30 August 2014

Anwar Ibrahim mungkin dapat menyelamatkan enam ribu kakitangan MAS dari diberhentikan

Sekarang pandangan ramai agak beralih dari isu pemecatan Khalid Ibrahim dari PKR dan perletakkan jawatannya dari pejabat Menteri Besar kepada isu MAS yang sedang diusahakan pemulihannya dari kerugian yang berterusan yang melibatkan berbillion ringgit.

Pihak Khazanah telah mengumumkan penstrukturan semula MAS dan ia akan melibatkan kerajaan sebanyak RM6 billion. Seramai 6,000 orang kakitangan dan pekerja penerbangan Malaysia itu akan kehilangan pekerjaan dan ia adalah isu yang sangat panas yang sedang dimainkan oleh pihak pembangkang, khususnya Anwar Ibrahim.

Apa yang dikatakan oleh Anwar itu adalah benar, hanya Anwar tidak pula memberikan cara penyelesaiannya jika situasi itu dihadapkan kepada beliau jika beliau menjadi Perdana Menteri seperti yang beliau idam-idamkan itu. Anwar menyelar Putrajaya dalam isu terbaru ini, dan mengkritik Putrajaya sambil bertanya apakah keadaan 6,000 keluarga yang terlibat dari pemberhentian mereka dari syarikat penerbangan negara itu.

Anwar berkata benar, bagaimanakah nasib enam ribu keluarga itu dari penstrukturan MAS itu? Tetapi kita wajar bertanya kepada Anwar apakah solusi yang paling baik jika beliau diberikan tanggungjawab memperbaiki keadaan MAS, tanpa memberhentikan enam ribu kakitangan dan pekerja MAS itu?

Bagi saya bukan masanya untuk menyalahkan Dr Mahathir dan Daim dalam kegagalan MAS itu sejak ia di ‘privatized’ oleh kepimpinan Mahathir dahulu. Sememangnya sakit kerugian itu bermula dari tindakan Mahathir dan Daim menswastakan syarikat penerbangan itu kepada Tajuddin Ramli kerana sememangnya isu itu adalah Dr Mahathir dan Daim yang bertanggungjawab.

Bagaimana pula dengan ‘accountability’ nya? Bukankah ‘accountability’ nya tertanggung kepada ahli jemaah kabinet negara yang Anwar sendiri merupakan ahli kepada Jemaah Kabinet itu semasa pengswastaan syarikat penerbangan itu? Kenapa Anwar membiarkan sahaja Tajudin diberikan ‘indemnity letter’ untuk mempastikan beliau tidak bertanggungjawab kepada sebarang kerugian syarikat itu?

Hasil dari ‘indemnity letter’ dari kerajaan itu Tajuddin mendapat jalan mudah untuk melarikan dirinya dari sebarang tanggungjawab dan kerajaan terpaksa akur menanggung RM589 juta yang sepatutnya ditanggung oleh Tajuddin Ramli itu. Saya mencadangkan kepada Anwar agar beliau mengemukakan cadangan pilihan untuk mengambil kira tentang enam ribu orang pekerja MAS yang akan diberhentikan dalam penstrukturan semula MAS itu.

Anwar mempunyai saham besar dalam isu ini kerana beliau merupakan ahli ‘senior’ dalam Jemaah Kabinet Mahathir semasa itu. Anwar bukan sahaja tidak memberhentikan tindakan Mahathir melakukan ‘bailout’ terhadap Mirzan Mahathir yang melibatkan hampir RM2billion pada 1996 yang lalu. Beliau selaku Menteri Kewangan sepatutnya membantah dalam usaha Mahathir melakukan ‘bailout’ terhadap anaknya yang gagal dalam perniagaan itu.

Jika kita berbahas secara simlistik kita boleh memberikan alasan yang baik untuk ‘bailout’ MAS ini, kerana syarikat kepunyaan individu anak kepada Perdana Menteri semasa itu boleh di ‘bailout’ dengan berbillion ringgit, kenapa kita begitu risau dengan ‘bailout’ syarikat penerbangan kepunyaan rakyat yang ramai ini?

Kita tentu akan kagum dengan Anwar jika beliau mencadangkan kaedah pemulihan alternatif  kepada perancangan pemulihan yang dicadangkan oleh Khazanah Nasional ini, bagaimana caranya Anwar berfikir untuk membatalkan pemberhentian 6,000 orang pekerja dan kakitangan MAS itu?

Di sini merupakan satu ujian bagi Anwar yang telah mengkritik cara pemulihan MAS itu dan tentunya amat baik dan ditunggu-tunggu jika Anwar dapat memberikan cadangan ‘alternative’ bagi pemulihan ini tanpa memberhentikan enam ribu pekerja ini.

Kita tunggu pelan pemulihan cadangan dari Anwar Ibrahim. Pelan itu wajar dipaparkan kepada umum kerana MAS adalah kepunyaan rakyat yang melibatkan wang pembayar cukai negara.

Kita hendak mendengar dan melihat apakah cadangan-cadangan beliau untuk menyelamatkan enam ribu orang pekerja MAS dalam penstrukturan syarikat penerbangan nasional itu

29 August 2014

Mimpi dan berangan itu percuma, tak payah bayar apa-apa

Tidak ada isu kedegilan TS Khalid untuk meletakkan jawatan. Khalid sudah meletakkan jawatan, hanya Tuanku Sultan mahu Khalid memegang jawatan itu sehingga selesai siapa yang akan menjadi Menteri Besar. Sekarang PKR yang menambah dan menyambung masalah kerana parti itu mahu memaksa Tuanku Sultan memilih siapa yang parti itu pilih.

Tuanku hanya dikehendaki untuk menurut sahaja kehendak parti itu kerana parti itu tersilap sangka yang PKR itu adalah lebih besar dari Raja. Mereka tidak mahu mengakui yang Tuanku merupakan proponen besar dalam undang-undang tubuh negeri dan mempunyai hak untuk memilih Menteri Besar negeri itu. PKR telah menggunakan peguam-peguam yang menyebelahi mereka untuk menafikan kewibawaan Raja dalam perlantikan seorang Menteri Besar itu.

Mereka mengatakan mereka adalah dipilih rakyat maka Raja wajar mendengar sahaja dan mengangguk sahaja seperti burung balam. Mereka lupa yang rakyat itu beraja. Ia bukan setakat siapa yang mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri, tetapi yang lebih afdal lagi ialah siapa yang menjadi Raja kepada seluruh rakyat bukan setakat apa yang dikatakan sebagai sokongan 52 peratus rakyat dalam pilihanraya yang lalu.

Raja itu ada rakyatnya, termasuk ahli-ahli PKR dan penyokong parti itu di Selangor. Tidak menghormati Raja serupa tidak menghormati seluruh rakyat yang bernaung di bawah jajahan Baginda. Itu sebabnya Raja mempunyai kuasa untuk menentukan siapa Menteri Besar nya dan di sinilah usaha untuk mendapatkan ‘point of reconciliation’ wajar dilakukan. Jika bertegas untuk memaksa Raja menerima sahaja keputusan parti politik ia melambangkan sikap dan sifat pemimpin parti itu sendiri.

Ia tetap menunjukkan yang pimpinan parti itu sebagai pemimpin yang 'arrogant' dan tidak boleh hidup dengan tradisi dan nilai hidup sebagai rakyat di negara yang bermajoriti melayu dan islam itu. Nyata PKR telah menunjukkan keangkuhannya dengan memberitahu Tuanku, ‘my choice or nothing and just nod my wish, and we are the choice of the rakyat’.  Mereka terlupa yang Raja itu mempunyai rakyat dan Raja itu juga adalah kepunyaan rakyat.

Kita pasti yang jika rakyat tahu dari awal pemimpin dan parti yang mereka pilih itu menderhaka kepada Raja nya belum tentu lagi rakyat memberikan sokongan pada pilihanraya yang lalu. Sepatutnya PKR dalam kempen pilihanraya dahulu jadikan menentang Raja itu sebagai salah satu dari apa yang terkandung dalam manifesto nya.

Sepatutnya Anwar Ibrahim telah naik ke pentas dan menjerit dalam pidatonya yang Tuanku tidak ada kuasa menentukan siapa Menteri Besar. Katakan dalam pilihanraya itu yang Raja hanyalah ‘rubberstamp’ dan mesti ikut apa kehendak mereka.

Tetapi sekarang nyata yang Tuanku pula tidak mahu seorang Menteri Besar ‘rubberstamp’ kerana Baginda tahu siapa orang di sebalik calon tunggal Menteri Besar Selangor itu. Bukan sahaja Tuanku yang maklum, orang ramai juga maklum calon Menteri Besar PKR untuk menggantikan Khalid ini akan membawa chop Menteri Besar itu ke rumah dan mengambil banyak keputusan di dalam bilik tidurnya.

Ramai tidak mahu, mungkin juga Tuanku Sultan pun sama, seorang Menteri Besar itu hanya menggunakan pejabat Menteri Besar itu untuk melabuhkan punggungnya sahaja kerana segala-galanya telah selesai dilakukan di rumahnya. Menteri terbesarnya berada di rumah. Nanti akan terjadi budaya, ‘perundingan dibuat dalam gelap, adat berlalu dalam terang’.

Apa pun PKR perlu menghantar lebih dari dua nama. Jika tidak PAS akan menghantar nama-nama yang lain kerana parti itu akan menghantar tiga nama. Jika PKR tidak mahu menghantar nama-nama yang diminta oleh Tuanku, maka Tuanku bolehlah memilih satu diantara beberapa nama yang dihantar kepada Duli Tuanku.

Selepas itu jangan pula memberontak kerana kedegilan sendiri. Jangan menyalahkan sesiapa lagi. Tuanku bukannya menolak calon PKR tetapi PKR engkar dan tidak mahu menamakan sesiapa selain dari Wan Azizah.

Maka tidak kehairanan kita jika akan berlaku pilihanraya negeri Selangor agar biar rakyat sendiri menentukan siapa yang mereka mahu menjadi Menteri Besar. Rakyat bukannya  memilih 30 orang yang berkumpul itu melakukan kerja biadap itu.

Masalahnya rakyat tidak tahu yang PKR akan menjadi begini. Mereka menyangka yang PKR benar-benar jujur dan tidak berlaku biadap kepada Raja mereka.

Jika berlaku pilihanraya negeri, PKR dan DAP boleh bercakap menentang Raja itu, dan kita boleh tengok samada mereka boleh menerima kelakuan dan sikap mereka itu. Jika tidak berjaya meyakinkan rakyat jangan pula berbuat perkara yang bodoh-bodoh, kerana Raja juga dilindungi oleh Perlembagaan dan Raja-Raja Melayu mempunyai 'apparatus' melindungi diri dari terjahan mereka yang derhaka itu.

Setidak-tidaknya Raja-Raja mempunyai kekuatan yang lebih besar dengan ada nya Angkatan Tentera di Raja Malaysia dan Polis di Raja Malaysia (PDRM). Kedua-duanya membawa panji-panji di Raja yang mempunyai banyak makna yang terselindung. Kita jangan lupa bukan Anwar sahaja yang kuat. Jika Anwar kuat ada yang lain yang lebih kuat dari beliau.

Pengakhirnya yang Maha Kuat sahaja yang akan menentukan siapa yang sepatutnya berjaya dalam perebutan kuasa Menteri Besar di Selangor ini. PKR sepatutnya menjadikan Wan Azizah sebagai calon Perdana Menteri kerana PKR begitu yakin akan berjaya ke Putrajaya dalam pilihanraya yang akan datang.

Bagaimana mereka membuat perkiraan itu pun kita tidak tahu, tetapi kita hormati lah keyakinan mereka itu. Kata negara ini demokrasi, mereka tidak salah jika mereka membuat perkiraan yang PKR akan berjaya dalam PRU yang akan datang.

Mereka tidak tahu yang semua orang membuat perkiraan dan bukan sedikit yang berpendapat kali ini mereka masih tidak akan berjaya dan jika mereka masih yakin untuk berjaya mereka berpendapat itu hanyalah mimpi di siang hari sahaja.

Hendak bermimpi itu bukannya satu kesalahan. Untuk melayani mimpi itu adalah percuma, bukannya kena bayar apa-apa pun. Mimpilah sampai bila-bila dan ikut keinginan dan kemampuan masing-masing untuk bermimpi. Tidak payah bayar apa-apa….percuma…

Tun Musa pun sama, pernah dijadikan alas kaki Dr Mahathir

Hebat juga perbahasan tentang isu Dr Mahathir menarik balik sokongan beliau terhadap PM Najib Abdul Razak. Ada yang mengatakan Najib akan tersungkur dengan tindakan Dr Mahathir ini dan ada yang berpendapat yang Najib akan bertahan dan Dr Mahathir yang tersungkur. Apa pun dan siapa yang tersungkur dalam isu ini jelas telah terbukti apa yang blog ini tulis sejak beberapa tahun dahulu sudah sampai kebenarannya. Semasa saya menulis tentang isu ini dahulu, saya dikritik begitu hebat oleh pihak yang sedang merasakan kebenaran kata-kata blog ini dan pandangan-pandangan pihak lain.

Perbezaan atau pergaduhan diantara pemimpin UMNO sesama sendiri ini tidak sepatutnya menjadi kehairanan sesiapa, kerana bagi siapa yang memahami keadaan, sememangnya UMNO itu diwujudkan untuk membawa perpecahan.

Kadangkala perpecahan yang bakal tiba itu sememangnya diketahui oleh pemimpin utama parti itu, kerana perpecahan yang akan datang itu merupakan ‘survival’ politik bagi sesetengah pemimpin. Perpecahan itu sangat diperlukan oleh setengah pemimpin yang mempunyai pengaruh besar dalam politik itu. Mereka-mereka ini bukannya mengutamakan negara dan rakyat pimpinan mereka, tetapi kepentingan peribadi dan keluarga serta kroni dan nepotisma mereka.

Dr Mahathir tidak akan menjadi pemimpin besar tanpa perpecahan dalam UMNO dahulu. Perpecahan dan kelemahan Najib sekarang ini dianggap oleh Dr Mahathir boleh menjadikan beliau terus relevan dalam UMNO itu. Kata-kata Tun Musa Hitam yang Dr Mahathir akan hanya berpuas hati jika Dr Mahathir mempunya klon nya di Putrajaya memerintah negara yang berpecah ini.

Tun Musa Hitam dari awal lagi mengetahui tektik dan strategi politik Dr Mahathir ini, tetapi beliau sendiri merupakan pemimpin yang merelakan dirinya untuk dijadikan alas kaki oleh Dr Mahathir untuk merasakan nikmat duduk diatas kuasa itu. Akhirnya beliau kecundang juga. Tun Musa diperguna untuk menyekat seorang pemimpin lain untuk mara kerana Dr Mahathir sendiri adalah pemimpin yang sendiri mempunyai kekurangan kepimpinan semasa itu.

Dr Mahathir mempunyai forbia besar terhadap pemimpin dibawah beliau yang mempunyai kelebihan dan sentiasa menjadikan beliau tidak selamat kerana dari awal beliau mahu menguasai kerajaan sepanjang masa. Mahathir menggunakan Tun Musa untuk mengenepikan Tengku Razaleigh secara sistematik dan ‘step-by-step’ dan itu pun sebabnya berlaku pertandingan peringkat Timbalan Presiden UMNO itu pada tahun 1981 dahulu.

Akhirnya UMNO secara beransur-ansur menjadi lemah dan setelah hampir tiga puluh tahun hasil dari pecah perintah Dr Mahathir itu, parti pemerintah ini menjadi lemah dengan warisan kepimpinan yang lemah. Akhirnya UMNO itu dibunuh kerana undang-undang dan kepimpinan beretika bukannya nilai yang sesuai dengan Dr Mahathir. Dr Mahathir mempunyai sistem demokrasi acuan beliau sendiri dan beliau selalu berbangga dengan acuan demokrasi beliau itu.

Di pendekkan cerita inilah hasilnya yang kita lihat pada hari ini. Pemimpin samada didalam mahu pun diluar UMNO, mempunyai nilai dan persepsi yang buruk terhadap politik tanahair kita ini. Seni politik dahulu sudah hilang dan itu sebabnya kita melihat sekarang pemimpin-pemimpin, baik dalam BN mahu pun di luar BN, mengendalikan politik itu semata-mata untuk kepentingan peribadi dan keluarga.

Kalau dahulu pimpinan yang dikatakan mengutamakan nepotisma itu akan mencari jalan dan usaha untuk menjadi keluarga meniti ke Putrajaya itu setelah mereka berhenti dan bersara. Sekarang sudah timbul dengan kenyataan yang jelas budaya itu bertambah buruk apabila pemimpin utama, mahukan isterinya memegang kuasa disamping menyediakan anaknya untuk meneruskan penguasaan kepada kerajaan jika mendapat mandat rakyat di masa akan datang. Bak kata pepatah, ‘jika bapak kencing berdiri anaknya akan kencing berlari’.

Sekarang kita sedang menyaksikan UMNO yang sakit dan Pakatan Rakyat yang berpecah-pecah dengan retak seribu. Semuanya ini bukan kerana rakyat tetapi kerana ragam dan tingkah laku pemimpin-pemimpin sendiri. Hasilnya rakyat yang bergaduh dibawah sini, saling sumpah menyumpah serta carut mencarut diantara satu dengan lain kerana mempertahankan pemimpin-pemimpin pujaan masing-masing.

Memindahkan jawatan dari mereka kepada isteri atau anak masing-masing, seolah-olah sudah diterima oleh masyarakat kita yang berbilang kaum ini. Sedangkan kita tahu budaya ini akhirnya akan menjahanamkan kerajaan pimpinan mereka jika diberikan mandat dalam mana-mana pilihanraya negara ini.

Jika disebut isu ini, tidak ramai yang akan percaya ia akan berlaku, tetapi jika panjang umur kita dianugerah Tuhan, itulah yang akan berlaku dan sama-samalah kita menyaksikannya berlaku sambil merasakan kepedihannya nanti. Apabila sampai masanya nanti mereka yang menyokong tindakan salah pemimpin pujaan mereka itu akan bangkit dan mengambil giliran untuk memberontak terhadap pemimpin yang mereka pernah puja itu.

Kenyataan Tun Musa itu adalah kenyataan yang tidak mengejutkan orang yang lama seperti saya ini kerana kami melihat apa yang berlaku pada pertengahan tujuh puluhan sehinggalah UMNO itu mati terbunuh oleh pemimpin yang tidak setia dengan parti itu. Ada pemimpin besar semasa itu hanya menggunakan UMNO itu sebagai alas kaki untuk membersihkan niat untuk memperolehi kepentingan peribadi secara optima.

Tun Musa dan Dr Mahathir itu sama sahaja kerana mereka berdua pernah melakukan ‘conspiracy’ terhadap pemimpin lain yang mempunyai kepimpinan yang lebih jujur dan ber ‘consequence’ untuk negara.

Tentulah diantara mereka yang bersama tanpa kejujuran itu akhirnya akan berpecah juga. Untungnya mereka yang sudah meniti hidup yang lama, mereka dapat melihat dan merasakan apa yang sedang dan akan berlaku. Ingat pengalaman lama membolehkan seseorang itu ‘menyelam air di dalam tunggak’.

27 August 2014

Elemen 'greed, anger and foolishness' menguasai DAP dan PKR

PKR dan DAP telah memutuskan untuk tidak mematuhi titah Tuanku Sultan Selangor yang meminta semua parti dalam Pakatan Rakyat menamakan lebih dari dua orang calon Menteri Besar untuk menggantikan Khalid Ibrahim. ‘In defiance’ terhadap titah Tuanku Sultan kedua-dua parti itu tegas dengan hanya menamakan Wan Azizah sebagai calon tunggal untuk menjadi Menteri Besar Selangor yang dari awal lagi telah ditolak oleh Tuanku.

Mereka memberikan alasan yang semasa pilihanraya 2008 dan 2013 yang lalu Pakatan Rakyat telah menamakan hanya seorang nama sahaja, iaitu Khalid Ibrahim dan tidak mendapat tentangan dari Tuanku. Maka kepada kedua-dua parti itu, 'precedent' ini wajar diikuti sekarang dengan menerima calon tunggal mereka iaitu Wan Azizah Ismail.

Bagaimana pemilihan seperti 2008 dan 2013 boleh terpakai sekarang kerana keadaan dan situasi sekarang adalah situasi yang sangat berbeza berbanding dengan situasi selepas dua pilihanraya yang lalu. Dalam kedua-dua pilihanraya yang lalu, keadaan semasa pemilihan Menteri Besar itu adalah dalam keadaan yang bersatu samada diantara pemimpin PKR dan pemimpin parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan tidak ada pergelutan dan perebutan untuk jawatan itu.

Dalam kes sekarang ini seorang Menteri Besar yang telah diterima dengan tenang dan bersatu dan diperkenan Tuanku Sultan selepas pilihanraya yang lalu telah diperlakukan tindakan penggulingan terhadap Menteri Besar itu. Justeru telah berlaku krisis dalam PKR dalam isu ini dan  akhirnya memecat Menteri Besar nya dari keanggotaan partinya. Selain dari itu sudah berlaku perselisihan jelas diantara parti-parti dalam PR itu khususnya PAS yang tidak sealiran dalam pemilihan gantian kepada Menteri Besar Khalid.

Takkanlah ini pun tidak difahami oleh mereka yang mengaku sebagai pemimpin dari kedua-dua parti itu.  Sekarang hanya ada satu pilihan bagi parti-parti dalam PR untuk melakukannya, iaitu untuk menambah bilangan calon untuk jawatan penting itu kepada kebawah Duli Tuanku Selangor agar dapat mencari gantian kepada Khalid sekarang yang menjadi ‘care taker’ Menteri Besar.

Jika kedua-dua parti ini masih berkeras tidak mahu memenuhi titah Sultan maka betullah tuduhan setengah pihak yang kedua-dua parti ini mempunyai pemimpin yang tidak beradap dan beradat dan akan menjadi racun kepada institusi-institusi demokrasi negara.

Keadaan semasa memilih Menteri Besr dahulu adalah berbeza maka cara memilih juga tidak boleh mengikut 'precedent' yang lama itu. Keengkaran kedua-dua parti itu adalah tindakan ‘self destruction’ kerana menunjukkan marah dan tidak menghormati Tuanku Sultan itu melambangkan betapa bongkak dan sombongnya parti-parti itu. Tindakan mereka itu boleh ditafsirkan sebagai tindakan memberontak dan ia samalah seperti menzalimi diri mereka sendiri.

PKR dari dulu lagi telah menunjukan sikap ‘arrogant’ yang keterlaluan dan semua orang termasuk Raja pun hendak dibentaknya. Bagi mereka semua pihak mesti mengikut telunjuk mereka yang bengkok itu. Anwar dalam usaha gigihnya untuk menaiki tangga politik telah banyak kali menunjukkan sikap seperti ini dan beliau tidak mahu tunduk kepada kenyataan yang negara ini bukannya untuk beliau seorang. Dalam 'planet' ini berbillion manusia lain yang tinggal dan hidup di dalamnya bukannya beliau seorang.

Kita tidak tahu apa yang perlu dilakukan selain dari memanggil pilihanraya baru kerana pertembungan diantara  dua proponen penting dalam memilih seorang Menteri Besar seperti yang ditetapkan oleh undang-undang tubuh negeri Selangor itu.

Mengambil alih jawatan Menteri Besar bukan kerja yang kecil padahnya jika ia dilakukan secara ‘hostile’ seperti sekarang ini. Dalam situasi sekarang Khalid tidak lagi menjadi subjek perbahasan dan pertelingkahan kerana beliau telah pun memohon untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar. Sekarang beliau hanyalah ‘care taker’ kepada kerajaan negeri Selangor.

Pilihanraya sahaja yang membolehkan situasi ini diselesaikan. Pilihanraya ini penting kerana kita hendak bertanya kepada rakyat Selangor samada mereka (PKR dan DAP) telah melakukan perkara yang betul dan diterima oleh rakyat Selangor.

Dalam kempen pilihanraya yang lalu PKR dan DAP tidak pernah berjanji untuk menolak Menteri Besar pilihan mereka sendiri dan tidak pernah berjanji untuk tidak menderhaka kepada Tuanku Sultan. Parti-parti ini juga tidak pernah berjanji akan menyingkirkan Khalid Ibrahim untuk digantikan dengan Wan Azizah setelah memecat ahlinya sendiri yang bernama Khalid Ibrahim itu.

Tentu ada jalan untuk memanggil pilihanraya negeri. Bagi saya pandangan orang ramai itu adalah penting samada tindakan pucuk pimpinan PKR yang disokong oleh DAP itu diterima oleh rakyat.

Tetapi ramai yang berkeyakinan yang penolakan hasrat pimpinan PKR melakukan penyingkiran ini tidak digemari bukan sahaja oleh rakyat ramai tetapi ahli-ahli PKR sendiri yang telah bergelumang dengan pergaduhan sesama sendiri semasa pemilihan parti baru-baru ini. Penolakan Khalid Ibrahim untuk terus memegang jawatan itu perlu diterjemahkan melalui pilihanraya negeri. Pilihanraya itu juga merupakan tali pengukur samada Wan Azizah benar-benar diterima oleh rakyat Selangor untuk menjadi Menteri Besar ‘rubber stamp’ untuk mentadbir mereka.

Pilihanraya ini juga akan memberikan pertimbangan muktamad samada rakyat Selangor sedar atau pun tidak yang Anwar ini telah menggunakan semua pihak untuk kepentingan politik peribadi beliau. Kita hendak tahu juga samada rakyat Selangor membenarkan Anwar menggunakan isterinya sendiri dalam mencapai cita-cita rakus beliau untuk menjadi Perdana Menteri negara ini selain dari menggunakan PAS dan DAP sebagai alas untuk membersihkan kaki beliau.

Sekarang ini beliau juga mahu menjadikan Raja Melayu untuk dijadikan alas kaki beliau. Anwar telah membayangkan yang beliau sedang menunjukan protes terhadap Tuanku Selangor dan memberitahu Tuanku, ‘it’s my wife and nobody else’. Beliau mahukan Sultan Selangor supaya ‘just sign, and that’s it. Just shut your dirty and smelly mouth’.

Begitulah seolah-olahnya Anwar memberitahu Tuanku Sultan. Tindakan beliau untuk berhadapan dengan Tuanku Sultan secara ‘hostile’ itu menunjukkan betapa ‘arrogant’ nya pemimpin yang bermasalah ini.

Blog ini ada berkata, jika pimpinan yang mempunyai elemen ‘greed, anger and foolishness’ seperti ini dijadikan pemimpin negara, tidak akan sampai ketenangan bukan sahaja kepada rakyat dan negara ini tetapi juga kepada dirinya sendiri. 

Kerana terlalu berpencak dan berkeris, akhirnya menikam diri sendiri

Tindakan Tuanku Sultan untuk menolak Wan Azizah sebagai pengganti Menteri Besar Selangor sambil meminta setiap parti dalam Pakatan Rakyat mencalonkan lebih dari dua nama calon memberi makna calon kehendak Anwar tidak diterima. Tetapi DAP sudah pasti tidak berkelayakan untuk mencalonkan sesiapa dari partinya kerana DAP tidak mempunyai calon berbangsa Melayu di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor. DAP sesungguhnya adalah parti Cina walauipun bersyarah di sana sini mengakui parti itu sebagai parti berbilang kaum.

Dalam isu ini hanya PKR dan PAS sahaja yang layak untuk mengemukakan nama-nama calon kerana kedua-dua parti ini adalah parti-parti orang Melayu. Oleh kerana PKR dan DAP masih kekal dengan satu nama, iaitu Wan Azizah sahaja, maka yang akan mengemukakan calon lain hanyalah PAS. PKR tidak mahu akur dengan titah Tuanku untuk memberikan nama yang lain dari Wan Azizah. Maka parti mana yang mahu menerima titah Tuanku itu akan dipertimbangkan untuk menjadi pengganti kepada Khalid Ibrahim.

Situasi ini sangat menarik kerana PKR tidak akan mengemukan calon pilihan selain dari Wan Azizah, maka secara langsungnya PKR tidak akan dipertimbangkan untuk sesiapa menjadi Menteri Besar, pengganti Khalid Ibrahim. Di sini adalah garis penamat kepada ‘Kajang Move’ yang dikatakan adalah buah fikiran pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli dahulu.

Jika calon PAS tidak diterima oleh Pakatan Rakyat maka jalan terakhir ialah dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri Selangor dan diadakan pilihanraya negeri yang baru. Jika ini terjadi maka PKR adalah penyebab kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor dan tiada pilihan yang lain, melainkan DAP bertukar pendirian dan menyokong calon dari PAS. Itu sukar untuk terjadi kerana DAP lebih mendengar ‘titah’ Anwar Ibrahim yang mahukan Wan Azizah sebagai pengganti kepada Khalid bagi melangsungkan tindakan ‘Kajang Move’ tadi.

Sesungguhnya ‘Kajang Move’ itu telah mengecilkan padang permainan bagi PKR khususnya Anwar Ibrahim itu. Sekali gus keadaan ini meniruskan sokongan ramai terhadap Anwar Ibrahim, 'ibarat tali gasing, semakin ke hujung semakin menirus (kecil)'. Jika sokongan terhadap Anwar semakin kecil ia memberi makna yang Anwar semakin menghapiri hayat politiknya dan mana-mana parti atau mana-mana yang bersekongkol dengan Anwar dan hilang dalam ‘oblivion’ politik negara secara beransur-ansur.

Samada DAP masih mahu menghadapi risiko ini terpulang kepada parti itu. Bagi banyak pihak dari apa yang berlaku di Selangor ini, mana-mana pihak yang masih mahu bersama Anwar serta menumpang memikul bebannya sekali, adalah satu pendirian yang dikatakan 'berenang dan tenggelam bersama'.

Tetapi DAP akan membayar harga yang terlalu tinggi ‘to swim and sink together’ bersama PKR dan Anwar khususnya..Jika itu pilihan DAP maka DAP akan dikenang sebagai parti yang mempunyai setiakawan yang tinggi sehingga sanggup bersama kehilangan ‘plot’ perjuangan parti itu sendiri untuk bersama menjamah kuasa di Putrajaya yang selama ini yang dikeliurkan oleh parti itu.

Isu yang dihadapi oleh Selangor ini bukan sahaja dirasakan tempiasnya oleh PKR, tetapi tidak ramai yang sedar apa yang lain yang akan berlaku. Kecenderungan untuk DAP 'menjilat lukanya sendiri' secara sendirian akan dialami mereka kerana berpendirian ‘sinking and swimming’ bersama dengan PKR itu.

Hakikatnya mana-mana parti yang wujud diatas perpecahan rakyat seperti PKR ini, parti itu tidak akan kekal lama. Keadaan ini sudah mula terbau dengan perpecahan parti itu di setiap peringkat hasil dari pemilihan pimpinan parti itu yang baru sahaja selesai beberapa hari yang lepas sebelum kongress parti itu diadakan. Kekusutan dan masalah ‘intra-party’ yang dihadapi oleh PKR itu ditokok-tambah pula dengan masalah dan kerumitan ‘inter-party’ dalam Pakatan Rakyat, khususnya masalah parti itu dengan PAS.

Keadaan ini telah jelas membawa PKR kepada krisis keyakinan yang begitu serius dan akan terbongkar dalam masa yang tidak lama lagi. Krisis ini akan membawa padahnya sekali kepada DAP yang menganggotai Pakatan Rakyat itu. Tidak kita ketahui bagaimana DAP untuk mengelak dari tercalar dalam menghadapi krisis keyakinan terhadap Pakatan Rakyat khususnya PKR ini.

Itu sebabnya blog ini selalu mengingatkan semua samada satu-satu 'coalition' itu kekal lama atau sebaliknya bergantung kepada manusia yang memimpinnya. Pemimpin yang bermasalah tidak mungkin bertindak dengan betul dan tepat kerana pemimpin seperti ini akan menjadi beban kepada jemaah dan kumpulan yang dipimpinnya. Pemimpin itu sendiri akan bertindak mengikut apa yang perlu dilakukan untuk menyelesaikan masalah beliau.

Pemimpin seperti ini akan mendahului tindakannya untuk menyelesaikan masalah sendiri dan sebagai contoh ‘Kajang Move’ itu boleh dijadikan iktibarnya. ‘Kajang Move’ sudah terbukti dilakukan hanya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Anwar yang beliau sendiri merupakan penyebab masalahnya itu.

Akhirnya ini yang terjadi dan masalah dan isu Selangor sekarang merupakan ‘pinnacle’ terhadap masalah pucuk pimpinan Pakatan Rakyat itu sendiri. Tidak tentu pasal DAP dan PAS menjadi mangsa hasil dari tindakan melulu seorang individu yang bermasalah itu. Cita-cita tinggi yang tidak mungkin tercapai jika dinilai dari zahir dan adatnya. Kehendak Tuhan kita tidak tahu dan itu bukannya tahap makam kita untuk melihat secara makrifah apa yang akan terjadi di masa depan.

Pendeknya ‘Kajang Move’ itu bukan menambah peluang PR ke Putrajaya tetapi sebaliknya terbukti yang langkah itu merupakan satu tindakan menyempitkan jalan bagi PR untuk menghampiri Putrajaya selepas pilihanraya akan datang.

Sesungguhnya ‘Kajang Move’ itu merupakan satu tindakan yang ‘unnecessary’ dan yang membazirkan peluang untuk mencapai cita-cita ke Putrajaya. 'Yang dikejar tidak tercapai dan yang dikendung berciciran'.

'Terlalu berpencak dan berkeris, akhirnya menikam diri sendiri'. Jangan salahkan sesiapa cukuplah.

26 August 2014

Azmin calon yang bertepatan

Dari awal lagi Azmin patut jadi MB.

Tuanku Sultan Selangor telah bertindak menolak dua permohonan dari dua pemimpin hari ini. Pertamanya, Baginda telah menolak perletakan jawatan Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar dan menitahkan Abdul Khalid terus memegang jawatan Menteri Besar itu sehingga nama yang sesuai untuk menggantikan beliau ditemui dan dipersembahkan untuk perkenan Baginda. Baginda telah meminta lebih dari dua nama dari Pakatan Rakyat setelah menolak Wan Azizah sebagai Menteri Besar yang baru.

Tuanku juga telah menolak Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar gantian dan itu telah ditelah oleh banyak pihak kerana ketidak sesuaian Presiden PKR itu menjadi Menteri Besar Selangor yang baru. PKR sememangnya dalam keadaan yang amat rumit kerana ‘Kajang Move’ tidak menghasilkan apa-apa selain daripada perpecahan PKR dan Pakatan Rakyat.

'Kajang move' dahulu telah dilakukan oleh PKR tanpa merujuk kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat dan tindakan sendirian PKR itu menghasilkan apa yang terhasil yang kita saksikan hari ini.

Apa pun PAS tetap bersetuju bahawa kerusi Menteri Besar itu wajar disandang oleh PKR, tetapi mengemukakan Wan Azizah sebagai calon gantian kepada Khalid untuk memuktamadkan ‘Kajang Move’ itu tidak kesampaian. Saya telah dihubungi oleh ramai rakan dan kesemuanya tidak merasakan kehilangan tanpa Wan Azizah, malahan ramai antara mereka sedang mendoakan agar ADUN Bukit Antarabangsa itu menjawat jawatan penting tersebut.

Azmin sememangnya pemimpin PKR yang menghidupkan parti itu dari awal dan tidak ada sebab nama beliau tidak dicalonkan untuk jawatan itu. Justeru tindakan PAS mencalonkan Azmin dari awal itu merupakan tindakan yang agak secocok dengan cita rasa ramai rakyat Selangor. Sebagai Pengerusi PKR Selangor adalah tidak adil jika beliau tidak mengetuai kerajaan Selangor jika benar-benar Khalid tidak lagi menjawat jawatan itu.

Sikap Anwar mengambil segala-galanya ‘for granted’ terbukti satu ‘misadventure’ politik yang paling besar sekali dan sikap ‘domineering’ beliau itu secara beransur-ansur akan membuatkan sokongan ramai terhadap Anwar akan merudum bukan sahaja dari kalangan pimpinan Pakatan Rakyat, malahan dari ahli-ahli partinya sedang berpecah itu.

Orang yang sepatutnya belajar untuk berlapang dada ialah Anwar Ibrahim dan beliau wajar mengakui hakikat yang tidak semua kehendak kita akan terkabul. Dalam isu ini PAS walaupun menjadi sasaran parti-parti yang menganggotai Pakatan Rakyat itu beberapa ketika, telah melakukan tindakan yang betul dan ini tentulah tidak digemari oleh PKR.

Sekarang Tuanku Sultan telah meminta nama-nama lain selain daripada Wan Azizah maka adalah tanggungjawab parti itu untuk mengemukakan nama-nama tersebut secepat mungkin jika parti itu mahukan penyelesaian yang cepat.

Kadangkala kemahuan peribadi tidak akan termakbul jika tujuan dan niatnya tersasar dari kepentingan dan kehendak ramai.

Hanya setakat itu ulasan ringkas dari blog ini buat sementara. Sebelum itu, wajar kita ingat ‘yang menjolok buah itu selalunya tidak akan dapat menyambut buah yang jatuh itu’. Oleh itu PKR Selangor wajar membuat keputusan dan sebagai menghormati pimpinan pusat parti itu elok diberitahu kepada pucuk pimpinan parti itu keputusan untuk mencalonkan nama yang saya sebutkan tadi.

PAS sememangnya sudah tersedia untuk menyokong Azmin dan DAP pula harus ingat bahawa Sultan mempunyai peranan besar dalam keadaan krisis yang mendalam di Selangor sekarang ini.

Lagi cepat memenuhi titah Tuanku itu, lebih cepat masalah selesai.

Hari ini hari penentu bagi Selangor

“Kalau kita tidak berikan kepada PR memerintah Selangor dulu, keadaan seperti ini tidak akan berlaku. Seburuk-buruk BN tidak pernah mereka bergaduh di khalayak ramai diantara pemimpin-pemimpin mereka. Tak pernah nampak parti-parti dalam BN itu bergaduh sesama sendiri seperti parti-parti dalam Pakatan Rakyat”  kata seorang yang saya baru kenali malam tadi.

Nyata peniaga yang baru keluar dari masjid di Kelana Jaya ini amat terkilan dengan apa yang berlaku dalam PKR yang membuatkan beliau pening memikirkan apa yang berlaku di Selangor yang dimulakan oleh PKR itu. Saya hanya menganggukkan kepala untuk mendengar keluhannya dan ingin mengetahui siapa gerangan yang meminta kebenaran untuk duduk bersama saya kerana kekurangan kerusi dan meja di warung minuman itu.

“Kalau nak bergaduh dan berebut pun, tak usahlah didepan orang ramai. Tak boleh lagi bagi PR undi dalam pilihanraya akan datang ni. Macam si kudung dapat cincin lagak deme ni” sambungnya selamba kepada saya dan rakan saya yang ada bersama. “Kalau keluarga bergaduh sampai kedengaran oleh jiran ni, menunjukan ketua keluarga tidak betul!.....betul tak bro?” tanyanya selamba lagi.

Nyata orang yang saya baru temui ini merupakan orang yang begitu kuat menyokong PR dalam dua pilihanraya yang lalu dan seorang pengundi di Kelana Jaya. Suara-suara seperti ini sememangnya selalu saya dengar akhir-akhir ini. Seperti yang saya selalu sebut akhir-akhir ini mengumpulkan 30 orang ADUN untuk menandatangani sokongan kepada seseorang untuk jadi MB itu tidak bermakna menunjukkan sokongan ramai yang mengundi dahulu.

Saya bertanya secara jujur kepada kawan baru saya ini, “you pernah sokong BN dulu tak bro? Dia menjawab, “last sekali saya mengundi BN ialah semasa Tan Sri Megat Najmudin menjadi calon di sini. Lepas tu saya undi pembangkang. Nampaknya kena undi BN baliklah. Dulu saya pernah menjadi AJK UMNO Bahagian di sini” jawabnya tangkas dan baru saya ingat Megat Najmudin pernah menjadi ADUN di Kelana Jaya.

“Pakatan ni tak boleh pakai…jantan betina sama aje…sibuk berebut jawatan. Kita tak mahu singa lapar macam ni....lama-lama nanti kita pulak dibahamnya” sambil ketawa kecil.

Saya dapat memahami apa yang ada di dalam pemikiran rakan baru saya ini. Yang nyata sekali beliau memberikan sokongan kepada PKR dengan harapan baru tetapi beliau merasakan kekecewaan dengan tingkah laku pimpinan parti itu. Saya selalu dikritik kerana berpandangan sebegini tetapi dari hari ke hari pandangan saya yang dikritik ramai itu sudah mula menampakkan kebenarannya.

Justeru jika dulunya rakyat memilih Pakatan Rakyat kerana tidak berpuas hati dengan BN, kali ini jika BN dan UMNO kembali disokong ramai, ia juga adalah kerana dan sebab yang sama. Jika UMNO memakan masa berdekad untuk menjadi lemah, Pakatan Rakyat akan mengambil masa yang sangat singkat untuk berhadapan masalah yang sama seperti yang dihadapi oleh UMNO dahulu.

Hari ini hari penentu bagi Selangor dan kita hanya mengharapkan sesuatu yang boleh diterima ramai akan terjadi. 

25 August 2014

Bila dedalu-dedalu liar tidak dapat hinggap, pokok pula ditebang

Dalam Kongress ke-10 PKR yang baru selesai semalam, beberapa kenyataan dari pimpinan PKR yang menarik didengar dan ia menggerakkan saya untuk memberikan pandangan sebagai seorang ditepian politik tanahair. Ia menarik kerana dalam ghairah untuk menunjukkan kewibawaan mereka, pemimpin pemimpin dalam parti itu seolah-olah mengakui hakikat sebenar yang dihadapi oleh parti itu.

Yang paling menarik lagi ialah kenyataan Anwar yang PKR tetap hidup walaupun beliau dipenjarakan, dan ia tentulah kenyataan yang berkait dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang akan membicarakan kes sodomi 2 beliau penghujung oktober ini.

Sesungguhnya PKR tetap akan hidup jika beliau dipenjarakan oleh undang-undang negara. Malahan saya berpendapat PKR akan lebih mantap lagi kerana jika beliau sudah tidak berada buat sementara dalam politik perdana, PKR tidak akan terbeban dengan masalah peribadi beliau.

Ia akan tetap merupakan sumbangan besar dari Anwar untuk partinya yang diketuai oleh isterinya Dr Wan Azizah. Saya selalu berkata sumbangan pemimpin itu bukan sahaja dengan memegang jawatan dan kuasa, bersara dan mengenepikan diri dari kegiatan politik itu juga boleh dianggap sebagai sumbangan besar terhadap perjuangan parti. PKR tidak akan menghadapi masalah mempertahankan peribadi Anwar dan parti akan lebih bersih dari pandangan kaca mata rakyat yang ramai.

Begitu juga dalam UMNO sekarang ini. Ramai berpendapat jika Najib mahu terus memberikan sumbangan kepada partinya, beliau lebih baik bersara supaya partinya tidak terhimpit oleh kelemahan beliau mentadbir negara. Memberikan ahli-ahli partinya dan rakyat peluang untuk menyusun semula siasah negara itu akan dianggap sebagai pengorbanan kepada rakyat dan negara yang sangat berharga dan ditunggu-tunggu oleh mereka yang serius untuk melihat perubahan kepada negara.

Pendeknya sekarang sumbangan besar boleh diberikan kepada parti dengan tidak bergiat lagi dalam politik dan ia nampaknya pandangan dan cadangan ini begitu relevan baik kepada pemimpin kerajaan dan pemimpin-pemimpin  pembangkang.

Masalahnya pemimpin yang sudah jelas lemah dan bermasalah tidak begitu sudi untuk memberikan sumbangan secara begini. Mereka ini 'ibarat dedalu yang tumbuh subur di atas pokok yang lain'. Dedalu ini akan memakan segala apa yang ada pada pokok itu dan akhirnya pokok itu akan menjadi kurus dan mati akibat dipanjat oleh dedalu yang menghisap segala makanan yang sepatutnya digunakan untuk pohon yang besar tadi.

Baik dalam PR mahu pun BN, pimpinan mereka adalah pokok dedalu yang dalam bahasa biasanya ialah ‘parasite’. Dedalu ini pasti akan membuatkan pokok yang dihinggapi dedalu itu akan mati. UMNO menjadi begini kerana pimpinan dedalu, Pakatan Rakyat pun sarat dengan dedalu yang membunuh ini.

Salah satu dari penyebab Khalid menjadi begini ialah kerana beliau terlalu kedekut dan amat payah bagi dedalu-dedalu dikelilinginya untuk menumpang hidup di atas kuasa PKR di Selangor itu.

Kata setengah orang dedalu dalam PKR itu adalah penghijrahan dedalu-dedalu dari UMNO dahulu. Dedalu-dedalu ini yang membuatkan kerajaan Selangor itu dipimpin oleh orang lain. Jika pimpinan ditukar mungkin dedalu-dedalu ini akan mempunyai peluang untuk memanjat dan hidup di atas pokok yang rendang di Selangor ini.

Yang perlu dijaga ialah pokok yang rendang ini, seperti yang dilakukan oleh Khalid yang mempunyai imej tidak pandai berpolitik itu. “Jika terjadi pertukaran dengan calon dari PKR itu, kita akan lihat dengan pantas pertumbuhan dedalu-dedalu yang berkeliaran sekarang ini” kata seorang yang lama dalam politik Selangor semasa menghadiri majlis meraikan hariraya di rumah sahabat saya di Kuala Lumpur malam tadi.

24 August 2014

Minta rakyat buat keputusan, pilihanraya negeri adalah jawapannya

Keadaan di Selangor pada pandangan setengah pihak hanya boleh diselesaikan dengan pilihanraya negeri sahaja. Empat puluh tiga (43) kerusi yang disandang oleh Pakatan Rakyat ini adalah mandat yang diberikan kepada barisan aternatif ini semasa mereka bersatu dan se tangan dalam semua isu politik kita.

Dalam keadaan berkecamuk sekarang ini, untuk menumpukan kepada sokongan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri terhadap Wan Azizah itu bukannya kehendak rakyat, itu adalah kehendak pimpinan yang menggunakan mandat itu untuk berperang sesama mereka yang mendapat mandat itu.

Ini bukan isu perlembagaan dan undang-undang tubuh semata-mata, tetapi ia adalah isu untuk mendapatkan kepastian samada rakyat masih bersetuju dengan pemegang mandat ini berperang sesama sendiri. Rakyat memberi mandat dahulu bukan untuk mereka jatuh menjatuhkan di antara satu dengan yang lain.

Tetapi mereka mendapat mandat dahulu kerana rakyat tidak tahu semasa itu yang mereka ini, akan menggunakan kepercayaan rakyat itu sebagai senjata untuk menyembelih di antara satu dengan yang lain. Rakyat merasakan yang mereka tidak aman dalam pemikiran mereka semasa pentadbiran UMNO dahulu. Maka mereka membuat pilihan untuk menyokong calon-calon PR untuk memberikan ketenangan keadaan kepada negeri Selangor bukannya untuk mengeruhkan lagi keadaan.

Pakatan Rakyat boleh dapatkan surat sokongan dari ADUN-ADUN seramai mana tetapi rakyat belum tentu bersetuju dengan tindakan mereka itu. Rakyat perlu ditanya samada mereka bersetuju dengan tindakan itu. Cara untuk bertanya rakyat ini ialah untuk mengadakan undian melalui pilihanraya negeri sekali lagi.

Tanya rakyat sekali lagi jika mereka bersetuju dengan tindakan pimpinan yang mendapat mandat dahulu. Tanya rakyat samada mereka bersetuju dengan setengah pihak yang cuba untuk menekan Tuanku Sultan dan memaksa Baginda memilih calon mereka yang baru itu.

Tanya rakyat jika PAS diberikan sokongan dahulu ialah untuk bersekutu dengan yang bermain politik peribadi dan keluarga dalam PKR ini. Tanya juga rakyat samada mereka setuju dengan PAS berdolak-dalik sekarang ini.

Terlebih penting lagi cuba bertanya kepada rakyat samada mereka sekarang ‘bergumbira’ dengan permainan politik ‘hostile’ sesama sendiri ini? Tidak guna kita bercerita yang pihak ini mendapat 43 undi di Dewan Undangan atau mendapat dua atau berapa sekali pun. Semuanya itu adalah permainan politik di antara mereka yang telah menyalahgunakan mandat ramai dahulu.

PKR yang menghadapi masalah dalaman yang besar di setiap peringkat hasil dari pemilihan parti yang baru selesai ini, telah dikatakan akan kehilangan kerusi-kerusi penting. PAS juga akan merasakan keperitannya jika parti itu terikut-ikut rentak dan silat PKR di Selangor dan seluruh negara sekarang ini.

Tidak tahulah samada PAS sedar yang cita-cita untuk mendapatkan sebuah negara yang bersatu seperti yang diidamkan oleh PAS dan Pakatan Rakyat itu tidak akan tercapai selagi keadaan perpecahan yang tidak mempunyai cara untuk ‘mitigate’ masalah-masalah dalaman mereka (PKR).

Isnin ini, walaupun ramai yang tidak mengambil ‘pot’ terhadap apa yang akan diputuskan oleh mesyuarat PAS dalam penentuan isu MB Selangor ini, waktu untuk membetulkan keadaan masih terbuka untuk parti itu melakukannya. PAS wajar bertindak secara ‘decisive’ dalam isu ini.

Apa pun seperti yang disebutkan tadi, pilihanraya negeri wajar, kerana hendak bertanya kepada rakyat Selangor samada betul atau tidak apa yang dilakukan sekarang oleh PKR, untuk memilih MB baru. Kita hendak juga tahu samada rakyat Selangor bersetuju untuk mematahkan yang ada dan menggantikannya dengan yang baru.

Benar, patah tumbuh hilang berganti, tetapi adakah rakyat Selangor mahu mematahkan yang ada semata-mata untuk mengganti.

23 August 2014

Ibu Nurul lebih baik dari Khalid, ibu-ibu lain pula lebih baik dari ibu Nurul

“My mum is better than Khalid” kata Nurul Izzah Anwar kepada media dua hari yang lepas. Perasaan dan penilaian seorang anak kepada ibunya sememangnya begitu, kerana seorang anak yang baik tidak akan mengatakan ibunya kurang baik dari orang lain. Apabila ibunya disebut akan menggantikan Khalid, sudah tentulah beliau akan berpendapat ibunya lebih baik dari Khalid.

Saya sudah ketiadaan ibu lagi. Jika ibu saya masih hidup, tentu saya akan berkata yang ibu saya lebih baik dari Khalid, malahan lebih baik dari Wan Azizah atau Rosmah Mansor.

Apa tidaknya, sebagai ibu tunggal puluhan tahun lamanya dan hidup membesarkan anak-anak nun jauh di pedalaman, ibu saya boleh membesarkan anak-anak dalam keadaan serba serbi kekurangan dan akhirnya mempunyai puluhan cucu dan cicit.

Ibu saya boleh menghantar anak-anaknya kesekolah sampai ketahap yang termampu oleh anak-anaknya untuk pergi tanpa halangan walaupun dalam keadaan kekurangan sumber untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah dan keperingkat pengajian tinggi. Hasilnya saya dan adik beradik bolehlah membaca perlahan-lahan dan menulis sikit-sikit sekarang ini.

Ramai ibu-ibu yang lebih baik dari Wan Azizah jika didasarkan kepada keadaan kehidupan mereka yang kekurangan, telah berjaya menjadikan anak-anak mereka menjadi pemimpin dan orang-orang yang berjasa kepada negara. Ada anak-anak mereka yang ,menjadi ‘corporate captains’ dan ada yang menjadi pemimpin negara.

Abdul Ghaffar Baba seorang yang datang dari keluarga yang miskin, tetapi ibu dan keluarganya telah membesarkan beliau dan dengan izin Allah telah menjadi Timbalan Perdana Menteri yang ditumbangkan tanpa belas ehsan oleh Anwar Ibrahim pada November 1993 dahulu.

Sesungguhnya memang lebih ramai ibu-ibu yang lebih baik dari Khalid, kerana fungsi seorang ibu dengan Khalid seorang lelaki itu sememangnya berbeza. Khalid telah berjaya bukan sebagai seorang ibu dan wanita, tetapi Khalid telah berjaya membawa ke depan segala perkara dan niat tidak baik setengah pihak setelah diberikan mandat oleh rakyat.

Jika ditinjau dari sudut itu, ibu Khalid telah berjaya dan mungkin lebih baik dari ibu Nurul Izzah kerana membentuk beliau bersabar menghadapi situasi di mana beliau dicungkil segala kesalahannya untuk diturunkan dan dimusnahkan karier politiknya.

Ibu Khalid telah membentuk Khalid walaupun dengan kelemahan biasa sebagai manusia tetapi oleh kerana didikan ibu beliaulah yang membuatkan beliau berani dan bergaya menambahkan risab negeri ke tahap yang belum pernah dicapai oleh negeri Selangor.

Jadi, ibu Nurul Izzah dan ibu Khalid sememangnya lebih baik dari Nurul Izzah dan Khalid sendiri kerana kejayaan Nurul Izzah adalah kerana didikan ibunya dan kejayaan Khalid pula adalah di atas didikan ibu beliau juga.

Yang belum tentu lagi ialah kejayaan Nurul itu sendiri samada akan berjaya sebagai ibu kepada anak-anaknya seperti kejayaan ibunya membentuk beliau menjadi seorang pemimpin Dewan ‘Legislature’ negara.

Apa yang disebut oleh Nurul itu adalah satu yang biasa dan tidak jauh bezanya dengan kejayaan ramai ibu-ibu yang lain.

Hanya yang belum tentu ialah samada ibu Nurul ini akan berjaya membina satu kerajaan yang kuat jika ibunya ini dijadikan Menteri Besar negeri terkaya di negara ini. Sesungguhnya Nurul seorang anak yang baik dan solih terhadap ibunya.

Hanya yang menjadi persoalannya samada tindakan ibunya merampas kerusi dan jawatan secara ‘hostile’ itu akan menjadikan beliau sebagai seorang pemimpin yang tahan menghadapi risiko kepimpinannya setelah tercapai apa yang dihajati beliau itu.

Takut-takut semasa dalam keadaan sekarang semuanya baik, tetapi apabila sudah mendapatnya keadaan akan menjadi sebaliknya. Itu jugalah yang berlaku kepada Khalid yang telah diberikan imej ‘the best MB the nation ever had’ dalam sekelip mata dipanggil sebagai MB yang paling tidak bermoral.

Selalunya, sejarah itu akan kembali. Ingat satu perbilangan, ‘what goes around comes around’. Mungkin Nurul Izzah patut mengingatkan ibunya selalu tentang isu ini, kerana kita tidak boleh terlalu yakin apa yang kita lakukan terhadap orang lain itu tidak akan berlaku kepada kita sendiri.

Satu lagi yang Nurul mesti ingat, jika kita masuk bakul, kita tidak boleh mengangkat bakul itu sendiri. Biar orang lain yang angkat. Kalau kertas peperiksaan biar orang lain kasi markah, jangan sendiri beri markah, bukan gitu Nurul?

22 August 2014

Nak demo lagi ke?...cukup-cukuplah!

Shamsul Iskandar Mat Akin berkata Kongress PKR tahun ini merupakan Kongress terakhir bagi Anwar sebelum dipenjarakan yang berkaitan dengan tuduhan meliwat pembantu peribadinya. Mahkamah Persekutuan akan bersidang untuk menghakimi rayuannya terhadap ‘conviction’ 5 tahun penjara oleh Mahkamah Rayuan Mac lepas.

Shamsul berkata yang rakyat akan bangun menentang penghakiman itu dan beliau meminta hakim benar-benar adil dalam membuat penghakiman itu. Bagi beliau jika Anwar masih didapati bersalah, maka itu merupakan penghakiman yang tidak adil. Jika Anwar dilepaskan itu penghakiman yang adil. Jika boleh saya cadangkan jika ada caranya, biarlah Anwar sendiri menghakimkan rayuan beliau sendiri. Ia sudah pasti adil dipandangan Shamsul.

Shamsul membayangkan jika penghakiman itu mengesahkan Anwar ke penjara, rakyat akan marah dan gerakan reformasi akan berulang.  Itu sahajalah perjuangan PKR, untuk menyelesaikan masalah Anwar Ibrahim semata-mata. Selain dari Mahkamah Persekutuan tidak kita ketahui siapa dan apakah badan yang boleh dianggap oleh Shamsul adil untuk membicarakan Anwar ini.

Kalau semua keputusan mahkamah tidak betul, elok kita bertanya keputusan siapa yang betul? Walaupun Shamsul menafikan beliau menekan badan kehakiman, tetapi kenyataan beliau jelas itu adalah satu penekanan. Tidak siapa yang boleh memberikan ‘alternative’ kepada Mahkamah untuk mendapatkan penyelesaian undang-undang.

Tetapi apa pun, tekanan seperti itu tidak mungkin membangkitkan gerakan reformasi seperti dahulu.kerana rakyat tidak lagi berselera untuk memperjuangkan peribadi seseorang sehinggakan meletuskan kekacauan di kalangan rakyat kerana rakyat sekarang mahukan penyelesaian kepada kemelut negara, bukan penyelesaian untuk peribadi seseorang.

Semua tindakan kita itu ada hadnya kerana dengan membangkitkan gerakan reformasi itu melibatkan ramai manusia dan ia bukan lagi gerakan yang direstui oleh ramai. Rakyat mahukan keamanan dan sudah tidak mahu lagi terlibat dengan demonstrasi yang tidak akan memberikan apa-apa kebaikan, baik kepada individu, rakyat mahu pun negara. “Enough is enough” kata seorang penyokong PKR yang telah pernah terlibat dalam siri demonstrasi semasa gerakan reformasi dahulu.

Rakyat mahu memberikan fokus untuk perubahan dan transformasi dan tidak mahu lagi memikul beban dan menjinjing masalah peribadi. Rakyat mahukan perundingan secara politik dalam keadaan yang baik kerana melalui perarakan dan demonstrasi hanya memberikan padah kepada negara.

Sekarang adalah masa untuk semua pihak berunding dan memulakan ‘ambiance’ baru yang dikendalikan oleh pemimpin yang mempunyai kewibawaan untuk menyatukan semua pihak. Rakyat tidak mahu lagi pemimpin yang ‘solicit’ kuasa dan mandat secara kasar dan tidak berhemah kerana jika dilakukan secara ini pemimpin yang akan berkuasa tetap dari mereka yang tidak berhemah tinggi.

Rakyat tidak mahu lagi dibohongi dengan tuduhan 40,000 pengundi dari Bangladesh mengundi untuk satu pihak kerana setelah diketahui yang perkara itu adalah pembohongan, amat susah bagi rakyat pemilih untuk mempercayai pimpinan seperti ini lagi.

Itu pembohongan yang diketahui rakyat. Entah berapa banyak lagi rakyat telah dipesongkan dengan pembohongan yang masih belum dapat diketahui ramai. “The lies were real insult to us and we can’t digest the deceits” kata seorang guru yang telah mengasingkan banyak masa untuk bersama menggerakkan apa yang dikatakan pembaharuan oleh pihak ‘alternative’ itu semasa pilihanraya dahulu. “Sekarang mereka hendak membohongi kita lagi, dan nak minta kita berarak lagi di tengah panas terik itu” sambungnya lagi.

Kata perbilangan, ‘once a liar, he or she will remain a liar’.

21 August 2014

PAS, terhempas sebelum berlepas

Apakah yang akan dihasilkan jika masing-masing bercakap untuk menyejukkan pimpinan dan menyorokkan perasaan sebenar yang ada di dalam benak masing-masing? Kedua-dua pihak mempunyai nilai dan budaya yang sama, untuk memberikan ‘amusements’ terhadap pimpinan puak masing-masing.

Setelah Dr Mahathir membuat gerakan untuk meminta Najib dipersoalkan semua tindakan dan kelemahan beliau, maka ramai di antara menteri-menteri lantikan beliau (Najib) memberikan kenyataan dan memberikan berbagai-bagai alasan kenapa mereka mempertahankan Najib itu. Dan semuanya mengakui yang Dr Mahathir mempunyai niat yang baik untuk memberikan teguran itu.

Di sebelah pembangkang pula kenyataan ini boleh kita fahami dengan berlakunya kekecuhan di Selangor yang berkait dengan isu mengganti Menteri Besar dengan Wan Azizah. PAS yang begiru hebat dipandang rakyat, telah menjadi parti yang dipersoalkan ramai tentang kewibawaannya setelah berpusing ‘U’ selepas mesyuarat khas parti itu pada 17hb Ogos yang lalu.

Akhirnya PAS seolah-olah menjadi seperti ‘pussy’ yang rupa-rupanya boleh diurut tengkoknya dan terlentuk-lentuk dalam keputusan mereka. Parti itu menjadi parti yang sangat manja dengan rakan kongsinya di atas nama persatuan dan kesatuan, saling ‘asih mengasih’ diantara satu dengan lain diantara mereka yang menjadi ahli kepada kumpulan alternatif kepada kerajaan pimpinan BN sekarang ini.

Ternyata apa yang dirasai oleh ahli-ahli PAS dan orang ramai yang merasakan dekat dengan perjuangan PAS selama ini merasakan PAS begitu lentuk dan tidak boleh diyakini membuat keputusan yang tegas dalam masa yang terdesak. Akhirnya dalam isu Menteri Besar Selangor sekarang ini, Khalid bukannya yang kalah, tetapi yang mendapat kekalahan teruk ialah parti PAS.

Justeru itu, kita menyedari sekarang yang PAS secara tidak disedari oleh parti itu sendiri, pimpinan mereka bukan lagi bertuankan kepada pucuk pimpinan PAS, disebaliknya ramai diantara pemimpin PAS rupa-rupanya lebih memberikan ‘allegiance’  Anwar dan betul lah tuduhan setengah pihak yang PAS dipenuhi dengan apa yang dikatakan sebagai ‘Anwaris’ di dalamnya.

Itulah sebabnya selalu blog ini menyatakan yang jangan sekali-kali kita mengambil dengan cepat apa yang dilihat sebagai cantik dan molek, kerana mungkin ada kecelakaan di sebaliknya. Begitu juga jangan kita mencampakkannya dengan cepat apa yang kita lihat buruk dan berduri, kerana di sebaliknya mungkin mempunyai hikmah yang besar.

Maka ramai yang mempersoalkan samada mereka di dalam PAS itu yang meletakkan Islam sebagai asas perjuangan mereka itu, benar-benar terlandas di atas agama suci kita ini? ATAU mereka hanya sekadar ‘worshippers of God’ dan bukannya ‘servants of God’?

Jika mereka hanya setakat menjadi ‘worshippers’ maka PAS bukanlah ada perbezaannya dengan parti-parti lain dalam negara ini, dan mereka hanya bermain politik dan menggunakan nama Islam untuk kepentingan mereka. Dalam isu di Selangor sangat jelas kelihatan yang PAS juga bermain politik yang mengikut resmi air, ‘dimana lekuk di situ berhenti’. Terkepit sedikit terus tidak dapat hendak ‘menguet’.

Rupa-rupanya terlalu ramai didalam barisan pimpinan parti itu adalah pada hakikatnya ahli-ahli kepada PKR yang terlalu rakus untuk jawatan MB di Selangor sambil sanggup menghina pemimpin yang baru sahaja dipuji ramai itu. Sekarang segala usaha ditumpukan untuk mencari kesalahan seperti orang mencari 'kutu dalam rambut'.

Sekarang PAS yang mengakui sebagai parti Islam itu perlu melakukan usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat yang mereka bukan setakat ‘worshippers of God’ tetapi sesungguhnya mereka adalah ‘the servants of God’ dan melaksanakan Islam itu sebagai cara hidup atau yang disebut sebagai ‘addin’ itu.

Sesungguhnya menjinjing nama Islam itu adalah satu kerja yang amat berat kerana kesucian agama dan perjuangannya. Islam itu maha suci dan sememangnya jalan ke arah syurga itu penuh dengan duri dan onak, sedangkan menempuh jalan ke neraka itu adalah penuh dengan roti dan keju yang enak-enak.

Sesungguhnya PAS perlu ‘restart and redefine’ perjuangan mereka semula. Setakat ini perjuangan mereka telah ‘terhempas sebelum berlepas’. 

20 August 2014

Rakyat sedang tercengang-cengang di persimpangan, tak tahu nak ke mana

Dr Mahathir menyesal menggantikan Badawi dengan Najib, kerana beliau tidak menyangka yang Najib mempunyai prestasi yang lebih buruk dari penggantinya yang beliau belasah dahulu.  Bagi seorang seperti saya, pengakuan Mahathir itu sangat menggembirakan.

Saya gembira kerana pandangan saya selama ini Mahathir adalah pemimpin yang tidak pernah memilih penggantinya yang betul dikritik oleh ramai orang. Dari Musa Hitam kepada Najib, tidak seorang pun yang beliau menyokong sampai keakhirnya. Apa yang saya sebut ratusan kali selama ini adalah benar akhirnya.

Itu sebab tuduhan saya yang Mahathir adalah penyebab utama kepada kejatuhan kualiti kepimpinan negara semakin terserlah kebenarannya. Beliau pernah mengakui yang beliau tersalah pilih Abdullah Badawi dan sekarang ini beliau mengakui yang orang yang beliau sokong dan pilih untuk menggantikan Abdullah yang beliau menyesal memilih dahulu, mempunyai prestasi yang lebih buruk.

Saya bukan bercakap tentang Najib kali ini, kerana Najib itu tidak perlu dibincangkan lagi tentang isu beliau. Najib adalah ‘conclusive’ sebagai Perdana Menteri yang paling tidak berprestasi sekali dan beliau wajar diganti..

Jika ditinjau dari kalangan pimpinan tertinggi UMNO (Majlis Tertinggi UMNO), parti itu menghadapi masalah besar. Benar, Najib itu perlu diganti dan jika tidak diganti kita telah melakukan ‘disservice’ yang terlalu besar kepada negara. Tetapi masalah ini adalah yang terlalu ‘compounding’ apabila pada hakikatnya tidak ada seorang pun dalam barisan Majlis Tertinggi parti itu berkebolehan untuk memimpin waimma untuk menunjukkan kualiti kepimpinan yang lebih sedikit baik dari Najib sendiri.

Beliau tidak senang hati dengan Najib yang terlalu tunduk kepada negara jiran, dan ia tentulah Singapura yang dimaksudkan oleh bekas Perdana Menteri itu. Daripada tata-cara kata-kata Dr Mahathir itu, seolah-olah beliau akan beranggapan Anwar lebih baik dari Najib. Senang sahaja alasannya. Maksudnya jika Najib tunduk kepada Singapura, lebih baiklah lagi Anwar, kerana Anwar boleh terus berurusan dengan Washington secara terus.

Lagi pun Anwar sedang disokong oleh PAS dan Nik Aziz. Secara tidak langsung Anwar berjaya membawa PAS yang sentiasa dalam ‘sleep-walking’ itu, secara tidak disedari mereka menyokong agenda AS di negara ini secara tidak langsung melalui Anwar, dan Malaysia pula akan menjadi dalang AS melalui ketundukan Najib terhadap Singapura.

Itulah seolah-olah yang hendak disampaikan oleh Dr Mahathir. Saya tidak mahu menolak isu ini kerana tidak ada negara terutamanya negara kecil di dunia ini tidak ada permainan kuasa asing.

Pandangan Dr Mahathir tidak semestinya salah tetapi jika Najib itu perlu ditukar, Mahathir juga tidak mempunyai calon aternatif dikalangan barisan Majlis Tertinggi UMNO yang ada sekarang mempunyai ‘fitness’ untuk menggantikan Najib itu. Bukan sahaja Mahathir tidak mempunyai gantian kepada Najib, tetapi rakyat juga tidak dapat mengenal pasti siapa yang layak di kalangan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi itu.

Jika dulunya kita boleh mengharapkan pihak pembangkang untuk menjadi pilihan selepas ini, tetapi kalau ditilik dari prestasi dan sikap serta nilai pihak pembangkang sekarang, masalah yang sama yang kita sedang hadapi akan kita hadapi lebih cepat dan agak ‘instantaneous’ sebaik sahaja mereka menguasai Putrajaya itu.

Dikalangan parti-parti dalam pembangkang sekarang, walaupun telah menunjukkan mereka bersatu tetapi luka-luka dan pendarahan dalaman diantara mereka tetap wujud dan perlu pemeriksaan yang rapi.

Pendeknya apa yang diperkatakan Dr Mahathir itu mungkin mempunyai kebenarannya tetapi beliau juga perlu menerima hakikat yang beliau mempunyai saham yang besar dalam menjadikan keadaan sekarang berlaku dan tidak mungkin dapat diselesaikan dengan begitu mudah.

Kita perlu negara dengan siasah baru. Jangan jemu-jemu mendengar pandangan ini. Buang emosi dan campakkan sentimen peribadi ke tepi. Baru kita boleh melihat kewajarannya. Sesungguhnya kita sedang berada dipersimpangan, tercengang-cengang hendak ke arah mana.

19 August 2014

Setuju dengan Tun Mahathir, tetapi kali ini buat pilihan yang betul

Dr Mahathir menafikan yang beliau tidak menyuruh Najib berhenti, hanya beliau tidak bersetuju dengan dasar-dasar Najib yang tidak memberikan keuntungan dan kebaikan kepada negara. Semalam saya menulis tentang kelemahan tindakan Dr Mahathir sambil menyatakan yang jika Najib diberhentikan, siapa yang ada untuk menggantikan Najib dalam pemikiran dan pandangan Dr Mahathir. Saya juga menulis yang selama ini semua pilihan Dr Mahathir itu akan akhirnya dipersalahkan oleh beliau sendiri.

Saya menyebut itu kerana itu adalah hakikatnya, tetapi kenyataan yang beliau buat untuk menarik balik sokongan terhadap Najib itu tidak pula salah dan sememangnya Najib bertanggungjawab kerana beliau adalah a ‘failed leader’ kepada rakyat yang berbilang kaum ini.

Saya menyebut itu dengan tujuan untuk kita memahami kenapa kita sentiasa disuakan dengan pemimpin yang tidak betul dan kena kepada kehendak rakyat dan negara. Hanya setelah kita memahaminya barulah kita mungkin dapat mencari penyelesaiannya yang baik supaya keadaan menyalahkan pilihan kita sendiri itu berulang lagi.

Apabila berlaku lagi keadaan kita menyalahkan pilihan kita sendiri, ia bermakna itu bukan lagi kesalahan mereka yang telah dipilih, sebaliknya ia adalah kesalahan kita yang memilih pula. Jika kita terus memilih pilihan yang salah ia menyebabkan kredibiliti yang memilih itu tidak mempunyai nilai lagi dan pandangan mereka yang memilih itu akan diabaikan oleh rakyat buat selama-lamanya.

Tetapi hakikatnya sekarang Najib sesungguhnya wajar melepaskan tanggungjawab memimpin negara kerana kita seolah-olah tidak ada kerajaan lagi. Kerajaan tidak berjalan di atas landasan yang boleh dihormati dan diyakini oleh rakyat dan jika kita tilik dan kaji sehalusnya, negara kita sedang berundur dan akan menjadi negara seperti negara dunia ketiga yang selama ini sudah menghampiri dunia yang pertama.

Tidak payah diulangi apa yang sedang berlaku sekarang dan blog ini bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir. Apa yang perlu sekarang ialah untuk menerima hakikat yang Najib wajar berhenti kerana beliau sememangnya tidak mempunyai alasan untuk terus memimpin kita. Beliau sepatutnya bersara berbulan atau bertahun yang lalu dan keadaan sekarang memperkuatkan lagi alasan untuk Najib tidak lagi berada di Putrajaya itu kerana tidak ada apa yang akan dicapai selagi beliau berada di sana.

Kita sudah muak dengan sikapnya untuk menjadikan kita sebagai tentera upahan semata-mata menjaga beliau kukuh di Putrajaya dengan upah BRIM setahun sekali itu. Upah itu pun dibayar oleh kita sendiri dan tidak ada kena mengena dengan sumbangan peribadi beliau. Bayaran upah itu datangnya dari cukai-cukai yang dikutip dari rakyat jelata juga.

Keadaan negara kita begitu kucar kacir kerana perhubungan kaum yang buruk tidak dapat dikawal lagi  Najib menyebabkan kaum Melayu dijadikan umpatan dan kejian kaum lain bukan kerana apa, tetapi kerana kelalaian Najib mentadbir urus isu ini dengan tidak betul. Oleh kerana kelemahan Najib sekarang, kaum Melayu dipandang remeh oleh kaum bukan Melayu dan mereka sedang mengambil kesempatan yang ada untuk mendominasi segala-galanya di dalam negara ini.

Amat mudah bagi kaum bukan Melayu untuk memecahkan Melayu itu kerana mereka tahu Melayu sekarang dalam keadaan yang paling lemah dan mudah dipersendakan oleh kaum bukan Melayu. Oleh yang demikian ‘ultimate’ kita untuk mencapai perpaduan kaum itu sudah pasti tidak akan ke mana-mana kerana Melayu itu boleh dipecah-belahkan secara halus dan itu pun matlamat mereka.

Itu sebabnya sudah ramai orang Melayu tidak menyalahkan pertubuhan berhaluan kanan yang berikhtiar untuk mempertahankan ‘invasion’ kaum lagi terhadap orang melayu itu yang dilakukan oleh mereka semata-mata kerana kelemahan orang Melayu yang semakin jelas sekarang ini.

Tidak berapa lama dahulu kita mempunyai harapan untuk memperbaiki keadaan ini dengan kita mengambil tindakan politik dengan bersandar kepada pihak alternatif kepada pihak yang memerintah sekarang tetapi hajat itu tidak kesampaian kerana di pihak alternatif itu juga mempunyai kelemahan, malahan lebih lemah daripada yang kita ada sekarang ini. Ramai rakyat mulai sedar yang Pakatan Rakyat telah menunjukkan rupa dan keadaan di masa depan jika mereka diberikan mandat untuk menggantikan yang ada pada hari ini.

Orang Melayu mudah diperkotak-katikkan sehinggakan ada yang memuji pihak kerajaan alternatif sebagai terbaik semata-mata kerana pemberian peruntukan RM60 juta kepada Majlis Agama Islam negeri tertentu. Sesungguhnya peruntukan untuk Majlis Agama Islam itu bukan setakat RM60 juta, malahan mereka boleh membiayai Majlis Agama Islam itu sehingga ratusan juta kerana itu adalah cara yang boleh menambat hati orang Melayu tanpa memberikan kuasa atau bersama-sama menentukan hala tuju politik kita.

Mereka akan menentukan segala-galanya dan tidak boleh berbuat apa-apa kerana kita telah tertambat dengan peruntukan bagi Majlis Agama Islam yang RM60 juta itu. Pendeknya kita boleh dibeli dengan berumpankan peruntukan yang besar tetapi mereka yang menentukan masa depan kita. Dalam konteks ini kita sesungguhnya telah memajakkan jiwa dan siasah kita kerana peruntukan RM60 juta itu.

Sikap menerima wang pajakan itulah yang menyebabkan Kedah kehilangan Pulau Pinang dengan pajakan RM10 ribu setahun selagi ada bulan dan bintang dan Johor kehilangan Singapura dahulu. Sekarang dengan kepimpinan sejak beberapa dekad dahulu apabila sudah tiada apa yang hendak dipajakkan kita sekarang sanggup memajakkan jiwa raga kita kepada si pemajak yang rakus di sekeliling kita.

Maka yang paling penting ialah untuk membuat pemilihan yang betul kali ini. Jangan kita membuat pilihan kerana mengharapkan keuntungan peribadi dan ego kita. Yang terpenting ialah untuk mencari kepimpinan yang boleh menyelamatkan negara kita.

Tidak guna kita mengalih dan menganjak yang ada jika penggantinya adalah seorang yang lemah dan tidak berkemampuan. Ia memerlukan seorang yang ‘credible’ yang terbukti tidak mempunyai masalah dengan yang ada hari ini mahu pun dengan yang membangkang. Negara kita ini kecil tetapi cukup luas untuk ditadbir. Buat masa kini kita hanya menumpukan masalah yang kita lihat di Semenanjung ini sahaja tetapi kita agak terlupa yang kita mempunyai wilayah nun di Malaysia Timur yang tidak kurang masalah yang menghantui mereka sekarang ini.

Mereka juga memerlukan penyelesaian yang adil dan saksama.

18 August 2014

Sekarang Dr Mahathir pula bersuara lantang mengkritik Najib

Masalah bukan sahaja dihadapi oleh PR dan PKR serta PAS. Seperti biasa masalah besar juga yang dihadapi oleh Najib, Perdana Menteri kita yang suka membeli hati dan jiwa rakyat dengan wang ringgit yang sejemput itu. Najib tidak terjumpa dengan penyelesaian untuk mentadbir negara kita.

Terakhir sekali Dr Mahathir telah membuat deklarasi yang beliau menarik balik sokongan beliau terhadap Najib untuk terus memimpin negara ini. Sesungguhnya Dr Mahathir sudah terlewat untuk bercakap kerana nasi sudah menjadi bubur. Sekarang kita rakyat biasa makan bubur sahaja kerana bubur tidak boleh dijadikan nasi.

Dr Mahathir mengakui yang Najib lebih buruk ‘performances’nya daripada Abdullah Badawi yang beliau pilih untuk menggantikan beliau yang akhirnya beliau kritik dan tumbangkan itu.

Mahathir berkata Najib terlalu tunduk kepada tuntutan musuh-musuh yang hendak mengorbankan UMNO dan BN. Najib, katanya sungguh lemah dan tidak dapat mencari formula untuk menjadi PM yang baik.

Tetapi apa tindakan Dr Mahathir sekarang? Adakah Dr Mahathir mempunyai calon gantian kepada Abdullah, seperti PR sedang tercari-cari gantian kepada kepimpinan Khalid Ibrahim di Selangor? Setidak-tidaknya Anwar di pihak Pakatan Rakyat telah berjaya untuk mencari pimpinan gantian kepada Khalid, iaitu isterinya sendiri. Anwar tidak tunduk kepada tuntutan mana-mana pihak, termasuk PAS, dan beliau telah berjaya ‘mengembilikan’ parti islam itu dan beliau boleh perlakukan apa sahaja kepada PAS melalui agen-agennya dalam PAS itu sendiri.

Tetapi untuk memilih gantian dengan cadangan Dr Mahathir pun bahaya juga, kerana semua pilihan Dr Mahathir tidak pernah pilihan yang betul. Mula-mulanya beliau pilih Musa Hitam, tetapi Musa Hitam tidak betul kepada beliau. Selepas itu pilih Ghaffar Baba tetapi akhirnya Ghaffar Baba tidak layak untuk meneruskan hasratnya hendak menjadi pengganti beliau.

Dipilihnya Anwar dan meminta Anwar menggugurkan Ghaffar, tetapi apabila Anwar menjadi Timbalannya, beliau dapati Anwar telah melakukan kerja yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pemimpin Islam katanya. Anwar pula telah didapati sentiasa melakukan ‘insubordinations’ terhadap pimpinan beliau, maka Anwar ditendang dengan alasan yang beliau tahu dari awal lagi.

Sesudah itu Abdullah Badawi menjadi ‘pelapik’ beliau dan akhirnya pelapik beliau ini juga menjadi sasaran beliau dan akhirnya pelapiknya itu berhenti dan bersara. Selepas Abdullah, beliau gunakan Muhyiddin untuk menaikkan Najib sehinggakan Muhyiddin berani untuk bersikap kurang ajar kepada Abdullah. Maka Najib jadilah Perdana Menteri.

Sekarang baru beliau sedar Najib lagi tidak berguna kepada beliau dan juga kepada negara. Beliau telah menarik balik sokongan terhadap Najib, tetapi jika kali ini kita mendengar cadangan siapa yang akan beliau mahukan untuk mengganti Najib, rakyat mesti berfikir ratusan kali kerana mengikut apa yang kita alami dengan pilihan Dr Mahathir, siapa yang menjadi pilihan beliau akan menjadi pemimpin yang tidak berguna lagi.

Pendeknya, siapa yang ditunjuk oleh Dr Mahathir sudah pasti pilihan yang salah. Itulah formula penting dalam pemilihan siapa yang hendak menggantikan Najib.

Mahathir selama beliau memimpin parti tidak pernah mahukan sesiapa yang berkepimpinan bersama beliau. Beliau hanya membina kumpulan yang asyik untuk mendapatkan kuasa untuk menjadi ketua-ketua dalam semua pertubuhan tetapi yang tidak berkepimpinan.

Akhirnya inilah yang kita warisi.  ‘Ism’ Dr Mahathir sekarang juga jelas dalam Pakatan Rakyat kerana PR itu dipimpin oleh orang yang terdidik dari kepimpinan beliau dan Anwar itu terbentuk dalam acuan Dr Mahathir sendiri. Itu sebabnya Dr Mahathir dan Anwar itu adalah dari acuan yang sama. Apa yang terhasil dari kepimpinan Dr Mahathir, itulah yang akan terhasil dari kepimpinan Anwar.

Itulah hasilnya seperti yang kita lihat berlaku di Selangor sekarang. Itu belum lagi kita jengah apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak. Keadaan di sana pun teruk juga dan ianya bersabit dengan kelemahan pimpinan Persekutuan juga.

Malahan tidak ada tempat yang tidak bermasalah di negara ini. Tidakkah Dr Mahathir terasa yang penyebabnya datang daripada hasil politik beliau sendiri?

Seperti ikan mati, 'PAS is swimming with the flow'

Saya tidak mempunyai masa semalam untuk menulis kerana meraikan jemputan beberapa orang rakan dan sahabat rapat saya untuk jamuan hari raya. Penat dan kekenyangan kerana menjamah terlalu banyak juadah-juadah enak yang jarang-jarang saya rasa. Saya tidak dapat memberikan komen yang panjang kerana semua telah diketahui umum semasa saya sampai kerumah.

PAS telah bermesyuarat seperti yang dijadualkan dan telah mengambil ketetapan untuk bersama Pakatan Rakyat dan menerima hampir kesemua yang dikehendaki oleh Anwar dan PKR. Parti Islam itu telah membuat sedikit perubahan dengan mencalonkan Azmin Ali sebagai calon tambahan untuk menjadi Menteri Besar menggantikan Khalid Ibrahim.

Namun keputusan memberikan nama tambahan itu hanya mempunyai nyawa selama beberapa jam sahaja kerana ‘Presidential Council’ Pakatan Rakyat yang bermesyuarat petang semalam telah mengambil keputusan untuk mengekalkan Wan Azizah sebagai calon tunggal bagi Pakatan Rakyat. Ia bermakna PAS sendiri kenbali bersetuju dengan pencalonan tunggal Wan Azizah itu.

Sekarang ini yang ramai bercakap yang saya dengari bukan lagi isu Khalid Ibrahim, tetapi isu PAS yang nampaknya jelas telah kehilangan kredibilitinya setelah bermesyuarat dan mengambil keputusan. Pendeknya PAS telah bersetuju seratus peratus cadangan PKR dan Anwar dan lagi sekali PAS dalam isu ini ternyata hanya sebagai pak turut sahaja.

Tetapi itu pilihan. PAS masih mahu bersama Pakatan Rakyat dan itu hak pemimpin mereka untuk mengambil sikap itu. Seperti yang saya katakan selalu dalam komponen sesebuah ‘coalition’ seperti Pakatan Rakyat mesti ada yang memerintah dan yang diperintah. Oleh kerana PAS mahu mengambil peranan sebagai parti yang menurut perintah, maka Pakatan masih utuh dipandangan ramai.

Sebenarnya yang tewas bukannya Khalid Ibrahim, tetapi PAS. PAS nampaknya agak berpecah dengan isu Khalid ini. Beberapa hari yang lepas saya terbaca surat terbuka Naib Presiden PAS, Husam Musa yang seolah-olah memukul anak sindir menantu terhadap parti yang beliau sendiri memimpinnya.

Beliau memarahi Khalid kerana menyeret PAS kedalam kancah kemelut di Selangor ini. Sebenarnya dengan surat terbuka itu ia dimaksudkan rasa tidak puas hati terhadap partinya sendiri kerana membuat ketegasan untuk mengekalkan Khalid sebagai Menteri Besar.

Tetapi itu tidak mengapa kerana PAS sudah kehilangan banyak dari ‘attribute’ asalnya. Dengan apa yang diputuskan oleh PAS dalam mesyuaratnya pagi semalam dan apa yang berlaku di mesyuarat ‘Presidential Council’ Pakatan Rakyat petang semalam, PAS nyata tidak mempunyai apa-apa ‘consequence’ dalam Pakatan Rakyat dan tidak lagi ada perbezaannya dengan PKR dan DAP, rakan-rakan kongsi mereka. tetapi itu kehendak pimpinan PAS maka kita mesti menghormatinya.

PAS mungkin sudah tidak mempunyai kudrat untuk mengekalkan identitinya sebagai sebuah parti Islam dan jika ada cara yang baik, elok PAS hentikan menempelkan Islam kepada batang tubuh parti itu. Keras PAS itu hanyalah keras kerak nasi sahaja.

Husam memberikan pandangan dari sudut pandangan beliau sahaja. Khalid bukannya pihak yang kalah sekarang ini. Yang kalah sebenarnya adalah PAS, dan itu juga adalah kerana kehendak dan kemahuan pimpinan mereka juga. Sesungguhnya jika kita perhatikan dari sudut yang lebih luas, sesungguhnya PKR dan Anwar lah yang mengeret PAS kedalam kemelut ini seperti juga yang dilakukan oleh Anwar dan PKR dari dahulu lagi.

PAS telah memikul beban Anwar begitu lama sedangkan Anwar hanya berihat kerana bebannya dipikul oleh PAS dan pimpinannya. Apabila PKR bermasalah, PAS lah yang dijadikan pendinding dan nampaknya PAS ‘gumbira’ melakukannya. Beban Anwar bukannya beban yang kecil tetapi mungkin Islam menuntut untuk bekerjasama dengan PKR dan Anwar itu dengan mengikut semua arahannya.

Tiada siapa yang boleh menolong PAS lagi kerana PAS nampaknya hanya parti alas kaki bagi rakan-rakan kongsinya. Bagaimana Haji Hadi merasakan keadaan sekarang ini tidak dapat kita ketahui. Majoriti jemaah kepimpinannya bertuankan orang luar dari parti itu.

Keadaan ini juga tidak pernah kita menyangka akan berlaku kepada PAS yang dahulunya kuat, tetapi sekarang umur mungkin menyebabkan parti itu bertambah lemah. Tetapi PAS jika ia tidak lagi relevan sekarang, ia tetap parti yang sudah berumur melebihi enam dekad.

UMNO dahulu hanya hidup selama 42 tahun sahaja kerana parti itu telah mati dibunuh dan didera oleh pemimpinnya sendiri. Kecenderungan PAS akan berada dalam ‘oblivion’ agak ‘imminent’, tetapi tidak pula dapat dijangka bila masanya akan tiba.

Sebenarnya PAS takut dengan gertakan setengah pihak yang mengugut yang PAS akan hancur jika tidak bersama Pakatan Rakyat. Setengah pula berpendapat yang Anwar semakin berjaya melemahkan PAS secara sistematik dan pada hakikatnya PAS tidak lagi berdiri diatas kaki sendiri. Anwar yang mengatur segala langkah PAS. Samada pandangan mereka ini betul atau sebaliknya, itu terpulang kepada interpretasi masing-masing.

Ramai yang tidak menyangka PAS itu sudah hilang nyawa dan jiwanya serta rohnya. Jika PAS ini sebagai ‘ikan yang hidup dilautan’ PAS tidak akan gentar dengan ugutan itu. ‘Ikan yang hidup dan berjiwa tidak akan masin jika dikeluarkan dari lautan yang masin dan luas itu’.

Hanya ikan yang mati sahaja ‘will swim with the flow’. Ikan-ikan mati ini jika direndam dalam air yang masin dan dijemur ia akan menjadi ikan masin kering dengan matanya luas terbuka.

Saya berharap sangat agar pandangan saya ini adalah pandangan yang salah...