Hari ini kita akan melihat samada
perjuangan untuk perubahan akan terhasil dari usaha yang bertahun-tahun dilakukan
oleh rakyat untuk membezakan keadaan pemerintahan rakyat dengan BN jika mereka
mendapat mandat. Hari ini akan kita lihat keputusan PRU yang paling hangat
dalam sejarah negara dan ia tidak mungkin berlaku jika BN selama ini prihatin
terhadap kemarahan rakyat yang telah mereka bendung sebegitu lama.
Jika UMNO tewas pada hari ini
maka parti itu tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana teguran dari ahli-ahli
telah lama didengari. Tetapi UMNO tidak mengambil indah terhadap semua teguran
itu. Ini semuanya kerana sikap takbur dan angkuh UMNO itu yang berfikir mereka
boleh menungkat langit sepanjang masa.
Tetapi jika UMNO masih mendapat
sokongan, sokongan itu tidak melebihi 3% daripada sokongan pihak yang mahu
melakukan perubahan. Samada UMNO menang atau kalah saya masih teguh dengan
pandangan yang kemenangannya tidak melebihi 10 kerusi. Apa sahaja angka
kemenangan calon-calon BN ia pasti akan lebih rendah daripada apa yang mereka
perolehi dalam pilihanraya 2008 dahulu.
Apabila kurang sahaja perolehan
kerusi daripada PRU yang lepas, maka UMNO sudah boleh dianggap kalah dan tertewas
untuk membuatkan parti itu masih relevan kepada rakyat. Bagi saya elok kita
melihat kemenangan besar dari mana-mana pihak untuk mendapatkan ‘legitimacy’
sokongan dari rakyat. Tetapi jika kemenangan mana-mana pihak itu kecil maka
pimpinan semua parti perlu duduk dan melakukan pengorbanan untuk kebaikan
rakyat dan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap negara.
Ramai rakyat sudah begitu serik
menunggu tarikh pilihanraya dan mereka tidak mahu lagi bercakap pasal politik
dalam tempoh yang agak lama selepas ini.
Saya mengucapkan selamat mengundi
dan berfikirlah semasak-masaknya sebelum kita membuang undi itu. Yang
terpenting bagi rakyat lakukan ialah berfikir sejenak dahulu sebelum membuat
keputusan. Apabila sudah berfikir maka siapa yang saudara pilih mesti dihormati ramai.
Kita tidak rela melihat kekecohan
dan pergaduhan berlaku kerana pilihanraya ini. Sebelum memilih ingat kepada
Tuhan agar segala gerak jari yang memangkah itu adalah gerak dari Tuhan
semata-mata. Apa yang digerakkan Tuhan itulah yang terbaik untuk kita.
Apabila keputusan muktamad keluar
yang terpenting bagi kita ialah untuk menerima apa-apa keputusan yang dihasilkan oleh PRU ini. Siapa yang kalah wajar menghulurkan ucapan tahniah kepada
yang menang dan itulah cara manusia yang mempunyai kehidupan yang bertamadun
mengikut zaman dan waktunya.
Saya berdoa agar PRU ini berjalan
dengan penuh tertib dan tidak berlaku perkara-perkara dan insiden yang tidak
baik terjadi. Kita hanya memilih siapa yang hendak dimandatkan bukannya untuk
mencari pergaduhan dan perkelahian.
Jika berlaku peralihan ia
merupakan kejadian yang pertama kali dalam sejarah merdeka negara kita.
Akhirnya saya mengucapkan selamat
mengundi dan jadilah pengundi yang bertanggungjawab. Apa yang ditentukan
Tuhan itu sudah mesti yang terbaik bagi kita. Tuhan Maha Mengetahui dan segala
yang berlaku itu semuanya adalah afa’alNya semata-mata. Ia tentu mempunyai
hikmahnya di sebalik segala yang berlaku.
Selamat mengundi dan buatlah
pilihan mengikut selera masing-masing. Waktu kempen sudah tamat dan sekarang
hanya menunggu keputusan daripada pilihan kita itu. Ingat menukar kerajaan itu
bukannya jenayah dan mengekalkan yang ada pun bukannya jenayah.
This is a free country. Jangan
takut atau gusar untuk membuat pilihan masing-masing.