20 July 2013

Rakyat tidak mahukan orang baik, mereka mahukan pemimpin yang baik

Baiknya mengadakan pilihanraya dalam bulan puasa, adalah nyata. Pilihanraya kecil Kuala Besut memberikan buktinya. Tidak ada kata-mengata yang keras diantara kedua-dua belah yang bertanding kecuali beberapa insiden yang tidak menyenangkan telinga mendengarnya.

Walau bagaimanapun keseluruhannya, tetap tidak kedengaran tuduh menuduh yang kuat terutamanya dari pihak BN. Selalunya BN akan membuat berbagai cara untuk menang termasuk melakukan perkara yang tidak beretika terhadap PAS. Tiga puluh empat tahun yang lalu kawasan ini jugalah yang telah mengadakan pilihanraya kecil dalam bulan puasa jika tidak silap ingatan saya.

Kali ini BN menumpukan usaha dengan berkempen secara biasa sahaja, iaitu menumpukan kepada janji-janji pilihanraya. BN telah mengumumkan berbagai-bagai projek kepada penduduk Kuala Besut bagi memancing sokongan pengundi kerana Kuala Besut adalah tempat dalam mana PAS juga mempunyai pengaruh yang besar.

Hanya satu yang amat menarik dalam janji-janji BN apabila sampai pilihanraya. Muhyiddin Yassin, merupakan Pengarah PRK ini dan beliau mempunyai ‘tendency’ menjadikan sungai sebagai bahan kempen beliau. Dalam pilihanraya umum yang lalu Muhyiddin berjanji untuk mendalamkan Sungai Golok. Kali ini beliau berjanji pula untuk mendalamkan Kuala Sungai Besut  bernilai RM250 juta.

Tidak tahulah bagaimana rakyat Kuala Besut menerima janji mendalamkan sungai itu. Di Kelantan janji mendalamkan sungai Golok tidak mendapat perhatian rakyat di negeri itu. Selepas ini tidak tahulah sungai mana pula yang hendak didalamkan oleh Muhyiddin. Mungkin kita tunggu mana-mana PRK yang akan datang dimana kawasan-kawasan itu mempunyai sungai dan parit-parit yang besar.

Janji-janji BN untuk membangunkan kawasan negara dan negeri serta kawasan ini sememangnya isu biasa dan dalam sesuatu pilihanraya ia tidak lagi menjadi isu relevan bagi rakyat untuk menentukan sikap mereka untuk menyokong mana-mana pihak.

Pimpinan kita terlupa, rakyat bukannya mudah menerima umpan-umpan seperti ini untuk menyokong. Itu sebabnya dikawasan perbandaran dan separa bandar janji-janji dan sogokkan kerajaan tidak mendapat perhatian. Tindakan Najib memberikan bantuan besar kepada sekolah India dan Cina serta wang BRIM tidak memberikan banyak munafaat kepada BN itu sendiri.

Masalahnya Najib telah membentuk ‘equation’ pemikiran rakyat sama dengan pemikiran beliau sendiri. Beliau berfikir yang rakyat sama lahapnya dengan pimpinan UMNO dalam hal wang ringgit ini. Ternyata Najib tidak sensitif dengan naluri rakyat yang dahagakan kelainan dari yang biasa mereka alami.


Rakyat ramai masih menumpukan kepada isu nasional dan di antaranya ialah imej rasuah yang melekat rapat dengan BN itu menjadi penyebab kenapa BN tidak mampu mendapat tambahan kerusi dalam PRU yang lalu malahan mendapat jumlah kerusi yang lebih rendah lagi.

Hilangnya keyakinan terhadap institusi demokrasi itu menjadi tumpuan rakyat. Mereka masih mempersoalkan isu kebebasan institusi Kehakiman dan Polis misalnya. Sebanyak lebih dari RM4 billion telah dibelanjakan untuk BRIM tetapi rakyat tetap menunjukkan protes dalam PRU yang lalu.

Itu sebabnya pembangkang mendapat tambahan sedikit kerusi kerana rakyat sudah mengambil keputusan untuk memberikan sokongan kepada pembangkang walaupun ada parti-parti pembangkang yang tidak sebaik mana pun mendapat sokongan. Rakyat telah menerima janji pembangkang tanpa berfikir panjang. Bagi mereka UMNO dan BN mesti dikuburkan walaupun belum tentu parti yang mereka sokong sekarang ini mampu memenuhi janji-janji mereka.

Ramai yang percaya termasuk orang Melayu sendiri yang ada parti yang menjanjikan ‘multiracialism’ nya tetapi tidak ada bukti yang mereka telah dilakukannya. Rakyat masih menerima janji mereka kerana perasaan geram mereka kepada UMNO.

Bagi saya PAS merupakan parti yang sangat relevan bagi orang Melayu jika tidak berkehendakkan kepada UMNO lagi. Hanya yang perlu bagi PAS dari sekarang ini ialah untuk menentukan yang pimpinan parti itu mempunyai kemampuan untuk mentadbir kerajaan sahaja. Rakyat mahu melihat PAS menjadi parti yang proactive tentang memajukan parti itu kepada parti yang mampu mentadbir sebuah kerajaan.

Dalam tulisan saya beberapa minggu lepas saya menarik perhatian ramai dengan mengkritik parti yang sangat penting untuk orang Melayu dan Islam ini. Dari menumpukan kepada berhimpun PAS semestinya menghantar pimpinan mereka secara bergilir-gilir berkursus pentadbiran di universiti-universiti atau pusat latihan terkenal di dunia ini bagaimana untuk mentadbir sebuah kerajaan.

Itu sahaja yang kurangnya dalam PAS. Rakyat gusar kerana setelah PAS diberikan peluang mentadbir Kedah parti itu tidak sensitif untuk memberikan tanggungjawab mentadbir kepada mereka yang lebih mahir dari pimpinan yang sedang memimpin.

Bagi saya di Kuala Besut ini kemenangan PAS boleh memberikan anjakan pemikiran baru kepada PAS kerana tidak ada kekurangannya kepada PAS kecuali kekurangan imej mampu mentadbir itu sahaja.

PAS perlu ingat satu perkara penting. Rakyat bukan sahaja memerlukan orang yang baik, tetapi yang lebih penting ialah pemimpin yang baik. Orang yang baik dengan pemimpin yang baik itu adalah dua perkara yang berbeza. Ustaz Azizan misalnya, adalah orang yang sangat baik bagi saya, tetapi beliau bukanlah pentadbir yang baik. Jika PAS mampu menghilangkan imej tidak tahu menguruskan kejayaan, PAS akan menjadi parti yang paling relevan dihari muka.

Pemutusnya untuk PAS melakukan kerja penambah baikan keadaan ia memerlukan semangat untuk melakukannya dari rakyat. Pengundi Kuala Besut mungkin boleh memulakan untuk membina semangat itu dengan memberikan kemenangan kepada calon PAS walaupun dengan majoriti yang kecil sekali pun.

Lagi pun seperti yang saya sebutkan beberapa hari yang lepas, kemenangan kepada UMNO bukannya menguntungkan pun. Lagi pun janji Muhyiddin untuk mendalamkan sungai di Kuala Besut itu pun entahkan bila akan didapati oleh orang Kuala Besut.

Jangan terleka dengan janji-janji dari mana-mana pihak.

19 July 2013

Penggabungan MCA, Gerakan dan SUPP isu menarik

Akhir-akhir ini kedengaran di sana sini yang MCA sedang menguruskan rundingan agar kesemua parti yang di dominasi oleh kaum Cina bersatu menjadi satu entiti politik yang berkesan.

Khabarnya Gerakan telah bersetuju untuk mengabungkan partinya dengan kedua-dua parti Cina itu dengan hanya meminta satu syarat iaitu MCA perlu menjadikan parti itu sebagai parti yang 'multiracial' seperti Gerakan dan SUPP. Chang Ko Yuon meminta MCA supaya menjadikan parti itu sebagai sebuah parti ‘multiracial’ kerana parti yang berdasarkan kepada bangsa sudah tidak relevan lagi.

Jika usaha menggabungkan parti itu berjaya maka jumlah keahlian parti-parti dalam BN akan berkurangan menjadi 12 sahaja dan ini akan memudahkan lagi mentadbir BN pada masa-masa yang akan datang. Saya dikhabarkan yang usaha penggabungan ini adalah satu-satunya cara bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada kepada parti-parti yang di dominasi oleh kaum Cina.

Penggabungan ini merupakan satu tindakan perubahan yang drastik dan ia menampakkan yang pimpinan parti-parti ini serius dan ini lah sebenarnya yang mahu dilihat oleh rakyat. Parti-parti atau pertubuhan yang tidak melakukan perubahan adalah sebuah pertubuhan, kewibawaan pertubuhan itu akan beransur-ansur kurang keampuhannya dalam menghadapi rakyat yang ramai.

Ketiga-tiga parti ini telah mengalami kekalahan yang terbesar dalam sejarah penubuhan parti-parti tersebut dan ini merupakan isu yang biasa dalam sejarah sesebuah parti itu. DAP pernah menghadapi kekalahan teruk dalam pilihanraya 1995 dan beberapa kali dalam pilihanraya negara, begitu juga PAS. PKR hanya mempunyai satu kerusi di Permatang Pauh suatu ketika dahulu.

Tetapi parti-parti ini kembali menjadi besar penyertaan mereka dalam Dewan-Dewan Legislatif negara. Keadaan berubah mengikut keadaan dan masa. Jika dalam PRU13 yang lalu MCA dan Gerakan serta SUPP menjadi mangsa keadaan politik semasa itu, itu adalah perkara dan kejadian biasa dalam politik bukan sahaja di negara ini tetapi juga dimana-mana negara lain juga.

DAP sudah sampai ketahap maksima dari jumlah kerusi yang boleh dimenanginya. Terutamanya di Semenanjung Malaysia ini. Itu lah sebabnya parti itu menumpukan tenaga di Sabah dan Sarawak bagi mengembangkan pengaruhnya dan menambah bilangan penyertaan mereka dalam Dewan-Dewan Legislatif negara. Hampir kesemua kerusi di Semenanjung yang dijangkakan boleh dimenangi oleh parti itu telah pun di menanginya.

Jika diikuti formula ilmu statistik DAP sudah sampai ke ‘apex’ nya dan jika ada pergerakan statistik kepada parti itu ia akan hanya menunjukan penurunan. Sebagai sebuah parti yang telah memerintah sebuah negeri seperti P Pinang, parti DAP akan terjumpa dan berhadapan dengan masalah yang lazim dihadapi oleh sesebuah parti pemerintah.

MCA, SUPP serta Gerakan boleh memperbaiki diri semasa dalam kejatuhan dan jika mereka mampu menunjukkan perubahan, tidak terkejut bagi banyak pihak yang parti-parti itu akan bertambah sokongan dari rakyat dalam pilihanraya yang akan datang. Lagi pun dalam kekalahan yang mereka hadapi sekarang secara ‘natural’ nya semua pemimpin yang menjadi isu semasa menghadapi PRU ke 13 yang lepas akan tiada lagi dibarisan pimpinan mereka dan ini akan memberikan imej baru kepada penampilannya kepada rakyat yang begitu mendesak buat masa ini.

Tidak ada satu parti pun boleh menguasai bangsa yang mendominasi sesuatu parti. Contohnya DAP telah cuba mendapatkan kuasa waktu yang terbaik semasa PRU yang lalu. DAP tahu jika ada pun kesempatan untuk menjadi rakan kongsi dalam kerajaan, PRU ke 13 yang lalu adalah masa yang terbaik baginya.

Itu sebabnya parti itu beriya-iya memberikan sokongan dan berpadu dengan PKR bagi mendapatkan sokongan dari ‘secondary source’ untuk mencukupkan kekuatan untuk menubuhkan kerajaan bersama PKR. Tetapi dalam usaha itu ‘coalition’ dalam Pakatan Rakyat tidak mendapat kata sepakat dalam banyak isu yang berkaitan dengan keadaan semasa.

Dalam usaha mendapatkan sokongan padu dari kaum bukan Melayu secara total DAP juga telah melakukan kesilapan dengan menawar isu nama Allah kedepan secara rasmi. Akhirnya Pakatan tidak dapat kerusi yang mencukupi untuk berkuasa bersama rakan kongsi mereka kerana PAS telah tidak berjaya memenangi kerusi yang sepatutnya dimenanginya kerana isu Allah itu. PAS telah menjadi defensif dalam isu ini, dan isu ini adalah isu yang terlalu ‘unnecessary’ yang ditimbulkan oleh DAP.

Impak jangka panjang kepada DAP adalah besar kerana dengan isu itu telah mengurangkan keyakinan bangsa Melayu dan strategi menggunakan sokongan PAS dalam Pakatan Rakyat yang dilakukan secara yang mereka lakukan dalam PRU yang lalu tidak mungkin boleh diulanginya lagi. Orang melayu rata-rata, termasuk penyokong PAS sendiri berkata dengan nada kecewa yang saya berjumpa berkata, mereka tidak akan ‘dipatuk ular dari lubang yang sama’ pada pilihanraya yang akan datang ini. “Once bitten twice shy” kata seorang pemimpin PAS yang hampir dengan saya.

Tetapi kita tidak perlu marah dengan DAP berbuat demikian kerana semasa itu parti itu merasakan itu sahajalah waktu dan ketikanya bagi mereka mempunyai peluang untuk duduk di Putrajaya bersama rakan kongsinya pimpinan Anwar Ibrahim. Keyakinan mereka terlalu tinggi sehinggakan mereka merasakan banyak isu dan janji-janjinya tidak perlu dipenuhi dan selepas berkuasa mereka boleh mempertahankan kedudukan dengan pengaruh ‘incumbency’ yang mereka bakal perolehi.

Apa yang dilakukan oleh DAP sememangnya memberikan kebaikan kepada parti itu, tetapi tindakannya itu telah membantutkan sokongan orang Melayu kepada PAS dan PKR sendiri. Oleh kerana itulah PR akhirnya tidak berjaya memenangi DUN di Negeri Sembilan, misalnya kerana diatas beberapa isu yang dilakukan oleh DAP, PKR telah gagal untuk memenangi satu kerusi pun dalam kawasan Kuala Pilah. PKR yang rata-rata dianggapkan akan memenangi tiga kerusi DUN di kawasan Kuala Pilah akhirnya kecundang kerana ribuan yang sepatutnya memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat telah kembali memberikan sokongan kepada UMNO dan BN.

DAP walaupun menang dalam kesemua kerusi yang ditandingi mereka, PKR dan PAS pula kecundang dan rata-rata keluarga dan rakan-rakan yang hampir dengan saya memberitahu yang ‘intrigue’ yang dilakukan oleh DAP itu hanya boleh di applikasikan hanya sekali sahaja. Selepas ini orang Melayu akan lebih berhati-hati dan akan melihat tindakan parti itu dengan lebih khusus lagi.

Tetapi itulah politik disini. Kadangkala strategi menjadi, kadangkala kecundang. Tetapi yang nyata di Negeri Sembilan, misalnya peralihan sokongan dan tumpuan bagi mereka yang berada diatas pagar bermula dari saat parti itu mengumumkan tiada orang Melayu dan Islam menjadi calon dalam pilihanraya itu. Itu amat bertentangan dari janji-janji awalnya. Ia telah mengakibatkan PAS dan PKR kecundang di kawasan-kawasan majoriti Melayu di timur negeri itu.

Niat dan cita-cita untuk merasakan kuasa di Putrajaya tidak kesampaian dan parti itu terpaksalah mencari dan mendapatkan strategi yang baru bagi mendapatkan sokongan kali ini. Oleh itu dalam situasi sebegini jika parti-parti yang di dominasi oleh kaum Cina boleh bersatu mereka boleh menjadi saingan kuat kepada DAP dihari muka dan pastinya situasi kali ini akan berlainan secara 'total' jika mereka (MCA,SUPP dan Gerakan) berjaya memperbaiki keadaan.

Proses pemulihan bagi parti-parti MCA, SUPP dan Gerakan akan hanya tercapai jika masing-masing sedar betapa perlunya mereka melakukan perubahan secara jelas dan telus. Jika parti-parti ini dapat menunjukkan kejujuran kepada rakyat dengan niat yang difahami bersih, tidak ada sebab kenapa parti-parti itu akan kembali mendapat tempat dihati rakyat yang ramai.

18 July 2013

Alvin, Vivian, Zulkifli Noordin dan lain-lain mesti diambil tindakan

Di waktu negara sedang menghadapi ketandusan kepimpinan ini, banyak isu dan perkara yang tidak berpatutan timbul hasil dari kekurangan kepimpinan itu. Segala cita-cita perjuangan negara bukan sahaja terbantut malahan keadaan bertambah buruk dan menakutkan.

Semua bercakap isu yang mereka tidak memahami dengan betul atau bercakap tanpa kejujuran. Isu penyatuan kaum adalah isu besar yang di sebut oleh semua pihak baik dari pihak kerajaan mahu pun dari pihak pembangkang, tetapi tidak ada satu pihak pun yang jujur tentang perjuangan yang mereka laungkan.

Sekarang timbul isu besar lagi. Isu hasil dari kelakuan nakal sepasang anak muda, Alvin Tan dan Vivian menjadi isu dan semua pihak bercakap, tuduh menuduh diantara satu dengan lain sehingga menjadi panas dan membosankan. Keadaan semakin merumitkan sampaikan tidak siapa lagi yang boleh memberikan punca kenapa keadaan politik ini menjadi sebegini rupa.

Saya percaya jika ada satu pihak yang lebih betul dari pihak yang lain tentu perkara seperti ini tidak akan berlaku. Jika ada pihak yang betul tentulah ramai yang akan memihak kepada yang betul kerana di situlah ‘sanctuary’ kepada rakyat yang sedang dalam pencarian. Isu seperti ini bersabit dengan kepimpinan, samada pimpinan yang lemah atau pun pimpinan yang tidak jujur atau oleh kerana kedua-duanya sekali.

Jika perkara tidak serius masakan pasangan Alvin dan Vivian ini boleh melakukan perkara yang sejahat yang mereka lakukan terhadap agama kita? Tetapi keburukan yang sangat jahat yang dilakukan oleh pasangan muda ini tentulah bersebab. Mesti ada puncanya. Kenapa mereka yang masih muda sudah pandai menyentuh dan menyakitkan kita dengan provokasi yang mereka lakukan itu?

Puncanya itulah yang wajib kita fahami dan diperbaiki. Kalau kita lihat dan pandang betul-betul, mereka yang menjadikan isu ini lebih panas ialah nama-nama seperti Zulkifli Noordin, Bung Mokhtar dan beberapa orang yang lain dalam mana nama-nama ini adalah nama-nama yang tergulung kepada ‘tin-tin kosong’ yang tidak mampu memberikan tambah nilai kepada politik negara kita.

Betul, mengambil tindakan terhadap pasangan muda ini adalah amat wajib kerana tidak ada siapa yang beragama akan merestui perlakuan mereka. Tetapi saya tidak salah jika saya katakan yang keadaan ini berlanjutan kerana pihak yang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan itu tidak bersikap adil. Kenyataan-kenyataan mereka-mereka seperti Zulkifli Noordin, Ibrahim Ali dan ramai lagi yang bersifat provokatif terhadap agama lain tidak pula diambil tindakan.

Selagi sikap berat sebelah pihak penguasa dan mengambil tindakan secara ‘selective’ maka selagi itulah isu-isu seperti ini akan berlaku tanpa henti. Sekarang budaya provokasi diantara agama ini sudah berlarutan dan ini tidak akan selesai selagi tidak ada tanda-tanda pihak berkuasa berkemampuan untuk bersikap adil dan saksama.

Seperti ibu-bapa yang mempunyai sikap ‘limau masam sebelah’ terhadap anak-anak, kerukunan keluarga itu tidak akan tercapai. Tidak akan aman keluarga yang kita pimpin jika kita sendiri mempunyai sifat ‘limau masam sebelah’ itu. Anak-anak tidak akan berasa aman dan tidak akan menghormati diantara satu dengan lain dalam keluarga itu.

Sebagai penguasa kepada keluarga kita mesti mempunyai kesabaran yang tinggi. Jika marah tidak boleh ditunjukkan marah kita secara berlebihan. Bak kata orang tua-tua, ‘jika harimau yang ada di dalam diri kita, kita keluarkan kambing’. Kita mesti mampu untuk menyejukan keadaan.

Tetapi dalam isu Calvin dan pasangannya ini, semua pihak telah memanaskan keadaan sehinggakan orang yang bergelar Ahli Legislatif seperti Bung Mokhtar bercakap lebih cepat dari berfikir. Beliau telah menuduh seorang Ahli Parlimen yang lain bertanggungjawab diatas perlakuan Calvin dan pasangannya itu. Ini adalah satu tindakan yang amat memalukan bukan sahaja kepada kita yang mendengarnya tetapi sepatutnya ia juga akan memalukan dirinya sendiri.

Bagi saya ‘by all means’ pasangan Alvin dan Vivian ini mesti di ambil tindakan. Tetapi kita juga ingin melihat Zulkifli Noordin juga diambil tindakan yang sama kerana beliau telah melakukan kerja yang lebih buruk dari pasangan muda ini dalam isu provokasi agama ini.

Tetapi Zulkifli Noordin tidak diambil tindakan malahan diberikan pula penghormatan parti untuk menjadi calon bagi parti pemerintah dalam pilihanraya yang lalu. Tindakan memberikan kestimewaan terhadap Zulkifli ini merupakan satu tindakan yang ‘beyond comprehension’ bagi mereka yang mempunyai pemikiran walaupun serendah mana pun pemikiran mereka..

Tidak ada pihak yang befikir dan bertindak secara jujur. Jika ada pihak yang jujur dan meyakinkan, keadaan seperti ini tidak akan terjadi. Sebelum pilihanraya baru-baru ini ada pihak yang telah memanaskan isu kalimah Allah yang begitu sensitif walaupun pilihanraya sudah hampir tiba. Entah kenapa isu itu ditimbulkan dalam ucapan resmi dan ini menjadikan isu keagamaan itu tidak mampu dikawal sehingga hari ini.

Pendeknya tidak ada pihak yang boleh diharapkan untuk menjadi penyelesaian terhadap isu perpecahan diantara kaum dan agama ini. Semuanya bermain politik kepartian yang tidak ada tolok bandingnya. Masing-masing hanya mengeluarkan kenyataan yang boleh menghasilkan keuntungan bagi parti dan kehendak peribadi masing-masing.

Setakat ini tidak ada satu pihak pun yang berkemampuan untuk menjadi sandaran dan harapan untuk melakukan penambah-baikan terhadap isu sensitif agama dan perkauman ini.

Masing-masing mendapat kejayaan diatas keperitan orang lain dan ini tidak akan kekal lama. Kebenaran akan timbul juga akhirnya secara ‘natural’. Sikap bohong itu adalah  sifat mustahil bagi Tuhan yang Maha Adil dan Saksama itu. Kita tunggu sahaja.

“God tells no lies’.

17 July 2013

Kalau hendak menempah songkok, jangan tempah dari tukang kasut

Sahabat rapat saya pernah memberitahu rakan-rakan, kalau hendak menempah songkok, tempahlah dari orang yang mahir membuat songkok. Jangan menempah songkok dari pembuat kasut, nanti songkok akan rupa kasut. Di sebaliknya jangan menempah kasut dari pembuat songkok kerana kasut kita akan diperbuat dari bahan-bahan untuk membuat songkok dan kasut itu tidak akan tahan lama.

Maksud kata-katanya itu ialah jika diberikan satu tanggungjawab kepada orang yang tidak ahli, maka tanggungjawab itu tidak akan terlaksana dengan baik seperti yang sepatutnya. Itulah sebabnya jika diberikan amanah kepada orang yang rasuah maka amanah itu akan di lalaikan kerana orang rasuah hanya pandai dan berfikir bagaimana hendak mendapatkan wang dan harta secara rasuah.

UMNO mempunyai kecenderungan besar untuk melakukan kesilapan ini kerana UMNO tidak serius dalam apa yang di laungkannya. UMNO memberikan tanggungjawab untuk menjayakan satu-satu matlamat kepada mereka yang tidak faham tentang matlamat yang diberikan kepada mereka. Jika diberikan tempat yang tinggi untuk menjaga harga barang makanan seperti harga ayam misalnya, harga ayam akan menjadi lebih tinggi lagi.

Apabila tidak berjaya menjaga dan mengawal harga ayam itu, dia akan menuding jari kepada pengguna dan meminta pengguna supaya tidak makan ayam. “Tukar menu” katanya dengan tidak bertanggungjawab.

Dalam hal kepimpinan sesebuah negara mereka yang sepatutnya dipertanggungjawabkan ialah mereka yang mempunyai sifat ‘magnanimity’ yang tinggi. Perdana Menteri tidak boleh melantik sesiapa yang hanya pandai ‘menggeli pundi-pundi’nya sahaja. Siapa yang membuatkan dia sedap yang itulah yang dipilihnya. Selalunya sesiapa yang pandai mengampu itu adalah mereka yang tidak mempunyai kepandaian.

Orang yang tidak mempunyai kepandaian akan mengampu dan membodek lebih dari mereka yang mempunyai kepimpinan dan pandai melakukan dan melaksanakan tanggungjawab yang diberi. Kalau seseorang itu orang yang pandai ia tidak perlu mengampu dan ‘menggeli pundi-pundi’ Perdana Menteri sahaja. Mereka mengampu kerana hendak menutupi kelemahan mereka sendiri.

Bagi seorang pemimpin utama yang mempunyai kuasa melantik pula, nilai samada dia seorang yang betul cemerlang juga bergantung kepada ketahanannya untuk menolak pengampu-pengampu itu. Jika dia seorang yang betul-betul mempunyai kredibiliti yang benar, beliau akan dengan sendirinya tahu yang mengampu beliau itu adalah orang yang tidak pandai melaksanakan tanggungjawab jika diberikan tugas. Tetapi jika beliau tidak tahu yang pengampu-pengampu itu tidak akan membantu beliau untuk melaksanakan dasar yang digubal beliau akan melantik mereka untuk menyertai kabinet misalnya.

Tetapi oleh kerana kelemahan pucuk pimpinan maka beliau telah melantik mereka-mereka yang pandai berlakun dihadapan beliau dan mengampu sepanjang masa. Jika PM Najib benar-benar seorang yang serius untuk melaksanakan janji-janjinya untuk memajukan negara, beliau sepatutnya melantik mereka yang berwibawa untuk diberikan apa-apa tanggungjawab terhadap kepentingan negara.

Tetapi hakikatnya PM Najib adalah seorang yang lemah, sehinggakan apa yang dirancang yang besar-besar untuk negara telah tidak diyakini rakyat apabila melihat tukang kasut diberikan tanggungjawab untuk membuat songkok dan tukang songkok diberikan tugas untuk membuat kasut seperti yang saya sebutkan tadi.

Mahu tidak mahu kita wajib mengakui hakikat ini. Bagimana kita hendak menolak hakikat ini jika sebuah agensi kerajaan yang sangat penting kepada rakyat seperti Tabung Haji diberikan kepada Azeeez Rahim misalnya. Bagaimana rakyat hendak menambah keyakinan terhadap Najib jika Azeeez Rahim dijadikan orang penting untuk melaksanakan dasar yang digubal kerajaan itu? Bagaimana kita meminta serigala untuk menjaga kambing belaan kita?

Kita bukan cemburu kepada Azeeez itu tetapi kita memandangnya dari sikap dan kredibiliti orang yang melantiknya. Azeeez tidak perlu dipersalahkan tetapi orang yang melantik beliau itulah yang salah. Hanya yang kita tahu, keputusan beliau (Najib) melantik Azeeez Rahim itu sudah cukup untuk menilai setara mana kewibawaan kepimpinan Najib itu sendiri?

Itulah sebabnya UMNO sudah hilang banyak keyakinan dari rakyat dan juga dikalangan ahli-ahlinya sendiri. PM Najib seolah-olah sudah tidak tahu lagi mengenali buah bacang dan buah epal. Tidak kenal beza diantara beruk dengan kera. Tidak kenal perbezaan diantara kerbau dengan lembu, jauh sekali untuk menentukan berbezaan diantara rasa daging lembu dan kerbau.

Najib tidak kenal diantara orang baik dengan pemimpin baik. Najib benar-benar seorang pembawa dalil hari hendak kiamat. Yang baik dikatanya buruk dan yang buruk dianggapnya baik. Jika beliau sudah tidak tahu yang mana satu hitam dan yang mana satu putih maka tidak hairan jika rakyat dan ahli-ahli UMNO merasa keliru kesemuanya.

Kalau ada pun sedikit peluang untuk UMNO dan BN itu kekal, ia adalah disebabkan kelemahan pihak ‘alternative’ pula. Jika kedua-dua pihak mempunyai kelemahan yang nyata maka kelebihan UMNO itu hanyalah diatas pengaruh ‘incumbency’ yang ada kepada mereka sahaja.

Ada parti-parti dipihak pembangkang pun mempunyai isu yang tidak sejalan dan selari dengan apa yang mereka laungkan. Di situ sahajalah ada sedikit peluang untuk UMNO kekal dengan kelebihan kerusi yang kecil dari pembangkang dalam PRU yang akan datang.

Isu itu mungkin boleh kita sebut dan bahaskan apabila sampai masa dan ketikanya nanti.