06 May 2012

Menyelenggara kereta tua terlalu mahal. Beli kereta baru!

Memandu kereta tua sangat mahal harganya. Kereta tua walau bagaimana hebat pun jenamanya, ia tetap memakan perbelanjaan penyaraannya yang tinggi jika dibandingkan kos penyelenggaraan semasa kereta itu masih baru. Sesebuah kereta lama akan mengeluarkan asap hitam dan akan tidak lagi ‘environmentally friendly’ kerana asap hitam itu akan menjadikan alam sekeliling kita menjadi kotor dan ‘toxic’.

Itulah sebabnya kita menukar kereta baru setelah kereta yang kita pandu itu sudah berumur banyak tahun. Jika kita tukar kereta baru setidak-tidaknya setakat empat atau lima tahun ia tidak akan memberikan banyak masalah kepada tuan punya kereta itu.

Lagi pula apabila kita masih mengekalkan kereta lama itu ‘petrol comsumption’nya akan menjadi tinggi dan terpaksa berbelanja lebih untuk minyak kereta tersebut. Penghawa dingin kereta itu pun akan memakan belanja besar kerana terpaksa di ‘service’ dan ditukar banyak alat ganti kepada penghawa dingin dan kereta itu keseluruhannya. Yang membuat untung hanyalah mekanik-mekanik yang mengambil kesempatan diatas segala masalah yang dihadapi oleh kereta itu.

Yang selalu kita lihat kereta yang sudah terlalu lama itu akan dibeli oleh syarikat pemotong kereta untuk menggunakan bahagian-bahagian kereta itu sebagai ‘spare parts’ terpakai. Kereta-kereta lama ini selalunya tidak dibuang kesemuanya kerana masih ada sedikit sebanyak bahagian bahagian yang boleh digunakan untuk alat ganti terpakai oleh mekanik-mekanik untuk kegunaan mereka memperbaiki kereta-kereta pelanggan mereka.

UMNO pun nampaknya begitu juga. Dengarnya minggu hadapan UMNO akan merayakan ulang tahun ke 66. Bagaimana mereka mengira pun kita tidak tahu kerana pada perkiraan saya,  UMNO baru berusia 24 tahun sahaja. Tetapi tidak mengapa. Katalah benar umurnya 66 tahun ia merupakan satu jangkamasa yang sudah terlalu lama untuk diselenggara dengan mudah. Seperti kereta tua tadi, dalam UMNO terlalu banyak alat-alat yang perlu diganti, malahan lebih banyak yang perlu diganti dari yang  dikekalkan.

Bagaimana tidak mahal belanja untuk menyelenggara UMNO ini? Bayangkan untuk Najib berkempen beliau telah membelanjakan hampir RM700 juta dalam tahun ini sahaja. Belum lagi untuk membayar BRIM dan yang lain lain. Walaupun telah banyak dibelanjakan untuk menyelenggara parti itu, macam kereta tua tadi asap hitam masih berkepul-kepul keluar.  Perjalanannya masih tidak lancar.

Dalam pilihanraya nanti parti itu akan menurunkan calon atau drebar kereta yang canggih yang bersedia untuk memacu dengan tangkas dan laju. Tetapi bagaimana dengan kondisi UMNO itu sendiri? Kalau calon sahaja yang ‘winnable’ tetapi partinya tidak ‘winnable’, bagaimana hendak mencapai kejayaan?

Keadaan sudah begitu teruk dan buruk sehinggakan UMNO itu sudah tidak diyakini lagi oleh ramai rakyat khususnya orang Melayu.  Sudah 66 tahun umur BN ini, maka ramai di antara yang mendokong UMNO sudah mengambil keputusan untuk menukar kepada kereta baru.

Kereta baru setidak-tidaknya boleh berfungsi dengan penyelenggaraan yang murah selama 4 tahun dan tidak memberikan banyak masalah. Kereta baru tidak akan memakan banyak petrol dan akan memberikan kelebihan kepada kereta tua yang sentiasa memakan minyak hitam dan terpaksa melakukan ‘top-up’ kepada minyak enjin tersebut. Mahal sangat untuk menyelenggara kereta tua (BN) ini maka tidak hairan rakyat sudah mula berfikir-fikir untuk menukarnya dengan kereta baru.

Sementara kereta tua masuk bengkel untuk dilakukan ‘overhaul’ maka sementara ini kita pakai kereta baru yang lain. Apabila kereta tua ini sudah di ’overhaul’ barulah boleh bersaing  dijalan raya dengan kereta baru yang kita pandu itu. Mengekalkan kereta tua sekarang ini memberikan kita banyak masalah kerana setiap pagi kita tengok lantai ‘porch’ kita menjadi kotor kerana kebocoran kepada enjinnya dan menitiskan minyak-minyak hitam ke atas lantai ‘porch’ kita itu.

Lagi pun elok kita mempunyai kereta kedua supaya kita tidak memandu kereta tua ini dengan terlalu lasak seperti yang dilakukan oleh kita selama ini. Kalau ada kereta baru yang lain setidak-tidaknya boleh kita berikan kerehatan kepada kereta tua itu buat sementara waktu ini.

Kebarangkalian UMNO menjadi pembangkang adalah tinggi

Kali ini saya teruskan lagi tentang perlunya kerajaan diubah, dianjak dan dialih, kalau boleh sebelum pilihanraya umum. Sambutan himpunan Bersih menunjukkan sokongan kepada perubahan dan rakyat tidak lagi mahu menerima pujukan kerajaan dan pimpinan hari ini agar mereka diberikan sekali lagi sambungan untuk memerintah negara kita yang kaya-raya tetapi disalah tadbir ini.

Apa pun kata pihak media massa arus perdana jumlah peserta himpunan Bersih 3.0 tetap jauh melebihi 200,000 orang. Siapa pun boleh nafikan angka ini, tetapi itulah angka yang sebenarnya. Tetapi angka itu tidak penting. Yang penting dalam pilihanraya kali ini BN akan sampai penghujung hayatnya untuk mentadbir negara kita setelah memerintah begitu lama yang membuatkan pemimpin-pemimpin mereka menjadi seperti orang yang kufur nikmat.

Mahu tidak mahu kita mesti terima hakikat yang Bersih 3.0 telah berjaya besar yang tidak disangka-sangka. Pihak BN boleh berkata mengikut apa yang mereka mahu dengar tetapi hakikatnya rakyat telah membuat keputusan yang ‘conclusive’; iaitu , untuk menggantikan BN, justru rakyat akan ditadbir oleh kerajaan baru. Seperti yang saya sebut dalam posting saya beberapa hari yang lalu sokongan terhadap Bersih 3.0 sabtu lepas memberikan ‘signal’ yang rakyat akan diperintah oleh pihak ‘alternative’.

Sesungguhnya, apa pun yang dilakukan oleh Najib dan barisan pimpinan negara, majoriti rakyat Malaysia sudah kehilangan keyakinan terhadap BN. Persepsi majoriti rakyat terhadap BN sudah sampai keperingkat optima dan tidak ada jalan lagi untuk BN diyakini oleh rakyat yang ramai ini. Semalam saya berada di Terengganu dan sebahagian yang mendengar ceramah yang saya sampaikan itu adalah dari mereka yang baru pulang dari Kota Baru kerana mereka diberikan bas dan berbagai-bagai kemudahan untuk menyambut PM Najib di sana.

Rakyat tahu yang pimpinan hari ini tidak akan mampu melakukan perubahan yang baik kerana kecelaruan yang dialami oleh rakyat adalah hasil dari sikap kufur nikmat yang keterlaluan jelasnya. Secara saikologinya rakyat sesungguhnya sedang menukar ‘mindset’ mereka untuk bersedia menerima perubahan kepada kerajaan baru negara.

Perubahan kerajaan dalam sistem demokrasi adalah ‘normal’. Hanya dinegara ini sahaja pertukaran kerajaan akan di alami oleh rakyat buat kali pertamanya selepas pilihanraya yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja. Jika sudah biasa dengan pertukaran kerajaan dan pentadbiran bertukar ganti maka dengan ‘natural’nya akan berlaku sistem dua parti dinegara ini.

Penjawat awam juga tidak perlu runsing kerana jika BN kalah dalam PRU kali ini, penjawat awamnya adalah pegawai-pegawai dan kakitangan yang sama. Malahan Polis yang membedil rakyat dengan gas pemedih mata itu pun akan kekal. Oleh itu pihak polis dan penjawat awam tidak perlu resah gelisah dengan pemindahan kuasa dari BN kepada PR.

Saya menyebut ini kerana saya hendak memberi tahu semua pihak yang ‘there is life after the demise of UMNO’. Tidak lama lagi kita akan mendapat bukti yang jika UMNO diketepikan rakyat akan berpeluang dan mempunyai harapan yang perubahan kepada kehidupan mereka yang lebih terjamin akan dibuktikan. Masa itu nanti baru lah rakyat tahu yang mereka tidak akan terjejas kehidupan walaupun UMNO akan tidak lagi berkuasa.

Peluang untuk UMNO kekal dalam kuasa adalah tipis walaupun bukan mustahil. UMNO selama ini hidup di atas kebijaksanaan mereka membohongi rakyat dengan retorik lapuknya. Maklum sajalah berbohong itu merupakan satu perkara yang telah menjadi makanan kepada UMNO dan BN.

UMNO sekarang sedang dalam kekalahan walaupun mereka berpengalaman dalam mengelirukan rakyat. Perang saikologi yang dilakukan oleh media massa seperti TV3 tidak pergi kemana kerana rakyat begitu jemu mendengarnya. Malahan TV3 pun sudah tidak lagi mujarab untuk mengubah hati rakyat yang telah tercalar oleh tingkah laku UMNO dan BN sejak beberapa ketika dahulu.

Segala institusi demokrasi yang telah diporak perandakan oleh pemimpin UMNO sejak hampir tiga dekad dahulu akan pasti dipulihkan imejnya selepas UMNO tidak lagi berkuasa di Putrajaya. Polis yang menendang dan memukul peserta Bersih baru-baru ini akan sampai masanya untuk mengetahui yang mereka juga akan terus berkhidmat dan masa itu nanti barulah mereka (polis) yang sesiapa pun memerintah kedudukan mereka tidak akan terjejas.

PDRM sebaliknya akan merasakan yang mereka tidak didendami walaupun mereka pernah berlaku zalim kepada rakyat yang membayar gaji mereka dan bayaran pencen mereka. Sementara keadaan itu berlaku PDRM janganlah bersikap angkuh jika ada lagi himpunan rakyat serperti Bersih 4.0 misalnya. Tidak perlulah menyelitkan agen ‘provocateur’ dalam perhimpunan Bersih jika ia berlaku lagi.

TV3 juga akan tetap kekal dan tidak payah lagi membodek kerajaan baru nanti. Pengurusan Media Prima tidak payah hendak bertanya kepada pihak berkuasa macam mana hendak spin berita-berita tentang UMNO yang akan menjadi parti pembangkang Mereka dari sekarang boleh lah berlatih untuk menjadi pengamal media massa secara professional, dan tidak payah mengampu lagi.

Semasa itu nanti kita berharap pendokong UMNO tidak lagi mencarut dan membabikan pihak lain atau menjatuhkan hukum murtad kepada pihak lain. Berbuat baiklah sambil kita bersama-sama memperbetulkan diri dan melakukan intropeksi yang secukupnya. Saya bukan hanya menyeru orang lain untuk berubah kepada kebaikkan ini. Saya juga menyeru kepada diri saya sendiri untuk melakukan perkara yang sama.

Yang terpenting sekarang ini melakukan perubahan adalah satu perkara yang sangat mendesak kerana jika tidak dilakukan sekarang tidak tahulah apa yang akan terjadi kepada rakyat dan negara kita ini pada masa-masa yang akan datang.

03 May 2012

Betulkah mempertahankan UMNO itu lebih utama dari mempertahankan hukum Tuhan?

Saya terbaca berita dari Malaysiakini dan saya tertarik dengan isu bukti yang melibatkan PM Najib dalam pembelian dua buah kapal selam Scorpene dari DCNI Perancis yang dihebohkan oleh rakyat dan masyarakat antarabangsa. Isu Scorpene ini telah menjadi buah mulut rakyat sejak beberapa tahun yang lalu di mana-mana kita duduk dan berbincang-bincang soal negara kita.

Oleh kerana ia melibatkan duit rakyat yang berbillion, ia sudah tentulah menjadi isu yang sentiasa dibibir rakyat yang kini sedang melakukan ‘soul-searching’ dalam pilihanraya yang akan datang ini. Isu Scorpene ini adalah salah satu dari isu untuk rakyat menjadikan isu  penentuan dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Pendakwa mendapati Najib telah meminta wang dari DCNI sebanyak USD1 billion untuk Parimekar Sdn Bhd sebagai syarat untuk bertemu dengan beliau dan Parimekar ini adalah syarikat kepunyaan Razak Baginda seperti yang diketahui oleh orang ramai. Jika dakwaan ini benar kejadian ini merupakan satu titik hitam keatas kepimpinan negara kita dan tidak pernah perkara seperti ini didakwa kepada mana-mana pemimpin negara kita.

Dakwaan ini merupakan dakwaan yang terlalu serius dan jika ada sedikit kebenaran terhadap dakwaan ini Najib hanya mempunyai satu langkah yang beliau perlu ambil; iaitu untuk meletakkan jawatan kerana apa yang didakwa itu bukan sahaja menjejaskan nama baik negara tetapi juga nama baik rakyat negara kerana mempunyai pemimpin yang merelakan dirinya menjadi isu yang menjadi fokus rakyat dan masyarakat antarabangsa.

Bagaimana negara kita boleh berhadapan dengan pemimpin seperti ini kerana imej pemimpin sebuah negara yang kononnya berdemokrasi sepatutnya tidak aka berhadapan dengan isu seburuk ini.

Apa yang disebut oleh pendakwa Perancis ini sangat mudah diyakini oleh rakyat kerana itu pun stigma yang ada kepada pemimpin-pemimpin kita sejak dua tiga dekad dahulu. Baru sahaja kita dimakluman bahawa bekas PM Abdullah telah dikatakan menerima sejumlah wang yang begitu besar untuk membenarkan serta meluluskan kehadiran Lynas di Gebeng Kuantan.

Semua isu yang dikaitkan dengan pimpinan kita tertumpu kepada wang ringgit yang banyak dan kesemuanya melibatkan wang rakyat dan pembayar cukai. Dalam isu yang dikaitkan dengan Najib ini ia merupakan isu yang tealh diperkatakan oleh rakyat dengan meluas kerana isu ini merupakan isu yang juga mengaitkan pembunuhan gadis Monggolia, Altantuya.

Kita wajar mempercayai yang ‘nature’ akhirnya akan menunjukkan kebenaran. Jika isu seperti ini berlaku dinegara Jepun, misalnya, sudah pasti PMnya akan berhenti dengan meletakkan jawatan kerana seorang  PM wajar mempunyai maruah dan harga diri yang tinggi. Isu seperti ini merupakan isu maruah serta etika kepimpinan. Perkara ini bukan boleh dipermain-mainkan dan diambil sambil lewa sahaja. Tidak payahlah memberikan alasan yang isu seperti ini adalah isu yang diperbesarkan oleh kuasa asing kononnya untuk memecah belahkan kita.

Rakyat sudah terlalu jemu dengan isu-isu buruk yang dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin besar nagara. Sekarang kita tunggu sahaja larutan kepada isu Najib dan Scorpene ini. Saya tidak faham kenapa Najib masih melekat kepada jawatan beliau sedangkan yang dipertaruhkan ini adalah maruah negara yang merdeka. Terlalu banyak isu tentang rasuah dan penyalah gunaan kuasa oleh pimpinan kerajaan hari ini.

Tidak boleh dipersalahakan jika menganggap BN dan rasuah itu seperti aur dengan tebing, saling memerlukan diantara satu dengan lain. Kalaulah UMNO itu masih sinonim dengan perjuangan, pimpinannya tidak akan terlibat dengan kes-kes yang membosankan rakyat.

Blog ini selalu berkata, pimpinan kita tidak serius untuk membendung kemungkaran ekonomi dan politik. Kalaulah pimpinan kita melakukan pembetulan dari awal, tidak mungkin UMNO dan BN akan menghadapi cemuhan rakyat sedemikian rupa. Sepatutnya UMNO telah mengenepikan pimpinan tidak berguna dari dulu lagi.

Sepatutnya UMNO mengambil tindakan dengan membuang sesiapa yang tidak berkelakuan baik; seperti kita memakan tebu: busuk seruas buang seruas. Tetapi kini sudah terlambat untuk membetulkan keadaan seperti makan tebu tadi, kerana setiap ruas dibatang tebu itu telah busuk kesemuanya. Seluruh batang tebu itu patut dibuang.

Rakyat sudah sedar tentang tipu muslihat pimpinan kita. Rakyat sudah sedar yang pimpinan hari ini menggunakan jawatan mereka untuk berniaga dengan bermodalkan mandat rakyat dan pembayar-pembayar cukai cukai. Jika rakyat sedar dan marah, maka rakyat pula dituduh sebagai tidak patriotik dan pengkhianat bangsa dan negara. Sedangkan tindakan mereka itu merupakan pengkhianatan besar yang tidak ada tolok bandingnya kepada rakyat dan negara.

Bak kata Dr Mahathir beberapa ketika dahulu, UMNO telah busuk hingga ke ususnya. Kata-katanya itu benar. Hanya yang beliau terlupa hendak sebut, dizaman siapa yang kebusukan ini mula menular?

UMNO telah memerintah terlalu lama sehinggakan mereka ingat yang negara ini mereka yang punya. Melawan UMNO sudah mereka anggap sebagai dosa besar dan telah di samakan seperti seorang Islam yang murtad. Mereka yang menentang dan meninggalkan UMNO itu dihina dan dinesta. Tetapi melakukan rasuah tidak pula dihina seolah-olah menentang UMNO itu lebih besar dosanya dari melakukan rasuah.

UMNO kepada mereka adalah yang paling utama; Tuhan dan agama itu jatuh nombor dua, ketiga, keempat dan seterusnya.

01 May 2012

Insyaallah, PR akan berjaya: asalkan jangan mendahului Tuhan

Kalau kita buat kajian yang serius, kekuatan PR tidak boleh kita nafikan dan ia telah terbukti dalam perhimpunan Bersih baru-baru ini. BN yang begitu gah selama ini sekarang sudah begitu kecil dan sokongannya sudah menirus.  BN sekarang ini ibarat tali gasing; lagi ke hujung lagi mengecil.

BN mempunyai 14 komponan di dalamnya, sedangkan PR hanya mempunyai 3 parti yang bergabung dan bekerjasama dengan motif yang satu, iaitu untuk menjadi alternatif yang efektif kepada pilihan rakyat dalam PRU yang bakal diadakan. Mengikut undi popular dari SPR, Pakatan Rakyat telah mendapat hampir 51% sokongan rakyat dalam pilihanraya yang lalu, tetapi mereka (BN) mendapat lebih kerusi kerana kawasan yang dimenangi oleh BN merupakan kawasan yang mempunyai pengundi yang kecil.

Sekarang BN telah menambah dua lagi keahlian dalam komponannya: iaitu SPR dan Polis (PDRM). Justru BN bukan lagi satu komponen 14 buah parti tetapi 16 jumlahnya. Tetapi yakinlah, PR akan mampu mendapatkan lebih dari 55% undi popular kali ini dan BN tidak mungkin dapat mempertahankan diri jika keadaan politik yang ada pada hari ini berterusan.

Dengan  rekod buruk ahli komponan baru BN (Polis DiRaja Malaysia) semasa perhimpunan Bersih baru-baru ini, ia akan menambahkan lagi kebencian kepada sikap dan nilai pemimpin BN khususnya UMNO. Perhimpunan yang melebihi 200,000 orang  rakyat Sabtu lalu memberikan impak yang bukan kecil kepada BN apatah lagi apabila parti baru BN, PDRM telah melakukan keganasan terhadap peserta perhimpunan itu. Polis dan BN serta media perdana telah menyelewengkan fakta dan menuduh peserta himpunan yang memulakan keganasan itu.

Mereka boleh  melenyapkan fakta tetapi mereka yang menyertai himpunan itu merasakan kepedihan oleh tindakan polis menyembur gas pemedih mata kepada peserta himpunan yang datang dengan aman dan damai itu. Tetapi itu tidak mengapa, kerana yang benar akan terserlah jua akhirnya. Masyarakat antarabangsa telah melihat fakta yang sebenarnya dan yang menyertai himpunan itu pun tahu keadaan sebenarnya yang berlaku pada  perhimpunan raksasa rakyat itu.

Rakyat faham tindakan polis itu adalah tindakan desperado pihak yang memerintah. Kita semua perlu bersabar kerana tidak ada kezaliman yang tidak jatuh akhirnya. Apa sangatlah kekuatan PDRM jika dibandingkan dengan kekuatan Firaun dahulu, tetapi Firaun tumpas kepada seorang manusia pilihan Tuhan.

Kita mesti yakin dengan contoh-contoh yang berlaku dalam rentetan sejarah yang tua dan yang terbaru. Kita lihatlah di mana-mana dalam dunia ini, apabila pihak penguatkuasa menyebelahi pihak yang menindas, yang tertindas akan akhirnya berjaya. Di negara di mana berlakunya ‘Arab Spring’ pihak yang menzalimi rakyat akhirnya gugur walaupun mereka disokong oleh pihak penguatkuasa seperti tentera dan polis mereka.

Bagi pihak pembangkang walaupun telah berusaha begitu kuat dan konsisten, yang paling penting untuk kita lakukan ialah untuk berdoa dan bertawassul terhadap Allah, Tuhan Semesta Alam ini. Jauh dari sudut hati ramai rakyat yang berfikir, BN akan tumbang kali ini. Yang terpenting kita jangan mendahului Tuhan.

Teruskan usaha dan teruskan doa, insyaallah, akan berlaku pertukaran kerajaan tidak lama lagi. Yang penting kita beristiqomah dalam segala usaha yang kita lakukan dan jangan lupa kepada yang Maha Penentu itu.