06 December 2012

UMNO tidak bermoral, pimpinan rendah pula akhlaknya

Apa yang sedang dikatakan oleh Tan Sri Musa Hasan akhir-akhir ini merupakan ‘consequence’ yang amat buruk hasil daripada pencerobohan pihak ‘executive’ terhadap badan-badan bebas seperti Badan Kehakiman dan Perundangan serta ‘Badan Legislative’ yang mula dilakukan oleh pentadbiran Dr Mahathir dan Dr Mahathir itu sendiri. Walaupun ramai yang menentang tindakan Dr Mahathir mencemari badan-badan bebas negara semasa itu, tetapi mereka ini tidak dipedulikan kerana ketamakan kuasa dan tidak mahu tunduk kepada sistem demokrasi negara.

Pihak kerajaan pimpinan Mahathir semasa itu amat jelas tidak berakhlak dengan memecat Ketua Hakim Negara dan empat Hakim Mahkamah Agong semasa itu. Dr Mahathir telah menekan Badan Kehakiman khususnya terhadap Tun Salleh Abas semasa Mahkamah Agong bersedia untuk menghakimkan tuntutan ahli-ahli UMNO (asal) untuk menghidupkan UMNO yang telah dibunuh oleh Dr Mahathir.

Kalau dikaji dari mana sudut penghakiman sekali pun, UMNO asal akan hidup, dan inilah yang tidak digemari oleh Dr Mahathir. Mahathir mahukan UMNO asal itu mati terus dan tidak mahu melaksanakan penghakiman Mahkamah Tinggi yang memutuskan untuk diadakan sekali lagi pemilihan UMNO. Pemilihan sebelumnya itu tidak sah kerana wujudnya beberapa orang yang tidak layak mengundi dan menjadi perwakilan UMNO ke Perhimpunan Agung 1987.

Dr Mahathir tidak mahu pemilihan itu diadakan sekali lagi kerana takut dengan keputusan pemilihan yang demokratik dalam UMNO semasa itu. Dr Mahathir terpaksa menggunakan peguam, Sri Ram, untuk mengharamkan UMNO di Mahkamah Tinggi kerana Dr Mahathir mahu UMNO terus mati dan beliau terus menjadi Perdana Menteri walaupun jawatan yang beliau pegang itu sudah tidak lagi ‘legitimate’.

Untuk memenuhi kehendak dan nafsu beliau itu cara yang terbaik ialah dengan mengharamkan UMNO dan menubuhkan sebuah parti baru yang diberi nama UMNO (baru). Badan Executive pimpinan Mahathir telah menceroboh badan kehakiman dengan meminta Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas untuk duduk membuat penghakiman dengan hanya tiga Hakim Mahkamah Agong. Mahathir mahukan Tun Salleh sebagai Ketua Hakim Negara bersama dua orang Hakim yang Mahathir boleh pengaruhi duduk untuk menghakimkan tuntutan ahli-ahli UMNO untuk menghidupkan UMNO yang telah terbatal pendaftarannya itu.

Tun Salleh tetap dengan pendirian untuk semua kesembilan hakim-hakim Mahkamah Agong untuk duduk bersama menghakimkan tuntutan itu kerana isu ini merupakan isu yang amat besar bagi orang Melayu dan rakyat Malaysia amnya. Tetapi Dr Mahathir tidak gemar dengan tindakan Ketua Hakim Negara itu kerana Mahathir begitu ‘desperate’ untuk mempertahankan jawatan Perdana Menteri yang beliau pegang itu. Dr Mahathir mahu semua pihak tunduk kepada beliau kerana beliau begitu terdesak dan akan kehilangan kerusi PM itu jika demokrasi terlaksana secara telus.

Dr Mahathir sudah hilang pertimbangan dan tidak mahu lagi institusi demokrasi menghalang niat beliau untuk berkuasa mengikut kehendak hati beliau. Beliau secara peribadi telah memanggil Tun Salleh Abas dan bertanyakan samada Ketua Hakim itu mahu bersara. Tun Salleh tidak berganjak kerana Hakim-Hakim mempunyai umur persaraan dalam usia 65 tahun sedangkan beliau semasa itu baru berumur 59 tahun.

Tun Salleh memberitahu yang beliau mengetuai Badan Kehakiman yang bebas dari campur tangan ‘Executive’ termasuk Perdana Menteri. Sesungguhnya Tun Salleh akan hanya boleh berhentikan jika ‘brother judges’ melakukannya. Cara kedua untuk memberhentikan Ketua Hakim ialah dengan menubuhkan tribunal yang di titahkan oleh Yang di Pertuan Agong.

Tribunal untuk membicara Tun Salleh ditubuhkan oleh Yang di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dengan tergesa-gesa dan lucunya cara penubuhannya tetap menjadi ingatan kepada semua yang mengikuti isu itu dengan cara yang lebih dekat. Tribunal itu telah di tubuhkan dalam satu hari dan dengan pantas.

Nasihat PM kepada Tuanku Agong di buat pada 1hb Mei 1988  dan persetujuan YDP Agong juga didapati pada 1hb Mei. Perlantikan hakim Mahkamah Tinggi Sri Lanka dan Singapura dibuat pada 1hb Mei dan jawapan persetujuan mereka pun pada hari yang sama. Yang lebih lucu dan menyedihkan 1hb Mei itu adalah hari buruh dan cuti umum dan hari minggu pula. Semuanya ini adalah tindakan ‘desperate’ pimpinan semasa itu untuk bergayut kepada kuasa yang hampir terlepas itu.

Insiden ini merupakan titik hitam dalam sejarah negara kerana pada saat itulah bermulanya Badan Kehakiman dicerobohi dan ditakluk oleh pihak ‘executive’ yang diketuai oleh Dr Mahathir Mohammad. Dari saat itulah semua badan-badan bebas demokrasi dikuasai oleh Perdana Menteri dan semua sistem demokrasi terkubur dan tidak lagi bebas untuk melaksanakan tugas dengan betul.

Dari saat itu jugalah badan kepolisian negara tercemar serta badan perundangan seperti Jabatan Peguam Negara tidak lagi bebas untuk melaksanakan tugas dengan betul. Apabila sesuatu badan bebas yang mempunyai tanggungjawab terhadap negara sudah tidak bebas lagi, maka politik sahajalah yang menentukan segala-galanya.

Kecacatan sistem demokrasi kita ini telah rosak sehingga ke hari ini dan tidak mungkin boleh diperbetulkan oleh parti atau kepimpinan kerajaan yang telah mencemarinya iaitu UMNO dan Barisan Nasional. Kenyataan-kenyataan Tan Sri Musa Hasan itu adalah sebahagian yang sangat kecil dari apa yang sebenarnya dilakukan oleh pimpinan kerajaan yang tidak henti-henti mencemari tugas Ketua Polis Negara dan Peguam Negara misalnya.

Segala tindakan ‘professional’ telah diambil alih oleh tindakan politik di mana-mana dan jika pimpinan politik itu gila, ia bermakna kita dipimpin oleh orang-orang gila. Hasil daripada pencerobohan inilah yang telah menjadikan segala-galanya tidak betul lagi termasuk politik yang kini menjadi aktiviti ganas yang dilakukan oleh penyokong pihak kerajaan yang sudah dibenci rakyat dan akan ditumbangkan oleh rakyat juga dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Jika kita pertimbangkan secara halus kita sudah boleh membuat pertimbangan yang ‘conclusive’ Dr Mahathir bukanlah seorang PM yang ‘legitimate’ dan tidak bermoral. Mengekalkan Dr Mahathir semasa itu amat mahal harganya sehinggakan semua sistem demokrasi kita telah punah ranah.

Keadaan ini lebih teruk lagi kerana pimpinan yang mewarisi kepimpinan Mahathir telah terikut-ikut dengan budaya dan sistem Mahathir dalam mentadbir negara. Mereka yang mewarisi Dr Mahathir telah melakukan perkara yang lebih teruk lagi kerana sistem Mahathir itu telah menjadi ikutan pimpinan yang mengambilalih darinya (Mahathir). Pendeknya memang tepat kata-kata perbidalan, "jika bapa kencing berdiri anak-anak pula kencing berlari." Mahathir yang kencing berdiri, Pak Lah dan Najib juga kencing berlari. Jika Muhyiddin mengambil alih Najib sekarang seperti yang dihajati Dr Mahathir mungkin Muhyiddin akan kencing sambil menonggeng.

Kenyataan Musa Hasan wajar didengar dengan baik kerana beliau mempunyai hak untuk membela diri dari tohmahan pimpinan UMNO terhadap beliau sedangkan apa yang berlaku semasa beliau dalam perkhidmatan sehingga hari ini ialah UMNO dan pimpinnya sendiri.

Musa Hasan wajar membuat kenyataan-kenyataan dari masa ke semasa dengan membongkar segala apa yang berlaku dan yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Kenyataan Musa itu nanti akan menjadi kenyataan yang membantu usaha ramai untuk mengetahui segala-gala yang berlaku di belakang tabir dan ia akan ditambah pula dengan kenyataan Deepak yang akhir-akhir ini telah membongkar isu Altantuya dan lain-lain yang berkaitan dan yang menghangatkan itu.

Pendeknya, tidak ada lagi yang betul dalam UMNO dan BN sekarang ini. Jika mereka benar, masakan apa yang kita lihat dan dengar itu boleh berlaku di hadapan mata dan kepala kita.

05 December 2012

Kuah pun kuah lah, kuah daging rasa daging juga

Kalau dikaji dan diselidik secara ‘pragmatic’ BN tidak mungkin dapat bertahan dalam pilihanraya kali ini. Selalu saya berkata setiap perubahan itu mesti bersebab. Dalam kes UMNO ini parti itu telah hilang keyakinan dari rakyat dan sedang berada di dalam krisis keyakinan yang amat parah. UMNO semakin dalam masalahnya dan sukar untuk memperbetulkannya. Kesalahannya ialah kerana terlalu lalai dan tidak mahu membetulkan keadaan semasa masalah belum sampai ke tahap ini. Dr Mahathir telah membiarkan pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab berada di persada kepimpinan sehinggakan sekarang ini UMNO sarat dengan pimpinan seperti itu.

Semasa Dr Mahathir meletakkan jawatan UMNO sudah tersedia dengan masalah besar yang menunggu masa sahaja akan meletup. Perletakan jawatan Dr Mahathir sememangnya tepat pada masanya kerana jika Dr Mahathir mengambil masa yang lebih sedikit sebelum bersara beliau sendiri akan melalui zaman malap ini. Abdullah Badawi mengambil tempat Dr Mahathir semasa UMNO sudah bersedia untuk menghadapi masalah besar, tetapi beliau cepat-cepat mengadakan pilihanraya sebelum tembelang busuk UMNO itu pecah dan merebak.

Abdullah mendapat mandat yang tinggi kerana rakyat telah mendapat situasi yang berlainan yang di tunggu-tunggu oleh rakyat. Maka rakyat buat sementara telah memberikan sokongan terhadap kepimpinan beliau (Abdullah) kerana selama ini mereka (rakyat) sedang mengharapkan perbezaan dengan kepimpinan Mahathir sebelumnya.

Tetapi Abdullah mengambil sokongan rakyat itu sebagi sokongan yang ‘legitimate’ tanpa menyedari rakyat menyokong beliau itu kerana rakyat mengambil sikap sokong sesiapa sahaja asalkan bukan lagi Dr Mahathir yang telah duduk di kerusi PM itu selama 22 tahun. Rakyat mahukan berbezaan maka sesiapa sahaja yang menggantikan Dr Mahathir akan di sokong rakyat ramai.

Abdullah adalah seorang yang lembut, tetapi dalam kelembutan beliau, Abdullah adalah seorang yang degil dan tidak mudah mendengar nasihat orang termasuk dari Dr Mahathir Mohamad sendiri. Justeru dari saat itulah Abdullah menghadapi masalah kerana Dr Mahathir tidak gemar dengan beliau kerana tidak mahu mengikut telunjuknya. Abdullah berpendapat kalau berikan kepada beliau jawatan PM itu, maka jadikan beliau jadi PM yang sebenarnya tanpa gangguan sesiapa termasuk Dr Mahathir sendiri.

Dr Mahathir terasa terganggu dan kecewa kerana Abdullah tidak mahu mendengar kata beliau (Mahathir). Rupa-rupa, seperti yang dijangkakan Dr Mahathir mahukan Abdullah menggantikan beliau kerana menyangkakan Abdullah akan berterima kasih dan mendengar kata-kata beliau. Dr Mahathir mahu menjadi 'PM de facto' dan Abdullah hanya untuk beliau jadikan ‘puppet Prime Minister’ sahaja.

Tetapi keengganan Abdullah tunduk terhadap tekanan Dr Mahathir itu beliau terus menjadi mangsa cemuhan Dr Mahathir dan kemarahan serta kekecewaan Dr Mahathir itu tidak dapat di kawalnya lagi. Dr Mahathir bertindak keluar dari UMNO sebelum pilihanraya 2008 sebagai tanda protes beliau terhadap Abdullah yang beliau (Mahathir) anggap sebagai degil itu. Dr Mahathir telah meminta rakyat mengundi calon, bukannya mengundi parti dalam pilihanraya itu.

Kalau kita nilai sehalus-halusnya Dr Mahathir ini adalah seorang yang ‘domineering’ sifatnya dan beliau sanggup menjahanamkan partinya jika partinya tidak mahu mengikut telunjuk dan kemahuan beliau. Beliau memendam rasa dendam yang tinggi terhadap Abdullah dan mahu melihat Abdullah meninggalkan kerusi PM itu secepat yang mungkin untuk diganti dengan seorang yang lebih berkompromi dengan beliau (Mahathir). Akhirnya Abdullah terpaksa meletakkan jawatan setelah banyak pihak yang di perguna oleh Dr Mahathir untuk mendesak Abdullah meletakkan jawatan dan di antaranya ialah Muhyiddin Yassin yang merupakan Naib Presiden UMNO semasa itu.

Muhyiddin menjadi juara dalam usaha mengenepikan Abdullah kerana beliau ingin mengambil kesempatan untuk menaikki tangga dan kerusi PM itu secepat yang mungkin.. Muhyiddin mendesak Abdullah meletakkan jawatan dengan alasan yang sahih dan boleh di terima, iaitu pilihanraya 2008 itu telah meletakkan UMNO sebagai parti dihujung tanduk dan hampir terlepas kuasa di Putrajaya. Muhyiddin mahu naik dan terus sahaja menonjolkan Najib yang ketika itu adalah Timbalan Presiden UMNO.

Mahathir tahu jika di tonjolkan Najib sebagai pengganti, Najib akan mudah di ketepikan kerana Najib mempunyai terlalu banyak masalah peribadi dan isu terhadap beliau yang terlalu banyak. Mahathir tahu Najib boleh diketepikan dengan cepat untuk meletakkan Muhyuddin menjadi PM akhirnya.

Kepada Mahathir, Najib hanyalah PM sementara sahaja bagi memudahkan Muhyuddin naik menjadi PM. Najib pula tidak mempunyai tulang belakang yang kuat dan sementara menunggu kenaikkan Muhyuddin ini Mahathir telah menggunakan kesempatan untuk mendapatkan semua yang beliau hajati yang beliau tidak dapat semasa Abdullah Badawi menjadi PM dahulu.

Sekarang Dr Mahathir telah mendapat banyak habuan melalui peluang perniagaan untuk anak-anak dan keluarga serta kroni-kroni beliau. Fakta ini boleh dilihat dengan jelas dan tidak payah di ulang-ulang lagi. Yang terpentingnya Dr Mahathir berjaya mendapatkan kehendak peribadi beliau kerana Najib terpaksa berkompromi kerana Najib adalah seorang yang politiknya seperti resmi air, ‘di mana lekok di situ dia berhenti’.

Sekarang ini Dr Mahathir tidak payah lagi keluar UMNO untuk menyampaikan hajat beliau seperti yang beliau lakukan semasa Abdullah menjadi Perdana Menteri dahulu. Asalkan sahaja Perdana Menteri sekarang mendengar kata-katanya beliau sudah berpuas hati. Bagi beliau, Mahathir tidak kisah jika kerajaan itu rasuah atau tidak. Terpenting bagi beliau ialah untuk mendapatkan semua yang dihajati beliau termasuk untuk memastikan Mukhriz, anak bongsu beliau, naik dan naik ke tahap yang tertinggi dalam kerajaan negara kita di samping memberikan peluang yang luas untuk anak-anak beliau berniaga.

Mahathir sekarang memberikan sokongan terhadap Najib dan tidak akan keluar UMNO lagi. Mahathir berpolitik hanya untuk kepentingan beliau sahaja dan beliau sanggup meninggalkan parti semata-mata untuk mendapatkan kehendak hati beliau di penuhi. Mahathir hanya mahu semua rakyat dengar cakap beliau dan meminta pimpinan Bahagian bersumpah tidak akan mensabotaj partinya lagi seperti apa yang beliau sendiri pernah lakukan dahulu. Bagi Dr Mahathir, hanya beliau berhak untuk mensabotaj parti, orang lain tidak boleh.

Kini Dr Mahathir benar-benar menyokong UMNO kerana beliau dalam keadaan selesa. Yang terpenting bagi beliau orang Melayu mesti menyokong UMNO kerana sokongan terhadap UMNO itu sekarang memberikan keuntungan peribadi kepada beliau.

Orang bawah-bawahan hanya diperguna untuk dijadikan landasan untuk mereka-mereka yang memimpin dan berpuas hati dengan bantuan BRIM dan bantuan untuk kanak-kanak sekolah sebanyak seratus ringgit itu. Pegawai dan kakitangan awam diberikan sebulan setengah bonus untuk memastikan UMNO kekal. Kekal UMNO maka dapatlah mereka itu mengekalkan budaya merompak serta menyamun Perbendaharaan Negara.

Bagi orang bawahan dan rakyat biasa, Najib dan kepimpinan mahukan rakyat mendapatkan kuah sahaja. Isu dan daging pejal-pejal itu hanya untuk pemimpin mereka sahaja.

Kata saya dahulu, orang ramai masih ada yang tertipu dan berpuas hati dengan bantuan BRIM sahaja. Mungkin mereka berkata di dalam hati, ‘tak apalah, tak dapat lauk pun tidak mengapa, dapat kuah pun jadilah. Kuah kari daging pun rasa daging juga. Cukuplah..’

04 December 2012

Jangan berikan kepercayaan kepada yang 'desperate'

Perhimpunan Agung UMNO yang baru selesai pada 1 Disember 2012, mudah bagi kita untuk merumuskannya dan apa yang berlaku dalam perhimpunan itu sangat tepat dengan apa yang kita telah tahu selama ini. UMNO itu sungguh tertekan dan akan menghadapi pilihanraya yang paling getir dalam sejarah parti itu. Segala apa yang berlaku dalam perhimpunan itu merupakan satu manifestasi yang jelas tentang tekanan yang parti itu hadapi.

Setakat ini UMNO telah melakukan banyak usaha untuk mendapatkan keyakinan rakyat dan salah satu dari perkara yang dilakukan ialah berbai’ah di depan Dr Mahathir supaya ahli-ahli parti tidak melakukan sabotaj terhadap calon-calon BN. ‘Initiative’ yang dilakukan oleh Mahathir memanggil pemimpin-pemimpin Bahagian UMNO di seluruh negara untuk berjanji dan bersumpah tidak mensabotaj parti itu menunjukkan yang sabotaj-mensabotaj calon merupakan masalah yang terbesar dalam UMNO.

Jika berbai’ah itu di jadikan sebagai salah satu usaha besar untuk bertahan, maka itu sekali gus membayangkan kepada kita UMNO sudah terlalu hampir kepada kekalahan. Jika isu sabotaj-mensabotaj itu tidak besar masakan tindakan bersumpah itu di jadikan usaha yang dilakukan oleh pemimpin besar yang pernah menjadi PM selama lebih dari dua dekad. Tindakan bekas PM ini memanggil pimpinan Bahagian untuk bersumpah itu juga mengiyakan apa yang di pandang oleh rakyat yang Mahathir merupakan orang yang paling takut jika UMNO itu jatuh. Sebab beliau merasa takut itu boleh lah tuan-tuan agak dan agakkan saudara-saudara itu tidak mungkin salah.

Kenapa sampai bersumpah?

Kalau parti itu (UMNO) kuat dan mendapat sokongan, apa yang perlu bersumpah-sumpah itu? UMNO sepatutnya memberikan kepercayaan kepada pemimpin-pemimpin mereka di peringkat Bahagian tetapi sebaliknya UMNO tidak yakin dan tidak mempercayai ahli-ahlinya sendiri. UMNO mempunyai masalah dalaman yang ketara. Orang ramai tidak tahu masalah ini asalnya, tetapi setelah berlakunya angkat sumpah di depan Mahathir itu sudah cukup untuk menyatakan dengan ‘conclusive’ UMNO dalam kesempitan.

“Yang lebih lucunya kami terpaksa angkat sumpah dengan orang yang menjadi penyebab kepada perpecahan kami dalam UMNO ini. Nampak sangat Mahathir terlalu takut dengan masalah beliau jika UMNO tewas dan dia mahu kita jadi pelindung dia setiap masa. Kita di bawah ni hanya diperguna macam lembu saja” kata seorang AJK Bahagian yang saya kenali sebegitu lama.

Lebih banyak bercakap lebih banyak kelemahan kita lihat dalam UMNO ini. Kata Najib dalam perhimpunan itu, “satu undi untuk DAP merupakan satu undi untuk tekanan terhadap orang Melayu”. Kata perpatah ‘bercakap di siang hari pandang-pandang, bercakap malam hari di dengar-dengar’. Najib tidak langsung nampak musuhnya di dalam BN sendiri yang bercakap bertentangan dengan kata-kata pemimpin tertingginya. “Chua Soi Lek pula berkata satu undi untuk DAP itu adalah satu undi untuk tekanan terhadap orang Cina”. Apa maknanya semua ini?

Kata-kata ini sahaja sudah menunjukkan kecelaruan dalam hala tujuan parti-parti dalam BN. MCA ke hulu UMNO pula ke hilir.

Dalam bercakap dengan gegaran tinggi tentang penyatuan kaum-kaum di negara ini UMNO dan Najib masih bercakap isu yang berteraskan elemen rasis yang merbahaya dan ingin melihat rakyat yang berbilang kaum ini untuk mengesyaki di antara satu dengan lain. Ini merupakan manifestasi yang UMNO sedang tersepit apabila Pakatan Rakyat mampu untuk mencari formula penyatuan kaum yang ampuh yang tidak mungkin boleh di capai oleh BN.

UMNO memusuhi DAP seolah-olah kami dalam DAP ini seperti haiwan dan binatang liar. UMNO tidak mahu mengakui yang DAP lebih di yakini oleh sesiapa yang ikhklas mahu melihat kerjasama di antara kaum itu. UMNO masih menakut-nakutkan orang Melayu dengan mangatakan jika PR memerintah maka DAP dan orang Cina akan berkuasa. DAP hanya akan meletakkan lima puluh calon di dalam PRU ini dan jika calon-calon parti ini menang kesemua kerusi sekali pun, orang-orang Cina tidak akan menguasai politik negara ini.

Lagi pun, adalah di perkatakan yang di antara lima puluh calon-calon DAP itu berkemungkinan ada calon Melayu yang akan menunjukkan yang DAP bukannya parti rasis seperti UMNO dengan Melayunya dan MCA dengan chauvinis Cinanya. Sesungguhnya kemampuan DAP untuk lebih bertanggungjawab terhadap siasah yang realistik dan politik keamanan ini menjadikan BN khususnya UMNO begitu goyah dari hari ke hari kerana yang pasti MCA akan kehilangan undi Melayu dan UMNO juga bertambah kurang sokongan dari orang Melayu itu.

UMNO sekarang ini sedang kehilangan sokongan dari orang Melayu kerana PAS telah menunjukkan kemantapannya untuk menarik sokongan Melayu Islam. Isu ini lebih membuatkan UMNO tidak tentu arah dan menyebabkan pucuk pimpinannya bercakap dengan nada yang tinggi dalam PAU baru-baru ini. Laungan dan jeritan pucuk pimpinan UMNO itu hanya melambangkan betapa runsingnya UMNO dalam menghadapi pilihanraya kali ini, yang merupakan ibu segala pilihanraya dalam sejarah kemerdekaan negara.

Hanya saya ingin mengingatkan parti-parti dalam PR agar sentiasa bersyukur dengan perkembangan ini dan jangan sekali-kali bersikap takbur dan mendahului Tuhan. Sikap parti-parti dalam PR setakat ini baik dan diharapkan ia akan bertambah baik dari masa ke semasa. Saya sendiri sangat berbesar hati yang PR tidak henti-henti berusaha untuk mencapai matlamat yang satu negara kita, iaitu perpaduan kaum atau yang di sebut selalu sebagai ‘national unity’ ini.

Perjuangan ini merupakan perjuangan ‘ultimate’ rakyat. Rakyat sudah tidak mahu lagi diperguna oleh mana-mana pihak untuk memecahkan perpaduan di antara rakyat berbilang kaum semata-mata kerana sikap ‘desperado’ mereka dalam politik kepartian yang jumud dan merekahkan kesatuan yang sedang kita pupuk sekarang ini.

Apa yang perlu sekarang hanyalah kesedaran rakyat yang orang Melayu khususnya tidak menolak perpaduan tetapi biarlah perpaduan itu berlaku di luar UMNO dan BN. Inilah perubahan yang sedang jelas berlaku di negara ini dan fenomena ini nampaknya akan membuahkan masyarakat yang berpadu walaupun di bawah naungan siasah yang berbeza.

Rakyat wajar melakukan perbezaan ini. Kita sudah muak dan jemu dengan kata-kata yang memecah belahkan kita semua. Ingat! yang rugi hanya kita rakyat di bawah ini jika kita masih mahu berfikir cara yang dikehendakki oleh UMNO.

Kita perlu menolak isu rasis terus-terusan dan ini akan menjamin keamanan negara yang kita cintai ini. Ingat betul-betul, memberikan kepercayaan kepada pihak yang 'desperate' amat merbahayakan negara pada masa yang akan datang.

02 December 2012

Acuan UMNO tidak boleh dipakai lagi, kita terpaksa menukar acuan baru

UMNO bercanggah-canggah pemikirannya dan bercelaru arahnya. Perhimpunan Agungnya yang tamat semalam akhirnya benar-benar menunjukkan parti itu sudah tidak boleh diterima kata-kata mereka yang bersalah-salahan maksudnya dalam satu ucapan. Pangkal ayatnya lain hujung ayatnya lain.

Pada keseluruhannya UMNO tidak mempunyai perkara baru dalam Perhimpunan Agungnya selain daripada mengugut dan menakut-nakutkan sesama sendiri sambil berucap bergegar-gegar sehingga hampir pecah Dewan PWTC itu. Perhimpunan itu sahajalah tempat UMNO mengumpulkan ahli-ahlinya kerana ahli-ahli UMNO di peringkat bawahan tidak akan mampu mengumpulkan orang walaupun dalam mesyuarat agung cawangan-cawangan masing-masing.

Dalam mesyuarat agung cawangan-cawangan parti itu hampir 60% dari mesyuarat itu tidak cukup korum dan minit-minit mesyuaratnya tidak melambangkan keadaan sebenar dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut. Seperti biasa perhimpunan itu merupakan medan memaki hamun Pakatan Rakyat dan yang paling hebat dikutuk ialah parti DAP dan PAS. UMNO tidak dapat menerima kerjasama DAP dan PAS serta kehadiran Anwar Ibrahim di dalam politik tanahair yang mengamalkan sistem demokrasi, acuan Dr Mahathir itu.

Perhimpunan itu penuh dan sarat dengan ucapan menakut-nakutkan orang Melayu kononnya jika Pakatan Rakyat mentadbir negara, orang Melayu akan hilang politiknya, akan hilang Raja-Raja Melayu, akan hilang agamanya dan akan hilang segala-galanya. Dalam beretorik mengakui UMNO sebagai parti untuk perpaduan nasional, tidak pula mereka (UMNO) dapat mengenepikan sikap suka memecah-belahkan perpaduan yang sedang giat diusahakan oleh PAS dan DAP serta peranan PKR dalam mencapai cita-cita murni itu.

UMNO masih memainkan lagu lama seperti menyanyikan lagu Momok Latif dari hari pertama sehinggalah hari terakhir perhimpunan itu semalam. Di Perhimpunan ini sahajalah Najib dapat bercakap besar tetapi Najib sendiri tidak berani bercakap dan berbahas dengan pihak pembangkang di ‘common platform’ untuk penyelesaian isu-isu yang berbangkit. Najib hanya bercakap di atas pentas yang PR tidak dapat menjawab isu-isu yang dibangkitkan serta merta. Najib hanyalah sebagai burung yang terbang dan hinggap di dahan kayu buat sementara meninggalkan tahinya di dahan-dahan tempat ia hinggap.

Isu Melayu akan hilang di dunia ini merupakan isu biasa yang disebut-sebut, kononnya Melayu akan hilang di dunia ini jika PR memerintah. Tetapi Najib tidak sedar yang Melayu telah hampir hilang dunianya, dan jika BN terus mendapat mandat, keadaan bangsa Melayu yang sepatutnya menjadi perjuangan UMNO akan hilang segala ‘competitiveness’ sedangkan bangsa lain telah jauh maju tanpa apa-apa masalah besar dengan parti atau badan siasah yang memperjuangkan hak mereka. Melayu akan terus terkongkong dengan penjara UMNO yang tidak mungkin membenarkan Melayu berfikir dan bertindak mengikut kemampuan mereka yang ada.

UMNO telah membunuh Melayu terus-terusan dengan tidak membenarkan Melayu menjadi ‘competitive’ dan hanya diminta mendagu kepada UMNO semata-mata. Najib tidak sedar yang UMNO mempunyai 3.2 juta ahli sedangkan orang Melayu mempunyai jumlah penduduk melebihi 19 juta orang. 15 juta orang Melayu dan Bumiputra tidak menjadi ahli UMNO tetapi mereka hidup juga di dalam dunia ini.
Laungan orang Melayu akan hilang segala-galanya tidak relevan lagi kerana UMNO itu sendiri sudah tidak relevan lagi. Laungan yang Melayu akan hilang tanpa UMNO itu merupakan isu meleset kerana di Kelantan UMNO boleh disifatkan parti yang sudah mati, tetapi orang melayu masih hidup segar bugar dan tidak pula kita mendengar di Kelantan orang Melayu mati bergelimpangan di Kota Bharu, Pasir Mas dan di daerah-daerah lain di negeri itu.

Sekarang di Kedah UMNO boleh dikatakan sebagai mati yang hampir pupus tetapi sejak PAS memerintah negeri itu adalah salah satu negeri yang mendapat pujian dari Ketua Audit Negara sebagai negeri yang ditadbir dengan baik dan orang Melayu masih bernafas malahan lebih lega dari masa UMNO memerintah negeri itu. Tidak payah kita sebut Selangor dan Pulau Pinang kerana semua orang sudah tahu yang kedua-dua negeri itu menjadi negeri yang paling maju dan kedua-dua negeri ini menyumbang 40% dari pendapatan Persekutuan kita ini.

Sebenarnya UMNO sudah kehabisan modal. Justeru yang hanya tinggal yang boleh dijadikan isu hanyalah dengan menakut-nakutkan orang Melayu sahaja.

Saya teringat bagaimana orang tua-tua dahulu menakut-nakutkan anak-anak dan cucu-cucu mereka, kononnya jika bersiar-siar di waktu petang yang menghampiri maghrib, kita akan berdepan dengan syaitan-syaitan dan hantu jembalang. Anak-anak muda semasa itu semuanya percaya. Tetapi hakikatnya orang-orang tua dahulu hanya mahu anak-anak mereka duduk di rumah waktu itu kerana tidak mahu anak-anak mereka meninggalkan solat maghrib. Begitulah UMNO yang menakut-nakutkan orang Melayu dalam perhimpunan agung itu.

Sebenarnya mereka mahukan Melayu tetap mengundi dan menyokong mereka kerana takutkan kuasa yang ada di tangan mereka hilang dan terus merompak dan melanun khazanah negara kita ini. Itu sahaja. Itulah sebabnya dalam posting saya yang sebelum ini saya menyebut yang memisahkan kuasa dari UMNO itu ibarat memisahkan kulit dengan daging kita. UMNO amat perit untuk menerima hakikat yang parti itu akan tumbang dalam pilihanraya kali ini. Mereka tidak dapat menerima semua pihak berhak untuk mendtadbir negara ini dengan dasar-dasarnya sendiri.

Maka itu sebabnya di dalam demokrasi rakyat berhak untuk menggilir-gilirkan pentadbiran negara mereka. UMNO tidak mahu rakyat tahu yang jika PR diberikan mandat kali ini, mereka boleh kembalikan kuasa kepada UMNO dalam pilihanraya yang berikutnya. Sebab apa UMNO takut? Jawapannya ialah kerana mereka takut tidak akan mampu untuk bangun kembali jika PR memerintah kerana UMNO merupakan parti pemalas dan tidak mahu berusaha untuk memperbaiki diri mereka walaupun jika parti itu sudah terdampar di hadapan mata rakyat.

UMNO tidak seperti PAS yang mana ahli-ahlinya mampu berdiri di atas kaki sendiri. Itu sebabnya saya menganggap PAS seperti ayam kampung yang boleh mencari makan sendirian. Tetapi sebaliknya UMNO itu ibarat ayam daging yang sentiasa mematukkan makanan siang dan malam dengan senang. Itu sebabnya jika ayam daging dikeluarkan dari reban mereka ia akan mati dalam tempoh dua hari sahaja kerana tidak mampu mencari makanan sendiri.

Tindakan menakut-nakutkan orang Melayu oleh UMNO itu adalah taktik yang sudah tidak laku lagi walaupun di kalangan ahli-ahli UMNO itu sendiri. Saya mendapat puluhan sms dari perwakilan UMNO itu sendiri sambil mengejek-ngejek ucapan pimpinan besar mereka dalam perhimpunan agung itu sendiri. Bagaimana orang di luar UMNO hendak meyakini parti itu lagi?

UMNO mesti bersedia untuk menjadi pembangkang yang baik. Tetapi nampaknya UMNO sudah belajar menjadi pembangkang sekarang ini jika kita ikuti perhimpunan itu. Mereka mengata PR seperti pihak yang membangkang. Kalau sudah berlatih untuk menjadi pembangkang itu, insyaallah mereka akan menjadi pembangkang yang baik. Ciri-ciri sabagai pembangkang itu amat jelas terpapar di dalam perhimpunan agung parti itu dan kita akui yang UMNO akan menjadi pembangkang yang berguna di Dewan Legislatif Persekutuan dan DUN-DUN selepas pilihanraya ini.

Masalahnya UMNO kini dipimpin oleh mereka yang tidak tahu apa-apa tentang UMNO itu. Mereka berfikir inilah cara UMNO yang sebenarnya tetapi itu semuanya salah belaka. UMNO telah mengubah paksi perjuangannya sejak Dr M mengambil alih pimpinan dan acuan itu sudah menjadi acuan yang diguna pakai pada masa ini.

Itulah sebabnya rakyat terpaksa mengubah acuan kali ini kerana acuan itu sudah dimamah zaman dan perlu diubah.