21 February 2013

UMNO perlu menjadi pembangkang untuk kebaikan negara dan parti itu sendiri

Tali hayat UMNO sudah begitu halus dan bila-bila masa boleh putus dan menjatuhkan parti itu. Kalau hendak di kira dari sudut politiknya, tidak ada sebab kenapa UMNO itu mesti wujud lagi dan akan di ketepikan oleh rakyat kali ini. UMNO hanya bergantung kepada kuasa wang dengan pembelian undi melalui BRIM dan berbagai-bagai kaedah lagi. Parti itu hanya bergantung kepada kekeliruan rakyat dalam membuat pemilihan kerana ini lah kali pertama membuat keputusan untuk memberikan sokongan kepada parti-parti alternatif negara.

Menghadapi tekanan rakyat ini amat merunsingkan UMNO kerana parti itu belum berpengalaman menjadi pembangkang. Tidak seperti parti-parti yang ada di negara demokrasi yang maju, UMNO belum pernah di jatuhkan dan berasa amat perit untuk menanti saat-saat masuk ke Dewan-Dewan Legislatif sebagai pembangkang. Dalam demokrasi setiap parti wajar bersedia untuk ditewaskan dalam pilihanraya. Kalah dalam pilihanraya ini seperti manusia yang wajib menghadapi mati. Mati itu wajib dan begitu juga lah parti-parti yang berada di dalam mana-mana demokrasi di dunia ini.

Parti Labour Britain dan Parti Conservative negara itu telah bergilir-gilir mentadbir negara mengikut kemahuan dan kehendak rakyat nya. Begitu juga di Amerika Syarikat di mana parti Demokrat dan Republican telah hampir seratus kali bertukar-tukar tempat duduk di dalam Dewan Legislatif mereka.

Di Malaysia oleh kerana inilah kali pertama parti pemerintah merasakan mereka akan mengambil giliran untuk duduk di petak pembangkang, mereka merasakan ketakutannya. Bebagai-bagai cara untuk berkubu dari serangan dan pengaruh parti pembangkang dilakukan oleh UMNO dan BN.  Kekalahan kepada UMNO dan pemimpin merupakan saat-saat masuk neraka dan memisahkan UMNO dengan rakyat yang mengundi itu ibarat memisahkan kulit dari daging. Masih ada sedikit lagi sikap dan kepercayaan orang ramai khususnya orang Melayu yang kekalahan UMNO itu merupakan nasib malang yang menimpa negara dan rakyat.

Momokan ini sudah di tanam sejak setengah abad dan ia sebati dalam benak orang Melayu terutamanya di kalangan yang dewasa dan tua. Kebobrokkan UMNO begitu tebal sehinggakan orang yang cerdik dan pandai pun menjadi bingung setelah menyertai UMNO kerana pengaruh budaya songsang yang terbentuk dalam parti itu sudah se begitu lama. Mereka yang pandai berfikir pun akan hilang kemampuan untuk berfikir secara rasional apabila aktif dalam UMNO.

Bukan sedikit di antara mereka yang berpelajaran tinggi yang terikut-ikut dengan budaya buruk UMNO itu. Rupa-rupanya pelajaran dan pendidikan tidak dapat menyaingi sikap mengampu dan membodek yang telah terbentuk dalam parti itu selama ini. Kita melihat melalui kaca TV hampir setiap hari dalam mana ahli-ahli akademik yang bergelar Professor dan Vice Chancellor Universiti di negara ini bersama-sama menyanyikan lagu lama yang di nyanyikan oleh UMNO selama ini.

Professor-Professor ini di berikan ruang dalam saluran TV tempatan menyanyikan lagu-lagu yang bersenikata ciptaan UMNO. Di antara nya ialah ‘tidak ada UMNO negara akan berkecai dan Melayu akan hilang di dunia ini’. Lagu yang akhir-akhir ini yang di nyanyikan oleh Mahathir ialah pembangkang tidak berpengalaman untuk memerintah dan bermacam-macam lagi yang membayangkan kesombongan pimpinan UMNO yang beranggapan hanya UMNO mampu mentadbir negara.

Dr Mahathir lebih tahu yang Pakatan Rakyat telah berjaya mentadbir negeri-negeri yang di tadbirnya dan inilah yang menyakitkan Dr Mahathir. Mahathir tidak ada sayangnya kepada negara tetapi beliau hanya mahukan rakyat mendengar nasihat beliau untuk kepentingan beliau sendiri. Beliau sedaya upaya mengarahkan segala kesalahan kepada Abdullah Badawi sedangkan Abdullah ada lah pilihanan beliau sendiri.

Sekarang ternyata Abdullah Badawi lebih berhemah setelah bersara dan tidak membuka mulut busuknya untuk memberikan racun yang berbisa kepada rakyat. Abdullah tidak bercakap semborono sahaja sedangkan Mahathir masih berleter sedangkan leteran beliau itu hanya di anggap seperti leteran orang tua yang sedang sakit terlantar sahaja. Mahathir sentiasa berada di dalam kerugian kerana beliau sudah tidak lagi menjadi seorang yang bergelar negarawan negara. Ciri-ciri seorang negarawan sudah hilang dari beliau. Beliau tidak akan mendapatkan ciri-ciri negarawan itu sampai bila-bila.

Seorang yang berjiwa bersih tidak akan merasa gusar seumur hidupnya. Seorang yang tidak melakukan kesalahan tidak akan merasa resah dan gundah gulana dan sebagai seorang rakyat negara demokrasi beliau tidak seharusnya merasakan kehilangan kuasa dari rakyat itu akan menjadikan beliau hidup dalam kesedihan. Sampai masa untuk menjadi pembangkang, jadilah pembangkang yang baik. Mahathir sendiri pernah menasihatkan kita semua, untuk menjadi pemimpin yang baik, perlu merasakan dan mengalami sebagai pengikut yang baik.

UMNO mesti ikut contoh-contoh yang baik.yang kita lihat di rantau kita sahaja. Liberal Demokrat Jepun telah kembali berkuasa setelah di ketepikan oleh rakyat Jepun beberapa ketika. Congress Party of India telah kembali berkuasa setelah parti itu diketepikan oleh rakyat negara demokrasi terbesar di Asia itu. Apa yang boleh menghalang UMNO untuk berkuasa kembali setelah Pakatan Rakyat memerintah barang sepenggal dua. Tetapi perbaiki lah moral parti itu dahulu semasa berada di petak pembangkang.

Jadilah parti yang tidak boleh di persepsikan oleh rakyat sebagai parti yang rasuah. Selagi UMNO tidak berundur buat sementara, UMNO tidak mungkin akan mampu untuk memperbaiki diri. Lagi pun sememangnya sampai masanya untuk pembangkang pula menjadi kerajaan. Jika Mahathir mengatakan pembangkang tidak mempunyai pengalaman untuk memerintah negara, nah…kali ini kita beri peluang. Kita boleh tengok sendiri samada tohmahan Mahathir, Najib dan lain-lain terhadap pembangkang itu benar atau tidak.

Apa yang kita hendak resahkan. Yang akan mengganti pentadbiran kerajaan ialah parti PAS, DAP dan PKR, bukannya parti komunis dari mana-mana negara. Sebaliknya pula UMNO perlu membuktikan yang parti itu mampu menjadi pembangkang yang baik untuk menyuburkan demokrasi negara dengan lebih baik dan menjadi ikutan masyarakat antarabangsa.

Saya selalu membuat anologi memimpin negara ini biarlah ibarat kita bermain gasing. Orang bermain gasing akan memusing dan memangkah gasing itu secara bergilir-gilir. Selama ini hanya pembangkang terutamanya PAS dan DAP sahaja yang memusing gasing untuk dipangkah. Sekarang UMNO ambil lah giliran untuk memusing gasing untuk PAS, DAP dan PKR pula mengambil giliran untuk memangkah. Baru kita tahu pihak mana yang lebih baik sebagai pemangkah dan pihak mana yang lebih baik sebagai pemusing gasing.

Sepatutnya pemimpin-pemimpin UMNO beriya-iya untuk memberikan pembangkang peluang untuk mentadbir negara ini bagi membuktikan pembangkang itu tidak tahu mentadbir negara.ini. Jika terbukti pembangkang tidak boleh mentadbir, barulah UMNO dapat membuktikan tuduhan mereka itu benar. Barulah UMNO boleh kembali untuk berkuasa jika di restui rakyat dan di izin Tuhan.

Apabila UMNO menjadi pembangkang semasa itu barulah UMNO sedar yang selama ini mereka berkuasa hanyalah kerana bergantung kepada rakyat yang keliru (confused) oleh momokan mereka (UMNO) selama ini. Semasa itu nanti barulah UMNO dapat memperbaiki sikap mereka dan tahu yang sebuah parti itu tidak boleh melakukan rasuah dan berniaga di atas sokongan rakyat.

Selama ini pemimpin UMNO hanya memperniagakan rakyat dengan bermodalkan rakyat yang memberikan mereka mandat itu. Semasa itu nanti barulah UMNO tahu yang pemimpin tidak boleh mengambil wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaan anak-anak mereka yang gagal seperti yang berlaku ke atas Mirzan Mahathir dahulu.

Dalam waktu UMNO duduk di petak pembangkang, barulah UMNO akan tahu bahawa kos projek yang di naikkan kerana hendak komisyen itu menjadikan harga pembekalan alat peperangan tentera itu menjadi mahal dan di bayar oleh rakyat. Masa itu nanti barulah UMNO tahu bahawa memberikan pelajaran percuma dan menghapuskan tol lebuhraya seperti yang ingin dilakukan oleh Pakatan Rakyat itu benar-benar boleh dilaksanakan.

Perlaksanaan pendidikan percuma dan menghapuskan tol itu tidak membankrapkan negara. Menghapuskan tol itu hanya akan memberhentikan kutipan yang dilakukan oleh pemegang ‘konsessioner’ lebuhraya yang telah mengutip wang rakyat ramai hampir-hampir RM30 billion bagi lebuhraya utara selatan sahaja. Setiap keluarga akan beruntung kerana dapat menggunakan sumber kewangan mereka dalam jumlah ribuan ringgit setahun untuk perbelanjaan yang lain.
                                        
Pemberian BRIM itu tidak membawa apa-apa erti kerana RM500 atau seribu ringgit sekali sekala yang rakyat terima itu akan di gunakan untuk membayar saman AES sahaja. Tetapi pemberian pelajaran percuma melibatkan setiap rakyat yang belajar merasakan nikmatnya sedangkan BRIM yang sejemput itu hanyalah untuk satu keluarga sahaja.

Itu sebabnya penting pemimpin UMNO duduk di petak pembangkang kerana mereka selama ini tidak tahu yang pengurusan kewangan yang baik dan telus itu boleh memberi faedah kepada rakyat ramai.

Dalam masa menjadi pembangkang itu juga UMNO boleh belajar yang pemimpin tidak payah membawa penyanyi pop antarabangsa untuk berkempen. Semasa itu juga UMNO akan tahu jika negara ditadbir dengan baik, maka rakyat tidak perlu menanggung beban perbelanjaan besar untuk pemimpin berkempen keseluruh negara dengan kos yang tinggi. UMNO akan tahu kewibawaan pimpinan dan kebersihan pimpinan itu sendiri akan berkempen untuk kerajaan yang berkuasa.

Semasa itu nanti barulah UMNO sedar yang selama ini parti mereka itu sepatutnya menjadi pembangkang lebih lama dahulu. Mana-mana pemimpin UMNO yang sedar dan mahu memperbaiki diri mereka akan sedar dan mengakui bahawa selama ini UMNO tidak sepatutnya berada sebagai kerajaan sebegitu lama.

Tetapi bak kata perpatah Inggeris, ‘better late than never’. Jika kita tidak lakukannya dalam pilihanraya ini, ia akan terlalu lewat untuk memperbaikinya. Kita lakukan sekarang ‘and it’s now or never’.

20 February 2013

Berjuta ahli UMNO menyertai pembangkang dalam peti undi

Sekarang tektik UMNO untuk mendapatkan ‘mileage’ politik sangat rendah tarafnya dan memalukan. Akhir-akhir ini satu ‘trend’ lama yang diperbaharui sedang berlaku, iaitu menunjukkan dalam berita dan buletin utama TV3 tentang pengisytiharan ahli-ahli PAS menyertai UMNO. Hampir setiap malam ia dilakukan oleh media perdana negara. Apabila saya melihat isu ini dilakonkan melalui TV3 dan saluran TV media perdana yang lain saya teringat semasa UMNO melakukan perang psikologi terhadap Parti Melayu Semangat 46 dahulu.

Semasa itu setiap malam kita menyaksikan kemasukkan ahli-ahli Semangat 46 dalam UMNO. Parti S46 hanya mempunyai 350,000 ahli tetapi kalau dikira jumlah ahli S46 keluar parti yang disiarkan oleh TV3 itu melebihi 1 juta orang. Tektik ini tektik lama tetapi masih digunapakai oleh UMNO yang begitu terdesak dengan gerakan rakyat seluruh negara untuk menyaksikan perubahan dalam kepimpinan negara.

Saya masih teringat cerita penyampai berita TV yang saya kenali semasa itu. Pada zaman itu pembaca berita selalunya merupakan seorang wartawan berita dalam masa yang sama. Oleh itu mereka tahu hal keadaan sebenarnya. Pembaca berita ini telah menelefon memberi tahu saya yang beliau akan membaca berita mengenai kemasukan 150 orang ahli Parti S46 ke dalam UMNO sedangkan sebenarnya hanya 10 orang sahaja yang berbuat demikian. “Semuanya bohong bro!” katanya.

Saya pun menjawab sambil berseloroh, “Tak apalah. Tapi kalau boleh semasa kau baca berita bohong itu, kau kenyit-kenyitlah mata kau tu. Orang yang menontonnya akan fahamlah yang kau baca itu berita bohong." Dia tidak menjawab hanya ketawa berdekah-dekah sahaja.

Sesungguhnya inilah cara ‘desperado’ UMNO selama ini. Tetapi mereka tidak menyedari satu perkara yang saya selalu menulis tentangnya. Dalam pilihanraya kali ini berjuta ahli-ahli UMNO akan keluar parti semasa berada di dalam peti undi nanti. Ia telah berlaku dalam pilihanraya yang lalu dalam mana lebih dari sejuta ahli-ahli UMNO telah memangkah simbol Pakatan Rakyat, dan ia akan berlaku dengan lebih hebat sekali. UMNO tahu ini akan berlaku lagi kali ini.

Itulah sebabnya Dr Mahathir meminta setiap pemimpin-pemimpin bahagian seluruh negara berikrar di hadapan beliau yang mereka tidak akan melakukan sabotaj terhadap UMNO itu.  Dr Mahathir tahu perkara ini akan berlaku dan beliau faham dengan sedalam-dalamnya isu ini kerana beliau merupakan pensabotaj UMNO yang paling terkenal. Mahathir merupakan pensabotaj UMNO yang paling hebat kerana perkara itu dilakukannya dalam pilihanraya yang lalu.

Kalau Mahathir, seorang yang telah diangkat begitu tinggi oleh partinya sanggup mensabotaj UMNO itu, apa yang boleh menahan ahli-ahli biasa yang tidak mendapat apa-apa kepentingan untuk melakukan sabotaj terhadap UMNO itu? Kalau bapa sudah kencing berdiri, apa yang boleh menahan anak-anak tidak kencing dan berak sambil berlari?

Isu ini sebenarnya isu besar. Contohnya di Negri Sembilan sahajalah. Pengerusi Perhubungannya tidak mendapat sokongan dari kebanyakan atau hampir keseluruhan Ketua-Ketua Bahagian dalam Negeri itu. Mohammad Hasan sememangnya tidak boleh menjaga UMNO NS itu, tetapi entah kenapa beliau masih berada di sana. Saya tidak tahu apakah jampi serapah yang beliau lakukan kerana beliau masih mengetuai UMNO di negeri adat itu.

Tetapi jika diketepikan Mohammad Hasan siapa pula yang hendak mengambil alih tempat beliau? Itu pun merupakan satu persoalan besar juga. Di NS semua pemimpin yang berkebolehan tidak mendapat tempat kerana permainan Ketua Perhubungan yang takut pada bayang-bayang. Isa Samad, semasa menjadi Menteri Besar, hanya mengumpulkan rakan-rakan guru sekolah beliau sahaja untuk menjadi EXCO kerana mereka pandai menggeli pundi-pundi beliau (Isa).

Puluhan orang yang berkebolehan diketepikannya kerana takut kepada bayang-bayang. Semua yang berkebolehan mati begitu sahaja. Isa pun seperti Dr Mahathir juga, takut kepada orang yang beliau anggap akan menjatuhkan beliau. Itu sebab di semua peringkat dalam UMNO itu tidak ada lagi kepimpinan.

Akhirnya Dr Mahathir sendiri mengakui yang UMNO sudah busuk sampai ke ususnya, tetapi sejak kebelakangan ini beliau masih menyokong parti yang beliau anggap sudah busuk sampai ke situ. Itu sebabnya Dr Mahathir tidak boleh dijadikan ikutan kerana beliau seperti Ibrahim Ali, akan menyelekoh dengan tiba-tiba dalam hal politik ini. Mungkin itulah sebabnya Dr Mahathir dengan Ibrahim Ali, itu mempunyai ‘chemistry’ yang baik dan secocok serta saling menyandar di antara satu dengan yang lain.

Setelah Isa digantikan oleh Mohammad Hasan, orang ramai ingat akan berlaku peningkatan mentaliti dalam UMNO itu kerana semasa Mohammad mula-mula menjadi MB ramai orang Negeri Sembilan beranggapan yang beliau itu adalah pemimpin yang turun dari langit ketujuh. Tetapi akhirnya keadaan di negeri itu lebih teruk dari apa yang UMNO alami semasa Isa menjadi Menteri Besar dahulu. Lagi rendah kredibiliti wakil rakyat di negeri itu, mereka itu jugalah yang sedang dipertahankan oleh Mohammad. Kerana apa? Kerana  rasa rendah diri beliau dan takut kepada bayang-bayang sendiri.

Sekarang ini tinggallah pemimpin-peimpin yang pucat-pucat, seperti orang yang bercacing ‘kerawit’, untuk memimpin negeri itu. Itu sebabnya orang Melayu di Negeri Sembilan lebih mengenali Taufek, ADUN tunggal PAS, di sana dan ramai orang-orang Melayu UMNO akan berpindah randah di dalam peti undi nanti.

Lama juga saya berada dalam parti itu dahulu dan saya tahu apa yang sedang berlaku. Mungkin saya tidak tahu apa yang berlaku di kalangan pemimpin-pemimpinnya tetapi saya dapat merasakan yang ahli-ahli biasa dalam UMNO itu sudah lumpuh semangat nya dan tidak berdaya untuk mempertahankan arus perubahan di kalangan rakyat yang ramai. Siapa yang hendak menidakkan pandangan saya ini, mereka boleh berbuat sekendak hati mereka. Tetapi hakikatnya UMNO sudah lumpuh kerana pimpinan UMNO telah membunuh benih-benih kepimpinan sebegitu lama bukan sahaja di NS tetapi di seluruh negara.

Sekarang UMNO hanya tinggal dari kalangan yang ‘buta mata hati’ tentang politik dan siasah. Tetapi oleh kerana semuanya dalam kategori yang sama mereka menganggap mereka yang menentang seperti saya ini sebagai pengkhianat kepada negara.

Sesungguhnya pengkhianat itu akan menganggap semua yang lain itu pengkhianat seperti mereka juga. Apakan daya nasi sudah menjadi bubur. Sampailah masanya UMNO itu duduk di petak pembangkang untuk mendapatkan masa bagi melakukan perubahan dalamannya.

Kalau orang besar-besar macam Dr Mahathir boleh beralih-alih perjuangannya kenapa pula orang biasa seperti kita ini takut untuk melakukan seperti apa yang beliau telah lakukan itu?

Dalam pilihanraya dulu beliau minta rakyat memilih calon, tetapi sekarang beliau meminta orang memilih parti pula. Dia ingat orang ramai ini siapa? Beliau mesti ingat pengundi-pengundi sekarang terdiri dari manusia yang berfikir, bukannnya haiwan belaan yang boleh dicucuk hidungnya.

19 February 2013

Sebenarnya siapa menggigit tangan yang memberi?...Dr Mahathir atau...

Kali ini peneroka Felda pula yang menjadi sasaran kempen Dr Mahathir dalam siri lawatan beliau berkempen pilihanraya yang akan datang ini. Peneroka Felda merupakan satu golongan besar yang mampu melakukan perubahan kepada struktur politik negara kerana kumpulan ini merupakan kumpulan yang besar dan berkolompok dan menjadi rebutan kepada semua pihak yang bersaing dalam setiap kali pilihanraya.

Dr Mahathir seperti biasa menggunakan isu membalas budi untuk mendapatkan sokongan peneroka bagi UMNO yang kian hari kian menipis sokongan dari rakyat termasuk orang Melayu sendiri. Kalau selama ini peneroka Felda menjadi kubu untuk UMNO tetapi kali ini arus perubahan yang sedang berlaku di negara sekarang sudah menular ke dalam penempatan peneroka di rancangan Felda.

Isu menggigit jari pihak yang memberi makan itu tidak timbul dalam politik kerana peneroka juga merasakan tanggungjawab mereka terhadap negara yang mereka cintai itu. Mereka sudah tidak mahu terikut-ikut dengan nasihat lapuk dari pimpinan UMNO dan BN sekarang kerana peneroka juga bertanggungjawab terhadap  keselamatan masa depan anak-anak dan generasi mereka.

Nasihat Dr Mahathir itu satu nasihat yang terbalik arahnya. Sepatutnya nasihat itu datangnya dari peneroka kepada pimpinan UMNO yang telah menggunakan kebaikan hati peneroka selama ini sebagai satu kelemahan yang boleh diambil kesempatan dan dijadikan sebagai dahan-dahan bengkok untuk kera-kera liar meniti.

Peneroka juga mempunyai hati dan budi yang tinggi dan kerana hati budi yang tinggi terhadap negara itulah mereka sudah ramai keluar bertindak untuk menolak satu kerajaan yang tidak boleh menjamin masa depan rakyat dan generasi mereka. Peneroka terutamanya bagi generasi kedua sekarang ini mengambil tanggungjawab untuk bersama membanteras kelakuan pimpinan yang rasuah dan menggunakan kesempatan keatas rakyat termasuk peneroka yang baik hati selama ini.

Negara yang memberikan mereka tanah dan ladang dan mereka telah bersetuju untuk membayar segala apa yang mereka telah dapati. Mereka tahu dan memahami yang kerajaan telah mengambil segala kesempatan ke atas mereka untuk keuntungan golongan kapitalis besar yang menjadi kroni kepada kerajaan dan parti yang memerintah. Letih rasanya untuk mengulangi apa yang UMNO telah lakukan terhadap mereka.

Hanya peneroka tahu dan faham yang mereka mula bertindak untuk melakukan perubahan itu di atas sebab-sebab dan alasan yang kukuh. Lagipun sememangnya tanggungjawab mereka untuk bersama rakyat yang lain untuk menukar kerajaan yang sedang ketagih rasuah dan gila kuasa sekarang dengan kerajaan yang baru yang lebih meyakinkan.

Masakan kerana budi kerajaan itu perlu dibalas dengan sokongan berterusan walaupun kerajaan itu telah melakukan segala gejala yang buruk terhadap negara sekarang ini. Memberikan sokongan terhadap mereka yang telah menyeleweng itu adalah satu fardu kifayah dan ia wajib dilakukan dalam pilihanraya ini. Kita ada kata-kata dan perbidalan bagi menguatkan alasan untuk menukar kerajaan hari ini, iaitu ‘raja yang adil raja disembah, raja yang zalim raja disanggah’.

Apa yang benar-benar merosakkan negara serta siasahnya ialah kerana sikap kita menggunakan nilai berterima kasih itu tanpa berlandaskan kepada moral yang betul. Apa yang sedang dan telah pun ditanam oleh pihak kerajaan ialah untuk mereka terus menerima terima kasih kepada mereka walaupun mereka sudah hilang kelayakkan moralnya untuk mentadbir negara kerana perlakuan buruk yang terbentuk oleh kerana kuasa yang mereka (UMNO) tidak rela melepaskannya.

Bagi Dr Mahathir isu ini sememangnya isu yang paling mudah bagi beliau dan beliau tidak mempunyai alasan lain untuk memberikan sebab kenapa mereka mesti terus berkuasa. Nilai membalas budi ini pun tidak ada dalam diri Dr Mahathir itu sendiri. Mahathir telah menggigit tangan Hussein Onn dengan secara halus kerana mahukan jawatan yang di pegang oleh orang yang melantik beliau itu sendiri.

Mahathir telah meninggalkan UMNO ciptaan beliau semasa menghadapi pilihanraya yang lalu. Yang terlebih besarnya Mahathir telah menggigit parti UMNO yang telah menaikkan beliau dengan mengharamkan parti itu pada tahun 1988 dahulu. Mahathir telah membuang secara sistematik semua rakan-rakan seperjuangannya dalam kerakusan kuasa yang beliau  telah nikmati dengan sokongan rakan-rakan beliau sendiri.

Orang yang baru dua puluh tahun menyertai UMNO ini tidak akan memahami siapa Dr Mahathir ini sebenarnya. Tetapi kenaifan mereka tidak boleh menghalang sesiapa yang telah melalui sejarah dari awal politik negara kita. Mahathir bukannya menjadi Perdana Menteri kerana kekuatan beliau, tetapi kerana pengorbanan rakan-rakan seperjuangan beliau yang akhirnya beliau ketepikan secara sistematik itu.

Bagaimana Dr Mahathir hendak menyorokkan sifat menggigit tangan yang memberikan beliau makan kepada mereka yang sudah lama terlibat dengan politik negara kita ini? Dr Mahathir boleh temberang sekehendak hati beliau tetapi kepada yang mampu untuk mentelaah kejadian-kejadian yang berlaku di dalam UMNO itu sendiri tidak akan dapat lari dari mengakui yang hampir kesemua gejala buruk yang terbentuk di dalam UMNO itu adalah hasil tangan Mahathir sendiri.

Sekarang orang yang telah menggigit tangan dan jari semua orang yang memberikan beliau segala-galanya ini menasihatkan orang lain supaya jangan menggigit tangan yang memberi itu. Entah apa sebabnya Mahathir sedang begitu kelam kabut dengan pertukaran pemikiran rakyat kali ini hanya beliau sahaja yang tahu.

Tetapi hukum akal mengatakan Mahathir merupakan orang yang terlalu takut kepada perbuatan dan kesalahan yang telah beliau lakukan sendiri. Beliau takut kepada demokrasi dan beliau tidak mahu menerima ‘consequence’ kepada demokrasi itu.

Itulah sebabnya demokrasi itu bukan semata-mata untuk memenangi pilihanraya tetapi demokrasi itu wajar selari dengan moral demokrasi itu sendiri. Dr Mahathir tidak mampu untuk melaksanakan demokrasi selari dengan moralnya sekali.

Kepada penoroka Felda, tuan-tuan semua berhak memantau kelakuan dan sikap pimpinan yang ada sekarang. Apa yang saudara lakukan dalam pilihanraya nanti mestilah berdasarkan kepada moral kepimpinan yang ada pada hari ini dan tidak semata-mata mengenang jasa pihak yang telah menjadikan negara kita ini tidak mempunyai siasah dan politik yang bermoral.

Kalau hendak mengenang jasa itu kenanglah jasa negara, bukannya kepada parti yang sedang dalam ketagihan dan kerakusan kuasa itu. Tidak wajar kita mempercayai laungan UMNO yang orang Melayu akan hilang segala-galanya jika UMNO hilang kuasa.

Malahan jika orang dan pemimpin UMNO yang ada pada hari ini terus mendapat mandat, Melayu akan hilang dunianya dan segala-gala yang ada pada mereka sekarang ini. Peneroka mesti ingat UMNO telah di beri isyarat sejak dua puluh tahun lebih dahulu untuk memperbetulkan keadaan tetapi mereka tidak melakukan apa yang wajar.

Sekarang ini UMNO melutut pula untuk terus mendapatkan sokongan ramai. Janji-janji mereka untuk memperbetulkan keadaan ini telah kita dengar setiap kali pilihanraya mendatang, tetapi kita lihat sendiri tiada apa yang dilakukannya untuk memperbaiki imej dan moral mereka walaupun masa yang banyak telah diberikan kepada mereka untuk berubah.

UMNO sudah hilang segala-galanya. Jika benar UMNO itu parti yang bertanggungjawab selama ini masakan negara kita berada dalam situasi yang kita alami sekarang ini. Ingat, UMNO tidak akan berubah. Jika ada pun perubahan ia adalah perubahan yang seperti kata perbilangan Inggeris, perubahan ‘from bad to worst’.

Kita kena berubah. ‘It’s now or never!’.

18 February 2013

UMNO itu pertubuhan haram, maka tidak sah memimpin negara

UMNO sedang sibuk untuk meminta ROS (Pendaftar Pertubuhan) untuk melakukan siasatan ke atas isu pemilihan CEC parti DAP di Pulau Pinang Januari lalu. Hishamuddin Hussein, baru sahaja menghadapi malu kerana meminta ROS mengambil tindakan terhadap DAP kerana gagal menghantar laporan persidangan tahunan DAP dalam jangka masa yang telah di tentukan. Ketua Pengarah ROS juga berkata dengan nada yang sama.

Tetapi akhirnya telah jelas yang isu itu merupakan isu yang tidak wujud kerana laporan yang di perlukan itu sesungguhnya telah di hantar oleh DAP pada 8hb Februari yang lepas. ROS telah memohon maaf kepada DAP kerana kesilapan itu. Hishamuddin berkata di Johor dua hari yang lepas mengakui yang laporan yang di hantar oleh DAP pada 8hb Februari itu tidak sampai ke pengetahuannya. Ketua Pengarah ROS juga mengakui kesalahan tidak mengetahui yang DAP sudah pun menghantar laporan itu ke pejabat ROS dalam tempoh yang di benarkan.

Hishamuddin terus berkata apabila laporan itu sudah dihantar sekarang sampailah masanya ROS menyiasat tentang tuduhan yang DAP telah melaksanakan pemilihan secara tidak betul dan berlaku penipuan dalam proses pemilihan CEC itu. Oleh kerana pilihanraya sudah hampir dan ternyata DAP telah mendapatkan sokongan dan meningkatkan pengaruhnya di kalangan rakyat berbilang kaum. Maka parti ini sedang menghadapi tekanan yang berbagai-bagai dari pihak kerajaan, dan kali ini menggunakan isu yang kononnya ada penipuan dalam pemilihan CEC bulan Januari yang lepas.

Sesungguhnya ROS bebas untuk melakukan siasatan itu kerana sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap isu ini, tidak siapa pun boleh menghalang ROS melakukan penyiasatan berdasarkan kepada laporan yang di buat oleh beberapa orang ahli DAP sendiri itu. Kita faham pihak kerajaan dan Kementerian yang bertanggungjawab sedang berusaha melakukan apa sahaja untuk memberikan tekanan terhadap DAP yang kian hari kian berpengaruh termasuk dikalangan orang Melayu sendiri.

Tetapi saya tidak mahu menyentuh tentang penyiasatan itu, tetapi saya hanya hendak memberikan pandangan yang sebenarnya yang berlaku di dalam UMNO itu sendiri. ROS mesti melakukan siasatan terhadap UMNO yang mempunyai hampir 20,000 cawangan itu.

Kita semua tahu UMNO sudah tidak wujud secara moralnya di cawangan-cawangan di seluruh negara. Tidak banyak cawangan yang bergiat dan UMNO sesungguhnya sedang menghadapi ‘brain death’ di bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan di seluruh negara. UMNO merupakan parti yang melakukan penipuan dihampir kesemua bahagian di seluruh negara termasuk di bahagian Pekan, tempat Najib menyandarkan harapan dan masa depan beliau.

Boleh dikatakan hampir 50 peratus dari cawangan-cawangan di seluruh negara bermesyuarat agong cawangan mereka tidak mencukupi korum mesyuarat. Ahli-ahli yang terdaftar dengan parti itu sendiri tidak berminat untuk menyertai kegiatan parti itu termasuk untuk hadir dalam mensyuarat agong cawangan mereka sendiri. Tetapi tidak ada pun cawangan yang dimatikan atau digantung oleh ROS.

Kebanyakkan ketua-ketua cawangan telah membuat laporan palsu dan jumlah cawangan yang melakukannya adalah dalam jumlah ribuan. Banyak minit-minit mesyuarat cawangan-cawangan UMNO di palsukan kerana cawangan-cawangan itu gagal mendapatkan korum yang secukupnya bagi mesyuarat agong cawangan mereka. Cawangan-cawangan ini akan menghantar perwakilan ke persidangan tahunan bahagian dan ini secara otomatik akan menjadikan persidangan perwakilan bahagian itu terbatal kerana kehadiran perwakilan dari cawangan-cawangan yang haram di seluruh negara.

Maka dengan sendirinya semua perhimpunan agong UMNO di Kuala Lumpur setiap tahun itu adalah persidangan-persidangan yang haram dari segi undang-undang pertubuhan negara. Jika benar ROS betul-betul bertanggungjawab terhadap tugas dan fungsi jabatan itu, maka UMNO perlu di siasat dan saya boleh memberikan jaminan yang penyiasatan itu akan lengkap dalam masa sehari dua sahaja kerana perkara ini berlaku di dalam ribuan cawangan-cawangan parti itu.

UMNO baru ini telah memasukkan klausa dalam perlembagaan parti itu di mana tidak boleh sesiapa pun dibenarkan membawa parti itu ke mahkamah oleh ahli-ahli yang tidak berpuas hati. Kandungan Bab ini adalah di sebabkan UMNO tidak berkeyakinan yang mereka mampu melunaskan syarat dan peruntukan dalam bab atur-peraturan parti itu dan Pimpinan UMNO Tertinggi takut parti itu akan menghadapi kes-kes mahkamah yang dilakukan oleh ahli-ahlinya yang bertimbun-timbun.

Itu bezanya di antara DAP dengan UMNO. Ahli-ahli DAP boleh membawa kes ketidak puasan hati ahli-ahlinya kemuka pengadilan sedangkan ahli-ahli UMNO tertekan kerana tidak dibenarkan oleh perlembagaan mereka untuk membawa partinya ke mahkamah.

Sesungguhnya tanpa melakukan apa-apa penyiasatan pun kita tahu UMNO yang baru ini adalah sebuah parti yang haram dari sudut undang-undang pertubuhan. Parti itu parti yang menekan terhadap ahli-ahlinya. Sesiapa yang membawa kes parti mereka ke Mahkamah akan dipecat dan tidak ada tempat untuk merujuk untuk penyelesaian masalah mereka. Itulah sebabnya UMNO sudah mati sebenarnya kalau kita lihat dari segi undang-undang dan etika serta moral nya.

Cawangan-cawangan yang merupakan tempat kuasa di perolehi itu tidak berfungsi lagi. Sesungguhnya UMNO sudah tiada lagi kerana UMNO tidak dapat dikawal lagi oleh mana-mana badan dan Jabatan Penguat kuasa Pertubuhan.

Saya ulangi, UMNO itu adalah parti yang haram yang sedang berkuasa dan tentulah kerajaan yang sedang dipimpin oleh UMNO itu bukanlah kerajaan yang ‘legitimate’ lagi. ROS boleh lakukan apa sahaja terhadap DAP dan belum tentu lagi ada penyelewengan dalam pemilihan parti itu.

Tetapi yang pastinya UMNO adalah haram dari segi pertubuhannya kerana di setiap peringkat khususnya di banyak cawangan-cawangan nya, minit mesyuarat mereka adalah minit mesyuarat yang palsu. Justeru, semua pemegang jawatan dalam UMNO di setiap peringkat sekarang ini sepatutnya di batalkan oleh ROS serta merta. Saya tidak berapa berani untuk melabelkan UMNO itu sebagai pertubuhan haram, tetapi keadaan macam itu lah lebih kurang.

Oleh itu elok ROS mengarahkan UMNO mengadakan mesyuarat agong cawangan-cawangan, persidangan perwakilan bahagian-bahagian serta perhimpunan agong sekali lagi untuk memberikan ‘legitimacy’ kepada Najib sebagai Presiden dan semua ahli yang menganggotai Majlis Tertinggi itu.

Buat masa sekarang mereka sedang memegang jawatan-jawatan itu secara haram dari segi undang-undang pertubuhan. Selesaikan masalah UMNO dahulu sebelum menyelesaikan tuduhan terhadap DAP itu.

Itulah sebabnya rakyat mahukan perubahan dari sebuah kerajaan yang ‘tidak legitimate’ kepada sebuah kerajaan yang ‘legitimate’. Kita lakukan dalam pilihanraya ini nanti. Jangan undi parti yang tidak sah.