31 March 2012

PTPTN : Cadangan PR untuk memansuhkannya wajar mendapat sokongan

PTPTN wajar dimansuhkan dan saya bersetuju dengan cadangan Pakatan Rakyat(PR) untuk menghapuskannya jika PR diberikan mandat oleh rakyat dalam pilihanraya kali ini. Saya telah menulis isu pembiayaan pelajaran ini banyak kali kerana isu pelajaran dan pendidikan adalah isu teras dalam pembangunan negara. Pendidikan selalunya percuma di negara-negara maju.

Janganlah kita mengaku yang negara kita adalah negara maju dan rakyat yang berpendapatan tinggi tidak lama lagi tetapi kita tidak nampak tanda-tanda hasrat yang dilaungkan oleh PM Najib itu akan tercapai seratus tahun lagi. Takkanlah dengan memberikan wang ehsan RM500 baru-baru ini telah menjadikan negara kita rakyat yang berpendapatan tinggi.

Di kesebelasan negara-negara Scandinavia pelajaran adalah percuma. Di Germany juga percuma dan di Perancis dan banyak lagi negara-negara lain yang memberikan pendidikan dan pelajaran percuma sehingga peringkat tertinggi.Di negara-negara tersebut tidak ada nampak pemimpin politiknya pergi ke kawasan masing-masing menabur wang 500 euro dan sebagainya. Mereka tidak pun sibuk mendabik dada yang mereka telah memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat mereka.

Alasan Menteri Pelajaran Tinggi, Khaled Nordin, yang PTPTN tidak boleh dilupuskan kerana ianya akan mengurangkan daya saing siswazah-siswazah kita adalah tidak munasabah. Khaled seterusnya bertanya jika hutang PTPTN itu dilupuskan, siapa yang hendak membayar hutang-hutang itu? DAN jika itu dilakukan juga maka IPTS akan tutup kerana pelajar-pelajar akan hanya bertumpu kepada IPTA.

Saya benar-benar tidak percaya menteri itu memberikan alasan yang tidak berlandaskan kepada kekuatan pemikiran seorang penggubal dasar. Apa yang susah sangat kerajaan hendak menyelesaikan masalah ini? Bukankah pelajaran dan pendidikan itu merupakan elemen asas untuk membentuk negara maju? Apa yang tidak dapat diterima ialah kerajaan tidak peka langsung tentang nasib anak-anak bangsa yang sudah sedia berhutang semasa muda mereka.

Pendidikan ini ibarat nafas kita. Nafas kita memerlukan udara untuk hidup dan udara itu percuma. Begitu jugalah pelajaran. Pelajaran itu tersangat penting untuk mengekalkan kewujudan sesebuah negara yang maju. Negara kita telah membazir dengan ketirisan yang sudah mencapai ke angka trillion ringgit, kenapa pula tidak ada kudrat untuk membiayai pelajaran rakyat jelata?

Jika rakyat boleh membayar hutang hanya seorang anak Perdana Menteri sehingga RM1.8 billion ringgit pada tahun 1998 dahulu, kenapa kita tidak boleh menanggung pembiayaan pelajaran rakyat yang ramai ini? Kenapa rakyat yang ramai terlalu susah untuk mendapatkan bantuan bebanan membayar hutang sedangkan pemimpin-pemimpin atau kroni mereka amat mudah untuk mendapatkan ‘bailout’ dari kerajaan dalam angka yang beratus billion ringgit itu.

Apa peliknya jika rakyat kita mendapat pelupusan hutang PTPTN ini serta memansuhkan terus PTPTN ini? Jika Tajuddin Ramli diberikan gerenti untuk tidak perlu membayar hutang kepada kerajaan yang berbillion ringgit itu, kenapa hutang anak-anak bangsa yang baru masuk ke alam pekerjaan itu tidak dilupuskan? Jika Tony Fernandez yang sudah hampir terlungkup dengan berbillion ringgit itu boleh di selamatkan oleh kerajaan dengan bertenggek kepada MAS itu?

Kenapa Mirzan Mahathir yang tidak berjaya dalam perniagaannya boleh menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan beliau dari tersungkur dan tersembam ke bumi kerana kegagalannya?. Kenapa susah sangat untuk memikirkan nasib ratusan ribu siswazah yang baru keluar dari universiti itu tidak boleh diselamatkan dari tindakan undang-undang kerana tidak mampu untuk membayar hutang PTPTN ini?

Isu PTPTN ini melibatkan hampir kesemua keluarga di seluruh negara maka cadangan PR untuk melupuskan dan memansuhkan terus PTPTN ini amat wajar diberikan sambutan dan sokongan. Jika semua masyarakat memberikan dorongan untuk menghapuskan terus sekim PTPTN ini maka ia akan berjaya dilakukan hanya dalam beberapa bulan sahaja lagi, iaitu semasa berada di dalam bilik mengundi serta saluran yang rakyat akan pergi untuk melaksanakan tanggungjawab besar ini.

Saya yakin alasan yang diberikan untuk menolak penghapusan hutang PTPTN ini merupakan satu alasan yang meleset apabila PR buktikan yang penghapusan itu boleh dilakukan tanpa sebarang masalah besar.

Jika mereka yang berkuasa dan kroni kepada pihak yang gagah perkasa dengan kuasa boleh dilupuskan dalam jumlah ratusan billion ringgit, tidak ada sebab kerajaan memberi sebab untuk tidak melupuskan hutang untuk ratusan siswazah yang hanya berjumlah lebih sedikit dari 6 billion ringgit itu.

Jika pihak PR diberikan mandat kali ini maka keuntungannya kepada setiap keluarga akan jauh lebih banyak dari wang ehsan RM500 yang diberikan kerajaan BN baru-baru ini. Masing-masing patah-patahkan lah jari untuk membuat perkiraan itu. Tidak payah pakai mesin pengira yang canggih untuk mendapatkan jawapannya.

Masalah menghadapi tuntutan dari PTPTN ini merupakan masalah yang sangat besar yang dihadapi oleh siswazah dan ibu bapa siswazah-siswazah yang baru bekerja atau yang belum bekerja sekarang ini. PTPTN memberikan masalah kepada hampir semua keluarga yang ingin mendapatkan pelajaran untuk anak-anak mereka.

Yang penting setiap orang wajar bersabar menunggu hari membuat perhitungan ini.

29 March 2012

Pemimpin-pemimpin menganggap ahli-ahli UMNO ibarat garam sahaja

Akhir-akhir ini saya telah dihubungi oleh ramai diantara rakan-rakan saya untuk berjumpa minum petang dan makan malam. Mereka ini adalah diantara ahli-ahli UMNO yang memberikan saya semangat dan sokongan moral untuk saya kembali bergiat, kali ini dalam DAP. Sesungguhnya saya mempunyai ramai rakan-rakan didalam UMNO yang akhir-akhir ini selalu berhubung dan berbincang tentang politik setakat ‘level’ kita yang rendah-rendah ini.

Kesemua diantara mereka terus menerus meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap UMNO yang kian merosot imejnya dikalangan rakyat. Kata mereka kali ini UMNO akan berhadapan tentangan hebat dari pembangkang dan juga sibuk menyelesaikan masalah dalaman yang mereka sedang hadapi terutamanya semasa PRU nanti. Semuanya hendak menjadi calon dan semuanya merasakan mereka adalah calon ‘winnable’ untuk UMNO dan BN.

“Bro, kami ni gunanya hanya semasa pilihanraya sahaja. Lepas tu kita tidak ada guna dah. Mereka akan sapu semua yang ada dan peranan kita hanyalah untuk melihat dan memberikan sokongan bila mereka menghadapi masalah sahaja.” Kata salah seorang yang bercakap dengan saya itu. “Lepas ini kita tidak ada lagi peranan” katanya lagi.

Saya memberikan respon terhadap kata-kata ini. Saya menyatakan kepada mereka itulah yang saya marah dengan UMNO. Pemimpin UMNO memandang rendah kepada rakyat dan ahli-ahlinya sendiri. Pemimpin-pemimpin besar UMNO hanya menganggap ahli-ahli UMNO dibawah ini seperti garam untuk masakan hidangan enak-enak mereka sahaja. Mereka tahu garam itu amat penting dalam sesuatu masakan untuk mengenakan masakan yang mereka akan baham itu.

Kita tahu garam itu penting tetapi pentingnya garam itu ada hadnya. Selalunya garam ini hanya digunakan dengan jumlah yang kecil. Ia hanya digunakan sedikit sahaja untuk masakan itu. Garam hanya digunakan setakat sesedap rasa sahaja. Mereka tidak akan menggunakan garam lebih dari setakat sesedap rasa, kerana jika garam digunakan berlebihan masakan itu akan menjadi masin dan tidak enak rasanya lagi.

Pemimpin-pemimpin UMNO hanya menggunakan ahli-ahlinya hanya untuk pilihanraya dan mereka akan dibiarkan melata selepas itu. Mereka tidak akan diperlukan lagi apabila mereka sudah memberikan jasa dan bakti dalam sesuatu pilihanraya itu. Ahli-ahli dibawah ini hanyalah garam kepada UMNO. Ahli-ahli hanya dipergunakan untuk menyedapkan apa yang mereka makan. Apabila sudah digunakan garam ini, bekas garam itu akan diletakkan ditempat yang tidak sebaik ikan dan sayuran yang diletakkan didalam peti sejuk yang nyaman.

Jadi ahli-ahli UMNO sekarang sudah mulai sedar yang mereka hanyalah ‘standard’ garam sahaja kepada partinya. Garam merupakan satu ‘ingredient’ yang paling murah sekali didalam sesuatu masakan itu.

Setakat itu sahajalah nilai ahli-ahli UMNO kepada pemimpin-pemimpinnya. Tetapi garam-garam inilah yang selama ini menjadi penyedap kepada pemimpin yang makan sedap-sedap itu. Kalau tidak ada garam-garam ini didalam UMNO, nanti mereka tidak akan merasakan makan yang sedap lagi.

Membasuh sayur-sayur yang ada 'chemical' juga selalunya menggunakan air garam untuk mempastikan sayur-sayur itu suci dari kandungan 'chemical' yang digunakan oleh penanam sayur itu. Apabila sayur-sayur sudah bersih dari kotoran itu, air garam akan dibuang sahaja dan mengalir ke longkang-longkang bersama-sama dengan air kumbahan yang lain-lain itu.

Itu sahajalah gunanya ahli-ahli UMNO dan itu pun anggapan dan penilaian pemimpin-pemimpin besar terhadap mereka. Patutlah Dr Mahathir menganggap UMNO ini di penuhi oleh orang-orang yang tidak berkelayakan (tidak professional). Kalau mereka (ahli-ahli UMNO) itu professional masakan mereka hanya dianggap sebagai garam sahaja?

28 March 2012

Kalau sudah 55 tahun memperjuangkan Melayu gagal, UMNO akan terus gagal

Sejak saya mengambil keputusan menyertai pihak alternatif melalui Parti Tindakan Demokratik (DAP) ramai rakan-rakan yang datang menemui saya untuk bertanya berbagai-bagai persoalan tentang tindakan saya itu. Rata-rata yang datang bertanya itu adalah dikalangan mereka yang telah berkawan dan bersahabat dengan saya sejak puluhan tahun dahulu. Rakan-rakan yang jauh bertanya kepada saya melalui email dan talipon dan memahami saya setelah saya memberikan kefahaman yang sebetulnya.

Apa yang saya nampak mereka lebih bertanya kenapa saya memilih untuk tidak lagi bersama UMNO. Jarang-jarang mereka bertanya kenapa pilih DAP kerana mereka juga memahami yang DAP itu adalah sebuah parti yang berpengalaman dan telah berusia hampir 5 dekad lamanya. Mereka memahami yang DAP telah melalui semua ujian dan dugaan untuk ‘survival’ nya kerana tekanan dan momokan oleh pihak pemerintah terhadap parti itu tidak henti-henti dilakukan oleh pihak yang takut dengan perkembangan pengaruhnya, lebih-lebih lagi sejak akhir-akhir ini.

Ramai mahukan saya memberikan mereka sebab kenapa tidak lagi mahu bersama UMNO. Ada setengahnya saya jawab sambil berjenaka dan ada kalanya saya menjawab dengan serius dan memberikan dalil-dalil yang UMNO akan berada dalan persada politik negara hanya sebentar sahaja lagi. Ramai diantara mereka telah pun memberikan sokongan moral kepada saya dan mereka tidak lagi menyimpan sebarang prejudis terhadap DAP lagi.

Tidak ada siapa yang melonggarkan sokongan ramai terhadap UMNO itu, sebaliknya semuanya disebabkan oleh ‘conduct’ UMNO itu sendiri. UMNO itu kian lemah bukan kerana pihak lain. Sebenarnya UMNO itu sendiri seolah-olah terminta-minta parti itu ditinggalkan oleh ahlinya, setidak-tidaknya kepada mereka yang berfikir secara mendalam.

Kenapa saya berkata UMNO itu sendiri terminta-minta untuk ditinggalkan?

Pertamanya UMNO telah menyalahgunakan mandat yang diberikan oleh rakyat sebegitu lama sehinggakan apa sahaja yang dilakukan UMNO sekarang menjadi persoalan kepada rakyat ramai. Oleh kerana terlalu lama memegang kuasa, UMNO sudah mengambil kelembutan orang Melayu dan rakyat ‘for granted’ kerana mereka berfikiran yang orang Melayu tidak akan pergi kemana dan akan terus menyokong UMNO walaupun UMNO telah membinasakan peluang orang Melayu untuk maju dalam dunia yang serba berubah dan moden ini

UMNO memandang rendah kepada ahli-ahlinya serta rakyat jelata yang mereka akan tetap berkuasa, waimma setelah memperkosa harta rakyat melalui budaya kronism yang telah begitu kental terbentuk dalam negara ini. Pendeknya UMNO telah mengambil kelembutan hati orang Melayu sebagai kelemahan yang boleh diperkosa dan dinoda tanpa reaksi negatif dari mereka.

Dimana letaknya kemunasabahan yang orang Melayu masih tercicir sedangkan negara ini diperintah oleh UMNO sejak negara mencapai kemerdekaan 55 tahun yang lalu? Kenapa UMNO gagal untuk melaksanakan dasar-dasar yang terbentuk pre Dr Mahathir yang begitu kukuh dengan sokong setiap kaum dinegara ini? Kenapa UMNO tidak melakukan pelaksanaan kepada dasar memperkukuhkan orang Melayu dengan sempurna.

Apa lagi yang UMNO mahukan kepada orang Melayu sedangkan orang Melayu telah memberikan segala sokongan kepada UMNO sejak merdeka sehingga tahun 2008 dahulu apabila orang Melayu sudah mula merasakan yang UMNO tidak mungkin berjaya membela bangsanya lagi? Sekarang ahli-ahli UMNO menyalahkan bangsa lain dan parti lain pula diatas segala kegagalan mereka.

Segala-galanya, kuasa, sokongan dan kesabaran Melayu dan rakyat keseluruhannya itu diambil kesempatan untuk membina budaya kronism untuk kepentingan perut dan nafsu-nafsi pimpinan sahaja. Sekarang mundar mandir kembali Perdana Menteri menabur janji dan mengingatkan orang Melayu supaya memberikan sokongan kepada parti Melayu UMNO ini demi masa depan orang Melayu.

Bukankah semuanya itu telah diberikan oleh orang Melayu tetapi kenapa UMNO masih tidak berjaya melakukan sesuatu yang berkesan untuk Melayu yang ramai ini? Sebaliknya parti itu hanya memberikan keuntungan kepada segelintir yang berada dikeliling pimpinan atasan sahaja. Kalau diberikan lagi mandat ini, kita sudah pasti keadaan akan masih sama malah orang Melayu akan ketinggalan dari segi pemikiran dan persepsi terhadap kehidupan secara negatif.

Setengah abad adalah terlalu lama untuk membiarkan UMNO memerintah dan waktu untuk UMNO duduk dipetak pembangkang sudah sampai supaya UMNO tahu dan merasakan betapa pedihnya perasaan rakyat khususnya orang Melayu selama ini. Orang Melayu sudah bersabar begitu lama dan tahap kesabaran mereka sudah sampai kepenghujungnya.

Apa yang ramai orang Melayu sekarang berfikir ialah selagi UMNO masih memerintah selagi itulah pemikiran orang Melayu akan jumud terus menerus dan memerhatikan sahaja bangsa-bangsa lain maju kehadapan. Ketinggalan kita itu pula dimainkan untuk memberikan harapan palsu untuk UMNO mendapatkan sokongan dari orang Melayu, tetapi orang Melayu sudah tidak boleh dikotak-katikkan seperti yang selalu mereka alami.

Ramai diantara orang Melayu sudah mula memahami keadaan yang mereka tidak akan pergi kemana jika masih memberikan dukungan kepada UMNO kali ini. Orang Melayu sudah menyedari mereka tidak boleh lagi menagih ehsan dari pimpinan UMNO seperti menerima RM500 semasa pilihanraya mendatang kerana jiwa Melayu sekarang sudah mula bertambah kaya dan tidak mahu lagi dalam jiwa yang fakir dan jumud.

Ramai orang Melayu sedar bahawa mereka perlu memecahkan tembok yang menghalang mereka untuk berfikir dan bertindak semata-mata untuk generasi mereka yang akan datang. Melayu tidak boleh lagi bergantung kepada perasaan sentimen terhadap UMNO kerana UMNO yang sebenarnya pun sudah tidak wujud lagi. Orang Melayu sudah merasakan nikmat bersatu padu ini semasa era sebelum Mahathir dahulu.

Maka orang Melayu kini mahu bersatu padu dengan jitu diluar UMNO kerana Melayu sekarang sudah berjumpa dengan pilihan yang secara relatifnya lebih baik diluar UMNO itu.

Orang Melayu mahu melepaskan diri mereka dari dikongkong oleh perasaan sentimen terhadap parti yang kononnya berjuang untuk Melayu. Orang Melayu sudah sedar setelah lebih dari lima dekad diperhambakan oleh pemimpin-pemimpin parti mereka yang tidak berkemampuan untuk memimpin bangsanya selain dari pandai memerah harta benda rakyat untuk kepentingan ahli-ahli keluarga mereka semata-mata.

Kepada setengah yang menyertai UMNO itu kerana hendak menjadikan modal perniagaan dan bukannya untuk memperjuangkan nasib bangsa sendiri. Oleh kerana itu biarlah mereka sahaja yang bergiat dengan UMNO itu. Bagi sesiapa seperti saya yang ‘having no business to be in business’ ini meninggalkan parti itu.

“Akhirnya saya bertindak keluar dan menukar wadah saya. Saya bukannya bertukar akidah” kata saya kepada mereka.

27 March 2012

Bilalah Abdul Wahub akan muncul? Tak tahan lagi dengan Abdul Wahab dan Abdul Wahib

Lama juga rasanya saya berada dalam UMNO dan pernah bergiat hampir 3 dekad lamanya. Walaupun saya bukan seorang yang pandai dan jauh sekali untuk memandai-mandai, saya dapat banyak pengalaman bergiat dalam parti yang telah diberikan mandat untuk mentadbir negara selama kita mencapai kemerdekaan. Itulah sebabnya saya berani dan boleh untuk menceritakan perkara-perkara yang membezakan diantara UMNO yang dahulu dengan UMNO baru yang baru berumur 24 tahun itu.

Bak kata orang tidak ada yang lama tidak ada yang baru. Keadaan bersalah-salahan itu memang satu keadaan yang natural. Hanya kita sahaja yang boleh memilih untuk memilih salah satu dari sifat berlawanan itu. Kalau ADA lawannya TIADA, begitulah keadaannya. Mana kita tahu yang sesuatu itu panjang jika tidak ada elemen yang pendek. Masakan kita tahu mana yang panas jika kita tidak tahu dan pernah merasakan yang sejuk dsb.

Dalam politik dinihari kita sedang melihat satu politik yang belum pernah kita lihat dan alami sebelum ini. Keadaan ini berlaku disebabkan kali ini merupakan pilihanraya dalam mana rakyat ramai terutamanya gulungan yang muda bersama-sama terlibat memainkan peranan untuk membezakan politik dahulu dan politik sekarang ini. Kali ini juga merupakan politik yang pertama kalinya BN menghadapi pengaruh PR yang sudah pun memegang teraju pemerintahan dilima buah negeri dalam Persekutuan ini.

Salah satu penyebab yang BN menjadi lemah ialah kerana sifat takbur BN yang telah sebati dengan UMNO yang BN dianggap pasti pilihan rakyat. Malahan selalu sangat kita mendengar kata-kata seperti; “kalau bertanding BN, calon tak payah datang berkempen. Kalau wakilkan songkok calon pun dah cukup”, begitulah sombongnya UMNO dalam waktu ia sedang kuat.

Kata-kata yang lain yang selalu kita semua dengar, “PAS dan pembangkang itu hanya parti bermusim. Ianya wujud hanya semasa pilihanraya sahaja” atau pun “Pembangkang seperti PAS itu parti gila dsb”. DAP pula dikatakan parti komunis, rasis, anti Islam dan jika menyertai parti itu kita akan menjadi kafir. Semua momokan UMNO terhadap musuhnya dibantu oleh media arus perdana selama 50 tahun lamanya. Tetapi sekarang mampukah UMNO dan pimpinannya bercakap sedemikian sombong?

PAS telah dihina oleh pimpinan UMNO semasa parti itu masih terkial-kial untuk meyakinkan rakyat, malahan ramai diantara pemimpin mereka dipenjarakan dan disimpan di Kemunting dibawah tahanan ISA. Dr Mahathir marah-marah kerana ada Melayu Islam yang berkeyakinan terhadap PAS, parti yang pernah dicop sebagai parti militan untuk menjarakan orang Melayu darinya. Dr Mahathir pernah dengan sombong bercakap yang Nabi Muhammad SAW tidak bercukur kerana semasa zaman itu tidak ada pisau pencukur.

Mungkin memang benar tidak ada pisau pencukur semasa itu. Saya pun tidak pasti kerana 1432 tahun dahulu saya belum lahir lagi. Tetapi saya dan ramai lagi sekarang ini memang mengakui yang pisau pencukur sememangnya banyak sekarang ini.Pencukur-pencukur inilah yang telah dan masih mencukur harta rakyat sehinggakan negara berhutang sebanyak 53 peratus dari GDP negara..

Sekarang dalam keadaan tersepit pun UMNO masih sombong. UMNO sekarang masih bercakap tentang membantu orang Melayu, isu yang lama yang dimainkan sejak berdekad-dekad dahulu. Melayu tidak kemana juga. Dalam keadaan hampir lumpuh pun UMNO masih bercakap besar tentang isu yang sama. Janji-janji yang sama dibuat sejak dahulu sampai sekarang.

Sekarang ini UMNO (Najib) mundar mandir membuat janji dan kemana sahaja beliau pergi beliau telah membayar sedikit komisyen kepada rakyat. Beliau telah berjanji yang rakyat akan dapat banyak lagi komisyen jika mereka mengundi BN. Malahan beliau begitu terdesak sambil berkata “Lu tolong gua, gua tolong lu”. UMNO tidak habis-habis dengan membayar komisyen kerana kuasa kepada mereka adalah perniagaan.

Kalau ini caranya mentadbir, negara akan bankrap dan ini tidak mengejutkan kerana salah seorang dari jemaah menteri negara pun pernah berkata yang negara kita akan bangkrap pada tahun 2019. Sikap Najib tidak ubah seperti watak Sadiq Segaraga dalam filem Tiga Abdul.

Dalam keadaan hendak kena lelong pun masih hendak membayar komisyen lebih tinggi, iaitu sebanyak 25 peratus jika rakyat tidak melelong UMNO dan BN dalam pilihanraya yang akan datang. Rakyat berharap akan ramai lagi watak-watak Abdul Wahub untuk mengajar pemimpin-pemimpin tamak haloba seperti Abdul Wahab dan Abdul Wahib seperti yang dipaparkan oleh filem 'Tiga Abdul' itu.

Rakyat berharap akan timbul seorang Abdul Wahub dalam isu politik negara kita ini. Kalau muncul Abdul Wahub peluang untuk mencari keadilan akan sampai. Selagi ada watak-watak Sadiq Segaraga yang sentiasa mengambil komisyen dan ketamakan Abdul Wahab dan Abdul Wahib, selagi itulah segala harta rakyat dibolot mereka.

26 March 2012

UMNO bertambah lemah kerana rakyat kini rakyat bermaklumat

Keadaan dunia hari ini tidak lagi boleh sesebuah parti atau kumpulan pemimpin-pemimpin yang tidak beretika dan bermoral bertahan lebih lama lagi. Keadaan itu juga melibatkan negara dan rakyatnya sekali. Seperti dinegara kita UMNO telah memerintah negara sejak merdeka dan dalam keadaan negara yang baru merdeka, UMNO menjadi dukungan rakyat bukan sahaja oleh bangsa Melayu tetapi juga bangsa bukan Melayu. Justru UMNO telah mengepalai kepimpinan negara sejak zaman itu kerana rakyat belum lagi cukup maklumat tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam kepimpinan UMNO itu.

Tetapi sekarang, oleh kerana negara kita bersama-sama menikmati perubahan serta kemajuan dalam teknologi dan bidang-bidang pembangunan manusia yang lain, rakyat negara ini juga sudah menjadi rakyat yang bermaklumat. Walaupun masih ada yang belum bermaklumat tetapi angka dari masa kesemasa mereka juga akhirnya akan dihampiri oleh maklumat-maklumat yang tepat tentang apa yang berlaku disekeliling mereka.

Rakyat bermaklumat ini merupakan rakyat yang susah untuk ditipu helah keatas mereka kerana mereka sudah bijak berfikir dan memahami yang mana satu yang benar dan yang tidak benar. Pembangunan manusia moden ini juga membentuk satu elemen yang penting dalam kehidupan mereka, iaitu elemen etika dan moral yang tinggi sejajar dengan pendidikan dan pergaulan dengan masyarakat yang membangun dalam semua bidang kehidupan seperti ekonomi dan sosial manusia sejagat.

Agama kita pun menuntut umat Islam untuk hidup mengikut waktu dan zamannya. Nilai-nilai Islam itu merupakan nilai sejagat dan nilai itu merupakan nilai yang membentuk manusia hidup secara ‘civil’ dan tidak melakukan perkara-perkara yang tidak diizinkan oleh agama kita yang suci ini serta mana-mana agama sekali pun. Rakyat yang bermaklumat merupakan rakyat yang hidup jiwanya.

Tetapi sebaliknya rakyat yang tidak bermaklumat itu sangat kecil jiwa mereka dan fakir dari segi pemikiran dan persepsi-persepsi mereka terhadap isu-isu yang mengelilingi kehidupan seharian mereka. Orang yang tidak bermaklumat atau mereka yang tidak tahu menilai sesuatu maklumat itu akan sentiasa terjerumus dengan tipu helah pihak-pihak yang ingin menggunakan mereka untuk kepentingan kumpulan yang mahu terus-menerus untuk mengambil kesempatan seperti semasa rakyat ramai yang belum bermaklumat itu.

Disini saya ingin mengambil sekali lagi contoh yang berhadapan dengan kita semua di negara ini khususnya mereka yang bermain politik sempit dan jumud pemikiran. Penyertaan orang Melayu Islam didalam DAP dianggap sebagai pengkhianatan terhadap bangsa dan agamanya. Tetapi anggapan itu sudah ditentang oleh mereka yang memahami politik serta agama yang bermaklumat.

Saya menyebut perkara ini kerana mereka yang mengkritik saya kerana menyertai DAP dan meninggalkan UMNO ini tidak habis-habis menuduh saya sebagai kafir dan anti Islam dan petualang kepada bangsa Melayu. Saya ingin memberikan jawapan kepada isu yang dilemparkan oleh OKU-OKU (Orang kuat UMNO) terhadap saya ini lagi sekali dan saya tidak akan lagi menjawabnya pada masa-masa yang akan datang dalam tulisan saya. Saya akan hanya menjawbnya di dalam ceramah-ceramah di mana saya dijemput untuk berucap di seluruh negara.

Saya meninggalkan UMNO adalah kerana sebab yang sama seperti yang dituduh terhadap saya itu. Saya menentang budaya rasuah yang tidak lagi dapat diselesaikan oleh pimpinan kerana rasuah itu sudah sebati dengan kerajaan hari ini. Apa pun yang dikatakan oleh pimpinan Najib tentang kebaikkan kerajaan hari ini, tetapi jika rasuah masih menempel dan bertenggek diatas kerajaan ini selagi itulah tidak ada perkara yang diputuskan oleh kerajaan itu akan menjadi betul dan benar lagi.

Apabila rasuah berluas-luasa maka segala perkara yang lain tidak akan terlingkung di dalam kehendak dan kemahuan agama kita lagi. Jika saya dikatakan sebagai anti Islam itu merupakan tuduhan yang melulu kerana rasuah itu adalah perkara yang amat bertentangan dengan agama kita.

Maka saya ingin mengingatkan kepada siapa yang menyokong pimpinan UMNO pada hari ini yang mereka adalah gulungan yang membiarkan unsur rasuah didalam pimpinan yang amat bertentangan sekali dengan agama kita serta agama-agama yang lain. Malahan kita jangan lupa pesanan agama kita yang sesiapa yang memakan rasuah itu, menyerupai orang yang memakan daging saudaranya sendiri.

Tidak ada negara dan pimpinan serta tamaddun yang kekal jika rasuah melanda sesebuah negara dan tamaddunnya. Bacalah sejarah mana sekali pun, samada sejarah lama atau pun yang baru. Kenapa kita tidak mahu belajar dari contoh-contoh nyata ini? Kenapa perlu kita melalui pengalaman yang buruk tamaddun dan banyak negara lain yang telah melalui kesengsaraan negara dan rakyatnya yang dihasilkan oleh rasuah yang tidak dapat dikawal ini?

Bukankah kita tahu yang penamat kepada kerja rasuah ini ialah kehancuran sesebuah negara itu dan negara kita sekarang benar-benar sedang berada dilandasan yang begitu bahaya ini. Jika kita benar-benar beragama apakah peranan yang kita mesti lakukan jika kita tahu yang negara kita suatu hari akan hancur oleh kerana rasuah ini?

Adakah cukup kita ini beragama dengan hanya melaungkan Islam..Islam….tetapi di samping laungan itu pimpinan kita yang beragama Islam itu sedang melakukan perkara-perkara yang terkutuk itu? Tidak salah jika saya katakan yang mereka ini hanya setakat melaungkan isu-isu agama tetapi tidak pernah menjadikan Islam itu sebagai addin seperti yang dilaungkan disetiap perhimpunan agong UMNO dalam usul agama.

Addin kata orang, addin kata kita. Apa dia addin tidak siapa yang mahu berusaha untuk mengaddinkan agama seperti yang mereka laungkan itu. Salahguna kuasa, rasuah, melanggar perjanjian persekutuan dan menindas orang Melayu yang kononnya dalam perlindungan UMNO seperti yang dilaungkan sejak berdekad-dekad dahulu. Kerajaan Persekutuan telah merampas harta rakyat yang kebanyakkan nya Melayu dalam isu hasil minyak negeri Kelantan. Di manakah letaknya Islam dan addinnya di sini selain dari hanya memperjuangkan sebahagian kecil Melayu dalam UMNO itu sahaja?

Bagaimana dengan Melayu yang lain dan dimana Islam dan nilainya? Islam itu merupakan agama yang mempunyai nilai sejagat. Malahan disemua negara yang telah maju itu mengamalkan nilai Islam yang tinggi yang telah membawa kemajuan kepada negara mereka.

Apakah diantara banyak nilai Islam yang mereka laksanakan atau mereka addinkan itu?. Yang paling menonjol ialah, rasuah amat berkurangan kerana mereka tahu Islam dan agama mereka juga menolak rasuah habis-habisan. Selagi ada rasuah negara tidak akan berkembang apatah lagi dalam kontek pembangunan pemikiran dan nilai kehidupan. Mungkin mereka tidak Islam tetapi mereka melaksanakan kehendak serta tuntutan Islam.

Di negara ini juga sudah ada bukti yang kerajaan yang beretika dan sedang mengikut kehendak Islam yang sebenarnya dalam mentadbir beberapa buah negeri. Yang paling nyata nilai ini mula terlaksana ialah Pulau Pinang, Selangor dan negeri-negeri lain yang diperintah oleh parti alternatif kepada BN. Rasuahnya amat kecil malahan tidak nampak ianya berkembang, malahan mereka dalam kerajaan negeri-negeri dibawah PR ini sedang berhempas pulas untuk menghilangkan budaya rasuah yang besar-besar ini.

Tidak ada pula pemimpin PR yang menggunakan wang ringgit rakyat untuk membiayai majlis pertunangan anak mereka untuk ‘berglamour’. Tidak ada kes kerugian seperti kes PKFZ yang melibatkan RM12 billion. Tidak ada kes yang melibatkan pemimpin kanan menggunakan pengaruh mereka untuk mendapatkan pinjaman RM250 juta untuk memulakan bisnes monopoli lembu yang akhirnya menggunaka wang sebesar itu membeli harta-harta mewah di seluruh dunia untuk ahli-ahli keluarga mereka.

Tidak ada kes Menteri Besar yang mengaku miskin yang hanya menjual surat khabar dalam hidupnya telah membina mahligai semasa menjadi Menteri Besar. Saya tidak percaya jualan surat khabar dan tempe dahulu boleh mengumpulkan wang sebanyak berjuta-juta ringgit untuk membina sebuah mahligai. Tidak juga kedengaran Menteri Besar PR yang telah memindahkan wang RM10 juta melalui penggurup wang yang begitu ‘dubious’ keadaannya.

Dalam BN ada pemimpin tertinggi yang menggunakan kedudukannya untuk berniaga dengan Surahanjaya Pilihanraya melalui anak dan menantunya yang berjumlah ratusan juta. Tetapi pemimpin ini jugalah yang berdiri dihadapan perwakilan UMNO membaca cebisan-cebisan ayat-ayat al Quran dengan selambanya.

Mereka-mereka ini membaca ayat-ayat suci dari kitab Quran tetapi apabila melaksanakan tugas mereka menggunakan kedudukan mereka seperti apa yang dilakukan oleh Qarun seorang yang hampir dan rapat dengan raja Firaun dahulu.

Quran dan elemen Qarun ada dengan mereka dan dipergunakan silih berganti mengikut kehendak nafsu dan nafsi mereka. Apa pun orang nak mengata saya, saya tidak peduli kerana saya tahu dan memahami yang DAP telah berusaha untuk melaksanakan pentadbiran di Pulau Pinang itu sedang menghampiri nilai-nilai yang dituntut agama kita.

Jika UMNO berteriak tentang addin biarkan DAP melaksanakan addin itu. DAP juga telah membantu kerajaan pimpinan TS Khalid Ibrahim untuk melakukan kebaikkan seperti tuntutan Islam itu tadi….jauhkan rasuah dan salahguna kuasa dan melakukan perkara-perkara yang tidak pernah dilakukan oleh kerajaan BN sebelum ini.

Saya berdoa agar TS Khalid akan berjaya melakukan perkara yang beliau sedang lakukan dengan baik itu, walaupun beliau sentiasa ditekan oleh pihak UMNO. TS Khalid mesti faham yang UMNO tidak suka kepada kebaikkan yang dilakukan oleh TS Khalid.

Mereka sedang berusaha untuk merampas kembali negeri itu kerana negeri itu kaya raya supaya dapat menggunakan kekayaan negeri itu untuk pemimpin mereka sesama sendiri. Kita semua tahu apa yang berlaku di dalam UMNO kerana kita sekarang semuanya sedang berada di dalam dunia bermaklumat.

23 March 2012

Penjawat Awam perlu bersedia untuk perubahan kerajaan - IDEAS

Semakin hampir pilihanraya semakin banyak isu dan ‘idea’ yang timbul dan ini menun jukkan yang PRU kali ini merupakan PRU yang sangat penting bagi kedua-dua belah pihak PR dan BN. Jika ada perubahan, maka pegawai dan kakitangan awam perlu bersedia untuk menerima perubahan dan pertukaran kerajaan yang bukan satu perkara yang mustahil malah ia merupakan satu perkara yang amat diharapkan oleh banyak pihak untuk berlaku.

Wan Saiful Wan Jan, Ketua Eksekutif IDEAS (Institute for Democracy and Economic Affairs) telah membuat kenyataan supaya Penjawat Awam boleh menerima perubahan kerajaan dan membantu proses melaksanakan perubahan itu dengan lancar dan licin. Kita boleh mengikut contoh-contoh yang baik yang berlaku didalam kerajaan negara-negara maju seperti di Britian, yang merupakan demokrasi yang tertua dalam dunia ini.

Di Britain satu perubahan berlaku tahun lepas setelah kerajaan Labour Party telah gagal untuk mempertahankan kerajaan yang dikuasainya dan telah membantu proses peralihan kuasa dari Gordon Brown dari Labour Party kepada David Cameroon yang telah menjadi Perdana Menteri apabila mewujudkan kerajaan campuran dengan parti Liberal Demokrat.

Proses perubahan pimpinan itu terlaksana dalam tempoh 6 jam sahaja sejurus Gordon Brown keluar dari Istana Buckingham setelah mengadap Ratu Elizabeth. Peralihan itu tidak ada perkara tarik menarik yang kuat diantara parti-parti kerana yang kalah menerimanya sebagai perkara biasa dalam sebuah demokrasi ulung didunia ini.

Pihak yang memerintah boleh diturunkan dan duduk dipihak pembangkang dengan hati yang terbuka dan kembali berkuasa apabila rakyat kembali memberikan mandat pada pilihanraya yang seterusnya. PM Gordon Brown sebelum mengadakan pilihanraya umum Britain, tidak ada membuat ucapan yang beliau akan berhempas pulas dengan apa cara sekali pun untuk mempertahankan 10 Downing Street.

Ahli ahli legislatif di England tahu dan menerima hakikat bahawa negara rakyat yang punya, bukannya pemimpin yang diberikan kuasa itu yang punya. Mungkin oleh kerana kesedaran itulah yang IDEAS telah bersedia untuk memberikan pandangan dan nasihat kepada rakyat negara ini untuk belajar menerima hakikat bahawa kuasa itu tidak kekal. Kuasa itu hanya kekal ditangan rakyat kerana rakyat lah yang bertanggungjawab untuk memberikan kuasa kepada pihak mana yang mereka yakini.

Nasihat Wan Saiful kepada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan itu sangat tepat pada masanya kerana mungkin IDEAS mempunyai keyakinan yang kali ini kuasa mungkin berpindah tangan dan itu adalah perkara yang biasa berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Dipihak pemerintah sendiri sedang mengalami igauan kerana memang kemungkinan untuk rakyat memindahkan kuasa kepada pihak lain itu adalah cerah.

Oleh kerana BN merasakan yang kuasa itu adalah hak mutlak mereka sahaja, maka Najib pun berkokok yang beliau akan lakukan apa sahaja untuk mempertahankan Putrajaya. ‘By hook or by crook’ Putrajaya has got to remain with them. Ini membayangkan yang BN lah yang gila kuasa, bukannya pembangkang.

Bagi saya IDEAS sepatutnya memulakan kursus sivik kepada semua rakyat untuk memberikan mereka kefahaman tentang demokrasi dengan mendalam. Rakyat wajar di latih untuk keluar dari kepompong pemikiran yang sempit sehinggakan masih ada yang sanggup dibohongi semata-mata kerana isu-isu yang dibangkitkan terhadap pihak alternatif oleh mereka yang amat takut kepada kehilangan kuasa ini.

UMNO mahukan rakyat untuk memberikan sokongan kepada mereka walaupun mereka bergelumang dengan rasuah yang besar-besar kerana kononnya UMNO telah mencapai kemerdekaan negara. Oleh kerana UMNO yang membawa negara kemerdekaan, UMNO mahukan rakyat mengikut sahaja walaupun mereka telah merosakkan perbendaharaan negara dan membinasakan budaya politik kita sampai ketahap yang tidak dapat dikenali lagi.

Saya memandang IDEAS sebagai satu NGO yang sangat relevan untuk kehadapan bagi memberikan ‘consequence’ yang baik untuk membina budaya demokrasi yang tulin dan mengutamakan semangat demokrasi itu dengan persepsi yang baik dan sempurna.

Saya sendiri mengenali beberapa orang anggota IDEAS ini dan mereka adalah dari gulungan yang baik dan menerima hakikat yang negara perlu kepimpinan yang beretika tinggi serta pimpinan yang mengikut ‘rule of law’ serta percaya kepada pembahagian kuasa diantara Eksekutif, Legislatif dan Judiciari yang mantap.

Kepada Penjawat Awam, mereka mesti akur dengan pilihan rakyat dan melaksanakan tanggungjawab seperti biasa tidak kira siapa yang diamanahkan untuk memerintah. Penjawat Awam wajar tidak memihak kepada mana-mana pihak dan berhak untuk memilih sesiapa sahaja dalam pilhanraya yang akan datang secara sulit, tanpa rasa takut kepada tekanan yang datang dari mana-mana pihak.

21 March 2012

Sejak merdeka isu Melayu berkumandang, Melayu tidak ke mana juga

Isu Melayu tetap menjadi bahan kempen UMNO dan BN semasa kita sedang menanti tarikh muktamad pilihanraya yang akan datang. PRU boleh jadi hampir atau mungkin lambat lagi. Mungkin Najib menangguhkan PRU ke13 ini sampai akhir penggal pada bulan Mac 2013. Terpulang kepada beliau untuk menentukannya.

Yang saya hendak sebut hanya tentang isu yang dimainkan oleh UMNO dan BN sekarang ini dan isu yang paling jelas ialah isu keselamatan dan masa depan orang Melayu. Isu ini digunakan setiap kali pilihanraya diadakan. Ia semata-mata untuk menakutkan orang Melayu untuk meninggalkan UMNO dan memberikan sokongan ke pihak lain. Ia menunjukkan kegagalan UMNO untuk memberikan penyelesaian terhadap isu Melayu ini.

Sejak mencapai kemerdekaan ini sahajalah isu yang dimainkan. Ia merupakan lagu lama yang sudah jarang didengar. Lagu ini kita dengar bermusim sahaja, iaitu semasa pilihanraya diadakan. Ianya adalah seperti lagu lama nyanyian Momok Latif dan anak muda sekarang ini sudah tidak suka mendengarnya lagi.

BN sudah kehilangan isu dalam keadaan ‘defensive’ yang sedang mereka alami sekarang ini. Sejak berpuluh tahun dahulu kita mendengar isu ini tetapi Melayu tetap dalam keadaan ketinggalan. Pemimpin-pemimpin besar negara adalah orang Melayu, Ketua Setiausaha Kementerian-kementerian orang Melayu, KSN orang Melayu, Ketua Polis Negara orang Melayu, Ketua Turus Angkatan Tentera orang Melayu, pegawai-pegawai Daerah orang Melayu.

Apa lagi? Wakil-wakil rakyat dan penggubal dasar majoritinya orang Melayu. Tetapi kenapa Melayu masih layu? Segala-gala kuasa dan kemudahan diberikan kepada penggubal dasar Melayu serta pelaksana Melayu tetapi Melayu tetap ketinggalan. Pemimpin-pemimpin dan parti yang sama juga yang terus menerus melaungkan isu untung nasib Melayu tetapi sedarkah mereka yang mereka yang bertanggungjawab atas kegagalan Melayu untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa bukan Melayu.

Kini pilihanraya sudah hampir dan isu ini kembali berkumandang. UMNO mengakui bahawa mereka merupakan segala-galanya untuk orang Melayu. Kalau benar UMNO itu adalah segala-galanya kenapa Melayu masih menjadi pengemis bukan sahaja kepada bangsa asing malahan kepada parti mereka sendiri yang bernama UMNO itu. Kenapa orang Melayu masih begitu takut untuk berubah sedangkan kegagalan UMNO begitu nyata, telah gagal untuk memperjuangkan orang Melayu.

Sampai bila Melayu hendak menunggu kejayaan pemimpin yang merupakan pemimpin-pemimpin Melayu dalam UMNO itu? Melayu diseru bersatu untuk kesinambungan dan kemajuan masa depan dan Melayu telah bersatu selama 5 dekad. Tetapi semasa Melayu bersatu bersama mereka mereka menggunakan kesempatan untuk kepentingan politik peribadi. Ramai yang tidak berkelayakan untuk pemimpin telah menjadi pemimpin kerana Melayu bersatu.

Tak kemana juga orang Melayu. Maka sekarang Melayu telah ramai yang mengambil keputusan untuk masih bersatu, tetapi kali ini mereka mahu bersatu di luar UMNO. Orang Melayu kini sudah menjadi Melayu yang bermaklumat. Maka mereka mula mengubah haluan bukan kerana saja-saja untuk mengubah haluan tetapi UMNO telah memaksa mereka untuk meninggalkan keyakinan terhadap UMNO itu untuk mencari penyelesaian untung nasib mereka diluar UMNO yang telah mencengkam pemikiran mereka sejak berdekad-dekad yang lampau.

UMNO tidak boleh diyakini lagi untuk menggalas tanggungjawab untuk memajukan mereka. Hanya pengundi-pengundi di desa-desa pedalaman sahaja yang masih cekal dengan UMNO atau pun mereka yang masih mempunyai mentaliti desa itu. Ahmad mungkin telah ke luar bandar meninggalkan desanya tetapi Ahmad tidak mampu untuk mengeluarkan ‘mentality’ desanya untuk bersama-sama untuk mengayuh kehadapan untuk mencari kemajuan dalam dunia yang begitu ‘competitive’ ini.

Apabila UMNO sedar yang Melayu dan rakyat tidak lagi memberikan dukungan kepada mereka, maka UMNO menggunakan segala taktik kotor untuk mengekalkan kuasa. Cara dan sikap pimpinan UMNO di setiap peringkat ini menampakkan tanda-tanda yang mereka akan menjadi pembangkang.

Berbalik kepada isu Melayu tadi, kita ingin bertanya kepada semua umat Melayu, kenapa UMNO gagal memperjuangkan Melayu sedangkan inilah isu yang kononnya diperjuangkan mereka sejak lama dahulu.

Saya yakin, sekarang ini sudah ramai yang mampu untuk memberikan jawapannya serta penyelesaian terhadap isu ini.

Susah kalau dapat pemimpin yang 'cepat tangan'

Didalam kumpulan mereka yang berkuasa sendiri ada perbezaan layanan terhadap tindakan jenayah dan salah laku yang mereka lakukan. Kita ambillah tindakan keatas Sharizat Jalil ‘at face value’. Beliau telah diambil tindakan walaupun pada luarannya itu dianggap seperti ‘voluntary resignation’. Berbagai-bagai pihak meminta tindakan yang sewajarnya dilakukan terhadap Shahrizat dan semua ahli keluarga beliau.

Benar suami beliau telah menguruskan syarikat tajaan rakyat itu sekendak hati beliau. Salleh telah membelanjakan wang pinjaman murah dari kerajaan yang diluluskan oleh TS Muhyiddin dahulu untuk membeli harta mewah dan hanya sedikit yang dibelanjakan untuk perniagaan lembunya. Itulah jadinya jika memberikan dukongan kepada kroni-kroni yang tidak berkemampuan untuk menguruskan perniagaan yang mereka tidak ada pengalaman. Mereka hanya menggunakan kemahiran dan pengalaman menyalah gunakan harta benda rakyat sahaja.

Semua yang bekuasa seolah-olah mendapat subsidi-subsidi besar kerana dekat atau berada didalam kuasa. Tetapi yang termalang dikalangan yang mengambi subsidi perniagaan ialah keluarga Shahrizat kerana tidak berjaya menyorokkan apa yang keluarga itu lakukan. Maka tindakan sedang diambil terhadap keluarga itu. Rakyat jelas mahukan keluarga itu memulangkan kembali wang yang begitu besar yang telah dibazirkan oleh keluarga beliau.

Nasib mereka yang melakukan jenayah dan skandal seperti ini bergantung kepada pangkat dan jawatan mereka. Lagi tinggi jawatan mereka lagi tinggi tahap ‘immuniti’ yang mereka perolehi. Sekarang ini rakyat merata-rata bercakap tentang salah laku Perdana Menteri membiayai majlis pertunangan anak beliau dengan menggunakan wang kerajaan.

Kita semua tidak faham lagi kenapa perkara seperti ini berlaku, sedangkan mereka tahu itu adalah majlis peribadi dan tidak sepatutnya ia dibiayai oleh wang rakyat. Takkanlah majlis pertunangan anak pun hendak menggunakan wang rakyat. Subsidi yang diperolehi oleh rakyat biasa pun sudah banyak yang ditarik balik, kenapa pula seorang Perdana Menteri mempunyai muka yang begitu tebal sehinggakan sanggup menggunakan wang rakyat untuk membiayai majlis pertunangan anaknya yang memakan perbelanjaan hampir setengah juta ringgit itu.

Kalau hendak ‘glamour’ pun gunakanlah wang sendiri atau dari sumber-sumber lain selain dari perbendaharaan kerajaan. Tindakan ini sangat mengaibkan kerana rakyat diumpan dengan wang ehsannya sebanyak rm500 sahaja sedangkan beliau sendiri yang tidak layak untuk mendapatkan wang ehsan itu mengambilnya secara begini. Tindakan ini seolah-olah daging batang pinangnya untuk Perdana Menteri dan pembesar-pembesar negara sedangkan lemak dan kulitnya diberikan untuk membeli hati dan jiwa rakyat yang miskin.

Ini adalah kenduri pertunangan anak. Janganlah itu pun rakyat yang kena bayar. Saya selalu berkata yang sikap ini sudah menjadi budaya pimpinan kita. Sifat 'cepat tangan' ini memang sudah menjadi sebati dan amat payah untuk dibuang. Cara yang terbaik untuk mengelak dari kejadian seperti ini berlaku ialah dengan menolak parti yang dipimpin oleh pemimpin seperti ini.

Mereka tidak akan memperbaiki diri mereka kerana sikap ‘cepat tangan’ itu sudah menjadi darah daging didalam diri pemimpin-pemimpin kerajaan yang tidak mempunyai ‘accountability’ terhadap kesalahan yang mereka lakukan sendiri.

Tidak boleh nampak wang rakyat yang banyak terus sahaja meleleh air liur untuk membelanjakannya untuk kegunaan peribadi. Apa transformasi yang boleh dilakukan oleh pemimpin seperti ini sedangkan diri sendiri tidak mampu untuk ditransformasikan.

Jika pemimpin terlalu ‘cepat tangan’, ia amat merunsingkan rakyat yang mahukan pimpinan yang mempunyai 'intergriti' untuk menjaga harta benda mereka.

20 March 2012

TS Kadir Sheikh Fadzil sempat keluar UMNO sebelum parti itu diketepikan

Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil telah rasmi meninggalkan UMNO. Ini disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO Tengku Dato Seri Adnan Mansor. Tindakan beliau itu telah dijangkakan dari awal lagi kerana beliau telah meluahkan banyak perkara yang beliau tidak persetujui berlaku didalam UMNO. Beliau telah menyertai UMNO pada tahun 1956 dan bersama-sama menyertai UMNO baru pada bulan Februari 1988 yang lalu.

Saya memahami apa yang dirasakan oleh TS Kadir itu kerana beliau sudah begitu lama terlibat didalam kedua-dua parti (UMNO asal dan UMNO baru), dan tentulah beliau nampak dan merasakan perbezaan diantara dahulu dengan sekarang. Saya menganggap dan boleh mengagak yang beliau lebih selesa berada diluar UMNO untuk bersama-sama menyatukan Melayu diluar parti yang kian hari kian lemah itu.

Tindakan TS Kadir keluar dari parti itu merupakan bayangan menifestasi sebenarnya yang berlaku didalam UMNO. Sebagai seorang yang telah bersama dengan parti itu selama 5 dekad lebih itu, tindakan beliau itu tentunya didasarkan kepada masalah-masalah yang berlaku didalam UMNO kerana saya secara peribadi merasakan apa yang diresahkan oleh TS Kadir itu.

Meninggalkan parti itu adalah satu-satunya pilihan TS Kadir kerana tidak ada maknanya jika berada didalam parti yang meresahkan beliau. Tentulah berbagai-bagai tohmahan akan dilemparkan kepada beliau oleh penyokong dan penjilat pimpinan parti itu tetapi biarkan sahaja mereka berbuat apa yang mereka suka. Kita sahaja yang tahu perbezaan berada diluar parti yang kini sedang menuju kepada penghujung perjuangannya.

Saya telah dihubungi oleh ramai juga rakan-rakan kenalan dan yang tidak saya kenali bertanyakan tentang tindakan TS Kadir ini untuk mendapat komen saya. Saya hanya memberikan pandangan yang berlainan. Orang lain biarlah dengan pandangan mereka. Ia bergantung kepada matlamat masing-masing. Jika matlamatnya ialah untuk meneruskan agenda memusnahkan rasuah tegar dan menjauhi dari penjajahan pemikiran oleh pimpinan yang hanya mementing perut mereka sahaja, meninggalkan UMNO itu merupakan jalan yang terbaik.

Menentang kegiatan rasuah didalam parti dan kerajaan didalam UMNO akan hanya mengundang diri kita dihina dan dinesta kerana mereka didalam parti itu tidak lagi mahu melihat rasuah itu dihapuskan. Saya pernah menyatakan dengan jelas yang UMNO dan rasuah itu ibarat aur dengan tebing yang saling menyandar diantara satu dengan lain. Rasuah tidak akan berkembang pesat tanpa UMNO dan UMNO pula tidak akan hidup tanpa rasuah. Rasuah itu sudah menjadi pakaian kepada pemimpin-pemimpin UMNO disetiap peringkat.

Isu negara sejak 3 dekad dahulu adalah rasuah. Rasuah inilah yang membawa kepada masalah-masalah yang lain kerana apabila pemimpin politik dan pelaksana mengamalkan rasuah mereka tidak akan membuat keputusan dengan baik lagi. Bagi melindungi rasuah maka pimpinan terpaksa berbohong dengan rakyat. Mereka terpaksa berbohong beribu kali kerana bohong mereka yang pertama dahulu.

Dulu mereka boleh berbohong sekehendak hati, tetapi apabila rakyat sudah menjadi rakyat yang bermaklumat maka pimpinan sudah tidak lagi boleh melindungi perkara mungkar yang mereka lakukan.

Kini TS Kadir meninggalkan parti dan beliau tidak kesaorangan. Ratusan ribu ‘card carrying members’ UMNO tidak memberikan sokongan terhadap parti itu lagi. Mereka adalah diantara ahli yang sudah merasa jemu dengan kerenah pemimpin-pemimpin mereka. Minggu ke minggu, tahun berganti tahun, pemimpin-pemimpin UMNO telah memberikan masalah kepada parti. Sepatutnya pemimpin yang menahan ragam ahli-ahli yang ramai ini.

Tetapi sekarang keadaan sudah terbalik. Pemimpin-pemimpin mereka pula yang memberi masalah kepada parti. Pemimpin parti sekarang tidak berkelayakan untuk dituakan (hormati). Sepatutnya kita ikut perbilangan; yang muda membuat ragam dan yang tua menahan ragam. Banyak kritikan terhadap TS Kadir ini datangnya dari orang-orang baru, yang sedang cuba-cuba mengenali UMNO itu.

Kebanyakkan dari mereka ini jika diperbandingkan dengan usia dan pengalaman dalam UMNO ini tidak lebih dari orang yang masih belum mengenali yang mana satu tangan kanan untuk makan dan yang mana tangan kiri untuk beristinjak. UMNO kata orang, UMNO kata mereka. Tetapi mereka tidak tahu dan masih belum mengenali UMNO yang sebenarnya.

Itu lah sebabnya ramai diantara yang menulis dialam maya ini menulis mempertahankan UMNO itu bukan kerana mereka mengenali parti itu sebaliknya kerana mempertahankan apa yang mereka ada atau apa yang mereka boleh perolehi. Malahan setengahnya mendapat imbuhan untuk mencarut dan menggunakan bahasa yang tidak menunjukkan ketamaddunan mereka.

Tindakan TS Kadir keluar parti itu merupakan cebisan dari perasaan tidak puas hati dengan ‘conduct’ UMNO sekarang ini. Perasaan itu dirasakan juga oleh ramai ahli-ahli UMNO yang lain. Hanya meeka tidak berani bersuara kerana salah satu kejayaan UMNO ialah untuk membentuk sindrom bisu dikalangan ahli-ahlinya. Ada mata pandang ada telinga dengar sahaja.

Dalam keadaan beginilah yang membuatkan orang Melayu terbantut daya pemikiran mereka. Itu jelas merupakan sumbangan besar UMNO terhadap orang Melayu. Saya berkeyakinan ramai lagi ahli-ahli UMNO akan mengikut jejak langkah TS Kadir itu. Seperti pilihanraya 2008 yang lalu, lebih dari sejuta ahli UMNO keluar parti di dalam bilik mengundi disaluran masing-masing nanti.

Lain-lain perkataan TS Kadir sempat keluar sebelum parti itu diketepikan oleh rakyat tidak lama lagi.

18 March 2012

Isu Scorpene ke mahkamah Perancis

Saya secara peribadi menunggu begitu lama untuk mendengar kes yang dibawa ke mahkamah Perancis oleh SUARAM berhubung dengan isu Scorpene , 2 buah kapal selam yang dibeli oleh kerajaan Malaysia 4 tahun yang lalu. Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM7.3 billion dari syarikat gergasi Perancis DCNS yang dikatakan telah membayar komisyen kepada orang-orang dan pemimpin tertinggi Malaysia.

Mengikut undang-undang Perancis membayar komisyen kepada pihak-pihak atau agen yang membeli peralatan pertahanan itu adalah salah dan haram dari segi undang-undang. Undang-undang dan etika nampaknya jauh berbeza diantara Perancis dengan Malaysia.

Di Malaysia membayar dan menerima komisyen dalam sesuatu pembelian besar-besaran seperti, komisyen itu merupakan perkara biasa kerana rakyat Malaysia membiarkan perkara ini berlaku berluas-luasa. Malahan di Malaysia kalau pemimpin dan orang-orang yang berpengaruh tidak dapat komisyen, transaksi seperti pembelian peralatan pertahanan seperti ini tidak akan dapat dilakukan. Ia sudah menjadi budaya dan elemen komisyen itu adalah perkara yang wajib berlaku.

Akhirnya kes ini akan didengar dimahkamah Perancis setelah begitu lama tertangguh oleh kerana keadaan yang tidak dapat dielakkan. Cynthia Gabriel, pengarah SUARAM telah menyatakan kelegaan beliau kerana akhirnya kes ini akan dibicarakan dimahkamah di Perancis tidak lama lagi.

Walau bagaimanapun, orang ramai diminta bersabar menunggu sehingga SUARAM mengadakan sidang akhbar esok untuk mengetahui butiran lanjut tentang kes ini dan perbicaraan tentangnya di Paris tidak berapa lama lagi.

Isu Scopene ini telah menjadi isu hangat tidak berapa lama dahulu kerana pembelian kapal selam dari syarikat DCNS Perancis dilakukan semasa Najib menjadi Menteri Pertahanan dan dalam jangkamasa yang sama beliau merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Kes ini memang menjadi isu yang menjadi minat ramai kerana ini melibatkan wang rakyat yang berbillion-billion. Rakyat sudah letih mendengar isu wang rakyat yang dipergunakan untuk kepentingan pemimpin-pemimpin tertentu tanpa merasa kesian terhadap rakyat dan negara serta generasi yang akan datang.

Kita tunggu sahaja sidang akhbar penting ini esok.

15 March 2012

Najib sedang menunaikan janjinya

Semalam saya ke Pekan, Pahang, berceramah bersama Tuan Haji Mohamad Sabu dan Dato Ariff Sabri di sebuah rumah di Sungai Miang, kalau tak salah saya. Kehadiran yang menunggu kami sangat menggalakkan dan saya agak terkejut juga melihat kedatangan begitu ramaiyang kesemuanya terdiri dari orang tempatan. Saya bergembira kerana bersebab.

Pertamanya kami ditunggu oleh begitu ramai rakyat tempatan dan saya tidak menyangka sambutannya begitu baik dan menggalakkan, kerana kawasan itu adalah kawasan Parlimen Perdana Menteri Najib Tun Razak. Yang hadir itu adalah dari setiap lapisan penduduk di Pekan dan mereka semuanya fokus mendengar apa yang kita perkatakan.

Keduanya inilah pertama kali saya sampai berceramah di Pekan sejak hampir 30 tahun dan seperti di kawasan-kawasan lain, Pekan juga mempunyai rakyat yang prihatin terhadap apa yang berlaku dalam sekitar politik negara. ‘Response’ yang menggalakkan itu menunjukkan yang perkembangan terkini politik negara juga dirasai oleh penduduk bandar di Raja ini.

Tetapi seperkara yang saya tidak enak yang kami alami semasa ceramah tersebut, pihak yang berwajib tidak mengambil tindakan yang seadilnya terhadap pihak yang diganggu oleh pihak pimpinan UMNO bahagian Pekan. UMNO Pekan telah mengadakan pula satu ceramah yang dihadiri oleh 70 orang dikampung disempadan pagar bersebelahan tempat kami berceramah dengan menghadapkan corong pembesar suara mereka betul-betul terhadap kami.

Pembesar suara itu dipasang dengan sekuat-kuatnya untuk mengganggu ceramah kami tetapi mereka yang hadir itu tetap juga mendengar apa yang diperkatakan oleh pihak kami dengan tekun. Saya merasakan sangat budaya mengganggu kegiatan pihak PR itu sememangnya memberikan lebihan kepada kami dan sesiapa yang hadir semalam diceramah kami telah menzahirkan perasaan marah mereka kerana pihak UMNO berusaha keras untuk memberi peluang orang ramai tempatan mendengar pandangan dari pihak kami.

Tindakan mereka itu pastinya telah memberikan simpati dan menambahkan sokongan dari orang ramai. UMNO tidak mampu lagi berbahas dengan hujah yang meyakinkan, maka mereka sekarang mengganggu kerja pihak lain. Dalam kes semalam ini, pihak penganjur majlis telah menaikkan poster beberapa hari yang lalu tentang kedatangan kami.

Maka bergegas lah cawangan UMNO ditempat kami bakal memberikan ceramah itu membuat program mereka di sebelah tempat majlis kami semata-mata untuk mengganggu perjalanan majlis kami yang telah di atur berbulan sebelum ini. Mereka tidak segan dan silu untuk mengganggu kami dan perangai serta sikap mereka itu amat tidak wajar dalam sistem demokrasi yang negara kononnya amalkan.

Tetapi saya yang hadir didalam majlis itu amat merasakan bahawa UMNO kini sudah hampir ke penghujung hayatnya. Kita bukannya pandai untuk menelaah apa yang akan berlaku kepada UMNO tetapi tingkah dan lakunya sendiri yang menunjukkan mereka yang parti yang mereka pertahankan itu sudah tidak bermaya untuk menghujah sesuatu isu itu dan mereka mengambil langkah terakhir, iaitu dengan menggunakan cara samseng dan menggangu majlis orang lain.

Ini merupakan kali kedua dalam tempuh seminggu saya mengalami gangguan seperti ini. Pada 10hb yang baru lalu ini, kami telah diganggu oleh kumpulan 20 orang di Seri Menanti NS dan semalam saya mengalaminya buat kali kedua di Pekan Pahang. Selepas ini tidak tahu apa cara dan bila pula akan mengalami gangguan seperti itu lagi.

Kalau kita uruti sejarah yang lampau jika sesuatu pihak yang berkuasa itu bersifat dan berkelakuan seperti ini, tindakan kumpulan seperti selalunya merupakan dalil jelas yang mereka akan kehilangan kuasa yang selama ini mereka perolehi sejak berdekad-dekad dahulu.

Sekuat mana pun kumpulan yang berkuasa, melakukan tindakan yang jenayah seperti ini merupakan dalil jelas yang mereka akan kehilangan kuasa dan akan dipandang sepi oleh rakyat. Bacalah sejarah mana sekali pun ‘consequence’ yang terakhir yang akan dialami oleh kumpulan samseng seperti ini ialah kekalahan dan kerugian yang mereka akan alami.

Tindakan mereka ini hanya memberikan keyakinan rakyat yang UMNO serta BN itu sudah tidak ada cara dan jalan lain untuk mempertahankan kedudukan mereka selain dari melakukan kerja-kerja hina seperti ini.

Saya teringat kepada kata-kata Ketua Bahagian Pekan ini suatu ketika dahulu, “Kita akan pertahankan Putrajaya dengan cara apa sekali pun”. Mungkin cara mereka lakukan terhadap kami semalam adalah salah satu dari cara yang dimaksudkan oleh Ketua Bahagian Pekan ini.

Janjinya yang ini nampaknya akan ditunaikannya. Janji ini nampaknya akan menjanji agenda utamanya.. Salah seorang yang hadzir semalam berkata kepada saya, “biarkan bro. Janji lain sudah lah selalu ‘flip-flop’ biarlah janji yang ini yang ditunaikannya Nak tunaikan janji lain belum tahu lagi kemampuannya untuk menunaikannya” katanya sambil menyindir.

Bagi saya UMNO sudah hilang identiti asalnya serta sahsiah kepimpinan yang tidak mungkin lagi dapat dikembalikan ke dalam parti itu sampai bila-bila.

12 March 2012

Shahrizat seorang sahajakah yang berhenti? Seorang lagi tu macam mana?

Shahrizat Jalil mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan hanya pada 8hb April nanti apabila penggal keahliannya di Dewan Senat tamat tempohnya. Perletakan jawatan ini sepatutnya sudah diambilnya sebaik sahaja terbongkar salahlaku keluarganya menyalahgunakan wang pinjaman dari kerajaan untuk mengendalikan perniagaan NFC itu. Tetapi setidak-tidaknya beliau mengambil juga tindakan untuk melepaskan jawatan kabinet yang dipegangnya melalui pintu belakang itu.

Walaupun beliau pada mulanya berusaha untuk mengekalkan jawatan itu, tetapi etika politiknya yang nyata sangat menjengkelkan itu tidak berdaya beliau untuk mempertahankan jawatan yang amat beliau sayangi itu. Sesungguhnya itu sahaja jalan yang tinggal untuk beliau lakukan kerana kesalahan etikanya sangat menjelikkan kerana suaminya itu mendapat pinjaman semudah itu kerana kedudukan Shahrizat di dalam kabinet negara.

Seperti yang saya nyatakan dahulu, jika Shahrizat itu hanya seorang bidan kampung, Salleh tidak mungkin mendapat pinjaman dengan menggunakan wang rakyat dengan semudah itu. Semua keistimewaan yang didapati oleh ahli keluarga pemimpin ini telah banyak memerah wang dan harta rakyat. Tetapi Shahrizat ini malang sedikit kerana beliau tidak mempunyai kuasa dan pengaruh sepenuhnya.

Seandainya beliau seorang Perdana Menteri beliau tidak akan terpaksa meletakkan jawatan kerana ada kes-kes yang lebih besar dilakukan oleh pemimpin yang lebih besar dari Sharizat itu tidak diambil tindakan sehingga hari ini. Perbezaan antara Shahrizat dan yang lain ialah Shahrizat tidak pandai menyorokkan perlakuan beliau dan keluarga beliau.

Jumlah yang melibatkan RM250 juta itu amat besar tetapi jumlah RM1.8 billion yang dipergunakan secara ‘direct’ dari wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaan anak seorang pemimpin besar pada tahun 1998 dahulu tidak diambil tindakan sampai ke hari ini. Sebab apa? Sebabnya ia dilakukan oleh seorang Perdana Menteri semasa itu. Banyak lagi perkara-perkara seperti ini dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dalam BN selama ini dan ianya masih dilakukan mereka.

Masing-masing saling membantu antara satu dengan lain untuk menutup ‘barang curi’ masing-masing kerana semuanya melakukan perkara-perkara yang sama. “Lu jaga gua, gua jaga lu’; itulah kaedahnya. Hanya kes Shahrizat ini diketahui oleh Ketua Audit Negara dan pihak pembangkang secara terperinci. Untuk memecahkan kegiatan ala ‘cartel’ di kalangan pimpinan BN inilah merupakan satu usaha yang amat susah kerana mereka mempunyai kuasa yang dipergunakan habis-habisan untuk mempertahankan salahlaku mereka ini.

Sekarang Shahrizat telah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dari kerajaan kerana kesilapan dan kesalahan beliau. Apa yang kita tunggu sekarang ialah untuk melihat samada ada-kah tidak sifat ‘accountability’ dari pimpinan atasan yang memberikan kelulusan kepada projek biayaan kerajaan NFC ini. Kita hendak juga melihat samada Menteri yang bertanggungjawab meluluskan projek yang menjijikkan ini dahulu..Menteri Pertanian semasa itu saya sudah lupa siapa dia……ada orang kata dia dah jadi Timbalan Perdana Menteri…

Adakah Menteri ini akan turut meletakkan jawatan kerana kalau mengikut etika kepimpinan negara maju, Menteri yang bertanggungjawab meluluskannya juga wajar meletakkan jawatan. Ini merupakan asas kepada semangat demokrasi yang beretika dan Menteri yang meluluskan projek ini semasa itu mesti mengambil ‘accountability’ kepada skandal kewangan yang dilakukan oleh NFC ini.

Menteri ini boleh memilih untuk tidak mengambil ‘accountability’ terhadap isu ini tetapi nanti janganlah hendak beretorik untuk menjadikan negara ini sebagai negara maju pula. Ini adalah isu besar jika benar kita hendak mencapai ke taraf negara maju. Negara maju yang berkembang pesat mesti diikuti dengan etika kepimpinan yang tinggi. Kalau tidak persepsi ramai yang menganggap Malaysia sebagai ‘Zimbabwe in different name’ itu tidak akan berjaya kita hakiskan.

Pada tahun 2007 yang lalu seorang menteri Britain yang buta penglihatannya bernama Blankert (ejaan nama tak pasti) telah meletakkan jawatannya sebagai menteri dalam negeri kerana kesilapan kecil tetapi oleh kerana ia menjejaskan etika kepimpinannya maka beliau meletakkan jawatan dari menganggotai kabinet Britain.

Kesalahannya ialah kerana mempercepatkan proses permohonan teman wanitanya untuk mendapatkan permit kerja untuk orang gajinya. Itu sahaja kesalahannya. Tetapi itu jelas menjejaskan etika kepimpinan negara. Maka beliau mengambil masa hanya tiga empat hari sahaja untuk mengambil keputusan meletakkan jawatannya. Menteri Britain itu tidak mengambil masa berbulan-bulan utuk mengambil keputusan untuk berhenti seperti yang dilakukan oleh Shahrizat.

Dengan keputusan Shahrizat untuk berhenti itu ia bermakna Shahrizat mengakui kesalahannya. Jika Shahrizat mengaku kesilapan atau kesalahannya maka adalah ‘natural’ menteri yang bertanggungjawab meluluskan projek NFC ini juga mengambil langkah yang sama, iaitu berhenti sahaja dan mengikut langkah Shahrizat itu. Tetapi ini tidak mungkin berlaku kerana mereka tidak mahu menerima asas-asas perlu untuk menempah tempat untuk meletakkan negara kepada kategori negara maju kerana meletakkan jawatan kerana isu ini dianggap sebagai perkara yang tidak munasabah bagi mereka.

Begitulah tingginya etika kepimpinan negara maju dan jika kita mahu mengambil iktibar dari tindakan ahli jemaah kabinet Britain ini, itu merupakan permulaan untuk menjadikan negara ini sebagai negara maju dengan ketinggian etika kepimpinannya. Kalaulah apa yang dilakukan oleh pimpinan kita itu dilakukan di Britain kerajaan kita sudah lama dikuburkan oleh rakyat. Tetapi untungnya pimpinan rasuah kita ini ialah kerana rakyat telah dididik untuk menerima sahaja apa yang dilakukan oleh pimpinan yang tidak bertanggungjawab kepada rakyatnya.

Kerajaan negara-negara maju ini menjadikan etika kepimpinan sebagai elemen terpenting dalam pentadbiran kerajaan. Ini ialah kerana yang hendak dijaga mereka bukannya jawatan mereka tetapi untung nasib negara mereka pada masa-masa yang akan datang. Tetapi di sini pimpinan kita lebih mementingkan kuasa sahaja, tidak kira samada mereka itu berguna kepada negara dalam jangka masa yang panjang.

Kalau tidak, tidaklah kita terdengar kata-kata seperti, “kita akan pertahankan Putrajaya dengan cara apa sekali pun,” kata Najib pada suatu ketika dahulu. Kata-kata ini menonjolkan satu sikap yang amat negatif kepada sistem demokrasi negara. Sikap kuno ini lah yang menyebabkan negara kucar-kacir, bukannya oleh sistem demokrasi itu sendiri.

Kepada BN demokrasi itu bermakna, kemenangan hanya hak mutlak BN, bukannya untuk mengikut selera rakyat yang mengundi. BN kini menggunakan kumpulan pengacau pula. Tugasnya hanyalah untuk mengganggu majlis-majlis pihak PR. Itu merupakan tanda-tanda ‘desperation’ yang ada di dalam pemikiran pihak BN khususnya UMNO.

Dua malam yang lepas saya menjadi penceramah jemputan bersama dengan TS Khalid Ibrahim di Seri Menanti di mana sekumpulan 20 orang penyokong UMNO mengganggu ceramah dan majlis itu tanpa segan silu selama 15 minit.

Berkat kesabaran pihak kami, mereka telah dapat diusir dari majlis itu. Dalam hati saya, tidak dapat saya menghilangkan persepsi dan keyakinan saya yang tindakan itu merupakan tindakan pihak pemerintah yang begitu fakir nilai kepimpinan mereka. Apabila sokongan merosot mereka mengambil tindakan yang tidak beradab dan bersopan.

Dari kumpulan inilah yang bergegar-gegar hendak jadikan negara kita negara maju tetapi tindakan kumpulan ini membayangkan yang kemajuan yang dijanjikan itu tidak mungkin tercapai sampai bila-bila. Segala pelan transformasi Najib hanya tinggal pelan sahaja. Ia tidak akan kemana…seperti dulu juga.

11 March 2012

Nak hadapi pembangkang dah payah, masalah dalaman bertambah pula

Ada setengah pihak dalam UMNO sendiri berkehendakkan kemenangan BN dalam pilihanraya yang akan datang hanyalah kemenangan yang lebih tipis dari kemenangannya dalam pilihanraya yang lalu. Kumpulan ini seolah-olah mahukan segala-galanya berlaku mengikut kehendak dan kemahuan mereka sahaja. Kehendak ini disebabkan masalah dalaman UMNO sendiri dan ia bersabit dari keinginan setengah pemimpin mahukan berlakunya peralihan pimpinan dalam UMNO selepas pilihanraya ini.

Mereka yang saya maksudkan ialah mereka yang saya anggap sebagai dedalu di dalam UMNO dalam posting saya yang lalu. Kumpulan ini mahukan Najib mendapat kemenangan yang tipis sahaja kerana dengan kemenangan kecil itu akan menjadi formula mampan untuk mengenepikan Najib dari pimpinan parti dan negara. Kegagalan Najib untuk meraih kemenangan yang lebih baik dari pilihanraya pimpinan Abdullah Badawi pada 2008 dahulu akan dijadikan penyebab untuk UMNO mengenepikan Presidennya itu bagi memberi peluang kepada ‘Tengku Mahkota’ UMNO. TS Muhyiddin Yassin untuk mengepalai pimpnan UMNO selepas itu.

Abdullah telah tunduk dengan kumpulan Muhyiddin yang dibelakangnya Dr Mahathir yang merupakan pencatur ‘master’ dalam menolak Abdullah Badawi dan memulakan usaha untuk menjadikan Muhyiddin sebagai PM.

Saya telah menyebut perkara ini dalam posting saya pada tahun 2008 yang lalu. Dr Mahathir sebenarnya bukan mahukan Najib semasa itu tetapi oleh kerana keadaan, Mahathir telah menonjolkan Najib kerana bagi beliau Najib adalah pemimpin yang mudah diketepikan jika Muhyiddin menjadi Timbalannya. Kumpulan ini percaya yang Najib mudah diketepikan dengan isu-isu besar yang menyaluti beliau. Saya percaya kepada kemungkinan ini, kerana akhir-akhir ini ramai dikalangan ahli-ahli UMNO yang bergiat menemui saya dan memberikan saya gambaran yang sama.

Pelan peralihan kuasa dari Najib kepada Muhyiddin ini memang telah dirancang dari dahulu lagi dan Najib nampaknya hanyalah dijadikan sebagai ‘stop-gap’ untuk menunggu waktu yang sesuai untuk melaksanakan niat mereka untuk menggantikan Najib dengan ‘Tengku Mahkota’ UMNO itu. Tetapi ada juga dikalangan penyokog Najib supaya jangan mengambil peduli dengan permintaan Mahathir untuk menangguhkan pilihanraya kali ini.

Ini didasarkan kepada kenyataan yang Najib perlu mempastikan yang calon-calon yang dianggap boleh menang itu adalah kesemuanya dari calon pilihan Najib. Matlamat mereka ini ialah jika BN menang maka Najib akan lebih kuat dengan penyokong-penyokong tegarnya berada disekelilingnya. Dr Mahathir mahukan Muhyiddin menjadi pengganti Najib secepat yang mungkin kerana bermotifkan untuk mempastikan ahli keluarganya akan dapat tempat untuk menaiki tangga politik tanahair kita ini.

Dalan situasi yang begini UMNO bolehlah mengalihkan fokus mereka terhadap pembangkang dengan melakukan berbagai-bagai tindakan yang rendah moralnya. Budaya samseng pun sedang berkembang pesat yang tidak dikawal oleh pihak yang berwajib. UMNO akan melakukan apa sahaja untuk memalingkan fokus rakyat daripada masalah dalaman UMNO itu sendiri.

Salahlaku pimpinan UMNO menjadi buah mulut disetiap sudut dimana rakyat berkumpul dan berbincang. Kali ini sejarah Abdullah Badawi akan berulang lagi. Kali ini adalah giliran Najib pula.

Tektik menjatuhkan pimpinan UMNO oleh kumpulan ini merupakan tektik yang sama dan oleh ‘warlord’ yang sama Hanya mangsanya sahaja yang berlainan. ‘Warlord’ inilah yang telah menjatuhkan ramai pemimpin Melayu yang berkemampuan, untuk beliau menjadi pemimpin yang paling celik dari kumpulan pimpinan buta.

Saya menyebut ini kerana penolakan terhadap UMNO oleh ramai orang Melayu sekarang ini bukan tidak bersebab dan UMNO sendirilah yang memberikan penyebabnya itu.

08 March 2012

Hambat penagih tegar rasuah mendekati perbendaharaan negeri Selangor

Selangor menjadi negeri idaman BN khususnya UMNO. Setiap malam dan siang negeri Selangor menjadi bahan umpatan dan kritikan BN yang menggunakan TV3 mencaci dan menghina kepimpinan Selangor. Ini memang tidak menjadi kehairanan kerana UMNO dan BN sedar bahawa Selangor merupakan negeri yang terkaya di negara ini.

Kekayaan negeri Selangor itulah yang menyebabkan UMNO tidak kering peluh mencari jalan dan berusaha untuk merampas kembali negeri ini. Memang sifat pemimpin UMNO begitu. Di mana ada wang di situ mereka menyerang, seolah-olah kita hidup pada zaman lampau; di mana negeri yang kaya, negeri itu akan diperangi mereka untuk mendapatkan harta rampasan jika menang peperangan itu.

Barulah tiga empat tahun ini rakyat Selangor hendak merasakan pentadbiran yang baik dan 'transparent', rasuah yang minima dan kecurian wang dan harta rakyat yang berbillion oleh pimpinan BN dahulu. Rakyat Selangor baru sahaja hendak merasakan situasi di mana Menteri Besarnya tidak membina rumah yang berharga RM25 juta walaupun MB semasa itu hanya daripada keluarga yang biasa.

Baru tiga empat tahun inilah rakyat Selangor terhindar daripada kecurian harta benda mereka yang berbillion ringgit seperti apa yang berlaku dalam kes PKFZ. Baru sekaranglah rakyat Selangor tahu bagaimana wang Yayasan Selangor kehilangan setengah billion ringgit semasa pentadbiran UMNO dahulu.

Barulah sekarang rakyat dan kerajaan Selangor hendak merasakan sebuah kerajaan yang mempunyai bajet yang ‘surplus’ sebanyak RM1.5 billion. UMNO pernah saya labelkan sebagai sebuah parti ‘vandalism’ yang tegar. Apa yang baik hendak dirosakkannya. Mana yang berduit dan banyak wang disitulah mereka berhempas pulas untuk merampasnya. MAS yang pernah menjadi sebuah syarikat penerbangan yang premium sekarang sudah diletakkan di bawah ketiak Air Asia.

Berbillion billion ringgit kerugian MAS semasa syarikat penerbangan itu diswastakan kepada Tajudin dahulu, dan kerajaan telah mengambilalih syarikat itu dengan harga yang sama semasa penswastaan syarikat itu kepada Tajuddin dahulu. Semua punah ranah oleh kepimpinan UMNO semasa itu yang kini dianggap sebagai negarawan pula.

Proton diambilalih oleh kroni pemimpin yang sama kerana aset Proton yang berbelas billion nilainya bukan kerana hendak memperbaiki prestasi Proton. Harga belian kepada pegangan Khazanah sebanyak 42% itu hanya dibayar dengan harga RM1.4 billion sahaja.

Peneroka Felda sedang diambang penipuan pimpinan kerana Felda itu kaya-raya. Di mana-mana UMNO hanya pandai merosakkan yang baik. Sekarang kerajaan negeri Selangor pula menjadi sasarannya, juga kerana Selangor mempunyai kekayaan yang paling besar di negara ini.

UMNO ini ibarat semut, di mana ada gula di situlah mereka berkerumun. Itulah sebabnya saya pernah memberikan cadangan supaya kita memilih parti yang pemimpinnya mempunyai air liur yang pekat sedikit. Kalau air liur pemimpin itu telalu cair seperti pemimpin UMNO air liur itu akan senang meleleh jika nampak wang dan harta yang banyak.

BN sedang menggunakan media perdana seperti TV3 untuk melakukan segala kempen kotor mereka. Kalau mereka benar-benar daripada pimpinan yang baik masakan rakyat Selangor menolak mereka dalam pilihanraya yang lalu. Sekarang ini pemimpin-pemimpin yang sama yang mencari kesalahan TS Khalid seperti orang mencari kutu di dalam rambut.

Satu sahaja formula untuk memberikan penilaian untuk mengambil keputusan dalam pilihanraya yang akan datang; iaitu kita nilai berapa billion yang dirugikan wang rakyat oleh kerajaan BN dahulu. Bagi mereka yang berfikir ambil hanya satu isu sahaja, iaitu PKFZ yang melibatkan skandal yang sampai ke tahap RM12 billion.

Bagi saya rakyat Selangor supaya tidak lagi mendekati pimpinan parti yang telah terbukti memporak-perandakan rakyat Selangor dahulu. Tindakan rakyat Selangor memberikan mandat kepada kerajaan sekarang yang dipimpin oleh TS Khalid itu merupakan tindakan yang betul dan berpadanan.

Kesempatan ini saya memohon agar rakyat Selangor tidak lagi melakukan kesilapan dengan mengembalikan mandat kepada BN dalam pilihanraya yang akan datang. Malahan seluruh rakyat di negeri-negeri lain yang dipimpin oleh BN mengikuti jejak langkah rakyat Selangor yang telah membuat keputusan yang tepat dalam pilihanraya yang lalu.

Apabila sudah membuat keputusan yang betul rakyat Selangor seharusnya menjaga mandat yang telah diberikan kepada kerajaan pimpinan TS Khalid ini dengan baik dan beramai-ramailah memberikan perlindungan daripada diperah oleh pimpinan UMNO yang rakus itu.

Menjaga harta benda kita adalah menjadi kewajipan kita semua dan itu adalah kerja yang sangat dituntut oleh agama dan adat kita. Sesungguhnya rakyat Selangor telah membuatkan pimpinan UMNO meroyan dan tidak tahu hendak mengambilalih kuasa selain daripada menggunakan ugutan, membeli undi melalui BR1M, menggunakan samseng dan berbagai-bagai lagi cara yang amat membosankan rakyat ramai.

'Obsession' UMNO untuk mengambilalih Selangor ibarat penagih dadah yang sedang gian kerana dadah yang selalu diambilnya dahulu sudah tidak dapat diperolehi mereka lagi. Maka UMNO sedang merasuk ke sana ke mari untuk mendapatkan ‘supply’ yang sudah empat tahun tidak diperolehi mereka.

Kesinambungan mandat terhadap kerajaan PR sekarang ini merupakan kemestian supaya kita tidak lagi didekati oleh kumpulan yang sentiasa terintai-intai untuk memerah keringat rakyat negara dan Selangor khususnya.

Apabila sudah mendapat kebenaran jangan disia-siakan lagi. Apa yang rakyat Selangor perlu lakukan, ialah untuk membulatkan tekad untuk menjaga kepentingan negeri Selangor yang berdaulat ini. Dengan pengekalan mandat kepada kerajaan PR sekarang ini setidak-tidaknya dapat menghambat penagih tegar rasuah ini daripada mendekati kantung kerajaan negeri Selangor.

06 March 2012

UMNO menjadi lemah kerana dedalu-dedalu di dalamnya

Di tempat-tempat di mana orang ramai duduk berborak, isu politik memang menjadi perkara yang wajib disebut, lebih-lebih lagi waktu kita menunggu pilihanraya yang hampir tiba ini. Bila pilihanraya, siapa yang akan menang dan kalah dan apakah isu yang mungkin menjadi bahan kempen oleh kedua-dua belah pihak yang menawarkan diri dan parti mereka nanti.

Tetapi isu orang Melayulah yang menjadi isu terbesar yang orang ramai selalu menyebutnya akhir-akhir ini. Isu memohon maaf Najib kepada orang ramai itu telah membawa isu baru pula. Ramai yang berpendapat apa yang dilakukan oleh Najib itu merupakan perkara yang merugikan UMNO daripada sudut politiknya. Adalah sukar untuk membuat tafsiran permohonan maaf secara terbuka Najib itu.

Walaubagaimanapun, yang jelas sudah ramai pula yang beranggapan bahawa Najib tidak lagi ‘viable’ sebagai pemimpin nombor satu negara dan sudah ada di kalangan orang UMNO sendiri berpendapat bahawa Najib sudah sampai ke penghujungnya, termasuklah 2 orang pimpinan bahagian UMNO yang bertemu dengan saya itu. “I think Najib should throw his towel now,” kata salah seorang daripada pimpinan UMNO itu.

Tetapi jika Najib hendak berhenti, siapa yang akan mengambil alih? Adakah Muhyiddin menjadi pilihan untuk menggantikan Najib? Salah seorang yang berjumpa saya itu bingkas menjawab, “Kalau Muhyiddin, tak payahlah. That will a bigger disaster,” kata seorang lagi.

Saya bertanya samada mereka berdua ini akan berusaha untuk menjadi calon seperti yang ramai-ramai itu. Mereka kata mereka tidak lagi berminat kerana sudah hilang semangat menghadapi keadaan serius di dalam BN sekarang. Malahan mereka berkata bahawa niat mereka untuk berjumpa saya itu ialah untuk memulakan perbincangan untuk menyertai DAP kerana parti itu telah berjaya menunjukkan kemampuan untuk mentadbir secara baik seperti yang berlaku di Pulau Pinang.

Pulau Pinang seperti juga kerajaan negeri Selangor, telah terbukti ada perbezaan dengan pengalaman di bawah pemerintahan BN dahulu. Lagi pula kata mereka, selagi mereka berada di dalam UMNO selagi itulah mereka mendengar dan melihat isu buruk yang keterlaluan buruknya moralnya. “Saya tidak tahan melihat kita semua sentiasa dibayar untuk menyokong mereka. Saya yakin UMNO sudah sampai garis penamat hayatnya. Buktinya jelas. Apabila pemimpin-pemimpinnya ke hulu ke hilir membayar dan membeli undi di sana sini itulah petanda parti itu akan habis riwayatnya!” kata salah seorang lagi.

Pandangan pemimpin UMNO itu benar. Di mana-mana tamadun besar dalam sejarah dunia ini pemerintahnya akan berakhir apabila budaya membeli, mengungut dan membohongi orang di bawah perintahnya. Pada zaman Roman Empire yang begitu kuat dan stabil, Empire itu tersungkur selepas parkara-perkara yang disebut tadi berlaku kerana mempertahankan kuasa.

Bagi sesiapa yang berfikir dengan teliti dan tekun, ciri-ciri ini sudah berlaku dan berlarutan. Ianya bermula sejak pentadbiran post Hussein Onn dan sekarang sudah menjadi budaya yang sudah tidak dapat dileraikan lagi. Kalau ini berlarutan lagi maka yang kita tunggu hanyalah satu, iaitu kehancuran budaya dan akhlak kehidupan generasi kita yang akan datang.

Persoalannya sekarang bolehkah ianya dileraikan? Tahukah pentadbiran sekarang cara dan mampu untuk meleraikan budaya ini sedangkan mereka adalah pengamal tegar kepada budaya ini? Bolehkah BN memperbetulkan keadaan dengan memohon maaf dan berjanji untuk memberhentikan budaya ini? Tidak ada siapa yang mempunyai daya pemikiran boleh mempercayai janji-janji manis ini kerana rasuah itu sudah menjadi ‘addiction’ kepada pemimpin-pemimpin BN khususnya UMNO.

Kita tahu cara dan kaedah yang paling betul untuk penyelesaian terhadap budaya korup, salahguna kuasa, kemurungan sistem kehakiman dan ‘judiciary’ negara dan berbagai-bagai lagi kemungkaran yang tidak dapat dikawal lagi ini. Caranya ialah untuk Najib dan seluruh kepimpinan dalam UMNO itu meletakkan jawatan dan menjauhi kuasa yang mereka pernah menyalahlakukan itu.

Tetapi mahukah mereka berbuat demikian?. Tentu mereka tahu kuasa itu adalah ‘ultimate’ peribadi mereka dan bukannya untuk parti. UMNO yang dikatakan parti yang baik itu telah dicemari dengan barisan pimpinan yang rasuah dan tidak berintregriti.

UMNO itu ibarat pohon yang kuat tetapi oleh kerana terlalu banyak dedalu yang tumbuh pada pohon itu, maka akhirnya pohon yang kuat juga akan akhirnya mati jika dedalu yang tumbuh mekar pada pohon itu tidak dibuang.

Bagi diri saya sendiri, saya telah duduk kekal di dalam UMNO sebegitu lama kerana mengharapkan dedalu ini dicantas dan dibuang agar pohon itu (UMNO) dapat kembali hidup subur. Tetapi hari demi hari, tahun demi tahun saya nampak dedalu itu bertambah membesar, maka saya mengambil keputusan untuk menyertai parti yag tidak ada dedalu ini tumbuh. Kata-kata saya kepada UMNO di tempat dan negeri saya bertahun-tahun dahulu, ternyata menjadi kenyataan. UMNO sudah tidak dapat diselamatkan lagi.

Dedalu-dedalu ini tumbuh dengan pesatnya sehinggakan pohon itu hampir mati dan tidak berbuah lagi. Bagi saya pohon yang disalut oleh tumbuhan dedalu tadi akan pasti mati, dan ianya tidak payah ditebang untuk membunuh pohon yang suatu ketika dahulu pohon yang kuat dan kukuh.

Dedalu-dedalu yang tumbuh pada pohon rendang ini masih kekal, malahan bertambah membesar lagi. Saya hendak juga melihat bukti kalau ada pohon yang dihinggapi tumbuhan dedalu ini boleh hidup sampai bila-bila.

Bagi saya mana-mana pokok yang dihinggapi dedalu ini akan mati secara ‘natural’ akhirnya. Kepada penyokong-penyokong UMNO sama-samalah kita lihat apa yang akan terjadi kepada pohon (UMNO) yang kian hari kian kurus kerana segala baja-baja pokok itu sudah disedut oleh dedalu yang hidup dan melekat kepada pokok yang suatu ketika dahulu merupakan pohon rendang tempat rakyat semua kaum khususnya orang Melayu berteduh.

Orang melayu yang tekun berfikir merasa amat sedih kerana tempat mereka berteduh telah diambil alih oleh dedalu yang hidup pada pohon (UMNO) sejak dua tiga dekad dahulu. Sekarang kita lihat UMNO sedang berhempas pulas untuk mengambil alih kerajaan negeri Selangor selepas pilihanraya nanti. Rakyat Selangor mesti berfikir dengan tenang dan tekun, yang cuba hendak mengambil alih ini adalah dedalu yang hendak hidup pada pohon rendang bernama Selangor itu.

Apa yang saya perkatakan ini tentunya akan mendapat tentangan daripada penyokong pohon yang disaluti dedalu ini. Saya tidak kisah itu semua. Katalah apa-apa pun terhadap diri saya sekehendak hati. Yang penting bagi saya akhirnya nanti saya akan membuktikan kebenaran apa yang saya katakan ini. Semasa itu nanti menangis air mata darah pun tidak akan dapat menyelamatkan bangsa dan negara lagi.

Jika saya sudah tiada di dunia ini dan apa yang saya katakan ini akan menjadi kenyataan, hadiahkan saya bacaan surah Al-Fatihah sekali seorang. Itu pun kalau ikhlas.

N:B: Dedalu itu adalah sejenis tumbuhan yang tidak tumbuh di tanah. Dedalu ini tumbuh di pangkal dahan pokok-pokok yang rendang dan sentiasa duduk di atas sambil menumpang hidup pada pohon yang rendang itu. Pohon rendang itu selalunya akan mati kerana dedalu yang menumpang hidup itu. Dalam bahasa saintifiknya dedalu ini adalah ‘parasite’.

05 March 2012

Lupakan masalah masa lampau : Muhyiddin

Muhyiddin tidak bersetuju untuk bercakap tentang kesilapan dan kesalahan BN yang lampau. Katanya apa yang perlu dilakukan sekarang ialah untuk memandang kehadapan dan lupakan masalah lampau. Beliau memberikan komen ini sebagai reaksi kepada permohonan maaf Najib yang dibuatnya di Alor Setar dua hari yang lepas. Tindakan Najib berpatah sikap itu mendapat banyak reaksi ramai dan menjadi bahan perbualan disetiap tempat kita pergi. Di setengah tempat ianya menjadi bahan jenaka rakyat.

Seperti Najib, kata-kata Muhyiddn itu mempunyai satu ciri yang sama; iaitu mengakui yang BN telah banyak melakukan kesalahan dan kesilapan yang datang dari masalah kelemahan kepimpinan BN selama masa mereka membuat salah dan silap itu. Muhyiddin tidak mahu mengingati cerita lama yang telah membuatkan BN hampir tersungkur dihadapan mata rakyat.

Maksud kata-kata Muhyidin itu, ialah untuk rakyat lupakan segala kesalahan BN dan UMNO selama ini dan dalam waktu kita menanti kedatangan PRU ini, Muhyiddin meminta rakyat memberikan sokongan kepada UMNO dalam PRU nanti. Pendeknya BN boleh membuat kesalahan dan maafkan mereka. Apabila pilihanraya sampai kita berikan sokongan kepada mereka lagi. Itu sebenarnya maksud Muhyiddin.

Lagi satu maksud Muhyiddin jangan undi PR walaupun belum pernah memerintah, apatah lagi untuk membuat silap dan salah seperti yang dilakukan oleh BN. Dengan kata-kata lain hanya BN boleh melakukan segala kesalahan terhadap rakyat dan hanya BN sahaja yang boleh dimaafkan dan terus diberikan kuasa memerintah sampai hari kiamat. Jika PR hendak melakukan sesuatu yang baik UMNO akan kata yang PR belum tentu lagi baik dan bertanya kepada kita yang ‘entah-entah lebih teruk dari UMNO’.

Tetapi mereka hendak mempertahankan parti yang sudah tentu melakukan segala gejala buruk untuk negara dengan memberikan alasan yang PR belum tentu memberikan pentadbiran yang lebih baik. Pemimpin-pemimpin UMNO dan penyokongnya mahukan rakyat memberikan sokongan kepada mereka walaupun mereka telah melakukan kesalahan besar dengan alasan yang PR belum tentu baiknya. Alasan yang menghina perasaan rakyat yang berfikir ini membuatkan UMNO telah menunjukan sikap yang ‘arrogant’ dan memporbodohkan rakyat yang mempunyai pemikiran.

Najib dan Muhyiddin meminta kita sentiasa memaafkan mereka walaupun melakukan perkara-perkara yang buruk. BN mahukan kita menjadi seperti Tuhan yang sentiasa memaafkan umatnya yang membuat kesalahan dan mereka (UMNO) sentiasa mahu melakunkan watak syaitan kerana mendapat laba yang besar. Setelah melakunkan watak syaitan, mereka memohon ampun dan maaf terus-terusan. Najib dan Muhyiddin mahukan kita menjadi ‘net giver’ seperti Tuhan. Siapa yang memahami madsud saya boleh lah sambung kata-kata saya tadi itu.

Tetapi hakikatnya dibawah ini telah ramai rakyat yang sedar dan mahu mengikut apa yang diperintah Tuhan dan apa yang terkandung didalam Quran, kitab suci agama kita. Itu sebabnya telah ada trend yang jelas mereka tidak mahu lagi mengikut jejak Qarun tetapi mahu mengikut Quran.

Sesiapa yang sedar dan menerima kenyataan, yang membuat kesalahan besar akan tetap mendapat pembalasan. Tetapi itu juga adalah hak Tuhan yang Maha Esa. Bukan kita yang menentukan dosa pahala sesiapa. Hanya ada setengah pihak yang telah menjatuhkan hukum yang saya ini adalah munafik dan kafir kerana menyertai DAP.

Saya jawab juga sikit-sikit mereka ini. Saya kata, “kita jumpa sahaja di yaumil mahsya” kerana kita tidak tahu siapa sebenarnya yang kafir. Hanya Tuhan sahaja yang menentukan siapa yang beriman dan siapa yang kafir.

Tetapi masih ada yang mahu mangambilalih kerja Tuhan walaupun tanggungjawabnya sebagai ummah tidak diselesaikannya, apa yang kita hendak buat. Tengok sajalah...Kalau tidak tahan melihatnya kita hanya beristighfar sajalah sementara menunggu pilihanraya nanti untuk melakukan pembetulan.

04 March 2012

Makhluk perosak tidak boleh memperbaiki kerosakan. Bagaimana hendak memaafkan mereka?

Kali ini saya menulis lagi tentang PM Najib kerana apa yang beliau perkatakan di Kedah itu amat pelik dan membuat saya begitu berminat untuk memberikan pandangan. Najib memohon maaf diatas kesilapan yang dilakukan oleh BN sehinggakan BN telah kalah dibanyak kawasan dan hilang sokongan 2/3 di Dewan Parlimen. Najib mengakui yang BN telah membuat banyak kesilapan terhadap rakyat sehinggakan rakyat hampir mendamparkan BN dalam pilihanraya yang lalu.

Dengan permohonan maaf itu ianya bermakna apa yang dikatakan oleh rakyat termasuk parti pembangkang selama ini yang BN itu adalah parti yang tidak senonoh adalah benar belaka. Sekarang UMNO sudah mengakui kesalahan mereka maka adalah wajar parti itu sedar dan insaf dan janganlah menyalahkan parti-parti pembangkang bermula dari sekarang. Kita tidak tahu samada permohonan maaf itu adalah satu kesilapan 'political language' bagi UMNO, tetapi yang jelas UMNO mangaku yang mereka merupakan pihak yang bersalah di dalam kemungkaran politik dan ekonomi yang dihadapi oleh negara kini.

Bagi saya memohon maaf ini tidak ada salahnya dan memang patut BN memohon maaf kepada rakyat kerana telah ‘menipu’ rakyat sebegitu lama. Rakyat hanya dididik untuk menjadi masyarakat yang materialistik dan segala-galanya berkisar kepada wang ringgit. Baru dua hari yang lepas Najib telah melakukan kesalahan lagi dengan menjanjikan rakyat Kelantan yang segala masalah mereka akan selesai jika mengundi BN.

Dimana letaknya kesalahan itu? Letaknya ialah diatas kemampuan BN untuk menunaikan janji-janjinya dan telah terbukti BN hanya berjanji semasa menghampiri pilihanraya dan begitulah sejak 3 dekad yang lalu. Saya sebut dalam posting saya yang lepas yang BN telah membuatkan negeri Kelantan yang dianggap Najib sebagai miskin. Najib memperolok-olokkan rakyat Kelantan kerana dimana-mana Najib bercakap beliau mempermainkan cerita rakyat Kelantan miskin dan memandang rendah terhadap rakyat negeri itu.

Saya terlupa dimana insiden ini berlaku. Dalam ucapannya dihadapan ramai hadirin Najib telah bertanya dengan sindiran kepada hadirin, “negeri mana miskin????”. Beliau bertanya berulang kali dan setiap kali beliau bertanya hadirin pula menjawab, “negeri Kelantan!!!” Ini dilakukan beliau berulang kali sambil semyum dan ketawa melihat rakyat Kelantan miskin dan isu itu dijadikan isu dimana-mana beliau berucap. Sesungguhnya Najib seorang Perdana Menteri yang takbur dan seolah-olah seperti orang yang kufur nikmat.

Najib begitu sombong dengan membawa orang dari negeri lain untuk mentertawakan orang Kelantan kerana kononnya rakyat Kelantan ini miskin. Najib bangga dengan kekayaan negeri atau keluarganya dan beliau bangga melihat negeri Kelantan itu miskin kononnya. Beliau berbangga yang pemimpin persekutuan telah merampas hak royalti minyak rakyat Kelantan yang berbillion-billion itu yang menyebabkan negeri Kelantan mendapat pendapatan yang rendah berbanding dengan banyak negeri yang lain.

Setelah mencuri wang rakyat Kelantan, beliau ke Kelantan dan meminta rakyat Kelantan memberikan mandat kepada BN dalam pilihanraya nanti dan menjanjikan rakyat Kelantan yang semuanya masalah akan selesai jika mengundi BN.

Persoalan saya, adakah ini sikap seorang Perdana Menteri yang mengaku bijak dan pandai yang boleh membawa segala transformasi kepada negara. Ini kah sikap baik seorang PM sebuah negara merdeka? Siapa yang membuatkan kerajaan negeri Kelantan miskin kalau tidak Pimpinan Persekutuan? Najib mesti bayar tunggakan royalti minyak sebanyak RM7.4 billion itu dan mari kita tengok negeri mana yang kaya dan mana yang miskin?

Di Kedah Najib bercakap dengan nada yang lain pula. Kali ini Najib membawa watak sedih pula sambil meminta maaf. Najib boleh membawa apa watak sekali pun tetapi janjinya untuk memperbaiki keadaan tidak mungkin dapat dilakukannya. Semasa beliau meminta maaf Najib masih melakukan apa yang dilakukan oleh BN dalam 2008 dan sebelumnya.

Rasuah bercambah-cambah, salahguna kuasa semakin menjadi-jadi, dan berbagai-bagai jenayah sedang bertambah dinegara kita. Jika Najib benar-benar mahukan perbaikpulih keyakinan rakyat, semua RM250 juta kes NFC mesti kembali kepada Perbendaharaan Negara. Dana Modal mesti kembalikan wang rakyat sebanyak RM50 billion yang dipinjamkan oleh kerajaan untuk diberikan kepada Dana Harta. Najib mesti memberikan penerangan kepada rakyat siapakah yang mengambil alih syarikat-syarikat yang ada dalam Dana Harta itu sekarang.

Kalau Najib hendak memberikan keyakinan, rakyat mesti melihat wang yang hampir RM2 billion yang diambil oleh anak seorang bekas PM yang termasyur didunia untuk menyelesaikan perniagaan anaknya. Najib jangan sekali-kali meneruskan penyenaraian Felda kerana ia membawa maut kepada generasi Felda dalam jangkamasa yang tidak lama lagi, walaupun sebahagian dari hasil penyenaraian itu akan diberikan kepada peneroka sebagai durian runtuh.

Najib mesti beritahu berapa billion ringgitkah yang dijanjikan akan mengalir kepada Jabatan di bawah Najib jika penyenaraian itu dilakukan juga dan berapa billion pula yang akan sampai kepada Felda.

Adakah perkara-perkara yang sebahagian saya sebut ini usaha Najib untuk memperbaiki keadaan? Kalau inilah dia program membaikpulihan Najib, maka ia benar-benar satu kejadian yang dinamakan ‘tikus memperbaiki labu’.

Sebenarnya rakyat ramai tidak pernah membuat masalah kepada negara. Yang membuat masalah ialah pemimpin negara, bukan rakyat. Selagi pemimpin-pemimpin negara mempunyai air liur yang cair, selagi itulah masalah tidak akan dapat diselesaikan. Air liur itu sentiasa meleleh apabila melihat wang ringgit kepunyaan rakyat, dan tidak berdaya untuk menahan nafsu untuk mencurinya melalui berbagai cara tindakan rasuah. Itulah sebenarnya yang berlaku dalam isu penyenaraian Felda yang akan saya tulis tidak berapa lama lagi.

Oh ya, satu lagi perkara yang sangat ‘urgent’ untuk diselesaikan oleh Najib ialah untuk memberikan kursus sivik kepada penyokong-penyokong UMNO supaya memberhentikan budaya samseng yang sedang bercambah didalam UMNO sekarang ini. Katakan kepada penyokong-penyokong UMNO itu bahawa menggunakan samseng dalam politik itu adalah satu tindakan yang tidak bertamaddun.

Kalau Najib tidak boleh lakukan saya percaya UMNO semakin hari semakin tidak relevan lagi. Bagaimana hendak menjadi relevan kerana parti itu sudah menjadi mahkluk perosak kepada rakyat yang inginkan kaedah berpolitik yang aman dan damai.

Bagaimana kita hendak memaafkan makhluk perosak kerana habis jahanam tanaman-tanaman kita sejak dua tiga dekad dahulu. Habis hasil mahsul kita oleh kerana makhluk-makhluk perosak ini.

Bagaimanakah makhluk perosak boleh memperbetulkan keadaan? Itu adalah perkara yang tidak menesabah. Ia terpaksa di perbaiki oleh pihak lain, bukannya oleh mereka yang telah merosakan segala-galanya.

Jika yang merosakan diharapkan untuk memperbaiki keadaan maka saya ulangi, ia adalah seperti ‘tikus memperbaiki labu’.

03 March 2012

Hanya rakyat Kelantan sahaja dapat menyelesaikan masalah Kelantan, bukan Najib

Semalam Najib ke Kelantan untuk ‘mengelentong’ 1.2 juta rakyat negeri itu yang beliau anggap sebagai gulungan miskin dan papa kedana. Kelentong pilihanraya kali ini lagi hebat dari kelentong-kelentongnya yang lain sebelum ini. Najib meminta rakyat Kelantan memberikan undi dan mandat kepada BN bagi menyelesaikan semua masalah rakyat Kelantan.

BN selalu mengatakan bahawa Kelantan adalah negara miskin dan Najib selalu memandang rendah dan mengejak-ngejek rakyat Kelantan kerana kemiskinan mereka. Najib lupa yang segala rezki itu Allah yang beri tetapi dimana-mana diseluruh dunia ini setiap negara ada rakyat yang miskin. Beliau cuba melakukan ‘deception’ yang rakyat Kelantan akan menjadi senang lenang jika memilih BN dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Najib berfikir yang beliau lebih besar dari Tuhan kerana umat yang dijadikan Tuhan pun berbillion yang miskin tetapi jika rakyat Kelantan memilih BN beliau akan membawa mereka keluar dari kemiskinan. BN kononnya akan menyelesaikan semua masalah rakyat Kelantan jika rakyat Kelantan memberikan kuasa kepada BN dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Negeri Kelantan sentiasa dipersendakan oleh Najib selama ini. Bagaimana kita hendak menafikan kenyataan ini. Kelantan kepada beliau adalah negeri bermasalah. Negeri miskin dan tidak mampu menjaga rakyat dengan baik dan sempurna kononnya. Mungkin negeri Kelantan itu adalah negeri miskin sedikit dari negeri lain. Kelantan tidak sepatutnya menjadi sebuah negeri miskin, malahan Kelantan sepatutnya menjadi negeri yang lebih kaya dari banyak negeri dalam Semenanjung ini.

Masalah di negeri Kelantan ini disebabkan oleh Kerajaan Persekutuan, di Putrajaya. Kerajaan Persekutuan (Petronas) masih belum membayar tunggakan 5 peratus dari hasil minyaknya yang sudah meningkat kepada 7.4 billion ringgit. Perjanjian Petronas dengan Kerajaan Negeri Kelantan pada 27hb Mei 1975 dahulu masih tidak dihormati oleh Putrajaya. Sekarang ini dua telaga minyak dalam perairan negeri Kelantan sedang dicuri oleh Kerajaan Persekutuan melalui Petronas dengan menyalurkan pendaratannya di Kerteh Terengganu dengan menggunakan saluran sepanjang 260 kilometer lebih jauh dari Bachok, Kelantan.

Negeri Kelantan yang sepatutnya menjadi salah sebuah negeri yang terkaya sengaja dimiskinkan oleh Putrajaya dengan melarikan hasil minyak negeri Kelantan disebabkan rakyat Kelantan memberikan kuasa pemerintahan negeri itu kepada PAS (PR). Kerajaan Persekutuan melayani rakyat Kelantan seolah-olah Kelantan itu adalah tanah jajahan Putrajaya, bukannya sebagai salah sebuah negeri yang menganggotai persekutuan Malaysia. Putrajaya mungkin tidak sedar yang di Kelantan itu hampir kesemuanya adalah dari bangsanya sendiri.

Sesungguhnya Putrajayalah yang memiskinkan Kelantan. Putrajayalah yang memberikan masalah kepada Kelantan dan sekarang datang pemimpin dari Putrajaya menjanjikan penyelesaian kepada semua masalah di Kelantan. Kepada orang Kelantan, mereka boleh bertempik dan menyuruh pemimpin persekutuan di Putrajaya itu untuk menyelesaikan masalah di Putrajaya yang tidak terkira besarnya itu.

Kita suruh sahaja Najib selesaikan masalah PKFZ yang melibatkan RM12 billion yang tidak selesai lagi sehingga hari ini. Isu MAS dan Tajuddin yang melibatkan berbillion ringgit masih menjadi isu besar yang melibatkan 'intergrity' Dr Mahathir dan seluruh kepimpinan UMNO. Apabila isu MAS ini dapat diketahui umum nanti, semua rakyat tahu segala belang-belang buruk pemimpin persekutuan yang mengaku sebagai pembela rakyat dan Melayu itu.

Isu terbaru ialah isu NFC, isu yang menyalahgunakan wang rakyat sebanyak RM250 juta yang diberikan kepada keluarga seorang ahli kabinet negara untuk memilihara lembu untuk kegunaan rakyat dan negara digunakan untuk membeli kondo-kondo mewah dibanyak kotaraya terkenal di seluruh dunia. Puluhan isu-isu besar yang merugikan rakyat masih tidak dapat diselesaikan oleh Najib dan pentadbirannya.

Semalam beliau tiba di Kelantan dengan menjanjikan perkara lama dengan isu lama sedangkan rakyat Kelantan sedar yang wang mereka melalui royalti minyak sebanyak RM7.4 billion yang tertunggak masih tidak disalurkan kepada Kerajaan Negeri walaupun ada perjanjian yang dimeterai pada 27hb Mei 1975 dahulu. Jika perjanjian yang dimeterai dengan ikatan undang-undang pun tidak dilaksanakan bagaimana rakyat Kelantan hendak mempercayai janji-janji Najib itu?

Rakyat Kelantan tahu dan maklum yang ekonomi negeri mereka telah diperkosa oleh Kerajaan Persekutuan. Dari Kelantan ada dua tiga kerat pemimpin diperingkat persekutuan, seperti Mustapha Mohamad, Awang Adek dan beberapa yang lain termasuk Ibrahim Ali yang sedang mencuba-cuba untuk menjadi pemimpin dari negeri itu. Tetapi pemimpin-pemimpin ini memilih untuk berpihak kepada pemimpin pusat dan sama-sama pula berpakat untuk mendera rakyat negeri mereka sendiri.

Itulah sebabnya rakyat Kelantan akan terus didera seperti ini sampai bila-bila selagi UMNO masih berkuasa di Putrajaya itu. Justru itu rakyat Kelantan kena faham yang mereka hanya mempunyai satu pilihan, iaitu dengan mengambilalih kuasa yang dipegang oleh UMNO di Putrajaya itu. Rakyat Kelantan kena faham juga yang rakyat di negeri-negeri lain sedang berusaha untuk memperbaiki keadaan negara dengan mengambil alih Putrajaya.

Jika diizinkan Tuhan niat ini dikabulkan olehNya , barulah rakyat Kelantan mempunyai harapan untuk melihat perjanjian yang ditanda tangani pada bulan Mei 1975 yang lalu dapat dihormati dan memberi nikmat kepada rakyat Kelantan. Masa itu nanti tidak akan ada lagilah pihak-pihak yang akan menghina rakyat Kelantan seperti yang dilakukan oleh semua pemimpin dibawah pentadbiran Najib di putrajaya itu.

Segala sendaan Najib terhadap rakyat dan negeri Kelantan itu akan mati begitu sahaja jika rakyat Kelantan kekal dengan kecekalan mereka menghadapi tekanan dari Putrajaya ini.

01 March 2012

Parti pemerintah guna kekuatan samseng, Parti alternatif guna kekuatan pemikiran : pilih salah satu

Budaya samseng pula yang mula menular dengan cepat didalam UMNO sekarang. Kejadian mengganggu majlis-majlis anjuran Pakatan Rakyat. majlis-majlis yang di adakan oleh PR kini selalu diganggu dan dicemari dengan kekacauan yang dilakukan oleh kumpulan samseng upahan untuk menggagalkan majlis anjuran Pakatan Rakyat. Dunia dan negara sekarang sudah masuk ke alaf baru dan manusia kini menuju kemajuan dengan etika dan cara kehidupan yang bertamaddun.

Seorang yang dididik dengan baik dari keluarga yang baik dia akan menjadi lebih berhemah jika bersalah-salahan pendapat dan pandangan dan akan sentiasa menghormati orang lain seperti yang dituntut oleh agama dan budaya, apatah lagi kita orang Melayu yang beragama Islam ini. Seseorang yang beriman dan halus jiwanya akan memujuk hati dan nafsunya sendiri untuk tidak berbuat apa yang tidak baik dan ditegah oleh adat dan agamanya.

Sebaliknya sebahagian dari kita orang-orang Melayu khususnya orang-orang kuat UMNO (OKU), bertindak diluar adat dan adab bangsanya serta agama mereka dengan membina budaya samseng dan budaya ini adalah budaya orang-orang zaman batu dahulu. Ini bertambah berluas-luasa akhir-akhir ini dengan mengganggu majlis-majlis yang dianjurkan oleh pihak Pakatan Rakyat.

OKU-OKU tempatan akan menggunakan cara yang amat biadab dengan mengganggu dan memukul orang lain semata-mata kerana tidak bersetuju dengan majlis yang dianjurkan oleh pihak yang kian hari kian mendapat sokongan ramai itu. Ada kalanya kumpulan OKU ini akan menyerbu didalam majlis ceramah anjuran PR dan mereka akan terus beramai-ramai kehadapan pentas untuk mengganggu majlis PR itu.

Apa semuanya ini? Kemana kah perginya adab dan tatasusila Melayu yang berhemah dan bertamaddun yang selama ini menjadi ‘attribute’ asas orang Melayu itu? Kenapa kah bangsa kita sudah sampai ketahap ini untuk mengekalkan kuasa? Kalaulah dari dulu kita tahu yang Melayu dan rakyat yang bersokongkol dengan pihak yang memerintah tidak dapat menerima demokrasi, kenapa dari dulu kita memulakan negara kita dengan sistem demokrasi.

Kenapakah ada pihak hanya menerima demokrasi jika dapat kemenangan dan memperkayakan budaya samseng apabila dirasakan yang kemenangan yang diperolehi selama ini tidak akan berulang lagi? Jika kuasa itu merupakan perjuangan yang ‘ultimate’ kenapa tidak menjaga mandat dan kepercayaan rakyat selama ini dengan jujur? Kenapa melakukan perkara-perkara yang tidak elok didepan mata rakyat tanpa segan silu? Kenapa begitu tamak dan berkehendakkan kepada semua perkara?

Jika benar UMNO dan pimpinan tidak mahu terlepas dari kuasa tentunya ia memerlukan pengorbanan. Pimpinan parti pemerintah ini wajib berkorban nafsu dan itu wajib. Pimpinan wajib melawan segala nafsu yang ada didalam diri masing-masing dan itu pun perjuangan yang perlu yang dituntut oleh agama kita. perjuangan menentang hawa nafsu kita itu merupakan perjuangan sepanjang hayat….dari lahir sehingga ke akhir kalam. Elakkan dari segala kemungkaran politik dan ekonomi serta perjuangan untuk diri sendiri yang keterlaluan.

Obsession UMNO untuk berkuasa tidak mengenal batas dan sempadan. Setelah tidak berjaya meyakinkan orang ramai untuk terus menyokongnya, UMNO sedang menggunakan tektik samseng dan ia sangat menjijikan orang ramai. Segala usaha dilakukan untuk mendapat sokongan tetapi sokongan tidak juga kembali. Maka menggunakan cara samsenglah yang tinggal untuk memaksa rakyat menyokong mereka.

Jika cara samseng ini masih tidak dapat meyakinkan rakyat untuk bersama UMNO lagi, cara apa pula yang akan diambil pula selepas itu? Jawabnya saya rasa, tidak ada lagi selain dari menerima kekalahan dan penolakan rakyat secara menyeluruh.

Kepimpinan yang merelakan budaya samseng ini tidak akan dibenarkan berterusan dilakukan. Rakyat tidak mahu melihat kepimpinan ala Robert Mugabe di Zimbabwe atau secara Idi Amin dari Uganda suatu ketika dahulu.