31 December 2011

Tubuh besar, duit banyak, pangkat tinggi tetapi tidak sihat.

Saya telah dihubungi oleh ramai kawan-kawan dalam UMNO yang saya kenali sejak puluhan tahun dahulu bertanyakan yang saya akan menyertai DAP seperti yang dihebuh kan oleh akhbar milik UMNO semalam. Saya sendiri tidak membaca akhbar itu tetapi rakan-rakan UMNO inilah yang memberi tahu saya. Saya pun belum membuat apa-apa keputusan walaupun sudah hampir untuk membuat keputusan muktamad.

Kecuali seorang yang lainnya memberikan galakan untuk saya menyertai parti yang sinonim dengan transparency, rule of law, multiracial, ketelusan dan tidak ada isu rasuah besar serta tidak terlibat dengan menggunakan duit rakyat hampir rm 2 billion untuk menyelamatkan perniagaan anaknya yang gagal dalam perniagaan.

Ada yang berkata, “bro, saya mencemburui saudara kerana saudara bertegas dan berani berfikir di luar kotak. Saya belum lagi mampu untuk berbuat seperti you sebab maklumlah, saya masih berkhidmat dengan kerajaan. Tapi bro, ramai yang menyokong jika lebih ramai orang Melayu menyertai DAP sebab DAP telah berjaya membuktikan kemampuan untuk mengambil berat terhadap semua kaum macam dia tunjuk di P Pinang”

Seorang lagi pula berkata, “Kalau saudara menyertai DAP maka saudara dapatlah menghindarkan diri dari menjadi ahli parti yang terlibat dengan NFC, Air Asia dengan MAS, parti yang membawa imej Islam tetapi menggunakan wang zakat dan banyak lagi isu-isu yang tidak semenggah lain”

Seorang ahli yang betul-betul sedang bergiat memberi tahu, “Eloklah tu bang, Letih saya bang. Di kalangan kita sendiri bergaduh. Setengah membantai saya kerana kata mereka saya penyokong Khairy dan marah-marah kerana tak menyokong Mukhriz. Mereka mengatakan Khairy mesti di habiskan politiknya kerana kalau Khairy diberikan tempat, matilah politik Mukhriz. Bila saya dengar abang nak masuk DAP saya pun terasa kebenaran dengan apa yang abang beritahu saya berbulan yang lalu yang ahli-ahli UMNO menembak kaki mereka sendiri”

Sesungguhnya apa yang diperkatakan oleh mereka ini melambangkan keadaan sebenar yang berlaku dalam UMNO hari ini. UMNO begitu besar keahliannya, dan saiz keahlian benar-benar membunuh UMNO itu kerana ia membawa padah yang buruk terhadap parti itu.

Begitu besar jumlah keahlian UMNO tidak mampu memberikan hujjah dan penerangan yang baik kepada ahli-ahli mereka di cawangan-cawangannya. Akhirnya jutaan ahli-ahlinya telah menyeberang kepada parti lain di peti undi semasa pilihanraya umum yang lalu dan PRU yang akan datang ini.

Saya menyebut tentang keahlian ini kerana saya memang dari dulu menyatakan bahayanya parti yang mempunyai ahli yang besar. Dengan keahlian yang besar ia akan memberatkan parti diperingkat pentadbirannya dan akan berlaku pertembungan diperinkat cawangan yang banyak itu. Saya berpendapat yang dalam politik ini, ia merupakan ‘game of perception’ dan ia merupakan peperangan mental, bukannya peperangan bersenjata dua belah pihak.

Banyak parti-parti yang berjaya tidak mempunyai keahlian besar. Parti-parti ini menumpukan tenaga untuk membina dasar yang baik yang di hormati oleh rakyat yang mengundi. Parti-parti Republican, Democrat di AS dan parti-parti Buruh dan Conservative di England tidak mempunyai keahlian yang besar. Parti0parti ini telah memerintah dan mentadbir negara bergilir-gilir mengikut keadaan sewaktu pilihanraya. Parti-parti ini menawarkan dasar kepada rakyat dengan jelas. Kalau rakyat tidak bersetuju parti-parti ini bersedia untuk duduk dipihak pembangkang di dewan-dewan legislative.

Di negara kita DAP tidak mempunyai keahlian yang besar. Begitu juga PAS.Sebaliknya UMNO mempunyai keahlian seramai lebih dari 3 juta tetapi hasilnya tidak seberapa. Hasil yang besar yang UMNO perolehi hanyalah perpecahan dan perbalahan di antara ahli-ahli yang berebut jawatan.

Dengan keahlian yang besar maka cawangan bertambah. Apabila cawangan bertambah maka lokasi perbalahan di antara ahli pun bertambah dan lokasi-lokasi perpecahan itu adalah di cawang-cawangan di mana peti-peti undi itu berada. Oleh kerana keahlian terlalu besar maka mereka tidak mempunyai masa untuk membina pemikiran dan kepimpinan.

Oleh kerana UMNO berbangga dengan cawangan yang banyak maka UMNO hanya mampu menunjukan angka keahlian yang kebanyakannya hanya menjadi ‘parasite’ dalam UMNO. Penghujungnya yang akan timbul hanyalah sampah sarap dan yang baik-baik semuanya tenggelam dan tidak timbul-timbul lagi. Sekarang sampah sarap inilah yang turun naik ke Kuala Lumpur mengaku di sana sini sebagai calon ‘winnable’ untuk UMNO.

Pimpinan UMNO telah gagal untuk meyakinkan rakyat dalam semua dasar yang digubalnya. Rakyat mahu melihat dasar yang digubal itu dilaksanakan dengan baik, tetapi dasar-dasar itu tidak terlaksana dengan baik kerana ada elemen-elemen kepentingan peribadi mereka yang menggubal dasar itu sendiri seperti rasuah dan salah guna kuasa. Kalau rakyat berkeyakinan masakan UMNO seperti hidup mati tak mahu. Badan saja yang besar tetapi dalam badan yang besar itu ada banyak penyakit yang sudah sampai ke tahap ‘terminal’.

Keahlian yang besar sama seperti tubuh yang besar. Semasa muda bolehlah berjalan dengan baik, tetapi apabila sudah tua tubuh yang besar itu terpaksa berjalan dengan memakai tongkat dan kadangala terpaksa memakai kerusi roda. Apabila sudah berkerusi roda kita mesti akui, tidak ada di antara kita yang akan menjadi tangkas dan sesihat masa muda jika kita sudah mula memakai kerusi roda.

Dalam tempoh yang tidak berapa lama kita yang memakai kerusi roda itu akan dipanggil tuhan. Tidak ada orang yang sudah memakai kerusi roda akan menjadi kacak seperti Sharukh Khan dan Tom Cruise. Kita semua kena ingat perkara ini kerana kita ini bak kata orang utara, ‘pelan lama pelan tua’.

Apabila kita sudah jatuh sakit tidak ramai lagi yang akan memberikan tumpuan kepada kita. Mungkin adalah seorang dua yang selalunya sama-sama sakit datang menziarah kita. Orang yang sama-sama sakit, apabila duduk berbincang mereka tidak ada masa untuk bercakap tentang pembangunan dan politik besar lagi.

Masing-masing hanya ‘compare notes’, bertanyakan keadaan buah pinggang dan jantung atau pun tentang paru-paru. Masing-masing akan bertanya apa ubat untuk memanjangkan nafas yang sudah pendek atau pun untuk menghilangkan bunyi di lutut semasa berjalan. Itulah yang berlaku dalam UMNO sekarang. Di mana-mana ahli-ahlinya sendiri bercakap tentang betapa sakitnya parti yang mereka anggotai.

Kalau sudah begitu bilalah masanya untuk meruangkan masa untuk membangunkan ummah seperti yang di retorikkan siang dan malam itu. Hendak menjaga kesihatan tubuh sendiri pun sudah hilang kemampuan.

Walaupun banyak wang ringgit ia tidak boleh memberikan kita kesihatan lagi.

29 December 2011

Merdeka sudah, tapi jiwa masih terjajah

Rakyat sedang menghadapi terlalu banyak masalah yang berat akibat kelakuan dan sikap pemimpin kerajaan kita yang tidak mempunyai disiplin kepimpinan serta pemikiran. Sebagaimana yang telah selalu saya katakan masalah yang kita hadapi ini berpunca dari masalah kepimpinan negara.

Sekarang ini kepimpinan negara sedang menghadapi krisis keyakinan yang paling getir dalam sejarah kemerdekaan negara. Krisis ini sudah lama menular tetapi kerajaan dan parti yang memerintah masih boleh menyangkutkan kesinambungan kuasa yang dipegangnya melalui saki-baki sokongan dan kuasa yang masih berada di tangan mereka.

UMNO tidak lagi mempunyai kepimpinan yang jitu kerana akhir-akhir ini krisis keyakinan ini ditokok dan ditambah oleh isu-isu baru, kesemuanya berkait dengan salah guna kuasa dan rasuah. Tidak ada pertembungan di antara dua atau lebih dalam UMNO berkaitan dengan perjuangan. Semuanya kena-mengena dengan wang ringgit dan laba harta yang tidak berkesudahan.

Selepas isu NFC dengan Sharizat, timbul pula isu Awang Adek dan sebelum itu isu menteri yang menjaga agama yang tidak amanah menggunakan wang zakat untuk membayar kos guaman peribadinya. Sharizat pula menambah lagi dengan berkata tidak ada pemimpin dalam kabinet atau parti yang tidak bermasalah. Ini semua berlaku dalam beberapa minggu ini dan jika hendak diluruti sejarah satu dekat yang lalu timbul pula wang rakyat dan negara telah dilarikan keluar negara sebanyak RM1 trillion.

Sekarang ini kita tidak lagi menyebut jumlah yang berbillion. Kini kita menyebut jumlah kecurian yang berjumlah trillion-trillion ringgit. Masyaallah, rupa-rupanya negara kita negara kaya sehinggakan dalam tempoh sepuluh tahun sahaja sebanyak RM1 trillion telah dibawa lari ke luar negara oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kepada negara.

Bila berfikir tentang isu satu trillion ringgit yang dilarikan keluar negara ini, saya teringat kepada gerakan mencapai kemerdekaan negara dulu. Pemimpin-pemimpin kita dahulu telah berusaha untuk melepaskan negara dari cengkaman penjajah British. Tidak payah kita ulangi proses dalam mencapai kemerdekaan itu.

Tetapi apa yang hendak saya sentuh ialah salah satu matlamat penjajahan British dahulu ialah kerana British telah mengaut kekayaan negara kita untuk di bawa ke Britain dan Britain telah dapat membangunkan negaranya dengan menggunakan hasil mahsul tanah-tanah jajahannya termasuk Persekutuan Tanah Melayu.

Kita menuntut kemerdekaan dari British dan kita berjaya mendapatkannya. Setelah merdekanya negara salah satu yang pimpinan kita lakukan ialah untuk membawa kembali syarikat-syarikat perladangan, perlombongan serta semua syarikat-syarikat besar-besar ini yang telah mengalirkan sumber kekayaan negara kita ke Britain. Itu dasar kerajaan kita untuk mempastikan hasil mahsul negara berkisar di dalam negara ini.

Pada penghujung pimpinan Tunku A Rahman , dan seterusnya semasa pimpinan Tun Razak serta Hussein Onn pimpinan-pimpinan ini telah membawa masuk Tengku Razaleigh Hamzah sebagai arkitek dan pelaksana kepada proses mengembalikan harta kekayaan negara yang mengalir ke luar negara terutamanya ke Britain kembali ke negara kita dahulu

Semasa bangsa Melayu dan bangsa-bangsa lain di negara ini masih tidur lena dalam isu ini, Tengku Razaleigh dengan kebolehan teknokratnya telah membawa kembali syarikat-syarikat ini bermula dengan membawa balik Tradewind Bhd, Harrison and Crossfield yang sekarang ini di beri nama Golden Hope, Sime Darby (perladangan) London Tin (sekarang MMC) serta Guthries pada 7hb septembar 1981.

Kejayaan cemerlang Tengku Razaleigh inilah yang menyebabkan politik beliau dimalapkan oleh pemimpin yang cemburukan kebolehan beliau itu. Zaman itu jugalah zaman pemimpin berkelibar dalam UMNO dikuburkan oleh kerana keenakan kuasa yang sedang dirasakan oleh setengah pemimpin yang rakus dalam UMNO.

Itu usaha kerajaan kita dengan semangat kebangsaan pimpinan negara kita. Tetapi sejak itu kepimpinan negara tidak memberikan keutamaan kepada mengekalkan kekayaan negara kita untuk berada di dalam negara. Sebaliknya melalui kerja hina rasuah dan menyalah gunakan kuasa keadaan telah terbalik.

Sejak dari itu di atas nama membangunkan negara maka pimpinan kita telah membiarkan kegiatan merompak harta kekayaan negara oleh kaum kita sendiri dan sejak sepuluh tahun yang lalu, sebanyak RM1 trillion telah di curi dan dibawa keluar negara. Sebenarnya kerja ini telah berlaku sejak pertengahan pimpinan Mahathir pada penghujung tahun lapan puluhan dahulu.

Apabila kerja membawa ke luar negara wang dan asset negara ini, ia tidak ubah seperti tindakan penjajahan British dahulu. Bezanya hanya kalau zaman penjajahan orang Inggeris yang membawa kekayaan kita ke Britain, tetapi bemula dari pemerintahan Dr Mahathir kerja memunggah kekayaan negara ini keluar ini dilakukan oleh bangsa kita sendiri. Orang kita sendiri secara salah telah memunggah kekayaan negara kita keluar.

Oleh yang demikian kita sekarang seperti berada di zaman penjajahan dahulu. Harta kekayaan negara kita di sorok keluar negara dalam jumlah trillion ringgit. Kalau dahulu British membawa kekayaan negara kita secara sah melalui syarikat-syarikat gergasi ini, sekarang orang-orang kita yang menjadi kroni membawa wang dan kekayaan negara secara haram, Sejak 10 tahun dahulu sebanyak RM1 trillion telah di angkut keluar secara haram dan angka ini tidak termasuk angka bagi tahun-tahun sebelumnya.

Justru kita ingin bertanya, jika ini yang berlaku benarkah kita sudah merdeka? Kalau negara kita sudah merdeka kenapa wang kita sebanyak itu dicuri dan dibawa ke luar negara dengan cara yang salah ini. Nampaknya kalau dahulu kita dijajah oleh orang Inggeris kini kita dijajah oleh orang kita sendiri. Bukankah tindakan mencuri wang takyat dan negara ini merupakan tindakan pengkhianatan kepada negara?

‘Penjajah” Melayu inilah yang sedang menekan kita untuk terus menyokong mereka supaya mereka boleh meneruskan kegiatan haram mereka terhadap harta benda kita semua. Mahukah kita terus diperbodohkan terus menerus sebegini?

Sekarang ‘penjajah baru’ ini sedang melakukan apa yang cuba dilakukan oleh Malayan Union British dahulu terhadap kita semua. Bukankah orang Melayu tidak menerima cara Malayan Union ini?

Kalau dahulu Malayan Union di tolak oleh UMNO (asal) dahulu maka kita harus menolak pentadbiran ala ‘Malayan Union’ yang dilakukan oleh UMNO yang baru ini. Cara untuk melakukan penolakan ini macam mana?

Caranya ialah ABU! Bukan ke? Apa lagi cara lain? Kita hendak lakukan melalui UMNO juga? Tidak mungkin kan? Nanti ada yang kata kita tidak laku dan bangkrap politik pula.

DAN yang bercakap kita bangkrap politik ini adalah orang yang masih ‘bercabang kencingnya’….yang masih belum kenal yang mana tangan untuk menyuap nasi dan tangan untuk beristinja selepas membuang air besar.

Astagfirullah!!

28 December 2011

Di antara 'amal makruf nahi mungkar' dengan 'amal mungkar nahi makruf'

UMNO masih tidak mahu menerima yang etika kepimpinan merupakan nadi utama dalam penentuan jemaah kepimpinan itu boleh dipercayai atau pun sebaliknya. Jamil Khir Baharom, seorang lagi menteri yang menjadi masalah kepada UMNO. Satu demi satu segala kesalahan jenayah yang menjadi perkara biasa dalam UMNO itu keluar dan menjadi pengetahuan umum.

Yang terakhir selepas isu lembu NFC, timbul isu dua orang menteri yang berkelakuan tidak senonoh dalam kepimpinan. Yang menariknya seorang menteri yang berlatar belakangkan agama yang telah menyampaikan khutbah di tanah suci baru-baru ini telah menggemparkan orang Islam di negara kita ini. Beliau telah menggunakan wang zakat kepunyaan rakyat untuk membayar kos perundangan beliau dalam kes saman Anwar Ibrahim terhadap beliau dan dua orang yang lain dalam isu Qazaf baru-baru ini.

Orang yang mendakwahkan umat rakyat tentang agama ini telah melakukan jenayah, bukan sahaja kepada rakyat malahan terhadap agamanya sendiri. Saya tidak pula mendengar pemimpin DAP di Pulau Pinang menggunakan wang zakat untuk membayar kos perundangan, walaupun mereka lebih banyak melakukan sama pihak yang cuba memfitnah pemimpin DAP itu.

Sekarang ini nampak dunia sudah terbalik; pemimpin Islam menggunakan wang zakat untuk kepentingan peribadi pemimpinnya sedangkan DAP pula menambah peruntukan kepada majlis agama Islam P Pinang berlipat kali ganda jumlahnya. Bagi saya, pembongkaran satu demi satu isu jenayah yang dilakukan oleh pemimpin UMNO ini merupakan satu petunjuk yang meyakinkan kita bahawa, ‘bangkai gajah memang tidak boleh di tutup dengan nyiru’.

Sekarang bagaimana Jamil Khir hendak mendakwahkan kita rakyat untuk berbuat ‘amal makruf nahi mungkar’, sedangkan beliau melakukan perkara yang terbalik, iaitu, ‘amal mungkar nahi makruf’ pula. Mulutnya berbunyi Islam sedangkan perbuatannya melanggar kehendak tuhan. Memakan duit zakat serupalah seperti menzalimi anak yatim piatu. Ini kah jemaah yang menuduh orang itu orang ini dan parti itu parti ini anti Islam sedangkan perlakuan mereka ini menentang hukum Islam secara ‘head-on’.

Apa yang dilakukan oleh Jamil ini bukan perkara yang kecil. Jika benar beliau seorang yang tunduk kepada agama, etika kepimpinan wajar dihormatinya. Kalau seorang yang bukan Islam di England seperti Blanket boleh meletakkan jawatan semata-mata kerana mempercepatkan permohonan permit kerja’ amah’ kepada teman wanitanya, kenapa Jamil dan pemimpin Islam yang lain enggan menerima tata-cara agamanya yang suci ini? Jamil boleh tengok jika ada nas-nas yang membolehkan beliau termasuk ke dalam aznaf yang lapan itu.. Bolehlah beliau menerima wang zakat setiap tahun.

Sepatutnya Jamil Khir wajar meletakkan jawatan secara sukarela untuk menjaga imej dan maruah (jika ada maruah) kerajaan yang memerintah. Pendeknya apa yang berlaku sekarang ini menunjukkan yang memberi masalah kepada negara ialah kepimpinan dalam UMNO dan barisan.

BBMB (bekas bakal MB) Kelantan, Awang Adek, pun tidak terlepas dari menghadapi kecurigaan rakyat dalam waktu UMNO sedang menghadapi saat yang paling getir pada hari ini. Di mana lojiknya beliau mengatakan jumlah ratusan ribu wang yang di kreditkan ke dalam akaunnya itu adalah derma kepada parti? Entah mana satu pemimpin UMNO yang terlepas dari imej buruk ini dan rakyat sentiasa berfikir siapa kah hero yang bersih di dalam UMNO kini….tiada siapa. Oleh itu siapa yang boleh memberikan persepsi bersih untuk UMNO kalau keadaan sudah sampai keperingkat ini?

Takkan lah setakat ayat-ayat quran yang dibaca oleh Muhyiddin Yassin boleh menutupi segala kerja hina dan buruk ini dari rakyat. Kita mesti ingat, ayat-ayat quran itu hanya akan menjadi mustajab bergantung kepada siapa yang membaca dan mengamalkannya. Pemimpin yang membaca ayat-ayat quran ini adalah salah satu ‘proponent’ kepada kerajaan yang telah membiarkan negara kehilangan sebanyak RM1 trillion yang dilarikan ke luar negara sejak sepuluh tahun dahulu.

Rakyat sekarang sedang menghadapi masalah yang amat kronik: siapakah di antara yang memimpin kita dalam kerajaan persekutuan pada hari ini boleh diyakini untuk membina negara yang bersih dan bermaruah?

Selalunya UMNO dan penyokongnya yang dibayar itu akan mencarut dan memaki hamun dengan segala longgokan fitnah untuk mempertahankan mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

Berdayakah Najib dan pimpinan mengenepikan Sharizat? Saya rasa susah.

Isu Sharizat dan NFCnya masih tidak terlerai dan tidak ada apa-apa keputusan. Ia tidak akan terlerai dalam masa yang singkat ini kerana yang terlibat ialah seorang Menteri kabinet kerajaan persekutuan. Di Malaysia seorang menteri itu bukan senang hendak diketepikan kerana menteri itu merupakan orang yang sangat besar dalam masyarakat kita terutamanya orang kita Melayu ini.

Etika kepimpinan kita sangat rendah dan moral kepimpinan memang tiada. Lima tahun dahulu seorang ahli kabinet Britain, Blankett ,telah hilang jawatannya semata-mata kerana beliau telah mempercepatkan proses permohonan teman wanitanya untuk mendapatkan permit kerja untuk ‘maid’nya. Beliau telah dikatakan telah menggunakan kuasanya sebagai menteri bertanggungjawab kepada permit pekerjaan mempercepatkan pemohonan teman wanitanya yang memerlukan permit kerja untuk ‘maid’nya itu.

Apabila diketahui umum, maka beliau telah meletakkan jawatan kerana beliau telah bertindak secara tidak beretika dalam meluluskan permohonan permit itu. Itu sahaja sebabnya. Begitulah tingginya etika kepimpinan di negara itu.

Sebaliknya di negara kita perkara-perkara yang tidak beretika itu berlaku tanpa hadnya dan jika semuanya mengambil tindakan ke atas mereka yang melakukan kerja-kerja yang tidak beretika itu hari ini, tidak ada seorang pun yang kekal dalam Kerajaan Persekutuan pada hari ini.

Kes NFC dengan Sharizat tidak langsung menjadi apa-apa kepada Sharizat. Tetapi sebaliknya beliau masih berada di dalam kabinet sehingga hari ini, malah beliau telah menyatakan bukan beliau sahaja yang bermasalah dalam UMNO, semua menteri-menteri lain pun juga bermasalah. Maksud Sharizat itu jelas. Maksud beliau kenapa beliau sahaja yang hendak dimangsakan, bagaimana dengan yang lain? Saya tidak nampak Sharizat akan dikeluarkan oleh Najib dari kabinet kerana masing-masing ada rekod yang sama.

Jamil Khir, seorang Menteri yang bertanggungjawab terhadap agama telah terlibat dengan menggunakan wang zakat untuk membiayai kos guaman dalam saman Anwar Ibrahim dalam kes Qazaf, ketua umum PKR itu yang juga ketua pembangkang. Saya tidak nampak yang kes ini termasuk dalam aznaf yang lapan itu kerana beliau adalah seorang Menteri. Wang zakat hanya boleh digunakan jika ianya termasuk dalam aznaf yang lapan itu.

Kita tidak layak untuk menasihati Jamil Khir kerana beliau adalah seorang yang mengetuai agama dan dibanggakan oleh Najib kerana telah memberikan khutbah dalam bahasa arab mewakili seluruh umat Islam di musim haji baru-baru ini. Tetapi apa yang dilakukannya amat mengelirukan orang ramai. Apakah beliau mempunyai ‘immunity’ dari dosa dan noda kepada agama dan Tuhannya. Kalau pemimpin yang mengetuai agama melakukan kerja hina ini, pada siapa lagi dalam UMNO yang kita boleh yakini lagi?

Ini kah kumpulan pemimpin yang berucap dengan berlakon dengan hebat dengan mengatakan agama kita akan tercemar jika PR memerintah negara kita? Saya ingin memberi nasihat kepada Jamil Khir, dari saat ini janganlah kamu bercakap tentang agama lagi dan mengaku sebagai pejuang agama di dalam kabinet kerajaan pada hari ini. Mungkin ini semualah yang dikatakan oleh Sharizat yang tidak ada pemimpin yang tidak bermasalah itu.

Pada pertengahan tahun sembilan puluhan dahulu, Pemimpin Utama negara telah menggunakan wang rakyat untuk membiayai untuk melaksanakan ‘bail-out’ terhadap anaknya yang telah kerugian besar dalam perniagaannya. Jumlah wang rakyat yang digunakannya melebihi satu setengah billion ringgit. Sekarang ahli perniagaan itu telah membeli kilang arak yang terbesar di rantau ini di Filipina.

Sebelum itu Pemimpin Utama ini juga telah membuatkan Bank Negara kerugian sebanyak RM36 billion dalam pasaran wang antarabangsa. Saudara Nor Mohamad Yakcop yang ketika itu menjadi Ketua Jabatan Treasury Bank Negara telah melaksanakan urusan jual beli wang antarabangsa yang akhirnya telah merugikan negara sebayak RM36 billion. Akhirnya BNM terpaksa menjual harta bagi mengurangkan angka kerugian bank pusat itu dan BNM akhirnya telah mengumumkan kerugian itu hanyalah RM9 billion.

Nor Mohamad Yakcop akhirnya di lantik sebagai Penasihat Ekonomi kerajaan setelah melakukan tindakan yang merugikan negara itu dan sekarang ini menjadi Menteri Kanan dalam Kerajaan Persekutuan kita. Awal tahun lepas setiausaha politiknya pula tertangkap dengan tunai sebanyak RM2 million di rumahnya di P Pinang. Tetapi Nor Mohamad Yakcop masih di dalam kabinet persekutuan kita. Di mana kah etika kepimpinan kita? Apa semuanya ini?

Pemimpin ini selalu mengkritik orang Melayu kerana Melayu hanya mampu jika diberikan tongkat untuk berjaya. Katanya selalu, orang Melayu tidak pandai memajukan diri kalau tidak ada tongkat. Tetapi orang yang berfikir suka hendak bertanya, bagaimana dengan anak-anak beliau yang terpaksa menggunakan wang rakyat untuk merawat kegagalan dalam perniagaannya. Seperti yang saya sebutkan di atas tadi pengaruh politiknya dalam negara inilah yang membolehkan menggunakan berbillion ringgit wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaan anaknya.

Oleh yang demikian apa yang di sebut oleh Sharizat itu ada benarnya: tidak ada pemimpin UMNO yang tidfak bermasalah. Kenapa hanya tumpukan kepada isu beliau? Bezanya Sharizat dengan pemimpin lain yang sama rekodnya ialah, Sharizat tidak pandai menyorokan kesalahannya dan kesalahan keluarganya. Yang lain pandai menyorokan kesalahan mereka. Pak Lah pandai menutup apa yang beliau lakukan, Muhyiddin pandai menutupi apa yang beliau lakukan semasa menjadi MB Johor misalnya. Namakan yang lain dan pasti senarainya amat panjang. Tetapi mereka pandai menutupnya sedangkan Sharizat tidak pandai menutup perlakuan sumbangnya.

Itulah sebabnya susah bagi Najib atau sesiapa pun untuk mengambil keputusan tegas terhadap Sharizat. Masing-masing ada lubang besar untuk ditutup. Oleh kerana semuanya bermasalah maka tidak ada siapa di kalangan pimpinan boleh bertindak terhadap Sharizat dengan mudah. Kalau rakan-rakan dalam majlis tertinggi dan kabinet nampak kurap di badan Sharizat, Sharizat pun nampak juga perkara yang sama di badan rakan-rakan beliau dalam kerajaan kita. Itulah sebabnya Muhyiddin dan Khairy dengan pantas mempertahankan Sharizat semasa awal isu ini timbul. Sekarang Khairy dan Muhyiddin namapaknya diam sedikit tentang isu ini.

Yang boleh bertindak dengan mudah ialah rakyat. Jika rakyat yang bertindak, bukan sahaja Sharizat akan mampu di ketepikan malah seluruh jemaah yang menyeleweng semasa mentadbir kita akan dapat di ketepikan.

Rakyat kini mahu hidup dengan selesa tanpa dikelirukan oleh pihak yang memerintah. Cukuplah dengan apa yang dilakukan oleh BN khususnya UMNO selama ini.

Isu Sharizat ini merupakan cebisan dari cerita besar penglibatan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kita selama ini. Rakyat sudah terhidu semuanya. Sampai masanya terbongkarlah segala-galanya.

27 December 2011

Kuah ayam pun, rasa ayam juga - Lauknya biar pemimpin kita makan....baru aman negara

Pilihanraya sudah hampir tiba. Dalil-dalilnya semakin jelas. Pembahagian-pembahagian duit ratus-ratus ringgit seorang sudah mula dibayar. Walaupun pembayaran itu terlalu rendah untuk berkuasa dan mendapat pulangan yang berbillion bagi pemimpin-pemimpin yang berkuasa, itulah caranya UMNO hendak selamat kali ini. Walau bagaimana pun itu hanyalah usaha tetapi yang menentukan tetap rakyat.

Kalau dikaji dari jumlah yang dibayar kepada rakyat, dengan jumlah sebanyak 1 trillion ringgit yang dilarikan oleh setengah pihak yang berkuasa atau pun kroni pihak yang berkuasa jumlah itu terlalu kecil: ibarat sebesar tahi gigi sahaja.

Lagi pun yang dibahagi itu adalah duit rakyat sendiri, duit pembayar cukai dan bukannya duit UMNO atau pun BN. Yang dibawa lari sebanyak 1 trillion ringgit keluar negara sejak 10 tahun dahulu pun adalah wang yang di curi dari rakyat. Semuanya rakyat yang punya.

Saya sempat berjumpa dengan ramai orang yang bertanya tentang RM500 dan bantuan sekolah RM100 yang dihebohkan oleh media setiap malam melalui TV3 itu. Rata-rata memberikan pandangan yang itu merupakan satu pembelian undi dan sokongan. Rupa-rupanya rakyat kita ini adalah terlalu murah pada pandangan pimpinan kita.

Ada juga yang mengatakan yang mereka hanya mendapat kuah sahaja tetapi ayam dan dagingnya di belasah oleh mereka yang berkuasa dan kroninya. Ada yang mengatakan kepada saya yang mereka hanya mendapat kuah kerana mereka menilai kita hanya setakat nilai kuah ayam sahaja.

Tetapi saya mengatakan, tak apalah dapat kuah sahaja. Selama ini pun tuan-tuan makan kuah sahaja. Biarlah lauk ayamnya mereka yang sental. Dah kita ini layaknya hanya setakat menghirup kuah sahaja, nak buat macam mana.

Mereka (pemimpin) hanya mahukan kita makan kuah sahaja dan tak lebih dari itu. Mereka mengatakan kalau makan dan menghirup kuah ayam, kuah itu rasa ayam juga. Asalkan dapat rasa ayam itu cukuplah. Kalau kita hirup soup kambing sahaja, soup itu pun ada rasa kambingnya. Cukuplah setakat itu.

Ayam dan kambing serta lauknya bukannya untuk kita. Itu untuk pemimpin-pemimpin dan kroni-kroni mereka sahaja. Rakyat mesti sedar kenyataan ini. Kita mesti sedar yang rakyat hanya mendapat kuah ini adalah kehendak rakyat sendiri. Bukankah rakyat yang membiarkan mereka makan lauk dan kita semua makan kuah. Itu pilihan rakyat juga selama ini.

Kalau rakyat hendak makan lauk selepas ini, usaha itu mesti dilakukan oleh rakyat sendiri. Rakyat terpaksa ketepikan mereka yang ‘kuat makan’ ini. Cara untuk mengenepikan mereka yang ‘kuat makan’ ini rakyat sendirilah yang patut berfikir. Pilihannya luas terbentang. Tepuk dada tanyalah selera.

Tetapi kalau rakyat tidak berbuat sesuatu, itu sahajalah yang kita dapat selalu…..RM500 semasa undi rakyat diperlukan.Mereka (pemimpin) masih berfikir yang rakyat sudah selesa dengan makan kuah sahaja.

Kok tak dapek makan isi (lauk) dapek kuah pun cukuplah…..kuah ayam pun rasa ayam jugak kan!! Lauk yang sedap-sedap tu biar pemimpin-pemimpin kita makan, kerana mereka 'kuat makan'.

26 December 2011

UMNO selepas PRU : adakah UMNO akan jadi seperti George Foreman?

Di mana-mana kita pergi kita kedengaran orang ramai bertanya di antara satu dengan lain. Pertanyaan wajib apabila mereka bertemu ialah, bila pilihanraya akan di adakan. Saya pun selalu juga ditanya soalan itu dan saya memberikan jawapan yang standard: bila BN akan kehilangan kuasa. Maksud saya bila-bila pun boleh tetapi keputusannya ialah UMNO dan BN akan hilang kuasa. Itulah dia tarikh pilihanraya umum.

Saya yakin yang UMNO itu akan akhirnya menghadapi realiti yang masa untuk parti ini berehat sudah semakin hampir tiba. Seperti orang yang bermain gasing; sudah tiba UMNO untuk mengambil giliran untuk memusing dan orang lain pula yang memangkah mereka. UMNO sudah memangkah begitu lama, kali ini biarlah orang lain pula untuk memangkah.

Apa yang UMNO patut membuat perkiraan, di antara 56 kerusi yang mereka menangi di Semenanjung ini berapa yang mereka masih mampu untuk mengekalkannya dan di antara 13 kerusi di Sabah berapa pula jumlah kerusi yang UMNO boleh kekalkan berada dalam tangan mereka. Bagi kerusi-kerusi MCA dan Gerakan serta MIC rakyat sudah membuat keputusan lebih awal sebelum pilihanraya sebenarnya di adakan. Patah-patahkan jari, kiralah sendiri.

Sabah dan Sarawak merupakan tempat pertarungan hebat politik selepas ini. Cerita Sabah dan Sarawak menjadi ‘fixed deposit’ BN sudah berlalu dibawa angin yang lalu. Rakyat di kedua-dua buah negeri ini nampaknya dengan deras sedang melakukan perubahan selepas menjalani ‘soul searching’ sejak beberapa ketika dahulu.

Di seluruh negara samada di Semenanjung mahu pun di Sabah dan Sarawak angin untuk membawa perubahan itu sudah mula bertiup kencang dan tidak mudah untuk mengalihkan arah tiupan angin itu. Pendeknya perubahan itu akan tetap berlaku kerana angin itu semakin hari semakin kencang tiupannya.Apabila saya memikirkan nasib UMNO dan sekutu-sekutunya, saya teringat pula kepada pertarungan tinju di antara Muhammad Ali dan George Foremen lebih dari dua dekad dahulu.

Dalam pertarungan itu George Foreman telah jatuh kalau tidak silap saya dalam pusingan yang ke-lima. Apabila Foreman kalah dan jatuh secara knock out itu, media telah membuat interview dengan Foreman. Pemberita sukan telah bertanya kepada Foreman kenapa beliau tidak bingkas bangun setelah dijatuhkan oleh Muhammad Ali, Foreman menjawab, “Saya tidak boleh bangun lagi kerana saya tidak pernah jatuh rebah”

Adakah UMNO akan menghadapi nasib seperti George Foreman? Saya tidak tahu jawapannya. Kita tengok sahaja apabila sampai waktunya. Saya bukan seorang wali atau aulia untuk memberikan jawapannya. Jika saya tahu pun jawapannya biarlah jawapan itu berada di dalam benak saya sendiri.

Tetapi saya pernah menulis dan membuat anologi yang ahli-ahli UMNO itu ibarat ayam daging peliharaan. Ayam daging jika dilepaskan di luar kandang mereka tidak boleh mencari makan sendiri dan akhirnya menjadi kurus dan mati. Ayam daging ini tidak ada kerja lain selain dari mematuk makanan siang dan malam yang diberikan oleh tuannya. Apabila sudah sampai 40 hari ayam ini menjadi gemuk dan akan di bawa dengan lori untuk disembelih dan dagingnya akan dijual di pasar-pasar di seluruh negara untuk dimasak kari dan kurma serta rendang tetapi dagingnya lembik dan cepat hancur.

Tetapi ahli-ahli PAS dan pembangkang yang lain, mereka itu ibarat ayam kampung, mampu mengutip dan mencari makan sendiri. Itulah sebabnya dagingnya mahal….sekarang ayam kampung harganya RM13 sekilo…..itu pun harga sebelum di sembelih dan di bersihkan. Ayam kampong ini tinggi nilainya.

Tunggu dan lihat sahaja samada UMNO akan menjadi seperti peninju George Foreman dan menjadi seperti ayam daging tadi.

25 December 2011

Mestikah kita berterima kasih kepada perompak yang merompak kita?

Saya rasa sangat terpanggil untuk menulis tentang apa yang diperkatakan oleh pemimpin kerajaan BN yang tidak lepas dari menggunakan isu ‘mengenang budi’ sebagai modal kempen. Modal ini telah dijual kepada rakyat dari dulu sampailah sekarang, apatah lagi dalam situasi BN dalam keadaan defensif sekarang ini.

Tentunya ini merupakan modal terbesar yang masih tinggal kepada UMNO terutamanya dan masih ada di antara pemimpinnya yang menyatakan bahawa sesiapa yang berfikiran yang berlainan dengan pemikiran pimpinan UMNO itu adalah mereka yang tidak mengenang budi. Berbagai-bagai budi yang UMNO telah taburkan, kata mereka. Pelajaran anak-anak, sampailah kepada subsidi gigi palsu kepada orang yang gigi yang sudah ‘kelompong’. Kalaulah tidak ada UMNO, kepada mereka ramai rakyat yang ‘kelompong’ giginya.

Kita mesti faham asas pembentukan sebuah negara seperti negara kita ini. Kita mengambil demokrasi sebagai cara rakyat memilih siapa yang mereka hendak berikan mandat itu. Memberikan undi kepada mana-mana pihak itu merupakan satu tanggungjawab yang asas dalam demokrasi. Asalkan parti-parti yang menawarkan kepimpinan itu adalah parti-parti yang halal disisi undang-undang negara, kita boleh memberikan undi kepadanya. Setakat ini hanya parti komunis Malaya sahaja yang telah diharamkan dan tidak boleh mengambil bahagian dalam pilihanraya di negara ini.

Saya memilih untuk menulis isu ini kerana ada seorang dua yang menulis email kepada saya dengan bahasa yang baik dan sopan supaya saya mengingati jasa-jasa UMNO dan terus sahaja menyokong parti itu. Saya menghormati pandangan mereka ini dan saya telah pun memberikan jawapan kepada mereka berdua ini juga dengan bahasa yang baik dan tertib, selari dengan adat serta adab sopan sebagai seorang Melayu.. Melayu ini sebenarnya adalah bangsa yang lembut budi bahasanya.

Itulah sebabnya saya tidak memandang sebelah mata kepada mereka yang bercakap kasar dan menggunakan bahasa kotor dan jelek apabila bersalah-salahan dalam satu isu yang berbangkit. Perkataan kotor-kotor yang terhambur dari pihak UMNO dan penyokong-penyokongnya ini lah yang membuatkan ramai rakyat di atas pagar mengambil tindakan memberikan sokongan kepada pihak alternatif yang di hina dengan tiada perinya ini.

Mereka mengambil sikap dan kelakuan penyokong UMNO ini sebagai alasan dan penyebab mereka tidak berminat untuk bersama UMNO lagi. ‘Attribute’ dan sikap Melayu itu sudah tidak ada lagi kepada penyokong-penyokong UMNO kini. Sikap dan perlakuan mereka terlalu ‘un Malay’. Mereka terlupa yang bahasa itu adalah jiwa kepada bangsanya.

Sesebuah negara yang berkerajaan mendapatkan sumber kewangan untuk memerintah itu datangnya dari rakyat. Rakyat yang membayar pihak yang memerintah itu melalui cukai pendapatan, cukai tanah serta cukai excise serta jualan dan bermacam-maca lagi sumber dan kesemuanya adalah dari rakyat.

Ahli-ahli Legislatif serta pegawai-pegawai awam dibayar gaji oleh rakyat. Semua perbelanjaan kerajaan dan kakitangannya dibayar dari wang rakyat. Seperti di negara kita cukai pendapatan di kutip dari semua yang mempunyai pendapatan tidak kira mereka itu ahli UMNO, DAP, PKR, PAS atau mana-mana parti sekali pun.

Sekarang ini rakyat telah memberikan mandat kepada UMNO dan BN untuk memerintah. Gaji menteri-menteri UMNO dan BN dibayar oleh rakyat. Pemimpin-pemimpin UMNO ini ditugaskan untuk memerintah dan mentadbir negara dengan baik dan jujur. Tetapi sekarang mereka yang diberi mandat ini telah banyak menyimpang dari tanggungjawab mereka kepada negara.

Saat ini UMNO sedang menghadapi pertarungan yang sangat sengit dalam sejarahnya. Orang Melayu termasuk ahli-ahli UMNO sendiri sudah mula dengan deras meninggalkan UMNO ini dan pemimpin UMNO mula lah memberikan segala janji-janji yang sama sejak dulu sampai lah sekarang, iaitu agenda Melayu. Sampai sekarang UMNO hanya punya agenda Melayu tetapi tidak mampu melaksanakannya. Melayu terkebelakang juga.

UMNO terus memaki hamun siapa yang tidak sebulu dengannya dan yang tidak dapat di tinggalkannya ialah sifat mengungkit-ngungkit dengan apa yang telah dilakukannya terhadap negara. Mereka memaki hamun kononnya yang tidak menyokong ini adalah mereka yang tidak berterima kasih. Tetapi hakikatnya mereka tidak berterima kasih terhadap rakyat yang telah memberikan mereka mentadbir negara selama ini.

Menteri-menteri dibayar gaji oleh rakyat termasuk Perdana Menteri. Begitu jugalah MB MB setiap negeri serta semua ahli-ahli lagislatif itu dibayar gaji dan kemudahan oleh rakyat. Rakyat membayar gaji dan kemudahan itu ialah untuk mereka mentadbir negara dengan baik. Jangan rasuah, jangan menyalahgunakan kuasa dan tidak berdisiplin.

Kalau jadi menteri jangan gunakan kedudukan untuk mempengaruhi kerajaan untuk membiayai projek suami dan anak-anak dengan begitu besar secara mudah. Jangan gunakan wang itu untuk membeli perkara-perkara yang tidak kena-mengena dengan tujuan pinjaman itu di berikan. Ikut undang-undang yang telah digubal dengan baik itu. Jika undang-undang kata tidak boleh jadi Pengerusi Koperasi jangan rampas kedudukan mereka yang layak duduk di situ sekian lama.

Hormati rakyat tanpa mengira fahaman politik. Kalau telah menandatangani perjanjian royalty minyak dengan negeri-negeri berdaulat dalam persekutuan itu kita mest tunaikan janji itu. Jangan dipermain-mainkan rakyat yang telah lama bersabar melihat tahap kelakuan pemimpin yang terlalu buruk itu.

UMNO mesti faham pembiayaan pembangunan negara itu dibiayai oleh pembayar cukai termasuk cukai dari ahli-ahli pembangkang. UMNO hanya menguruskan serta membuat perancangan untuk membangunkan negara dan rakyat telah membayar gaji mereka setiap bulan.

Kalau dah begitu apa pasal UMNO sentiasa meminta rakyat berterima kasih kepada UMNO sedangkan pemimpin-pemimpin UMNO dalam kerajaan itu telah dibayar gaji dan upah mengurus negara oleh rakyat.

Oleh kerana salah laku pemimpin UMNO itulah yang menyebabkan ramai yang tidak lagi bersama parti itu dan lucunya UMNO pula yang meminta kita berterima kasih kepada mereka. UMNO nampaknya meminta kita berterima kasih kerana membohongi rakyat dan melakukan segala tindakan buruk seperti rasuah dalam segala bidang. Bagaimana UMNO mempunyai muka untuk meminta orang ramai berterima kasih kerana mereka menjahanamkan negara dan harta benda rakyat?

Bacalah sebanyak mana pun ayat-ayat quran seperti yang dilakukan oleh TS Muhyiddin baru-baru ini untuk mengaburi mata rakyat dan menutup segala salah laku pemimpin-pemimpin. Tetapi rakyat tetap mengetahui segala keburukan yang dilakukan oleh pimpinan-pemimpin mereka. Ayat-ayat yang dibaca itu hanya mustajab bergantung kepada siapa yang membacanya.

Pendeknya apa yang diberikan oleh UMNO kepada rakyat selama ini ialah duit rakyat sendiri, bukannya duit UMNO. Mereka pun telah dibayar dengan lumayan untuk mengendalikan kerja-kerja pembangunan negara dan rakyat.

Kemarahan kepada mereka ialah kerana mereka telah mengambil lebih dari apa yang dibayar oleh rakyat itu melalui rasuah dan salah guna kuasa yang telah berlarutan sekian lama.

Rakyat negara ini adalah insan biasa. Mereka ada had kesabarannya. Itulah ramai rakyat yang ingin mengupah pihak lain untuk mentadbir mereka kerana UMNO yang telah di upah mereka untuk menjaga kepentingan mereka telah banyak menyeleweng. Mereka tidak juga mahu berubah untuk menjadi pentadbir yang baik.

Tetapi kita memahami juga kenapa mereka tidak mahu berubah: iaitu kerana sudah begitu ketagih dengan mencuri dam memakan rasuah secara besar-besaran. Penyakit ketagihan ini memang tidak boleh diubati dan rakyat tahu UMNO tidak mungkin dapat mengubati penyakit yang mereka hadapi ini.

Itulah sebabnya rakyat memandang sepi kepada UMNO akhir-akhir ini. Mungkin rakyat akan bertindak mengupah pihak lain pula untuk mentadbir mereka dengan baik. Dalam sistem demokrasi tidak salah jika kita memberikan peluang kepada mana-mana pihak untuk diupah untuk mentadbir kita.

Rakyat tidak mahu lagi pemimpimpin-pemimpin yang mengambil terlalu lebih daripada upah yang telah ditetapkan untuk mereka. Rakyat sudah terlalu sabar selama ini melihat mereka mencuri di sana dan mencuri di sini. Mereka semua ibarat ‘mengharapkan pagar, pagar makan padi’.

23 December 2011

Isa sepatutnya jadi peneroka dulu, baru jadi pengerusi koperasi.

FELDA tidak akan sama lagi seperti dahulu. Perpecahan yang nyata berlaku di FELDA, samada di kalangan peneroka dan pegawai-pegawai serta kakitangan-kakitangan perbadanan yang tertua negara itu. Kalau dahulu Felda merupakan satu perbadanan yang terurus dengan agak baik tetapi sekarang oleh kerana wujud elemen pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan politik peribadi ke atas Felda ini maka unsur-unsur perpecahan dalam tanah rancangan ini sedang bertambah teruk dan menakutkan.

Felda sejak tertubuhnya adalah di bawah Kementerian Tanah dan Wilayah dan dengan tekun serta kerja tidak mengenal penat lelah oleh mereka yang bertanggungjawab maka Felda telah maju dan menjadi di antara perbadanan yang paling kaya samada dalam bentuk tunai dan asetnya.

Kalau perbadanan ini mula di tadbir oleh pelaksana yang jujur seperti Tan Sri Taib Andak perbadanan ini telah berkembang di bawah kelolaan Raja Tan Sri Alias Ali sehingga Felda terkenal di seluruh dunia sebagai tanah rancangan yang paling tersusun dan ditadbir dengan baik serta beretika di bawah pimpinan Raja Tan Sri Alias Raja Ali selama 3 dekad beliau berada di sana.

Politik tidak begitu masuk campur dalam hal Felda selama ini. Kalau ada pun politik di dalamnya ianya terbatas kepada mempastikan yang matlamat asal penubuhan Felda itu di capai mengikut kehendak dasar-dasar yang di kepilkan dengan penubuhannya itu. Kerjasama semua pihak, pengurusan dari ibu pejabat sehingga pejabat pentadbiran wilayah-wilayahnya sehinggalah kepada individu-individu peneroka serta pengorbanan mereka semua telah menjadikan Felda sebagai perbadan yang paling baik pentadbirannya.

Kebaikkan pentadbiran perbadanan ini tentulah di sebabkan perbadanan ini di ketuai oleh pelaksana yang sangat komited terhadap tanggungjawab yang di amanahkan oleh pimpinan Melayu negara. Komitmen Raja Tan Sri Alias dalam membina Felda sehingga sampai ketahap ini memang menjadi contoh kepada semua pihak.

Nama Raja Tan Sri Alias di Felda itu terpahat sehinggakan ism pelaksana dasar kerajaan ini tidak akan mudah dilupakan oleh pegawai dan kakitangan Felda serta peneroka keseluruhannya. Apabila Raja Tan Sri Alias bersara Felda masih utuh kerana ism dan sistem tadbiran di bawah Raja Tan Sri Alias itu sangat berkesan dan ‘follow through’ dengan sistem Raja TS Alias itu terus menjadi asas pembangunan Felda sehingga orang politik mengetuai Lembaga Pengarah perbadanan itu bernama Tan Sri Yusuf Nor.

Tan Sri Yusuf Nor tidak mencuba-cuba untuk menggali dan menganjak cara Raja TS Alias di dalam perbadanan itu maka tidak adalah masalah besar berlaku di bawah pengerusinya TS Yusuf Nor itu.

Felda telah begitu berjaya sehinggakan ada pihak yang begitu cair air liurnya kerana kekayaan perbadanan ini hasil dari penat jerih ratusan ribu peneroka yang berada di bawah paying Felda itu. Dengan senyap-senyap Felda dipandang oleh setengah pihak sebagai perbadan yang boleh di kudakan untuk kepentingan politik setengah pihak. Maka Felda telah dipindahkan dari Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah kepada Jabatan Perdana Menteri dan duduk di bawah dagu Najib Tun Razak sejak beliau masih menjadi Timbalan Perdana Menteri sehinggalah sekarang.

Sejak perpindahan Felda dari Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah kepada pentadbiran Najib Razak inilah Felda mula di hinggapi penyakit yang berbagai-bagai. Sejak di bawah tadbiran Najib ini Felda telah menjadi tempat pelahap-pelahap negara mengambil kesempatan dan peneroka-peneroka rancangan tanah ini.

Sebelum ini peneroka dan rakyat tidak berapa menyedari apa yang telah dilakukan kepada mereka, Sekarang mereka telah celek dan mulalah anak-anak generasi Felda ini terutamanya mengambil langkah melakukan tentangan terhadap pihak berkuasa kerana tindakkan unilateral kerajaan persekutuan dalam menentukan corak Felda menghadapi masa depan yang kian mencabar.

Hasrat peneroka untuk Najib memberikan ummph yang lebih terhadap Felda nyata meleset. Najib mula memperbetulkan apa yang kurang betul tetapi beliau melakukan pembetulan itu dengan cara ibarat tikus membaiki labu. Penggubal dasar yang tidak tahu apa dan bertanggungjawab dengan sepenuhnya terhadap peneroka-peneroka yang jumlahnya ratusan ribu keluarga itu.

Beberapa ketika dahulu selepas Felda di bawa ke bawah jabatan Najib, peneroka telah mempersoalkan wang ‘reserve’ Felda yang berjumlah RM4,08 billion telah mengecil sehingga menjadi RM200 juta. Sampai sekarang isu itu belum terjawab.

Sekarang timbul isu yang berlegar dikeliling Isa Samad, pengerusi baru Felda. Sekarang pengerusi Felda sedang berperang dengan peneroka dalam isu pengerusi koperasi Felda kerana Isa telah mengambil alih jawatan pengerusi koperasi Felda dari pengurus besar Felda Dato Zulkifli Wahab. Mengikut undang-undang koperasi itu, pengerusinya adalah secara automatik dipegang oleh pengurus besar Felda atau seorang peneroka yang setidak-tidaknya telah menjadi peneroka selama 2 tahun.

Kedua-dua syarat ini membuatkan Isa tidak layak menjadi pengerusinya .Isa hanya pengerusi Lembaga Jemaah Felda dan bukannya peneroka atau pun pengurus besar Felda. Kenapa undang-undang ini dilanggar. Kenapa tidak mengikut prosedure yang betul.

Kalaulah Isa hendak juga menjadi pengerusi koperasi itu, Isa sepatutnya memilih untuk menjadi peneroka dahulu. Isa sepatutnya masuklah ke tanah rancangan dan jadilah peneroka selama dua tahun dahulu dan apabila sudah cukup dua tahun jadi peneroka barulah Najib boleh lantik beliau menjadi pengerusi koperasi Felda itu. Isa boleh jadi peneroka di Negeri Sembilan. Di Negeri Sembilan ada dua wilayah Felda. Isa boleh pilih mana-mana rancangan tanah Felda di NS.

Isa boleh jadi peneroka di Pasoh satu hingga Pasoh empat. Atau pun Felda Serting atau pun Felda Palong. Cukup dua tahun Isa boleh bertanding menjadi pengerusi koperasi Felda. Ikut undang-undang kerana undang-undang itu di gubal oleh law-makers negara.

Isa mesti ingat, tugasnya hanyalah di peringkat Lembaga Pengarah sahaja. Tugas beliau ialah untuk menjadi penjaga dasar dan pelaksanaan Felda berjalan dengan betul, bukannya untuk membuat kekecuhan. Jangan bersikap sombong; hendak melutut orang itu dan orang sana. Jangan garang dan bisa mulut tak bertempat. Ingat kuasa rakyat kekal di negara ini. Kuasa ahli politik seperti beliau itu hanya sementara sahaja.

Hanya kita berharap tindakan peneroka mengambil tindakan mahkamah pada 4 hb Jan 2012 nanti akan memberikan penyelesaian terhadap isu ini. Isa mesti faham, kita hidup mesti ikut undang-undang. Kita mesti mentadbir dengan kepala, jangan mentadbir dengan kaki, menendang orang di mana-mana dia pergi.

Isa masih tidak belajar dari kesilapan dan kesalahan yang lalu.

Setiap yang hidup akan mati. UMNO bagaimana?

Setiap makhluk bermula dan berakhir. Setiap yang hidup akan berakhir. Ramai manusia yang cuba lari dari menghadapi kematian tetapi mati itu adalah wajib. Baik manusia, atau pun pertubuhan dan yang lain-lain yang dihidupkan akan mati. Oleh itu kita kadangkala terlupa yang kita sendiri akan menghadapi mati.

Kalau kita mendengar di mana-mana terlalu ramai yang mempunyai pandangan yang UMNO juga akan mati kerana tanda-tandanya semakin jelas dari hari ke hari, minggu ke minggu dan bulan ke bulan. Begitulah seterusnya. Hanya waktu sahaja yang menentukan masanya.

Kadangkala seseorang atau pertubuhan itu akan menghadapi penyakit yang serius dahulu sebelum mati. Setengahnya mati mengejut kerana serangan angin ahmar dan jantung. Bagi pertubuhan ada yang mati mengejut. UMNO (asal) dulu menghadapi mati mengejut. Tetapi ada penggantinya yang di hidupkan secara mengejut dan meminjam nama yang telah mati itu. Pendeknya yang hidup semuanya akan menghadapi mati dan itu adalah hakiki.

Dua tiga hari yang lepas saya bertemu dengan seorang yang tidak saya kenali sebelumnya. Kami bertemu kerana beliau menelefon saya untuk berjumpa dan berbincang tentang perkara yang telah saya tulis. Nampaknya beliau adalah seorang yang selalu mengikuti apa yang saya telah tulis dalam blog kecil saya ini.

Beliau telah menjemput saya di kedai mamak yang berhampiran dengan kediaman saya dan membawa saya minum di Holiday Villa, Subang Jaya. Semasa di dalam kereta beliau saya ternampak banyak baju-T UMNO. Saya bertanya kenapa banyak sangat baju T UMNO ini. Beliau menjawab yang baju itu memang sudah lama berada di dalam keretanya, tetapi beliau merasa tidak sedap untuk membahagi-bahagikan kepada ahli-ahli di cawangan beliau dan orang ramai.

Apabila saya tanya kenapa tidak sedap hati, beliau memberitahu saya yang beliau telah di sindir oleh sanak saudara beliau dan ahli-ahli UMNO cawangan beliau sendiri yang menunjukkan rasa tidak gemar dengan UMNO dan tidak mahu memakainya.

“Cerita UMNO akan mati ini mungkin menjadi kenyataan kerana orang ramai tidak langsung berminat untuk mengenakan dan memakai baju-T yang mempunyai logo UMNO itu. Saya telah masuk kampus untuk membahagi-bahagikan baju-baju T itu tetapi mahasiswa-mahasiswa menolaknya. Jadi apa lagi boss, saya pun malu nak menurunkan dari kereta saya ini” kata beliau yang berada dalam lingkungan umur lima puluhan itu.

Semasa minum beliau bertanya kepada saya apa yang beliau patut lakukan kerana beliau sudah nampak UMNO sudah tidak boleh bertahan lagi. UMNO katanya sudah tidak dihormati lagi oleh jiran tetangga beliau. Beliau terus bertanya, “Abang ahli UMNO lagikah?” Saya menjawab, “masih agaknya”

Beliau bertanya, “Abang nak kekal dalam UMNO ke” Saya jawab, “mungkin tidak” Bila beliau bertanya apa sebabnya saya jawab, “Baca tulisan saya, saudara akan tahu sebabnya”.

Jelas insan yang berhadapan dengan saya itu adalah seorang yang baik dan serius dalam pemikiran beliau. Sepanjang perbualan saya itu beliau bertanya samada beliau patut meninggalkan UMNO atau pun tidak. DAN sampai habis saya tidak memberikan nasihat samada patut keluar atau tetap di dalam UMNO. Hanya saya jawab, “terpulang, ini negara demokrasi. Mana-mana parti pun boleh kita sertai dan bergiat. Hanya, kalau hendak bergiat, pastikan kita mempunyai fikiran yang siuman dan tidak bercakap sorang sorang dan serius dalam perjuangan.

“Saya bukan apa bang, saya bertanya kerana saya terlalu rimas melihat keadaan yang tidak menentu sekarang ini. The leaders are all out to enrich themselves. We members have not much problems but the problems are with the leaders. They are milking us dry. I think every leader is doing it and they are protecting each other. We are ruled by mafias and looters. Felda listing and the purchase of the second generation petrol vessels by MINDEF to me are the latest series financial scandals. It’s in billion and billion. There have been too many before and many more to come.” Beliau bersungut. “Semuanya ni kena dihentikan dan yang patut melakukannya ialah orang ramai” sambungnya lagi.

Insan ini nampak terlalu serius dan saya hanya menyatakan yang saya juga nampak perkara seperti ini sudah lama berlaku dalam UMNO. Rasuah sudah menjadi ‘addiction’ kepada pimpinan di peringkat apa sekali pun. Melakukan semua ini tidak dapat di berhentikan oleh mereka ini kerana ia sudah masuk ke dalam saluran dan saraf mereka.

“Bang, saya nak ikut abanglah sebab abang serius nampaknya.jika membaca pemikiran you dalam tulisan melalui blog you” katanya kepada saya. Saya menjawab, “You boleh ikut kalau you nak, tetapi I have nothing to offer you. Kalau nak ikut saya ikut sajalah. Nanti jangan bersungut susahlah, tak larat kena belasah dek penyokong perasuah ini dan sebagainya. Tetapi kali ini tentangan terhadap BN is very formidable and BN is very defensive of late. I think BN is falling apart already and it’s not impossible for Pakatan to put BN leaders at the opposition bench soon. You can see that written everywhere on the wall”

Saya menulis pertemuan ini kerana ini bukan pertemuan yang pertama tetapi banyak kali dengan banyak pihak, sehingga saya sudah ‘conclusive’ dalam pandangan saya yang keadaan ini sudah hampir sangat waktunya untuk berlaku.

Tetamu saya ini akhirnya berkata, “Tak apa bang, apa-apa yang hidup itu pasti mati. Kalau ia terjadi kepada UMNO, it just another happening” Itulah kata-kata terakhir beliau semasa minum petang itu.

Bila seorang ahli UMNO menerima hakikat bahawa kematian UMNO itu adalah perkara yang biasa sebagai makhluk maka tidak lagi payah-payah kita berfikir. Kita terima sahaja jika ia benar berlaku.

Saya berkeyakinan apa yang diperkatakan oleh tetamu saya itu benar. Katanya “kalau nak pakai baju UMNO pun ramai yang malu, bagaimana UMNO nak survive?”

Saya berseluruh, "Mungkin Hasan Ali boleh pakai baju tu"

21 December 2011

Hasan Ali : Kalau datang dulu nampak mukanya, kalau nak pergi biarlah nampak belakangnya.

Beberapa orang rakan meminta saya membuat sedikit komen tentang apa yang berlaku dalam PAS yang berkait dengan isu Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa. Saya pula berpendapat itu adalah isu dalaman PAS dan Nasharudin telah pun menyatakan bahawa beliau akan terus setia dengan PAS. Tetapi mereka mahukan komen pendek saya tentang Hasan Ali, Exco kerajaan Selangor yang menyatakan bahawa PAS telah menyimpang daripada perjuangan asalnya.

Oleh kerana PAS bukan parti saya maka saya tidak dapat memberikan komen yang tepat kerana saya tidak pernah berada di dalam parti itu. Oleh kerana tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam parti itu saya tidak mampu untuk memberikan komen. Saya mungkin boleh memberikan sedikit sahaja komen mengikut apa yang saya nampak dan dengar dan komen saya hanyalah berdasarkan kepada ‘apa yang terbit, itulah yang saya tuai’.

Saya telah mendengar tentang Hasan Ali ini sejak beberapa lama dahulu. Beliau begitu resah berada dalam PAS kerana beliau telah dijadikan umpan oleh pihak yang berseteru dengan PAS agar PAS menjadi lemah. Beliau adalah orang yang kuat untuk menemukan PAS dengan UMNO untuk penyatuan orang Melayu Islam tetapi usaha beliau itu tidak pergi ke mana-mana kerana keseluruhan ahli PAS telah memberikan 'stand' yang tegas melalui muktamar parti itu yang bekerjasama dengan UMNO itu tidak berhasil.

Hasan dikatakan agak 'obsess' dengan usaha menyatukan UMNO dengan PAS dan keputusan PAS tidak melayani cadangan UMNO untuk PAS bersatu dengannya. Ramai berpendapat kecenderungan Hasan untuk mendapat keuntungan peribadi beliau merupakan penyebab mengapa beliau mengambil stand ‘middle left’ dalam perhubungan di antara PAS dengan UMNO. Keuntungan yang dirasakan akan diperolehi oleh beliau jika PAS bekerjasama dengan UMNO ialah jawatan yang baik seperti MB dan lain-lain, lebih baik daripada apa yang beliau sandang sekarang ini.

Bagi pendapat saya secara peribadi, Hasan patut meninggalkan sahaja PAS dan tidak berdolak-dalik dengan susunan kata-kata yang mudah dibaca orang. Bak kata perbilangan, ramai boleh 'menyelam air dalam tunggak' Hasan itu. Hasan mesti faham dalam keadaan sekarang hanya ada dua posisi yang diambil oleh individu yang bermain politik; iaitu duduk di sana atau duduk di sini. Politik hari ini memerlukan pendirian yang jelas kerana bagi pihak yang tidak berpuas hati dengan keadaan kepimpinan negara, mereka tidak mahu berketuakan mereka yang tidak di sini dan tidak di sana.

Bagi pihak yang menentang arus mereka mahu melihat pemimpin yang jelas mahu melihat pimpinan hari ini diambil alih oleh pihak alternatif. Sebaliknya, bagi mereka yang mahu mempertahankan pimpinan yang ada mereka perlu jelas duduk di sebelah pihak yang mempertahankan pimpinan itu dengan jelas dan nyata. Mereka yang cuba bermain politik mengikut jalan tengah pada masa ini pasti akan menghadapi masalah besar.

Alasan Hasan kenapa beliau tidak begitu sejalan dengan PAS ialah kerana PAS sudah jauh menyimpang daripada perjuangan Islam kerana telah menumpukan perjuangan untuk negara berkebajikan. Dalam persoalan ini Hasan patut menjawab jika benar beliau sudah dilamar oleh UMNO, adakah alasan yang disebut beliau itu relevan? Jika Hasan menyertai UMNO adakah beliau benar-benar percaya bahawa UMNO itu adalah parti Islam yang dicari-cari oleh Hasan? Soalan kepada Hasan lagi, adakah perjuangan untuk negara berkebajikan itu bukannya perjuangan Islam?

Sebenarnya Hasan Ali adalah seorang yang sangat tinggi cita-citanya. Beliau pun menilai dirinya begitu penting yang mempunyai ‘consequence’ yang begitu besar di dalam negara ini.

Jika seseorang yang memeriksa kertas peperiksaan sendiri selalunya markahnya akan menjadi tinggi. Itulah sebabnya jika kita menduduki peperiksaan kertas jawapan peperiksaan yang kita duduki itu diperiksa oleh pihak lain yang mempunyai kredibiliti dan ilmu yang lebih tinggi daripada kita yang menduduki peperiksaan itu.

Hasan Ali pada pandangan saya yang tidak pun ahli kepada PAS, elok beliau lakukan sesuatu yang baik untuk dirinya, kerana sekarang ini nampaknya beliau 'datang tak dipanggil, perginya pun tak dihalau'.

Kalau semasa datang ke PAS dahulu nampak mukanya, sekarang jika beliau meninggalkan PAS, biarlah nampak belakangnya.

20 December 2011

Isu agenda Melayu sejak dari dulu sampai sekarang- Melayu tidak kemana juga

Agenda Melayu! Itulah isu yang tidak lekang di mulut pemimpin UMNO sejak tiga dekad dahulu. Semasa perlaksanaan DEB dahulu pun tidak begitu kuat pemimpin-pemimpin UMNO menyebut tentang isu agenda Melayu ini. Sekarang di mana-mana pemimpin-pemimpin terbesar negara bercakap tentang agenda Melayu tetapi Melayu masih dalam keadaan ketinggalan dan kerana itu isu itu masih mahu dihidupkan terutamanya dalam menghadapi PRU yang semakin hari semakin hampir ini.

UMNO masih mengharapkan yang isu ini akan dapat menyatukan orang Melayu di bawah ketiak UMNO kononnya untuk menyempurnakan agenda Melayu. Kalau agenda Melayu sudah begitu lama di nyanyikan oleh kepimpinan Melayu UMNO, bagaimana orang Melayu terutamanya yang terlingkung dalam kumpulan generasi muda masih mahu mempercayainya?

Oleh kerana itu ada kemungkinan yang ketinggalan orang Melayu dalam semua bidang sekarang ini merupakan isu yang sangat ‘expedient’ bagi pimpinan UMNO untuk menyatukan mereka. Lagi ketinggalan Melayu ini lagi untung bagi parti UMNO yang sudah begitu selekeh ini untuk meneruskan kuasa.

UMNO seolah-olah tidak mahu Melayu ini maju kedepan kerana jika Melayu sudah maju maka UMNO akan hilang isu untuk menyaingi parti-parti lain yang kian hari kian mendapat sambutan dari rakyat yang rata-rata sudah menggunakan akal anugerah Tuhan untuk menilai dan berfikir untuk memilih yang mana yang baik dan yang sebaliknya.

Saya menyebut ini kerana yang menjadi mangsa di atas keghairahan UMNO untuk terus berkuasa ini menjadikan orang Melayu mangsa kepada nafsu UMNO untuk terus berkuasa. Orang Melayu masih dalam ketakutan kerana mereka terpedaya dengan cara UMNO yang suka menakut-nakutkan mereka (orang Melayu). UMNO sudah menjadi zalim kerana menekan bangsanya sendiri dan memundurkan pemikiran mereka sehingga mereka tidak boleh bergerak untuk memajukan diri mereka (Melayu).

Apabila orang Melayu mempunyai sedikit pandangan yang berbeza, UMNO akan mengungkit kononnya jasa-jasa yang telah diberikan UMNO kepada mereka itu harus dibalas dengan memberikan sokongan walaupun mereka merompak dan menyamun. Kita sedih dengan kelemahan bangsa kita dalam hal ini walaupun setengah dari mereka telah belajar jauh di antara dunia tetapi mempunyai pemikiran yang masih dijajah dengan kumpulan penjenayah politik dan ekonomi seperti UMNO ini. Nampak sangat sikap pemimpin-pemimpin UMNO yang mereka tidak suka kepada bangsanya yang berfikir.

Menakut-nakutkan orang Melayu merupakan satu-satunya cara untuk menyatukan orang Melayu pada pandangan UMNO. Isu yang digunakan oleh UMNO bagi menakutkan orang Melayu ialah Pakatan Rakyat, jika berkuasa akan menghilangkan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Jika PR memerintah orang Melayu akan di kafirkan oleh DAP dengan mengkristiankan orang Melayu. Jika PR memerintah, DAP dan komponen PR akan melenyapkan orang Melayu kononnya.

UMNO sudah ketandusan idea untuk menjawab perbahasan dalam banyak isu politik. UMNO hanya tinggal dengan taktik gertak menggertak serta melakukan pembelian undi dan melakukan penipuan dalam pilihanraya nanti seperti yang mereka lakukan selama ini. Taktik yang lain ialah dengan menghina dan menggunakan kata-kata kesat yang tidak bertemadun dan beragama. UMNO seolah-olah sedang menghadapi penyakit gila talak dan tidak keruan lagi.

Mencarut-carut di alam cyber sekarang ini sudah menjadi pakaian penyokong-penyokong UMNO untuk berkempen bagi menegakkan benang basah mereka. Mereka tidak sedar manusia sekarang sudah lebih tinggi tamadunnya. Memaki hamun dan mencarut itu hanya membayangkan betapa ‘desperado’ nya UMNO masa kini dan memaki hamun itu hanya dilakukan oleh mereka yang sengkek sahaja.

Kita sudah mengiktiraf bahawa jika sesebuah parti itu memenangi pilihanraya seperti itu ia merupakan satu kemenangan yang tidak ‘legitimate’. Tetapi UMNO tidak peduli dengan isu ‘legitimacy’ ini. Yang penting berkuasa terus menerus. PM Najib secara terbuka telah berkata yang UMNO akan lakukan apa sahaja untuk mempertahankan Putrajaya. Bagi UMNO yang penting ialah kuasa bukannya untuk bertanggungjawab kepada rakyat.

UMNO menekan orang Melayu dengan isu sensitif seperti yang saya sebutkan di atas. Lagi takut orang Melayu lagi untung kepimpinannya. Jadi UMNO hanya membina sifat penakut kepada orang Melayu sahaja kerana jika orang Melayu takut dengan isu rasis yang di gembar gemburkan olehnya lagi berpeluang mereka untuk berkuasa dan melakukan perkara-perkara yang merosakkan orang Melayu lagi.

Maka orang Melayu dididik supaya tidak menggunakan pemikiran yang rasional, sebaliknya menggunakan sentimen dan emosi semata-mata. Hasilnya wujudlah kumpulan penyokong-penyokong UMNO yang tidak dapat berfikir dan membahaskan isu-isu penting dalam negara, justru mereka hanya menggunakan kata-kata yang tidak baik seperti babi, anjing, baruah dan sebagainya yang kotor-kotor belaka. Bahasa yang mereka gunakan tidak langsung melambangkan bangsa mereka.

Sekarang ini kata-kata kotor dan menjijikkan merupakan ‘attribute’ yang jelas bagi parti yang sementara ini masih memerintah negara setidak-tidaknya sehingga pilihanraya nanti. Penyokong-penyokongnya sudah tidak lagi mampu berfikir dan bertindak dalam kebijaksanaan.

Orang yang nazak memang tidak lagi boleh berfikir kerana orang dalam keadaan begitu itu adalah orang yang sedang mengalami ‘brain death’. Jadi bagi parti yang sedang mengalami ‘brain death’ ini, tentulah saudara-saudari tahu apakah ‘consequence of event’ yang akan berlaku kepada parti yang semasa kuat dan berkuasa dulu begitu bongkak dan sombong itu.

Sejak akhir-akhir ini UMNO sebenarnya bukan berusaha untuk melaksanakan agenda Melayu, sebaliknya untuk melaksanakan agenda pemimpin-pemimpin Melayu yang mabuk dengan kuasa serta kekayaan dan wang ringgit yang tidak berkesudahan itu sahaja.

Kalau dahulu kita dijajah oleh Inggeris dan sebagainya, sekarang kita bukan setakat dijajah tetapi seperti kita sedang ditekan oleh kuasa seperti ‘Malayan Union’ dahulu, tetapi kali ini dari sekumpulan bangsa sendiri yang menamakan kumpulan mereka UMNO (baru) yang mula dipelupori oleh Dr Mahathir Mohammed dahulu.

Orang Melayu hanya diperguna untuk bertepuk dan bersorak dan pemimpin-pemimpin terus menipu dan mengelirukan mereka (orang Melayu). Lagi mereka (orang Melayu) ditipu lagi kuat mereka bertepuk dan bersorak. Kalau kita cuba menegur orang yang di tipu tadi akan memaki hamun kita pula dengan menggunakan perkataan-perkataan yang kesat dan tidak punya temadun.

Itulah situasi sekarang ini. Penyelesaiannya hanya dengan mengingati Pak ABU sentiasa. Jangan berkasar seperti penyokong UMNO sekarang ini. Dengan senyum simpul hanya gunakan kuasa undi anda setelah berfikir panjang-panjang. Jika ada penyokong UMNO membabikan kita, jangan lawan mereka...hanya beristighfar banyak-banyak.

19 December 2011

Ketirisan RM1 trillion wang rakyat ke luar negara - ABU adalah jawapannya

Berita yang di tulis oleh Global Financial Integrity (GFI) tiga empat hari yang lepas amat menyayat hati. Lapuran itu telah memberikan kita betapa hinanya sikap kerajaan yang mentadbir kita yang sepatutnya tidak melakukan rasuah dan penyelewengan yang begitu besar, iaitu RM 1 trillion jumlahnya (satu ribu billion sahaja). Jumlah penyelewengan yang tidak pernah kita bayangkan akan berlaku dalam negara yang melaungkan slogan-slogan, lepas satu slogan dengan slogan yang lain yang kesemuanya untuk memberikan ‘branding’ individu pimpinan masing-masing.

Akhirnya dari pimpinan Dr Mahathir sehinggalah sekarang mereka-mereka ini hanya mempunyai satu slogan yang hakiki; iaitu tamak, haloba, perasuah, pembohongan, penipuan dan bersikap seperti anjing nampak tulang; meleleh air liur bila nampak harta rakyat yang banyak.

Pengaliran keluar negara wang rakyat sebanyak RM1 trillion sejak sepuluh tahun yang lalu menunjukkan sikap mereka yang berkuasa sejak 3 dekad yang lalu yang tidak ada sedikit pun rasa bertanggungjawab terhadap rakyat atau setidak-tidaknya rasa kasihan terhadap rakyat yang semakin hari semakin menderita terutamanya di kalangan rakyat kelas menengah.

Kita diperdaya dengan longgokkan slogan-slogan satu demi satu apabila bertukar kepimpinan negara. Rakyat sudah terlalu kenyang dengan slogan-slogan tetapi kesemua slogan itu hanya tinggal slogan tanpa membuahkan apa-apa hasil yang memberi muafaat kepada rakyat ramai.

Semasa Perdana Menteri yang telah memerintah negara selama 22 tahun, kita di sumbatkan ditelinga kita slogan bersih, cekap dan amanah. Akhirnya bersihnya tidak ada malah bertambah kotor dan jumud, cekapnya tiada; hanya cekap melonggokkan harta kekayaan untuk diri dan keluarga mereka dan amanahnya pun tidak ada.

Kalau ada amanah masa kan di biarkan wang yang mengalir keluar negara tidak dapat di tahan malah digalakkan lagi. Pengaliran keluar wang yang sudah berjumlah trillion ringgit ini bermula dengan hebatnya semasa rakyat sedang dilenakan dengan nyanyian slogan bersih, cekap dan amanah itu.

Selepas itu datang pula seorang lagi PM yang membawa slogan, ‘jangan bekerja untuk saya, tetapi bekerja bersama saya’. Akhirnya rakyat tidak dapat membuat apa-apa kerja kerana beliau tidak tahu untuk membuat apa-apa kerja. Wang negara mengalir begitu besar keluar negara masih hebat seperti waktu negara dipimpin oleh pemimpin sebelum beliau.

Apabila sahaja datang pemimpin yang ada pada hari ini timbul lagi slogan ‘1Malaysia’ yang pernah saya katakan sebagai slogan yang satu Malaysia tidak dapat memahaminya. Malahan ‘warlord’ terbesar negara Dr Mahathir sendiri tidak faham apa itu 1Malaysia kerana rakyat tidak tahu apa sebenarnya makna slogan itu. Wang negara mengalir ke luar lebih besar kerana lapuran GFI itu menunjukkan yang pada tahun 2009 sahaja sebanyak RM950 billion telah dibawa lari ke luar negara dan di simpan di merata-rata negara di dunia ini.

Apa yang dilaungkan oleh Najib rakyat di dahulukan itu tinggal slogan semata-mata, sama seperti slogan-slogan zaman Dr Mahathir dan Pak Lah. Semua slogan-slogan itu gunanya hanyalah untuk memperdayakan rakyat sahaja.

Slogan-slogan itu semuanya berbunyi sebagai slogan yang baik-baik tetapi apa yang dilakukan oleh mereka semuanya terbalik dan mengelirukan rakyat. Sedar-sedar wang ringgit rakyat di bawa mereka lari ke luar negara dan rakyat serta penyokong-penyokong pemimpin-pemimpin ini hanyalah dijadikan buruh kasar untuk mempertahankan mereka sahaja.

Saya ulangi kepada mereka yang bertanggungjawab, apa yang dilakukan oleh pesalah-pesalah ini merupakan tindakkan durhaka kepada Raja dan Negara. Mereka tidak lebih dari nilai Botak Chin. Bezanya Botak Chin itu adalah penyamun kolar biru tetapi pemimpin-pemimpin kita adalah penyamun kolar putih. Penyamun-penyamun kolar putih ini semuanya kumpulan yang hipokrit dan ada yang telah menutupi segala samunan mereka dengan membaca ayat-ayat suci dan membaca hadith-hadith Nabi apabila berhadapan dengan orang ramai.

Mereka akan beretorik berlindung dengan ayat-ayat quran serta berlindung di sebalik ketiak Raja-Raja Melayu sambil menuduh orang lain sebagai anti Melayu, anti Islam dan anti Raja-Raja Melayu. Apa sahaja yang kena-mengena dengan Melayu Islam serta Raja-Raja Melayu mereka akan membuat tohmahan kepada DAP serta parti-parti pembangkang. Kerana apa? Kerana pilihanraya sudah hampir tiba.

Jika mereka masih dapat mandat rakyat lagi tidak tahulah berapa billion ringgit lagi akan di larikan keluar negara oleh mereka-mereka ini. Saya hanya ingat yang jumlah wang yang dilarikan oleh pemimpin UMNO hanyalah sebanyak RM10 juta sahaja yang dilakukan oleh Mohamad Hasan, MBNS melalui penngurup wang yang begitu ‘dubious’ keadaannya. Rupa-rupanya jumlahnya adalah RM 1 trillion. Selepas ini rakyat tidak akan menyebut billion-billion lagi dan bermula dari sekarang rakyat akan mula belajar untuk menyebut trillion-trillion pula.

Itulah sebabnya rakyat sudah tidak percaya lagi kepada slogan-slogan yang diperkenalkan oleh pemimpin-pemimpin kita. Rakyat tahu slogan-slogan tersebut hanya lah untuk memperdayakan rakyat.

Maka sekarang rakyat pula yang memperkenalkan slogan baru; iaitu ABU (asalkan bukan UMNO) atau dalam bahasa Inggerisnya ‘anything but UMNO’.

Slogan ABU yang diperkenalkan oleh rakyat ini akan berlegar di seluruh negara tidak berapa lama lagi. Rakyat sudah jemu dengan slogan anjuran pemimpin-pemimpin kita. Rakyat mahu slogan mereka sendiri diguna pakai, iaitu ABU.

Jika ABU berjaya adalah di harapkan pengaliran dan kecurian terhadap wang dan harta rakyat tidak akan sampai kepada angka trillion dalam satu dekad lagi. Jika ABU berjaya, maka mereka yang menyamun dan merompak tidak akan berada di tampuk kuasa lagi.

15 December 2011

Utusan diperintah bayar Guan Eng RM200 ribu kerana memfitnah.. banyak lagi saman yang belum selesai.

Mana-mana pihak boleh memberikan alasan dan berhelah untuk mendapat sokongan dari rakyat dalam mana-mana pilihanraya. Berhelah dan melakukannya dengan berhemah boleh di terima dan mungkin rakyat mempercayainya. Tetapi kalau kita melakukan fitnah secara blatant dan secara tidak sopan maka ia menjadikan rakyat naik bosan dan tidak menghormati kita.

Apa yang telah diputuskan oleh mahkamah Tinggi P Pinang baru-baru ini menunjukkan yang Utusan sebagai organ media yang menyebelahi UMNO itu telah di perintah untuk membayar ganti rugi sebanyak RM200 ribu kepada Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang. Utusan telah di dapati melakukan fitnah yang DAP adalah parti yang anti-Islam, anti Melayu dan melakukan ‘christianisation’ terhadap orang Islam.

Apa sahaja yang tidak elok itu adalah perbuatan DAP dan segala rasuah dan penyalahan guna kuasa oleh UMNO itu tidak salah. Yang boleh melakukan kesalahan hanyalah UMNO kerana UMNO merasakan ia adalah parti berkuasa dan mempunyai immuniti dari menghadapi tindakan undang-undang. Kejayaan Guan Eng dalam samannya terhadap Utusan itu diharap menjadi pembuka mata orang ramai bahawa selama ini DAP telah menjadi korban fitnah yang terbuka oleh UMNO dan penyokong-penyokongnya.

Di zaman rakyat sedang berfikir ini Utusan sebagai organ untuk parti pemerintah sepatutnya menunjukkan sikap yang benar-benar berintergriti dan menjauhi dari sikap memporak perandakan pemikiran rakyat. Kita sedang berada di dalam zaman dan waktu dalam mana rakyat keseluruhannya sedang melakukan ‘soul-searching’ yang serius. Jika Utuan melakukan perkara yang tidak adil terhadap lawan maka secara atomatisnya pihak yang di fitnah itu sentiasa mendapat simpati yang tinggi dari rakyat yang menghakiminya.

Jika Utusan sudah tidak mampu mencari jalan untuk meyakinkan rakyat yang UMNO BN itu masih relevan, ia tidak menghalalkan Utusan untuk mempunyai peri laku yang buruk ini. Jika Utusan berterusan melakukan ‘slander’ terhadap parti yang sedang mendapat tempat di hati rakyat ini maka secara parallel nya Utusan dan UMNO akan hilang kredibilitinya dari hari ke hari dan apabila sampai ke tahap ini UMNO jangan pula menyalahkan pihak lain jika parti itu diketepikan oleh rakyat.

Rakyat sedang tertunggu-tunggu untuk hidup aman dan sentosa seperti apa yang mereka pernah alami sebelum ini. Jika Utusan masih mempunyai pemikiran yang UMNO akan selamat dalam keadaan yang bergelora seperti dahulu, ia merupakan tanggapan yang salah dan kita tunggu sahaja akibat penolakkan rakyat terhadap UMNO itu.

UMNO mesti ingat yang parti itu mempunyai satu jalan sahaja untuk menjadi relevan kepada rakyat: ia itu pemimpin-pemimpinnya berkorban dengan meletakkan semua jawatan dan di gantikan oleh rakyat untuk memilih pemimpin-pemimpin yang baru dari bawah sehingga ketahap yang tertinggi. Tetapi ini tidak mungkin mampu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dan ahli UMNO kerana mereka tidak akan mahu meninggalkan jawatan yang yang telah memberikan kesenangan kepada mereka di atas kesusahan rakyat termasuk ahli-ahli parti yang biasa di bawah ini. Mereka lebih mementingkan diri mereka dari parti yang telah memberikan kesenangan kepada mereka selama ini.

Ahli-ahli UMNO sendiri tidak mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan mereka kerana mereka adalah manusia biasa dan mereka juga terasa yang mereka telah diperlakukan seperti kerbau di sawah, gunanya untuk membajak sawah bendang pagi dan petang tetapi hasil padinya di makan oleh tikus-tikus yang gemuk-gemuk di kepuk padi. Apa yang kerbau-kerbau dapat hanyalah rumput-rumput kering yang di sabit oleh tuan-tuan mereka.

Ahli-ahli UMNO sendiri merasakan yang mereka di jadikan kaldai untuk membawa harta-harta rampasan untuk tuan-tuannya yang kaya raya itu. Bagaimanakah Utusan hendak menghilangkan persepsi ahli-ahli UMNO terhadap kepimpinan mereka?

Sesungguhnya yang melemahkan UMNO bukannya pembangkang tetapi ahli-ahli UMNO itu sendiri. Jika Utusan masih mempunyai kepercayaan yang melakukan porak peranda terhadap parti lawan itu tidak lagi menjadi tektik ampuh untuk mendapatkan sokongan orang ramai. Dulu-dulu bolehlah tetapi bukan lagi dalam keadaan sekarang.

Utusan mesti faham yang rakyat tidak lagi serba salah dalam membuat keputusan. Tidak lagi ramai yang mengambil langkah ‘middle left’ atau ‘middle right’. Rakyat tidak mahu lagi dipengaruhi dengan ungkitan jasa-jasa lama kerana yang lebih penting ialah masa depan anak-anak dan cucu-cucu mereka. Memberi jasa di zaman dahulu tidak lagi boleh memaksa rakyat memberikan sokongan kepada UMNO jika berterusan melakukan tindakan yang boleh menjahanamkan masa depan rakyat terutamanya anak-anak muda.

Utusan sepatutnya memberikan teguran kepada UMNO itu sendiri. Kalaulah UMNO itu bertindak betul, masakan rakyat ramai marah. Takkanlah rakyat marah jika UMNO melakukan perkara-perkara yang betul.

Dengan perintah mahkamah untuk Utusan membayar Guan Eng sebanyak rm 200 ribu itu, ianya elok dijadikan iktibar kepada Utusan, bahawa walaupun Utusan berpihak kepada pihak yang berkuasa ia tidak boleh menjamin perlindungan dari kerja jahat jika badan kehakiman itu kembali bebas untuk membuat keputusan yang adil.

Sesungguhnya yang rasis itu adalah UMNO, bukannya DAP. DAP adalah sebuah parti yang multi-racial yang kini sedang berusaha untuk membuktikan sifat keperbilangan kaumnya dengan meminta orang Melayu untuk melihat parti itu secara objektif, bukannya dimomokkan terus-terusan sebagai parti cina sebagai yang di tuduh oleh Utusan dan Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Untuk mencapai penyatuan rakyat parti-parti yang berteraskan kepada sesuatu bangsa sahaja semakin hari semakin tidak diterima lagi. Kami rakyat ingin hidup muhibbah di antara kaum dan jika perpaduan di antara kaum itu menjejaskan UMNO maka UMNO tidak perlu bertindak secara tidak ‘civil’ dalam menghadapi orang ramai yang sudah merubah persepsi dalam siasah negara dalam dunia yang serba berubah ini.

Jika rakyat berbilang kaum berkehendakkan penyatuan ummah dalam parti-parti yang multi racial, ia mungkin menjejaskan UMNO, MCA dan MIC, tetapi ia tidak akan menjejaskan keharmonian di antara kaum yang hidup kasih mengasih di antara rakyat dalam negara ini.

Jika UMNO di tolak, ianya tidak menjejaskan orang Melayu. Lagi pun UMNO itu sendiri telah mati pada tahun 1988 dahulu. Pada hakikatnya UMNO sudah lama tiada. Yang ada sekarang hanyalah parti yang senama dengannya yang tertubuh pada tahun 1988 dahulu untuk menyelamatkan seorang pemimpin yang sangat sayang pada kuasa yang dipegangnya secara peribadi.

Akibatnya rakyat berpecah belah sehingga hari ini. Yang hanya selamat hanya beliau seorang dan sekarang masih kuat bercakap tentang Melayu.

Kini pilihanraya hampir tiba. Marilah kita semua memerhatikan apa yang akan di tulis oleh Utusan untuk mempertahankan parti yang sudah hilang segala intergritinya sebagai parti yang telah diberikan mandat untuk menjaga kita semua.

12 December 2011

Kalau Malaysia jadi seperti Singapura, apa yang Ezam takutkan?

Senator Ezam Mohd Nor berkata kalau PR memerintah PR akan dipengaruhi DAP dan Malaysia akan menjadi seperti Singapura. Apa maksud beliau susah hendak difahami dan itu tidak menjadi hal, kerana UMNO memangnya sebuah parti yang pemimpin-pemimpinnya selalu bercakap yang susah hendak difahami oleh orang ramai. Apa yang tidak eloknya di Singapura itu mungkin Ezam sahaja yang tahu.

Apa yang Ezam takut jika Malaysia menjadi seperti Singapura? Adakah Ezam takut Malaysia tidak lagi kaya rasuah seperti di Singapura? Adakah Ezam takut Malaysia akan menjadi negara maju jika negara ini menjadi seperti Singapura? Adakah Ezam takut jika Malaysia menjadi negara yang mempunyai kepimpinan yang beretika dan pemimpin-pemimpinnya tidak berlumba-lumba untuk menakluki segala harta kekayaan negara?

Atau mungkin kah Ezam takut jika Malaysia menjadi seperti Singapura pemimpin-pemimpinnya terpaksa menjadi pemimpin-pemimpin yang berdisiplin dan penuh dengan etika kerja yang tinggi? Elok bertanya kepada Ezam, adakah beliau akan merasa kerugian jika tidak ada lagi pemimpin-pemimpin kerajaan yang menggunakan pengaruh dan kuasa untuk mendapatkan pinjaman kerajaan dalam jumlah ratusan juta ringgit?

Wang yang sepatutnya digunakan untuk membiayai perniagaan lembu itu digunakan untuk membeli kondominium dan Mercedez walaupun pengerusi syarikat itu mengakui yang perniagaannya belum berjalan lancar. Kalau Malaysia menjadi seperti Singapura ini kah yang amat ditakuti oleh Ezam?

Adakah Ezam takut jika Malaysia menjadi seperti Singapura PMnya tidak boleh lagi menggunakan wang berbillion ringgit untuk menyelamatkan anaknya yang kerugian besar dalam perniagaannya?

Kenapa Ezam takut jika Malaysia menjadi seperti Singapura kerajaannya tidak mengamalkan rasuah? Atau Ezam takut Malaysia akan menjadi financial hub jika negara ini menjadi seperti Singapura? Atau Ezam takut jika tidak ada lagi pegawai penguat kuasa rasuah dari MACC tidak lagi tertangkap merompak penggurup wang di KLIA?

Jika Malaysia menjadi seperti Singapura ramai berkeyakinan yang tidak akan berlaku ibu segala rasuah seperti isu PKFZ yang melibatkan jumlah wang rakyat yang berbelas billion ringgit yang mengaitkan pemimpin UMNO Selangor dan ahli jemaah kabinet Persekutuan dari MCA dan UMNO? Adakah ini yang Ezam takutkan?

Saya rasakan jika Malaysia jadi seperti Singapura tidak akan terjadi seorang setiausaha politik menteri ditangkap dengan wang tunaiRM2 juta di pangsapurinya di P Pinang. Ezam takut jika perkara seperti ini tidak berulang lagi?

Apa lagi Ezam. Apa yang saudara takutkan? Cuba cerita sikit. Orang ramai di negara ini semuanya bodoh. Dah saudara yang pandai boleh tolong beri sedikit jawapan?

FELDA sedang menuju kehancuran, tunggu sahaja

Sebagaimana pengakuan Muhyiddin dan Najib PRU kali ini adalah ibu kepada semua pilihanraya dalan sejarah negara kita. Apa tidaknya, pilihanraya kali ini seolah-olah piihanraya untuk memilih di antara UMNO atau pun memilih rakyat. Sekarang ini adalah pilihan di anatara mengekalkan kepimpinan UMNO yang mahukan segala agenda peribadi mereka disokong ramai.

Satu lagi pilihan ialah untuk memilih agenda perubahan untuk rakyat yang inginkan kesatuan di antara kaum dalam kehidupan seharian dan menolak keghairahan kepimpinan yang menyanyikan lagu-lagu rasis yang menebal. Pemimpn-pemimpin di atas mahukan rakyat berpecah kerana UMNO sekarang ini wujud di atas keadaan Melayu yang berpecah pada tahun 1988 dahulu.

Berlainan dengan UMNO yang di tubuhkan pada 11hb Mei 1946 dahulu. UMNO dahulu wujud di atas penyatuan rakyat Melayu yang ramai dengan matlamat mencapai kemerdekaan dan seterusnya untuk mengisi kemerdekaan negara. UMNO yang baru ini wujud di atas perpecahan umat Melayu dan ada pemimpin yang sedang memegang kuasa mengambil kesempatan untuk membawa puaknya jauh dari UMNO yng dibiarnya mati itu.

UMNO sebenarnya tidak boleh langsung menyalahkan mana-mana pihak termasuk pembangkang kerana kelemahan yang mereka alami sekarang. Kesalahan berada di pihak UMNO sendiri. UMNO itu mempunyai infrastruktor yang sangat besar untuk mempertahankan benteng mereka kerana telah menjadi pemerintah begitu lama. Tetapi yang menyebabkan parti itu menjunam ialah kerana ‘culture’ yang terbentuk sejak dua tiga dekad yang lalu yang telah memecahkan segala benteng pertahanan parti itu secara beransur-ansur.

Di mana sahaja UMNO masuk campur yang baik akan menjadi lemah, yang teratur akan menjadi lintang pukang dan yang telah teguh dan berjaya akan mengalami kerosakan dan kerugian yang besar. Contoh-contohnya banyak. Di antara contohnya ialah apa yang berlaku ke atas Felda sekarang. Sebelum itu kita telah lihat bagaimana MAS telah kerugian berbillion billion ringgit setelah ia mula di serahkan kepada Tajuddin Ramli dahulu. Banyak lagi contoh yang kita boleh lihat dalam mana konsep pengswastaan serta ‘corporatization’ ciptaan Dr Mahathir dahulu.

Banyak syarikat-syarikat kerajaan yang gagah yang dipegang oleh kerajaan dahulu telah rosak kerana budaya tadbiran negara yang tidak jujur. Sekarang ramai yang meminta, bukan sahaja saya dan ramai lagi untuk memberikan komen tentang apa yang berlaku di Felda sekarang ini.

Sebenarnya apa yang berlaku di dalam Felda ini memang sudah dijangkakan apabila perbadanan ini telah di pindahkan dari Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah kepada Jabatan Perdana Menteri dahulu. Felda yang begitu mantap yang telah dikembangkan dan dimajukan di bawah pengurusan Raja Tan Sri Alias dahulu menjadi tempat pemimpin yang kelaparan untuk mengambil alih. Ramai yang telah melihat Felda dengan air liur yang meleleh seperti anjing nampak tulang.

Mereka-mereka ini kalau di suruh untuk membina sesuatu dengan baik tidak ada kemampuan dan kepandaian. Tetapi bila sudah maju merekalah yang masuk campur dan ingin menjadi hero dan ada pula yang ingin ‘topple-menopple' dalam badan yang sangat kaya itu.

Apabila pengerusi kepada Lembaga Pengarah Felda sudah masuk campur dan menggunakan pengaruh untuk mengambil alih KPF baru-baru ini ramai yang berfikir telah menjangkakan yang situasi yang sedang di hadapi Felda dan peneroka sekarang ini akan berlaku.

Saya ingin menulis dengan detail apa yang berlaku di dalam Felda ini. Hanya saya hendak menunggu waktu yang sesuai untuk berbuat demikian. Saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada Pengurus Besar perbadanan ini, Dato Zulkifli Wahab yang sudah di arah untuk bercuti selama lapan bulan ini.

Apabila sudah berlaku perkara seperti ini saya jangkakan Felda tidak akan menjadi Felda lagi. Kerajaan pimpinan Najib memang terkenal dengan tidak mampu untuk membina kemajuan, tetapi beliau terkenal dengan menjahanamkan apa yang sudah kuat hasil kemampuan pimpinan dahulu dan etika pentadbiran yang tinggi yang sudah tiada di zaman ini.

Di tambah pula dengan kemasukan TS Isa Samad kedalamnya…..peneroka akan di porak perandakan dan apa yang peneroka dapat ialah elemen kuku besi yang sedang terbentuk di dalam Felda sekarang. Nak membangunkan tidak ada kemampuan…maka kerja mereka ini hanyalah untuk meruntuhkan sahaja.

Insyaallah saya akan menulis tentang apa yang berlaku dalam Felda ini serta implikasi yang akan di hadapi oleh peneroka serta implikasi yang akan di hadapi oleh FELDA keseluruhannya.

Buat setakat ini, peneroka hanya perlu hafalkan satu perbilangan, iaitu ‘ibarat menanam pohon yang condong, pohonnya berada di halaman peneroka, buahnya jatuh ke halaman orang lain.'

ATAU pun ingat kepada satu lagi, ‘peneroka di jadikan seperti kerbau untuk membajak sawah pagi dan petang, tetapi hasilnya di baham oleh tikus-tikus yang gemuk di kepuk padi’.

11 December 2011

Dr Mahathir meminta Shahrizat berhenti. Yang lain-lain itu macam mana?

Dr Mahathir telah meminta Shahrizat berundur sebelum beliau diundurkan. Dr Mahathir merupakan individu yang terakhir meminta Sharizat berundur kerana terlibat dengan pinjaman mudah dari kerajaan sebanyak RM250 juta untuk membangunkan NFC di Gemas, Negeri Sembilan.

Sebenarnya berundur itu memang tidak payah disuruh dan dipaksa kerana isu itu memang menuntut Shahrizat untuk mengundurkan diri secara ‘voluntary’ sesuai dengan semangat demokrasi yang tulen. Sepatutnya Sharizat lebih awal lagi berundur tetapi beliau sebaliknya menyingsing lengan dan mengkritik pembangkang pula yang melakukan fitnah dan sebagainya.

Seperti yang saya sebut dalam tulisan saya beberapa hari yang lalu keputusan kerajaan untuk memberikan pinjaman dengan begitu mudah adalah disebabkan Shahrizat adalah seorang ahli jemaah kabinet negara. Kalau Shahrizat seorang bidan di klinik desa di kampung saya suaminya tidak mungkin mendapat pinjaman yang mudah daripada kerajaan.

Kalau dipandang dari sudut mana sekali pun, skandal ini melibatkan bukan sahaja Shahrizat tetapi seluruh ahli jemaah kabinet dan sepatutnya yang berhenti bukan Shahrizat seorang tetapi kesemua ahli yang berada di dalam jemaah kabinet semasa itu, terutamanya TS Muhyiddin Yassin yang ketika itu menjadi menteri pertanian dan asas tani negara.

Jika Shahrizat bertanggungjawab, maka Muhyiddin sepatutnya mengambil ‘accountability’ kerana projek ini mendapat sokongan beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab. Sayalah orang yang paling awal menerima cadangan TUN yang Shahrizat patut berundur tetapi masalahnya kenapa Sharizat sahaja? Kenapa tidak mereka yang lain yang telah menggunakan kuasa untuk kepentingan anak-anak dan keluarga dengan menggunakan duit orang ramai untuk menyelamatkan keluarga yang gagal dan perniagaan.

Tentu Dr Mahathir tahu siapa yang menggunakan lebih dari satu billion wang rakyat untuk digunakan untuk menyelamatkan perniagaan anaknya yang dalam kerugian besar semasa itu. Kenapa pemimpin itu tidak meletakkan jawatan dengan serta merta? Kita akui yang kesalahan politik dan moral yang dilakukan oleh Shahrizat adalah besar tetapi kenapa tidak mengambil tindakan kepada kes yang lebih besar dari itu?

Saya juga hendak bertanya bagaimana hendak membuang Shahrizat sedangkan parti telah mengambil ketetapan untuk mempertahankan Shahrizat. Muhyiddin Yassin, Noh Omar, Khairy Jamaluddin dan ramai lagi yang mempertahankan Shahrizat. Dalam perhimpunan agong 3 sayap parti dan perhimpunan agong UMNO sendiri tidak ada apa-apa tindakan yang di ambil terhadap Shahrizat.

Inilah masalahnya UMNO ini. Pemimpin-pemimpin mereka mempunyai kepentingan perniagaan. Kepentingan perniagaan itu satu hal. Yang lebih menyedihkan berlaku di dalam UMNO ini ialah nilai kepimpinan, nilai kemanusiaan serta budaya di kalangan ahli-ahli dan penyokongnya telah terlalu ,’un Malay’, budaya yang bukan dimiliki oleh Melayu.

Persepsi kepada sesuatu isu itu sudah terlalu jauh menyimpang dan tidak pernah kita sangka yang keadaan sudah sampai ke tahap yang sangat merunsingkan. Kita boleh lihat apa yang berlaku di Pulau Pinang beberapa hari yang lepas di mana sekumpulan penyokong kerajaan yang anti DAP telah menampakkan kebobrokan mereka dengan menghantar kek berbentuk tahi kepada Lim Guan Eng.

Apa semuanya ini? Tindakkan tidak berbudaya dan beragama ini disokong pula oleh media masa perdana kepunyaan UMNO TV3 dengan menyiarkan berulang kali untuk memberi tekanan kepada DAP. Inikah hasil perjuangan UMNO? Ini kah budaya yang UMNO bentuk selama ini. Ini kah budaya Melayu?

Mentaliti yang sudah jatuh ke tahap ini sekali gus melambangkan pihak yang menyokong UMNO itu sudah berada di dalam keadaan desperate yang tidak terhingga. Di perhimpunan agong di Kuala Lumpur kita mendengar ada pemimpin-pemimpin yang menggunakan ayat-ayat suci, tetapi di bawah, penyokong-penyokongnya menggunakan taktik politik yang bukan islamik.

Mereka membuat kek berbentuk tahi untuk di hadiahkan kepada Ketua Menteri yang menyambut hari jadi yang ke 51. Kalaulah hanya ini yang UMNO mampu untuk mencapai maka kita eloklah berfikir 1000 kali sebelum memberikan undi kepada parti yang kian hari kian gila ini.

Sampai bila kita rakyat hendak hidup bersama dengan kumpulan yang tidak berbudaya ini. Menghantar kek berbentuk tahi ini memang satu insiden yang sudah cukup untuk di nilai bagaimana UMNO membentuk budaya dan sifat penyokong-penyokong mereka. Sifat amarah yang tidak ada batasan semata-mata kerana hendak menjatuhkan pimpinan negeri dengan melakukan tindakkan yang tidak terperi hinanya ini amat memalukan bangsa.

Kenapa tidak bertindak dengan melakukan kerja-kerja baik untuk meyakinkan rakyat untuk menyokong pimpinan UMNO? Percayalah ini bukan budaya yang sepatutnya ada dalam UMNO. Itulah sebabnya saya telah menyebutkan ratusan kali, budaya ini bukannya budaya UMNO yang asal. Ini budaya UMNO baru, parti yang ditubuhkan untuk menyelamatkan Dr Mahathir dahulu. Jika UMNO yang ada pada hari ini serupa dengan UMNO dahulu, politik negara tidak akan jadi begini keadaannya.

Bagi pendapat setengah pihak samada Shahrizat berhenti atau pun tidak UMNO akan tetap berada dalam keadaan yang sama. UMNO itu telah jatuh imejnya bukan oleh kerana Shahrizat seorang. Ia di sebabkan oleh semua pemimpin-pemimpin parti itu. Terus terang saya nyatakan yang patut berhenti ialah Najib dan seluruh barisan pimpinannya. Kata perbilangan, ‘busuknya ikan itu bermula dari kepalanya’.

Jika kita selalu ke pasar untuk membeli ikan kita akan tengok kepalanya dahulu untuk menentukankan samada ikan itu elok atau pun tidak. Kita tidak payah melihat badan ikan itu; cukup sekadar melihat kepala ikan itu sahaja. Kalau engsang ikan itu sudah hitam ikan itu sudah tidak baik untuk dimasak lagi.

Kalau kita pandang dari sudut etika kepimpimpinan semua pemimpin UMNO yang ada sekarang sudah sepatutnya mengundurkan diri, tetapi mungkin oleh kerana Shahrizat tidak sekuat setangah pemimpin yang lain maka Shahrizat tidak mendapat keistimewaan ramai lagi pemimpin yang telah melakukan kerja tidak baik yang jauh lebih hina dari Shahrizat.

Itulah sebabnya di negara-negara maju etika kepimpinan ini merupakan perkara yang lebih di titikberatkan oleh negara-negara tersebut. Seorang ahli kabinet Jerman pernah hilang jawatannya kerana menggunakan kad kredit kerajaan untuk membeli cokelat untuk cucunya yang tidak seberapa harganya. Seorang ahli kabinet Britain hilang jawatannya kerana menggunakan pengaruhnya sebagai menteri dalam negeri untuk mempercepatkan proses permohonan permit kerja untuk orang gaji teman wanitanya.

Saya menyebut perkara dan contoh-contoh ini untuk menunjukkan betapa ketinggalannya kita dalam memilihara etika kepimpinan dalam sebuah negara demokrasi saperti kita ini. Pemimpin-pemimpin kita telah menggunakan pengaruh dan kuasa dengan tidak ada hadnya dan ada seorang pemimpin utama negara yang menggunakan wang rakyat yang berbillion utnuk menyelamatkan perniagaan anaknya. Pemimpin yang saya maksudkan itu tidak pula berhenti dan telah duduk di kerusi tertinggi negara ini dengan begitu lama selepas perkara itu berlaku.

Saya telah selalu sebut tentang perkara ini: iaitu yang membuat salah yang lebih besar meminta pemimpin lain yang telah melakukan kesalahan yang sama untuk berhenti. Ini merupakan satu perkara yang tidak adil.

Benar, Shahrizat wajar berhenti, tetapi yang lain-lain pun perlu berhenti kerana telah melakukan kesalahan yang sama suatu ketika dahulu. Lagi pun apa yang dilakukan oleh Shahrizat ini sepatutnya diambil ‘accountability’nya oleh keseluruhan barisan kabinet kerajaan.

Moralnya Najib dan semua ahli-ahli jemaah kabinetnya perlu berhenti dalam isu NFC ini. Itulah etikanya. Dr Mahathir patut menyeru semua ahli jemaah kabinet negara berhenti bersama-sama dengan Sharizat Jalil. Kesemua mereka itu sama sahaja.

08 December 2011

Dio dapek kerusi, kito dapek ayat

Kadang-kadang ada juga rasa tidak ada ‘mood’ untuk menulis tentang perkara yang serius. Kali ini saya tidak akan menulis tentang isu yang berat; hanya hendak menulis tentang pengalaman yang ada sikit-sikit ini untuk saya tulis sebagai coretan peribadi saya.

Saya teringat kepada satu insiden berucap dan berceramah di Johor banyak tahun yang lalu. Salah seorang daripada orang ramai yang begitu marah dengan wakil rakyat mereka yang jarang-jarang datang menjengok mereka di kampung mereka yang agak jauh dari bandar.

Semasa pilihanraya dahulu wakil rakyat yang beliau maksudkan ini datang dengan berbagai-bagai cara dan penampilan untuk mendapatkan undi daripada pengundi di kampung serta peti undi itu.

“Kami masih ingat lagi, semasa pilihanraya dahulu, wakil rakyat ini datang dengan membawa surah kursy yang dicetaknya untuk kami baca beramai-ramai kononnya untuk menolak bala dan hasutan pihak lain. Kami pun bacalah ramai-ramai dan dipendekkan cerita beliau menang dengan undi yang selesa.. Sejak beliau menang kami tidak nampak batang hidungnya lagi. Kami ingat kami telah diminta membaca ayat kursy itu berulang-ulang kali, akhirnya dia dapat kerusi, dan menjadi kaya-raya, kami hanya dapat ayat sahaja,” kata seorang yang pertengahan usia dan disambut dengan gelak ketawa hadzirin semua.

Apabila saya teringat insiden-insiden seperti ini saya merasa seronok pun ada, sedih pun ada dan geram pun ada. Walaupun ia sangat menggelikan hati saya tetapi kita boleh belajar daripada kata-kata rakyat yang berada di bawah ini.

Apabila saya teringat isu-isu seperti ini ia membuatkan saya tidak berapa berkenan dengan pemimpin-pemimpin UMNO menggunakan ayat-ayat suci untuk menutupi segala dosa dan noda yang dilakukan di hadapan mata dan kepala rakyat.

Saya teringat kepada insiden ini apabila saya mengikuti ucapan Muhyiddin Yassin dalam perhimpunan 3 sayap UMNO minggu yang lepas. Dalam ucapan beliau itu beliau telah membaca beberapa baris ayat Quran untuk dijadikan ‘insulation’ kepada segala noda dan perkara yang tidak semenggah yang berlaku di dalam UMNO.

Dalam pada membaca ayat-ayat suci Tuhan itu beliau telah memaki hamun pihak seterunya dengan menuduh bermacam-macam yang keji seperti menuduh parti lain hendak menjadikan negara ini sebagai negara republik dan anti Islam serta hendak membuang raja-raja Melayu. Semua tahu yang itu hanyalah merupakan tuduhan liar tetapi tuduhan-tuduhan liar itu di saluti dengan membaca ayat-ayat suci Tuhan. Apa maknanya semua ini?

Kalau tidak malu kepada tuhan, tidakkah beliau malu kepada diri beliau sendiri setidak-tidaknya? Kalau dahulu pemimpin ini menuduh PAS menggunakan ayat-ayat Quran untuk politik tetapi sedarkah beliau yang beliau telah menggunakan ayat-ayat suci untuk mengelirukan rakyat yang beliau sangka bodoh semuanya?

Kita orang Islam sejahil mana pun tahu yang Iblis itu adalah malaikat yang paling alim (berilmu) di kalangan ramai-ramai malaikat. Tetapi Iblis telah bersumpah dan berikrar untuk menyesatkan semua bani Adam dan iblis tidak mahu tunduk kepada Adam walaupun diperintah Tuhan untuk berbuat demikian.

Selebihnya saudara/saudari sambunglah sendiri.

07 December 2011

Kalau pilihan kali ini salah lagi, salahkan diri sendiri

UMNO mengakui yang pilihanraya kali ini merupakan ibu kepada semua pilihanraya. UMNO menganggap ia sebagai ibu kepada semua PRU kerana UMNO menganggap pertukaran pemerintahan dari mereka kepada pihak lain itu merupakan satu jenayah dan tidak boleh dan tidak patut berlaku.

Kepada negara-negara lain yang mengambil demokrasi sebagai cara politik mereka, pertukaran pemerintah itu adalah perkara biasa dan ia nya adalah hak rakyat ramai untuk menentukkan kepada siapa yang mereka hendak berikan mandat untuk mentadbir mereka. Di antara parti buruh dan conservative di Britain tidak tahu berapa kali pertukaran pemerintahan di antara kedua-dua parti itu dan sekarang pula adalah kerajaan campuran conservative dengan liberal democrat.

Di negara kita lain pula keadaannya. Pada UMNO rakyat mesti mendengar semua cakap dan arahan mereka. Hak rakyat hanyalah untuk pergi ke peti undi dan pangkah lambang dacing sahaja….tidak payah berfikir dan tidak payah membuat penilaian terhadap mereka. Rakyat hanya diarah untuk jadi burung balam sahaja…mengangguk walaupun tidak bersetuju.

Jika ada rakyat yang berbeza pendapat atau pun menyebelahi parti-parti lain rakyat ini akan dikatakan pengkhianat, pembelot, anti Melayu, anti Islam, DAP mengkristiankan orang Melayu, DAP nak jadikan negara ini negara republik dan sebagainya. Walaupun DAP parti halal, siapa yang menyertainya adalah pengkhianat dan pembelot seperti yang di ungkapkan oleh Muhyiddin Yassin. Saya tidak tahu parti halal itu adalah parti pembelot.

Rakyat, khususnya orang Melayu ditakut-takutkan oleh UMNO yang Melayu akan hilang di dunia ini dan hanya UMNO sahajalah yang berkebolehan untuk menyelamatkan orang Melayu….seolah-olah tidak ada elemen-elemen lain yang boleh menyelamatkan bangsa yang di pimpinnya seperti kehendak tuhan dan afa’al tuhan. Pemimpin-pemimpin UMNO pergi sejauh menuduh DAP sebagai pencetus 13 Mei dan isu inilah yang di timbulkan setiap kali pilihanraya tiba.

Pemimpin mereka akan berkata yang UMNO sahaja yang boleh memberi mereka makan. UMNO sahajalah yang boleh melanggar undang-undang kerana pengaruh UMNO boleh memberikan ‘immunity’ kepada penjenayah kolar putih. Hanya UMNO yang boleh memberikan pinjaman ratusan juta jika isteri atau suami mereka berada di dalam kabinet.

Jika Shahrizat Jalil itu hanya seorang bidan di klinik desa, suaminya tidak akan dapat mendapatkan pinjaman RM250 juta dan membelanjakan wang hasil pinjaman mudah dengan interest hanya 2 peratus itu untuk membeli kondominium, dua lot tanah di Putrajaya, kereta Mercedez dan bercuti keluar negara serta mengerjakan Umrah. Hebat betul bila dapat jadi menteri walaupun mengikut jalan belakang.

Hanya UMNO boleh melanggar undang-undang dan perjanjian dan hanya UMNO boleh memasukkan atau mengeluarkan sesiapa dari penjara. Hanya UMNO boleh melakukan penderhakaan terhadap Raja-Raja Melayu seperti yang berlaku pada tahun 1993 dahulu yang di ketuai oleh Dr Mahathir Mohammed. UMNO merupakan satu ‘tool kit’ untuk sesiapa yang memegang parti ini tetapi sekarang ini sudah terlalu banyak trend yang membuktikan rakyat sudah berani menentang ‘hegemony’ UMNO ini. Kenapa rakyat sudah berani?

Jawapannya ialah kerana rakyat sudah tahu rupa-rupanya negara ini mereka yang punya, bukannya kepunyaan UMNO seperti yang mereka sebut dari dahulu hingga sekarang. Rakyat sudah insaf yang segala yang UMNO katakan itu kebanyakkannya merupakan tindakkan menyesatkan pemikiran mereka.

Rakyat baru sedar sekarang ini UMNO hanya mempunyai 56 kerusi parlimen di Semenanjung dan 13 lagi kerusi di Sabah dan jumlahnya hanyalah 69 kesemuanya. Rakyat sudah mulai sedar yang UMNO bukanlah parti yang memimpin parlimen itu dalam erti kata yang hakiki. UMNO hanyalah parti yang sudah begitu kecil penyertaan dan Dewan parlimen jika dibandingkan dengan masa-masa yang lalu. UMNO sekarang sudah menjadi parti yang menadah tempurung untuk mendapatkan lanjutan kuasa yang mereka telah alami sejak dulu lagi.

Rakyat sudah sedar yang rupa-rupanya UMNO bukanlah parti yang ‘invincible’ dan boleh diketepikan oleh rakyat apatah lagi dalam keadaan UMNO yang paling lemah dalam sejarah 23 tahun kewujudan parti itu. Baru sekarang UMNO hendak mencari calun-calun boleh menang tetapi sayangnya ia dilakukan semasa parti itu sudah tidak ‘winnable’ lagi. UMNO sesungguhnya sedang menghadapi krisis keyakinan yang paling teruk dalam sejarahnya.

Sebagaimana yang saya katakan tadi, di Semenanjung UMNO hanya mempunyai 56 kerusi dan ditambah dengan 13 kerusi dari Sabah yang belum tentu dapat bertahan atau tidak ke mana. Rupa-rupanya UMNO hanya mempunyai 20% suara dalam parlimen dan tahulah kita sekarang kenapa pemimpinnya bercakap bergegar-gegar dalam semua perjumpaan dalam persediaan menghadapi rakyat dalam tempoh yang terdekat ini.

Barulah rakyat sedar yang BN selepas pilihanraya ini hanya ada satu parti di Semenanjung ini kerana MCA dan Gerakan sudah hampir pupus dari scenario politik perdana negara ini. MCA dibawah kepimpinan CSL yang famous itu merupakan zaman yang paling getir dalam sejarah parti itu. Dijangkakan hampir semua baki-baki kerusi MCA itu akan hilang dan parti itu tidak akan lagi menjadi parti yang mempunyai apa-apa 'consequence' selepas ini.

Jika UMNO keseluruhan hilang 10 lagi kerusi kali ini ianya memberi makna yang UMNO sudah sampai ke penghujung hayatnya. Kalau UMNO mendapat kurang dari jumlah kerusi yang mereka menangi di dalam pilihanraya dahulu, waimma dengan hanya satu kerusi tambahan UMNO sudah boleh kita anggap secara ‘conclusive’ yang parti itu sudah mati dari segi hakikatnya.

Kalau keadaan itu berlaku keyakinan ahli-ahli UMNO sendiri akan menurun, apatah lagi bagi Melayu atau rakyat yang tidak menyertai mana-mana parti. UMNO sudah hilang kelayakan untuk memimpin BN kerana parti yang angkuh ini hanya mempunyai 23% perwakilan di parlimen. Apabila BN kehilangan komponen yang kedua terbesar dalam BN iaitu MCA maka BN tidak lagi mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin komponen yang suatu ketika dahulu gagah dan perkasa. UMNO tidak akan lagi dihormati dan disegani oleh parti-parti komponen yang berada di dalam BN keseluruhannya.

Itulah sebabnya saya pernah berkali-kali mencadangkan supaya negara ini mempunyai politik yang baru. Kita terpaksa mencari seorang pemimpin Melayu yang dihormati oleh semua kaum samada cina, India mahu pun semua bangsa di Sabah dan Sarawak.

Kita terpaksa memulakan keadaan politik baru yang di pimpin oleh seorang yang berpengalaman untuk berbincang dengan ketua-ketua semua kaum seperti yang dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman dahulu. Dalam proses ini maka terpaksalah setengah pihak untuk berkorban bagi menjamin kestabilan politik negara di masa-masa yang akan datang.

Pengorbanan boleh dilakukan dengan pengunduran pemimpin-pemimpin parti yang menjadi isu terbesar yang menyebabkan komponen yang memimpin negara tidak diyakini rakyat lagi.

Latar belakang politik hari ini tidak membolehkan lagi UMNO menjadi tunjang kepimpinan negara. UMNO seperti yang berlaku di Selangor hanya menjadi penghasut dengan mencari cari siapa yang mahu berhadapan dengan kamera TV untuk membuat bantahan kepada perkara dan isu yang kecil terhadap kepimpinan Khalid Ibrahim. Di P Pinang, di Kedah dan Kelantan hanya UMNO dan pemimpin mereka hanya mencari kesalahan-kesalahan pentadbiran negeri pimpinan PR itu seperti orang mencari kutu.

UMNO dan BN tidak pula membuat demonstrasi terhadap parti dan pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kerugian PKFZ yang melibatkan RM12 billion. PKFZ merupakan ibu kepada segala skandal pemimpin menjahanamkan wang rakyat. Skandal yang begitu besar skalanya ini dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan MCA, termasuk melibatkan PM semasa itu yang begitu lalai dan tidak bertangjawab terhadap kos pembelian tanah yang begitu tinggi.

Ahli-ahli UMNO serta pemimpin UMNO Selangor yang tidak terlibat dengan skandal ini untuk berdemonstrasi besar-besaran jika benar ahli-ahli UMNO benar-benar hendak mencari ketelusan dan kejujuran pimpinan semasa BN berkuasa itu.

Oleh itu rakyat Selangor terutamanya wajar membawa kes ini ke mahkamah rakyat dan membuat keputusan yang jelas di dalam pilihanraya yang akan datang. Jika UMNO hilang 10 kerusi parlimen dan MCA kehilangan keseluruhan kerusi-kerusi yang berbaki sebanyak 15 lagi itu, maka BN akan berhadapan dengan akhir kalam politik mereka.

Tetapi itu adalah biasa sebagai sebuah negara demokrasi. UMNO boleh duduk di kerusi-kerusi pembangkang di dalam semua dewan legislatif negeri-negeri dan persekutuan. Apa salahnya duduk di bangku pembangkang pula kali ini.

Kalau kita main gasing kedua-dua belah pihak mesti mengambil giliran untuk memusing gasing dan memangkah gasing-gasing itu. BN selama ini hanya di pihak yang memangkah, kali ini BN patut bersetuju untuk memusing pula. Itulah demokrasi.

Kita tengok pula, jika Pakatan Rakyat memimpin Putrajaya, berlaku kah atau tidak pinjaman mudah sebesar RM250 juta dari kerajaan untuk memelihara lembu seperti yang dilakukan oleh BN yang sedang mentadbir Putrajaya sekarang ini.

Kalau PR memerintah adakah kejadian seperti membeli peralatan ketenteraan yang di gandakan harganya berlipat kali untuk kepentingan syarikat kroni seperti yang berlaku sekarang ini?

Jika pihak PR menjadi PM akan adakah PMnya menggunakan harta rakyat dalam jumlah berbillion ringgit untuk menyelamatkan perniagaan anaknya yang kerugian besar dalam perniagaan perkapalannya seperti yang pernah berlaku beberapa tahun dahulu?

Agak-agaknya kalau pemimpin PR menjadi Menteri Besar mana-mana negeri adakah agaknya MB itu tertangkap menghantar wang sebanyak RM10 juta keluar negara secara haram melalui penggurup wang yang ‘dubious’ seperti yang dilakukan oleh seorang MB tidak berapa lama dahulu?

Banyak lagi persoalan tetapi masa dan ruang tidak memberikan saya peluang untuk menyenaraikannya satu persatu. Tetapi secebis yang di sebutkan itu sudah cukup untuk membuat keputusan secara ‘conclusive’ dalam pilihanraya yang akan datang.

Yang penting, keputusan kita mestilah satu keputusan yang akan dapat menghindar apa yang saya sebutkan tadi berulang lagi. Jika mereka yang melakukan itu masih mendapat mandat jangan bersungut lagi. Salahkan diri sendiri.