Dalam politik anak dan bapa juga
ada yang tidak sehaluan. Dalam interview Dr Mahathir dengan Mob TV, beliau
telah menegur anaknya Marina supaya berhati-hati
dengan tindak tanduknya (Marina) kerana tindak
tanduk Marina
itu akan menjejaskan parti pemerintah iaitu UMNO serta menjejaskan juga politik
ahli keluarga beliau. Mahathir begitu sangsi akan tindakan Marina bergiat dan menyokong Bersih 3.0 dan
Bersih yang sebelumnya itu akan menjejaskan politik adiknya Muhkriz.
Pandangan Dr Mahathir terhadap
anaknya itu ada benar dan salahnya. Jika Mahathir lebih memikirkan politik
peribadi dan keluarga beliau maka kata-kata beliau itu benar dan betul seratus
peratus. Memang banyak pun yang memberi pandangan yang Mahathir ini tidak payah
diambil pusing nasihat dan kata-katanya kerana anak beliau sendiri telah
menunjukkan sikap ‘anti establishment’ dan Marina telah menunjukkan banyak contoh sikap
tidak sehaluan dengan kerajaan BN sekarang ini.
Tetapi jika Mahathir mampu
memandang dari sudut lain, iaitu sudut memperjuangkan kebenaran, apa yang
dilakukan oleh Marina itu patut direstui oleh
Mahathir kerana beliau sepatunya faham yang Marina itu adalah pejuang kepada tuntutan
yang diperjuangkan oleh Bersih dan banyak NGO-NGO yang lain. Mahathir
sepatutnya merasa bangga dengan ketegasan anak perempuannya itu jika beliau
(Mahathir) mengakui kebenaran yang diperjuangkan oleh Marina itu.
Tetapi nampaknya Mahathir lebih
cenderung untuk menjaga kepentingan politik anak lelakinya, Mukhriz dan beliau
tidak pertimbangkan kebenaran yang diperjuangkan oleh Marina yang mendapat perhatian banyak pihak
sambil memberikan sokongan kepada pejuang
reformasi pilihanraya itu.
Bagi Mahathir kebenaran dalam isu
ini ialah menjadikan Mukhriz sebagai pemimpin politik besar dan sebesar mana pun
kebenaran yang diperjuangkan oleh anak perempuannya Marina itu tidak mendapat perhatian beliau.
Bagi Mahathir kebenaran itu ialah kuasa dan tidak yang lain. Mahathir semalam
mengakui yang beliau akan menyokong Mukhriz jika UMNO menurunkan anak emasnya
itu bertanding di salah satu kawasan DUN di Kedah untuk menjadi Menteri Besar
Negeri Jelapang Padi itu.
Niat Mahathir untuk meninggalkan
warisnya dalam politik tanah air itu sememangnya telah dihidu oleh semua orang
dan pengakuan beliau itu tidak mengejutkan sesiapa. Malahan mata Mahathir akan
tertutup rapat jika beliau meninggal dunia selepas melihat anaknya itu menjadi
orang besar negara seperti beliau. Tuduhan ramai terhadap Mahathir yang beliau
membuat ‘bising’ sekarang ini adalah untuk kepentigan keluarga beliau.
Mahathir tentunya mahukan anaknya
menjadi seperti Najib dan Hishamuddin yang kedua-duanya adalah anak-anak kepada
bekas Perdana Menteri negara. Jika Mahathir berjaya untuk menjadikan anaknya
itu pemimpin besar dan akhirnya menjadi Perdana Menteri maka beliau akan
berjaya untuk menyambung tradisi yang pemimpin-pemimpin yang akan datang mesti
datang dari keluarga bekas-bekas Perdana Menteri.
Itulah sebabnya Mahathir begitu
marah apabila Mukhriz mendapat nombor tercorot dalam pemilihan Ketua Pemuda Malaysia
apabila undi beliau jauh kebelakang daripada undi-undi yang diperolehi oleh Khairy
dan Khir Toyo dalam pertandingan itu. Yang Mahathir marah sekali ialah terhadap
menantu Pak Lah yang telah berjaya mendapatkan undi tertinggi dalam pemilihan
Ketua Pemuda itu.
Akhirnya Marina sendirilah yang
berhak untuk memilih di antara kebenaran atau politik adik beradik dalam isu
ini. Jika Marina memilih untuk mencari kebenaran maka tindakan beliau sekarang
amatlah benar dan betul.
Tetapi jika Marina
memilih untuk mementingkan politik bapanya dan adik beradiknya eloklah beliau (Marina) mengikut sahaja
kata-kata ayahanda beliau itu. Tetapi saya yakin Marina akan terus memilih kebenaran kerana
saya rasa beliau tahu yang kebenaran itu akan timbul akhirnya.
Tetapi jika Marina mengikut kehendak bapanya itu
janganlah putuskan hubungan baik dengan Ambiga yang telah terjalin begitu rapat
selama ini. Marina
dan Ambiga itu bersahabat baik. Baiknya Ambiga dengan Marina itu seperti orang ‘bertambat bulu’.
Itu kata orang tua-tua dahulu.