Setelah lama selesainya
pilihanraya ke13 yang lalu, isu yang paling besar selain dari isu rasuah dan
salahguna kuasa, ialah isu perkauman yang dimainkan oleh kedua-dua belah
pihak. UMNO menakutkan orang Melayu yang jika Pakatan Rakyat menang orang Melayu akan diketepikan
dan bangsa Cina akan mempengaruhi situasi politik negara.
Baik PKR mahu pun DAP membalas
dengan menghentam BN yang isu menakut-nakutkan orang Melayu. Itu, kata DAP dan
PKR menunjukkan yang BN itu adalah parti yang 'desperate' kerana menggunakan isu ‘sensitive’
ini bagi mendapatkan sokongan orang Melayu. BN menyedari yang orang-orang Cina
sudah membelakangkannya.
Isu ini amat laku terutamanya kepada
yang muda-muda dan BN kehilangan banyak sokongan walaupun tidak mencukupi untuk
dikalahkan oleh pihak Pakatan Rakyat seperti yang kita lihat dari keputusan PRU
ke 13 itu. Apabila selesai pilihanraya barulah ramai menyedari yang isu perkauman itu
sesungguhnya memberikan impak besar yang ‘negative’ terhadap BN. Di sebaliknya
ia memberikan kesan yang baik pula kepada PR terutamanya kepada DAP.
Akhirnya kita jelas terlihat yang
DAP seperti juga parti Gerakan, walaupun di khabarkan sebagai parti berbilang
kaum tetap dikuasai oleh kaum Cina juga. Baik dari penguasaan pimpinan di
peringkat CEC nya mahupun dari perwakilannya dalam barisan pemilihan ahli-ahli
Legislatifnya. Kaum Cina hampir seratus peratus menguasainya.
Bak kata perbilangan ‘blood is
thicker than water’, mana-mana kaum pun belum lagi memulakan semangat penyatuan
kaum yang sebenarnya. Ia masih lagi sebagai ‘indah khabar dari rupa’ sahaja. DAP
begitu ‘smart’ sekali dalam pendekatannya kepada kuasa kali ini. DAP memahami
perasaan orang Melayu dengan baik. Parti itu memahami orang Melayu mempunyai
sentimen yang tinggi dari semangat perkauman seperti orang Cina juga.
Itu sebab orang Melayu apabila di
tunjukkan perhatian yang lebih sedikit oleh DAP mereka yang muda-muda terus
sahaja memberikan sokongan yang besar kepada DAP terutamanya di P Pinang dan
Selangor serta di Johor. Dalam penjelajahan saya keseluruh negara sebelum
pilihanraya kerana undangan berceramah, isu keprihatinan kerajaan P Pinang diberikan
penekanan besar. Peruntukan berlipat kali ganda kepada Majlis Agama Islam
negeri itu menjadi isu yang sangat laku bagi orang Melayu.
Semasa BN masih memerintah Pulau
Pinang peruntukan untuk Majlis Agama Islam hanya 12 juta berbanding dengan
lebih dari enam puluh juta semasa pantadbiran Pakatan Rakyat DAP di Pulau
Pinang. Ini memberikan penambahan nilai kepada DAP sebagai sebuah parti yang ‘multiracial’
dan menjadi pujian orang melayu yang ramai-ramai. Rupa-rupanya orang melayu
akan tunduk semata-mata kerana peruntukan untuk Majlis Agama Islam yang tinggi
itu sahaja.
Sebenarnya bagi Pulau Pinang,
memberikan peruntukan sehingga seratus juta setahun kepada Majlis Agama Islam
itu pun, bukan menjadi masalah besar kerana Pulau pinang adalah sebuah negeri
yang kaya. DAP boleh memberikan sebanyak mana pun peruntukan untuk orang Islam
melayu di sana
kerana kekukuhan kewangan negeri itu.
Tetapi apabila pilihanraya sampai,
baru ramai yang sedar bahawa DAP tidak kisah dengan wang yang banyak diberikan
kepada institusi keagamaan di negari itu asalkan sahaja kuasa politik itu
berada sepenuhnya ditangan mereka. DAP tahu orang Melayu mudah terpujuk dengan
isu penambahan peruntukan untuk agama Islam itu.
‘Banyak mana wang yang kamu
mahukan aku berikan, tetapi kuasa sepenuhnya mesti ada ditangan ku’. Itulah
lebih kurang sikap DAP yang sangat ‘smart’ dalam menghadapi isu perkauman itu.
Itu sebab keputusan pilihanraya yang lalu kita menyaksikan DAP mendapat
penambahan kerusi sebanyak 10 lagi dari apa yang mereka dapati dalam pru yang
sebelumnya. PKR dan PAS mendapat kurang kerusi dari PRU 2008 dahulu.
Dengan isu perkauman yang bermain
dikalangan DAP itu, ia mendapatkan sokongan bulat dari kaum Cina dan penambahan
yang tidak kurang dari kaum Melayu sendiri. Akhirnya isu perkauman ini
menguntungkan DAP dengan besar sekali tetapi memberikan kekurangan kepada BN di
sebaliknya.
Keuntungan dipihak DAP masih lagi
tinggi sekarang ini kerana anak-anak muda yang dinyanyikan dengan lagi ‘multiracial’
itu masih memainkan isu itu walaupun pada hakikatnya isu perkauman itu hanya
menguntungkan kepada parti yang memainkan isu perkauman ini dengan begitu
‘smart’ tadi sahaja.
Dalam pilihanraya yang lalu DAP
hanya menonjolkan kaum Cina sahaja kecuali dua orang di Pahang kerana DAP tahu
dia tidak memerlukan sokongan Melayu sepenuhnya semasa PRU yang lalu itu.Parti itu merasakan sokongan kaum Cina sudah memadai bagi mendapat atau menghampiri kuasa di Putrajaya itu
Pendeknya usaha untuk mendapatkan
penyatuan kaum sebenarnya belum pun bermula kerana tiada siapa yang mahu
memulakannya. Walau bagaimana pun nyanyian untuk penyatuan kaum itu sudah
dimulakan oleh anak-anak muda di seluruh negara walaupun pada hakikatnya ia
belum pun bermula walaupun setapak langkah yang positif kearahnya.
Itulah realitinya. Siapa yang
hendak membantah pandangan ini, bantahlah sekehendak hati masing-masing. Ini
negara demokrasi, bukan ke?
Jika boleh dilakukan dengan
jujur, berfikirlah sejenak tentang isu ini sebelum tidur dengan hati yang
terbuka tanpa mempunyai prejudis kepada sesiapa termasuk kepada diri kita
sendiri.
Ingatlah, agama kita berpesan,
berfikir sejenak itu lebih baik dari beramal sepanjang malam. Cuba lah
berfikir sebelum tidur khususnya selepas menghadiri mana-mana perhimpunan
politik anjuran mana-mana pihak. Selepas mendengar pesanan pemimpin politik
kita dengar walaupun sebentar pesanan agama kita pula. Tidak payah lama,
sekejap pun memadai.
Lupakan ucapan yang berapi-api
itu buat sementara, dan ingat pula kepada pesanan-pesanan yang baik yang lain.
Setelah berfikir dengan tenang dan lunak, barulah lelapkan mata sehingga
sejurus sebelum subuh keesokan harinya.