15 July 2012

UMNO itu sudah terlalu fakir dalam perjuangan

Muhyiddin menyeru agar UMNO mempertahankan kerusi Gelang Patah habis-habisan kerana Gelang Patah merupakan kawasan yang menempatkan pusat pentadbiran negeri Johor dan mempunyai infrastuktur yang terbaik di negeri Johor. Di dalam kawasan ini jugalah terletaknya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan berbagai-bagai infrastruktur terbaik di negeri Johor.

Kenyataan seperti ini yang datangnya dari Timbalan Perdana Menteri dan ianya membayangkan bahawa negeri Johor juga merupakan negeri yang sangat ditakuti oleh BN dalam menghadapi PRU yang akan datang ini. Kenyataan yang membayangkan ketakutan dari pihak BN tidak pernah kita dengar sebelum ini jika ia melibatkan negeri Johor kerana Johor sebelum ini merupakan kubu kuat BN sejak negara mengadakan pilihanraya.

BN dan UMNO di negeri Johor sebelum ini hanya mengambil pilihanraya umum sebagai satu pesta sahaja kerana bak kata orang UMNO semasa parti itu kuat dahulu, 'calon UMNO tidak payah turun berkempen. Hantarkan songkok untuk mewakili calon-calon-calonnya sahaja sudah cukup dan BN akan menang'. Tetapi kenyataan yang datang dari seorang Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan anak Johor ini, amat jelas yang BN di Johor tidak boleh lagi bercakap takbur seperti dahulu. Keadaan sudah berubah dan rakyat lebih fokus untuk mencari pemimpin dan parti yang lebih berguna dari dahulu.

Muhyiddin meminta UMNO dan BN Johor perlu melipat gandakan usaha untuk mempertahankan Gelang Patah daripada ditawan oleh Pakatan Rakyat. Ia bermakna Johor terutamanya di Gelang Patah UMNO sedang berada di posisi defensif di tengah-tengah kemaraan pengaruh Pakatan Rakyat sekarang ini. Jika Gelang Patah yang merupakan kubu tradisi BN Johor sudah berada di posisi defensif, bagaimana agaknya di kawasan-kawasan lain yang lebih lemah dari Gelang Patah?

Mungkin apa yang dikatakan oleh setengah pemimpin-pemimpin UMNO dan BN di Johor yang mereka (BN) kali ini akan hilang sepuluh kerusi parlimen dalam pilihanraya umum yang akan datang itu memang akan menjadi kenyataan. Mungkin itu jugalah sebabnya kenapa Sallahuddin Ayob, naib presiden PAS yang sekarang mewakili kawasan Kubang Kerian mengambil keputusan untuk kembali ke Johor untuk menjadikan impian PR menjadi pemerintah kepada kerajaan Johor menjadi kenyataan selepas PRU yang akan datang ini.

Jika penekanan dan tumpuan kepada kawasan Gelang Patah ini keterlaluan mungkin ada kemungkinan yang Gelang Patah dan beberapa kawasan Parlimen di Johor akan kekal dalam BN dan yang lainnya akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Tidak ada perkara yang tidak menjadi kemungkinan dalam politik negara pada hari ini. Contohnya tidak pernah sesiapa terfikir yang UMNO akan menjadi seperti hari ini; fakir dalam perjuangannya serta miskin dalam nilai dan budaya bangsa yang dipimpinnya.

Itu semualah yang menjadikan UMNO sudah hilang seluruh identitinya sebagai sebuah parti pemerintah yang bermaruah dan berintergriti sehinggakan parti itu tidak akan kebah dari stigma yang terlalu buruk di sisi pandangan rakyat yang ramai.

13 July 2012

Selepas berjumpa PM, bekas wakil-wakil rakyat bersungut

Rupa-rupanya semalam PM Najib telah memanggil semua bekas-bekas wakil rakyat BN seluruh negara ke kediaman beliau untuk meminta bantuan untuk BN menghadapi pilihanraya yang paling getir buat parti pemerintah sejak negara merdeka. Dalam keadaan sebegini tentulah sebab kenapa mereka dipanggil itu ialah kerana Najib tidak begitu yakin meraih kemenangan apabila menghadapi parti-parti ‘alternative’ dalam PRU akan datang ini.

Dua orang bekas ADUN dan seorang bekas ahli parlimen telah menghubungi saya dan ketiga-tiga orang ini mempunyai cerita yang sama. “Dah nak tergolek baru panggil kami,” kata salah seorang yang menghubungi saya itu. Menurut kata ahli MUBARAK itu, Najib mengakui yang tekanan terhadap UMNO dan BN sangat kuat dan pihak PR begitu serius dalam usaha untuk ke Putrajaya itu.

“Kami bekas-bekas ADUN dilayan macam orang tidak berguna. Saya pergi kerana saya hendak mendengar temberang Najib dan Muhyiddin sahaja. Kami ini ibarat orang yang ‘dipanggil datang, disuruh pergi. Itu sahaja,” kata bekas ADUN yang masih menganggotai jawatankuasa UMNO bahagian itu.

Bekas ahli parlimen dan Menteri pula berkata, “Muhyiddin kata ada peningkatan sokongan bagi UMNO sekarang. Aku diam aje. Dalam hati aku bertanya, kat mana dia pertambahan sokongan itu? Kat Johor sendiri pun banyak kerusi BN akan lingkup,” katanya kepada saya.

Apa yang dilakukan oleh Najib ini tidak ada salahnya kerana bekas-bekas wakil rakyat ini merupakan ahli-ahli kepada parti-parti komponan BN dan Najib ada ‘moral standing’ untuk memanggil mereka dalam BN sedang menghadapi penyakit yang tidak dapat diubati ini. Dalam lain perkataan Najib hanya memanggil dan menjadikan mereka orang-orang penting dalam keadaan tersepit.

Tetapi Najib tidak pernah meminta pandangan mereka sebelum melakukan apa-apa tindakan dan pelan gerakan parti bagi menghadapi PRU kali ini. Selama ini Najib, orang nombor satu negara itu hanya memberikan tumpuan kepada pandangan ‘consultant-consultant’ politik beliau sahaja dan beliau tidak bertapak pada bumi yang nyata.

Semasa saya menulis posting ini saya telah mendapat panggilan dari seorang bekas Exco kerajaan sebuah negeri dan beliau memberi tahu yang Najib sedang nazak politiknya. “Apa yang saya benci sekarang ini, jika BN masih dapat kuasa hanya orang-orang tertentu sahaja yang akan mendapat habuan dan kami ini hanya dijadikan landasan untuk mereka menyamun dan merompak kita. Bagi saya UMNO sudah sampai waktunya untuk dibersarakan bagi memberi harapan kepada rakyat yang ramai mendapat nikmat kekayaan negara.” kata beliau yang pernah menjadi exco kerajaan dalam pertengahan lapan puluhan tahun dahulu.

“Orang bawahan hanya dianggap sebagai kaldai sahaja. Lepas kroni Mahathir, kroni Najib pula yang membelasah. Lepas tu kroni Muhyiddin dan kroni-kroni MB-MB pula yang mengaut keuntungan sokongan ramai. Orang ramai dapatlah BR1M, beratur sepanjang-panjangnya untuk mendapat sejemput duit untuk menyambung kehidupan yang terdesak.” Sambungnya lagi.

Sebenarnya apa yang diperlukan rakyat ialah dasar yang kuat untuk rakyat dan dilaksanakan secara betul. Dasar itulah yang sepatutnya turun ke bawah dan bukannya batang tubuh pemimpin. Mahal harganya untuk Najib turun acapkali ke bawah tetapi rakyat hanya dapat makan karipap sahaja.

Rakyat sudah jelak dengan sikap pemimpin berebut-rebut berniaga dengan rakyat yang ramai. Rakyat sudah tidak tahan lagi menteri-menteri yang sepatutnya melakukan ‘supervision’ terhadap pegawai dan penjawat awam yang sepatutnya melaksanakan dasar itu telah masuk campur dalam perniagaan bersama-sama pegawai kerajaan.

Di negara ini sahaja kita mendengar menteri-menteri adalah kontraktor, menteri-menteri juga merupakan pembekal kepada kerajaan dari membekalkan mee maggi sehingglah membekalkan kapal selam untuk pertahanan negara.

Anak-anak pemimpin kita juga yang mengambil alih syarikat-syarikat strategik negara seperti yang dilakukan oleh anak Mahathir dengan mengambil alih Exxon Mobil dan memaksa MAS membeli bahan bakar dari syarikat itu untuk keperluan syarikat penerbangan negara, MAS.

Anak pemimpin besar negara jugalah yang mengambil wang Petronas untuk menyelamatkan perniagaan anak kesayangannya. Cakap pemimpin ini bergegar-gegar memarahi orang Melayu yang terlalu bergantung kepada kerajaan semata-mata untuk hidup tetapi semua anaknya bergantung kepada harta benda rakyat untuk menjadi kaya-raya yang tidak terperi.

Sebagaimana yang dikatakan oleh salah seorang yang hadir dalam pertemuan dengan Najib semalam, “Nampak sangat yang mereka (pemimpin-pemimpin) rasa terdesak dan meminta sokongan kami yang sudah lama dilupai ini. Pergi jahannamlah!!” kata beliau marah-marah.

Saya bertanya kepada ahli MUBARAK itu, "So are you going to campaign for Pakatan?" Beliau menjawab, "I am not sure how to do it, but if they vote against BN, I'll be the first to congratulate them. PAS, DAP and PKR must now get ready to accept mandate from the people."

11 July 2012

Kalau dah jadi PM, janganlah jadi kontraktor pula

Isu kontrak LRT Ampang sekarang menjadi isu besar terakhir apabila Najib sekali lagi dikaitkan dengan George Kent Lion Pacific JV yang mendapatkan kontrak itu walaupun pada asalnya syarikat sahabat golf Najib ini tidak layak untuk mendapatkannya. Syarikat Bealfour Beaty – Invesys Consortium yang sepatutnya mendapatkan kerja ini dengan harga RM1.1 billion telah dinafikan peluang untuk melaksanakan projek itu walaupun pada Januari lepas syarikat ini dikatakan telah memenangi tender untuk perlaksanaan projek infrastruktor raksasa ini.

Tetapi pada 1hb Jun yang lepas syarikat George Kent telah diberikan kerja untuk projek ini dan harganya telah melambung menjadi RM1.8 billion setelah Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah mengubah keputusan pihak berwajib dan memberikan kontrak itu kepada George Kent, syarikat yang katanya dipunyai oleh rakan golf Perdana Menteri.

Dimanakah letaknya apa yang dikatakan oleh PM untuk mentadbir secara transperan seperti yang dikatakan beliau untuk melakukan transformasi dalam semua bidang kenegaraan?

Jika ini caranya Perdana Menteri membuat keputusan, ini adalah sangat menjijikkan dan mengaibkan nama negara di peringkat antarabangsa kerana isu ini menjadi perhatian khusus masyarakat antarabangsa.

Kita hairan kenapalah PM bersifat begini kerana kalau kita dengar retorik ucapan beliau, Najib sedang cuba menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau adalah Perdana Menteri yang bersih dan cekap dan mempunyai nilai kepimpinan yang begitu tinggi.

Pendedahan yang dilakukan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, itu amat mengejutkan banyak pihak dan laporan polis telah dilakukan terhadap Najib. Tetapi nampaknya pihak polis mengambil tindakan untuk menyiasat bagaimana perkara yang ‘classified’ itu boleh terbongkar dan tidak pula berani menyiasat tindakan Najib masuk campur dalam keputusan pemberian tender itu.

Ini merupakan salah satu daripada ratusan isu besar dalam pemberian konrak terhadap kroni-kroni pemimpin BN khususnya UMNO dan nampaknya penyakit rasuah dan menyalahgunakan kuasa ini memang sudah tidak boleh diperbaiki lagi kerana ia sudah menjadi budaya dalam kepimpinan negara kita.

Saya juga ingin tahu, agaknya berapa orang Perdana Menteri di dunia ini yang selain menjadi Perdana Menteri, mereka juga adalah kontraktor-kontraktor besar seperti PM Najib ini.

Bagaimana hendak memperbaiki pimpinan jika dalam isu pemberian kontrak besar ini melibatkan kehendak ahli politik dan dalam isu ini adalah pemimpin politik tertinggi negara yang juga seorang Perdana Menteri.

Bagi saya Najib sepatutnya hanya menjadi Perdana Menteri dan tidak merangkapkan diri beliau sebagai seorang kontraktor besar. Jika PM sendiri mempunyai kepentingan peribadi dalam pemberian kerja kontrak seperti ini, bagaimanalah kerajaan hendak membina masyarakat perniagaan yang mantap untuk negara.

Najib, saya ulangi, sepatutnya hanya menjadi PM dan cuba elak dari menjadi kontraktor. Jika beliau lebih berminat menjadi kontraktor, beliau patut bersara sebagai Perdana Menteri dan tubuhkan sebuah syarikat pembinaan kelas A dan mempunyai lesen PKK yang sah.

Tidak boleh begini. Perdana Menteri buat tugas Perdana Menteri kerana terlalu banyak isu terhadap pimpinan hari ini. Jangan pula hendak menjadi kontraktor sekali.

08 July 2012

Anwar umum pelan persaraan, Mahathir sapu kepala dengan minyak 'cap kapak'

Isu persaraan Anwar sekarang menjadi isu yang panas. Sebagaimana yang dijangkakan, Mahathirlah yang akan memberikan reaksi yang paling awal terhadap pengumuman persaraan Anwar jika PR gagal mendapat mandat rakyat dalam pilihanraya yang akan datang ini. Mahathir memberikan reaksi secara sinis yang pengumuman Anwar itu hanyalah sebagai helah pilihanraya sahaja.

Sebenarnya itulah yang dikehendaki oleh Mahathir tetapi beliau memberikan reaksi sebegini kerana beliau (Mahathir) mahukan kepastian yang kata-kata Anwar itu merupakan satu kenyataan yang benar, berhenti jika PR kalah mengambilalih kerajaan. Saya rasa sememangnya Anwar perlu berhenti jika gagal mengambilalih Putrajaya itu. Tetapi Mahathir memberikan reaksi dengan menyamakan sikap beliau kepada Anwar.

Di Selayang semalam Anwar berkata yang Mahathir terlalu takut beliau (Anwar)  akan merampas harta yang keluarga beliau telah ambil secara tidak betul dan bermoral dari rakyat selama ini dan itu sememangnya menjadi persepsi rakyat juga. Anwar menjawab dengan bertanya apa yang beliau (Mahathir) takutkan kerana yang dihina selama ini adalah beliau sendiri. Yang dipenjarakan adalah beliau dan ditumbuk serta ditelanjangkan adalah beliau.

Saya tidak tahu samada Anwar benar-benar serius untuk bersara tetapi apa yang beliau katakan itu adalah baik kerana semestinya beliau mesti bersara jika PR tidak berjaya mengambilalih Putrajaya dalam pilihanraya yang akan datang ini. Itulah semangat demokrasi sebenarnya.

Tetapi Mahathir pula memikirkan yang Anwar akan melakukan perkara yang sama seperti beliau (Mahathir) lakukan acapkali selama ini. Mahathir berfikir yang Anwar adalah seorang pendendam seperti beliau juga jika mendapat kuasa. Anwar berkata yang beliau bukannya marah kepada Dr Mahathir tetapi beliau (Anwar) tidak bersetuju kerana rakyat tertindas oleh UMNO terutamanya oleh Dr Mahathir secara sistematik.

Bagi saya apa yang dijanjikan oleh Pakatan Rakyat kepada rakyat wajar diberi sambutan dan ambil janji-janji itu secara positif. Kita tidak boleh menjadi defensif keterlaluan seperti yang diambil oleh pemimpin-pemimpin BN. Janji Pakatan untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat itu wajar diterima secara positif kerana itu bukannya perkara yang mustahil untuk dijayakan oleh PR jika memerintah negara ini. Kita tidak boleh bersikap negatif semata-mata kerana BN tidak mampu atau tidak mahu melaksanakannya.

Tuduhan Najib, Muhyiddin, Mahathir dan BN yang negara akan bankrap jika rakyat diberikan pendidikan percuma itu hanya menunjukkan kedhaifan pimpinan BN dalam isu ini, kerana banyak negara di dunia ini memberikan pendidikan percuma kepada rakyat mereka.  Jika BN tidak mampu untuk melaksanakannya tidak mengapa. Biar PR yang melaksanakannya. Berikan mandat itu kepada PR buat lima tahun yang akan datang.

Dalam isu pendidikan percuma ini kita mesti memberikan mandat kepada yang berjanji dan mampu melaksanakannya. BN tidak boleh mengambil sikap jika mereka(BN) tidak mampu melakukannya maka orang lain pun tidak mampu seperti mereka (BN). Pemimpin UMNO/BN mesti mengakui yang kemampuan seseorang yang dianugerah Tuhan itu memangnya berlainan tahapnya dengan seseorang yang lain. Itu adalah kenyataan yang ditunjukkan oleh ‘nature’ dan UMNO tidak boleh membawa rakyat berfikir seperti mereka (BN).

Contoh dan bukti yang kemampuan seseorang itu berbeza diantara satu dengan lain itu mudah kita lihat. Mirzan bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan yang besar tetapi beliau kurang kemampuan sehinggakan Mirzan terpaksa menggunakan wang rakyat hampir RM2 billion pada penghujung tahun sembilan puluhan dahulu untuk menyelamatkan perniagaan beliau (Mirzan).

Mirzanlah salah seorang yang telah mendapatkan subsidi terbesar dari rakyat untuk mengapung dan menutupi ketidak mampuan beliau dalam bidang perniagaan. Rakyat terpaksa menanggung kerugian anak pemimpin tersohor negara ini. Begitu jugalah dalam isu pengambilalihan Exxon Mobil oleh anak Mahathir yang sama. Exxon Mobil diambilalih dengan pengaruh keluarganya dengan harga yang terlalu rendah dari harga pasarannya dan ini merupakan elemen subsidi yang sangar besar.

Subsidi ini ditambah pula dengan menggunakan pengaruh keluarga nya lagi dengan memaksa pihak MAS yang sedang tenat itu untuk mendapatkan bahan bakar bagi syarikat penerbangan itu dari syarikat Exxon Mobil ini yang sekarang diberi nama baru, Petron.

Oleh itu rakyat begitu jemu dengan tanggungan yang diberikan terhadap mereka. Rakyat yang tertindas tidak henti-henti dipaksa memberikan subsidi dan menanggung semua kehendak anak-anak Mahathir dan anak-anak pemimpin yang lain. Di sebaliknya pula kerajaan begitu tidak ikhlas untuk meneruskan pemberian susidi untuk kehidupan rakyat yang ramai kerana segala peruntukan subsidi itu diambil oleh keluarga pemimpin-pemimpin UMNO dan BN sekarang ini.

Jika rakyat menolak BN kali ini, itu sememangnya satu tindakan yang sudah menjadi kewajipan untuk mereka lakukan. Rakyat sudah tidak tertanggung lagi dengan kerenah keluarga-keluarga yang menjadi penghisap darah mereka ini. Jika Pakatan berkuasa, apa yang saya secara peribadi inginkan, ialah untuk memperkuatkan sistem dan tidak payah berdendam-dendam. Jika kita melakukan dendaman kesumat saya rasa hampir kesemua pimpinan yang ada pada hari ini yang  telah bersara terpaksa menghabiskan sisa-sisa kehidupan mereka dalam penjara dan kem-kem tahanan.

Oleh itu memperkuatkan sistem yang betul dan mudah dilakukan sepatutnya menjadi agenda utama jika PR mengambilalih kuasa kerajaan negara kita. Biarkan sistem itu yang mentadbir negara kita. Jika seseorang pemimpin itu terlanggar sistem itu maka pemimpin itu harus menerima akibatnya. Sistem itu yang akan menentukan siapa yang akan menghadapi rakyat dan undang-undang.

Seorang Perdana Menteri yang mengambilalih kerajaan negara nanti jangan porak perandakan sistem seperti yang dilakukan oleh Mahathir dahulu. Mahathir dahulu tidak sesuai dengan sistem yang biasa. Beliau melanggar semua sistem demokrasi dan sistem yang digunakan beliau ialah sistem peribadi beliau sahaja. Sistem-sistem kehakiman, perundangan, kepolisisan dan yang lain-lain semuanya dipecahkan oleh beliau dan yang mengambilalih sistem-sistem tersebut ialah sistem Mahathir…’tepuk dada tanya selera’

Sekarang ini apa yang ditakuti oleh Mahathir ialah sistem yang beliau bentuk itu akan memakan diri beliau sendiri. Mahathir lupa yang pihak yang mahu mangambilalih kerajaan ini bertujuan untuk membina kembali semua sistem yang telah dirobohkannya semasa beliau memerintah selama 22 tahun dahulu..

Saya rasa satu lagi perkara yang wajib dilakukan oleh kerajaan baru nanti ialah menubuh ‘Truth Commission’. We want to know the whole truth.