30 October 2012

TGNA adalah di antara pemimpin yang paling sihat

Tok Guru Nik Aziz (TGNA) berkata di Kelantan semalam yang beliau tidak akan meletakkan jawatan dan berundur kerana desakan dari pihak-pihak yang tidak kena mengena dengan PAS. Beliau akan berundur jika desakan itu datangnya dari PAS. TGNA mengulas desakan Ibrahim Ali, Presiden Perkasa, yang meminta TGNA berundur kerana kesihatan beliau tidak membolehkan beliau mentadbir negeri Kelantan.

TGNA berkata beliau akan hanya mempertimbangkan untuk berundur jika PAS mendesak beliau untuk meletakkan jawatan dan jawapan TGNA ini kepada saya adalah jawapan yang tepat dan benar. Di Kelantan yang menentukan siapa yang menjadi MB itu adalah PAS kerana rakyat Kelantan telah memandatkan PAS untuk mentadbir negeri Kelantan sejak tahun 1990 dahulu dan parti-parti serta pihak-pihak yang lain tidak ada hak untuk menuntut beliau meletakkan jawatan itu.

TGNA adalah seorang MB dan Ketua yang diberikan tugas untuk memantau kerja-kerja dan tanggungjawab pelaksana, iaitu pegawai-pegawai kerajaan negeri dilaksanakan dengan baik dan telus. Bagi saya TGNA adalah benar-benar seorang MB yang difahami dalam erti kata yang sebenarnya. Beliau tidak masuk campur di dalam pelaksanaan tanggungjawab kerajaan tetapi ‘accountable’ terhadap apa yang dilakukan oleh pihak pelaksana iaitu pegawai-pegawai dan penjawat awam di negeri itu.

Beliau tidak bersekongkol dengan pelaksana yang rasuah seperti yang dilakukan oleh MB-MB di negeri-negeri tadbiran UMNO. Banyak negeri-negeri tadbiran UMNO pelaksana dan penggubal dasar termasuk Menteri-Menteri Besarnya mengarah dan masuk campur dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab dan ia telah membawa kepada kegiatan korupsi yang meluas. 

Jika penggubal dasar terutamanya MB hanya mengambil tugas sebagai pemantau kepada perlaksanaan dasar-dasar yang telah digubal dengan baik, maka budaya rasuah tidak akan berlaku dengan mudah. Rasuah berlaku di Kementerian-Kementerian Persekutuan disebabkan penggubal dasar yang diketuai oleh Menteri-Menteri dalam kementerian-kementerian itu tidak melaksanakan tugas dengan betul, iaitu untuk memantau segala tugas perlaksanaan kementerian itu dilaksanakan mengikut apa yang telah digubal.

Sebaliknya menteri-menteri menyalahgunakan kedudukan mereka dengan bersekongkol untuk melakukan kerja yang bertentangan dengan tugas yang diamanahkan kepada mereka iaitu untuk memastikan pelaksana tidak melakukan rasuah dan sebagainya. Jika menteri-menteri melaksanakan tugas yang sepatutnya dilakukan tidak mungkin rasuah berlaku dalam kadar yang sangat membimbangkan sehinggakan rakyat sudah hilang  kepercayaan mereka kepada penggubal dasar yang diberi mandat oleh mereka.

Bagi TGNA beliau telah memberikan jawapan dengan betul. Yang penting ialah kesihatan pemikiran bukan setakat sihat tubuh badan. Jika pemikiran seorang MB seperti TGNA itu masih sihat,  tidak ada apa masalah untuk terus menjadi MB dan pihak UMNO, Perkasa atau pihak-pihak lain tidak berhak untuk membuat tuntutan untuk beliau berundur.

Ramai pemimpin di dalam UMNO itu masih sihat tubuh badan mereka tetapi pemikiran mereka telah uzur. Jika mereka masih mempunyai pemikiran yang tidak uzur, segala rasuah dan salah guna kuasa tidak akan berlaku. Pemimpin yang rasuah itu melambangkan pemikiran yang tidak sihat. Jika pemikiran mereka sihat mereka akan tahu yang rasuah itu salah dan pemikiran yang sihat akan memberitahu mereka yang rasuah itu amat bersalahan dengan syariat agama dan satu dosa yang amat besar di sisi Tuhan. Itu sebabnya saya berulangkali mengingatkan semua yang pemakan rasuah itu samalah seperti orang yang memakan daging saudaranya sendiri.

Bagi saya TGNA adalah seorang pemimpin yang paling sihat kerana beliau masih mempunyai pemikiran yang kuat untuk memberitahu beliau dan kepimpinan beliau itu yang rasuah itu adalah kesalahan besar. Sesungguhnya pemimpin-pemimpin UMNOlah yang sudah uzur kerana tidak dapat menahan daripada melakukan rasuah besar-besaran.

Pemikiran TGNA masih terlalu sihat kerana beliau tidak mahu tunduk kepada desakan untuk membuat kekayaan dan duduk di rumah-rumah yang besar dan berglamor. TGNA masih sihat pemikiran beliau kerana beliau tidak membelikan isteri beliau cincin yang puluhan juta harganya.

TGNA tidak menggunakan wang rakyat untuk membayar bil kenduri perkahwinan anak beliau dan tidak berbelanjakan wang rakyat untuk mengadakan majlis sambutan hari jadi beliau. TGNA tidak terlibat dalam isu ber‘dating’ dengan teman wanita dengan membayar wang sejumlah ratusan ribu ringgit setiap kali ber’dating’ seperti yang dilakukan oleh seorang Menteri Persekutuan. Setakat yang kita semua tahu TGNA tidak ada teman wanita di luar rumah.

Pemikiran TGNA masih sihat kerana beliau tidak pergi berpeleseran di pusat-pusat karaoke dan membayar GRO-GRO dengan menggunakan wang rakyat dan beliau tidak pernah pun pergi bersukaria di pusat-pusat hiburan tempatan atau antarabangsa.

TGNA tidak seperti seorang MB yang kurang sihat pemikirannya yang terlibat dengan jenayah menghantar wang sebanyak RM10 juta ke London melalui sebuah pengurup wang yang begitu ‘dubious’ kedudukannya.

Jika kita timbang-timbang dengan secebis tulisan saya ini kita boleh membuat andaian yang ‘conclusive’ yang TGNA adalah seorang pemimpin yang paling sihat dan belum uzur lagi. Ssebaliknya pimpinan BN dan UMNOlah kumpulan pemimpin yang telah uzur kerana mereka tidak dapat menggunakan pemikiran mereka untuk menentukan yang mana satu yang tidak baik dan yang mana satu yang baik untuk dilakukan atau untuk tidak dilakukan.

Oleh kerana keuzuran pemikiran pimpinan BN dan UMNO inilah yang menyebabkan kerajaan pada hari ini menjadi persoalan besar oleh rakyat jelata.

Bagi saya, secara peribadi TGNA perlu terus bertanding dalam PRU ini kerana tidak ramai lagi pemimpin yang masih sihat seperti TGNA dan Tok Guru Hadi Awang dan beberapa orang pimpinan besar dalam DAP dan parti-parti yang lain. Mereka ini masih sihat kerana tahu yang mana baik dan yang mana buruk.

Pendeknya kalau kita hendak tahu mana satu pemimpin yang masih sihat ialah mereka yang belum terlibat dengan banyak dosa dan noda yang memercukan syariat agama dengan sesungguhnya.

Sesiapa yang tidak memercukan syariat yang diperintahkan Tuhan itu adalah mereka yang tidak sihat dan perlu direhatkan untuk membina kembali kesihatan mereka mengikut sudut agama dan syariat agama yang kita anuti.

Salah satu daripada sebab PAS mendapat sokongan ramai hari ini ialah kerana kesihatan kepimpinan dan pemikiran pemimpin mereka. Kerana kesihatan pemikiran mereka itulah rakyat sedang berlumba-lumba untuk menyokong pemimpin-pemimpin yang sihat sekarang ini.

29 October 2012

UMNO: Sudah hendak jatuh, masih mengaku gagah

Saya tidak tahu bagaimana ada pemimpin peringkat tertinggi BN percaya yang BN akan mendapat sedikit lebih kerusi parlimen dari apa yang didapati dalam PRU yang ke-12 dahulu. Di samping mengakui akan kehilangan beberapa kerusi yang sekarang dipegang oleh BN di Sabah dan Sarawak, BN masih berkeyakinan boleh mendapat lebih daripada 140 kerusi dari jumlah 222 kerusi parlimen keseluruhannya.

Nampaknya UMNO dan BN mempunyai formula ilmu kira-kira yang baru. BN mengakui yang enam atau tujuh kerusi di Sabah akan kalah dan jumlah yang sama juga akan kalah di Sarawak. Tetapi dengan berkurangan jumlah kemenangan BN di kedua-dua buah negeri ini ia menambahkan kemenangan BN melebihi 140 kerusi.

Tetapi dalam ilmu kira-kira apabila sesuatu angka itu ditolak, angka itu akan menjadi kurang. Jadi kalau hendak tahu ilmu kira-kira (belum lagi matematik) yang baru di mana menolak jumlah angka itu akan menambah bilangan jumlah angka tersebut, elok belajar dari BN bagaimana menolak jumlah sesuatu angka itu boleh menambah bilangan angka itu. Selalunya angka itu akan bertambah jika dicampur bukannya ditolak.

Tetapi kita tahu kenapa BN merasakan ia akan mendapat lebih daripada 140 kerusi dan fenomena kekeliruan ini memang biasa berlaku di dalam BN. Semasa Abdullah Badawi membubarkan parlimen dahulu pun, tentunya beliau membuat perkiraan yang BN akan memenangi jumlah kerusi yang besar sebagaimana yang beliau perolehi semasa PRU tahun 2004 dahulu. Dalam hal membuat kira-kira ini, BN memang selalu salah dan kesalahan ini akan berlaku lagi di dalam pilihanraya yang akan datang ini.

BN membuat perkiraan yang di Semenanjung mereka yakin yang pengundi India akan kembali ke pangkuan BN, dan beberapa kerusi yang dipegang oleh PKR akan jatuh ke tangan mereka. Jika itu perkiraannya mereka sepatutnya menolak sejumlah sokongan dari kaum Cina yang sekarang ini sedang menambah bilangan sokongan kepada PR melalui DAP kali ini. Jika dahulu hanya 65% sahaja orang Cina memberikan sokongan kepada PR, kali ini jumlahnya akan bertambah kepada 80%. 15% tambahan ini adalah satu angka yang besar dan boleh memberikan impak negatif kepada BN dalam PRU ini.

BN meletakkan harapan untuk mendapatkan pertambahan kerusi kali ini melalui pemberian BR1M kedua tidak berapa lama lagi. BN yakin dengan pembelian undi ini mereka akan mendapat sokongan yang lebih besar kerana BN merasakan jumlah RM500 atau RM1000 itu amat besar kepada rakyat yang miskin. BN masih memainkan isu kemiskinan yang mereka wujudkan untuk mendapatkan sokongan semasa terdesak dengan membayar jiwa dan raga mereka (orang miskin).

Sekarang baru kita yakin yang BN akan tetap mengekalkan tahap kemiskinan rakyat di tahap yang ada sekarang ini agar dapat dipergunakan dalam setiap PRU yang bakal diadakan dengan membeli mereka yang BN anggap sebagai kelompok miskin ini. Pendeknya BN menaruh harapan kepada undi dari mereka yang dianggap miskin. Pimpinan kita beranggapan RM500 melalui pemberian BR1M ini sudah memadai untuk rakyat sedangkan jumlah sejemput itu hanya boleh menyelesaikan masalah untuk sehari sahaja.

Tetapi benarkah BR1M itu membawa keuntungan kepada BN kerana rata-rata saya dapati ramai rakyat yang tersinggung dengan tindakan Najib membeli undi ini, terutamanya di kalangan anak muda yang berpendapatan tetap. Ramai orang-orang yang berumur ini menerima BR1M ini tidak akan mengundi BN kerana anak-anak mereka memberi lebih dari apa yang BN berikan kepada mereka. Mereka ini akhirnya akan mendengar nasihat anak-anak mereka dari mendengar nasihat pemimpin UMNO di mana-mana.

Seperkara yang UMNO tidak mengambil kira ialah parti itu akan menghadapi masalah dalaman yang besar dalam PRU yang akan datang ini. Bagi pendapat ramai perebutan menjadi calon lebih buruk lagi di masa ini. UMNO akan menghadapi sabotaj dari ahli-ahli dan pemimpinnya sendiri dan ini akan hanya menyerlah sebaik sahaja nama-nama calon diumumkan. Apa yang berlaku di dalam pilihanraya yang lalu akan berlaku dalam kadar yang lebih teruk lagi di pilihanraya kali ini.

Saya telah mendapat maklumat yang diberikan oleh ahli-ahli UMNO dan pimpinan pertengahan yang mereka akan melakukan apa sahaja untuk memboikot mana-mana calon yang tidak sehaluan dengan mereka dan perkara ini jelas dirancang dari atas sehingga ke bawah dalam parti pemerintah selama dekad itu. Ramai pimpinan di peringkat bahagian telah jatuh semangatnya kerana masalahnya bukan menghadapi pembangkang yang sudah sedia mendapat perhatian ramai, tetapi menghadapi masalah ‘chah keting’ sesama sendiri.

Sesungguhnya UMNO tidak akan mampu diperbaiki selagi barisan sekarang ini masih berkeliaran di majlis tertinggi serta kabinet negara pada hari ini. Ini cadangan yang mustahil diterima oleh pimpinan UMNO hari ini. Cadangan itu ialah untuk pimpinan yang ada pada hari ini bersara dan berikan kepada ahli-ahli yang tidak mahu masuk dalam acuan yang dibentuk oleh Dr Mahathir dahulu. Jika acuan ini tidak ditukar rakyat tahu siapa pun di kalangan barisan MKT yang ada pada hari ini mengambil alih imej UMNO itu tidak akan dapat dipulihkan.

Siapa pun yang mengambil alih di kalangan mereka ini UMNO tidak akan berubah. Imej UMNO sudah begitu berkecai dan dilihat oleh ramai penganalisis politik yang berwibawa menyatakan yang kali ini adalah masa yang tergenting sekali yang dialami oleh UMNO. UMNO perlu menukar acuannya kerana acuan yang ada hari ini sudah tidak boleh dipakai dan tidak relevan lagi.

UMNO sudah sampai ke tahap tidak boleh meletakkan calon kerana kalau digantikan mereka yang ada dengan calon yang baru, kerosakan sudah terlalu teruk dan siapa pun calon itu akan kecundang dan tidak bermaya untuk menahan kebangkitan rakyat di merata-rata tempat dan wilayah di dalam negara ini.

Walaupun Tengku Adnan, Setiausaha Agong UMNO, berkeyakinan untuk meraih lebih daripada 140 kerusi parlimen tetapi itu semuanya merupakan ‘wishful thinking’ beliau sahaja. Tengku Adnan hanya bercakap dengan memberikan pandangan yang beliau ingin dengar sahaja.

UMNO pusat tidak akan berani menukar calon-calon yang baru apatah lagi jika penyandang pada hari ini adalah dari ketua atau pemimpin atasan di bahagian masing-masing. Ditukar akan membawa kekalahan dan jika tidak ditukar juga akan menjadi masalah besar juga. UMNO dan ahli-ahlinya tidak ada kebersamaan di antara mereka lagi. Ini merupakan akibat kelalaian pimpinan yang tidak mengambil tahu hal parti yang telah mula rapuh sejak tiga puluh tahun yang lalu.

Sekarang ini UMNO terpaksa menubuhkan bermacam-macam Jawatankuasa untuk mengelakkan sabotaj-mensabotaj parti. Parti ini menghadapi masalah yang dilakukan oleh ahli-ahlinya sendiri bukannya oleh rakyat yang ramai. Jika parti itu bermasalah dalam sebegini serius bagaimana ia boleh diyakini dan diberikan mandat lagi. Maka UMNO patut diketepikan dahulu dan biarkan parti itu menyelesaikan masalah mereka dahulu. Sementara itu biarlah pihak alternatif menjaga rakyat dan negara dalam tempoh dan penggal yang akan datang ini.

Buat masa ini UMNO terpaksa berbelanja berlipat kali ganda kali ini untuk membiayai kos pekerja pilihanraya yang lebih mementingkan wang ringgit yang besar sebelum melaksanakan tugas dalam pilihanraya nanti. UMNO ibarat kereta yang sudah terlalu tua dan kos penyelenggaraannya amat tinggi. Apabila kurang penyelenggaraan UMNO akan tidak berfungsi dan akan seperti kereta tua yang rosak: terbengkalai di tepi-tepi jalan.

Itu sebabnya orang ramai memilih untuk memandu kereta baru yang masih berbau wangi di dalamnya. Kereta lama ini mempunyai bermacam-macam masalah. Lepas diperbaiki, enjin rosak pula dan sistem penghawa dinginnya. Sekarang apabila kereta itu diyakini boleh berjalan dengan baik, lampu pula padam dan tidak boleh dipandu pada waktu malam. Susah memandu kereta tua ini. UMNO perlu dihantar ke bengkel dan diperbaiki sebelum ia boleh digunakan lagi.

Oleh itu kita mesti terima hakikat apabila sampai masa UMNO itu jatuh ia akan jatuh bergelimpangan. Ia seperti nyawa kita, apabila sampai waktunya untuk pulang ke Penciptanya, ia tidak boleh ditangguh walaupun sesaat. Ada sahaja jalannya untuk kembali ke asal. Setengahnya mati kerana kemalangan, setengahnya kerana serangan jantung dan angin ahmar, ada yang mati kerana C4 dan berbagai-bagai lagi cara manusia melalui jalan kematian.

Parti politik pun begitu. Ada yang gugur kerana peperangan dan ada yang jatuh kerana rasuah yang keterlaluan dan salahguna kuasa seperti yang berlaku di negara kita ini.

28 October 2012

Tanda dan dalil untuk perubahan sudah nyata. Bersabarlah!

Sebelum satu-satu perubahan berlaku is akan bermula dengan tanda-tanda dan dalil yang kuat yang perubahan peristiwa besar akan berlaku. Semasa Tsunami tahun 2006 yang telah meragut hampir tiga juta nyawa manusia di persisiran lautan India banyak tanda-tanda telah dialami beberapa ketika sebelum peristiwa buruk ini berlaku.

Di persisiran pantai kedapatan banyak ikan yang selalunya didapati di tengah-tengah lautan dan jumlah ikan dan haiwan laut berada di persisiran pantai lebih banyak dari biasa. Banyak lagi tanda-tanda dan dalil yang kedapatan sebelum peristiwa yang menyayat itu berlaku. Peristiwa seperti itu juga membawa dalil yang akan berlaku di kawasan yang berlaku malapetaka itu.

Mengikut setengah kajian peristiwa seperti ini adalah petanda yang kawasan yang ditimpa malapetaka seperti Tsunami itu akan menjadi kawasan yang akan pesat membangun selepas tiga atau empat dekad. Negara Jepun dalam masa empat dekad telah mencapai kemajuan setelah negara itu menjadi negara padang jarak padang terkukur selepas bom atom telah digugurkan oleh pihak bersekutu di Nagasaki dan Hiroshima pada tahun 1945 yang lalu.

Begitu juga dalam hal politik sesebuah negara itu. Di wilayah barat Eropah, telah berlaku berbagai-bagai macam bencana alam yang ngeri dan menakutkan sebelum wilayah itu menjadi wilayah dan negara-negara yang maju dan moden. Peperangan di antara negara-negara berjiran serta tindakan Hitler menghalau kaum yahudi dari Jerman dan kesemuanya ini merupakan peristiwa yang sangat besar ‘consequence’nya terhadap landskap politik dan sosial dunia. Akhirnya setelah tiga atau empat dekad kawasan dan wilayah-wilyah di kawasan itu merupakan kawasan  termaju di dunia.

Pendeknya setiap kebaikan yang berlaku itu merupakan susulan kepada peristiwa-peristiwa yang buruk seperti bencana alam dan perubahan politik sesuatu negara atau wilayah itu.

Kalau kita lakukan aplikasi terhadap apa yang sedang dan akan berlaku di negara ini ia merupakan satu perubahan dan anjakan politik yang sangat penting untuk berlaku bagi menuju kebaikan di masa depan. Dalam proses perubahan ini kita harus bersabar dan melaluinya dengan penuh yakin yang arus perubahan ini adalah kehendak ‘nature’ yang mana tidak seorang pun terlepas daripada mengalami dan melaluinya.

Mana-mana pihak yang mempunyai kesabaran yang lebih akan berjaya. Itulah sebabnya saya selalu meminta semua yang menjadi agen perubahan ini bersabar lebih dari biasa bagi perubahan ini berlaku dengan baik dan tidak payah melalui kejadian yang membawa banyak nyawa dan kecederaan berlaku.

Bagi kita, kita telah mempunyai cara dan kaedah untuk melakukan perubahan itu dengan terhormat dan teratur. Kita hanya perlukan pemikiran yang baik dan tidak dicelarukan dengan elemen-elemen yang boleh merosakan sistem kehidupan yang kita sedia alami.

Seperti yang saya katakan tadi, peristiwa yang tidak disenangi oleh sesuatu pihak itu yang memungkin ada perkara-perkara yang kita tidak ingini berlaku, akan sentiasa disusuli dengan hasil yang baik yang akan dirasai oleh rakyat jelata, setelah kita melalui pahit maung untuk melakukan perubahan itu. Jika diizin Tuhan kita akan sampai ke peringkat di mana kita semua akan hidup dalam aman dan sentosa bersama pembangunan negara yang kita kehendaki berlaku dengan sistem yang baik dan sempurna.

Sementara perubahan sebenar itu sampai dan benar-benar berlaku adalah penting kita menahan segala gejala reaksi yang buruk yang tidak mahu perubahan itu dengan penuh kesabaran. Kita harus sentiasa memohon dari yang Maha Esa agar kita sentiasa berada di dalam sepenuh keredhoanNya..

Kita yakin segala tanda-tanda awal dan dalil-dalil yang berlaku untuk perubahan itu kian hari kian jelas. Bagi kita, apa yang perlu dilakukan ialah untuk bersabar dan sentiasa memohon segala keredhoanNya dalam segala perlakukan yang kita lakukan semata-mata untuk kebaikan masyarakat dan rakyat negara kita. Waallahualam.

26 October 2012

Dulu UMNO dibunuh oleh pucuk pimpinannya, kali ini MCA akan membunuhnya

Dalam keadaan terdesak pemimpin-pemimpin BN mengeluarkan kata-kata yang memilukan kita semua dan tidak pula mereka menyedari yang dari kata-kata itu ia menampakkan keterdesakan mereka. Akhirnya mereka sendiri membuatkan rakyat merasa bosan terhadap mereka. Belum pun hilang dengungan kata-kata Chua Soi Lek yang menghina hudud dan bercakap di dalam perhimpunan agong parti itu, tiba-tiba Mahathir pula berkata orang Melayu sedang merempat di dalam negerinya sendiri.

Dr Mahathir telah melawak bodoh dengan mengajak rakyat menyokong UMNO yang bertanggungjawab menjadikan orang Melayu merempat. Dr M seolah-olah menuduh yang Pakatan Rakyat yang menyebabkan Melayu merempat sedangkan PR belum lagi memerintah kerajaan negara ini. PR akan hanya memerintah buat pertama kalinya selepas pilihanraya yang akan datang ini, jika mendapat keizinan Tuhan.

Mahathir seolah-olah sudah lupa yang Melayu kini merempat kerana kerajaan BN selama ini tidak berkemampuan untuk membangunkan orang Melayu yang kini merempat dari sudut pandangan Dr M. BNlah yang bertanggungjawab menjadikan Melayu merempat di negara mereka sendiri. Seruan Dr Mahathir supaya rakyat menyokong UMNO untuk tidak merempat ini merupakan lawak jenaka terbaik bagi abad ke-21 ini. Bagi Mahathir penyelesaian dalam isu Melayu merempat ini ialah dengan menyokong UMNO yang bertanggungjawab merempatkan orang Melayu selama ini.

Serangan secara rasmi Chua Soi Lek terhadap Islam dalam perhimpunan yang juga dihadiri oleh Presiden UMNO, Najib Tun Razak, menunjukkan kebaculannya dan melambangkan beliau seorang yang tidak mempunyai ‘dignity’ sebagai pemimpin negara ini. Beliau mengiakan kata-kata dan serangan Soi Lek itu dengan berdiam diri mendengar kata-kata pemimpin Cina yang chauvinistic ini. Najib tidak memberikan reaksi untuk mempertahankan agamanya dan ini tentulah oleh kerana hendak menjaga politik kepartian dan kepentingan dirinya sendiri.

Rupa-rupanya kepada Najib parti itu (MCA) lebih tinggi dan ditakuti oleh Najib. Beliau lebih takut kepada Chua Soi Lek yang terlibat dengan lakonan seks di sebuah Hotel di Batu Pahat Johor beberapa tahun dahulu daripada takut kepada Tuhannya. Soi Lek lebih mulia dari agama dan undang-undang Tuhan. Jika kita tidak mahu melaksanakan hudud itu jangan kita menafikan yang hudud itu adalah satu undang-undang yang terbaik yang datang dari Tuhan. Kalau kita tidak mahu melaksanakannya kita mesti mengakui yang kita telah engkar terhadap seruan Tuhan tetapi jangan sampai menidakkan undang-undang dari Tuhan itu. Jangan sekali-kali kita mengharamkan yang halal dan menghalalkan perkara yang haram.

Najib sepatutnya tidak terikut-ikut dengan lagak Dr Mahathir yang suatu ketika dahulu mengejek-ngejek hudud sebagai undang-undang zalim dan tidak praktikal untuk dilaksanakan. Bila Najib berdiam diri dan tidak mempertahankan serangan terhadap hudud oleh rakan kongsinya MCA, beliau boleh dicap sebagai petualang terhadap agamanya. Kepada semua rakyat tanpa mengira parti dan agama wajar memberikan Najib dan sekutunya pengajaran dengan mengalihkan kedudukan mereka daripada menjadi peneraju kerajaan kepada pembangkang.

Sikap kurang ajar MCA itu jangan dipandang enteng kerana ia melibatkan Tuhan semesta Alam yang Maha Suci dan Maha Agong itu. Kita tidak perlu membunuh dan bertindak kasar tetapi sebaliknya kita bertindak dengan baik dan lembut. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah pergi ke peti undi dan jangan kita memangkah lambang BN dan memberikan undi kita kepada parti-parti yang mempertahankan kesucian agamanya. Sepatutnya MCA bertindak dengan menghormati agama kami seperti yang ditunjukkan oleh DAP. DAP secara rasminya mengambil sikap menghormati agama Islam seperti mana Islam menghormati agama lain seperti yang dituntut oleh Islam itu sendiri.

Kita rakyat Malaysia wajar memberikan sokongan kepada siapa yang menghormati kita, kerana kita menghormati penganut agama lain dan ingin duduk di dalam sebuah negara yang bersatu padu di antara semua kaum tanpa menyerang undang-undang agama yang kita anuti. UMNO sesungguhnya tidak bertanggungjawab kerana tidak menegur sikap angkuh Presiden MCA itu kepada agama dan Tuhan Maha Suci itu. Bukan sahaja pemimpin utama UMNO berdiam diri tetapi keseluruhan pimpinan parti kerajaan itu berdiam diri termasuk penyokong-penyokongnya sendiri.

Jika begini keadaannya maka amat kita khuatiri jika BN terus memerintah maka UMNO akan diperkudakan oleh MCA dan ini akan membuatkan agama kita dan undang-undangnya diserang setiap masa. Kita khuatir jika BN memerintah lagi MCA akan menguasai kita termasuk agama kita sekali dan ia amat merbahaya kepada keutuhan hidup rakyat berbilang kaum selama ini. BN yang selama ini menuduh dan memfitnah DAP sebagai anti Islam sudah jelas hanya satu cara untuk memecahkan permuafakatan di antara kaum yang sedang terjalin melalui Pakatan Rakyat. Sekarang kita nampak dan boleh membuat pendirian yang ‘conclusive’ bahawa MCAlah yang paling ‘chauvinistic’ dan bukannya DAP.

UMNO bisu dan kelu kerana ingin mangambil hati kaum Cina melalui MCA. Elok kita bertanya kepada pemimpin UMNO khususnya Najib dan Muhyiddin. Bagaimana UMNO dan BN hendak mendapatkan sokongan kaum Cina melalui MCA? Bagaimana? Kita bertanya kerana MCA itu sendiri tidak mendapat sokongan orang Cina. Jadi bagaimana UMNO hendak menggunakan MCA sebagai saluran untuk mendapatkan undi dan sokongan? Bukankah bodoh namanya itu.

Dalam keadaan sekarang UMNO akan mengalami apa yang disebut oleh perbilangan, ‘yang dikejar tidak dapat yang dijinjing berciciran’. Maknanya saki baki sokongan orang Melayu terhadap UMNO itu akan berkurangan kerana cemuhan terhadap agama Islam oleh MCA itu. Sokongan orang Cina pun tidak diperolehi. Oleh Najib yang tidak mahu menerima hakikat yang kaum Cina tidak menghormati kepimpinan beliau. Kaum Cina telah sepakat untuk memberikan sokongan kepada DAP yang jelas lebih telus dan boleh diharap untuk membela semua kaum. Kaum Cina telah bersatu untuk melihat sebuah kerajaan yang lebih bersih dan telus dan menepati kehendak rakyat untuk mencapai matlamat yang satu, iaitu perpaduan nasional yang sejati dan berkekalan.

Kalau diintai dan diselidik secara terperinci UMNO sedang tersepit dan tidak bergerak lagi. UMNO tidak dapat menunjukkan kehadiran di tengah masyarakat kerana parti itu dari segi teknikalnya telah mati di peringkat cawangan-cawangan. Di cawangan-cawangan UMNO hanya wujud di atas kertas tetapi tidak bergerak dengan mengadakan program-program yang selalu kita lihat tiga dekad dahulu. Yang bekerja dalam UMNO hanyalah Najib dan Muhyiddin sahaja. Percayalah UMNO sudah mati di peringkat ‘grass-root’. Urat-urat di bawah tidak lagi memberikan kesegaran kepada pucuk UMNO itu. Kalau urat sudah mati maka secara beransur-ansur tubuh akan mati akhirnya.

Penyokong-penyokong UMNO tidak payah menghentam saya kerana komen saya ini. Saya telah bergiat di dalamnya sudah lama. Saya bergiat dalamnya sebelum mereka yang garang-garang dan mencarut ini belum lahir ke dunia ini lagi. UMNO sesungguhnya sedang dalam keadaan nazak dan sedang mengalami ‘brain death’. Kalau tidak benar cakap saya ini takkanlah UMNO sekarang menggunakan Dr Mahathir yang sekarang ini pun bercakap tidak tentu arahnya lagi. UMNO benar-benar tidak ada prospek lagi sebagai parti yang relevan selepas pilihanraya ini.

UMNO sudah lama terabai oleh pimpinannya kerana pimpinannya sibuk dengan ‘glamour’ dan menggunakan masa sepenuhnya untuk mencuri dan berniaga dan mereka ini menggunakan ahli-ahli biasa dalam UMNO itu sebagai tangga mereka untuk memanjat sahaja. Pemimpin UMNO hanya menggunakan ahli yang ramai seperti beruk belaan yang digunakan untuk mengambil upah memanjat kelapa sahaja. Apabila beruk-beruk belaan mereka sudah menjatuhkan buah-buah kelapa beruk-beruk itu akan ditambat dan diberi makan di dalam tempurung sahaja. Begitulah sikap pimpinan UMNO hari ini…baik Mahathir, Najib dan Muhyiddin. Semuanya sama sahaja.

Kepada saki baki penyokong UMNO, janganlah mempertahankan UMNO itu dengan bertindak kasar kerana ia akan menambah kebencian masyarakat terhadap parti itu. Buka minda seluas-luasnya dan berfikir selalu kenapa UMNO itu dipersepsikan sebagai parti yang hodoh dan tidak beretika dan tidak lagi berkelayakan untuk dihormati.

Jika kita hendak menggunakan kata-kata kesat sedikit. Chua Soi Lek ini ‘celaka’ orangnya. Dia menggunakan apa sahaja cara untuk kekal relevan, sedangkan beliau tidak menyedari yang beliau telah lama tidak relevan. Jika Najib membubarkan Parlimen dan memanggil pilihanraya tahun lepas, pada saat itu juga MCA akan terbukti tidak relevan. Jika pilihanraya diadakan esok, esok jugalah MCA tidak akan menjadi relevan lagi. Dalam masa yang tidak berapa lama lagi MCA akan menjadi sebuah parti yang ‘orphanage’. Parti itu akan jatuh dan akan memakan puluhan tahun untuk dibangunkan kembali.

Kepada UMNO dan MCA elok kita nasihatkan supaya lebih beradap dan jangan memaksa-maksa orang untuk menyokong mereka. Tunjukkanlah tauladan yang baik. Jangan menjadi perongos seperti Dr M dan Najib yang bercakap sombong dengan hidung yang tinggi.

Rakyat bukan bodoh lagi kerana rakyat sudah berpendidikan. Seperti diri saya ini, saya pun pergi juga ke sekolah sikit-sikit. Saya dan ramai lagi tidak buta huruf lagi. Kami boleh membaca sikit-sikit sekarang ini. Setakat hendak membaca dan menyelam air di dalam tunggak itu bolehlah sikit-sikit.

Kami ini pandainya tak seberapa, tetapi cukup untuk membaca langkah orang seperti Dr M dan Najib itu. Rakyat yang lebih pandai tentunya boleh membaca apa yang tersedik di dalam hati pemimpin-pemimpin UMNO yang ‘desperate’ itu. Jika UMNO mati kali ini, ia bukannya kejadian ganjil kerana UMNO pernah dibunuh oleh pemimpin mereka sendiri.

Bezanya kali ini UMNO akan dibunuh oleh rakyat.

25 October 2012

Mahathir tidak pernah mungkir janji?

Semalam Utusan Malaysia dapat RM1.50 dari saya kerana buat pertama kali saya membeli senaskhah akhbar propaganda UMNO itu setelah lima belas tahun tidak membeli atau melanggannya. Saya membeli rokok di sebuah stesyen minyak di Subang Jaya dan saya ternampak ‘headline’ muka depan akhbar itu yang menarik hati saya untuk berbelanja sebanyak RM1.50. Apa yang menarik kepada saya ialah tajuk ‘Dr M tegur Nik Aziz’ di muka depan akhbar itu. Setelah berfikir seminit dua saya relakanlah RM1.50 untuk membeli akhbar ini. Kali ini terpedaya juga saya oleh Utusan kerana tajuknya yang menarik perhatian saya apatah lagi ia melibatkan nama Dr M di muka depan itu.

Dalam liputan Utusan itu, Dr M telah menegur TGNA kerana telah memberitahu rakyat yang Tok Guru itu akan bertanding di dalam pilihanraya yang akan datang. Dr Mahathir menuduh TGNA tidak menepati janji-janji beliau (TGNA) untuk mengundurkan diri dari menjadi calon dalam pilihanraya yang akan datang dan meminta rakyat supaya menolak TGNA. Dr M berkata memilih orang yang tidak menunaikan janjinya akan membawa banyak masalah kepada negara. Apa masalah yang dimaksudkan Dr M itu tidak pula saya ketahui kerana saya tidak membaca laporan itu sehingga habis walaupun saya telah membeli akhbar itu dengan berat hati.

Saya tidak hendak sentuh tentang janji TGNA itu buat kali ini untuk memendekkan tulisan saya ini. Saya mahu memberikan fokus kepada mungkir janji Dr Mahathir yang telah membawa masalah kepada UMNO dan seterusnya kepada rakyat dan negara. Selalunya orang yang sentiasa mengintai-ngintai kesalahan pihak lawan ini akan terlupa kepada janji-janji beliau yang beliau tidak mahu menunaikannya selama ini. Dr M tentu telah terlupa apa yang beliau janjikan kepada rakyat khususnya ahli-ahli UMNO semasa beliau mengambilalih kepimpinan parti itu dari Hussein Onn pada tahun 1981 dahulu.

Semasa mengambilalih pimpinan UMNO dari Hussein Onn dalam perhimpunan agong 1981 itu Dr M telah berjanji kepada ahli-ahli UMNO melalui perwakilan di Dewan Nirwana, Hotel Hilton, yang beliau meminta rakyat memberikan ‘signal’ jika ada tanda-tanda yang ada segelintiran rakyat yang tidak menyukai beliau.  Dengan tanda-tanda itu beliau berjanji akan mengundurkan diri secara terhormat Itu janji beliau secara terbuka yang beliau luahkan semasa ucapan penangguhan sebaik sahaja beliau menjadi Presiden kepada parti yang telah beliau matikan pada tahun 1988 itu.

Tetapi akhirnya beliau tidak menunaikan janji beliau itu dan telah membawa masalah besar yang kita warisi pada hari ini. Beliau tidak mahu berundur walaupun jawatan beliau itu telah dicabar dan beliau hanya mendapat kemenangan yang begitu tipis. Kemenangan tipis ini merupakan tanda-tanda yang jelas orang ramai sudah mula tidak berkeyakinan dengan pimpinan dan mahukan UMNO menyampaikan signal itu kepada Dr M. Beliau bukan sahaja tidak mahu mengundurkan diri tetapi telah meruntuhkan semua institusi demokrasi kerana bertegas ingin melanjutkan keseronokan dan kegilaan berkuasa sebagai PM semasa itu.

Beliau telah mematikan pendaftaran UMNO dan dalam usaha melakukan itu beliau mendapat reaksi keras dari ahli-ahli UMNO maka beliau telah membuang dan memecat beberapa hakim Mahkamah Agong termasuk Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas. Badan eksekutif yang beliau ketuai telah masuk campur dalam hal perundangan dan kehakiman untuk memungkiri janji-janji beliau itu. Akhirnya tindakan beliau itu telah memberikan banyak masalah kepada negara dan rakyat sehingga ke hari ini.

Apa yang beliau katakan dalam Utusan itu benar tetapi beliau sendiri tidak mahu menunaikan janji-janji beliau dan sanggup membunuh semua institusi demokrasi negara semata-mata keinginan beliau untuk berkuasa terus menerus sambil memungkiri semua janji-janji beliau semasa mula-mula mengambilalih kepimpinan dari Hussein Onn pada tahun 1981 itu.

Dr Mahathir telah banyak memungkiri janji-janji beliau sendiri dan beliau tidak boleh menuduh TGNA sebagai pendusta kerana tuduhan itu sepatutnya beliau arahkan kepada diri beliau sendiri. Pada tahun 1985 sebuah parti baru, Parti Bersatu Sabah (PBS) telah ditubuhkan secara tergesa-tergesa beberapa hari sebelum Sabah mengadakan pilihanraya negeri. PBS telah menyertai pilihanraya negeri untuk menumbangkan parti Berjaya. Mahathir telah pergi ke Sabah dan berucap dan berjanji secara terbuka yang beliau akan ‘swim and sink’ dengan Berjaya. Beliau memihak kepada Berjaya pimpinan Haris Salleh dan berulang-ulang kali berjanji untuk berenang dan tenggelam bersama Berjaya.

Tetapi apabila Berjaya tewas termasuk Presiden Berjaya, Harris Salleh yang ditewaskan oleh Kaduh Agundun di Tenom, Dr M telah lari dan memungkiri janji-janji beliau dengan parti Berjaya. Kebetulan saya berada di Kota Kinabalu dan mendengar ucapan beliau secara berdepan dan saya mendengar segala janji-janji beliau kepada Berjaya semasa itu. Dengan tangkas sekali Dr M telah membawa PBS ke dalam BN dan menjadi rakan komponen kepada BN pimpinan Dr M dari peringkat Persekutuan itu. Berjaya tenggelam tetapi Dr M tetap berenang dan meninggalkan Berjaya terumbang-ambing dan hanyut sampailah parti itu mati begitu sahaja. Mahathir terus berenang sampai 22 tahun berenang dan menenggelamkan semua musuh-musuhnya yang menghantui kedudukan beliau.

Janji-janji beliau untuk membangunkan negara tidak sampai ke mana kerana beliau hanya mampu untuk membina bangunan tinggi-tinggi, jambatan yang panjang-panjang di dunia. Beliau hanya mampu membina pembangunan fizikal yang merupakan sebahagian pembangunan negara. Pembangunan fizikalnya pesat kerana ia melibatkan projek-projek runding terus yang mahal-mahal untuk kepentingan kroni-kroni dan kebanyakan projek-projek tersebut adalah projek-projek cadangan kroni-kroni dan bukannya untuk keperluan rakyat dan negara. Projek-projek tersebut hanya memberikan keuntungan kepada segelintiran kroni dan keluarga beliau .

Tetapi dalam pembinaan sikap dan ‘mentality’ terhadap rakyat tidak ada langsung sehinggakan pembangunan infrastruktur yang besar-besar itu tidak ‘commensurate’ dengan pembangunan nilai dan budaya bangsa. Rakyat menjadi ahli masyarakat yang ‘materialistic’ yang mengutamakan pengisian perut dan tempolok mereka yang hampir kepada kuasa dan rakyat dipermainkan dengan gula-gula serta coklat manis-manis untuk melekakan mereka dan meneruskan sokongan terhadap kepimpinan yang tidak jujur dan ikhlas itu.

Dr M ini tidak dapat diikut kerenahnya lagi. Dalam satu masa dia mengatakan UMNO sudah busuk sampai ke usus dan mengatakan UMNO bukan untuk yang pandai, cerdik dan bijak. UMNO hanya untuk yang bodoh-bodoh dan yang tidak mempunyai tulang belakang. Tetapi dalam satu masa yang lain Dr M mahukan rakyat memberikan sokongan berterusan kepada UMNO dan BN.

Dalam keadaan UMNO yang lemah Dr M meninggalkan parti dan apabila partinya hilang sokongan tradisi 2/3 beliau menyalahkan Abdullah Badawi. Dr M menyertai kembali UMNO selepas musuh yang dibencinya Abdullah meletakkan jawatan sebagai PM. Apabila kembali menyertai partinya beliau menuduh UMNO itu parti yang rasuah. Dalam pilihanraya yang lalu beliau berkehendakan sangat rakyat supaya tidak memilih parti tetapi memilih calon.

Tetapi sekarang Dr M mahu semuanya mengundi sesiapa sahaja yang diturunkan oleh parti untuk menjadi calon. Beliau telah ‘obsess’ dengan kehendak beliau untuk memenangkan BN sehinggakan beliau meminta semua pemimpin bersumpah tidak akan mensabotaj parti dalam pilihanraya yang akan datang ini sedangkan beliau sendiri adalah pensabotaj UMNO yang terbesar dalam sejarah kewujudan parti itu, sehinggakan beliau sanggup membunuhnya. Dr M bukan sahaja setakat pensabotaj parti tetapi beliau adalah pembunuh parti itu.

Habis keliru rakyat dengan kata-kata Dr M ini. Nak diikut nasihatnya nanti beliau akan menasihati kita melakukan perkara yang dulunya beliau tidak suka. Entah yang mana satu nasihat yang patut diikuti dan entah mana satu kata-katanya yang benar. Lidahnya sentiasa berubah dan jika ada kesempatan elok kita minta Dr M membuka mulutnya lebar-lebar untuk melihat apa jenis lidah yang ada di dalam mulut beliau itu. Kalau ia bercabang hendak juga kita tahu berapa cabangnya.

Pendeknya nasihat beliau kepada TGNA itu elok kita abaikan sahaja kerana jika kita terima nasihatnya, nanti dalam tempoh yang tidak berapa lama lagi Dr M akan menasihati untuk berbuat perkara yang lain pula.

Sesungguhnya Dr M hanyalah seorang yang bermain-main dengan politik yang melakonkan berbagai-bagai watak. Kadang-kadang watak baik tetapi selalunya beliau melakonkan watak sebagai orang jahat yang tidak senang dengan kebaikan yang dilakukan oleh orang lain.

Tetapi apa pun watak yang dilakonkan oleh beliau, Dr M gagal untuk menjadi negarawan. Beliau tidak mungkin mampu untuk menjadi negarawan lagi kerana beliau hanyalah seorang aktivis politik yang sekarang bermain dengan pihak yang hendak digugurkan oleh rakyat ramai.

Mungkin oleh kerana penyelia kemas dan pegawai penerangan khas gagal untuk melaksanakan tugas mereka maka Dr M lah yang mengambil alih tugas mereka untuk berkata-kata perkara yang mungkar sentiasa.

Tetapi kita tidak harus berasa kesal dengan tindakan Dr M ini kerana beliau dari dahulu sampai sekarang hanya kekal dalam keadaan rakyat berpecah-belah. Dalam keadaan rakyat sedang bersatu di luar BN ini Dr Mahathir nampaknya tidak akan menjadi orang yang relevan lagi untuk negara dan rakyat.

Tidak ada siapa yang boleh membetulkan Dr M ini. Hanya Tuhan sahaja yang boleh melenturnya. Kita abaikan sahaja pandangan beliau. Biarkan beliau bercakap kepada dirinya sendiri semahu beliau.

24 October 2012

Skandal balak Negeri Sembilan mula terbongkar

Isa Samad dan Mohamad Hasan bertanggungjawab terhadap Negeri Sembilan yang sudah telah kehilangan 53 kawasan hutan kekal mengikut laporan WWF (World Wildlife Fund). Perkara ini didedahkan oleh Rafizi Ramli, Pengarah Stratejik PKR, dalam sidang akhbar beliau di Seremban semalam. Pendedahan Rafizi itu telah memberikan input yang berguna kepada ramai rakyat Negeri Sembilan. Rakyat NS sudah mengetahui fakta sebenar tentang isu ini.

Ramai di antara penggiat politik di Negeri Sembilan menggunakan hutan simpan sebagai sumber kekayaan dan inilah cara yang paling mudah untuk hidup dengan bergaya. Malahan Menteri Besar menggunakan balak sebagai senjata politik untuk menambat sokongan pemimpin-pemimpin di sekeliling beliau. Balak telah digunakan oleh MB untuk menaik dan menjatuhkan sesiapa di Negeri Sembilan sejak dari dulu terutamanya semasa pentadbiran MB yang terdahulu. 'Compartment' balak diberikan kepada pemimpin dan penggiat politik yang menyokong Menteri Besar untuk menjauhkan sesiapa yang tidak sebulu dan sehayun dengan kehendak Menteri Besar.

Saya tahu sikit-sikit kerana saya lama bercampur dan bergiat bersama UMNO di negeri adat itu. Dalam era lapan puluhan dan sembilan puluhan pejabat hutan negeri dan daerah-daerah di NS merupakan pejabat kerajaan yang paling sibuk kerana begitu ramai yang berlumba-lumba untuk membotakkan bukit dan bukau di negeri adat itu. Tetapi saya tidak berapa pasti sejauh mana isu ini menjadi isu kepada MB sekarang, kerana semasa beliau memanjat pejabat Setiausaha Kerajaan itu saya sudah tidak bergiat di dalam parti itu secara aktif lagi.

Pendedahan oleh Rafizi ini sepatutnya disambut oleh semua pihak kerana balak ini memang menjadi bahan untuk ahli politik di Negeri Sembilan, terutamanya semasa pentadbiran Isa Samad. Hutan balak ini merupakan bahan yang digunakan oleh Isa selama 21 tahun beliau menjadi MB dan balak ini jugalah yang menambat sokongan ramai pemimpin dan wakil-wakil rakyat di negeri itu sejak beberapa lama.

Malahan semasa Mohamad Hasan mengambil alih kepimpinan Negeri Sembilan beliau dikhabarkan telah membatalkan banyak ‘compartment’ hutan yang telah diluluskan oleh Isa sebelum beliau meninggalkan pejabat Menteri Besar itu. Tindakan Mohamad itu dengar khabarnya telah menjadi perkara yang panas kerana ramai di antara penerima konsessi balak ini telah menerima wang pendahuluan dari towkey-towkey balak dari serata negara. Ramai yang menerima konsessi ‘compartment’ balak itu telah kerugian kerana kroni-kroni yang mendapat konsessi itu telah membelanjakan semua wang yang didapati melalui pembayaran pendahuluan dari tawkey-tawkey balak yang berdiri di belakang pemohon-pemohon konsessi itu.

Pendedahan Rafizi tentang isu ini menunjukkan kerakusan dan sikap tidak bertanggungjawab MB yang terlibat kerana pembalakan itu berlaku ke kawasan tadahan air dan hutan simpanan kekal yang telah digezetkan sejak tahun 1918 dahulu. Sebenarnya balak inilah yang menjadikan Isa kuat tetapi hasilnya ia telah menjahanamkan Negeri Sembilan sampai ke tahap yang amat payah untuk dipulihkan.

Dari tahun 2005 sehingga tahun 2007 sahaja seluas 8616 hektar tanah hutan simpan telah dilibatkan dan ini merupakan keluasan yang amat besar dan ia amat memalukan serta tidak bermoral sekali. NS dianggap sebagai kejadian pencerobohan hutan simpan yang paling teruk sekali di dalam Semenanjung Malaysia ini.

Sekarang nyata yang Isa serta Mohamad tidak mengambil ‘accountability’ ke atas isu ini. Jangan tidak mengambil tanggungjawab dengan hanya berdiam diri sahaja. Rafizi telah berjanji akan mendedahkan banyak lagi tentang isu pembotakkan hutan yang dilakukan oleh Isa terutamanya dan Mohamad Hasan juga tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab untuk memberikan penjelasan tentang isu ini.

Saya pula sentiasa tertunggu-tunggu pendedahan ini kerana ini merupakan sikap kepimpinan yang tidak bertanggungjawab dan wajar mendapat pembicaraan rakyat khususnya dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Yang sangat membimbangkan dan menyedihkan keluasan hutan yang dibotakkan dalam tempoh 2005 dan 2007 sahaja adalah seluas 8616 hektar. Bagaimana pula di tahun-tahun dan waktu yang selain dari tempoh 2005 dan 2007 itu? Apakah perasaan Menteri Besar yang telah membatalkan gezet tanah rezap hutan kekal seluas 487 hektar di Jeram Padang itu? Tidakkah Menteri Besar itu berasa bersalah melakukannya? Pentadbiran Inggeris pun tidak menjahanamkan kawasan tadahan air itu dan merekalah (Inggeris) yang menggezetkan kawasan itu sebagai kawasan rezap kekal, tetapi pemimpin Melayu pula yang menyanggahnya.

Rafizi telah memulakan pendedahan ini dan beliau tidak boleh berhenti setengah jalan kerana ramai rakyat di Negeri Sembilan ingin tahu keadaan yang sebenarnya. Bagi saya tindakan tidak bertanggungjawab pimpinan di Negeri Sembilan ini sangat wajar diketahui umum dan akhirnya rakyat mahukan MB-MB (Isa dan Mohammad) memberikan penjelasan kepada rakyat secara telus dan benar.

Kita tunggu pendedahan-pendedahan selanjutnya dari Rafizi dan kita akan fikirkan cara bagaimana hendak mendapatkan penyelesaiannya. Ada dua cara penyelesaiannya: pertamanya melalui undang-undang dan keduanya melalui tindakan politik

Jika hendak diambil tindakan undang-undang ia mungkin memakan masa yang panjang. Jika hendak mengambil tindakan melalui politik ia boleh diselesaikan semasa pilihanraya nanti melalui peti-peti undi. Pilihlah kaedah yang sesuai untuk memperbetulkan keadaan ini. Kalau ditanya pendapat saya cara yang paling cepat dan mudah ialah melalui peti-peti undi dalam pilihanraya yang akan datang ini kerana dengan cara ini tidak payah membazirkan masa mahkamah dan kosnya pun terlalu tinggi.

Kepada Rafizi, saya sudah bersedia untuk menyambut dan menulis tentang isu hangat di NS ini terus-terusan. Jika boleh, dedahkan berapakah perolehan Kerajaan Negeri, hasil dari balak yang ditebang secara meluas itu. Kita mesti sedar penebangan balak yang begitu meluas itu adalah tindakan mencuri dan mereka mesti dijauhkan dari mendekati khazanah negeri melalui pilihanraya yang akan datang ini.

Kalau kita mahukan harta benda dan khazanah kita diselongkar dan dicuri, menyambung kuasa kepada BN itu adalah jalan yang terbaik. Jika kita berazam untuk menjaga khazanah kita yang dianugerah Tuhan itu maka mengenepikan mereka adalah satu tindakan yang wajib terlaksana.

Usaha mengenepikan pimpinan dan kerajaan durjana seperti ini merupakan satu ubudiah yang sangat mulia. Pemimpin seperti ini jika pergi ke mana-mana pun akan melakukan segala noda politik dan ekonomi kepada negara yang kita cintai ini.

Mereka seperti ini merupakan makhluk perosak dan akan membawa bencana kepada negeri dan negara kita. Ini adalah kerana sifat suka mencuri itu sudah mengalir di dalam darah daging dan sanubari mereka. Ada satu perbilangan 'once a thief he remains a thief'. Fikir-fikirkanlah.

23 October 2012

Orang Melayu dikelirukan oleh UMNO

Jika kaum Cina telah menentukan sikapnya untuk mendapatkan sebuah kerajaan yang bersih dan cekap dengan menolak terus parti yang mewakili mereka, MCA, orang Melayu juga sudah menampakkan sikap ingin berubah itu walaupun setengah daripada mereka masih terkongkong dan dipenjara oleh partinya, UMNO. Kaum Cina telah menunjukkan sikap serius inginkan perubahan dan ini adalah sikap yang amat bertanggungjawab.

Dalam perjumpaan saya dengan ramai rakan kenalan dari kaum ini, saya dapat merumuskan yang mereka sangat serius dan inginkan perubahan berlaku. Jika perubahan tidak berlaku mereka merasakan yang negara akan terjerumus ke dalam lembah kehancuran yang tidak akan dapat diperbaiki dan akan memakan masa yang lama untuk memperbetulkannya.

Semasa negara mencapai kemerdekaan negara kita merupakan sebuah yang miskin tetapi dalam jangka masa yang agak cepat negara kita telah berubah menjadi sebuah negara yang sedang membangun. Untuk membangunkan negara ia memerlukan penyertaan dari rakyat yang menyeluruh dan kaum Cina yang telah begitu lama terlibat dalam perniagaan dan perindustrian memainkan peranan yang begitu jelas dalam penyertaan mereka membangunkan ekonomi negara. Kaum Cina merupakan kaum yang paling banyak menyumbang kepada kerajaan dan negara melalui kutipan cukai perniagaan dan pendapatan mereka.

Kaum Cina telah berniaga ratusan tahun sebelumnya dan mereka mudah untuk mendapatkan modal bagi apa-apa perniagaan mereka. Mereka terlibat dalam semua jenis perniagaan dan perdagangan sedangkan kita orang Melayu semasa mula mencapai kemerdekaan masih jauh tertinggal di belakang dan memerlukan dasar-dasar yang kuat untuk menuju ketahap berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

DEB yang dipersetujui dan juga mendapat sokongan dari semua kaum dilancarkan kerana semua kaum termasuk kaum Cina memahami untuk mendapatkan sebuah negara yang aman kedudukan ekonomi di antara rakyat berbilang kaum itu perlu ‘equitable’. Bidang ekonomi adalah bidang yang sangat penting untuk kerajaan menyelaraskan dengan baik bagi mencapai matlamat yang satu, iaitu pencapaian ‘Perpaduan Nasional’ yang berkekalan.

Orang Melayu pula dibangunkan dan dididik untuk menyertai bidang ‘commerce and industry’ ini dan dibantu oleh kaum lain dengan jujur kerana mereka mahukan kaum Melayu menjadi maju kerana mereka memahami yang kestabilan negara akan hanya boleh dicapai jika kaum Melayu dan Bumiputra memperolehi peluang dan bersama-sama menikmati kekayaan negara secara ‘equitable’. 

Orang-orang Melayu pula serius belajar untuk menjadi penggiat ‘commerce and industry’ ini dan telah menampakkan kejayaan yang pesat terutamanya semasa pimpinan Tun Razak dan Tun Hussein Onn kerana pimpinan Melayu begitu taksub dan jujur untuk menjayakan dasar yang telah lama digubal oleh pimpinan Melayu dan bukan Melayu semasa zaman itu. Masing-masing kaum bekerja keras untuk melihat kejayaannya sehingga pegangan ‘equity’ Bumiputra telah melonjak ke tahap 18.2% pada tahun 1984 dahulu dari pegangan kekayaan yang hanya 2.7% semasa dasar itu mula dilaksanakan.

Di kementerian-kementerian serta jabatan kerajaan semasa itu wujud apa yang dinamakan ‘Unit Penyertaan Bumiputra’ yang memainkan peranan untuk memberi peluang untuk orang Melayu dan Bumiputra mendapatkan bantuan dan peluang menyertai bidang perniagaan dan perindustrian itu. Tetapi ‘unit penyertaan bumiputra’ ini telah dihapuskan kerana pimpinan selepas Tun Hussein tidak senang dengan kewujudan unit ini kerana ia menyusahkan kerajaan dan pimpinan selepas Tun Hussein untuk melakukan kehendak dan keinginan mereka untuk membina kronism.

Apabila kerajaan zaman Dr Mahathir tidak serius dan mengabaikan dasar yang masih jauh untuk mencapainya semasa itu, orang Melayu terbantut pembangunannya. Kalau tidak masakan Melayu hanya mendapat pencapaian sebanyak 19.6% sahaja pegangan kekayaan negara selama 22 tahun Dr Mahathir menjadi teraju negara. Dasar yang memberikan keistimewaan kepada orang Melayu yang ramai itu telah dikuasai oleh segelintiran Melayu dan menggunakan di atas nama Melayu dan kumpulan kronism ini telah menguasai segala-galanya dan usaha membangunkan orang Melayu melalu DEB itu telah terbantut.

Hanya beberapa kerat orang Melayu sahaja yang telah mendapat faedah dari pimpinan Mahathir dan mereka kebanyakannya adalah di kalangan mereka yang berada di ‘corridor of power’ sahaja. Mereka mengambil keuntungan yang terlalu besar melalui konsep pengswastaan yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir dan rasuah mula bercambah melalui kontrak runding terus yang diperkenalkan oleh kerajaan BN semasa itu. Pimpinan juga mengambil kesempatan untuk menjadi orang-orang kaya yang berlebihan melalui dasar yang sepatutnya diraih oleh orang Melayu yang ramai.

Orang-orang Cina mula merasakan yang kerajaan tidak serius untuk membangunkan negara mengikut dasar teguh yag telah digubal itu. Mereka menjadi sasaran perasuah besar di kalangan pimpinan kerana mereka (kaum Cina) yang berniaga terpaksa membayar harga yang terlalu mahal kerana semua pihak terpaksa ‘dijaga’ kerana budaya rasuah sedang berkembang dengan pesatnya di kalangan pimpinan Melayu di bawah pentadbiran Dr Mahathir (sehingga sekarang).

Pendeknya orang-orang Melayu terbantut pembangunan mereka dan orang Cina terpaksa menahan sabar dengan karenah pentadbiran kita yang begitu terjerumus dengan rasuah dan salahguna kuasa yang mereka terpaksa menanggung kerugian besar kerana sikap rasuah pimpinan dan pentadbiran itu. Kaum Cina sedar yang orang Melayu sendiri tidak berpuas hati seperti mereka (pimpinan kerajaan) juga, tetapi perbezaannya orang Melayu dibuai dengan retorik UMNO untuk Melayu dan penjamin bagi masa depan mereka. Kepercayaan ini telah tertanam di dalam sanubari dan pemikiran mereka. Media massa memainkan isu ini setiap masa untuk mengelakkan orang Melayu daripada memindahkan sokongan mereka kepada pihak lain terutamanya kepada PAS.

Tindakan UMNO memainkan isu rasis untuk memecahkan perhubungan dan permuafakatan di antara PAS dan DAP itu akan memakan diri UMNO sendiri. Usaha untuk membenci bangsa Cina oleh UMNO itu menunjukkan yang pemimpin UMNO tidak menyedari yang pembangunan negara ini dimainkan oleh bangsa Cina sebegitu tinggi dan orang Cina tahu yang mereka merupakan penyumbang besar kepada perbendaharaan negara yang diselewengkan oleh pimpinan UMNO itu.

UMNO tidak lagi berkeyakinan untuk mendapat sokongan dan mandat dan sehingga sekarang ini masih tidak berkeyakinan untuk memanggil pilihanraya. Selain dari ketidakyakinan parti itu untuk mendapat sokongan, UMNO sedang berhadapan dengan tindakan mensabotaj parti yang pasti akan berlaku dan ini telah berlaku secara berluas-luasa dalam pilihanraya yang lalu.

Kita tahu apa ‘sequence of events’ dalam UMNO selepas ini. UMNO akan lebih berpecah lagi sebaik sahaja nama dan senarai calon diumumkan oleh UMNO dalam pilihanraya kali ini. Perasaan tidak berpuas hati terhadap calon yang bakal diumumkan nanti, akan menambah kekalutan dalam parti itu dan itulah yang akan membawa padah kepada sebuah parti yang ditadbir dan diurus oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab atau tidak tahu bagaimana untuk bertanggungjawab.

Perbalahan di antara sesama mereka dalam PRU ini nanti akan menjadi penyumbang utama kepada kekalahan UMNO dalam banyak kerusi di seluruh negara. Masing-masing merasakan yang masing-masing itu merupakan calon yang paling layak tanpa menyedari yang parti mereka itu bukanlah parti yang ‘winnable’ lagi.

Jawatankuasa yang ditubuhkan untuk memantau tindakan mensabotaj parti yang baru ditubuhkan itu tidak akan membawa parti itu ke mana-mana. Sama-samalah kita saksikan nanti.

22 October 2012

Perhimpunan Agong tahunan MCA mengesahkan BN akan tersungkur di depan rakyat

Saya agak sibuk dua tiga hari berada di Kedah bersama-sama rakan-rakan dan sahabat dari PAS dan PKR mengadakan majlis penerangan dan ceramah. Saya bersama rakan saya Ahmad Rosli Ibrahim dari Kelantan dan Tamrin Ghaffar berjumpa dengan orang ramai di negeri jelapang padi itu. Majlis-majlis makan malam dan ceramah itu telah mendapat sambutan ramai terutamanya di Jerlun dan Padang Terap.

Dalam pada sibuk mengadakan ceramah kami juga sibuk mengikuti perhimpunan agong parti MCA selama dua hari dan mengikuti apa yang berlaku dalam persidangan itu. Persidangan tahunan MCA itu memang menjadi tumpuan buat saya kerana persidangan itu merupakan sidang tahunan yang terakhir bagi parti itu sebelum pilihanraya umum ini dan ia mungkin juga menjadi persidangan yang terakhir yang diadakan dalam keadaan semeriah dua hari yang lepas.

Selepas pilihanraya nanti parti ini mungkin akan mengadakan perhimpunan agongnya dalam suasana hambar kerana parti ini dijangka akan kalah lebih teruk lagi dalam pilihanraya kali ini. Ramai yang meramalkan yang MCA akan kehilangan lebih daripada separuh saki baki kerusi yang ada sekarang yang jumlahnya hanya 15 sahaja. Suasana di dalam perhimpunan parti itu jelas menunjukkan yang MCA sedang bertungkus-lumus dan bermati-matian untuk bertahan walaupun tidak ada siapa pun yang mempunyai keyakinan yang parti itu akan berjaya menarik sokongan rakyat khususnya dari kaum Cina.

Chua Soi Lek menumpukan usaha untuk menarik sokongan dengan mensensasikan isu hudud dan beliau jelas tidak menghormati agama Islam di negara ini. Tidak menghormati Islam itu bermakna tidak menghormati orang Melayu yang merupakan penduduk dan rakyat yang terbesar di negara ini. Soi Lek telah memberikan ingatan kepada kaum Cina yang jika PR mendapat mandat negara, kita akan hancur dan tidak selamat kerana undang-undang Islam yang beliau anggap sebagai zalim itu.

Najib pula tidak berani mempertahankan Islam yang selama dua hari dikecam oleh MCA dan beliau bersama-sama bersekongkol dengan MCA dan Soi Lek dengan membiarkan sahaja agamanya dihina dan dicerca secara terbuka oleh MCA yang begitu jelas sebagai sebuah parti yang ‘chauvinistic’ agama itu. Kesedihan dirasakan oleh ramai orang Melayu kerana pemimpin besar negara yang Islam menjadi agama rasminya dihina oleh sahabat UMNO dalam BN itu.

Najib dan BN begitu terdesak dan tidak berdaya mempertahankan agamanya sendiri dan tidak berani menegur dan menasihati Chua Soi Lek supaya tidak menyentuh perasaan orang Islam semata-mata kerana kepercayaan beliau yang MCA akan memberikan kemenangan kerusi yang parti itu tandingi dalam pilihanraya yang akan datang. Najib tidak berani mempertahankan agamanya kerana politik dan beliau seperti juga Dr Mahathir telah memberikan pendirian yang BN tidak akan melaksanakan hudud itu selagi BN memerintah negara ini.

Apa yang menarik perhatian saya ialah cabaran Najib agar DAP bertanding di kawasan yang majoriti pengundinya orang Melayu. Persoalannya bagaimana DAP hendak melakukannya kerana DAP hanya bertanding lebuh kurang 50 kerusi sahaja dalam pilihanraya kali ini. Tetapi sebaliknya Najib boleh membuktikan yang beliau benar-benar mendapat sambutan dengan meletakkan calon BN (Melayu) dalam kawasan majoriti Cina. Nanti kita boleh saksikan samada Najib mendapat sokongan penuh rakyat. Najib tidak sepatutnya bercakap besar kerana beliau belum pun diuji dan mendapat ‘endorsement’ terhadap kepimpinannya. Beliau merupakan satu-satunya PM negara ini yang ‘unelected’ dalam sejarah kemerdekaan kita.

Najib tidak mahu mengingatkan MCA dan Chua Soi Lek yang selama ini MCA hanya memenangi kerusi dalam pilihanraya di kawasan-kawasan Melayu kerana MCA jarang-jarang memenangi kerusi di kawasan majoriti Cina selepas pilihanraya 1964 dahulu. Setelah kecundang di dalam pilihanraya 1969 dahulu MCA terpaksa meletakkan pemimpin-pemimpin utamanya di kawasan Melayu..

MCA telah lupa ini semua dan Najib pun agaknya tidak tahu kerana semasa Perikatan kalah teruk di banyak kerusi pada PRU 1969 dahulu Najib masih main karom lagi. Apabila bangsanya sendiri sekarang telah menolaknya MCA sekarang membalas jasa orang Melayu itu dengan menghina agamanya terang-terangan. Kenapa Najib tidak bersuara dan kita hendak juga mendengar suara Ketua Pemuda UMNO untuk memberikan reaksi kepada kenyataan Chua Soi Lek di persidangan tahunan MCA itu. Ketua Wanita juga senyap sunyi dan Ketua Puteri lebih lagi senyap dan tidak pun menyedari yang agamanya telah dihina oleh Chua Soi Lek dan MCA.

MCA sedang dalam keadaan terdesak dan UMNO pun dalam keadaan terdesak. Kedua-dua UMNO dan MCA menggunakan menentangan terhadap Islam sebagai salah satu kaedah untuk mendapatkan sokongan kaum Cina, sedangkan kaum Cina tidak lagi mahu menunjukkan muka kepada parti chauvinis MCA itu. Kita boleh bertahan dengan cara-cara lain, tetapi bagi Najib dan UMNO membiarkan MCA bebas melakukan penghinaan ini adalah penampilan yang amat tertekan dan mendesak.

Selama ini pimpinan UMNO selalu membuat tuduhan terhadap DAP sebagi parti yang anti Islam dan anti Melayu tetapi pimpinan UMNO membisu seribu bahasa dan membiarkan MCA bermaharajalela untuk memperkecilkan Islam dengan terbuka. DAP di sebaliknya telah mengambil pendirian rasmi untuk menghormati agama Islam sebagaimana Islam menghormati agama lain. Hanya Karpal Singh sahaja yang membuat pendirian peribadi beliau tidak menyokong undang-undang hudud ini.

Kita boleh membuat rumusan yang UMNO merupakan parti Melayu yang menentang hudud kerana Najib pernah berjanji selagi BN memerintah BN tidak akan melaksanakan hukum hudud dan UMNO tidak menentang tentangan MCA terhadap hukum Allah SWT itu. Di sebaliknya DAP pula yang memberikan pendirian untuk menghormati agama lain seperti agama kita menghormati agama dan seperti Islam menghormati agama lain. Pendeknya DAP tidak menghalang PAS dan orang Melayu untuk melaksanakan hudud itu dan pendirian ini lebih baik daripada pendirian UMNO itu sendiri.

Itulah sebabnya saya selalu berkata yang seburuk-buruk Pakatan Rakyat ia lebih jauh baiknya dari yang terbaik dari UMNO dan BN itu. Lain-lain perkataan PR merupakan pilihan yang lebih baik untuk menjadi pilihan rakyat untuk meletakkan harapan bagi mendapatkan kesederhanaan dalam kehidupan bernegara.

Akhirnya kita hanya mempunyai satu pilihan untuk mendapatkan kesederhanaan itu dan bangsa-bangsa lain pula lebih selamat dengan kesederhanaan dan kesempurnaan Islam itu. Jika PAS mampu untuk bermuafakat dengan baik dengan bangsa-bangsa bukan Melayu dan bukan Islam maka tidak ada sebab lagi PR tidak mendapat sokongan dari orang Melayu dan semua bangsa dalam negara ini yang mahu hidup dalam sebuah negara yang bersatu-padu.

Buat masa ini hanya PR sahaja yang mampu menjayakan matlamat negara yang ‘ultimate’ iaitu mewujudkan ‘national unity’ yang menjadi idaman kita semua selama ini.

20 October 2012

Ahli-ahli UMNO tidak mahu 'ditambat' lagi

Majlis Tertinggi UMNO telah mengambil langkah untuk menubuhkan jawatankuasa untuk memantau pensabotaj parti bagi memastikan yang tidak ada ahli-ahlinya yang melakukan sebotaj parti dalam pilihanraya nanti.

Nampaknya barulah UMNO mula hendak sedar yang penyakit UMNO itu adalah satu penyakit dalaman yang telah berlaku dengan jelas dalam pilihanraya yang lalu dan juga yang akan datang. Jawatankuasa itu akan diketuai oleh Tengku Ahmad Rithauddin dan seorang wakil dari setiap Bahagian yang akan membuat laporan online kepada jawatankuasa secara terus.

Penubuhan jawatankuasa ini menyedarkan rakyat bahawa isu ini adalah satu isu yang serius dan ia akan menjadi perkara yang sukar untuk dikawal kerana seseorang ahli itu akan melakukan sabotaj secara senyap-senyap di dalam peti undi. Tindakan ini juga memberikan rasa tidak yakin orang ramai terhadap UMNO kerana pimpinan parti itu sendiri tidak yakin dengan sokongan ahli-ahlinya sendiri.

Mengikut laporan SPRM, seramai lebih daripada 1.5 juta ahli UMNO telah mensabotaj BN dalam piihanraya yang lalu dan ahli-ahli UMNO sendirilah yang mahukan parti itu kecundang dalam pilihanraya yang lalu dan yang akan datang.

Itulah yang saya sebutkan selalu. UMNO sebenarnya akan jatuh kerana urat-uratnya sudah tidak menyalurkan makanan untuk pokok itu hidup dan sebatang pokok itu akan mati dengan sendirinya jika urat-urat di bawah tidak memberikan sokongan kepada sebatang pohon itu. Matinya sepohon pokok itu adalah kerana matinya urat-urat di bawah dan itulah pernyakit yang dihidapi oleh UMNO sekian lama.

Kalau UMNO sudah sampai ke tahap ini masalahnya, maka harapan UMNO untuk kekal sebagai parti yang kuat akan berakhir. Kita tidak nampak bagaimana isu ini boleh diselesaikan kerana ia melibatkan perasaan ahli-ahli itu sendiri. Ia bersangkut dengan jiwa dalaman ahli-ahli. Sesebuah parti itu akan hanya kekal jika jiwa ahli-ahlinya kuat bertahan. Seseorang yang sedang sakit akan mudah melemahkan seseorang pesakit itu jika jiwanya sudah lemah kerana kelemahan semangat itu menyumbang kepada kelemahan tubuh pesakit itu yang akhirnya membawa maut.

Ini merupakan pertahanan terakhir UMNO dan ia tidak akan sembuh lagi. Kalau orang sudah tidak hendak kepada kita, tidak ada apa-apa usaha pun yang boleh mengembalikan mereka untuk kembali kepada kita. Kalau pasangan kita sudah tidak menyayangi kita lagi amat susah untuk membuatkan pasangan kita menyayangi kita seperti dahulu lagi.

Kita sedar yang ahli-ahli UMNO kini ramai yang tidak berkeyakinan terhadap partinya kerana mereka juga ada mata dan hati, dan mereka juga sedar dan merasakan sendiri apa yang dirasakan oleh rakyat yang ramai ini. Mereka juga manusia dan mempunyai perasaan. Jika mereka sedar yang mereka hanya menjadi alat oleh pimpinan mereka untuk kekayaan dan keuntungan peribadi mereka, perasaan marah dan bosan terhadap tindakan pimpinan mereka itu akan bertambah.

Ahli-ahli UMNO terutamanya di bawah-bawah itu sudah sedar yang mereka hanya dijadikan sebagai kerbau-kerbau untuk membajak sawah. Padinya dibaham oleh tikus-tikus di kepuk padi. Ahli-ahli UMNO pun tidak mahu mereka dikerbaukan oleh pemimpin mereka.

Tetapi MKT UMNO bolehlah melakukan apa-apa jua cara untuk membuatkan ahli-ahlinya taat kepada partinya. Cinta paksa tidak kekal dan akhirnya membawa perceraian. Kalau pasangan suami isteri pun boleh berpisah, apalah sangat hubungan dengan parti yang sudah lapuk itu?

Tetapi hakikatnya yang benar itu tetap akan timbul suatu masa nanti dan masanya sudah terlalu hampir kepada kita untuik menyaksikannya berlaku.

Sesungguhnya orang Melayu sekarang sudah mula hendak kembali bersatu, tetapi mereka tahu penyatuan itu tidak lagi akan berlaku di bawah UMNO. Mereka sedang menyaksikan perubahan ini. Mereka sedar yang orang Melayu mahu bersatu di luar UMNO di bawah payung dan wadah yang baru.

Melayu sekarang sudah menampakkan keinginan untuk melakukan hijrah untuk kemajuan dan kebaikan mereka dan negara. Kita semua tahu yang hijrah merupakan satu elemen dan peristiwa  penting di dalam Islam.

Jika sudah sampai untuk orang Melayu berhijrah, dan jika ia digerakkan oleh kehendak yang Maha Esa itu, tidak ada sesiapa pun boleh menahannya, waimma dengan meletakkan muncung senapang di tengkok ahli-ahli UMNO oleh pimpinan mereka.

Kita mesti faham yang ahli-ahli UMNO itu bukanya kerbau-kerbau yang boleh ditambat di mana-mana yang dikehendaki oleh pimpinan mereka. Ramai di antara mereka telah merasakan yang mereka tidak mahu lagi ditambat dan diberikan makan rumput-rumput kering lagi. Mereka juga mempunyai harga diri.

Apabila perubahan berlaku ia akan berlaku. Percayalah. Segala-galanya akan berubah selepas ini. Melayu akan hidup dalam ‘ambience’ yang baru.

Selamat berubah dan berhijrah.

Saya akan ke Jerlun untuk berceramah pada malam ini dan esok. Saya akan kembali bersama saudara saudari pada Isnin yang akan datang. Sehingga berjumpa lagi, salam!

18 October 2012

Isu Musa Aman akan selesai selepas pilihanraya

Isu RM40 juta yang dirampas oleh penguasa Hong Kong beberapa ketika dahulu tetap menjadi isu ramai terutamanya di Sabah dan seluruh negara amnya. Musa Aman, Ketua Menteri Sabah, yang dikatakan empunya kepada wang itu telah menafikannya yang wang sejumlah itu bukan untuk beliau tetapi untuk sumbangan kepada parti UMNO yang sehingga hari ini tidak diberitahu siapakah penyumbangnya.

Nazri Aziz telah menjawab isu ini di Parlimen pada 11 Oktober lalu dan beliau telah memberitahu Dewan Rakyat yang wang itu merupakan sumbangan politik kepada UMNO. Peguam Negara pun telah memutuskan untuk tidak melakukan apa-apa kerana beliau mengatakan yang tidak ada kes terhadap Musa Aman. Najib tidak memberikan apa-apa komen tetapi hanya menyatakan UMNO tidak bercadang untuk memberitahu siapa penderma itu.

Saya selalu berkata rakyat tidak perlu membuat apa-apa tindakan kerana di negara ini yang berkuasa adalah kumpulan yang sentiasa terlepas daripada tuduhan. Mereka mempunyai kuasa dan tidak ada siapa yang boleh membuktikan pembabitan mana-mana pembesar negara kerana mereka adalah ‘supreme’ dan tidak boleh dibawa ke tengah oleh sesiapa juga termasuk Peguam Negara kita yang begitu ‘controversial’ imejnya di mata rakyat bukan sahaja rakyat tempatan tetapi juga masyarakat antarabangsa.

Undang-undang digubal bukan untuk mencari kebenaran tetapi untuk menutupi kebenaran. Mereka yang berkuasa menggunakan undang-undang untuk kepentingan pihak yang berkuasa dan berpengaruh. Itulah sebabnya rakyat tidak mahu lagi mengambil tindakan melalui undang-undang tetapi sebaliknya mahu mengambilnya dengan cara politik. Maka rakyat sudah begitu ramai yang telah memutuskan untuk membetulkan keadaan ini dalam pilihanraya yang akan datang.

Jika kita hendak mengambil tindakan undang-undang terhadap penjenayah rasuah ini mungkin ia memakan masa lima puluh tahun untuk menyelesaikan semua kes-kes ini. Setiap peringkat kerajaan BN hari ini disaluti oleh budaya rasuah yang tidak mungkin dapat diselesaikan sampai bila-bila jika mereka yang berkuasa sekarang ini masih berkeliaran di Putrajaya itu. Masing-masing dalam kerajaan pada hari ini tidak mahu mengambil tindakan kepada sesiapa termasuk mereka di dalam badan undang-undang. Masing-masing mempunyai saham dalam kegiatan rasuah ini.

Cara terbaik ialah dengan mengambil alih pentadbiran dengan cara terhormat ia itu melalui pilihanraya yang bakal tiba ini. Jika ‘legal cheating’ oleh pihak BN dapat dielakkan, ramai berkeyakinan yang BN akan duduk di pihak pembangkang selepas sahaja pilihanraya ini berlaku.

Ibarat bermain gasing, bergilir-gilir memusing dan memangkah. Selama ini hanya pembangkang sahaja yang memusing dan dipangkah oleh BN sejak 55 tahun dahulu. Kali ini biarlah BN pula yang memusing dan PR pula yang memangkah.

Sesungguhnya isu Musa Aman ini akan selesai jika rakyat Sabah yang sedar mampu bersatu untuk menolak parti yang beliau pimpin di sana.