13 July 2011

Elok kita menyesal dulu - Sesal kemudian tiada gunanya

Berbagai-bagai nama dan jenama diberikan terhadap Bersih yang telah menganjurkan rally di Kuala Lumpur dan di banyak kotaraya besar di seluruh dunia secara serentak pada 9hb Julai yang lepas. Di Kuala Lumpur sebagaimana yang telah diagak perancangan yang begitu rapi untuk menggagalkan perhimpunan raksaksa itu telah dilakukan dengan agak kasar dan membingungkan mereka yang percaya kepada sistem demokrasi. Bagi kerajaan demokrasinya berbeza kerana kata pimpinan kita kita ada acuan demokrasi kita sendiri.

Acuan itu tentulah acuan yang hanya memberi kelebihan kepada yang memerintah dan itulah cara yang kita menjadi pemerintah sejak berdekad-dekad yang lalu. Tidak payah kita ulas tentang sistem dan acuan kita itu kerana perkara itu sudah selalu ditulis dan diperkatakan ramai. Tetapi kita hanya tumpukan kepada apa yang kita lihat berlaku semasa rally itu berlaku di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

Rally ini merupakan satu perkara yang tidak ingin dilihat berlaku oleh kerajaan yang sudah sedia dengan masalah imej serta menghadapi krisis keyakinan yang amat mendebarkan pihak yang memerintah. Banyak bukti-bukti yang ‘organic’ yang rakyat lihat tentang kelemahan pimpinan kita dan jika ditambah dengan gerakan Bersih menuntut transformasi di dalam cara pengendalian pilihanraya di negera ini persepsi buruk terhadap parti pemerintah bertambah rendah.

Tuntutan ini juga memeningkan pemerintah yang selama ini mendapat kelebihan dari cara pengendalian pilihanraya yang agak tidak begitu telus. Ini hakikat yang tidak boleh dinafikan dan jika ada juga pihak yang menafikannya maka forum ini tidak payah diteruskan. Kegagalan parti-parti pembangkang untuk menjadi parti kerajaan sedikit sebanyak adalah di sebabkan sistem pengendalian pilihanraya yang berat sebelah.

Tuntutan 8 perkara oleh 62 NGO yang bergabung dibawah Bersih ini sangat dibenci oleh pihak pemerintah dan penyokong tegar mereka kerana jika tuntutan ini diterima maka akan wujud ‘even playing ground’ bagi semua parti untuk bertanding dan menawarkan kepimpinan masing-masing kepada rakyat. ‘Even playing ground’ inilah yang menjadi ketakutan BN. Selama ini parti-parti pembangkang tidak pernah mendapat liputan dalam media perdana secara adil. Apa yang di dapati dari media perdana ialah segala bedilan dan tohmahan terhadap pembangkang yang acapkali tidak masuk akal.

Parti pemerintah sedar walaupun parti pembangkang disekat kemudahan media, mereka berjaya juga untuk memenangi mandat di lima buah negeri. Ini menjadi igauan semasa tidur tidak kira malam atau siang hari. Igauan ini bertambah teruk lagi apabila di seluruh dunia di mana ramai rakyat Malaysia mereka mengadakan rally Bersih ini secara serentak.

Igauam PM ini membuatkan beliau mendabik dada mengatakan yang beliau boleh keluarkan 1 million ahli UMNO dari jumlah 3 juta yang terdaftar pada hari ini. Ini merupakan satu cakap yang boleh dianggap lucu kerana dari 500 orang ahli cawangan UMNO hanya 50 oarang sahaja ahli secara pukul rata yang menghadziri mesyuarat agung cawangan. Dari segi teknikalnya UMNO seolah-olah tidak wujud lagi terutamanya diperingkat cawangan-cawangan kerana tiada lagi kegiatan parti yang diusahakan oleh pimpinan cawangan.

Ada setengah pihak mengatakan dari segi moralnya UMNO sudah mati dan tidak bergerak lagi. Jika UMNO (asal) mati dibunuh UMNO gantian ini pula akan mati beragan…….hanya mampu menggerakan cuping mata tetapi tubuh yang lain sudah tidak bermaya lagi.

Hakikat inilah yang menyebabkan pihak pemerintah melakukan apa sahaja untuk menggagalkan rally ini. Jika ada kesusahan kepada rakyat ramai segala strategi untuk memindahkan kesalahan kepada rally dan penganjurnya.

Sekatan jalan raya diadakan beratus-ratus batu dari Kuala Lumpur diadakan untuk menyekat peserta rally untuk sampai ke Kuala Lumpur berhari-hari sebelum rally itu diadakan. Tangkapan dan penahanan dilakukan kepada sesiapa sahaja yang memakai baju kuning, topi kuning, kasut kuning dan apa-apa yang lain yang berwarna kuning.

Di Kuala Lumpur perkhidmatan keretapi, commuter, LRT dan monorail diarah memberhentikan perkhidmatan untuk mengelak kesampaian peserta rally ini. Semua kenderaan tidak boleh masuk ke Kuala Lumpur dan ini semua adalah taktik untuk mengelakan banjiran rakyat yang mahukan transformasi kepada sistem pilihanraya melalui rally anjuran Bersih ini.

Apabila orang ramai tidak datang ke kuala Lumpur seperti biasa maka Bersih dipersalahkan dan dituduh bertanggungjawab ke atas kerugian yang sehari yang di alami oleh peniaga-peniaga di laluan rally ini. Tetapi ada kedai-kedai kopi mamak yang mendapat keuntungan besar kerana dibanjiri oleh peserta rally ini di Pudu dan beberapa tempat yang lain.

Ini memang strategi yang sengaja diadakan semata-mata untuk mencari helah untuk menyalahkan Bersih dengan keadaan itu. Tetapi hakikatnya sekatan Polis inilah yang menyebabkan kerugian ini. Jika dibenarkan rally ini berlaku dan dibantu untuk peserta rally ini berjalan ke Stadium untuk berhimpun secara aman, keadaan ini tidak akan berlaku dan pihak pemerintah tidak akan dapat mencari sebab untuk menyalahkan Bersih di mata rakyat.

Strategi ini mudah difahami oleh rakyat dan untuk dijadikan sebagai strategi untuk mendapat sokongan rakyat, buat masa ini sudah tidak berapa ‘effective’ lagi. Tektik lama ini sudah lama tidak dipakai lagi oleh ramai rakyat dan ini hanya memalukan kita sendiri kerana niat kita dapat dibaca dengan jelas oleh semua pihak. Itulah sebabnya ramai dan banyak pihak berpendapat kerajaan telah mengendalikan isu Bersih dan rally nya ini sebagai ‘counter productive’.

Tetapi kalau kita berkata sedemikian bolehkah pimpinan kita menerimanya? Jawapan mudahnya ialah TIDAK. Pimpinan kita masih menggunakan tektik usang yang sudah lama tidak diterima oleh rakyat yang kian hari kian berfikir dan memerhatikan segala ‘conduct’ pemimpin kita di hadapan rakyat. Pihak pimpinan negara selalu terperangkap dengan kesilapan mereka sendiri. Tetapi mereka masih berfikir yang mereka itu betul dan disokong pula oleh penyokong-penyokong tegar yang tidak mampu atau tidak berdaya untuk berterus terang terhadap pemimpin yang mereka sokong itu.

Akhirnya pimpinan kita mendapat sokongan yang membawa rebah. Pimpinan kita pula berpuas hati dengan lapuran yang sedap-sedap dari pihak ini. Lama-kelamaan mereka tidak sedar yang ombak tsunami sudah terlalu hampir untuk berbuat sesuatu untuk menahannya.

Pandangan seperti ini memang tidak digemari oleh penyokong-penyokong yang tidak mahu berfikir. Apabila jatuh nanti maka kita akan dipersalahkan. Mereka tidak juga bersalah.

Itulah dia keadaannya. Jika sampai waktu hendak jatuh bergelimpangan nanti terima sahaja keadaan itu…..tetapi tolong jangan salahkan pihak lain. Sesal kemudian tidak ada gunanya. Tanggunglah sendiri. Saya pun nak tengok juga keadaan mereka yang garang-garang sekarang ini. Garang kah mereka lagi apabila sampai waktunya nanti?

Kita tunggu.

10 July 2011

Rally Bersih 2.0 - Kerajaan berjaya, Bersih lagi berjaya.

Kedua-dua belah pihak Bersih dan kerajaan telah berjaya dalam isu rally anjuran Bersih semalam. Kehendak kedua-dua belah pihak berjaya diperolehi dengan kejayaan masing-masing..

Pihak kerajaan dan Polis mereka telah berjaya menghalang ratusan ribuan rakyat untuk berdemonstrasi, Dengan usaha kerajaan dan Polis mereka telah berjaya mengurangkan jumlah kedatangan iaitu sehingga hanya 50,000 orang sahaja dari yang pada asalnya dijangkakan seramai 500,000 orang jika tidak ditahan dan di tekan oleh kerajaan melalui ‘Polis Raja diMalaysia’ (PRDM).

Pihak kerajaan telah berjaya menangkap dan memberkas seramai lebih dari seribu orang pada hari semalam. Dan ini merupakan penahanan yang paling ramai setakat ini. Pihak Polis telah bekerja kuat untuk cuba menutupi hakikat yang ramai rakyat sedang memberontak di dalam naluri mereka. Justru IGP telah mengumumkan angka yang tidak menasabah iaitu seramai 6000 orang sahaja yang berhimpun.

Polis begitu berbangga mengumumkan yang mereka telah berjaya menahan ratusan ribu rakyat untuk berhimpun seolah-olah mengumumkan kejayaan menumpaskan sindikit terbesar pengedaran dadah. Pihak pemerintah berusaha keras yang perhimpunan itu akan menjejaskan perniagaan pada hari semalam. IGP pun nampaknya bercakap ala ahli politik. Mungkin bergiat dalam politik merupakan 'option' yang baik selepas beliau bersara nanti.

Tetapi rakyat kembali bertanya kalau di benarkan perhimpunan secara aman diadakan maka tidak akan berlaku kekosongan dari orang ramai di tempat-tempat yang biasa dengan kesibukan manusia. Kalau di benarkan rally itu di adakan secara aman bas-bas tidak akan hilang penumpang seperti yang selalu diperolehi mereka.

Polis menutup jalan-jalanraya kerana hari ini terbukti yang menyebabkan huru-hara itu adalah pihak Polis yang mengambil rally ini seperti mahu menghadapi perang dunia ketiga. Malahan jika rally ini di benarkan rally itu diteruskan dengan kawalan pihak Polis, peniaga-peniaga akan mendapat lebih keuntungan dengan bertambahnya langan kepada barang jualan mereka.

Tetapi oleh kerana hendak menutup pandangan orang ramai tentang sokongan kuat dari rakyat untuk melakukan transformasi sistem pilihanraya itu maka dilakukan penutupan jalan-jalanraya yang penting di ibu kota untuk menghalang rakyat yang ramai untuk menyertai rally tersebut. Hasilnya peniaga-peniaga yang menerima padahnya.

Apa pula kejayaan pihak penganjur rally ini? Penganjur rally ini telah berjaya membuktikan yang mereka mendapat sokongan ramai. Jika tidak mendapat sokongan ramai masakan kerajaan menggunakan Polis dan undang-undang dharurat dengan menahan orang ramai yang disyaki menyokong Bersih di seluruh negara.

Kerajaan tahu yang jika rally ini dibenarkan di adakan tanpa gangguan pihak Polis ratusan ribu rakyat akan keluar secara aman untuk menunjukan menifestasi mereka terhadap cara pengendalian pilihanraya di negara ini. Tetapi kerajaan tidak dapat mengawal peserta rally dari rakyat Malaysia di seluruh dunia. Di Melbourne, Perth, Sydney, London dan tidak beberapa jam lagi di New York, Los Angeles serta di mana-mana sahaja rakyat Malaysia berada, mereka keluar memberikan sokongan dengan mengadakan rally secara aman tanpa gangguan pihak pemerintah.

Para penyokong rally ini datang dengan kehendak sendiri tanpa dibayar elaun dan mereka mengeluarkan perbelanjaan sendiri. Dari segi politiknya tentulah mereka mendapat sokongan dengan ‘legitimate’ tanpa didorong oleh imbuhan seperti yang diamalkan dalam mana-mana perhimpunan yang dilakukan oleh UMNO. ‘Tak ada fulus jangan harap mereka hendak berurusan dengan UMNO’….elaun makan, petrol kenderaan dan perbelanjaan lain-lain seperti hotel penginapan.

Kejayaan yang sangat ketara ialah membentuk keberanian rakyat untuk menghadapi segala rintangan seperti menghadapi taburan gas pemedih mata dan berbagai-bagai ugutan dan ancaman dari pihak Polis. Keberanian itu tentunya terbentuk apabila cara untuk membuat tuntutan lain tidak mendapat perhatian dari yang berkuasa.

Rally ini juga telah mula membuka mata-rakyat untuk melihat secara jelas apa-apa perkara yang dianggap tidak adil dalam perlaksanaan pilihanraya. Rakyat sedar yang perubahan wajib terlaksana seperti perubahan yang berlaku di Indonesia di mana kedua-dua pihak yang sedang bertanding untuk mendapatkan mandat rakyat itu boleh berkempen secara adil melalui media-media letronik secara sama rata. Indonesia kini merupakan demokrasi yang kedua terbesar di Asia selepas India.

Di Malaysia saluran-saluran TV perdana hanya dipergunakan oleh parti pemerintah sahaja dan digunakan untuk menekan parti-parti yang bertanding di dalam pilihanraya. Liputan yang terlalu berat sebelah menjadikan satu pihak tidak mendapat menyampaikan dasar atau manifesto mereka secara meluas.

Pilihanraya Singapura baru-baru ini juga telah menunjukan sikap terbuka dan keadilan kerajaan yang memerintah apabila parti-parti pembangkang juga diberi peluang dengan luasnya untuk menyampaikan mesej mereka melalui saluran perdana TV di negara itu. Jika kita tidak ada apa-apa yang hendak ditakuti, kita tidak mempunyai sebab untuk berasa takut untuk membenarkan saluran perdana itu juga dipergunakan oleh parti-parti pembangkang yang bertanding.

Tuntutan pihak Bersih untuk memberikan waktu dan masa untuk semua parti menyampaikan mesej masing-masing melalui TV saluran perdana itu bukanlah perkara yang baru. Di semua negara-negara maju, parti kerajaan dan pembangkang bersama-sama menggunakan media perdana sebagai saluran untuk semua pihak yang bertanding untuk menyampaikan semua mesej mereka kepada rakyat.

Satu lagi tuntutan Bersih ialah untuk mencari ‘mechanism’ untuk memberi kemudahan bagi rakyat Malaysia yang menetap di luar negara. Baru-baru ini kita melihat betapa ramainya rakyat Thailand yang menetap di negara kita telah pergi ke Kedutaan Thailand untuk mengundi dalam pilihanraya umum Thailand minggu lepas. Jika ini dapat dilaksanakan di negara kita maka kita akan menapak jauh untuk sampai ketahap negara maju seperti yang kita semua idamkan.

Kita tidak boleh menafikan hak ini terhadap pembangkang dengan memberi alasan yang kita mempunyai acuan kita sendiri yang tidak membolehkan parti pembangkang menggunakan saluran media perdana di dalam pilihanraya.

Kalau acuannya tidak sempurna bagaimana kita hendak mendapatkan demokrasi yang sepatutnya kerana acuan yang senget sebelah. Jika dulu sebelum rakyat faham tentang apa itu demokrasi mungkin acuan itu boleh di pakai, tetapi apabila rakyat sudah terbuka kepada sistem dan acuan yang lebih baik tentulah acuan yang selama ini kita pakai wajar ditukar.

Di sini Bersih telah bejaya memberikan sedikit sebanyak pelajaran kepada rakyat tentang demokrasi khususnya di dalam pengendalian pilihanraya yang bersih seperti yang di tuntut oleh demokrasi itu sendiri.

Pilihanraya yang adil dan saksama merupakan asas demokrasi yang tulin. Kalau kita tidak berani menghadapi pilihanraya secara adil, lebih baik jangan di adakan pilihanraya sama sekali

09 July 2011

Musuh Najib bukannya Bersih - Musuhnya ada di keliling beliau sendiri.

Kadangkala kita tidak sedar yang dalam pertelingkahan yang berlaku di antara kita dan orang ramai, selalunya ada individu atau pihak yang mengambil kesempatan dan akan meneguk keuntungan. Di dalam politik yang boleh menjatuhkan kita ialah orang yang paling hampir dan pernah bersekutu dengan kita sebegitu lama.

Hampir kesemua sahabat dan rakan Anwar telah menggunakan kerapatan mereka dengan Anwar untuk mendapat keuntungan peribadi dengan mengeluarkan kepada umum apa yang mereka bersama-sama lakukan semasa berbaik dan menikmati keuntungan semasa Anwar menjadi orang penting negara.

Begitu juga Abdullah Badawi telah tersungkur politik beliau kerana sahabat-sahabat dan taulan yang hampir dengan beliau. Sahabat-sahabat yang rapat dengan beliaulah dipergunakan untuk menjunamkan politik Pak Lah dengan berbagai macam cara. Itulah nasib orang politik yang menjadi pemimpin tanpa kekuatan sendiri.

Di dalam isu terkini, iaitu isu kebangkitan rakyat melalui Bersih ini kita lihat secara zahirnya semua yang sedang memimpin bersatu menentang usaha Bersih untuk mewakili jutaan rakyat yang mahukan reformasi dalam sistem pemilihan rakyat di dalam pilihanraya umum dan kecil.

Tetapi begitu ramai pemimpin dan ahli UMNO yang mahukan kepanasan ini menjadi tinggi kerana mahu melihat Najib mendapat ‘kecederaan’ politik untuk kepentingan seseorang di dalam kepimpinan UMNO itu sendiri. Mereka mahu melihat Najib jatuh bagaimana Pak Lah jatuh dengan permainan Najib dan Muhyiddin sendiri. Itu sebabnya saya selalu menulis yang akan menjatuhkan seseorang pemimpin yang tertinggi bukannya musuh-musuh dari parti politik yang bertentangan, tetapi dari dalam UMNO itu sendiri.

“What goes around comes around’ kata perbidalan Inggeris. Apa yang berlaku dan dilakukan keatas Pak Lah nampaknya akan berlaku dan dilakukan terhadap Najib. Jika berlaku kejatuhan kepada Najib kali ini, ianya akan berlaku dalam keadaan yang sama seperti yang dialami oleh Pak Lah. Malahan ada di kalangan pemimpin UMNO yang selalu berinteraksi dengan saya membayangkan yang Muhyiddin sudah bersedia untuk menerima keuntungan dari gerakan yang di lakukan oleh NGO-NGO seperti Bersih dan penggiat siasah yang lain.

Dalam politik UMNO tidak ada kawan yang berkekalan dan tidak ada musuh yang kekal. Mereka berpolitik seperti resmi air; di mana lekok di situ mereka berhenti. Oleh kerana terlalu rapat di antara mereka boleh menggosok belakang kawan-kawan, bukan kerana hendak menunjukan kemesraan tetapi untuk mencari tempat yang paling lembut untuk ditikam.

Di antara pemimpin-pemimpin yang tertinggi tidak selesa dengan gandingan Najib dan Hisham. Mereka juga hendak berselera untuk menjadi PM dan segala kemungkinan akan berlaku di kalangan pimpinan tertinggi dalam menghadapi PRU nanti. Mereka mengharapkan BN mendapat jumlah kerusi seperti apa yang diperolehi oleh Pak Lah dahulu supaya alasan yang sama boleh dijadikan penyebab untuk Najib mengundurkan diri.

Mulut mereka bersama Najib tetapi hati mereka mahukan apa yang berlaku pada hari ini menjadi langkah awal untuk menunjukan kepada Najib jalan keluar dari kepimpinan negara. Ramai di antara pemimpin UMNO sendiri sedang berselingkuhan dengan pihak pembangkang untuk mempastikan Najib cepat-cepat keluar dan menaikan orang lain yang sedang berada di dalam kabinet pada hari ini.

Sekarang agak terlalu nyata yang di antara pemimpin-pemimpin UMNO sedang menghulurkan tali yang begitu panjang untuk membelit Najib dalam politik. Ada pihak yang diperguna untuk melakukan ‘insubordination’ terhadap bos besar mereka. Kita perlu ingat orang yang menjolok buahnya selalunya tidak akan dapat menyambutnya. Ada di antara yang berada di dalam kepimpinan tertinggi parti dan kerajaan mahu melihat Najib gagal seperti Najib ingin melihat Pak Lah gagal dahulu.

Di dalam UMNO memang tidak ada ‘accountability’ secara kolektif. Malahan dari dulu lagi keadaan ini berlaku. Jika gerakan Bersih ini gagal dikendalikan dengan baik, yang akan menerima ‘accountability’ nya ialah Najib seorang. Orang lain di dalam barisan kepimpinan itu akan ketawa sendirian dan akan meneguk keuntungan dari kegagalan itu. Sepatutnya tanggungjawab itu dipikul oleh semua barisan kepimpinan yang ada. Bak kata perpatah, gunung sama didaki, lurah sama dituruni.

Nasib seperti ini nampaknya adalah pusaka giliran bagi setiap pemimpin yang menjadi PM. Pimpinan utama negara selalunya terkorban kerana musuh kita yang nyata, tetapi oleh musuh dalam selimut yang sentiasa menghendap untuk merebahkan pimpinan sendiri bagi kepentingan sendiri. Najib terlepas pandang terhadap apa yang sedang berlaku di kalangan ahli-ahli jemaah kabinetnya sendiri.

Saya ingin mengulangi pandangan saya di dalam hal ini. Kalau terlalu leka memandang Bersih, Perkasa dan mana-mana pertubuhan yang berdemonstrasi, takut-takut ada pihak di keliling beliau sendiri yang mengambil kesempatan. Kalau tidak betul pandangan saya itu baguslah. Takut pandangan ini benar.

07 July 2011

Buka mulut luas-luas - Nak tengok lidah jenis apa

Sebelum ini isu rally di jalanraya. Isu itu berlarutan berminggu minggu. Dulu pihak kerajaan berkata supaya mengadakan rally itu di stadium supaya tidak menghalang lalu lintas dan menggaanggu orang ramai. Kerajaan bertindak mengharamkan Bersih sebagai satu pertubuhan. Keadaan berubah kerana campur tangan Kebawah Duli Tuanku YPA dan kerajaan Bersih bersetuju untuk mengadakan perhimpunan di Stadium. Perdana Menteri Najib sendiri berkata supaya mengadakan perhimpunan itu di Stadium.

Semalam Najib berkata pula yang Bersih mesti mendaftarkan pertubuhan itu dengan pendaftar pertubuhan kerana Bersih telah diharamkan. Mudah sangat mengharamkan pertubuhan. Dulu apabila ada seorang pemimpin takut kepada parti yang dipimpinnya sekelip mata dibunuhnya parti pimpinannya dan tubuh parti baru.. Persoalannya bagaimana kebawah Duli Tuanku berjumpa dengan pertubuhan haram. Bukankah itu campur tangan Raja dan Bersih telah pun bersetuju untuk mengadakan perhimpunan itu di Stadium.

Polis pula berkata Bersih mesti memohon permit sedangkan perundingan dengan Tuanku telah bersetuju untuk perhimpunan itu di adakan. Jika PM Najib benar-benar jujur beliau sepatutnya membenarkan rally itu di adakan pada 9hb Julai ini. Dalam pada itu rupa-rupanya stadium Merdeka yang dipersetujui itu telah ditempah oleh Perkasa pula. Nampaknya kita sudah dapat kepastian sebenarnya siapa yang jujur dan siapa yang main ‘kongkalikong’.

Apa pelajaran yang kita dapat dengan keadaan ini?

Pertamanya Bersih benar-benar mahu mengadakan rally secara aman. Tujuan dan matlamatnya jelas dan Bersih telah menunjukan sikap keterbukaan itu dengan jelas. Bersih bersetuju untuk berunding dan perundingan itu telah pun membuahkan keputusan bagi kedua-dua belah pihak.

Pelajaran kedua yang kita dapati ialah pihak kerajaan pimpinan BN berubah-ubah dan sekarang bermacam-macam pula helah untuk menggagalkan perhimpunan itu. Najib kata begini tetapi sekarang berkata begitu pula. Hishamudin pula masih mahukan tindakan undang-undang di ambil terhadap yang ditahan sebelum pertubuhan itu diharamkan kerana terdesak.

Pihak kerajaan tidak jujur dan rakyat melihatnya dengan jelas. Mungkin pihak kerajaan merasakan berjaya melakukan ‘intrigue’ terhadap rakyat yang ingin turut serta dalam rally itu. Kerajaan tahu jika di adakan di stadium atau di jalanraya kehadziran mungkin mencapai satu juta orang. Inilah yang ditakuti oleh pihak kerajaan dan parti yang memerintah.

Berminggu-minggu lamanya baik Najib, baik Hishamudin serta Muhyiddin Yassin mengkritik Bersih kerana ingin mengadakan rally itu di jalanraya dan menyeru Besih untuk mengadakan tunjuk perasaan itu di Stadium. Apabila Bersih sudah bersetuju untuk mengadakannya di stadium berbagai-bagai alasan lain pula diberikan untuk menggagalkan rally ini. Muhyidin berkata yang Bersih sedang cuba untuk mencemarkan Stadium itu sebagai tempat sambutan kemerdekaan pada 1957 dahulu.

Saya ingin bertanya kepada Muhyiddin, kenapa beliau menyembunyikan diri apabila Dr Mahathir pernah hendak meruntuhkan stadium itu untuk dibangunkan projek pembangunan baru di situ? Ingat kah tidak banyak pihak telah mengkritik kerajaan kerana niatnya untuk merobohkan stadium tersebut.

Dengan perkembangan yang terkini maka kita boleh membuktikan yang pihak BN lah yang cuba melakukan ‘intrigue’ terhadap rakyat melalui Bersih ini. Rally boleh di gagalkan tetapi perasaan rakyat yang melihat perlakuan ini bertambah parah. Jadi apakah kejayaan BN sebenarnya? Jawapannya ialah TIADA kejayaan. Kerajaan tidak menyedari yang rakyat akan memberikan sokongan kepada pihak yang bertentangan.

Kejujuran seseorang pemimpin itu mudah dinilai dari kata-kata mereka. Sesungguhnya sebab untuk mengagalkan rally ini hanya satu sahaja. BN takut tidak terhingga kerana jika rally ini diberikan kelulusan untuk di adakan dimana-mana sekali pun, mereka (BN) tahu lautan manusia akan hadzir dan ini merupakan ketakutan BN yang sebenarnya

Bersih itu tidak penting.Yang penting itu ialah jumlah keramaian yang datang itu akan menjadi bukti yang boleh dilihat dengan mata kepala kita yang rakyat ramai begitu kuat untuk menunjukan manifestasi mereka terhadap kerajaan. Itu sahaja. Saya suka mengulangi yang Bersih lebih berjaya jika digagalkan niat mereka untuk mengadakan rally itu dari membenarkan rally itu di adakan dimana-mana.

Kerajaan tidak berjaya mengendalikan isu ini. Kalau ada pun, ialah kejayaan pemimpin-pemimpin kita menunjukan membuktikan yang lidah mereka bercabang-cabang. Mungkin ada sesiapa yang berani untuk bertanya kepada pemimpin-pemimpin yang bersangkutan samada boleh atau tidak menambah satu lagi tuntutan selain dari 8 tuntutan asas Bersih ini.

Tuntutan tambahan ini ialah menuntut supaya pemimpin-pemimpin kita membuka mulut mereka lebar-lebar sebab nak tengok lidah yang ada di dalam mulut mereka itu lidah jenis apa? Tentu lain dari lidah yang rakyat ada. Ia tidak mungkin sama.

Inilah dia rupanya pemimpin yang berjanji hendak membawa transformasi politik dan ekonomi. Kalau isu stadium pun dia berbohong, tentu banyak perkara lagi yang beliau berbohong.'Once he lies he will remain a liar'.