengaruh ini. Sampai bila rakyat hendak menahan ragam pemimpin-pemimpin kita tetapi pemimpin-pemimpin sebaliknya memaksa rakyat untuk terus menyokong mereka tanpa berbelah bagi. Sampai bila?

Sekarang ini kita rakyat yang marhein di bawah ini tidak boleh lagi membiarkan mereka merompak dan merosakkan negara kita lagi. Cukup-cukuplah kita memerhati dan bersabar selama ini dengan sikap gila dan tidak malu pemimpin ini. Pemimpin yang baik akan ada perasaan malu sedikit sebanyak, apatah lagi masing-masing mengaku mereka itu Islam. Dalam Islam mencuri begini hukumnya potong tangan.

Bagaimana Nazri boleh kata Shahrizat tidak payah berundur sedangkan NFC telah menggunakan wang pinjaman kerajaan itu hampir RM100 juta dengan membeli kondominium-kondominium mewah, tidak cukup di Kuala Lumpur pergi pula ke Singapura. Bagaimana projek masih bermasalah tetapi sudah bershopping secara gila-gila. Ini memalukan pimpinan sahaja serta bangsa Melayu yang kononnya UMNOlah yang menjadi ‘champion’nya.

Shahrizat wajar berundur dan bantu suami dan anak-anaknya membayar kembali wang ratusan juta ringgit itu yang di salahgunakan oleh keluarganya. Tidak payah hendak membawa wanita UMNO keseluruhannya untuk mempertahankan kerja yang tidak molek itu. Kes ini tidak kena mengena dengan wanita UMNO.

Elok Sharizat fikirkan pandangan Dr Mahathir, Rafidah, Kamilia dan ramai yang lain dalam UMNO yang inginkan beliau berhenti sahaja. Sharizat tidak payah marah-marah kepada pembangkang. Shahrizat sepatutnya marah kepada dirinya sendiri kerana terlalu ‘silly’ kerana termakan hasutan nafsu untuk melakukan perkara-perkara yang mungkar ini.

Ingat Shahrizat, perjuangan yang sebenar dan hakiki ialah untuk berperang dengan nafsu nafsi sendiri, bukannya dengan Rafizi atau yang lain. Inilah kegagalan besar pemimpin-pemimpin UMNO pada hari ini….tidak berdaya menahan nafsu untuk mencuri harta benda rakyat dan sikap ketagih kepada mengambil wang rakyat ini sudah tidak dapat diubati lagi.

Sekarang Shahrizat perlu meletakkan jawatan dan suaminya mesti bayar balik pinjaman itu. Pandangan Nazri itu, satu boleh pakai yang satu lagi kita tolak terus. Kalau boleh Nazri cuba cari Mirzan dan minta dia kembalikan wang rakyat yang berbillion yang digunakannya untuk menyelamatkan perniagaan beliau pada tahun 1998 dahulu.

Jangan hanya melakukan tekanan kepada Shahrizat, Yang lama-lama dahulu pun kita kena ingat. Bukankah wang itu semuanya wang rakyat juga?

13 February 2012

Seburuk-buruk Pakatan Rakyat, ia jauh lebih baik dari BN

Untuk mentadbir dan menjaga serta mengurus sebuah negara ia memerlukan sebuah kerajaan yang berkemampuan untuk membawa rakyat hidup dalam keadaan aman dan sentosa. Bagi sesebuah negara yang majmuk seperti Malaysia ini ia memerlukan lebih usaha untuk menjamin rakyat yang menghuni dan mendiami negara ini tidak berpecah belah dan bermusuh-musuhan, sebaliknya bersatu dalam erti kata yang sebenarnya.

Maksudnya rakyat harus dan sentiasa ikhlas dan menghormati diantara satu dengan lain, memahami kehendak dan perasaan jiran tetangga yang terdiri dari kaum yang berbilang-bilang dan cara hidup yang berbeza-beza diantara satu dengan yang lain. Kerajaan wajar menghormati setiap gulungan dan jangan menganggap ada pihak-pihak yang dianggap tidak mampu berfikir dan mempunyai perasaan dan terus sahaja melakukan perkara-perkara yang tidak digemari mereka.

Kita telah memilih untuk mempraktikan kerajaan sistem demokrasi. Sistem yang mana kerajaan yang dipilih oleh rakyat, untuk rakyat dan kita bersetuju untuk menerima mana-mana pihak yang berada di dalam hati rakyat. Semua pihak juga patut menerima mana-mana pihak yang menggantikan parti atau pimpinan yang menyandang jika rakyat memikirkan ia patut dialih dan dianjak.

Rakyat boleh menukar kerajaan jika rakyat merasakan yang kerajaan telah dipilih itu sudah tidak lagi sesuai untuk diberi mandat dan itu pun asas demokrasi yang mana-mana negara amalkan termasuk bagi negara kita ini. Adalah tidak wajar dan bertentangan dengan semangat dan amalan demokrasi jika pihak yang memerintah itu menganggap yang kuasa dan mandat itu hanya untuk satu pihak sahaja semata-mata kerana mereka telah diberikan mandat sebegitu lama.

Semasa saya masih bersekolah salah seorang dari saudara yang dianggap dekat bertanyakan kepada saya apakah cita-cita saya setelah besar. Saya menjawab jika ada pilihan saya mahu menjadi seorang guru walaupun akhirnya saya tidak menjadi apa-apa. Saudara saya itu menasihatkan saya jika saya menjadi guru dan menjadi guru besar, jangan tunggu di satu sekolah itu lama-lama, nanti saya akan menganggap sekolah itu saya yang punya dan saya akan menganggap orang lain tidak ada hak untuk mengetuai sekolah itu.

Itulah sebabnya setengah pihak berfikir yang negara ini hanya mereka yang punya, dan pihak lain tidak ada hak ke atas negara ini semata-mata kerana mereka berfikir negara ini sudah kepunyaan mereka. Mereka ini telah memerintah negara sebegitu lama sehinggakan orang lain tidak ada hak untuk bersama menawarkan perkhidmatan dan pentadbiran yang lebih baik. Pihak lain dianggap sebagai penumpang dan tidak boleh berbuat apa-apa yang mereka tidak gemari sedangkan sikap angkuh dan sombong mereka itu merupakan sikap yang tidak digemari oleh pihak lain.

Dalam mempertahankan kuasa yang mereka anggap hak mutlak mereka, mereka sanggup melakukan apa sahaja secara ‘high handed’ dan akan membentuk persepsi buruk melalui agensi-agensi dibawah mereka yang berkuasa untuk memomokan pihak yang lain. Mereka boleh melakukan apa sahaja yang salah dengan sewenang-wenangnya tanpa segan silu.

Disebaliknya mereka akan mencari segala kesalahan dan kesilapan kecil pihak yang menentang mereka seperti mencari kutu dalam rambut. Bagi mereka ini hanya mereka sahaja yang berhak untuk melakukan kesalahan tanpa had dan pihak lain hanya diminta untuk berdiam diri dan menganggukkan kepala seperti burung balam.

UMNO mempunyai sikap yang saya sebutkan ini yang menebal. Dengan menggunakan Utusan akhbar kepunyaannya, sering melemparkan tuduhan-tuduhan yang amat jahat yang tidak masuk akal terhadap pihak lain khususnya terhadap parti-parti pembangkang. Utusan telah memainkan isu rasis dengan penuh kejayaan selama ini sehinggkan rakyat termakan dan menerima apa yang dikatakan oleh Utusan itu sebagai betul dan benar.

Tetapi Alhamdulillah, sekarang ini akbar itu telah dianggap hanya sebagai sebuah ‘party organ’ untuk UMNO dan apa yang diperkatakan oleh Utusan itu sudah tidak diterima oleh rakyat secara bulat-bulat lagi. Dengan perkembangan minda dan pemikiran rakyat terutamanya dibandar-bandar dan pinggiran bandar, rakyat sudah mula mempunyai persepsi yang buruk terhadap akbar ini. Akhbar ini sudah menjadi ‘musuh’ kepada mereka yang berfikir yang mempunyai pemikiran dan pandangan terhadap sesuatu isu yang berbangkit secara objektf.

Utusan sudah dipersepsikan oleh rakyat sebagai sebuah organ UMNO yang ditugaskan untuk memainkan isu rasis dan menakut-nakutkan orang Melayu untuk berbaik-baik dengan pihak lain terutamanya terhadap bangsa bukan Melayu. Utusan tahu yang orang kuat UMNO (OKU) hanya akan mampu untuk bertahan jika ada perselisihan faham di antara kaum. Lebih bergolak perhubungan di antara kaum lebih mudah untuk UMNO terus menggunakan isu untuk mendapatkan kuasa yang berterusan. Tektik pecah dan perintah itu merupakan makanan UMNO sejak berdekad-dekad yang lalu. Selama ini jika tidak ada perpecahan UMNO susah lama terkubur.

UMNO yang didukung oleh Utusan tidak suka kepada kebaikan lebih-lebih lagi jika kebaikan itu dilakukan oleh pihak lain khususnya parti yang mereka musuhi. UMNO sudah tidak mengenali lagi yang mana yang baik dan yang buruk. UMNO sudah mengidap penyakit rasuah tegar. Hampir kesemua pemimpin UMNO adalah orang kaya raya yang tidak ada hadnya.

Hampir kesemua projek dibawah pimpinan dan kementerian yang mereka ketuai mesti ada elemen atau bahagian untuk kepentingan pemimpinnya. Jika tidak dapat menerima rasuah, tidak senang hidup mereka. Mereka menganggap kegagalan untuk mendapat habuan sampingan dari projek-projek pembangunan negara itu, mereka akan dianggap sebagai pemimpin yang gagal. Rasuah dan UMNO itu sudah dianggap sebagai ‘aur dengan tebing’, saling menyandar di antara satu dengan lain. Rasuah tidak akan berkembang tanpa UMNO dan UMNO tidak akan kuat tanpa rasuah. Begitulah keadaan sekarang.

UMNO begitu cemas apabila parti-parti lain yang memerintah beberapa buah negeri telah menunjukkan prestasi yang menggalakkan. UMNO sudah ‘kantoi’ apabila rakyat telah dapat membuktikan yang kerajaan-kerajaan di bawah PR telah menujukkan prestasi yang secara relatifnya jauh lebih baik dari pentadbira UMNO dan BN. UMNO begitu meluat melihat kejayaan Lim Guan Eng mentadbir Pulau Pinang dengan bersih, cekap dan amanah. Selama ini bersih, cekap dan amanah itu hanyalah nyanyian retorik pimpinan UMNO sahaja tanpa membuahkan apa-apa kejayaan. DAP pula terpaksa menjayakan segala slogan anjuran Dr Mahathir dahulu.

Begitu juga kerajaan pimpinan TS Khalid Ibrahim yang telah berjaya untuk membentangkan bajet yang ‘surplus’ dan tidak ada pemimpin Selangor PR Selangor yang terlibat dengan pembinaan rumah puluhan juta ringgit dan melakukan skandal besar seperti PKFZ yang merugikan rakyat sebanyak RM12 billion itu. TS Khalid mungkin kurang pandai untuk berpolitiking, tetapi pentadbiran Selangor jauh lebih kemas sekarang jika dibandingkan dengan pentadbiran BN dahulu. Jarang kita mendengar TS Khalid membuat kenyataan politik kerana beliau sibuk membersihkan kekhilafan yang dilakukan oleh kerajaan BN dahulu.

Tetapi ini semua kejayaan kerajaan PR ini dinafikan oleh pihak UMNO yang telah gagal mempraktikkan apa yang mereka slogankan sendiri. Bermacam-macam dilakukan oleh media perdana cetak dan letronik untuk memburukkan kerajaan Negeri Selangor. UMNO dan pimpinannya tidak suka kepada ketelusan yang dipraktikKan oleh kerajaan PR. Utusan dan media perdana yang lain akan memperbesarkan kesilapan kecil-kecilan PR.

Takkanlah kita hendak memberikan kepercayaan kepada Noh Omar pula untuk membawa kepimpinan untuk rakyat Selangor. Kalau rakyat Selangor ingin melihat negeri terkaya ini menjadi bubur, elok kita cadangkan untuk mengikut Noh Omar dan rakan-rakannya dalam UMNO Selangor. Tetapi jika rakyat Selangor ingin melihat kemajuan dalam pentadbiran Selangor teruskan sahaja mandat itu diberikan kepada TS Khalid Ibrahim. TS Khalid bukan aulia untuk kita harapkan ‘perfection’.

Tetapi saya selalu bercakap di mana-mana yang, ‘the worse of PR is lot better than the best of BN’

11 February 2012

Hasan Ali - Dari UMNO dia datang, kepada UMNO jugalah dia akan kembali

Dr Hasan Ali, bekas Exco kerajaan (PAS) negeri Selangor, yang dipecat dari PAS baru-baru ini nampaknya mendapat tempat di media perdana terutamanya di TV3. Setiap malam kita melihat Hasan Ali diliputi oleh TV3 dan beliau ditonjolkan sebagai seorang pelakon Bollywood seperti Shah Rukh Khan.

Kita melihat lakunannya setiap hari dengan berdoa sambil menangis serta kembali bercakap dengan nada yang tinggi beserta dengan gerak tangannya yang menunjukkan beliau memang hebat berlakon dan berdrama. Hasan akhir-akhir ini selalu menggunakan air mata beliau dalam membahaskan isu politik untuk menagih sokongan ramai. Beliau boleh menangis serta merta jika perlu dan air matanya jelas meleleh keluar.

Beliau mendapat liputan TV3 setiap hari dan kenapa beliau diberi tempat didalam media letronik ini tanpa henti itu memang sudah menjadi perkara yang maklum kepada orang ramai. Berbagai-bagai cara beliau menonjolkan diri seperti bintang filem Bollywood. Yang belum beliau lakukan hanyalah menari dari gunung hingga ketepi laut sambil menyanyi dan naik kembali kegunung dengan pakaian yang bertukar-tukar silih berganti.

Sesungguhnya Hasan tidak selayaknya menjadi ahli politik. Oleh itu selepas beliau dipecat dari PAS ini, saya mencadangkan supaya Hasan pergi ke India dan menguji bakat lakonan bersama ramai yang minat berlakon dalam Industri filem di Bollywood. Beliau sememangnya mempunyai bakat berlakon dan saya merasakan beliau tidak akan melalui jalan sukar untuk berjaya dalam uji bakat berlakon di situ. Beliau memang seorang yang sangat berbakat dalam lakonan.

Walaupun saya tidak pernah kepanggung wayang sejak puluhan tahun yang lalu, saya berjanji akan membeli tiket yang secukupnya untuk se isi keluarga saya pergi menonton lakonan beliau dalam filem pertama yang beliau lakunkan nanti. Saya percaya pihak yang beliau caci sekarang ini iaitu PAS, PKR dan DAP tidak teragak-agak untuk bersama-sama menonton lakonan beliau.

Hasan merupakan seorang ‘failed broker’ kerana niatnya untuk menjadi orang penting dalam usaha penyatuan UMNO dengan PAS telah menemui kegagalan. Kegagalan untuk menyatukan UMNO dan PAS itu telah meranapkan cita-citanya untuk menjadi MB Selangor. Hasan mengharapkan untuk menjamah kerusi MB itu jika UMNO dan PAS bersatu kerana jika itu berlaku maka beliau akan berjaya melaksanakan ‘intrigue’ politik seperti mana yang telah berlaku di Perak sebelumnya.

Apabila niat dan matlamat untuk menjayakan 'compromise' di antara UMNO dengan PAS itu maka beliau terus sahaja membidas PKR dan DAP dan menjadikan Anwar sebagai ‘punching bag’ untuk beliau melakukan serangan kepada pihak-pihak yang telah menggagalkan niat beliau untuk mendapat munafaat jika UMNO dan PAS berjaya di satukan.

Rasa kempunan beliau inilah yang menyebabkan Hasan sudah hilang arah politiknya. Beliau rasa malu yang besar kerana disebabkan tapak dan langkahnya telah dengan mudah dapat dikesan dan difahami oleh semua pihak yang telah memerhatikan lagak dan lakunannya sejak usaha untuk merapatkan UMNO dan PAS itu jatuh sebelum ‘taking off’.

Sekarang Hasan sedang mengaruk dan beliau menyalahkan semua pihak dalam Pakatan Rakyat. PAS dan DAP itu adalah pihak yang salah kepada Hasan PKR pula salah kerana jawatan MB yang beliau hendak tagih itu datangnya dari PKR. Hasan juga menyanggah secara peribadi terhadap Khalid Samad yang pernah menjadi timbalanya dalam PAS Selangor. Hasan juga membidas Anwar kerana kononnya PAS tidak mahu mengikut kehendaknya (Hasan) adalah kerana pengaruh Anwar Ibrahim.

Sekarang Hasan telah menyalahkan semua pihak dalam PR kecuali peribadi beliau sendiri. Beliau kini bergerak untuk mewujudkan ‘force ketiga’ untuk kononnnya untuk menjai penentu dalam pilihanraya nanti. Bagi saya, Hasan tidak mempunyai rupa untuk menjadi ‘third force’ dalam politik tanah air sekarang ini.

Dalam situasi politik kali ini mana-mana pihak yang cuba untuk meletakkan diri mereka sebagai ‘middle left’ atau ‘middle right’ tidak akan membawa apa-apa keuntungan. Rakyat kini mahukan kumpulan yang ‘decisive’, samada kanan atau pun kiri. Tetapi jika diselidik kepada keadaan hari ini, Hasan mungkin menyertai UMNO juga akhirnya. UMNO adalah parti yang beliau pernah sertai sebelum isu Anwar pada tahun 1998 dahulu.

Jika Hasan kembali menyertai UMNO maka ‘dari UMNO beliau datang, kepada UMNO jugalah beliau akan kembali’. Buat sementara waktu Hasan boleh bersalaman ketat-ketat dengan Ibrahim Ali, Zulkifli Nordin dan Zaharin Hashim.

09 February 2012

Pemimpin-pemimpin dan rakyat wajar melalui kursus sivik kenegaraan

Kita nampaknya mesti kembali kepada ‘basic’ penubuhan negara kita. Itu sahaja caranya bagi kita untuk melihat negara kita kembali kepada asas penubuhannya dan cara pengendalian negara yang sebaik-baiknya. Sejak beberapa lama kita telah melihat negara kita dikendalikan dengan cara yang sudah asing dari apa yang sepatutnya kita lihat.

Kerajaan atau pada siapa yang bertanggungjawab, elok kembali kepada asas dan diadakan peruntukan khas bagi memberi rakyat kursus-kursus sivik semula. Kita wajar memberitahu yang negara kita ini adalah sebuah negara Persekutuan (Federation). Perjanjian Persekutuan ini dibuat pada bulan Februari 1948 dan pada masa itu ada Sembilan negeri-negeri Bersekutu dan tidak Bersekutu telah menandatangani Perjanjian Persekutuan itu.

Selain dari itu dua buah negeri, iaitu Melaka dan Pulau Pinang, juga turut menyertai perjanjian itu untuk mewujudkan sebuah negara yang dinamakan Persekutuan Tanah Melayu. Rakyat harus diberitahu yang Persekutuan Tanah Melayu itu merupakan gantian kepada Malayan Union, anjuran Britain, yang cuba untuk menubuhkan sebuah kerajaan ‘unitary’ yang tidak mempunyai kerajaan-kerajaan negeri dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai Pusat Pentadbirannya dan kerajaan itu dinamakan Kerajaan Pusat.

Oleh kerana negara kita ini adalah sebuah Negara Persekutuan, pusat pentadbiran di Putrajaya itu adalah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, bukannya pusat pentadbiran Kerajaan Pusat. Diantara Kuala Lumpur dan Bangkok serta Jakarta ada perbezaannya. Kedua-dua Bangkok dan Jakarta misalnya, kedua-dua bandaraya itu menempatkan kerajaan Pusat kerana Thailand dan Indonesia itu adalah negara ‘unitary’ yang tidak mempunyai negeri-negeri yang berdaulat didalamnya. Malaysia adalah seperti Amerika Syarikat dan Australia; iaitu berkerajaan Persekutuan dalam mana ada kerajaan-kerajaan negeri didalamnya.

Perkara ini penting diketahui kerana dengan memahaminya maka kita akan tahu dimana salah dan silapnya pemimpin bermain politik dan mentadbir sebuah negara seperti kita ini. Oleh kerana sistem demokrasi adalah pilihan kita, maka kita boleh memperbaikinya dengan memilih siapa yang sebenarnya layak untuk mentadbir negara kita sebagai sebuah negara Persekutuan itu. Jika pimpinan kita tidak mentadbir negara secara dan kehendak sebuah negara Persekutuan, maka ia patut ditukar dan dianjak.

Saya suka menyebut isu ini berulang kali kerana kita telah melihat dalam banyak perkara pimpinan telah tidak menghormati Perjanjian Persekutuan dan menerima semangat persekutuan itu dengan baik. Itulah sebabnya dalam banyak perkara kita telah bersalah-salahan di antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Negeri yang disebabkan oleh tidak faham atau tidak menghormati keputusan rakyat sesebuah negeri yang berdaulat dan merdeka itu.

Contohnya, Kerajaan Persekutuan telah mengenakan tekanan kepada Kerajaan Negeri Kelantan dengan tidak menghormati ‘vestine deeds’ yang ditandatangani diantara Petronas dengan rakyat negeri Kelantan pada 27hb Mei 1975 yang lalu. Pimpinan Persekutuan telah mengambil tindakan tidak menghormati perjanjian itu semata-mata rakyat Kelantan telah memilih untuk memberi mandat kepada PAS dan PR untuk mentadbir negeri itu.

Perjanjian itu adalah perjanjian di antara Petronas dan rakyat negeri Kelantan yang diwakili oleh Menteri Besarnya ketika itu, iaitu Dato Mohammad Nasir, Menteri Besar PAS. Petronas diwakili oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah. Perjanjian ini dibuat dengan semua kerajaan-kerajaan negeri, tidak kira samada negeri itu ditadbir oleh PAS atau pun UMNO.

Mengikut perjanjian itu Petronas mesti membayar secara tunai kepada Kelantan dua kali setahun, iaitu pada setiap 1hbMac dan 1hb September setiap tahun, mengikut harga FOB penjualan itu. Jumlahnya mengikut perjanjian itu ialah 5 peratus dari harga jualan sebagai royalti kerana rakyat Kelantan telah memberikan hak selagi ada bulan dan bintang kepada Kerajaan Persekutuan melalui Petronas segala pengeluaran minyak dalam perairan negeri Kelantan.

Sekarang ini apa yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan ialah dengan mencuri segala pengeluaran minyak dari dua telaga dalam perairan Kelantan dengan menyalurkan semua minyak yang digali itu melalui ‘pipe’ terus ke Kerteh yang jauhnya 260 kilometer ke Kerteh. Ia merupakan usaha untuk mengelakkan hasil minyak itu dimendarat di negeri Kelantan (Bachok).

Ini merupakan tindakan Persekutuan yang tidak menghormati kedaulatan rakyat Kelantan. Lagak kerajaan Persekutuan itu seolah-olah kita sedang ditadbir oleh sebuah Kerajaan Persekutuan yang ala ‘Malayan Union’ yang ditolak rakyat negara ini pada tahun 1946 dahulu. Persekutuan Tanah Melayu wujud kerana penolakan rakyat terhadap Malayan Union, tetapi semangat ‘Malayan Union’ ini nampaknya bertambah subur kian lama kian UMNO baru ini memerintah kita.

Lebih malang lagi bagi rakyat Kelantan apabila pemimpin mereka yang mewakili rakyat Kelantan tidak bersama rakyat Kelantan untuk mendapatkan semua apa yang telah dijanjikan dalam perjanjian di antara Petronas dengan rakyat Kelantan itu. Nama-nama seperti Mustapha Mohamad dan Awang Adek sebaliknya menyebelahai Kerajaan Pusat untuk menekan rakyat Kelantan.

Sikap mereka amat mengaibkan. Nampaknya hanya satu sahaja cara bagi rakyat mendapatkan kembali hak dari hasil minyak mereka; iaitu dengan berusaha memberikan mandat, sebesar-besar mandat kepada kerajaan gantian dalam pilihanraya yang akan tiba tidak lama lagi.

Seperti yang dilakukan oleh rakyat pada tahun 1946 dahulu, setiap elemen yang menyuburkan sikap ‘Malayan Union’, Kerajaan Persekutuan wajar ditolak habis-habisan kali ini.

Kalau buka mulut luas-luas bagaimana?...boleh tengok lidah jenis apa!

Najib seorang pemimpin yang bercakap lain dan bikin perkara lain. Najib sentiasa bercakap apa yang tidak betul dan berjanji perkara yang beliau tidak boleh tunaikan. Saya tidak mahu memberikan Najib dengan imej pendusta tetapi kita elok memberikan Najib pandangan yang jelas bahawa beliau hanya bercakap tanpa berfikir sedalam-dalamnya.

Dalam satu nada beliau menasihatkan kita semua berwasatiyah, iaitu bersederhana dalam kehidupan dan hidup menghormati di antara satu dengan lain dalam masyarakat majmuk dan berbagai agama dan adap resam ini. Tetapi dalam keadaan lain beliau sendiri tidak mempraktikkannya atau membiarkan setengah pihak melakukan fitnah dan cuba memburukkan pihak yang lain tanpa segan silu.

Kalau benar Najib berwasatiyah kenapa beliau membiarkan setengah pihak seperti Utusan, TV3 dan lain-lain media perdana yang dikuasai oleh UMNO terus menerus menabur serta menanam bibit-bibit kebencian rakyat terhadap pihak lain terutamanya kepada parti-parti pembangkang khususnya DAP yang sedang berusaha untuk membuktikan ciri ‘multi-racialism’ itu? PAS juga menjadi sasaran pihak UMNO dengan berbagai-bagai fitnah.

Orang ramai yang berfikir sekarang telah melihat niat jahat Utusan, contohnya, dengan menabur perasaan buruk sangka dikalangan rakyat dengan menuduh DAP sebagai anti Melayu, anti Islam, anti Raja-Raja Melayu, serta cuba untuk menanamkan persepsi rakyat yang parti DAP itu akan menjadikan negara ini sebagai negara republik dengan menukar agama rasmi negara kepada negara kristian.

Wasatiyah apa namanya ini! 1Malaysia apa namanya kalau keadaan buruk ini cuba di semai oleh pihak yang memerintah. Kenapa sanggup melakukan ini semata-mata kerana politik yang membina nafsu untuk berkuasa terus-terusan di atas premis perpecahan di kalangan rakyat? Najib dan UMNO tahu yang DAP tidak akan menurunkan jumlah calon yang mencukupi, maka bagaimana DAP dianggap musuh kesumat walaupun parti itu adalah parti yang sah dan halal di sisi undang-undang dan perlembagaan negara?

Lebih dahsyat lagi DAP dituduh sebagai parti yang memecahbelahkan rakyat tetapi membidas usaha parti itu untuk mendapatkan masyarakat berbilang kaum untuk menyertai parti itu khususnya dengan penyertaan orang Melayu didalamnya.

Sebenarnya ini yang rakyat tidak lagi mahu menunjukkan sikap hormat kepada UMNO dan semua rakan sekutunya di Semenanjung ini. Pemimpinnya mempunyai mulut yang manis dengan kata-kata tetapi merelakan agensi-agensi yang menyokong mereka untuk melakukan kerja hina dan membosankan ini. Lain dikata lain dibuatnya!

Setelah melakukan segala perkara yang tidak baik yang membuatkan orang Melayu tidak menghargai UMNO lagi, barulah terkinja-kinja dan mundar mandir untuk mendapatkan kembali sokongan orang Melayu. Jika Melayu mahu lagi memberikan sokongan maka sekali lagi kita akan tertipu dan dibayar lagi RM500 apabila pilihanraya datang lagi.

Rakyat hanya dinilai dengan harga RM500 setiap 5 tahun sekali. Berpeluh-peluh rakyat beratur lima ke enam jam untuk mendapatkan RM500 sedangkan pimpinan mereka telah melenyapkan wang mereka (rakyat) dalam jumlah berbillion ringgit. Kalau diikutkan sentimen di hati, menitik air mata melihat rakyat khususnya orang Melayu beratur untuk mendapatkan kesenangan untuk seminggu dua itu.

Inilah rupanya strategi UMNO untuk mendapatkan sokongan; iaitu dengan menjadikan orang Melayu terminta-minta dan membawa tempurung ke hulu dan ke hilir. Itulah sebabnya Melayu dibandar dan di ‘suburban’ tidak lagi begitu berkeyakinan dengan UMNO kini.

Najib patut melakukan apa yang dikatakannya. Takut-takut nanti rakyat akan meminta pemimpin kita membuka mulut luas-luas kerana hendak melihat jenis lidah yang ada di dalamnya.

08 February 2012

Hanya Mahathir saja tahu bila pilihanraya! Tuhan pun belum tahu lagi - Samy

“Bila pilihanraya?” Itulah soalan yang kita dapati apabila kita bertemu sesiapa di mana-mana. Itu merupakan soalan cupu mas dan tidak ada siapa boleh menjawabnya. Hanya PM sahaja yang tahu bila pilihanraya akan di adakan. Di negara ini hanya PM yang akan menentukannya, tidak ada siapa yang lain, tetapi PM tentulah ada penasihatnya yang akan memberikan tarikh yang dianggap terbaik untuk mengadakan pilihanraya itu.

Keadaan ini biasa berlaku apabila menghampiri pilihanraya. Apabila terlalu ramai yang bertanya bila pilihanraya akan diadakan, saya teringat kepada satu ‘joke’ pilihanraya yang dikaitkan dengan Samy Velu semasa Dr Mahathir menjadi PM negara ini. Samy Velu merupakan seorang pemimpin BN yang sangat popular dan beliau banyak dikaitkan dengan banyak jenaka yang sangat menggelikan hati apabila mendengarnya. Hari ini saya hendak tulis salah satu dari jenaka yang berkaitan dengan Samy Velu.

Mengikut cerita jenaka itu, ia berbunyi begini;

Samy Velu, Presiden MIC semasa berucap kepada ramai ahli-ahli MIC, telah mengambil kesempatan menjawab persoalan, bila pilihanraya umum akan diadakan. Dr Mahathir semasa itu menjadi PM telah membuatkan rakyat tertanya-tanya bila tarikh pilihanraya yang tepat. Samy Velu sebenarnya pun tidak tahu hendak menjawabnya kerana beliau mengaku yang beliau sendiri tidak tahu kerana itu merupakan hak PM untuk menentukannya.

Jadi, dalam satu majlis Samy telah menjawab pertanyaan itu dengan berkata, “Tuan-tuan dan puan-puan, tidak ada siapa yang tahu bila tarikh pilihanraya yang sebenarnya. Yang penting kita mesti bekerja kuat untuk mempastikan yang kita sentiasa bersedia apabila pilihanraya diadakan. Kita jangan tanya bila pilihanraya itu akan diadakan tetapi kita mesti bersiap sedia. Hanya Dr Mahathir saja yang tahu bila pilihanraya akan dipanggil. Hanya PM saja yang tahu! TUHAN pun belum tahu lagi!”…..disambut dengan gelak ketawa dari hadirin.

Itu sahaja cerita pendek saya. Kadang-kadang menulis cerita jenaka seperti ini boleh meringankan pemikiran kita.

Just treat this as a joke if it sounds like one.

Terima kasih.

07 February 2012

Najib kata, "gua tolong lu, lu tolong gua"

“Lu tolong gua, gua tolong lu!”….. itulah maksud kata-kata Najib kepada kaum India semasa melawat Batu Caves sempena hari Thaipusam pagi tadi. Najib menyeru kaum India supaya mempercayai beliau dalam usaha memperbaiki kehidupan kaum India dan memberikan beliau sokongan dalam pilihanraya yang akan datang. “Tuan-tuan tolong saya, saya akan tolong tuan-tuan” kata Najib lantang dan jelas.

Janji seperti ini telah dibuat setiap pilihanraya tiba sejak tiga puluh tahun yang lalu. Janji ini bukan sahaja dibuat kepada kaum India tetapi semua kaum termasuk kaum Najib sendiri, iaitu kaum Melayu yang merupakan kaum terbesar di negara ini. Janji ini jugalah yang akan ditabur dalam pilihanraya yang akan datang kerana kita tahu segala janji yang dibuat pagi tadi tidak akan kemana.

Tetapi kepada siapa yang masih yakin dan percaya kepada janji itu terpulang kepada mereka. Setiap rakyat berhak untuk memilih untuk dibohongi terus-terusan atau mengelak dari pembohongan tersebut. Sebagai seorang Perdana Menteri yang mengetuai Kerajaan Persekutuan, janji yang dibuat secara peribadi itu merupakan tindakan ‘desperate’ dan kata-katanya itu tidak melambangkan beliau seorang pemimpin yang ‘magnanimous’ yang memimpin rakyat yang berbilang kaum itu.

Orang melayu telah dijanjikan bermacam-macam setiap pilihanraya, tetapi kita lihat apa yang berlaku sekarang ini adalah terlalu jauh dari menepati janji-janji yang telah dibuat kepada mereka. UMNO telah menjadikan orang melayu hanya sebagai dahan bongkok untuk ‘kera-kera’ meniti dan digunakan untuk memberikan sokongan dalam pilihanraya sahaja. Orang melayu dan rakyat hanya diberikan rm 500 upah sebelum pilihanraya ini untuk mendapatkan kuasa dan terus menjajah pemikiran bangsanya sendiri.

Berbillion habis dibelanjakan untuk membayar undi, tetapi dengan jumlah itu tidak memberikan apa-apa kesenangan kepada orang Melayu dan rakyat keseluruhannya. Hutang kerajaan telah mencecah hampir RM300 billion tidak termasuk hutang-hutang yang dibuat melalui ‘off budget agencies’ yang berbillion billion lagi. Najib berbelanja untuk kempennya seperti seorang maharaja besar sedangkan wang itu semuanya wang rakyat jelata. Saya pernah menulis yang harga untuk mengekalkan kuasa UMNO dan Najib ini amat mahal harganya.

Itu tidak termasuk harga yang dibayar rakyat untuk membayar komission kepada Menteri-Menteri dan kroni-kroni dalam pembelian bekalan dan keperluan kementerian dan negara. Semuanya diperah dari titik peluh rakyat bukannya dari wang UMNO atau BN.

Rakyat sedang marah dan lebih marah lagi apabila mendengar seorang Perdana Menteri membuat janji timbal balas dengan kaum India seperti negara ini adalah negara kepunyaan keluarganya sendiri. “Saya tolong anda, anda tolong saya’ ini telah dihamburkan banyak kali dan tiba masanya bagi kita untuk meminta Najib memberhentikannya. Najib mesti hormati perasaan orang yang mendengarnya.

Rakyat sepatutnya dihampiri oleh dasar yang baik dan sempurna bukannya dihampiri oleh seorang individu pemimpin yang berjanji,’gua tolong lu, lu tolong sama gua’. Kalau ada perasaan ‘desperate’ pun janganlah tunjukkan sangat sehingga terkeluar janji-janji peribadi dalam kempen pilihanraya.

Yang berjanji sepatutnya rakyat. Rakyat sepatutnya yang berjanji untuk mendapatkan kerajaan yang bersih dan telus untuk menjaga kepentingan kaum India dan lain-lain kaum di negara ini, bukannya individu Najib. Itu sebabnya rakyat sedang berusaha untuk mencari gantian kepada pimpinan yang ada untuk mengambil perhatian terhadap bukan sahaja kepada kaum India tetapi bagi semua kaum yang hidup dalam negara bertuah ini.

Kita perlu ingat jika semua janji-janji manis kerajaan dilaksanakan tidak mungkin rakyat memberontak dalam jiwa mereka sehinggakan kita menghadapi situasi politik yang tidak menentu masakini. Sekarang berjanji lagi dan kita tahu hasilnya akan tetap sama.

Yang akan senang hidup dalam keadaan ‘super’ kaya adalah ‘warlords’ dan kroni-kroni UMNO dan BN. Rakyat biasa tetap menganga lebar memerhati pemimpin dan keluarga mereka hidup mewah-mewah yang tidak ada tolok bandingnya walaupun isteri mereka hanya datang dari gulungan rakyat biasa sahaja sebelum menjadi isteri pemimpin-pemimpin besar negara.

Sekarang pemimpin-pemimpin yang sama juga mundar mandir untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat yang terbiar dan tertipu selama ini. Dalam masa pilihanraya menghampiri kita inilah mereka turun kebawah menyuruh kita ‘membajak sawah pagi ke petang. Apabila mendapat hasilnya padi-padi tadi akan dimasukkan ke dalam kepuk di mana tikus-tikus gemuk akan membahamnya’.

Yang akan ditinggalkan oleh tikus-tikus ini hanyalah hampa-hampa padi seperti yang dibahagi-bahagikan melalui BRIM sebanyak RM500 itu. RM1 trillion wang kita telah dibawa keluar negara sejak sepuluh tahun dahulu. Saya telah menyaksikan rakyat yang lapar ini beratur hampir lima jam untuk mendapatkan RM500 itu. Kepada yang mempunyai perasaan mereka akan melihat mereka beratur dengan perasaan sedih dan pilu. Itu sahajalah yang mereka dapat setelah UMNO memerintah selama 55 tahun.

Setelah mendapat hasil padi hasil bajakan ‘kerbau-kerbau’ ini mereka akan hilang dan menjual hasil bajakan rakyat tadi…bershopping ke London, New York, Paris. Rakyat yang telah diperah peluhnya tadi hanya mendengar sahaja tuan-tuan besar ini membelanjakan hasil pembajakan mereka itu.

Bagi saya tindakan memperbodohkan rakyat ini wajar dihentikan dahulu lagi, tetapi tidak juga dihentikan. Pemimpin-pemimpin kita mengambil rakyat ramai ‘for granted’, boleh diperlakukan apa sahaja. Selagi rakyat khususnya orang Melayu miskin, selagi itulah UMNO dan BN mengharapkan sokongan dari mereka ini. Lagi miskin rakyat lagi mudah pimpinan kita menipu dan menyesatkan negara. Memang benar kata agama kita yang ‘kemiskinan itu membawa kekufuran’.

Letih kita dibuatnya. Kali ini kita terpaksa berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuang undi. Kalau kita melakukan kesilapan lagi maka kita jugalah yang kecewa dan menganga melihat pimpinan kita memferaidkan hasil mahsul rakyat sehingga kering kontang.

Kita mesti ingat, jika kita hendak menjaga harta benda kita jangan biarkan pencuri dan perompak mendekati kita. Kita kunci betul-betul supaya penyamun dan perompak tidak dapat masuk lagi.

Gua ingat gua tak mau tolong lu.

05 February 2012

Kita memerlukan siasah, 'ambience' politik dan imej negara yang baru

Sejak saya menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP) pada 8hb Januari yang lalu, saya agak sibuk juga berjumpa dengan ramai rakan-rakan lama yang saya sudah lama tidak temui. Setiap hari ada sahaja beberapa panggilan talipon dari sahabat-sahabat lama ini, ada yang sudah dua puluh tahun tidak bersua. Mereka berjumpa untuk bertanya khabar setelah mendengar berita yang saya sudah meninggalkan UMNO untuk melalui wadah baru perjuangan setelah menyepi hampir dua dekad.

Sesungguhnya selama saya kesaorangan di rumah bersama cucu-cucu, saya sempat berfikir dan membuat ‘soul searching’ secara serius tentang isu-isu politik yang berbangkit dalam negara kita ini. Saya memerhatikan lagak dan laku pemimpin-pemimpin melalui TV yang kebanyakkannya adalah dari mereka yang saya kenal sejak berdekad-dekad dahulu yang kini sudah menjadi pemimpin, tidak dapat memahami dan menyelami perasaan ahli-ahli UMNO dan rakyat amnya.

Ramai di antara mereka yang berjumpa dengan saya itu adalah ahli-ahli UMNO serta pemimpin diperingkat rendahan seperti ketua-ketua bahagian UMNO serta jawantankuasa mereka. Ada juga pemimpin peringkat yang tinggi memanggil bertanyakan kenapa saya menyertai pembangkang sedangkan saya telah menyertai UMNO selama empat puluh tahun, lebih lama dari mereka sendiri.

Pertanyaan-pertanyaan ini saya jawab hanya dengan meluahkan satu dua baris ayat jawapan. Yang paling selalu saya jawap ialah, UMNO sudah hilang identitinya samasekali. Saya sudah tidak mengenali UMNO lagi. Parti yang di sebut sebagai UMNO itu sudah tidak rupa UMNO lagi. UMNO hanya tinggal pada nama tetapi tidak ada rohnya lagi. UMNO ibarat kucing dengan tikus. Dulu kucing makan tikus tetapi kucing sekarang takut pada tikus. Kadang-kadang saya menjawab dengan bertanya satu soalan; kenapa saya mesti kekal dalam UMNO? Apabila soalan itu dijawab barulah saya boleh menjawab soalan kenapa saya menyertai DAP.

Pemimpin-pemimpin sekarang tidak memahami apa itu UMNO sebelum mereka menyertai parti itu. Sampai sekarang mereka tidak memahami apa itu UMNO dan mereka jugalah yang menjadi pemimpin parti itu dan mentadbir negara dengan cara yang kita lihat sekarang. Mereka menganggap menyertai UMNO dan seterusnya menjadi Menteri dan sebagainya itu merupakan perkara yang ‘ultimate’ bagi mereka tetapi mereka tidak pernah berusaha untuk menjaga apa yang terkandung dalam BAB3 Perlembagaan Parti itu.

Dosa terbesar UMNO ialah membantutkan daya pemikiran orang Melayu. Orang Melayu tidak dibenarkan berfikir diluar kotak tetapi dalam masa yang sama mereka beretorik supaya orang Melayu menjadi bangsa yang global. Bercakap yang benar didalam UMNO itu merupakan kesalahan dan kita tahu yang UMNO hanya bergantung kepada kuasa pinjaman yang diberikan rakyat sahaja. UMNO tidak mampu mempertahankan diri dengan menunjukkan kerja baik dan membangun.

Ini disebabkan imej parti itu yang sudah terlalu tercemar dengan rasuah serta penyalahgunaan kuasa yang keterlaluan. Maka satu-satunya jalan untuk mempertahankan diri ialah dengan membuat segala perkara yang lazim dilakukan oleh pihak-pihak yang ‘desperado’. Dimana-mana rasuah, baik dalam kerajaan atau dalam parti. Wang ringgit merupakan satu-satunya cara bagi mereka untuk mempertahankan diri, semuanya hendak dibeli. Jiwa dan perasaan pun menjadi bahan dagangan. Saya amat runsing melihat apa yang akan terjadi kepada bangsa saya yang dijadikan sebagai ‘political prostitute’ dengan membayar setiap perkhidmatan terutamanya semasa pilihanraya hampir tiba ini.

Bagi saya perkara ini wajib dihentikan kerana yang akan terbantut daya pemikirannya ialah orang Melayu sendiri. Orang Melayu sudah begitu lesu, tidak berdaya berfikir secara jelas kerana jiwa mereka telah ditawan dan dikurung tanpa boleh berbuat sesuatu untuk kemajuan masa depan mereka. Mereka telah diasah yang boleh menjamin masa depan mereka ialah UMNO sahaja.

Tetapi UMNO itu sendiri sedang menghadapai saat kematian kerana penyakit yang tidak boleh diubati seperti rasuah, rendah diri serta tunduk kepada tekanan yang dilakukan oleh mereka yang telah digaji dan diupah untuk menjaga mereka. Rakyat tidak boleh berbuat sesuatu yang bertentangan dengan kehendak pemerintah yang diberikan mandat oleh rakyat itu sendiri.

Pemimpin-pemimpin UMNO tidak dapat menerima bahawa parti itu sudah tidak UMNO lagi kerana UMNO yang sebenarnya tidak bersifat seperti yang kita lihat pada hari ini. UMNO sudah menjadi parti yang ‘clueless’ dan tidak lagi berdaya walaupun hanya untuk menentukan arah tujuan perjuangan partinya.

Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO tidak ‘abreast’ dengan keadaan baru yang menyelubungi pemikiran dan kehendak semasa rakyat yang baru. UMNO tidak sedar yang rakyat mahu hidup aman damai dengan jiran tetangga dan tidak mahu lagi terkongkong dengan perasaan rasis yang menebal. UMNO masih memainkan perasaan dan sentimen perkauman. Ramai yang telah membabikan saya kerana menyertai DAP tetapi tidak mahu mengenalpasti kenapa ramai orang Melayu sedang berjinak-jinak dengan parti itu selain dari berjinak-jinak dengan PAS dan PKR.

UMNO tidak mahu berkorban dengan mengikuti kehendak rakyat yang dahagakan sebuah kerajaan yang telus dan terhindar dari rasuah besar-besaran. Rakyat sedang mencari penyelesaian terhadap ‘capital flight’ secara haram yang telah mencecah kepada jumlah melebihi satu trillion ringgit. Rakyat tidak berpuas hati dengan kedudukan yang kelima terbesar jumlah kehilangan wangnya ke luar negara.

Rakyat mengharapkan UMNO yang telah diberikan mandat oleh rakyat untuk mentadbir dengan baik dan jujur, tetapi UMNO tidak juga mahu melakukan kebaikan itu. Maka kebanyakan rakyat sedang menyelesaikan keresahan mereka dengan memberikan sokongan kepada parti lain yang diharapkan dapat memperbetulkan keadaan yang menjijikan ini.

Sikap ‘cepat tangan’ pemimpin UMNO pada hari ini menyebabkan ramai rakyat yang sudah tidak lagi percaya kepada UMNO. Rakyat sudah mempunyai persepsi yang ‘conclusive’ terhadap UMNO sebagai parti yang tidak mempunyai seorang pun pemimpin yang boleh dipercayai. Setiap projek kerajaan mesti ada sebahagian dari keuntungan kepada pemimpin yang mengetuai kementerian atau jabatan yang mereka ketuai.

Persepsi buruk ini sudah menjadi stigma yang tidak boleh dibuang lagi. Saya selalu bermimpi untuk memulakan sebuah negara yang baru dengan siasah baru dan ini hanya boleh dilakukan oleh seorang yang berkemampuan dan yang tidak mempunyai ‘baggage’ dan berpengalaman dalam mentadbir dan mempunyai kemampuan politik yang tinggi. Saya tidak berhenti berdoa agar Tuhan mendatangkan seorang pemimpin yang berkemampuan untuk membetulkan keadaan yang sudah menjadi keresahan rakyat keseluruhannya.

Yang penting, keadaan politik yang tidak menentu ini mesti ditinggalkan dibelakang untuk kepentingan rakyat semua kaum dan negara amnya.

04 February 2012

Poster-poster rasis sudah mula dinaikkan. Itu petanda BN sudah kehabisan modal

Saya telah pergi ke TTDI hari ini untuk bertemu beberapa orang rakan yang ingin berjumpa saya sambil minum pagi. Saya diberitahu oleh rakan-rakan saya yang sudah banyak poster-poster yang ditampal dimerata-rata tempat tentang Lim Guan Eng sebagai anti-Melayu. Poster itu berbunyi ‘Lim Guan Eng anti Melayu’. Sebagai seorang yang sentiasa berada bersama rakyat marhean di bawah ini, saya dapat merasakan dengan jelas yang DAP sedang mendapat penerimaan dari kaum Melayu yang sudah terbuka minda dan tidak lagi terkongkong dengan momokan jahat setengah pihak terhadap parti itu.

Ini juga dapat dirasakan oleh UMNO dan sekutunya. Maka tidak terkejut jika mereka melakukan tindakan desperado ini kerana ini sahajalah jalan yang tinggal untuk menggagalkan usaha DAP untuik membuktikan yang parti itu benar-benar sebuah parti 'multi-racial' yang sedang mendapat sambutan dari semua kaum termasuk dari kaum Melayu yang sudah tidak terkongkong dengan momokan gila parti-parti dalam BN khususnya UMNO.

Untuk memahami tujuan poster ini dinaikkan tidak memerlukan seorang yang bijak pandai untuk mentelaahnya. Seseorang yang terbuka sedikit mindanya dan sudah bercampur gaul dengan mereka yang berpolitik secara jujur akan cepat tahu matlamat pihak yang menaikkan poster-poster ini. Matlamatnya ialah untuk berusaha dengan cara kotor untuk BN mendapat sokongan dari semua kaum khususnya orang Melayu.

Kerja menakut-nakutkan Melayu ini memang cara UMNO untuk menjauhkan Melayu dari mendekati DAP. Puluhan tahun orang Melayu ditakutkan dengan isu 13 Mei untuk menjauhkan orang Melayu dari DAP. Tetapi isu itu sudah tidak dipakai lagi kerana rakyat tahu kaum Cina lah kaum yang takut dengan pergaduhan di antara kaum kerana mereka mahukan keamanan dan hidup berniaga di dalam negara yang tidak berpecah belah.

Rakyat pun tahu yang kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng telah menunjukkan sikap mengambil tahu hal untuk semua kaum di negeri tadbiran beliau. Orang Melayu sekarang sudah sedar yang Guan Eng tidak boleh di nafikan ketelusannya dalam mentadbir negeri Pulau Pinang. Lim Guan Eng yang dituduh anti Melayu dan Islam oleh penyokong UMNO dan BN telah memperuntukkan wang sebanayk RM64 juta untuk mentadbir urus hal ehwal agama Islam di Pulau Pinang. Semasa BN memerintah Pulau Pinang, peruntukkan untuk hal ehwal Islam hanyalah sebanyak RM12 juta sahaja.

Walaupun negeri Pulau Pinang hanya sebuah negeri yang kecil dan jumlah orang Islamnya kecil jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, peruntukkan sebanyak RM64 juta itu merupakan jumlah yang amat besar. Peruntukkan itu termasuklah untuk menyelia elaun guru-guru KAFA, pentadbiran tanah perkuburan serta semua yang berhubungkait dengan agama Islam di negeri itu.

UMNO sedar yang Guan Eng tidak boleh lagi dipersendakan kepimpinannya. Jika benar Guan Eng anti Melayu bagaimanakah 70% dari kontrak yang diberikan oleh kerajaan Pulau Pinang itu diperolehi oleh Bumiputra? Kerajaan Pulau Pinang tidak memandang bangsa dan ethnik dalam pembahagian kontrak-kontrak ini sebaliknya pembahagian itu adalah didasarkan kepada ‘merit’ yang ada kepada kontraktor-kontraktor itu. Dengan keadaan itu maka terbukti kontraktor-kontraktor Melayu mempunyai ‘merit’ yang tinggi yang mereka tidak dapat buktikan semasa pemerintahan Koh Tsu Khoon dahulu.

Dengan kata-kata lain Bumiputra boleh berjaya tanpa bersandar kepada peruntukkan keistimewaan Bumiputra sebagai yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negara. Sesungguhnya orang Melayu mampu membuktikan yang mereka boleh bersaing dan semasa pemerintahan Gerakan dahulu mereka tidak berupaya membuktikannya kerana setiap kerja yang di berikan oleh kerajaan BN semasa itu telah diperolehi oleh kroni-kroni kerajaan semasa itu.

Segala bukti-bukti ini secara beransur-ansur dapat disaksikan oleh rakyat dan itulah sebabnya UMNO ternyata takut dengan DAP yang akhirnya telah berjaya membuktikan yang parti itu benar-benar parti untuk rakyat dan bukannya untuk kroni-kroni tertentu dan ‘warlords’ yang istimewa dalam UMNO dan BN itu.

Pentadbiran yang jujur memang satu perkara yang tidak mampu dilakukan oleh UMNO dahulu maka perbezaan yang ditunjukkan oleh Guan Eng ini amat menakutkan UMNO. Maka tidak hairanlah kenapa poster yang bersifat sensitif ini dinaikkan oleh setengah pihak yang takut kepada kejayaan DAP untuk membuktikan yang parti itu tidak bersifat rasis seperti MCA dan UMNO dalam BN itu.

Poster-poster itu hanya merupakan satu tindakan yang ‘counter productive’ bagi pihak yang menaikkannya yang bersifat rasis yang keterlaluan itu.

01 February 2012

Nak jawab sikit komen Awang Selamat

Awang Selamat dalam tulisannya berdukacita kerana orang Melayu lah yang paling ramai tidak mendaftar sebagai pemilih walaupun mereka layak untuk mengundi. Lain-lain bangsa telah dan sedang bergiat mendaftar sebagai pemilih untuk melaksanakan kewajipan mereka terhadap negara.

Awang Selamat juga menzahirkan kebimbangannya jika sikap sambil lewa orang Melayu ini berterusan, ia akan melemahkan kekuatan orang Melayu dalam mempertahankan Perlembagaan Negara yang mempertahankan kedudukan orang Melayu didalam negara ini. Awang Selamat juga mengingatkan orang Melayu supaya tidak menjadi kaum yang bergegar-gegar dalam majlis-majlis politik tetapi tidak melakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan terhadap negara. Akhirnya kata Awang Selamat, orang Melayu akan hanya menang sorak tetapi kampung tergadai.

Komen Awang Selamat ini memang betul, tetapi apa yang Awang Selamat tidak bertanya ialah, kenapa orang Melayu menjadi begini sikapnya? Kenapa orang Melayu tidak prihatin terhadap tanggungjawabnya untuk mengundi dan menentukan halatuju perjuangan bangsa Melayu dalam negara ini. Awang Selamat tidak bertanya siapa dan pihak mana yang bertanggungjawab menjadikan ramai dikalangan orang Melayu tidak mengambil tahu bagaimana pentingnya mendaftar diri sebagai pemilih?

Selain dari tidak mendaftar sebagai pemilih, ramai di kalangan anak muda menyertai serta menyokong parti-parti pembangkang yang selama ini dimomokan oleh UMNO sekian lama. Anak-anak muda tidak lagi mahu pemikiran mereka dikuasai oleh pimpinan yang tidak bertanggungjawab terhadap nasib masa depan mereka.

Yang telah keluar dari universiti, misalnya terus terbeban dengan hutang PTPTN yang banyak dan tidak berkesempatan untuk membantu ibu bapa yang dalam kesusahan seperti yang mampu dilakukan oleh graduan-graduan zaman dan masa dahulu. Mereka tahu segala slogan yang cantik yang kononnya memberikan kelegaan kepada rakyat untuk mencari peluang untuk hidup dalam kesenangan tidak kesampaian.

Awang Selamat tidak sedar yang rakyat, terutamanya yang muda-muda ini, tahu yang rakyat dalam negara maju telah memberikan pelajaran kepada rakyatnya secara percuma, terutamanya dalam negara-negara Scandinavia. Di kesebelasan negara tersebut pelajaran adalah percuma sehingga peringkat yang tertinggi. Tetapi kerajaan dan pimpinan kita memilih untuk mengambil contoh negara-negara yang pelajaran dan pendidikan masih dibayar dengan harga yang tinggi.

Desakan dalam jiwa rakyat terutamanya gulungan muda merasa tertipu kerana semua pemimpin BN menganggap negara kita negara yang maju dan kaya raya tetapi mereka masih membayar harga pendidikan yang begitu tinggi.

Anak-anak muda sudah tahu di negara Scandinavia tidak ada 'twin tower' yang tinggi-tinggi tetapi pendapatan per kapita mereka lebih tinggi dari negara-negara G8. Di negara-negara tersebut tidak ada 'tiang bendera' yang tertinggi dalam dunia dan tidak ada'gong' yang terbesar didunia yang pernah diletakkan di Angkasa Puri suatu ketika dahulu, tetapi negara mereka maju dan rakyat mereka hidup dalam keadaan aman dan damai.

Di negara-negara maju seperti di negara kumpulan Scandinavia, pemimpin-pemimpin mereka tidak bersusah payah turun ke bawah untuk bersalaman dengan rakyat, sebaliknya dasar-dasar yang baik dan sempurna pelaksanaannya sampai kepada rakyat. Pemimpin-pemimpin disana tidak dikenali oleh masyarakat antarabangsa kerana mereka menumpukan segala tenaga untuk memperbaiki keadaan hidup rakyat negara mereka. Perdana Menteri mereka seperti PM Switszerland, Norway, Sweden tidak dikenali oleh kita semua. malahan di dalam saluran TV negara-negara tersebut, jarang sekali kita melihat PM mereka pergi kesana kemari untuk melepaskan anak itik dan ayam atau merasmikan tandas awam seperti yang lazim kita lihat di sini.

Disini pemimpin berkempen dengan harga yang tinggi dan dengan urusan menyambut pemimpin dengan kos makanan dan khemah yang sampai memakan belanja jutaan ringgit. Pemimpin kita hanya menumpukan masa dan tenaga untuk mencari jalan bagaimana hendak membeli undi dengan harga murahan sebanyak RM500 untuk mengekalkan kuasa.

Pemimpin kita hanya mengekalkan kuasa melalui pembelian undi dan memomokan pihak yang menentangnya yang mahu menjadi alternatif kepada kepimpinan yang kian hari kian ternoda dengan ketirisan serta rasuah yang begitu tinggi dan besar yang tidak dapat disorok-sorok lagi.

Isu rasuah merupakan isu terbesar kerana rasuah bukan kecil balanya jika ia menimpa negara. Banyak negara-negara didunia ini telah lebur segala tamaddunnya jika rasuah tidak dikawal. Rakyat bukannya tidak memberikan peluang untuk pemimpin menghindarkan rasuah ini tetapi kesabaran rakyat itu diambil oleh pemimpin sebagai kelemahan kepada rakyat dan mereka terus sahaja memanipulasi harta rakyat tanpa segan dan silu.

Banyak lagi perkara yang patut disebut tetapi orang ramai tidak tahan membaca mana-mana ‘article’ yang panjang. Setakat ini dahulu yang dapat saya tulis. Diharap Awang Selamat memahami keadaan sebenar dibawah ini. Kita faham Awang Selamat tentu menyebelahi ‘the buttered side of the bread’, tetapi itu hak Awang Selamat untuk menentukan sikapnya.

Semua mesti faham yang ditadbir oleh pemimpin dan negara ini adalah manusia yang mempunyai perasaan seperti Awang Selamat juga. Perasaan itulah yang telah diguris dan dilapah sejak dua tiga dekad yang lalu. Kita mesti akui, sedangkan anjing kurap pun akan mengotek ekornya kalau dilakukan perkara yang tidak baik kepada mereka, inikan manusia yang mempunyai akal fikiran yang dianugerahi Tuhan Maha Esa.