24 September 2013

Kalau benar PM Najib mahu kritikan membina dan proaktif, dengar ini.

Memperkasakan Ekonomi Bumiputra (MEP) menjadi sebutan ramai dikalangan rakyat termasuk oleh rakyat Bukan Bumiputra di mana-mana dan di setiap tempat di mana mereka boleh bercakap. Bagi Bumiputra mereka berbincang isu ini kerana pengumuman tentang MEP ini oleh PM Najib baru-baru ini melibatkan mereka. Perbincangan di kalangan bukan bumiputra pula kerana isu ini berkaitan dengan bumiputra dan kelemahan mereka tidak habis-habis diperkatakan oleh kerajaan.

Kedua-dua pihak, Bumiputra dan Bukan Bumiputra, nampaknya sama-sama bersetuju yang perancangan Najib dalam isu ini membosankan rakyat termasuk Bumiputra itu sendiri. Orang melayu dan Bumiputra merupakan 60 peratus dari kependudukan negara ini, dan mereka bukan tidak suka perancangan yang khusus untuk mereka, tetapi beratus-ratus rancangan yang diumumkan oleh kerajaan itu tidak membawa apa-apa makna kepada mereka. Bumiputra tetap ditakuk lama dan tidak berganjak kemana-mana.

Najib memberitahu rakyat yang perancangan ini boleh di kritik dengan kritikan membina. Jika terdapat kesalahan di mana letaknya kesalahannya. Jika terdapat kekurangan di mana pula hendak di tokok dan di tambah asalkan segala kritikan itu adalah kritikan membina. Kita berharap PM Najib jujur dengan kata-katanya itu dan jika blog ini memberikan kritikan dan pandangan di harap tidak di salah tafsir sebagai seorang yang membangkang semata-mata untuk membangkang.

MEB itu merupakan satu perancangan ‘copy cat’ dari DEB yang telah di abaikan semasa pentadbiran Dr Mahathir dahulu. Mengumumkan perancangan seperti yang telah pernah kita dengar pada pertengahan 1970 dahulu merupakan idea seratus peratus ciplak dan tidak menunjukkan kelainan mengikut masa dan waktunya. Tanggungjawab, DEB dahulu mahu pun MEB sekarang, ini terbeban kepada kerajaan pusat dan jika gagal dilaksanakan ia tidak akan dapat diatasi oleh kerajaan pusat.

Dalam pada pimpinan pusat malas untuk berfikir dan mencari jalan penyelesaian terhadap isu ‘social dan economic engineering’ yang sangat rumit itu, tanggungjawab itu perlu di pikul oleh kerajaan negeri tanpa mengira parti dan bangsa apa yang mentadbirnya. Kita mesti berbalik kepada latar belakang negara kita yang merupakan sebuah negara Persekutuan. Negeri-negeri mempunyai kerajaan dan legilatifnya sendiri.

Kenapa segala-galanya datang dan terbit dari Putrajaya dan turun kebawah? Benar-benarkah Putrajaya yang kerajaan persekutuan itu faham keadaan sebenar di negeri-negeri dalam Persekutuan itu? Elok kali ini atau yang akan datang segala keperluan dan perancangan serta kehendak negeri masing-masing di ‘incorporate’ kan kedalam perancangan yang di umumkan oleh PM Najib itu?

Negeri-negeri diperlukan menghantar perancangan mengikut acuan dan kehendak negeri masing-masing dalam membina kedudukan Bumiputra itu. Kita mesti menghargai hakikat yang masing-masing negeri mempunyai ‘idiosyncrasies’ masing-masing dan isu ini tidak akan diketahui oleh Idris Jala yang terlalu jauh dari memahami keadaan sebenar di bawah-bawah ini.

Dalam kes ini Idris Jala tidak diperlukan samasekali dan berikan tanggungjawab untuk memikul bagi menyusun serta mengkoordinasikan perancangan itu kepada Ketua Pengarah ICU (Implementation Coordination Unit) Jabatan Perdana Menteri sahaja. Idris Jala boleh bersara dan melakukan kerja-kerja dan tanggungjawab yang lebih memberi makna kepada negara dan dirinya sendiri.

Jabatan Koordinasi dan Pelaksana, Jabatan Perdana Menteri (ICU) itu sudah wujud sejak hampir empat puluh tahun dahulu yang kini tidak menjadi Jabatan penting lagi kerana sistem memandai-mandai kini lebih menguasai pentadbiran kita kini. Jika ini dapat dilaksanakan maka tidak akan ada masalah satu-satu Kementerian Persekutuan melaksanakan dasar kementerian tersebut tanpa merujuk dan melakukan koordinasi dengan kerajaan negari-negeri.

Itu masalah di Sabah pada hari ini. Kementerian Kemajuan dan Pembangunan Luar Bandar pimpinan Shafie Apdal tidak menghormati semangat dan perjanjian Persekutuan itu dengan melaksanakan tugas beliau tanpa melalui kerajaan negeri Sabah. Ini amat menyulitkan kerajaan negeri kerana kerja pembangunan tidak selari dengan perancangan negeri Sabah itu. Ini hanya satu contoh dan ini berlaku di banyak negeri-negeri di Persekutuan Tanah Melayu sendiri.

Perancangan untuk membina asas kekuatan ekonomi Bumiputra perlu di berikan kepada kerajaan negeri yang dikoordinasi oleh ICU di Jabatan Perdana Menteri. Jika negeri-negeri diberikan kuasa yang lebih, maka lebih mudah untuk melaksanakan segala projek yang bersangkutan dengan perancangan istimewa untuk Bumiputra kerana mereka lebih dekat dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Dengan melibatkan pimpinan dan kerajaan negeri serta kerajaan tempatan maka segala keputusan kerajaan akan dirasakan sebagai keputusan bersama oleh rakyat dalam menentukan kejayaan semua projek yang bersifat ‘social and economic engineering’ ini.

Jika ada pula perancangan dari Peringkat Persekutuan, segala penerangan secara meluas perlu dilakukan oleh kerajaan melalui Jabatan Penerangan Daerah dan diadakan semula kursus-kursus sivik seperti lazim diadakan dahulu. Alasan yang kita sekarang ini semua orang mempunyai ‘access’ kepada berita melalui media baru itu tidak benar akan memberi kebaikan kerana masih terlalu ramai rakyat yang belum ada lagi ‘access’ kepada media baru melalui internet itu.

Jika di hidupkan kembali penerangan secara ‘direct’ dengan rakyat ramai yang ditadbir oleh Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) itu maka lebih mudah bagi mengetahui apa yang tidak kita ketahui berlaku melalui dialog dengan mereka semasa penerangan sivik itu.

Semuanya ini telah dilupakan oleh kerajaan sekarang dan itulah sebabnya rakyat merasa tersisih dari semua keputusan kerajaan. Bermula dari zaman Mahathir segala-galanya dilakukan dari atas kebawah dan tidak sebaliknya.

Apabila kerajaan UMNO dan BN ini dirasakan jauh oleh rakyat maka tidak lah adil jika di salahkan rakyat tidak bersama kerajaan sekarang ini. Sekarang ini rakyat biasa jika bertanya kepada Ketua Kampung serta AJK Kemajuan dan Keselamatan Kampung tentang dasar kerajaan, hampir kesemua mereka tidak akan dapat menjawab persoalan ramai ini.

JKKK sekarang tidak seperti dahulu, diberikan latihan dan pengetahuan tentang kesemua perancangan kerajaan akan bakal dilaksanakan. Saya masih ingat lagi dizaman tujuh puluhan dan awal lapan puluhan  Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung di hantar ke Bilik Gerakan Kerajaan di negeri-negeri masing-masing. Mereka dipanggil untuk mendengar ‘briefings’ dengan ‘detail’ oleh pihak pelaksana bagi membekalkan mereka dengan kefahaman tentang dasar-dasar yang akan dan telah dilaksanakan.

Dalam taklimat-taklimat tersebut Ketua-Ketua Kampung boleh bertanya segala apa kemusykilan unutk menghadapi persoalan dari orang ramai. Kita mesti mengakui bahawa struktur pentadbiran kerajaan yang paling rendah ialah JKKK dan dibawah JKKK inilah jumlah rakyat yang terbesar ditadbir.

Idris Jala bukannya tahu hal ini. Gagal peranan JKKK, tidak ada apa yang akan berjaya untuk memberikan kefahaman kepada rakyat jelata yang rata-rata ‘confused’ dengan apa yang berlaku disekeliling mereka. Dalam taklimat itu elok disertakan Idris Jala itu sendiri kerana beliau sendiri memerlukan taklimat ini sebenarnya.

Pandangan saya ini mungkin tidak begitu bernas tetapi saya ingin menjadi proaktif seperti seruan Tuan Perdana Menteri Najib semalam. Ini hanyalah merupakan cebisan kecil dari apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan jika ia masih berminat untuk menjadi kerajaan yang relevan kepada rakyat khususnya Bumiputra yang sedang dilaung-laungkan itu.

23 September 2013

Presiden, Timbalan tiada pertandingan, negara akan binasa juga

Najib berkata dengan tiada siapa yang mencabar kedudukan beliau dan Timbalannya dalam pemilihan parti kali ini menunjukkan yang UMNO bertambah kuat dan akan terus menjadi parti harapan untuk rakyat dan negara. Katanya lagi dengan memenangi kerusi Presiden tanpa bertanding itu adalah petanda arah yang parti semakin kuat bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang ini.

Sebenarnya UMNO yang asal dan UMNO yang baru ini telah wujud selama 67 tahun dan dalam usia yang sebegitu lama hanya dua kali sahaja pertandingan diperingkat Presiden itu berlaku. Pertamanya pada tahun 1978 dalam mana Hj Sulaiman Palestin yang telah bertanding jawatan Presiden itu menentang Hussein Onn dan pada 1987 dalam mana Tengku Razaleigh Hamzah telah tampil memberikan saingan kepada Presiden UMNO semasa itu Dr Mahathir Mohammed.

Dalam Perhimpunan Agung yang lainnya tiada pertandingan diperingkat Presiden ini. Selepas pertandingan 1987 dahulu UMNO tidak pernah ada pertandingan diperingkat Presiden tetapi selepas itu pula lah UMNO bertambah lemah seperti yang kita lihat pada hari ini. Tiada pertandingan telah membuktikan yang UMNO itu bertambah lemah dan ini terbukti dengan jelas dan nyata.

Dalam erti kata lain pertandingan tidak semestinya melemahkan parti dan jika tidak ada pertandingan tidak bermakna parti UMNO itu akan kuat. Ia bergantung kepada tahap mana kita boleh menjaga semangat demokrasi itu dengan betul dan baik. Begitu jugalah jika tiada pertandingan ia tidak bermakna yang sedia ada itu adalah yang terbaik dan jika ada pula pertandingan ia tidak bermakna yang ada itu tidak baik.

Dalam kes UMNO ini yang menyebabkan tiada pertandingan itu ialah kerana masing-masing yang ada dalam barisan kepimpinan itu lebih mengira dan menjaga kepentingan serta keseronokan berkuasa dalam kerajaan. Jika kita dengar gossip dan pandangan ahli-ahli UMNO itu Najib itu adalah pemimpin yang sepatutnya tidak berada dipuncak kepimpinan UMNO dan negara.

Tetapi oleh kerana manusia yang didalam kepimpinan parti itu tidak berani bertindak maka mereka terpaksa mengikut lenggang dan lenggok pucuk pimpinan itu sahaja. Mereka memberikan alasan yang biasa iaitu kesatuan dan perpaduan sebagai alasan untuk mengikut kehendak pucuk pimpinan yang berkuasa itu. Itu sebab saya selalu berkata UMNO sememangnya tidak boleh diperbaiki lagi kerana pemimpin yang baik berada diluar barisan kepimpinannya.

Bagi saya UMNO akan hanya boleh berubah apabila parti itu benar-benar tersungkur sahaja baru memulakan perubahan. Tiada apa yang akan berubah, dan ia akan tetap sama seperti UMNO sekarang dan semalam. Jika begitu lama kita menganggap UMNO mempunyai barisan pimpinan yang rasuah, maka itu jugalah keadaan selepas pemilihan ini. Tidak akan ada perbezaannya dalam apa perkara sekali pun.

UMNO akan menjadi parti yang kian hari kian buruk dan tidak ada apa yang hendak kita harapkan di masa hadapan selain dari penerusan budaya rasuah, menyalah gunakan kuasa, serta membina budaya kronism dalam pentadbiran negara.

Telinga kita akan disumbatkankan dengan puluhan malah ratusan slogan baru yang bertentangan nilainya diantara satu dengan lain. Kita akan berhadapan dengan perancangan-perancangan baru yang akan berubah dalam tempoh beberapa bulan sahaja dan Najib akan terus menerus melancarkan satu perancangan setiap beberapa bulan sekali.

UMNO akan tetap merancang banyak perkara sehinggakan tiada masa untuk melaksanakannya. Idris Jala ada di Jabatan Perdana Menteri, mengarang dan mencipta perancangan untuk Najib mengumumkannya melalui media masa dengan majlis-majlis pelancarannya. Semua perancangan-perancangan ciptaan Idris Jala itu ialah untuk Najib mengadakan majlis pelancarannya yang kita tahu dari awal tidak akan membawa negara kemana-mana sekali pun.

Jika ada pun cara untuk merubah keadaan ini hanya parti-parti dalam komponen Barisan Nasional sahaja yang mampu melakukannya. Jika PAS dalam Pakatan Rakyat sudah mula berfikir untuk mengkaji semula gabungan dan perhubungan dengan rakan kongsinya PKR, parti-parti dalam BN juga boleh melakukan perkara yang sama demi untuk mencari jalan penyelesaian masalah-masalah ciptaan UMNO dan kepimpinannya terhadap negara dan kerajaan.

Itulah sebabnya saya tetap mengekalkan pendapat saya yang perubahan mesti dilakukan dari awal seolah-olah kita belum ada kerajaan. Kita mulakan sebuah negara baru dengan perubahan kepada sistem yang baru agar dapat kita membina kembali siasah negara ini ke tahap negara yang benar-benar demokrasi dan bersih dari dosa dan noda rasuah dan budaya kuning dalam pembangunan negara dan rakyatnya. Sesungguhnya kita sedang berada dalam kesulitan yang tiada penghujungnya.

Ramailah yang akan mengkritik pandangan saya ini tetapi yang penting bagi saya pandangan ini akan pasti menjadi kenyataan tidak berapa lagi. Sementara menunggu kebenarannya biarlah saya tanggung dahulu maki hamun dan kritikan yang bakal mendatang itu.

22 September 2013

MEB vs DEB (Bhg 2)

Seperti yang disebutkan dalam posting yang lepas, satu-satu dasar itu amat wajar mendapat persetujuan dan sokongan dari semua pihak dan semua pihak itu memahami kenapa dasar itu wujud. Rakyat semua kaum dan kawasan mesti terlebih dahulu tahu apa kah nilai atau ‘roh’ kepada satu-satu dasar yang diwujudkan itu dengan berunding dengan baik dan sejujurnya kerana kita memerlukan sokongan yang kuat dari semua pihak. Malahan kita mahukan kerjasama dan bantuan dari semua bagi menjayakan matlamat dasar itu.

Tetapi jika pimpinan sekarang yang memulakan tindakan berinteraksi dengan semua pihak khususnya dengan kaum-kaum bukan Bumiputra, saya amat yakin bukannya mudah bagi mereka untuk mendapatkan sokongan dan persetujuan itu. Ia tentunya bersebab dan beralasan. Sebab-sebabnya ialah kerana rekod-rekod yang lampau serta pengalaman yang dilalui sebelum ini apabila dasar yang di persetujui ramai itu tidak terlaksana dengan jujur dan berkesan.

Untuk lebih memahami situasi kenapa artikel ini tertulis ialah tentang kegagalan DEB, satu dasar yang dilancarkan setelah melakukan segala pemikiran dan penganalisaan yang terpeninci itu. DEB bukan sahaja merupakan dasar ‘social engineering’ yang terbaik ia juga merupakan ‘instrument’ kearah perpaduan nasional yang sangat 'effective' dan boleh diguna pakai dalam tempoh masa yang panjang.

DEB bukan sahaja telah memberikan lonjakan kedudukan ekonomi Bumiputra, ia juga adalah dasar yang juga menguntungkan bukan bumiputra dari awal lagi dasar itu di laksanakan. DEB merupakan penawar yang sangat mujarab untuk memulihkan rasa tidak puas hati diantara kaum selepas kejadian 13 Mei 1969 dahulu.

Bukan Bumiputra lah yang menjadi kontrakter besar-besar dalam perlaksanaan segala infrastruktur untuk kemajuan Bumiputra. Pendeknya semua kaum merasakan nikmat dasar ekonomi baru itu yang bermatlamatkan perpaduan nasional melalui pembahagian kesempatan dan peluang secara ‘equitable’ diantara semua kaum.

Tiada keresahan diantara kaum-kaum bukan Bumiputra kerana mereka sendiri merasakan nikmat DEB yang dirancang dengan begitu teliti itu. Saya pernah berkerja sebagai pegawai kecilan di satu perbadanan yang melaksanakan pemindahan kekayaan negara kepada Bumiputra, telah berkerja siang dan malam untuk memainkan peranan yang sangat penting untuk menambah pegangan ekuiti Bumiputra, melihat dengan sendirinya bagaimana kejayaan usaha menambah kekuatan Bumiputra dalam bidang industri dan perdagangan.

Ini adalah hasil dari perlaksanaan dasar yang bersungguh oleh semua pihak, Bumiputra sendiri, sokongan dari rakan-rakan bukan Bumiputra serta agensi-agensi pelaksana dan penggubal-penggubal dasar. Maka dengan jelas pegangan ekuiti Bumiputra telah meningkat dengan pantas dari 2.7 peratus pada tahun 1970 kepada 18.4 peratus pada 1983 dahulu.

Dari mula DEB di lancarkan sehingga 1983 kita telah melihat bagaimana kaum Melayu dan Bumiputra telah meningkatkan bilangan mereka dalam bidang perniagaan secara ‘organic’ dan menjadi peniaga yang berjaya dan bilangan ‘rent seekers’ dikalangan orang yang bergiat dalam politik susah hendak kita jumpai seperti hari ini.

Perkembangan dan kemajuan DEB itu terbantut setakat itu kerana pentadbiran baru pada tahun lapan puluhan telah mengabaikan dasar yang begitu 'holistic' itu dan tidak lagi berusaha untuk menambah dan menokok nilai tambah kepada dasar yang telah diterima semua dan menampakkan kejayaan yang nyata itu.

Pentadbiran barui pada tahun lapan puluhan lebih berminat untuk mempercepatkan pembangunan secara 'express' dan menganggap DEB yang telah dirancang dan menunjukan jasa itu sebagai dasar yang melambatkan pembangunan negara. Bagi pentadbiran baru semasa itu matlamatnya ialah untuk melihat pembangunan fisikal negara dan mengabaikan pembangunan dalam bidang yang lain seperti pembangunan sikap dan nilai kemanusiaan.

Bagi pentadbiran baru semasa itu, pembangunan fisikal adalah ‘nation building’ sedangkan hakikatnya pembangunan fisikal itu merupakan sebahagian yang sangat kecil dalam istilah ‘nation-building’ itu. Maka wujudlah budaya mencari kekayaan dengan cepat dan bermulalah elemen rasuah yang akhirnya tidak dapat lagi dikawal pada hari ini. Kepesatan pembangunan fisikal tidak diselarikan dengan pembangunan moral dan spiritual politik negara itu sendiri.

Semua pemimpin termasuk Abdullah Badawi semasa mula mengambil alih kepimpinan dahulu berkata yang kita mempunyai infrastruktor dunia pertama tetapi masih dengan mentality dunia ketiga. Maka wujudlah masyarakat dan rakyat yang tidak seimbang pembangunan jiwa dan fisikal mereka. Itu sebabnya kita melihat mereka yang berkuasa dan orang disekeliling yang berkuasa tidak merasa malu menunjukan kekayaan yang mereka perolehi dari rasuah dan kuasa itu. Malahan mereka berasa bangga dan tidak merasa bersalah walau sedikit pun dihadapan rakyat yang ramai.

Perubahan ini secara beransur-ansur di sedari rakyat dan setelah hampir 2 dekad telah timbul keresahan dikalangan rakyat dan di campur pula dengan pertelagahan politik diantara pemimpin-pemimpin besar negara. Rakyat menjadi pecah belah mengikut parti dan salur-galur perkauman yang menebal. Masalah negara berkembang secara ‘compounding’ kerana selepas satu masalah timbul masalah yang lain dan tiada siapa yang boleh memberikan kepimpinan untuk menyelamatkan keadaan sampai ke hari ini.

Blog ini menyebutkan semua ini kerana kita gagal mentadbir kejayaan kita sendiri sebab kelemahan diri dalaman kita sendiri. Justeru kita dengan jelas melihat rakyat dan masyarakat mengambil yang salah itu sebagai benar dan yang benar itu menjadi salah kerana ketidak seimbangan pembangunan fisikal dengan pembangunan jiwa kita itu sendiri.

Dasar yang baru di umumkan Najib itu amat mengelirukan kerana tidak ada jaminan dalam pembangunan nilai dan 'attribute' kemanusiaan yang baik. Pimpinan kerajaan sendiri tidak dapat mengambil isu ini secara serius kerana mereka tidak dapat memahami bagaimana pentingnya isu isu ini dijadikan elemen penting dalam sesuatu pembangunan rakyat serta masyarakat itu.

Sesungguhnya dalam negara ini tiada politik yang mempunyai roh sebenarnya. Yang ada hanyalah pemimpin-pemimpin yang bermain politik siapa menang siapa kalah semata-mata.

Berbagai-bagai dasar untuk Bumiputra di umumkan PM kita, tetapi Melayu dan Bumiputra ‘dok tang tu jugak’.


20 September 2013

MEB vs DEB (Bhg 1)

Mahu tidak mahu kita mesti akui yang keadaan politik negara dan pentadbiran pelaksana Dasar Negara sudah sampai ke tahap yang amat membimbangkan. Keadaan sekarang ini  begitu dirasakan. Ratusan, malahan ribuan manusia memberikan sebab kenapa keadaan menjadi sebegini buruk.

Sudah bertahun-tahun UMNO di berikan peluang untuk memperbaiki diri tetapi keadaan semakin buruk hari demi hari. Boleh lah kita mengambil pendirian yang ‘conclusive’ yang UMNO itu tidak akan dapat diperbaiki lagi. Apa juga tindakan membaik-pulih UMNO yang dilakukan oleh pucuk pimpinan dan barisan pimpinan tertinggi UMNO itu semuanya tidak kena dan tidak pernah tepat kepada sasaran. Semua hasil dari tindakan dan pengumuman perancangan kerajaan itu adalah ‘predictable’, iaitu kegagalan.

Pada hari ini kita wajar berterus terang dan jujur dalam memberikan pandangan. Pimpinan UMNO sekarang sudah tidak mempunyai apa-apa kebolehan lagi selain dari menjahanamkan ‘fabric’ politik tanah air dan amat membebankan rakyat. UMNO betul-betul sebuah parti yang menghadapi penyakit tua. Kos untuk mengubatinya terlalu tinggi. Itu pun belum tentu sembuh lagi.

Rakyat sudah kenyang dengan pengumuman berbagai-bagai perancangan dan belum pun satu dari banyak-banyak perancangannya telah nampak kejayaannya. Yang terakhir ialah perancangan tentang Pembangunan Bumiputra dan Melayu dan apa yang di umumkan itu semuanya merupakan ulangan dari apa yang telah di umumkan semasa pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) dahulu.

Perancangan yang di umumkan tidak terancang dengan baik. Kali ini pengumuman itu tidak lari dari sebab hendak menghadapi pemilihan dalam UMNO untuk memperagakan yang beliau adalah pemimpin Melayu yang efektif. Seperti perancangan yang puluhan jumlahnya yang telah Najib umumkan selama ini, peranangan MEB (Memperkasakan Ekonomi Bumiputra) beberapa hari lalu adalah ‘predictable’. Bagi siapa yang menilai betul-betul dan jika di asaskan kepada pengalaman beberapa tahun Najib menjadi PM ini, MEB akan gagal juga.

MEB laungan Najib itu tidak lain tidak bukan, ialah dasar yang sama seperti DEB dahulu. DEB dahulu diwujudkan dengan persetujuan semua kaum dan ianya di rancang begitu rapi dengan bermatlamatkan satu matlamat sahaja, iaitu perpaduan kaum. Apa-apa perancangan sesuatu dasar penting negara ia mesti di rundingkan dahulu dengan semua pihak. Untuk merundingkan itu ia memerlukan pimpinan atau barisan pimpinan yang sebenar-benarnya di hormati oleh pimpinan rakyat semua kaum yang mendiami negara ini sebagai rakyat negara.

Ini amat perlu kerana sesuatu dasar itu mesti difahami dan diketahui sebagai dasar yang boleh membawa perpaduan kaum di negara ini. Masalahnya sekarang ini pimpinan negara tidak mendapat penghormatan rakyat secara keseluruhannya dan masalah untuk membawa kemeja perundingan untuk penggubalan dasar itu tidak dapat dilakukan dengan baik. Kerajaan boleh mengumumkan apa-apa dasar tanpa merujuk kepada semua rakyat tetapi inilah jadinya seperti yang kita alami sekarang.

Pimpinan kerajaan perlu memberi kefahaman kepada semua kaum melalui pimpinannya betapa pentingnya pengimbangan dan pembahagian kekayaan negara untuk menjamin kesejahteraan negara dalam jangka panjang. Katakan dan fahamkan semua pihak bahawa kita terpaksa melalui proses-proses yang drastik dan jelas untuk mencapai matlamat Perpaduan Nasional itu.

Katakan dan fahamkan yang ekonomi merupakan faktor terpenting dalam usaha pencapaian matlamat itu, maka dasar-dasar yang ‘affirmative’ perlu dilaksanakan bagi mencapai matlamat tersebut. Jika majoriti rakyat itu berada dalam keadaan kemurungan, kedudukan ekonomi matlamat pencapaian Perpaduan Nasional itu akan tidak tercapai sampai bila-bila.

Itulah yang dilakukan oleh pimpinan terdahulu khususnya Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak. Setiap bangsa dalam negara ini dibawa berunding maka hasilnya setiap bangsa telah memberikan dukungan kepada DEB semasa itu. Bangsa-bangsa bukan Bumiputra telah bersama-sama berusaha menjayakan matlamat itu dengan menerima DEB sebagai proses pencapaian Perpaduan Nasional itu.

Semua kaum telah merasakan betapa pedihnya keadaan semasa berlakunya peristiwa 13 Mei 1969 telah di ketahui umum ketidak seimbangan kedudukan dan tahap ekonomi setengah kaum itu merupakan salah satu faktor terjadinya peristiwa itu. Kemiskinan merupakan faktor yang sangat mudah bagi kegelisahan rakyat untuk wujud dan akhirnya membawa sebuah negara itu terjebak dengan peperangan saudara dan perselisihan diantara mereka (rakyat).

Itu sebabnya DEB itu wujud diatas matlamat yang begitu luhur kerana ia telah difikirkan dengan mendalam bukan sahaja oleh pemimpin Melayu tetapi juga oleh pemimpin semua kaum. Ia berlaku sebegitu kerana semua kaum sedar yang keseimbangan kedudukan dan tahap ekonomi itu sangat penting untuk diselesaikan.

Maka telah dipersetujui oleh semua kaum semua proses untuk matlamat itu. Di antara proses itu ialah:

1)      untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.
2)      Membasmi cara pengenalan kaum melalui fungsi ekonominya.
3)      Merapatkan jurang pendapatan diantara yang berada dan tidak berada
4)  Membesarkan kek ekonomi agar proses menambah kekayaan dan pegangan kekayaan negara melalui pegangan ekuiti negara itu tidak dilakukan dengan mengambil hak bukan Bumiputra.
5)      Dan lain-lain.

PM Razak semasa itu telah melengkapkan usaha ini dengan memilih orang-orang dan pemimpin yang berwibawa yang dihormati oleh semua kaum untuk menentu segala tindakan bagi pencapaian matlamat itu.

Jawatankuasa kabinet yang ditubuhkan oleh PM Razak dan PM Hussein semasa itu adalah di kalangan pemimpin yang mempunyai nilai teknokrat yang tinggi dan berkemampuan tanpa disaluti dengan isu peribadi seperti rasuah yang menggila dan sebagainya.

Tengku Razaleigh merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kabinet, Jawatankuasa Penyelaras dan Pelaburan Kabinet. Jawatankuasa ini adalah jawatankuasa yang mantap yang telah bertanggungjawab mencadang dan menentukan pelaksanaan DEB berjalan lancar.

Zaman itulah kita lihat DEB itu berjaya dengan pesatnya dalam mana pegangan ekuiti dan pegangan harta kekayaan negara yang di miliki oleh Bumiputra meningkat dengan jayanya.

Dari hanya mempunyai 2.7 peratus pegangan ia telah meningkat sehingga 18.4 peratus pada tahun 1983. Tetapi selepas teraju pelaksanaan DEB ini di ketuai oleh Mahathir dan Daim Zainudin, perkembangan ini telah terbantut kerana Tengku Razaleigh tidak lagi diberikan tugasan untuk meneruskan usaha pencapaian matlamat DEB itu. Dalam kabinet sudah tiada ‘planners’ yang berwibawa. Yang ada hanyalah ‘plunderers’ yang tegar semata-mata.

DEB telah diabaikan dan dasar baru diwujudkan semata-mata kerana hendak melakukan segala-galanya di zaman pemerintahan beliau (Mahathir). Perancangan Pembangunan tidak lagi tersusun mengikut agenda dan semangat DEB itu walaupun tempoh DEB itu belum pun tamat semasa itu. Lagi pula di zaman inilah bermulanya bibit-bibit rasuah itu membenih. Ada orang mahu jadi kaya raya apabila mendapat kuasa ditangan.

Kita kaji apakah yang menyebabkan kejayaan DEB pada awalnya dan kegagalannya ditengah jalan dasar itu dalam posting yang akan datang. (bersambung)