30 January 2014

Rakyat Selangor ada hak memilih untuk jadi kuda tunggangan siapa

Spekulasi Anwar jadi Menteri Besar itu tidak dapat di hilangkan kerana ‘PKR engineered by-election’ ini adalah yang sangat mengejutkan ramai dan tidak bersetuju jika ‘orang luar’ datang bermaharajalela di Selangor. PAS merupakan parti yang tidak begitu enak menanti kedatangan PRK ini kerana ramai pemimpin-pemimpin PAS di bawahan telah membuat berbagai-bagai kenyataan yang tidak menyeronokan PKR khususnya Anwar Ibrahim.

Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS menyatakan dengan jelas, yang PAS bersetuju dengan Anwar untuk menjadi ADUN di Kajang tetapi tidak begitu menyokong jika Anwar menjadi Menteri Besar. Ramai di antara pemimpin Muda PAS di peringkat pertengahan dan bawahan menunjukkan rasa curiga tentang tindakan PKR membawa pengundi Kajang untuk terbabit dengan pilihanraya kecil ini.

Walaupun pimpinan PAS secara rasminya memberikan sokongan terhadap pilihanraya kecil ini, tetapi dibawah-bawahan sokongan itu tidaklah begitu keadaannya.  Bagi saya pendukung PAS mempunyai sebab yang kuat untuk merasa sangsi sebagai parti yang lebih besar dan mempunyai wakil yang lebih besar dari PKR di Selangor. Ramai yang merasakan PKR ‘is taking PAS for granted’ seperti yang dialami oleh PAS dalam pilihanraya yang lalu.

PAS mungkin tidak dirundingkan dahulu kerana PKR mungkin beranggapan yang PAS adalah parti yang sabar dan parti itu hanya sebagai parti yang ‘disuruh pergi, dipanggil datang’ sahaja oleh PKR. Sebagai sebuah parti, PAS tentulah ada maruahnya sendiri. Ahli-ahli PAS yang berjumpa dengan saya berkata yang mereka bukannya kaldai politik sesiapa. PKR yang bermasalah kenapa bawa rakyat dan PAS sama-sama terlibat dalam penyelesaian permasalahan PKR itu.

“DAP bolehlah dibawa kemana-mana kerana parti itu adalah kembiri politik negara. Mundar mandir untuk mencari jalan untuk menjadi kerajaan” kata salah seorang pemimpin PAS pertengahan yang berjumpa saya petang semalam. “Letih melayan Anwar ni” katanya tegas.

Salah seorang yang bersama minum petang itu ialah pensyarah Universiti tempatan yang begitu segar memperkatakan hal politik negara memberikan bayangan yang beliau tidak mahu terlibat dengan PRK Kajang ini walaupun beliau adalah pengundi di sana. “Kita setuju Anwar berusaha nak jadi PM tu. Tetapi akhir-akhir ini sokongan Anwar sudah menurun kerana tahap kesabaran melayan kerenah pemimpin ini ada hadnya juga” katanya perlahan kepada saya dan beliau tidak menambah komen-komen yang diberikan oleh yang berada dalam perbincangan itu.

“Lebihnya Anwar ini dia tetap berusaha gigih untuk menjadi PM walaupun ramai berpendapat ia tidak akan kesampaian, tetapi kalau tidak dapat jadi PM pun jadi MB pun jadilah” kata seorang ahli korporat yang agak ternama yang juga bersama kami. Dalam hati berkata kata, “kalau tak dapat lauknya, kuah pun jadilah”.

Lagi pun jika ramai dikalangan ahli-ahli dan penyokong PAS mempersoalkan niat dan tindakan Anwar dan PKR itu, Anwar tetap dengan keyakinannya, kerana beliau ada Lim Kit Siang untuk membela beliau. Anwar ada Lim Guan Eng untuk mempertahankan beliau. Yang penting DAP dan pimpinannya bersetuju dan menampung apa-apa kekurangan yang ada pada parti PKR itu.

Hanya rakyat Selangor ingin tahu diantara DAP dan PKR Selangor ini, siapa yang mengkudakan siapa. Yang mereka (rakyat Selangor) sudah tahu ialah kedua-dua nya ingin menjadikan rakyat Selangor kuda tunggangan mereka.

Tiada siapa yang boleh menyalahkan rakyat Selangor jika mereka rela untuk dijadikan begitu. Kalau dahulu mereka jadi tunggangan UMNO, apa salahnya jika kali ini mereka dijadikan kuda tunggangan PKR dan sekutunya pula?

Oleh kerana masalah diantara satu dua orang pemimpinnya, PKR membawa pula rakyat sama untuk memikul beban permasalahan mereka. "Diantara Azmin dengan khalid sahaja yang sepatutnya menjadi MB itu" kata seorang penyokong PAS yang baru sahaja bercakap dengan saya.

"Kalau tidak selesai diantara Khalid dengan Azmin, berikan sahaja kepada PAS untuk menjadi MB itu. Tak payah panggil pilihanraya kecil lagi. Kita dah teruk dengan kenaikan harga barang, sekarang sibuk nak berkempen pula" sambungnya lagi.

29 January 2014

DSAI boleh selesaikan masalah PKR Selangor dari rumahnya sendiri

Jika masalah dan isu membesar kerana permasalahan parti dengan rakyat, mengadakan pilihanraya kecil mungkin cara yang terbaik untuk membetulkan dimana yang tidak betul. Tetapi jika masalah yang timbul itu adalah masalah ‘intra-party’ membawa semua pihak terbabit untuk penyelesaian masalah dalamannya adalah tindakan yang tidak baik. Apa yang berlaku di Selangor itu adalah masalah PKR sahaja, kerana ia tidak melibatkan mana-mana parti yang lain.

Maka seelok-eloknya PKR menyelesaikan masalah dalaman mereka dengan melibatkan ahli-ahli parti mereka sendiri sahaja. Janganlah membawa pihak lain khususnya rakyat untuk terlibat sama, kerana rakyat di kawasan Kajang sememangnya telah memberikan mandat kepada PKR dalam pilihanraya yang baru sahaja berlalu. Hanya dalam PKR sahaja yang berlaku masalah di Selangor ini, maka memanggil pilihanraya kecil amat membebankan parti-parti komponen yang lain dan juga masalah kepada rakyat.

PKR telah memilih untuk mengadakan pilihanraya kecil kerana masalah dalaman mereka dan ia tentulah melibatkan banyak pihak termasuk parti-parti komponen mereka dalam Pakatan Rakyat. Sepatutnya PKR memanggil persidangan tergempar parti mereka sendiri dan tentukan apa cara yang terbaik untuk menyelesaikan isu kepimpinan di Negeri Selangor itu. Ia lebih baik lagi penyelesaian dalam PKR Selangor itu di selesaikan oleh pimpinan dan ahli parti itu di Selangor sahaja.

Pimpinan peringkat tertinggi hanya berikan pandangan dan nasihat bagaimana cara untuk menyelesaikan isu sesama mereka di Selangor itu. Malahan pengerusi PKR Selangor itu adalah Timbalan Presiden parti itu sendiri. Jika Anwar menjadi penyelesaian yang baik untuk parti maka Anwar perlu bertindak menyelesaikan di antara dua orang pemimpin Selangor itu.

Tetapi Anwar mengambil langkah untuk menambahkan masalah yang tersedia wujud dalam PKR itu. Jika Anwar benar-benar mempunyai pengaruh dan kuasa terhadap pimpinan di bawah beliau, Anwar sepatutnya menyelesaikan isu dengan bersikap ‘magnanimous’ dan selesaikan dengan memberi formula terbaik untuk kedua-dua pihak yang berbalah itu.

PKR sepatutnya memberikan ‘muka’ sedikit kepada Timbalan Presidennya Azmin Ali dan menjaga kedudukan dan air muka Azmin sejajar dengan kedudukannya sebagai orang nombor dua parti itu. Rakyat masih ingat betapa bertungkus lumusnya Azmin semasa Anwar dalam keadaan terhimpit selepas pemecatan beliau (Anwar) dari parti pada 1998 dahulu.

Tetapi Anwar tidak dapat menyelesaikan masalah perlucutan Azmin dari Lembaga Pengarah PKNS yang setengahnya dikatakan dilakukan oleh Khalid Ibrahim itu. Sememang ada lojiknya jika pemecatan itu dilakukan oleh Khalid atau setidak-tidaknya Khalid membiarkan keadaan itu berlaku kerana rasa tidak gemar beliau terhadap Azmin.

Dalam pada itu beberapa kali Anwar telah menegur Khalid dalam beberapa isu pentadbiran Negeri Selangor dan jika Anwar mendapat kefahaman yang sebenarnya selepas itu, parti boleh mengambil tindakan terhadap Khalid kerana Khalid tidak pun berada di peringkat penentu dasar parti diperingkat tertinggi.

Sesungguhnya masalah dalaman PKR itu berpunca dari pemainan politik dalam keluarga Anwar sendiri. Khalid adalah pemimpin kesayangan Presiden PKR itu dan mengikut kaedah kepartian mentaati kepimpinan parti itu adalah baik. Tetapi Presiden parti tidak senang dengan kehadiran Azmin kerana Azmin adalah Timbalannya dan masih muda dan mempunyai masa depan yang lama untuk membina kepimpinannya dalam PKR itu.

Perpecahan Khalid dengan Azmin berpunca dari rumah Anwar sendiri dan sekarang ia telah merebak tetapi hanya dalam ‘parameter’ kepimpinan di Selangor sahaja. Justeru itu selesaikan dikalangan kepimpinan di Selangor sahaja tanpa membawa isu itu keperingkat nasional dan juga kepada parti-parti lain, DAP dan PAS yang tidak mempunyai masalah di Selangor itu. PAS tetap utuh dan DAP tetap aman dibawah kepimpinan baru parti itu di Selangor.

Jika ‘ayam kita naik kerumah dan berak diatas lantai rumah kita, ia perlu dibersihkan dimana tahi ayam itu terletak’ untuk menjaga kebersihan lantai rumah itu. Tidak payahlah membasuh seluruh lantai yang luas itu kerana cebisan tahi ayam dan kecil yang terletak diatas lantai itu. Tidak perlu membasuh seluruh rumah untuk menyelesaikan secebis tahi ayam itu.

Jika Anwar mampu memberitahu Datin Seri Presiden yang tinggal serumah dengannya untuk menasihatkan Khalid dan beliau pula menasihatkan Azmin, maka tidak perlu dilakukan tindakan meletakkan diri sendiri menjadi penyelesaian terhadap isu yang berbangkit ini. Jika selesai pun masalah Azmin dengan Khalid ini dengan meletakkan diri beliau ditengah-tengah, akan timbul pula masalah lain yang mungkin lebih merumitkan semua pihak.

Sekarang agak sudah ramai rakyat Selangor yang takut jika Anwar jadi Menteri Besar kerana beliau bukan anak Selangor. Takkanlah oleh kerana masalah yang berpunca dari rumahnya sendiri itu terpaksa rakyat Selangor mendapat kepimpinan dari Pulau Pinang pula. Ada setengah yang terlalu terpengaruh dengan kata-kata Karpal Singh telah pandai berkata yang Anwar hanya boleh menjadi MB Selangor ‘over my dead body’, dan berbagai-bagai lagi.

Kita tidak boleh lupa Azmin mempunyai pengaruh besar dalam politik pembangkang di Selangor dan Khalid pula mendapat sokongan dari rakyat biasa kerana rekod kecemerlangan beliau mentadbir Negeri Selangor yang telah menunjukkan perbezaannya dengan pentadbiran negeri sebelum beliau itu.

Penyelesaian di Selangor ini boleh di selesaikan di rumah Anwar sendiri. Beliau hanya perlu bercakap dan berunding dengan baik dengan Datin Seri Presiden di rumah sahaja kerana Datin Seri Presiden tinggal bersama dengan beliau dirumah dan bilik yang sama.

Sepatutnya di satukan kedua-dua mereka yang berbalah ini daripada mengambil tindakan penyelesaiannya dengan menawarkan diri sendiri yang ‘tidak lekang dari banyak masalah’ yang lain.

28 January 2014

Yang menjolok selalunya tidak dapat menyambut buah yang jatuh itu

Kata orang-orang tua dahulu, yang menjolok buah yang ranum, tidak akan mendapat apa-apa. Buah yang dijolok itu akan jatuh dan akan disambut oleh orang lain. Itu sebabnya di dalam politik ramai yang mengambil jalan tengah dan berdiam diri dan tidak mahu melakukan jolokan itu.

Mereka hanya akan duduk di tepian menunggu buah yang dijolok itu jatuh dan jika ada kesempatan akan menyambutnya tanpa berbuat apa-apa. itulah cara dan kaedah Najib naik dahulu. Beliau akan galakan orang lain menjolok dan akan menyambut buah-buah yang jatuh itu. Penjolok-penjolok buah itu ada yang masuk penjara dan ada yang terbiar begitu sahaja sampai ke hari ini.

PKR sedang menjolok buah yang sedang masak ranum untuk digugurkan. Anwar sendiri sedang menjoloknya dan terlupa yang akan menerima dan menyambut buah yang jatuh itu akan dilakukan oleh orang lain.

Ramai dikeliling beliau akan duduk rapat dengan beliau agar buah yang jatuh itu akan jatuh ke tangan mereka. Khalid sudah dipersepsikan sebagai buah yang akan jatuh itu. Anwar telah membiarkan Azmin menjolok Khalid sejak beberapa tahun dahulu dan apabila Khalid sudah hampir jatuh maka Anwar datang membawa bakul untuk mengutip buah yang bertaburan jatuh nanti kerana jolokan Azmin itu.

Najib dalam keadaan tertekan sehinggakan beliau begitu terbuka untuk berbincang dengan Anwar dan Kit Siang diatas nama kerajaan perpaduan.  Saya telah menulis sedikit dalam beberapa posting yag lepas yang selera Kit Siang dan Anwar sebenarnya tiada bezanya.

Mereka mahu berkuasa di Putrajaya dan itu bukannya satu kesalahan. Dalam politik semuanya boleh berlaku. Yang nampak kuat perjuangannya rupa-rupanya selera mereka tidak ada bezanya dengan pihak yang selalu dikritiknya. Itu pun tidak salah. Maka berlakulah babak-babak lakonan yang licik dan kini pasarana untuk penyatuan itu diasaskan kepada masalah dalaman yang berlaku di Selangor.

Kini Anwar akan bertanding di kerusi DUN di Kajang dan tindakan ini telah menghasil berbagai-bagai spekulasi politik yang agak meliar. Tidak kita sebut spekulasi yang banyak itu, kerana spekulasi yang paling hampir kepada isu sekarang ialah Anwar boleh menjadi Menteri Besar Selangor. Tindakan ‘check and balanace’ yang dilakukan oleh Anwar di antara Azmin dengan Khalid selama ini sudah membuahkan hasil. Anwar akan menjadi MB Selangor jika di terima oleh undang-undang tubuh negeri itu.

Anwar mahukan kekuatan untuk bertemu dengan Najib yang hampir keputusan nafas politiknya. Najib telah dispekulasikan akan bertemu dengan Anwar untuk menggubah lagu yang bertajuk ‘kerajaan perpaduan’ dan jika ini terlangsung selepas ini kita akan mendengar lagu itu berkumandang di mana-mana.

Ini juga merupakan kes yang menjolok tidak dapat menyambut buah yang gugur itu. Pihak Dr Mahathir telah melakukan jolokan terhadap buah Najib. Hasilnya Mahathir sudah menjadi ‘common enemy’ bagi kedua-dua orang pemimpin yang saling berperang di antara satu dengan lain dahulu. Najib dan Anwar yang berseteru begitu lama, sekarang sudah hampir untuk bersatu akan berhadapan dengan musuh yang sama, iaitu pengaruh dan orang-orang Dr Mahathir.

Anwar masih tidak lupa yang beliau mempunyai banyak isu yang ‘outstanding’ dengan Mahathir. Begitu juga sebaliknya Mahathir mempunyai banyak isu ‘outstanding’ dengan Anwar. Anwar ada DAP khususnya LKS bersama beliau kerana Anwar tahu yang LKS ini juga bukan kurang seleranya untuk bersama-sama berkuasa dan mereka telah berkompromi dan melupakan perbezaan yang hakiki di antara mereka.

‘Formulanya tidak begitu sesuai sekarang ini’ kata seorang yang agak berpengaruh yang telah berjumpa dengan saya untuk minum petang semalam. Jelas si polan ini adalah orang yang rasional dan katanya, jika PKR Selangor sudah berpecah, maka jawatan MB Selangor itu sepatutnya diberikan kepada PAS. PAS mempunyai Dr Rani yang tidak kurang baiknya dan jika tidak ada pemimpin yang sesuai dikalangan ADUN-ADUN nya, PAS mempunyai Khalid Samad yang boleh turun ke Dewan Undangan Negeri untuk menggantikan PKR yang sedang bergolak itu,

Permainan politik akan menghasilkan berbagai-bagai plot dalam lakonan masing-masing. Di Selangor Khalid dan Azmin sudah pasti menjadi mangsa permainan ketua-ketua parti dalam Pakatan itu. Apa yang akan terjadi kepada Azmin dan rakan-rakan rapat dengan beliau di Dewan Legislatif Parlimen itu tiada siapa yang boleh mengolahnya. Azmin hanya mempunyai dua pilihan, samada untuk terus bertindak menuntut keadilan terhadap beliau atau bertindak melakukan sesuatu yang ‘unorthodox’ terhadap Anwar dan Pakatan Rakyat.

Bagi Khalid yang tidak mempunyai kemahiran bermain politik yang begitu rumit yang kadangkala zalim itu, boleh berehat dan melakukan kerja yang beliau mahir iaitu membina ‘empire korporat beliau’. “In actuality, Azmin will be the sole loser resulting from his unreliable mentor in PKR” kata seorang rakan yang hampir dengan kedua-dua pemimpin ini.

Di peringkat Persekutuan kita akan melihat begaimana Najib dan Mahathir melakonkan plot politik masing-masing. Pendeknya tiada siapa yang mendahulukan rakyat. Kesemua mereka ini mendahulukan perut masing-masing yang jauh kehadapan.

Mereka ini kata seorang rakan. “they are bunch of PJK’s, which he means ‘perut jauh ke depan”.

27 January 2014

Siapa yang beruntung jika isu Allah ini memporak perandakan negara?

Dua butir ‘Molotov Cocktails’ telah dilemparkan kedalam kawasan gereja dijalan Farquhar di Pulau Pinang pagi tadi dan ini adalah satu kejadian yang sangat menakutkan kepada siapa yang ada agamanya dan yang menghormati undang-undang serta memahami keadaan hidup dalam negara berbilang kaum dan agama. Telah dikatakan tindakan dua orang diatas motorsikal membaling ‘Molotov cocktails’ ialah kerana rentangan kain digereja yang menggunakan nama Allah itu.

Negara ini seolah-olah sudah tiada undang-undang lagi dan seolah-olah kita tidak ada kerajaan yang memimpin kita lagi. Kita sekarang bukan sahaja tidak ada siapa yang mentadbir kita, rakyat yang ramai pun sudah tidak mengindahkan hidup beragama dan bermasyarakat berbilang kaum. Tiada siapa yang takut dengan undang-undang semata-mata telah dibudayakan dalam kepimpinan kerajaan yang undang-undang itu hanya untuk siapa yang hendak dipersalahkan sahaja.

Siapa yang melakukan kerja hina ini wajar ditahan dan dihadapkan dihadapan pengadilan Mahkamah dengan serta merta kerana kejadian ini boleh merebak dan akan tidak dapat dikawal lagi. Ramai diantara kita tidak mempunyai tempat lain untuk berpindah. 'Di mana bumi dipijak disitulah langit yang kita junjung'.

Rakyat ada hak untuk hidup aman. Kenapa politik begitu zalim terhadap rakyat kerana isu yang menyebabkan kejadian ini adalah isu politik dan bukannya agama. Ia bukan isu agama kerana Allah itu adalah Tuhan semesta alam dan nama Tuhan ini telah diguna pakai dimana-mana diseluruh dunia ini. Kenapa isu ini menjadi besar dinegara ini pun tiada siapa yang boleh menentukan penyebabnya selain dari isu politik.

Sebelum kita berjuang untuk agama elok masing-masing bertanya kepada diri sendiri, adakah kita sebenarnya memahami tentang agama yang kita masing-masing anuti sekarang ini. Bagi mereka yang benar beragama dengan sesungguhnya keadaan ini tidak akan berlaku kerana jika masing-masing beragama kita akan hidup dalam keadaan tenang dan sejuk jiwa.

Blog ini pernah mencadangkan supaya dihimpunkan semua alim ulamak fiqh dan tasawuf yang muktabar dari seluruh dunia untuk membantu usaha kita menjaga keamanan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama ini. Jangan pula dianggap tindakan itu merupakan tindakan kuasa luar masuk campur dalam negara kita, kerana agama tidak mempunyai sempadan geografi atau politiknya. Agama itu universal dan jika dilakukan himpunan untuk menyelesaikan masalah ini ia adalah satu tindakan yang proaktif bagi kerajaan hari ini.

Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlaku dengan sewenang-wenangnya tanpa tindakan mencegahnya. Diharap tidak ada pihak yang sengajakan membesarkan isu ini untuk digunakan untuk politik sesuatu pihak kerana sejarah negara ini membuktikan yang setengah pihak amat menyukai keadaan ini berlaku untuk menjadikan alasan untuk memperkuatkan kedudukan politik mereka.

Ada pemimpin negara ini yang berkuasa disebabkan keadaan yang tidak menentu dan merbahaya dan keadaan merbahaya ini mungkin sengaja dilakukan untuk tujuan dan matlamat itu. Apa yang berlaku di Pulau Pinang semalam, ‘accountability’ nya wajar diambil tindakan oleh Kementerian dan Menteri yang bertanggungjawab tentang keselamatan negara. Jika ia gagal diselesaikan dengan secepat yang mungkin, Menteri yang bertanggungjawab mesti mengambil ‘accountability’ terhadap apa yang berlaku ini.

Jika Menteri dan Kementerian yang bertanggungjawab tidak mahu mengambil ‘accountability’ ini maka seluruh kerajaan wajar meletakkan jawatan kerana isu ini perlu diambil alih oleh orang lain. Pemimpin itu wajar yang tidak dipersepsikan sebagai pemimpin yang tidak selalu menggunakan sentimen perkauman dan agamanya tanpa hala tuju.

Sementara itu orang ramai yang terkejut dengan kejadian ini berharap pihak Polis akan dapat menjalankan penyiasatan dan membawa pelaku jahat itu kemuka pengadilan secepat yang mungkin.

Kita mahu tahu siapa dalang disebalik kejadian ini. Itu sebabnya saya selalu berkata jika kita dipimpin oleh mereka yang ‘desperate’ untuk mengekalkan kuasa dan berhadapan pula dengan mereka yang ‘desperate’ untuk mengambil alih kuasa itu, pasti akan membawa negara ke kancah yang aib seperti ini.

Mangsanya bukan pihak lain tetapi kita rakyat yang ramai-ramai ini. tetapi akhirnya kita akan tahu juga siapa dan pihak mana yang mendapat keuntungan daripada isu yang sangat sensitif ini.

26 January 2014

UMNO...sendiri buat sendiri tanggung

Kenaikan harga barang menjadi isu penyebab jika kerajaan sekarang jatuh. Kenaikan harga barangan itu hanyalah ‘immediate cause’ sahaja tetapi isu yang sebenarnya masih belum difahami oleh banyak pihak. Jika harga barangan benar-benar disebabkan oleh kenaikan harga yang sebenarnya, keadaan sekarang ini tidak mungkin berlaku.

Rakyat marah kerana dalam kita sedang berhadapan memerangi isu harga barangan yang melambung naik ini, mereka mendengar pemimpin tidak berubah juga. Mereka masih dengan berbelanja wang mereka (rakyat) tanpa had dan ini hanya menunjukkan pemimpin kita hanya mahukan rakyat berkorban sedangkan mereka tidak mahu berkorban bersama.

Jika kerajaan kita dan pimpinannya bersih kenaikan harga barangan ini boleh menjadi faktor penyatuan di antara rakyat dan kerajaan dan bersama-sama memikul tanggungjawab bersama. Tetapi dengan sikap dan perangai pemimpin kita ini maka rakyat terasakan yang pemimpin utama kita hanya mahukan mereka (rakyat) sahaja yang berkorban, sedangkan mereka masih dengan sikap dan laku yang biasa seperti tiada apa masalah yang sedang kita hadapi.

Pemimpin-pemimpin kita masih dengan sikap ‘lavish’ mengadakan keraian harijadi dan keraian anak di hotel-hotel besar dan ternama sehinggakan sekarang di antara rakyat dengan pemimpin adalah di antara mereka yang ‘beratap nipah dan beratap genting’. Pemimpin kita tidak sensitif dengan perasaan rakyat yang memberikan mereka mandat untuk menjaga negara yang mereka sayangi ini. Mereka tidak mempunyai tempat atau negara lain untuk berlindung.

Mereka yang telah memunggah harta rakyat semasa berkuasa itu sememangnya boleh memilih negara lain untuk hidup setelah tiada apa yang tinggal di negara ini. Mereka boleh keluar negara hanya untuk melihat matahari naik di tahun baru di dua tempat di dunia ini, sedangkan rakyat tinggal di kampung masing-masing berperang dengan kenaikan harga barangan keperluan yang sedang mengganas sekarang ini.

Dengan keadaan ini maka rakyat telah merasakan tersisih daripada kerajaan dan pimpinan mereka. Rakyat merasakan yang mereka hanya dijadikan kaldai untuk memunggah harta benda mereka sendiri untuk dikendung dan dibawa lari oleh pimpinan yang mereka telah mandatkan untuk menjaga negara kita ini. Lebih dari satu trillion ringgit telah dibawa keluar secara sistematik tetapi haram itu, oleh mereka yang berkuasa dan kroni yang berhampiran dengan mereka (pemimpin).

Saya katakan wang kita dibawa lari secara sistematik kerana kita boleh menelah cara yang akan digunakan oleh mereka (pemimpin) ini. Ia boleh dilakukan dengan mengadakan dan syarikat yang boleh memberikan nasihat dari luar negara dan memberikan mereka upah yang dinamakan ‘consultancy fees’ kepada mereka dan melalui syarikat ini boleh memberikan kembali wang yang dibayar oleh pemimpin kerajaan itu.

Pimpinan yang rasuah dan tidak boleh dipercayai boleh menerima wang rasuah ini bukan sahaja dari pembelian barangan kelengkapan pertahanan dan sebagainya, ia juga boleh diterima dari mereka yang memberikan perkhidmatan dan nasihat dari syarikat antarabangsa. Itu sebabnya kita melihat harga dan kos yang diberikan oleh konsultan luar negara mencecah sehingga berbillion ringgit. Bukan semua wang itu didapati oleh syarikat konsultan itu. Sebahagian besarnya kembali ke tangan perasuah tegar itu.

Pendeknya setiap apa yang dilakukan untuk memberikan khidmat kepada pimpinan itu merupakan saluran yang sangat mudah untuk mendapatkan wang rasuah itu. Malahan ini lah kaedah ‘money laundering’ yang sangat mudah untuk dilakukan. ‘Money-laundering’ ini boleh dilakukan dengan membeli intan berlian dari negara luar dengan harga yang tinggi.

Sesudah mendapatkan barangan itu, barangan itu boleh dibawa kembali ke negara asalnya dan mengembalikan semula intan berlian itu dan mendapatkan kembali wang pembayaran intan berlian itu dengan diskaun untuk penjual yang telah memberikan kerjasama tadi. Dengan cara ini penjual itu akan mendapatkan kembali intan berlian yang dijualnya tadi dan dapat pula banyak diskaun diatas kerjasama pembeli yang rasuah tadi. Semua ini telah berlaku dinegara ini dalam jumlah yang terlalu besar untuk diterima oleh rakyat yang memahaminya.

Dalam masa yang sama rakyat yang rata-rata susah tidak dapat lari dari himpitan kenaikan harga barangan tadi. Ia tidak dapat diselesaikan dengan memberikan bantuan BRIM semata-mata tetapi ia wajar diselesaikan dengan tindakan yang drastik oleh rakyat sendiri melalui saluran-saluran yang ada secara sah dan ‘legitimate’ mengikut sistem demokrasi kita yang kita amalkan ini.

Itu sebabnya pembangkang mendapat sokongan dari mereka yang marah-marah ini, dan mereka bukan berpindah kepada pembangkang kerana pembangkang itu boleh menyelesaikan masalah-masalah itu.

Tidak ada jaminan yang pembangkang boleh memberikan penyelesaiannya kerana pimpinan yang diunjurkan oleh pembangkang untuk mengganti yang ada pun merupakan penyumbang kepada masalah ini semasa mereka tidur 'sekelambu' dengan pimpinan hari ini suatu ketika dahulu. Budayanya sama, gayanya serupa dan sikapnya tidak menunjukan perbezaan dengan yang ada hari ini.

Jika kita teliti sehalus-halusnya UMNO tiada apa yang boleh mereka harapkan lagi selain dari penolakan dari rakyat. Selagi UMNO tidak memberikan penampilan yang utuh dengan barisan kepimpinannya selagi itu lah UMNO tidak lagi perlu bersusah payah kerana apa yang mereka akan alami adalah ‘predictable’.  Mereka boleh terus menjahanamkan perbendaharaan kerajaan dan bermain politik perkauman dan agama seperti yang mereka lakukan sekarang ini.

Sesungguhnya yang membantu pembangkang untuk mara kedepan hari ini ialah UMNO dan BN itu sendiri dan bukannya oleh sesiapa yang lain. Kepada UMNO kita hanya hendak memberitahu, ‘sendiri buat sendiri tanggung’.

Yang pentingnya semua isu yang kita alami kini wajib diselesaikan. Kita tidak sabar menunggu waktu kita akan kembali harmonis di antara kita.

24 January 2014

Kalau nak berubah mara ke depan, jangan berundur ke belakang

Perdana Menteri kita sudah dihinggapi penyakit bisu. Banyak isu yang beliau mesti jawab tidak terjawab. Semakin hari semakin bertimbun isu terhadap kerajaan, lebih-lebih lagi terhadap isu beliau sendiri. Sikap beliau kini, menyumbang kepada persepsi rakyat yang beliau sudah hilang penguasaan terhadap kerajaan dan negara.

Sindrom bisu yang beliau hadapi telah membawa banyak spekulasi yang liar dan tidak menentu. Mungkin beliau mahukan keadaan tidak menentu ini dijadikan alasan untuk beliau melakukan tindakan drastik terhadap banyak pihak. Tetapi beliau tidak menyedari yang musuhnya dalam parti sendiri kian berkembang dan melarat.

Najib tidak memerlukan pembangkang untuk bermusuh. Beliau mempunyai rakan-rakan yang melakukan ‘insubordination’ terhadap diri dan kepimpinan beliau. ‘Having the kind of friends within his Cabinet and UMNO ruling party, he does not need any enemy outside UMNO anymore’.

‘Recipient’ terbesar kepada keadaan ini akan membolehkan BN kalah dalam pilihanraya yang akan datang. Itu pandangan Daim Zainuddin sendiri. Daim berpendapat Najib tidak menyumbang apa-apa kepimpinan kepada negara dan kata-kata ini di sebutnya semasa berjumpa dengan UMNO Bahagian Merbok baru-baru ini dan berita ini tersebar luas dalam media ‘alternatives’ negara.

Berita usaha setengah pihak dalam UMNO yang inginkan Najib digugurkan dari jawatan Perdana Menteri ini semakin nampak kebenarannya. Najib masih membisu dan tidak nampak apa tindakan yang boleh memberikan keselamatan dan keselesaan kepada kedudukan beliau. Najib semakin hari semakin hilang keyakinan terhadap beliau, bukan sahaja dari orang ramai malahan dari rakan-rakan sendiri dalam kabinet beliau.

Mereka yang menjadi penyokong kuat beliau sendiri mendiamkan diri, tidak berkata apa-apa kerana mereka juga ada banyak perkara yang mereka hendak jaga dan segala-galanya akan punah ranah jika Najib berhenti dari jawatannya. Politik dalam UMNO ada kewujudan kezalimannya. Apabila seorang pemimpin itu sudah tidak disukai, beliau akan menjadi tempat lemparan segala perkara yang busuk dan tidak baik.

Apabila sudah jatuh mereka yang makan dari tangannya itu sendiri akan menyepak dan menerajang pemimpin itu. Mereka di keliling Najib yang telah mendapat banyak keuntungan itu, akan lebih menjaga apa yang mereka dapati dari Najib dari membela Najib sendiri. Mereka akan meninggalkan Najib dan akan terus mencari jalan untuk mendekati mereka yang akan mengambil alih kepimpinan nanti.

Ramai yang mula bertanya, siapa yang patut mengambil alih kepimpinan Najib sekarang ini?

Ada yang mencadangkan supaya Dr Mahathir kembali ke Putrajaya dan menjadi Mentor Perdana Menteri. Ada yang menyokong dan ada yang tergelak mendengar cadangan itu. Kepimpinan seseorang itu bergantung kepada sikap dan cara  masing-masing. Dr Mahathir telah kita lihat cara dan sistem pentadbiran beliau. Maka jika Dr Mahathir kembali ke Putrajaya maka apa yang kita telah alami selama beliau mentadbir akan kembali sebagai budaya dan cara beliau mentadbir.

Yang pasti akan kita lihat ialah mereka yang mempunyai bakat untuk memimpin akan terhakis samasekali. Malahan kekosongan pimpinan hari ini adalah hasil kerja beliau. Terjadilah Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan Najib sebagai penggantinya adalah bekas tangan beliau, malah selama ini pun beliau telah pun menjadi Mentor Perdana Menteri.

Sekarang beliau di minta kembali dan tahu saja lah apa yang akan kita tengok dan saksikan. Budaya bergaduh dengan semua pihak ini, adalah budaya ciptaan beliau. Itu kita sedang jelas terlihat kini. Semasa beliau menjadi Perdana Menteri beliau bergaduh dengan semua pihak. Bergaduh dengan peguam-peguam, bergaduh dengan kesatuan sekerja, bergaduh dengan hakim-hakim  malahan yang paling hebat sekali bergaduh dengan Raja-Raja Melayu.

Beliaulah menjadi Raja, beliau juga menjadi hakim, beliaulah ketua kesatuan sekerja dan beliaulah segala-galanya. Negara seolah-olah beliau yang punyai dan bukan rakyat yang demokratik yang punya. Beliau telah merobohkan segala institusi demokrasi sehingga hari ini semua institusi demokrasi diperguna oleh UMNO dan BN atau lebih tepat lagi oleh Perdana Menteri.

Bak kata perpatah ‘ayah kencing berdiri anak kencing berlari’. Pimpinan hari ini cuba meniru gaya beliau mentadbir dahulu tetapi tidak berapa menjadi. Seandainya beliau kembali bagaimana keadaan semasa beliau sudah tiada kerana pada anggapan penyokongnya beliau ada ‘indispensible’. Boleh lah beliau mentadbir kembali jika pasti beliau boleh hidup sehingga umur 120 tahun misalnya.

Beliau tidak pernah membina kepimpinan semasa berkuasa, dan itulah sebabnya pemimpin seperti Najib boleh dijadikan Perdana Menteri. Semua pemimpin didikan Tun Razak telah beliau hapuskan sehinggakan hanya beliau seorang yang hidup tercegat dan diminta oleh penyokongnya sebagai pemimpin yang tidak dapat diganti sampai bila-bila.

Jika beliau berada di Putrajaya nanti, mungkin yang pertama beliau lakukan ialah dengan membunuh UMNO itu dahulu. UMNO sekarang itu adalah UMNO baru dan jika beliau hapuskan UMNO ini apa pula UMNO yang akan dinamakan?

ISA mungkin akan kembali kerana Mahathir tidak mampu bertahan jika tidak ada ISA. Kita mungkin melihat kita akan membayar kerugian perniagaan anaknya seperti beliau pernah lakukan pada tahun 1996 dahulu menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan Mirzan.

Panjang lagi untuk ditulis, biarlah kita berhenti setakat ini sahaja. Nanti marah pula penyokong-penyokongya. Kita tidak kuasa untuk terus bergaduh lagi.

23 January 2014

Selesaikan masalah Melayu dengan Melayu dahulu, baru selesaikan isu dengan semua pihak

Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dan penasihat DAP telah secara terbuka mahu berunding dengan parti-parti dalam kerajaan untuk penyelesaian isu perkauman, ekonomi dan berbagai-bagai isu yang berkaitan dengan negara dan keselamatannya. Unjuran ini telah dilakukan oleh kedua-dua parti Pakatan ini beberapa ketika dahulu dan sekarang ia timbul lagi sekali. Walau bagaimanapun Najib tetap mendiamkan diri tanpa membuat apa-apa reaksi terhadap cadangan PKR dan DAP itu.

UMNO pernah mencadangkan untuk berbincang dengan PAS, tetapi yang menyambutnya adalah Anwar Ibrahim. Saya pernah menulis komen semasa itu dan menganggap unjuran Anwar itu sebagai 'yang lain yang digeletek, yang lain pula yang terasa gelinya'. Pendirian PKR dan DAP ini berubah selepas pilihanraya umum yang lalu setelah tidak mencapai cita-cita dan hajat untuk berkuasa di Putrajaya.

Sebelum pilihanraya yang lalu kedua-dua parti ini tidak mahu tunduk kepada kenyataan yang negara ini, orang melayu menjadi penentunya. Tetapi oleh kerana terlalu takbur dan begitu yakin yang mereka akan menguasai Putrajaya, mereka agak angkuh dan ramai yang tidak dapat menelan keangkuhan mereka semasa itu. Melayu rasa tercabar dan merasakan terhina dengan sikap pihak lain yang begitu menjolok mata ketika itu.

Hanya apabila ‘sudah terantuk baru mereka hendak tengadah’ dan barulah mereka sedar bahawa impian mereka untuk menjadi tuan rumah di komplek Putrajaya itu, hanyalah ‘mimpi di siang hari’. Sesungguhnya tidak ada rundingan terjadi tanpa melibatkan pemimpin UMNO. Sebelum itu kita telah menyaksikan betapa hebatnya pimpinan seperti pimpinan muda-muda dalam DAP yang tidak pandai untuk bersikap lembut terhadap orang melayu terutamanya kepada yang sudah berumur.

Mereka meletakkan diri mereka seperti pemimpin yang datang dari langit, ‘that no one else was relevant other than themselves’. Mereka tidak sedar yang ‘lembut itu tidak semestinya senang untuk disudu, yang keras itu bukannya untuk di takek’. Kalau orang melayu yang menjadi majoriti penduduk negara ini, maka semua pihak yang lain mesti tahu bagaimana mereka hendak menjaga hati orang Melayu walaupun mereka sudah menganggap orang Melayu itu bodoh dan tidak relevan lagi.

Selama ini kerana kelembutan Melayu dan kesabaran mereka itulah yang telah menjadikan bangsa-bangsa yang hidup di negara ini berada di dalam keadaan aman damai dan boleh berniaga dengan baik dan aman. Hanya keadaan itu sudah mula merudum dan itulah yang perlu diperbaiki sekarang ini tanpa menunjukkan atau mempamerkan ego dan kehebatan masing-masing. Dalam negara ini tiada siapa yang hebat. Rakyat yang hebat sebenarnya.

Tetapi mereka ada hak untuk bersifat apa pun kerana mereka merasakan ‘sudah berada di atas kayangan’. Bagi kita yang ramai-ramai ini tidak perlu kita melakukan apa-apa sekarang ini. Kita hanya perlu melihat gelagat mereka dari jauh dan dekat dan tindakan memerhati ini sangat sedap rasanya. Kita lihat sahaja lakonan pimpinan mereka agar kita mudah untuk membuat keputusan secara beramai-ramai nanti.

Cadangan untuk membincangkan hal negara adalah cadangan yang baik. Tetapi biarlah cadangan itu datangnya dari mereka yang baik. Buat masa ini PAS belum lagi memberi reaksi terhadap cadangan UMNO untuk berjumpa dan berbincang. Elok jika PAS yang berbincang dahulu kerana parti itulah yang dicadangkan oleh UMNO untuk berbincang selepas pilihanraya dahulu. Elok selesaikan masalah UMNO PAS dahulu kerana itulah ‘base’ orang Melayu yang ada.

Jika perbincangan dengan PAS itu berjaya, maka bolehlah beralih untuk menghadapi parti-parti lain dalam Pakatan untuk mencari penyelesaian yang hakiki jika ia mampu dilakukan.

Tetapi sebelum berjumpa dengan PAS pimpinan UMNO perlu mempunyai pengaruh terhadap ahli-ahlinya serta kepimpinan dibawah-bawah itu untuk belajar menghormati keadaan. Menggertak rakyat akan terjadi insiden 13 Mei itu adalah pengancaman terhadap kedaulatan negara dan undang-undang perlu menyekat mereka dari meneruskan ancaman itu.

Kadangkala terfikir juga elok ISA ini dikembalikan kerana tidak ada undang-undang yang menghalang kerja jahat ini berlarutan. Saya yang begitu kuat menentang ISA dahulu pun merasakan ia perlu dikembalikan setelah merasakan yang setiap pihak mengawal permainan isu perkauman itu.

Meminta ADUN PKR di Pulau Pinang untuk meminta maaf kepada kerajaan tidak perlu, kerana selama ini pihak kerajaan pun selalu melakukan kerja sumbang terhadap pembangkang dan tidak pun memohon maaf kepda sesiapa. Jika masing-masing mempunyai niat yang baik masing-masing sepatutnya memaafkan di antara satu dengan lain secara ‘natural’ tanpa disyaratkan dan dipaksa. Lenyapkan ego semua pihak, barulah masing-masing boleh ke depan dan berbincang.

Masalahnya sekarang ini siapa yang hendak mewakili UMNO kerana Najib terlalu lembab dan bermain ‘politik selamat’ yang mungkin menghasilkan keputusan yang boleh menjejaskan pihak yang dipimpinnya. Beliau mungkin boleh dipergunakan oleh pihak yang bertentangan dalam perundingan itu untuk memberikan kelebihan kepada mereka yang akhirnya tidak menghasilkan apa yang sepatutnya dihasil dalam perundingan itu.

Disebaliknya pula ia mungkin merugikan pihak pembangkang maka itu sebabnya saya selalu katakan ia perlu dilindungi dengan menempatkan orang yang mempunyai ‘magnimity’ yang tinggi bagi menghasilkan perundingan itu. Apa yang penting semua pihak terpelihara kerana negara kita mempunyai keperbilangan kaum, agama dan cara hidup masing-masing.

ATAU ada juga kemungkinan yang perundingan itu jika dilakukan oleh mereka yang tidak cukup kuat nilai kepimpinan mereka, rundingan itu akan tergendala begitu sahaja dan akan memakan masa yang panjang untuk diadakan semula. Kita rakyat biasa yang dahagakan keamanan ini, sangat mengharapkan berlakunya apa yang disebut sebagai ‘national reconciliation’ itu secepat yang mungkin.

Ini adalah perundingan politik dan dalam politik tidak ada jaminan yang mereka yang berunding itu adalah untuk kepentingan negara sebenar-benarnya, melainkan untuk kepentingan parti dan individu tertentu sahaja.

Maka sebelum apa-apa perundingan yang hendak dilakukan dengan PKR atau DAP, UMNO itu sendiri perlu berunding sesama sendiri untuk merubah barisan kepimpinannya secara menyeluruh bagi mendapatkan pihak yang mantap dan memahami apa yang hendak dirundingkan dengan kedua-dua parti pembangkang itu.

Jika isu perkauman yang hendak dirundingkan, maka yang paling perlu ialah wujudnya kesatuan diantara orang melayu dahulu sebagai kaum yang terbesar dinegara ini. Bagi orang Melayu yang ada hanyalah UMNO dan PAS. Jika UMNO sudah merubah kepimpinannya dengan kepimpinan yang baru dengan imej yang baru, maka barulah berunding di antara UMNO  dengan PAS dahulu.

Apa pun perundingan tidak akan membawa kemana-mana jika di antara kaum Melayu dalam PAS dan UMNO itu belum dapat di selesaikan. Ini merupakan perkara yang amat ‘real’ dan jangan abaikan isu Melayu sesama Melayu ini dahulu, sebelum apap-apa rundingan yang lebih besar diadakan.

22 January 2014

Rupanya Anwar tidak ada visa

Takahari Suegami, dari Kedutaan Jepun telah memberikan sebab kenapa Anwar tidak dibenarkan masuk ke negara itu empat hari yang lepas. Penyebabnya bukannya kerajaan Malaysia atau UMNO. Penyebabnya adalah Anwar sendiri. Setiausaha Kedua Kedutaaan Jepun itu telah menyatakan Anwar tidak memohon visa untuk masuk ke negara Jepun. Di negara Jepun jika seseorang itu pernah di penjarakan perlu memohon visa dahulu sebelum memasuki negara itu.

Walaupun rakyat lain seperti Azeez Rahim dan Shahidan Kasim atau Shahrizat Jalil boleh memasuki Jepun tanpa visa tetapi kepada sesiapa yang telah di sabitkan kesalahan jenayah seperti Anwar mesti memberitahu Kedutaan Jepun sebelum berangkat dan meminta visa kemasukan beliau ke negara itu.

Itu sebabnya pihak Imigresen Jepun telah memberitahu Anwar yang penyekatan kemasukan beliau ke Jepun itu adalah di sebabkan pensabitan kesalahan beliau pada tahun 1999 dahulu. Kemasukan Anwar beberapa kali sebelum ini dibenarkan oleh pihak Imigresen Jepun kerana semasa itu ada pihak yang telah menyediakan visa untuk Anwar.

Sekira Anwar telah meminta dan memohon visa kemasukan ke Jepun dalam kes terakhir ini Kedutaan Jepun boleh membuat ‘special arrangement’ untuk Anwar masuki Jepun dan memenuhi jemputan Nippon Foundation itu.

Anwar sepatutnya memohon visa itu di Kedutaan Jepun dari menuduh pihak kerajaan memainkan peranan untuk sekatan terhadap kemasukan beliau ke Jepun itu. Jangan memohon visa itu dari UMNO atau kerajaan Malaysia. Minta visa itu dari Kedutaan Jepun.

Anwar sekarang sepatutnya sedar yang kegagalan beliau memasuki Jepun bukannya salah kerajaan kita. Ia adalah kesalahan beliau sendiri. Anwar tidak boleh membuat ‘equation’ dirinya sama dengan Azeez Rahim atau Shahrizat Jalil kerana mereka berdua ini belum sabit dengan apa-apa kesalahan dimahkamah.

Walaupun ramai pemimpin UMNO, termasuk Presidennya sendiri diketahui umum banyak melakukan kesalahan tetapi mereka belum lagi disabitkan kesalahan mereka dalam mahkamah. Itu sebabnya Rosmah dan ramai yang lain boleh masuk negara Jepun tanpa halangan kerana mereka ini belum lagi didapati bersalah di mahkamah. Negara Jepun bergantung sepenuhnya kepada sistem pentadbiran yang mantap.

Itu sebabnya negara itu boleh maju dan terus maju walaupun pernah bertukar Perdana Menteri setiap tahun, malahan ada ketikanya Perdana Menterinya bertukar dua kali dalam setahun. Perdana menteri boleh datang dan pergi, negara itu tetap berjalan kerajaannya tanpa gangguan seperti biasa kerana ber'sistem' yang mantap. Itu sebabnya negara itu kekal stabil dan aman politiknya. Di negara kita Perdana Menteri tidak mahu berhenti. Hendak berhenti dari jawatan itu 'ibarat memisahkan kulit dengan dagingya'.

Di sini sistem ada, tetapi tidak terpakai kerana kerakusan pemimpin boleh mengenepikan sistem untuk kepentingan mereka dengan menghormati pengasingan kuasa di negara ini. Kita juga ada sistem pengasingan kuasa di antara Legislatif, Eksekutif dan Judiciari nya, tetapi tidak terpakai kerana Eksekutif telah merampas semuanya dan menentukan perjalanan Badan Kehakiman.

Pernah dahulu Eksekutif menubuhkan Tribunal dalam tempoh sehari pada hari cuti umum pada tahun 1988 dahulu untuk membuang Ketua Hakim Negara. Sistem itu ada, tetapi dicerobohi oleh politik. Tribunal itu di tubuhkan pada hari Ahad dan juga Hari Buruh.

Mungkin Anwar terlupa yang negara yang beliau lawati itu adalah negara yang ber'sistem'. Mungkin beliau menganggap sistem di Jepun sama seperti sistem disini. Mungkin Anwar merasakan yang di Jepun politik boleh menceroboh bidang undang-undang seperti yang beliau sokong Dr Mahathir melakukannya pada tahun 1988 dahulu.

Sebagai Ketua Pemuda UMNO semasa itu, Anwar menyokong kuat tindakan Dr Mahathir mencerobohi Badan Kehakiman semasa itu. Hanya sejak dibuang oleh Dr Mahathir sahaja Anwar bercakap tentang sistem dan perkara-perkara yang lain yang berhubung kait dengan sistem berkerajaan ini.

Sekarang kita sudah tahu cerita sebenarnya kenapa Anwar tidak dibenarkan masuk ke Jepun. Tetapi jika minggu hadapan Anwar memohon visa untuk ke negara itu saya yakin beliau tidak akan dihalang lagi oleh pihak Imigresen di sana.

Pencerahan Setiausaha Kedua Kedutaan Jepun itu boleh diyakini, kerana di negara yang ber'sistem' itu apa yang diperkatakan oleh pegawainya itu selalunya tidak berubah, Ia tidak seperti di negara kita ini yang sentiasa berubah kenyataan pegawai dan pemimpinnya. Sebab ia berlaku begini, ialah kerana kita tidak menghormati sistem sebaliknya kita utamakan politik peribadi.

21 January 2014

Jepun menahan pemimpin asing masuk ke negaranya, kita menolak rakyat yang tidak sealiran keluar

Anifah Aman, Menteri Luar Negara, membidas Anwar brahim kerana meminta Wisma Putra memberikan penjelasan kenapa beliau ditahan oleh pihak Imigresen Jepun semasa hendak memasuki Jepun dua hari lepas. Anwar tidak dapat memenuhi jemputan Nippon Foundation  untuk berucap dalam seminar Muslim Demokrat itu.

Pihak Konsulat Malaysia di Jepun telah bertanya kepada kerajaan Jepun kenapa Anwar tidak dibenarkan masuk ke negara itu dan jawapan yang diperolehi dari kerajaan Jepun ialah Anwar merupakan seorang yang ‘undesirable’ kepada Jepun. Jepun tentulah ada sebab tersendiri kenapa mereka menganggap Anwar sebagai ‘undesirable’ kepada mereka seperti kita menganggap beberapa orang rakyat asing yang ‘undesirable’ dan menyekat mereka datang ke negara ini.

Lebih dari itu ada pemimpin negara kita sendiri yang tidak mahu kita tinggal lagi di negara ini kerana mereka menganggap kita yang tidak bersetuju dengan mereka sebagai ‘undesirable’. Siapa yang tidak bersetuju telah diminta meninggalkan negara ini, dan tinggal dinegara asing yang lebih sesuai dengan mereka. Jepun hanya tidak membenarkan rakyat negara asing yang mereka anggap tidak sesuai  dengan mereka, tetapi kita menyiahkan rakyat sendiri yang tidak digemari mereka. Kita adalah 'undesirable lots' oleh mereka.

Sesungguhnya sesebuah negara mempunyai hak untuk menolak sesiapa dari memasuki negara masing-masing dan perkara itu adalah perkara yang biasa. Negara kita pernah menolak kemasukan Ahli Senat Australia dan peguam yang terlibat dalam kes pembelian kapal selam Scorpene tahun lepas dan kuasa Imigresen itu tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak. Baik kerajaan Australia mahu pun kerajaan Perancis tidak datang ke Kuala Lumpur untuk bertanya kenapa rakyat mereka tidak dibenarkan masuk ke negara ini.

Jepun merupakan sebuah negara yang berdaulat, maka ia mempunyai hak untuk memilih siapa yang boleh dan tidak boleh memasuki negara itu. Tentulah negara Jepun menolak kemasukan Anwar itu bersebab dan ia tidak boleh menuduh kerajaan Malaysia pula yang menyebabkan beliau (Anwar) dinafikan hak untuk memasuki negara matahari terbit itu. Anwar boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap negara Jepun itu jika beliau mahu mendapatkan pembelaan secara undang-undang.

Beberapa hari yang lepas seorang Dekan Fakulti sebuah Universiti di negara ini telah mendapat pembelaan dari mahkamah AS apabila beliau tidak dibenarkan masuk ke AS sejak 2005 dahulu. Sebagai sebuah negara demokrasi yang besar tentu di negara itu Anwar boleh membawa kes beliau ke muka pengadilan Jepun dan tidak payah lah menyalahkan kerajaan Malaysia pula kerana sekatan terhadap beliau oleh Imigresen Jepun itu.

Saya tidak percaya ia berkaitan dengan politik pemimpin negara kita. Ia mungkin kerana politik beliau sendiri. Daripada meminta Wisma Putra untuk memberikan penjelasan, Anwar sepatutnya bertanya kepada kerajaan negara Jepun, kerana yang menahan kemasukan beliau ke negara itu adalah pihak Imigresen negara itu. Kerajaan Jepun lah akan memberikan jawapan samada ia adalah permainan politik pemimpin negara ini.

Yang perlu membuat pertanyaan itu adalah Anwar sendiri dan mungkin beliau sendiri tahu kenapa beliau tidak dibenarkan memasuki negara itu. Kita tidak pula ingin mengambil tahu samada beliau tahu atau pun tidak tentang halangan yang beliau hadapi itu.

Oleh itu elok kita tidak menjadikan isu ini sebagai isu politik kerana ia adalah ‘non-issue’ sebenarnya. Jika kita tidak mahu mana-mana negara mengambil tahu hal ehwal negara kita, Jepun juga begitu. Negara itu berhak untuk menolak atau membenarkan sesiapa memasuki negara itu.

Kita perlu menghormati kedaulatan negara lain seperti kita mahu negara lain menghormati kedaulatan negara kita.

20 January 2014

Najib dan pemimpin-pemimpin yang 'problematic' elok berundur

Kata-kata yang bisa keluar dalam polimik politik, dan kita mendengar setiap hari dan masa. Ia disebabkan perbezaan politik dan pandangan terhadap sesuatu isu serius. Tetapi sesiapa yang mempunyai sedikit pemikiran dan nilai kehidupan, apabila berlaku keadaan yang panas seperti hari ini ia tidak akan dapat diselesaikan dengan kata-kata permusuhan. Malah ia akan menambah kekeruhan dan selalunya tidak akan timbul penyelesaian selagi tidak tiba seorang atau kumpulan yang lebih matang dan menyelesaikan isu secara tenang dengan jiwa yang sejuk.

Api yang panas akan hanya boleh disejukkan dengan air dan siapa yang membawa air itulah yang akan membawa kesejukan. Isu yang kita hadapi sekarang ini bukan boleh dselesaikan dengan pimpinan politik. Ia perlu lebih jauh dari politik. Ia perlu diselesaikan dengan tidak membawa sentimen politik masing-masing. Manusia yang boleh membawa ketenangan ini adalah dari orang yang berpengalaman dan telah masak dalam permainan dan sepak terajang politik yang kini tidak membuat sebarang isu yang memanaskan keadaan.

BN sesungguhnya dalam keadaan yang paling tenat dalam sejarah. Segala perbuatannya tidak secocok dengan kehendak zaman dan waktunya dan semua tindakan menyelesaikan sebarang masalah dilakukan tanpa berfikir dan semua tahu segala tindakan penyelesaiannya itu tidak akan berjaya. Apabila harga barangan naik oleh kerana keputusan kerajaan untuk memindahkan kos itu kepada pengguna, Muhyiddin terus mengumumkan penubuhan jawatankuasa menangani kenaikan harga barang secara mendadak itu.

Negara telah menghadapi banyak masalah dan kita mendengar setiap masalah akan di mulakan dengan penubuhan jawatankuasa bagi menyelesaikannya. Jika kita kira semua jawatankuasa bertindak untuk penyelesaian masalah yang timbul selama ini, kita sudah tidak dapat mengiranya lagi. Jika benar semua jawatankuasa itu berjaya, masakan kita menghadapi masalah sehingga ke tahap ini?

Masalahnya pemimpin kerajaan memilih untuk membebankan semua kenaikan harga itu kepada rakyat yang mana kebanyakan mereka adalah dari gulungan yang berpendapatan kurang dari RM1500 sebulan. Kerajaan walaupun telah ke hulu-ke hilir menjanjikan kenaikan pendapatan ketahap USD15,000 setahun tetapi yang terjadi ialah kenaikan harga barangan dan pendapatan tetap seperti biasa.

Saya rasa saya sendiri belumlah pekak lagi. Kita mendengar janji kerajaan hendak menaikan pendapatan rakyat tetapi yang kita lihat ialah kenaikan harga barangan yang begitu mendadak berlaku. Semua perancangan kerajaan yang begitu banyak, semuanya mengakibatkan hasil yang terbalik. Hendak naikkan pendapatan akhirnya harga yang naik, pendapatan tidak juga naik. Kita jika dibenarkan bertaruh ingin juga hendak bertaruh yang pendapatan per kapita yang diunjurkan akan naik sehingga USD15,000 setahun tidak akan tercapai.

Isu yang diperbesarkan sudah sampai ke tahap mengarut kerana pemimpin besar pun memberikan reaksi’ kangkung’ terhadap isu yang sangat tinggi nilai lawak dan jenakanya. Jika banyak negara maju dan membangun kita mendengar berita kemasukan pelabur asing yang tinggi, kita di Malaysia hanya bercakap dan berpolimik tentang isu kangkung. Dengungan janji-janji Najib untuk menempatkan negara ini di kalangan negara maju masih kedengaran tetapi ia tidak menampakkan tanda-tanda akan tercapai, sebaliknya kita melihat tanda-tanda kegagalan sahaja.

Tetapi kita juga diberikan fahaman yang segala yang buruk itu ada hikmahnya. Saya ingin memperturunkan hikmah-hikmah yang mengikut pandangan beberapa orang yang berjumpa dan berbincang dengan saya diatas apa yang berlaku kepada BN dan UMNO itu. Hikmah (blessing) yang kita nampak jelas jika rakyat yang serius untuk menentukan hala tuju negara kita. kelemahan UMNO dan isu-isu besar terhadap UMNO dan BN itu membuatkan parti-parti yang membangkang merasa begitu yakin akan dapat menguasai kerajaan pusat.

Hasil dari keyakinan yang tidak dapat dibendung itu maka terlihat oleh kita bagaimana rakusnya mereka yang mahu mengambil kuasa itu sehinggakan kita mendengar gertakan kepada banyak pihak dalam kerajaan yang mereka akan diambil tindakan sesudah pembangkang menewaskan parti-parti kerajaan. Malahan kita telah mendengar ketakburan yang tinggi dikalangan pemimpin yang merasakan keyakinan yang tinggi itu.

Sehari dua ini kita semua mendengar sedikit kata-kata yang boleh ditakrifkan sebagai tentangan terhadap Najib dalam kerajaan itu sendiri. Mukhriz Mahathir sudah mula membayangkan yang jika Najib terus tidak mendengar kehendak rakyat yang mahu beliau berhenti, BN akan kalah dalam pilihanraya yang akan datang. Jika ia datang dari seorang Menteri Besar walaupun ia diucapkan dengan lemah lembut tetapi ia membawa makna yang sangat menebal. Pastinya itu merupakan manifestasi sebenar didalam jiwa pemimpin-pemimpin UMNO itu sendiri.

Kata-kata ini bukan sahaja datang dari seorang MB seperti Mukhriz, ia juga datang dari pemimpin UMNO sendiri secara senyap-senyap. Mereka meluahkan perasaan diantara satu dengan lain dan saya sendiri berpeluang untuk mendengar rungutan mereka itu. Mereka tidak tahu kenapa Najib begitu bebal dan tidak mahu bertindak dan berkorban untuk negara. Jika benar beliau inginkan sebuah negara yang baik politiknya beliau perlu melakukan sesuatu dan ia tidak lain dari bersara dan menyerahkan kepada keadaan untuk menentukan siapa yang layak membetulkan keadaaan sekarang ini.

Menggosok bahu dan belakang atau berkata manis dengan semua pihak sambil mengangguk ke hulu ke hilir tidak akan dapat menyelesaikan masalah negara yang beliau mengetuainya. Kemampuan Najib sudah terbukti tidak kemana. Beliau perlu mempunyai jiwa yang besar dan mengundurkan diri beliau dari menanggung tanggungjawab yang tidak dapat diselesaikannya itu.

Malahan tindakan beliau meletakkan jawatan itu akan membuatkan rakyat menghormati beliau kerana beliau akan dianggap sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan tidak mahu melihat negara dan rakyat menjadi kacau-bilau. Penyelesaian terhadap masalah yang negara hadapi sekarang ini tidak boleh ditunggu sehingga pilihanraya yang akan datang. Ia perlu diadakan dan dilakukan sekarang kerana sementara menunggu pilihanraya yang akan datang, negara akan menjadi lebih buruk lagi keadaannya dan takut ia tidak boleh diubati lagi.

Jika benar Najib mahu menunaikan janjinya untuk mendahulukan rakyat maka kehendak rakyat sekarang ialah untuk beliau berundur dari memegang jawatan PM itu. Dahulukan lah kehendak rakyat seperti dalam slogan binaan beliau itu.

Malahan semua permain politik besar negara perlu tidak lagi terlibat dalam penentuan siapa pengganti dan sebagainya. Dr Mahathir, Anwar, Najib, Muhyiddin dan pemimpin kanan UMNO perlu berundur dari memainkan peranan dalam politik negara, kerana sumber permasalahan yang ada pada hari ini adalah daripada mereka.

Let’s do away with all quarrelling and sticky leaders to see the needed change. That goes the same with the oppositions.

18 January 2014

Mahukan perubahan?....biar masa menentukannya

Di negara ini semuanya sudah menjadi isu politik. Dari salah guna kedudukan dan rasuah oleh pimpinan negara, isu menjalar sampai ke kangkung di parit-parit dan longkang-longkang di negara ini. Isu kangkung menyebabkan pemuda UMNO di Pulau Pinang menjadi berang kerana seorang ADUN PR menyumbat kangkung ke dalam mulut patung Najib. PR pula satu hal, sudah tahu UMNO bersikap kebudak-budakkan, ADUN PR pun sama juga kebudak-budakkan nya.

Semua pihak mudah melatah dan semua pihak suka bergaduh dan berperang mulut setiap hari di setiap tempat di negara ini. Agama menjadi isu politik kerana dengan menggunakan isu agama itu boleh melekatkan pandangan manusia yang melihatnya. Semua di antara mereka baik dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang, semuanya menunjuk garang tetapi sampai mana garang mereka itu belum diketahui oleh sesiapa pun.

Hanya isu ini dijadikan landasan bagi setengah orang yang keciciran sokongan mahu mendapatkan semula perhatian akan menggunakan apa sahaja isu sampaikan isu kangkung pun boleh membawa berdemonstrasi. Di Pulau Pinang mereka yang bernama pemimpin pun berlagak seperti aktivis, seperti Rizal Merican dan Musa Sheikh Fadzir. DAP pula dalam keadaan ‘honeymoon’ kerana mereka buat kali kedua penggal mendapat menguasai kerajaan Pulau Mutiara itu.

Mereka sudah beranggapan yang mereka sudah sampai ke tahap ‘invincible’ dan mereka merasakan yang mereka tidak boleh diganggu-gugat lagi oleh sesiapa sekarang ini. Mereka sudah merasakan sedikit kuasa politik dan mereka sudah merasakan mereka adalah lebih tinggi dari undang-undang walaupun mereka selalu mengkritik BN selalu melanggar undang-undang.

DAP sudah menjadi seperti Dr Mahathir dahulu, yang membenci apa sahaja yang menghalang kemahuannya. Parti itu mahukan semua perkara yang meibatkan salah laku mereka itu didiamkan sahaja dan RoS perlu mengikut telunjuk dan kemahuan mereka sahaja. Bagaimana RoS hendak mengiktiraf barisan CEC nya sedangkan penyiasatan terhadap aduan ahli-ahli yang ramai itu belum ada kesudahannya. Banyak ‘complain’ rasmi yang dibuat oleh ramai ahli dari banyak cawangan belum selesai penyiasatan yang dilakukan oleh RoS itu.

PKR sedang menghadapi krisis yag bukan kecil akhir-akhir ini. Timbalan Presidennya, Azmin Ali sedang berperang dengan Menteri Besar Selangor yang dikatakan memecat Azmin dari Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Akhirnya tuduh menuduh di antara satu dengan lain berlaku dan tidak ada siapa yang mengaku melakukan pemecatannya. Ironi nya Azmin sudah pun terpecat dan tidak ada siapa yang mengaku memecat beliau sehingga Ketua Pembangkang Anwar mengumumkan yang Azmin masih ahli lembaga pengarah PKNS sehingga ke hari ini.

Inilah contoh-contoh parti dan pemimpin yang menawarkan diri menjadi ‘alternative’ kepada BN. Siapa yang berfikir dalam-dalam akan merasa hairan bagaimanalah mereka ini berkelakuan jika diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk menggantikan UMNO dan BN yang kini sedang dalam ketenatan itu? Mereka ini juga tidak kurang menakutkan ramai jika mereka berkuasa.

Belum pun berkuasa di Putrajaya sudah kita lihat sikap dan tahap kejujuran mereka untuk menjaga rakyat dan negara. Baik DAP dan PKR mereka sedang berperang sesama sendiri kerana mereka sudah merasa sedikit sebanyak kuasa di peringkat negeri buat seketika ini. Kedua-dua parti itu menampakkan dengan jelas mahu menguasai parti masing-masing oleh kroni dan keluarga masing-msing.

Itu sebabnya ramai yang menulis email kepada saya yang menzahirkan tidak ada perubahan jika perubahan itu tidak berlaku dalam UMNO. Elok semua pihak menumpukan perubahan dalam UMNO dari melakukan perubahan dari luar, kerana yang di luar itu pun sebaik mana keadaan mereka.

Setelah UMNO berubah dengan drastik barulah budaya mengubah untuk kebaikan parti masing-masing boleh berlaku. Sementara menunggu perubahan itu rakyat jugalah yang menanggung segala perit maungnya.

Sampai bila rakyat harus menunggu, biarlah masa menentukannya.

16 January 2014

Jangan selesaikan masalah dengan masalah lain, nanti rakyat berselerak

Dulu saya selalu berkata apa yang berlaku semuanya bersebab, dan penyebab itulah yang selalu tidak diambil kira apabila bercakap dan membuat analisa terhadap apa yang berlaku pada hari ini. Saya secara peribadi dengan beberapa ramai yag lain, hampir tiga puluh tahun dahulu, bercakap dan berucap dengan panas hati dengan apa yang berlaku semasa itu kerana kami telah mengenal pasti apa yang akan berlaku selepas itu.

Hasilnya setelah tiga puluh tahun berlalu, apa yang kami jeritkan semasa itu sudah menjadi kenyataan. Penyakit yang dihadapi oleh UMNO pada hari ini ibarat penyakit ‘cancer’ penyakit yang hanya akan disedari setakat begitu lama tubuh dan kesihatan kita terbiar. AIDS juga bermula selepas lebih dari dua puluh tahun kuman atau apa-apa penyebabnya menghinggapi tubuh kita.

Apa yang berlaku sekarang dalam UMNO pun begitu. Ia bermula dengan kelalaian pimpinan tiga puluh tahun dahulu kerana semasa itu pimpinan merasa kuat dan melakukan apa sahaja yang boleh untuk kepentingan peribadi pucuk pimpinan semasa itu. Apa yang berlaku hari ini disebabkan kelalaian dan kerakusan pimpinan tiga puluh tahun dahulu. Semasa itu tidak ada siapa yang dikalangan yang berkuasa memikirkan yang kelakuan dan sifat mereka itu akan menjadikan negara seperti yang kita alami sekarang. Semasa itu pemimpin asyik membunuh roh politik negara dengan sibuk berniaga dan menjaga kepentingan perut dan kepentingan keluarga masing-masing.

Semasa itu semua pemimpin bergerak berkumpulan hanya untuk menyokong siapa yang sedang memegang kuasa tanpa memberikan sedikit pemikiran apa yang akan terjadi kepada UMNO jika budaya yang berputik semasa itu tidak dihentikan. Nah, sekarang timbul kembali penyokong kumpulan itu untuk meminta pemimpin yang memulakan masalah kepada UMNO kembali ke Putrajaya untuk membetulkan keadaan.

Saya secara peribadi tidak dapat ‘comprehend’ bagaimana pemimpin yang memulakan dan menjadi penyebab kepada masalah yang kita warisi dari kepimpinnya itu boleh melakukan pembaik-pulihan terhadap masalah yang terhasil dari budaya buruk yang bertunas semasa kepimpinannya?

Cadangan yang dilemparkan oleh seorang bekas Menteri yang meminta pemimpin itu kembali ke Putrajaya sudah pasti tidak akan membawa apa-apa perubahan. Jika ada pun perubahannya ia akan kembali kepada mereka yang bebas berfikir…’kembali ke dalam penjara dan kem-kem tahanan’ dan budaya yang ‘menang ambil semua dan kalah hilang semua’ itu akan kembali berhadapan dengan kita.

Perubahan yang diperlukan hari ini bukan perubahan kepada ‘hardware’ politik kita. Kita sepatutnya tidak lagi bercakap tentang siapa yang boleh mengurangkan tariff letrik atau pengurangan kadar tol lagi. Kita perlukan perubahan kepada ‘software’ politik itu sendiri, maksud saya roh kepada politik itu wajar dikembalikan untuk menjadikan politik, tidak kira poilik kerajaan atau pun pembangkang itu hidup dengan sihat dan bermaya.

Jika ‘software’ kepada politik itu hidup kembali maka isu tol dan harga bahan api itu akan dengan sendirinya terlerai kerana hidupnya roh politik yang sihat itu tadi. Negara tidak memerlukan pembangunan fisikal dengan cepat lagi. Kita mahukan politik yang baik dan terdasar kepada ‘political software’ yang sihat.

Yang sangat-sangat diperlukan sekarang ialah menghidupkan kembali semangat politik itu supaya kita tidak akan berhadapan dengan isu-isu rasuah yang besar dan salahguna kuasa yang begitu jelas dan pancung-memancung kepimpinan dengan zalim dan tidak berperi kemanusiaan. Kita mahukan moral politik itu kembali kepada moral yang tinggi, beretika dan tidak melanggar tata susila bangsanya dan agamanya. Kita tidak mahu agama dijadikan bahan isu politik pimpinan yang lemah dan terus berusaha untuk kesatuan di antara rakyat berbilang kaum dan agama.

Pimpinan hari ini adalah hulubalang kepada pemimpin yang diminta oleh bekas Menteri kembali ke Putrajaya itu. Abdullah Badawi dulu pun adalah hulubalang kepada pemimpin ini. tetapi pemimpin ini mahukan supaya kroni-kroni yang menjadi pemimpin yang beliau wariskan itu mengikut dan tunduk kepada kehendak beliau sahaja. Kalau tidak tunduk mereka dianggap sama seperti ‘iblis yang enggan tunduk kepada Nabi Adam’ dahulu.

Jika pemimpin yang lama bersara ini tidak lagi masuk campur saya dapat merasakan ada sedikit harapan untuk mendapatkan pembetulannya. Tetapi jika beliau ini kembali kita akan bemasalah berpanjangan kerana masalah lain akan timbul pula yang kita tidak tahu berapa lama selepas itu masalah-masalah itu dapat dihapuskan.

Kita tidak mahu lagi pemimpin yang berdendam terhadap musuh-musuh politik beliau dan kerana ia akan memberikan impak yang amat buruk jika ia berlaku. Biarkan sahaja Ahli-Ahli Legislatif yang ada pada hari ini mencuba pembaharuan itu. Pemilihan pengganti kepada yang ada pada hari ini wajar dipilih dari Ahli-Ahli Legislatif Persekutuan yang terpilih rakyat dan tidak wajar ia digantikan dengan sesiapa yang memulakan masalah yang kita hadapi hari ini.

Walau bagaimana pun ‘sepandir’ mana pun cadangan bekas Menteri Penerangan itu, satu hakikat yang benar dari kata-kata dan cadangan beliau itu ialah barisan kepimpinan hari ini sudah ternyata tidak lagi berguna kepada rakyat negara ini. lagi. Daripada pemimpin menyelesaikan masalah rakyat, rakyat pula yang terbeban untuk menyelesaikan masalah yang terhasil dari kepimpinan yang sudah hilang panduan dan tertutup hijabnya untuk mentadbir negara dengan baik dan benar.

Najib sesungguhnya kesaorangan. Buat masa ini hanya beliau seorang yang bercakap dan tidak ada seorang pun Menteri lantikan beliau membuat kenyataan terbuka mempertahankan beliau apabila Zainudin Maiden memberikan cadangan mengembalikan Mahathir ke Putrajaya. Keadaan ini menjelaskan yang Ahli-Ahli Jemaah Kabinetnya berdiam diri kerana mahukan Najib cepat-cepat berundur dan ini adalah tindakan ‘insubordination’ dari rakan-rakan kabinet beliau sendiri.

Najib sudah sampai ketahap menjadi masalah nombor satu negara. Masalah yang disumbangkan Najib kepada negara sama besarnya dengan semua masalah yang disumbangkan oleh semua pihak dalam negara ini termasuk penagih-penagih dadah.

Najib akan terpaksa berhenti tidak dapat tidak dan kita wajar menerima perubahan ini secara baik. Hanya satu ‘hurdle’ lagi yang wajar dihadapi ramai, iaitu jika cadangan Zainudin Maiden untuk mengembalikan ‘hero’ nya ke Putrajaya sebagai penyelesaiannya mahu dilakukan oleh Barisan Nasional. Jika itu berlaku, pada hakikatnya tidak ada perubahan secara ‘structural’ kepada politik negara berlaku.

Negara akan terbeban lagi dengan masalah besar, malahan lebih besar dari apa yang kita alami sekarang ini. Kalau kita hendak berubah kita perlu ke hadapan bukannya ke belakang.

Pucuk pimpinan hari ini pun merupakan bekas hulubalangnya juga. Najib ibarat anak kepada beliau ini. Kita tidak pula bersetuju untuk melihat anak dimakan oleh ibunya sendiri seperti haruan memakan anak-anaknya.

Jangan kita selesaikan masalah dengan masalah yang lain pula.

15 January 2014

Semua perancangan Najib gagal, terhempas sebelum terbang

Setakat apa yang sedang berlaku dan kita alami hari ini, sudah sepatutnya PM Najib tidak lagi berfikir panjang untuk meletakkan jawatan beliau dan menyerahkan politik kepada kepimpinan baru. Dalam kepimpinan sekarang tidak ada yang sanggup bertanggungjawab untuk bersama-sama menegur kesilapan dan kesalahan Najib. Muhyidinn mendiamkan diri, semua Naib Presiden langsung tidak nampak apa yang mereka perlu lakukan kerana mereka merasakan yang menegur dan berusaha untuk menganjak dan mengalih kepimpinan Najib kerana takut kehilangan apa yang mereka nikmati.

Pendeknya tidak seorang pun dalam kabinet dan Majlis Tertinggi parti berani memberikan nasihat dan menegur pucuk pimpinan sedangkan itu adalah tanggungjawab mereka untuk melakukannya. Akhirnya seluruh barisan pimpinan tertinggi UMNO dan BN hanya membisu tetapi tidak pula menahan diri mereka dari mengumpat pucuk pimpinan mereka dibelakang PM yang paling ‘controversial’ dalam sejarah negara.

Dalam lain perkataan seluruh pimpinan tertinggi UMNO terutamanya, tidak boleh diyakini mampu untuk bertindak dengan penuh tanggungjawab. Mereka semua hanya berbuat tidak tahu sahaja seolah-olah tidak ada apa yang berlaku dan membiarkan sahaja perkara yang menderitakan rakyat berbilang kaum dalam negara ini. Justeru UMNO itu sendiri dijadikan benteng untuk melindungi semua kegiatan tidak bermoral yang dilakukan oleh pimpinan-pimpinan parti itu.

Sepatutnya UMNO menjadi pelindung kepada rakyat serta mempastikan pimpinan mereka tidak berlaku sumbang terhadap rakyat lebih-lebih lagi kepada bangsanya sendiri. Kita tidak dapat bayangkan betapa tidak bertanggungjawabnya UMNO terhadap bangsa Melayu itu sendiri kerana menyebabkan bangsanya dipandang rendah oleh bangsa-bangsa lain sehinggakan tidak lagi ada dikalangan barisan pemimpin tertingginya untuk mengembalikan kredibilti bangsa kita sendiri.. Malahan pimpinan UMNO merupakan penyumbang terhadap kejatuhan tahap persepsi bangsa lain dan masyarakat antarabangsa didunia ini terhadap orang Melayu.

Semua pimpinan kita berimejkan rasuah dan stigma ini tidak dapat di buang lagi. UMNO itu rasuah, rasuah itu UMNO. Bagitu lah persepsi rakyat terhadap parti itu. UMNO sedang menghadapi krisis keyakinan ditahap yang terendah sekarang ini. Berbagai-bagai persepsi yang ada kepada UMNO itu kini. UMNO dikaitkan dengan rasuah, jenayah yang berbagai-bagai dan salah guna kuasa yang tidak terbendung, malahan segala-gala yang buruk itu ada kepada UMNO.

Kita tidak tahu samada Najib sedar atau pun tidak yang kata-kata beliau serta barisan rakan pimpinan beliau sentiasa dipandang remeh oleh masyarakat negara ini termasuk bangsa Melayu yang sedar tentang keadaan kepimpinan dan negara kita kini. Kata-kata pucuk pimpinan kita sentiasa diremehkan oleh rakyat kerana tahap persepsi rakyat terhadap kepimpinan UMNO adalah yang terendah dalam sejarah merdeka kita.

Kita masih tertunggu-tunggu jawapan kepada masalah yang rakyat hadapi. Isu terhadap kerajaan sekarang terlalu banyak sehinggakan tidak dapat dibariskan dalam masa yang singkat jika hendak diingat dan selesaikan. Negara telah diabaikan oleh pimpinan yang memerintah hari ini dan rakyat yang ada sekarang ini terpaksa memberikan sokongan kepada pihak lain yang belum tentu boleh memberikan penyelesaiannya. Rakyat sudah sampai ketahap tidak berdaya untuk menaham ragam dan sikap pimpinan kita terutamanya pucuk pimpinan diatas dan ramai diantara mereka memberikan sokongan kepada pihak pembangkang walaupun kita melihat pembangkang sendiri sedang menghadapi kecelaruan dalam parti masing-masing.

Hanya PAS nampaknya yang agak tenang dan PAS boleh menjadi penyejuk kepada perasaan panas yang dihadapi oleh rakyat diatas perlakuan pucuk pimpinan dan penyokongnya di dalam kabinet itu.

Kita memahami hakikat yang politik negara ini banyak ditentukan orang Melayu dan jika ada pihak-pihak yang cuba untuk berbohong kepada orang Melayu dengan berbagai-bagai retorik kosong mereka akan gagal untuk menarik perhatian mereka. Saya bermaksud jangan sekali-kali membohongi orang Melayu kali ini kerana orang Melayu sudah terlalu jemu dibohongi oleh parti mereka sendiri. Jika selama ini Melayu dikatakan mudah dibohongi kali ini mereka dirasakan tidak lagi mahu suapkan dengan retorik dan slogan kosong yang mereka sudah mual mendengarnya.

Nafsu Najib masih kuat untuk terus memegang kuasa, tetapi tidak bertenaga lagi. Sudah sampai masanya beliau mengangkat tangan dan mengakui yang beliau tidak berkemampuan untuk mentadbir negara ini. Semua yang dilakukannya gagal dan tidak selesai. Bak kata orang Negeri Sembilan, ‘ghoso eh ado, tapi kojo tak siap’…..yang bermaksud. ‘he has the urge and will, but with no more power’. Tidak ada kerja yang akan siap dan sempurna dilakukannya.

Hasilnya, oleh kerana beliau masih berada dikerusi itu beliau dikelilingi oleh ahli-ahli penasihat dan kabinet yang lemah sehinggakan tidak ada siapa yang boleh mengambil alih tugas beliau kerana seluruh anggota kabinet adalah dari acuan yang sama.

Gantilah Najib dengan salah seorang dari kabinet yang ada, keadaan akan serupa sahaja keadaannya, malahan mungkin lebih buruk lagi. Itulah dilema ahli-ahli UMNO sebenarnya, tetapi yang mana sudah sedar mereka tidak lagi bergiat dan memberikan sokongan kepada PAS dan mana-mana NGO yang lain.

Semua yang Najib rancang tiada apa yang berhasil. Beliau pun tidak faham apa yang beliau rancangkan kerana beliau hanya bergantung kepada nasihat PEMANDU yang tidak berfaedah dan beliau sendiri pula tidak faham apa yang dinasihatkan itu. Negara akan terus berpecah belah kerana kelemahan kepimpinan ini. Berbagai-bagai persepsi buruk yang lain yang dianggap oleh pimpinan seperti tiada apa yang berlaku.

Jenayah disana sini. Rompakan harta rakyat berlaku sepanjang masa tetapi tidak pula terjumpa pesalahnya walaupun mereka berkeliaran didepan mata kita sepanjang masa. Yang dibunuh tiada pembelaan kerana yang membunuh dilindungi oleh kuasa yang ada ditangan mereka. Tetapi orang dan kumpulan yang sama yang mengaku hendak mempertahankan agama Islam. Islam apa yang mereka pertahankan kita pun tak tahu.

Najib tidak sepatutnya dibawa kedalam politik negara dari awal lagi. Beliau layaknya duduk bersembang dengan saya dan yang lain yang tidak berkepimpinan ini diwarung-warung dan kedai kopi minum teh tarik kalau malas hendak ke masjid. Tetapi malangnya kita berikan tanggungjawab besar negara kepada beliau dan kita minta beliau melakukan transformasi dan berbagai lagi. Kita telah memberikan tugas menjaga negara kepada yang tidak ahlinya.

Itu sebabnya semua program transformasi perancangan Najib terhempas sebelum terbang (crash before taking off).