20 August 2013

Kalau dengar nasihat Dr M, UMNO itu pelindung Melayu, dunia akhirat

Desakan dari setengah pihak dalam UMNO untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO supaya tidak ditandingi bertambah nyaring. Walaupun perlembagaan memperuntukan sesiapa boleh bertanding apa-apa jawatan dalam parti tetapi ada pihak yang tidak mahu diadakan pertandingan itu kerana ditakuti akan memecah belahkan parti.

Tidak ada siapa yang boleh melakukan apa-apa kerana pimpinan diatas tidak yakin dengan peruntukan perlembagaan parti mereka sendiri. Tetapi pucuk pimpinan boleh diubah tanpa pertandingan kali ini seperti yang berlaku semasa Najib mengambil alih kepimpinan dari Abdullah Badawi dahulu.

Najib boleh dialih jika cara yang sama dilakukan seperti yang dilakukan kepada Abdullah dahulu. Asas menolak Abdullah dulu adalah diatas kegagalan Abdullah mendapatkan kemenangan 2/3 majoriti di Dewan Parlimen. Najib mendapat jumlah kerusi yang lebih kecil maka elok jika dilakukan cara pengambil alihan dari Najib mengikut cara Abdullah berhenti dahulu.

Dulunya Muhyiddin begitu kuat dan mundar mandir ke hulu ke hilir. Muhyiddin merupakan orang ke hulu ke hilir untuk Abdullah memberikan laluan kepada Najib. Muhyiddin merupakan orang yang paling hebat kedepan meminta Abdullah turun dan memberikan laluan kepada Najib. Tentulah niat beliau ialah untuk menduduki kerusi Timbalan Presiden itu untuk menggantikan Najib yang telah menerima banyak jasa dari tindakan beliau (Muhyiddin) itu. Maka Abdullah pun berhenti dan Muhyiddin menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Najib..

Tetapi sekarang Najib sememangnya lebih lemah dari prestasi Abdullah maka adalah baik bagi salah seorang dari Naib Presiden menolak Najib pula untuk Muhyiddin mengambil alih Najib sebagai Presiden UMNO itu. Jika tidak ada salah seorang melakukan tindakan untuk Muhyiddin, maka jelaslah yang Muhyiddin ini ibarat lilin yang membakar dirinya untuk kepentingan Najib dan kroninya. Itulah politik UMNO. Jika berjaya rundingan diantara Najib dengan Anwar maka giliran Muhyiddin akan tercicir dan tidak siapa akan menghiraukan beliau apabila graf politiknya menurun.

Tetapi sekarang walaupun keadaan lebih buruk dari masa Abdullah meletakkan jawatan dahulu, tetapi tiada siapa yang berani mahu menandingi Najib dan tidak ada pun pemimpin tinggi diperingkat Naib Presiden berani menggerakkan usaha untuk mengambil alih kepimpinan UMNO dari Najib.

Dahulu orang yang sebenarnya menggerakkan Abdullah untuk bersara ialah Dr Mahathir dan menggunakan Muhyiddin untuk bergerak melaksanakan program peralihan kuasa itu. Muhyidin mundar mandir membuat desakan agar Abdullah meletakkan jawatan untuk memberikan laluan terhadap Najib diatas alasan kekalahan teruk UMNO sehingga hilang majoriti 2/3 di Parlimen dan kehilangan Kedah, Selangor dan P Pinang kepada pembangkang.

Mahathir mengambil tindakan lebih jauh dengan bertindak keluar dari UMNO yang beliau tubuhkan sendiri itu. Beliau hanya kembali ke dalam UMNO setelah berjaya menolak Abdullah dari jawatan Perdana Menteri. Mahathir lebih rela menghancurkan UMNO asalkan sahaja Abdullah tidak lagi memimpin kerajaan kita.

Ramai diantara rakan-rakan saya memberitahu saya yang mereka telah berjumpa Mahathir untuk melakukan tindakan menolak Najib tetapi kali ini Mahathir tidak pula keluar membidas Najib seperti yang beliau lakukan terhadap Abdullah. Mungkin oleh kerana Najib lebih berusaha untuk menyejukkan Dr Mahathir dengan tidak memutuskan hubungan seperti yang dilakukan oleh Abdullah.

Abdullah dahulu tidak mempedulikan Dr Mahathir samasekali kerana Dr Mahathir selalu melakukan gangguan terhadap pentadbiran beliau. Apabila Dr Mahathir berjumpa dengan beliau (Abdullah) beliau tidak bercakap dan membiarkan Dr Mahathir bercakap seorang diri dan Abdullah memenuhi masa dengan Dr Mahathir semasa perjumpaan itu menulis dan mencatatkan sahaja apa yang diperkatakan oleh Dr Mahathir.

Seperkara yang ramai tidak tahu, Abdullah adalah seorang yang nampak lembut tetapi beliau adalah seorang yang keras dan degil. Lembutnya Abdullah bukannya untuk di sudu. Beliau tidak membenarkan Dr Mahathir bermaharaja lela dan beliau terus sahaja dengan selamba melakukan apa yang patut beliau fikir perlu di lakukan.

UMNO sesungguhnya perlukan perubahan tetapi tidak nampak perubahan itu akan berlaku. Kalau pun bertukar orang yang memimpinnya UMNO tetap seperti yang ada sekarang ini malahan ia akan lebih lemah lagi selepas ini. Saya selalu berulang-ulang bercakap yang jika di tukar Najib dengan diantara mereka yang ada dalam barisan pimpinan tertinggi UMNO, parti itu akan tetap sama kerana mereka mempunyai budaya dan sikap serta kemampuan yang sama sahaja.

Kita tidak boleh mengharapkan apa-apa dari pemilihan kali ini. Apa yang kita mungkin lihat hanyalah perubahan muka-muka yang baru tetapi mereka tetap sama sahaja. Masalah tetap sama dan keresahan rakyat tetap wujud.

Dr Mahathir akhir-akhir ini mengakui kelemahan nyata tetapi menyeru orang melayu menyokong UMNO juga diatas nama perpaduan dan keselamatan orang melayu. Biarpun rakyat sengsara dalam UMNO tetapi mesti menyokong juga UMNO itu.

Orang melayu tidak dibenarkan berubah oleh Dr Mahathir. Bagi beliau orang melayu mesti hidup terus-terusan dibawah parti yang lemah. Orang melayu mesti terus-terusan bersabar melihat kepimpinan UMNO melakukan rasuah dan segala-gala dosa dan noda.

Kalau orang Melayu tidak menyokong noda dan dosa ini nanti Melayu akan berpecah pula. Biarkan kita berada dalam dosa dan noda, UMNO mesti dipertahankan. Apa nak jadi, jadilah. Kalau terpaksa bergelumang dengan UMNO yang melakukan segala noda itu, maka sokonglah UMNO.

Kalau agama kata jangan rasuah, jangan di hiraukan jika seruan itu merosakkan melemahkan UMNO. Bagi Dr Mahathir UMNO itu adalah ‘ultimate’ untuk semua dunia dan akhirat.

19 August 2013

Ketua Pemuda UMNO : moral dan politiknya sememangnya untuk Khairy

Sebagai yang dijangka dan diharapkan oleh ramai pemerhati diluar, termasuk diri saya sendiri pengumuman Khairy Jamaluddin untuk mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia adalah berita yang memberangsangkan.

Keputusan Menteri Belia dan Sukan yang masih muda ini telah banyak membawa ‘nilai tambahan’ kepada UMNO. Ramai diantara kita berpendapat Khairy sepatutnya dipertahankan untuk terus menerajui Pemuda UMNO setidak-tidaknya sepenggal lagi atau sehingga ada tokoh yang boleh ditonjolkan sebagai pengganti yang agak setanding atau melebihi beliau nanti.

Buat masa ini Khairy adalah yang selayaknya terus memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO itu. Bagi saya Ketua Pemuda itu seharusnya seorang yang lebih di pandang baik oleh orang ramai kerana akhirnya orang ramai yang akan menentukan UMNO itu diterima atau sebaliknya oleh rakyat. Selama ini ramai pemimpin UMNO itu hanya popular dikalangan ahli UMNO sahaja oleh kerana faktur luaran selain dari faktur kepimpinan.

Diantara faktur luaran itu mungkin kerana permainan wang dan berbagai lagi ‘instruments’ untuk menjadi pemimpin dalam parti itu. Itulah sebabnya ramai pemimpin UMNO samada yang muda atau yang tua hanya dianggap sebagai jaguh kampung sahaja oleh orang ramai. Akhirnya mereka ini keliru dan tidak tahu samada mereka menjadi pemimpin kerana wang ringgit mereka atau pun kerana ketokohan mereka.

Khairy mempunyai keterampilan dan perwatakan yang bersesuaian dengan orang ramai. Untuk memperlihatkan yang UMNO itu serius untuk berubah yang pertamanya yang perlu ialah keterampilan seseorang pemimpin itu dimata rakyat bukan setakat popular dikalangan ahli UMNO sahaja. Di sini lah lebihnya Khairy dengan pemimpin Pemuda yang lain.

Najib selalu mengambil tindakan yang tidak betul. Tetapi tindakannya meletakkan Khairy sebagai Ahli Jemaah Kabinet merupakan salah satu diantara beberapa keputusan yang tepat yang diambil oleh Perdana Menteri yang sedang menghadapi masalah kepimpinan itu. Khairy sepatutnya telah di berikan kedudukan dalam kabinet negara dari dahulu lagi.

Tetapi ramai yang tahu ada seorang ‘warlord’ dalam UMNO yang telah memilih untuk memusuhi Khairy dikatakan penyebab kenapa Khairy tidak dibariskan di dalam Jemaah Kabinet negara pada penggal yang lepas. Tetapi melantk Khairy sekarang pun ada hikmahnya tersendiri. Itu Khairy sendiri akan mengetahui apa hikmahnya itu.

Bagi saya jika ada pihak-pihak tertentu dalam UMNO yang tidak senang dengan keputusan Khairy untuk mempertahankan jawatan Ketua Pemuda ini pihak-pihak itu semata-mata mereka yang mengambil sikap politik semata-mata. Mungkin mereka itu adalah diantara penyokong yang mahukan pihak lain yang sebulu dan ‘sebalok’ dengan mereka sahaja untuk mengetuai Pemuda UMNO itu. ATAU pun yang tidak memberikan dukungan itu hanyalah berdasarkan kepada sikap prejudis mereka sahaja.

Itu adalah fenomena biasa. Tetapi jika dipandang dari kepentingan parti itu sendiri, masa masih diperlukan untuk mencari tokoh yang lain untuk menggantikan Khairy. Dalam UMNO bukannya kerja senang untuk mencari tokoh yang bersesuaian mengikut masa dan zamannya.

Sebagai pemerhati saya hanya mampu mendoakan agar Khairy tidak ada banyak halangan untuk terus memimpin Pemuda, kerana di dalam diri saya ini kuat mengatakan yang Khairy mampu untuk memberikan nilai tambah kepada parti yang semakin uzur itu.

Lagi pun biarlah pemimpin itu datangnya dari mereka yang terdidik dari keluarga yang baik-baik kerana ia boleh memberikan berbezaan kepada pimpinan sesebuah pertubuhan dan kerajaan itu.

18 August 2013

Demokrasi bukan untuk menang undi sahaja, kendung semangatnya sekali

Demokrasi itu mudah difahami. Pihak mana yang menang pihak itulah yang mentadbir dan menjadi kerajaan kepada negara yang mengamalkan demokrasi itu. Kepada yang kalah pihak itu akan menjadi pembangkang di dewan Legislatif dalam apa-apa perbahasan terhadap dasar dan keputusan dibuat oleh pihak yang memerintah. Itu definasi yang simple untuk kefahaman ramai.

Di dalam parti-parti politik yang mengambil demokrasi sebagai sistem parti itu, sesiapa yang menang untuk jawatan tertinggi parti itu misalnya, dia lah yang menjadi peneraju kepada parti itu. Dalam demokrasi selalunya yang menang ambil semua dan yang kalah, kalah semua dan kembali menjalankan fungsinya sebagai pembangkang dalam negara demokrasi tersebut.

Tetapi dalam apa-apa sistem sekali pun yang paling penting ialah untuk mengenakan dan memperkayakan semangat demokrasi itu sendiri. Pemilihan oleh pengundi itu adalah ‘hardware’ kepada demokrasi itu, dan semangat kepada demokrasi itu adalah ‘software’ nya.

Adalah penting bagi kita memperkayakan ‘hard ware’ serta ‘soft ware’ kepada demokrasi tersebut. Maksud saya dengan hanya memenangi dalam pemilihan itu sahaja tidak memungkin demokrasi itu terlaksana dengan sempurna. Contohnya setakat kita menyempurnakan syariat dan hukum agama itu sahaja tidak memberikan kesempurnaan kepada hidup beragama kita jika kita tidak selarikan dengan ketuhanan. Kita tahu, syariat tanpa hakikat itu hampa, hakikat tanpa syariat iu batal.

Pengendali demokrasi yang betul ialah dengan pengendalian hakikat demokrasi dan semangatnya dengan betul. Demokrasi itu ada moral dan semangatnya sendiri. Tetapi pengendali dan pengamal demokrasi kini sudah tidak lagi mengamalkan demokrasi itu selari dengan kehendak moral pemimpin lagi. Bagi mereka menang dengan satu undi pun itu menang namanya. Tetapi tidak pula ada yang menilai apa kah cara dan kaedah mendapatkan kemenangan setipis satu undi itu?

Dulu-dulunya pemimpin kita mengendalikan demokrasi itu dengan semangatnya sekali. Tunku Abdul Rahman mengambil keputusan untuk bersara setelah beliau mendapat isyarat untuk bersara apabila Perikatan yang dipimpin beliau hampir kehilangan mandat dari rakyat untuk menubuhkan kerajaan. Hussein Onn pun begitu. Apabila ada permainan politik dalam UMNO menyebabkan Sulaiman Palestin tampil menentang jawatan Presiden UMNO yang disandang beliau (Hussein). Walaupun Hussein mendapat kemenangan yang begitu besar beliau mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan berikutnya.

Hussein tidak melakukan tindakan politik dengan berunding dan bermuafakat dengan sesiapa pun, kerana beliau mahukan keyakinan rakyat terhadap kepimpinannya. Beliau bukan menumpukan masa politik beliau untuk bertindak semata-mata untuk memaksa keadaan menambah sokongan terhadap diri mereka. Yang penting bagi pemimpin seperti dan sejenis Hussein Onn dan pimpinan sebelum beliau. Hussein tidak mahu menjadi pemimpin dengan cara memaksa dan permainan politik yang disusun secara politiking yang kotor.

Bagi Hussein mendapatkan kedudukan dengan permainan politik kotor itu tidak bermoral pada anggapan beliau. Beliau sanggup meletakkan jawatan untuk memberikan laluan kepada Timbalannya yang tidak sabar untuk mengambil alih jawatan beliau sehinggakan melakukan beberapa kaedah politik yang tidak bermoral terhadap rakan-rakan seperjuangan.

Margaret Thatcher tidak tewas apabila ditandingi oleh Micheal Hesseltine tetapi beliau meletakan jawatan kerana beliau merasakan sudah ramai dikalangan ahli partinya sudah menunjukan tentangan terhadap beliau. maka laluan diberikan kepada John Major untuk menerajui kerajaan Consevative Britain. Margaret Thatcher tidk pula mengharamkan parti Consevative nya apabila menang dengan tipis ditangan Hesseltine.

Bagi Hussein untuk berkuasa selama-lamanya bukan ‘ultimate’ bagi beliau. Tetapi adakah nilai-nilai itu di zaman ini? Jawapannya sudah tiada kerana pimpinan selepas itu lebih mementing politiking sesama sendiri untuk mendapatkan kuasa. Ada pemimpin yang berkata menang satu undi pun menang.

Bagi pemimpin seperti Hussein dan sebelumnya bilangan undi dan sokongan itu adalah 'indicator' samada seseorang pimpinan itu mendapat sokongan padu. Jika memenangi undi dari kalangan ahli dengan majoriti kecil itu adalah isyarat untuk berundur. Tetapi pemimpin sekarang kekurangan majoriti itu adalah indicator atau tunjuk arah bagi mereka melakukan inovasi politiking untuk memperkuatkan kedudukan peribadi walaupun sehingga merosakkan parti yang dipimpinnya.

Justeru ada pemimpin yang setelah diberikan isyarat untuk bersara melakukan perundingan bagaimana untuk meneruskan kekuasaan dengan cara apa sekali pun. Dalam mencari kaedah mendapatkan formula untuk terus berkuasa berbagai-bagai cara dilakukan untuk memenuhi kehendak nafsu dan kemahuan mereka.

Ada pemimpin yang mengharamkan partinya dan ada pemimpin yang menukar perlembagaan parti seperti menukar seluar dalam. Sekarang pula ada pemimpin yang beriya-iya untuk mengambil kuasa bertemu dan berbincang dengan pihak yang diisyaratkan untuk berhenti dengan diatas nama kerajaan perpaduan dan berbagai-bagai lagi. Tetapi tidak sedar dengan hakikat kedua-dua yang sedang berunding itu sudah di isyaratkan oleh rakyat yanga menyandang itu patut bersara dan yang pihak yang kepingin untuk mengambil alih kuasa itu juga telah di isyaratkan untuk tidak menjadi gantian kepada penyandang itu.

Itu sebabnya saya sebut dalam posting yang lepas, kedua-dua yang merundingkan kerajaan itu sesungguhnya tidak selayaknya menjadi perunding kepada kerajaan perpaduan atau apa-apa nama pun kepada kerajaan itu.

Isyaratnya telah diberikan oleh rakyat yang Najib perlu meletakkan jawatan dan bersara, Anwar pula mendapat isyarat yang rakyat tidak mahu beliau menjadi gantian kepada pimpinan UMNO yang rosak itu.

Kedua-duanya patut bersara kerana telah pun di isyaratkan oleh rakyat dalam pilihanraya yang baru berlalu itu.

17 August 2013

Najib berunding dengan Anwar tentang kerajaan perpaduan? Biar betul!

Berbagai-bagai spekulasi yang berlaku dalam politik tanah air. Isu yang paling kuat berlegar sekarang ialah isu kerajaan campuran yang di usahakan oleh dua orang pemimpin ‘famous’ negara kita, iaitu Najib dan Anwar. Kedua-dua yang sangat ‘famous’ ini telah berperang sebelum dan semasa pilihanraya tetapi dalam masa mereka berperang mereka berjumpa dan berunding dan merancang beberapa hal politik masing-masing.

Mereka berunding bukan untuk mencari penyelesaian masalah negara seperti rasuah dan salah guna kuasa, tetapi bagaimana mereka boleh mempertahankan kuasa dan menikmati kuasa dalam politik tanahair. Dalam pada itu rakyat telah berbelah dan bermusuhan dengan ‘team’ masing-masing, BN dan Pakatan Rakyat. Apabila diketahui ramai yang mereka berdua pernah berjumpa dan bertemu dan berunding untuk kepentingan mereka, sudah lihat kecenderungan rakyat sudah mula yakin yang pimpinan samada dipihak BN atau pun Pakatan Rakyat adalah sama…iaitu untuk kuasa peribadi. Mereka berpakat kerana kedua-dua mereka dalam ‘desperation’ untuk kembali menjadi relevan.

Ramai yang merasa tertipu dan merasa yang mereka di permainkan oleh pimpinan masing-masing. mereka yang ramai ini sedar yang mereka hanya digunakan oleh pimpinan masing-masing sebagai ‘kuda pelejang’ sahaja. Berdemo di sana, berdemo disini, memekik disana sini menaikkan serta menegakkan pimpinan masing-masing. Akhirnya mereka sedar mereka telah dijadikan perkakas semata-mata. Ada yang berkata dibawah-bawah ini yang mereka tidak akan membiarkan diri mereka untuk jadi ‘anjing salak’ sahaja.

Pendeknya penyokong-penyokong Pakatan hanya diperguna oleh Anwar sebagai ‘parang bengkok’ untuk menebas semak dan samun yang menghalang Anwar untuk maju mendapatkan kehendak dan kemahuan beliau. Begitu juga di pihak BN, Najib hanya menjadikan penyokong-penyokong beliau untuk dijadikan ‘parang bengkok’ untuk menebas pihak yang cuba menerajang beliau dari Putrajaya.

Ramai yang berkata yang sebahagian besar meereka di dalam UMNO tidak bersetuju dengan kerajaan perpaduan itu kerana mereka bukan sesungguhnya mahu mencari formula untuk negara sebaliknya ‘kerajaan perpaduan’ itu hanyalah helah untuk mendapatkan kuasa peribadi mereka sahaja. Kedua-dua Najib dan Anwar adalah dua orang pemimpin yang tidak sampai hajat mereka walaupun sebahagian doa mereka telah terkabul.

Doa Anwar untuk melemahkan UMNO dan BN terkabul tetapi hajatnya untuk menjadi Perdana Menteri tidak terkabul. Disebaliknya doa Najib untuk terus menjadi PM itu terkabul tetapi hajat untuk mendapatkan kememangan 2/3 tidak kesampaian. Ini adalah kes doa terkabul hanya hajat tidak kesampaian.

Akhirnya kita melihat keadaan dalam mana Anwar begitu kecewa kerana yang beliau lihat sebagai sokongan yang akan membawa beliau ke Putrajaya tidak menjadi kenyataan. Ternyata Anwar bukanlah pilihan rakyat untuk dijadikan Perdana Menteri dan Najib juga bukanlah PM yang dimandatkan untuk menjadi seorang pemimpin dari BN yang mendapat sokongan kuat dari rakyat.

Bagi kedua-dua pemimpin ini, mereka perlu melakukan introspeksi yang mendalam kenapa mereka tidak kesampaian hajat mereka. Tentunya ada hikmah disebalik kegagalan mereka berdua untuk mendapatkan apa yang mereka kehendaki serta hajati.

Dua orang yang gagal tidak mungkin mendapat mandat dari pihak masing-masing untuk berunding bagi menentukan masa depan negara. Selesai masalah mereka berdua tidak semestinya boleh menyelesaikan masalah negara.

Diantara yang di sebut ramai ialah kedua-dua Najib dan Anwar telah berunding untuk Najib terus jadi PM buat sementara waktu dan Anwar sementara itu menjadi Timbalan Perdana Menteri pertama dan Muhyiddin telah diputuskan oleh mereka sebagai Timbalan Perdana Menteri kedua sahaja.

Najib dan Anwar mesti memahami yang negara ini bukannya kepunyaan mereka berdua sahaja. Ia kepunyaan seluruh rakyat. Jika ada pun kerajaan perpaduan tidak ada diantara mereka boleh dijadikan PM kerana yang merosakkan negara tdak sepatutnya di lantik dan dipilih untuk menerajui pemulihan negara.

Bagi saya jika mahu merosakkan negara berikanlah negara ini kepada mereka berdua untuk memimpin negara. Jika mahu menambah buruknya kerosakan negara, berikanlah juga kepada kedua-dua pemimpin ini untuk membetulkannya kembali.

Sekian…