19 September 2013

Pemilihan UMNO: yang menang dan yang kalah sama saja

Dr Mahathir menulis dalam blognya beberapa hari lepas dan memberikan anggapan yang UMNO sedang menghadapi penyakit tua dan akan mati tidak lama lagi. UMNO tidak lagi menggalakkan penyertaaan orang muda-muda dan yang tua-tua tidak mahu berundur bagi memberi tempat kepada yang muda-muda untuk mendapat tempat.

Tetapi keadaan ini bermula dari beliau mengambil alih kuasa negara dan beliau telah membunuh kerjaya pemimpin-pemimpin yang muda lagi berwibawa semasa beliau mula mengambil tempat kepimpinan parti dan negara ini. Malahan itulah tindakan yang mula-mula dilakukan oleh Dr Mahathir semasa beliau mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Hussein Onn. Mana-mana pemimpin yang beliau anggap akan mencabar kewibawaan beliau telah beransur-ansur diketepikan secara sistematik.

Beliau tidak mahu sesiapa yang cerdas di sekeliling beliau semasa menjadi Perdana Menteri. Kesalahan dan kelemahan mana-mana pemimpin yang bersama beliau adalah asset politik kepada beliau dan mudah bagi beliau menentukan politik mereka itu. Beliau tidak seperti pemimpin sebelum beliau yang menggalakkan dan mendidik pemimpin-pemimpin pelapis yang berwibawa.

Hasil kerja tangan beliau yang nyata pada hari ini ialah apa yang kita lihat sekarang. Kalau beliau mendidik dengan jujur kepimpinan partinya masakan pemimpin seperti Abdullah Badawi dan Najib menjadi pewaris kepada kepimpinan beliau. Dr Mahathir sendiri menganggap pemimpin partinya sebagai ‘Red Indians’ sahaja dan beliau tidak mahu pemimpin-pemimpin yang benar-benar berwibawa berada di dalam kabinetnya. Beliau hendak berkuasa seorang diri tanpa sesiapa yang berani menasihati beliau.

Pemimpin didikan pucuk pimpinan Tun Razak dan Tunku Abdul Rahman yang berusia sepuluh atau dua belas tahun lebih muda dari beliau pun beliau bunuh secara halus dan ini sudah menjadi budaya kepada UMNO dan pucuk pimpinan sendiri. Beliau sendiri duduk di kerusi kuasa selama 22 tahun dan dalam menduduki kerusi kuasa lebih dua dekad itu beliau telah melakukan segala-galanya untuk mempertahankan keenakkan kuasa itu.

Untuk mengelakkan yang lebih muda dari beliau mengambil alih kepimpinan, beliau telah membunuh partinya sendiri dan telah menghancurkan semua sistem dan institusi demokrasi dan sakitnya dirasakan oleh ramai sehingga ke hari ini. Seburuk-buruk pimpinan UMNO selepas ini tidak akan ada yang akan sanggup melakukan apa yang Dr Mahathir telah lakukan untuk mengekalkan kuasa. Kos untuk mengekalkan kuasa untuk Mahathir begitu mahal harganya.

Kata-kata Dr Mahathir itu sebenarnya adalah untuk dirinya sendiri, bukannya untuk diri mereka yang mewarisi kepimpinan beliau. Malahan kelemahan kepimpinan selepas beliau bersara itu adalah hasil kerja tangan beliau sendiri. Semasa pimpinan beliau hanya beliau sahaja yang dibenarkan berfikir untuk yang ramai. Tugas dan tanggungjawab yang lain hanyalah untuk mengangguk dan mengiyakan sahaja apa yang beliau katakan dan lakukan.

Berkata-kata benar adalah salah dan memberikan pandangan yang berlainan dari pandangan beliau dianggap sebagai tidak menyokong beliau. Pandangan dari Perdana Menteri yang bersara tidak di indahkan tetapi beliau tidak berpuas hati jika Perdana Menteri-Perdana Menteri selepas beliau tidak mendengar kata-kata beliau.

Sekarang beliau menyebut tentang penyertaan pimpinan muda dalam UMNO yang beliau pernah lakukan. Sekarang ini beliau menuduh yang pimpinan sekarang tidak mahu membawa pemimpin pelapis yang muda pula. Mungkin kerana beliau mempunyai zuriat yang masih muda dan ingin mencelah untuk menjadi pemimpin negara membuatkan beliau bercakap tentang penyertaan pihak yang muda dalam kepimpinan UMNO. Dalam nafas yang sama beliau tidak bersetuju dengan Khairy Jamaludin, seorang lagi pemimpin muda yang sedang berusaha mengasah kepimpinan beliau dalam negara.

Pendeknya Mahathir mahukan yang tua itu hanya untuk beliau dan yang muda pula adalah anak dan generasi keluarga beliau sahaja. Bagi saya UMNO biarlah dibina oleh ahli-ahlinya sendiri dan bukannya oleh mereka yang mempunyai agenda untuk keluarga dan peribadi mereka sendiri. Tidak ada pihak yang ingin menyekat kenaikan Mukhriz kerana ini demokrasi. Tetapi Mukhriz tidak akan terlepas dari bersalah-salahan dengan ahli-ahli UMNO yang ramai dan beliau wajar menerimanya dengan terbuka.

Mukhriz tidak boleh mengikut cara bapanya yang sentiasa tidak mahu mendengar pandangan lain dari pandangan beliau sendiri. Mendengar pandangan lain itu adalah haram bagi Dr Mahathir kerana beliau mengganggapkan hanya pandangan beliau sahaja yang betul.

Tetapi itu hak beliau untuk memberikan pandangan tetapi setiap ahli mempunyai pandangan sendiri dan boleh menilai semua yang kehadapan memperagakan diri mereka untuk duduk dibarisan kepimpinan negara. Hanya yang penting mereka jangan dengan tidak sengaja terperaga kelemahan-kelemahan yang nyata dalam proses kempen- mengempen itu.

Sesiapa sahaja yang mempunyai kesihatan yang baik dan tidak bercakap seorang diri serta tidak bankrap atau terlibat dengan sodomi sex dan terlibat dengan rasuah sememangnya boleh menawarkan diri untuk menjadi pemimpin.

Biarkan ahli-ahli yang ramai untuk menentukan siapa yang hendak mereka mandatkan. Siapa pun boleh di pilih, lagi pun yang terpilih dan tidak terpilih itu pun dari kumpulan yang sama kemampuannya, pemikirannya serta sikap dan moralnya.

Ramai yang berkata jika Najib boleh terpilih sebagai PM, yang lain pun tidak ada sebab tidak boleh dipilih. Kata orang tua-tua, yang menang panjat bendul dan yang kalah panjat tiang. Sama sahaja.

18 September 2013

Cadangan TSMY: Kalau ada kejujuran, PAS dan UMNO patut berunding

Muhyiddin sekali lagi bercakap dan menyatakan kesediaan UMNO untuk menghulur tangan persahabatan dengan PAS demi kepentingan umat Islam, khususnya orang melayu. Jika di kaji dari segi tata bahasanya ia bermakna UMNO sanggup menerima apa sahaja perbezaan dan bekerjasama demi kepentingan agama dan bangsa Melayu.

Orang Melayu yang beragama Islam terlalu berkecamuk samada oleh kerana permainan politik keterlaluan atau pun sememangnya bangsa Melayu ini bangsa yang sememangnya bangsa yang lemah dan tidak mempunyai tulang belakang.

Kalau di baca dari permukaan kata-kata Muhyiddin ini, ia merupakan tindakan yang jujur, tetapi UMNO pula mempunyai stigma dalam mana mereka hanya sanggup bekerjasama dengan pihak PAS hanya semasa mereka dalam keadaan yang lemah dan hilang hala tujuannya.

Selalunya UMNO akan begitu sombong dan angkuh jika mereka sedang kuat. Jadi jika itulah keadaannya maka tindakan Muhyiddin itu adalah semata-mata kerana UMNO itu parti yang lemah. UMNO mesti faham dalam perundingan, kita mesti bersedia untuk menerima dan memberi dan jika sikap ini ada di dalam UMNO tidak nampak perkara ini tidak boleh dilakukan. Jika PAS boleh menerima kerjasama DAP masakan parti itu merasa susah sangat untuk bekerjasama dengan manusia seagama dan sebudaya itu.

Tetapi tidak mengapa itu semua. Jika benar mahukan kerjasama maka UMNO perlu jujur dan mahu menerima perbezaan dan sanggup melakukan sedikit pengorbanan dalam beberapa isu pokok yang berkait dengan agama dan bangsa kita. Jika kesemua isu yang akan dibincangkan dengan PAS hanya untuk membuat PAS menerima apa sahaja kehendak UMNO, itu bukannya kerjasama namanya.

Jika dipandang dari satu sudut, yang agak penting sememangnya wajar UMNO dan PAS itu bekerjasama kerana isu yang dihadapi oleh kerajaan UMNO dan BN hari ini bukan satu perkara yang kecil. Ini masalah kenegaraan dan PAS pula perlu sedikit terbuka kerana dalam kerajaan dan kehidupan seharian manusia ini, ia bukan berkisar untuk melaksanakan Fardhu Ain sahaja tetapi yang lebih besar lagi ialah Fardhu Kifayah jika benar-benar  Islam itu hendak di addinkan serta dijadikan cara hidup kita di negara ini.

Kedua-dua belah pihak perlu terlebih dahulu mengakui yang bangsa Melayu adalah bangsa yang sangat lemah. Lemah bangsa Melayu itu bermakna Islam dan Muslimnya masih kemah. Kelemahan ini tentulah kerana kegagalan perlaksana kepimpinan UMNO dan BN selama ini dan UMNO perlu mengakui hakikat ini.

Kerajaan baru sahaja mengumumkan Dasar Baru untuk memperkasa ekonomi Bumiputra. Dasar yang lama dahulu yang dinamakan Dasar Ekonomi Baru telah tidak dilaksanakan dengan jujur oleh pimpinan bermula dari pimpinan Dr Mahathir dahulu. Hasilnya matlamat 30 peratus penyertaan Bumiputra dalam Industri dan Perdagangan jauh dari mencapai matlamatnya.

Semasa DEB dilancarkan dan dilaksanakan semua kaum bersetuju dan menyokong tindakan kerajaan semasa itu agar orang Melayu mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dan rakan-rakan dari bangsa lain yang lebih maju. Sekarang ini telah terdengar bangsa lain yang terlalu marah dengan apa yang diumumkan oleh Najib baru-baru ini.

Mereka yang bukan Bumiputra mungkin marah kerana mereka sudah tidak lagi ‘appreciate’ kenyataan yang jika pembahagian ekonomi negara tidak seimbang, maka negara akan menghadapi gegaran politik yang amat merbahaya. Mereka (bukan Bumiputra) telah menuduh yang kerajaan hanya menumpukan masa dan tenaga hanya untuk orang Melayu. tetapi mereka tahu jika satu-satu kaum itu tidak mempunyai kedudukkan dan tahap ekonmi yang seimbang, maka ia akan membawa negara ke ambang perpecahan yang amat serius.

Tepi jika dipandang dari sudut yang lain pula, kemarahan bangsa lain itu ada juga faktanya. Mereka telah bertanya, bukankah dahulu sudah ada perancangan dan dasar yang telah dipersetujui dahulu (DEB). Kenapa gagal dilaksanakan?

Walaupun jawapannya kepada persoalan itu ada, tetapi tidak enak lagi utuk menyebutnya kerana ia digagalkan oleh pimpinan UMNO sendiri semasa DEB itu sedang berjalan setengah jalan. Pemimpin besar Melayu sendiri menyatakan yang orang melayu mesti buang tongkat itu. Tetapi apa yang sangat menyayat hati semasa itu jika pun kita tidak mahu menggunakan tongkat itu, kita perlu simpan tongkat itu kerana ada waktu dan ketikanya tongkat itu boleh dipergunakan.

Tetapi apabila Najib mengumumkan untuk mengadakan kembali tongkat itu maka reaksi yang kita dengar sangat menyakitkan kerana ada pihak yang mempersoalkan keistimewaan orang melayu yang telah sedia terkandung dalam Perlembagaan Negara kita. Mereka mahukan segala keistimewaan orang Melayu yang terkandung dalam Perlembagaan itu dibuang samasekali.

Itulah sebabnya ada pihak termasuk diri saya, lama dahulu sudah bercakap melalui tulisan saya dan dalam banyak program umum menyatakan supaya UMNO memperbetulkan keadaan ini secepat yang mungkin. Tetapi pandangan seperti di bisukan, malahan orang yang meluahkan perasaan ini diketepikan kerana tidak digemari oleh pimpinan yang terlalu seronok dan enak dengann kuasa dan pangkat pinjaman Tuhan ini.

Tetapi jika benar Muhyiddin mempunyai kemampuan dan keyakinan untuk melakukan pengorbanan dengan membuang ego dan kebodohan UMNO selama ini, maka perundingan dengan PAS ini tidaklah perlu di persoalkan lagi, termasuk dari PAS sendiri.

Bagi melakukan usaha ini ia perlu melalui pengorbanan. Jika pimpinan UMNO sudah terbukti gagal untuk melakukan apa yang sepatutnya dilakukan, maka jangan gusar jika terpaksa mengundurkan diri jika benar-benar jujur untuk kemenangan umat Islam itu tadi. Jika Najib terpaksa berundur maka jangan gusar dan gundah, beliau perlu berundur.

Bagi pihak PAS pula ini merupakan kesempatan untuk merasakan pengalaman untuk berada di dalam kerajaan dan ini amat perlu bagi parti ini kerana PAS tidak begitu mampu untuk mentadbir dan menguruskan kejayaan apabila diberikan mandat oleh rakyat.  Kejayaan di Kedah tidak diurus dengan betul maka negeri itu jatuh kembali kepada UMNO baru-baru ini.

Itu sebabnya ratusan kali blog ini menyarankan yang negara perlukan politik yang baru. Kita prlu bermula dari awal dan kita bentuk kerajaan baru dengan tidak meninggalkan bangsa-bangsa lain yang berada dan tinggal dalam negara ini.

Ini amat penting kerana setiap negara yang berkepimpinan bermoral dan baik akan hanya mempunyai satu matlamat iaitu Perpaduan Nasional. Pembangunan ekonomi dan penyusunan semula masyarakat dalam semua bidang itu hanya merupakan proses-proses penting untuk mencapai matlamat Perpaduan Nasional itu.

Berpakatlah dan berundinglah. Cari seorang yang berpengalaman yang dirasakan mendapat sokongan semua kaum untuk mengetuai perundingan ini. Bagi saya dan ramai juga yang lain Najib dan sesiapa pun dalam barisan kepimpinan kerajaan hari ini tidak mampu mengadakan dialog itu kerana mereka adalah pencetus kepada keadaan ini. Bawa bersama rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak sekali.

Jika Muhyiddin serius, elok dimulakan dan PAS pula tidak perlu bersikap keras hati yang tidak membawa apa-apa faedahnya waimma untuk melaksanakan addin Islam yang diperjuangkan oleh parti itu sendiri.

Pentingkan negara kerana itu juga adalah tuntutan Islam kita. Tidak ada seorang atau kumpulan yang mendapat segala kehendak mereka seratus peratus. Itulah sebabnya perjuangan itu adalah ubudiyah yang mesti dilakukan sepanjang hayat kita.

17 September 2013

Perbezaan pengganas PKM dengan Perasuah Negara

Pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) yang di haramkan, Chin Peng, telah mati di Bangkok pada Hari Malaysia, 16hb September 2013. Kematiannya telah menjadikan ahli politik mengambil kesempatan untuk menunjuk-nunjukkan kesetiaan kepada negara dengan membuat kenyataan yang garang-garang terhadap orang yang telah mati dan tidak bernyawa itu.

Ada pemimpin UMNO dan NGO yang dahagakan isu untuk di sebut menggunakan kematian Chin Peng ini untuk menempelkan rasa sayang dan cintakan negara dengan meminta mayatnya tidak dikebumikan di negara ini kerana tindakan parti itu masuk kehutan dan menjadi pengganas kepada negara.

Saya tidak mahu memberikan komen tentang kematian Chin Peng ini kerana dia telah meninggal dunia dan ramai orang tidak sedar pun yang Chin masih hidup sehingga mendapat berita tentang kematiannya pada 16hb September yang lalu.

Saya lebih cenderung untuk memberikan ulasan tentang kenyataan-kenyataan yang ‘made belief heroes’ dalam UMNO dan beberapa orang pemimpin NGO yang sibuk untuk menunjukkan kesetiaan kepada negara dengan membidas orang yang telah mati itu.

Benar Chin Peng telah membunuh dan menyeksa ramai rakyat yang bertuankan British semasa parti itu masuk kehutan dahulu. Tetapi kita jangan lupa yang keganasan Chin Peng itu tidak ada bezanya dengan parti dan pemimpin yang merosakkan negara melalui tindakan rasuah dan menyalahgunaan kuasa.

Pemberontakan Chin Peng itu menghasilkan kematian banyak tubuh dan jasad manusia tetapi sikap rasuah yang menjahanamkan negara juga telah banyak menindas perasaan dan membunuh jiwa rakyat yang berjuta bilangannya dinegara ini.

Pendeknya Chin Peng telah membunuh tubuh ribuan manusia tetapi sikap rasuah dan salahguna kuasa pemimpin itu telah membunuh keseluruhan sistem kerajaan dan demokrasi negara kita. Rasuah telah membunuh jiwa berjuta rakyat negara ini. Kerajaan yang rasuah dan menggunakan kuasa telah merobohkan segala sistem dan ‘fabric’ politik dan kenegaraan kita dan itu sangat membunuh perasaan rakyat.

Kadang-kadang kita lupa apabila kerajaan itu rasuah ia akan membawa kekecuhan politik dan minda rakyat. Kelemahan dan kesalahan itu telah diperguna oleh pihak parti politik yang bertentangan untuk mendapat simpati rakyat untuk mengambil kuasa yang sesungguhnya belum tentu boleh membaik pulih budaya rasuah itu. Ada tanda-tanda jika pihak yang lain mendapat kuasa pun belum tentu sistem pentadbiran kerajaan serta politik negara itu akan mampu dipulihkan.

Parti Komunis Malaya telah diharamkan dan pimpinannya telah pun mati seorang demi seorang. Tidak perlu kita jadikan sebagai isu untuk mendapat publisiti murahan kerana politik masing-masing. Tidak perlu di ingati peristiwa lama itu.

Kalau pun kita hendak mengingatinya biarlah kita mengingati bagaimana ahli-ahli parti komunis itu keluar untuk memaksa rakyat memberikan makanan untuk mereka didalam hutan dan mencuri makanan rakyat untuk dibawa kedalam hutan di seluruh negara.

Apa yang mereka curi hanyalah makanan untuk menyambung hidup mereka dihutan, tetapi apa yang di curi oleh perasuah negara ini bukan untuk mengalas perut yang lapar tetapi untuk membina ‘empire’ kekayaan untuk mereka sendiri dan keluarga terdekat mereka.

Pengganas komunis semasa itu hanya mencuri beras dan binatang ternakan orang kampung sahaja. Jika dibandingkan jumlah yang dicuri oleh pengganas rasuah negara sekarang ini dan apa yang dicuri oleh pengganas komunis semasa itu adalah terlalu kecil. Lagi pun kecurian makanan dan beras oleh pengganas itu sudah lama berlalu dan tidak berlaku lagi.

Yang kita takuti dan masih merasakan kesakitannya ialah jumlah wang rakyat yang dicuri oleh pengganas rasuah yang belum tentu lagi akan berakhir. Entah bila lagi ia akan berakhir, kita tidak tahu. Ia berlaku dimana-mana dalam skala yang besar dan melibatkan banyak pihak.

Pendeknya kalau di pandang dari sudut nilai dan moral diantara perasuah negara dengan pengganas komunis dahulu, ia tidak lah begitu besar dan jelas perbezaannya. Ia lebih kurang sama tahap nilai dan moralnya.

Cukuplah menjadikan Chin Peng itu modal politik murahan semata-mata. Carilah modal politik yang lain yang boleh menunjukkan perbezaan dengan kita.

Kalau kita masih mahu mengingatinya, kita ingati apa persamaan diantara PKM itu dengan kita untuk dijadikan sempadan dianatar yang baik dan yang salah.

16 September 2013

Dunia sedang menghampiri kiamat, benar itu salah, yang salah itu benar

Hari ini adalah Hari Malaysia dan hari ini adalah satu lagi hari cuti umum. Malaysia mempunyai hari kelepasan yang paling banyak di dunia ini dan itulah mungkin satu keistimewaan yang ada kepada kita. Kita terima  keistimewaan ini dengan positif apatah lagi kita sedang tercari-cari apa yang lebihnya kita ini dari negara lain.

Pun begitu ramai yang berbahas yang mana satu yang lebih istimewa, Hari Kemerdekaan atau Hari Malaysia dan berbagai-bagai perbahasan kita dengar. Ada yang mengatakan Hari Malaysia patut dirayakan lebih hebat dan besar dari Hari Kemerdekaan. Ada yang berpendapat yang Hari Kemerdekaan lebih penting dari Hari Malaysia dengan berbagai-bagai alasan.

Walau bagaimana pun ini juga adalah diantara beberapa perkara yang hidup dinegara ini dan ia merupakan satu pembangunan sebagai sebuah negara yang merdeka dan sesiapa juga berhak untuk menilai mana yang baik dan buruk mengikut pandangan dan perasaan masing-masing. Dalam isu ini tiada siapa yang salah, semuanya benar. Perbahasan ini pun menunjukkan yang rakyat ramai kasih dan sayang kepada negara. Masing-masing menunjukkan sayangkan negara dengan berbagai-bagai pendapat tentang isu ini.

Bagi saya kedua-duanya sama penting untuk diingati, dan tidak semestinya dirayakan secara besar-besaran. Yang terpenting perasaan sayangkan negara itu adalah penting dan itu tuntutan sebuah negara merdeka dan jangan lupa itu juga adalah tuntutan agama. Menjaga anugerah Tuhan ini adalah menjadi kewajipan kepada rakyat sekalian.

Menjaga sebaik-baiknya negara itu adalah seindah-indah perjuangan jika benar kita semua mengaddinkan agama itu. Kita selalu mendengar pemimpin bercakap tentang Islam itu sebagai addin dan diharapkan yang menjaga kebaikan serta keselamatan negara itu adalah menjadi kewajipan semua pihak.

Memberikan ‘interpretation’ kepada kasih dan sayang kepada negara inilah yang selalu menjadi isu dan perbalahan masing-masing kumpulan seperti parti-parti politik dan apa-apa pertubuhan serta individu-individu. Bagi saya samada Hari Malaysia atau Hari Kemerdekaan itu sama sahaja. Hari Merdeka itu diingati sebagai hari kita terlepas dari penjajahan asing dan Hari Malaysia itu adalah hari wujudnya sebuah negara baru.

Ada rakyat yang benar-benar mahu melihat keselamatan negara ini tanpa menunjuk-nunjuk dengan kebaran bendera dan laungan slogan untuk membuktikan kasih dan sayang kepada negara. Mereka ini benar-benar sayangkan negara dan merasakan yang mereka tiada negara lain yang lebih selamat bagi mereka untuk hidup selain dari Malaysia ini. Mereka ini serius dan berdoa serta berhajat terhadap Tuhan bagi memberikan keselesaan kepada rakyat dan negara ini dengan kehidupan yang aman dan makmur.

Bagi rakyat yang dalam kumpulan ini bendera dan banting negara tersemat dalam sanubari mereka tanpa menunjuk-nunjuk dan bermeriah dengan perayaan. Itulah sebabnya tidak sepatutnya ada pihak yang mengkritik mana-mana pihak kerana tidak bermeriah dengan perayaan-perayaan besar-besaran. Anak-anak yang masih kecil menunjukkan mereka sudah pandai dan berupaya berpuasa dan hasilnya mereka kadangkala diupah dengan baju raya yang cantik-cantik kerana anak-anaknya telah menunjukkan kemahuan dan kemampuan untuk melakukan ibadah puasa walaupun belum sampai keakhir baligh.

Tetapi yang sudah dewasa yang tahu berpuasa itu adalah ibadah yang telah disyariatkan  dan diwajibkan maka mereka tidak perlu menunjuk-nunjukkan yang mereka telah berpuasa. Dalam umur dewasa kita tahu yang kita mempunyai Tuhan, maka wajib kita melakukan suruhan dan kewajipan yang telah di perintah itu.

Itu lah sebabnya sayangkan negara itu bertahap-tahap dan ia berbeza tahapnya diantara satu orang atau kumpulan yang lain. Ada yang menyayangi negara itu dengan melihat dan memerhatikan bagaimana kerajaan diurus dan mereka yang sayangkan negara ini akan tidak berhenti mengkritik pimpinan misalnya, jika pimpinan melakukan kerja buruk terhadap negara. Mereka marah pemimpin yang menjahamkan negara kerana rasuah dan sebagainya.

Mereka akan lebih marah kepada pemimpin-pemimpin rasuah itu sendiri beretorik dan melaungkan rasa cinta kepada negara. Mereka beranggapan pemimpin seperti ini adalah pemimpin yang bermuka-muka dan hanya melakonkan sahaja perasaan rasa kasih dan sayangkan negara itu dan itulah yang amat menyakitkan hati mereka.

Mereka (rakyat) tahu yang mereka ditipu dan di muslihatkan oleh pemimpin-pemimpin yang berpura-pura sayangkan negara itu. Mereka tahu pemimpin-pemimpin yang melaungkan slogan-slogan cintakan negara itu sendiri adalah penderhaka kepada negara dengan melakukan rasuah dan salah guna kuasa misalnya. Ada yang marah kerana hipokrisi yang keterlaluan yang dilakukan oleh pimpinan.

Mereka tahu membawa masuk pendatang asing dan diberikan kad pengenalan dengan mudah itu adalah tindakan penderhakaan kepada negara, tetapi mereka yang melakukan ini jugalah yang berteriak sayangkan bangsanya dan sayangkan negaranya. Mereka ini jugalah yang diraikan dan di muliakan semasa perayaan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Mereka yang rasuah dan yang tidak sayangkan negara ini jugalah yang berdiri diatas pentas dalam masa perayaan itu dan menunjukkan mereka ini sayangkan negara, sedangkan rakyat percaya yang mereka lah juga kumpulan yang menjahanamkan negara. mereka diatas pentas perayaan itu jugalah yang memberikan muka dan membenarkan ahli keluarga seperti isteri untuk menggunakan pengaruh dalam penentuan banyak perkara penting dalam pentadbiran negara.

Kumpulan ini jugalah yang dianugerahkan nama dan gelaran besar-besaran negara semasa hari jadi Raja dan Ketua Negara. Mereka ini adalah penjahanam kepada negara. Melakukan rasuah besar-besaran dan seterusnya mendapat gelaran yang besar-besar sekali sambil mereka menjahanamkan negara itu.

Blog ini selalu mengingatkan yang kita sedang dalam zaman dunia hampir kiamat. Yang melakukan dosa dan noda mendapat tempat yang tinggi. Yang benar nampak salah dan yang salah nampak benar. Yang bathil bermaharaja lela dan yang benar terbenam dan diketepikan.

Pendeknya yang menjadi dalil hari kiamat selalu menjadi pemimpin kerana itu adalah petanda dunia ini hampir kiamat. Hanya kita sedang menunggu Imam Mahdi sahaja untuk mengesahkan yang dunia sudah benar-benar hampir ke akhir zaman.

Tetapi Tuhan juga berfirman yang selagi masih ada yang berzikir kepadanya walaupun hanya seorang, dunia tidak akan kiamat. Begitu juga politik. Selagi ada segelintir yang masih insaf dan sedar tentang keadaan ini, negara akan tetap wujud.

Itulah sebabnya yang sedar dikalangan kita ini mesti teruskan perjuangan untuk membenteras kebathilan ini agar negara akan selamat setidak-tidaknya dalam jangka sementara terjumpa pimpinan yang baik dan menjadi penyelamat kepada negara ini.

Insyaalah kita akan bertemu dengan orang yang boleh menyelamatkan negara ini. Tuhan juga berjanji kepada ummah yang akhirnya nanti yang bathil ini akan terhapus dan timbullah yang hak. Itu biar Tuhan yang menentukannya.

Yang terpenting, kita perlu teruskan usaha dan itu juga tuntutan Tuhan bagi kita menunjukkan tauhid kita terhadapNya.