30 September 2013

Mukhriz itu pemimpin pelapis, yang lain hanyalah pemimpin pelapik

Pemilihan dalam UMNO adalah medan bagi setengah pihak memasang perangkap untuk rakan seperti dalam perebutan kuasa. Muhyiddin dan kumpulannya memasang perangkap untuk Najib dan pihak Najib pula masih lagi ‘terlopong’ tanpa menyedari tindakan halus mereka yang mahu Naib tersungkur. Diantara mereka yang sedang memimpin UMNO hari ini ada yang tidak sedar permainan orang disekeliling masing-masing kerana permainan dalam UMNO ini penuh dengan seni yang kadangkala tidak difahami oleh bakal mangsa permainan itu.

Keadaan ini biasa dalam UMNO dan siapa yang akan terjebak itu mungkin terkena oleh perangkap dan jebak mereka pasang sendiri. Pemilihan kali ini akan menentukan banyak perkara dalam politik negara yang bakal mengubah landskap negara dengan begitu besar.

Pertamanya ia akan menentukan nasib UMNO dari sudut pandangan ramai terhadap parti itu. Ia akan di nilai daripada hasil pemilihan itu kerana susunan jawatan Naib Presiden itu nanti. Naib Presiden merupakan jawatan yang terpenting di dalam parti kerana salah seorang dari mereka itu akan secara konvensyennya akan dilantik menjawat jawatan Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri jika salah seorang dari Perdana dan Timbalan Perdana Menteri itu meletakkan jawatan atau meninggal dunia.

Yang sering di sebut sekarang ini kehadiran Mukhriz dalam perebutan jawatan Naib Presiden ini menampakan satu permainan politik besar dan sesiapa sahaja yang membuatkan Mukhriz bertanding jawatan itu mempunyai motif yang sangat besar. Mukhriz tidak akan mengambil keputusan untuk bertanding jika tidak digalakkan oleh Dr Mahathir Mohammed. Jika Mahathir cuba mempengaruhi segala-gala tindakan dalam UMNO yang melibatkan pemimpin lain tidak ada sebab sesiapa untuk menafikan yang keputusan Mukhriz itu adalah hasil dari keputusan Mahathir sendiri.

“Mahathir is a rush!” kata seorang yang hampir dengan pemimpin tertinggi parti semasa beliau menjemput saya minum petang dua hari yang lepas di Petaling Jaya. “Dia nak tengok Mukhriz menjadi pemimpin utama sebelum mati” katanya lagi. Mukhriz juga tidak akan menyertai pertandingan ini jika beliau tiada gandingan yang meyakinkan bagi beliau dan nyata Muhyiddin merupakan gandingan yang rapat beliau dan jika Mukhriz memenangi pertandingan ini ia adalah sokongan dari Muhyiddin dan penyokong-penyokongnya.

Permainan ini adalah permainan yang sangat mudah untuk di ikuti oleh sesiapa yang mempunyai sedikit sisik politik dalam dirinya. Lain-lain perkataan perebutan ini adalah perebutan diantara Mukhriz dengan mereka yang bertahan dan penyandang pada hari ini. Bagi Mukhriz siapa yang menang selain dari beliau tidak menjadi masalah kerana baiahnya dengan Muhyiddin itu adalah kuat dan jika mereka dapat mengepong Najib dengan cepat maka lagi cepatlah Muhyiddin jadi Perdana Menteri sementara untuk menyiapkan diri Mukhriz mengambil tempat menjadi pemimpin utama negara kita.

Apa pun yang dicakap dan di cakap oleh sesiapa Mukhriz merupakan projek Mahathir dan Muhyiddin. Bagi kumpulan ini Zahid Hamidi dan Hishamudin itu adalah pemimpin pelapik untuk mereka, bukannya pemimpin pelapis. Pemimpin pelapis mereka ialah Mukhriz. Suatu ketika dahulu Sanusi beranggapan beliau adalah pelapis kepada Mahathir apabila beliau memenangi jawatan Naib Presiden UMNO. Tetapi sehingga sekarang Sanusi tidak menyedari yang tenaga beliau hanyalah untuk digunakan sebagai pemimpin pelapik oleh Dr Mahathir. Zahid dan Hishamudin diharap akan menyedari yang beliau-beliau ini tidak termasuk dalam projek peralihan kuasa oleh Muhyiddin Yassin yang merasakan akan menjadi pengganti kepada Najib Tun Razak.

Pendeknya segala permainan ini adalah untuk memerangkap Najib agar beliau berundur dengan cepat untuk menyaksikan peralihan kuasa ini berlaku secepat yang mungkin. Jika Mukhriz memenangi jawatan Naib kali ini, maka usaha menekan beliau (Najib) untuk berundur akan dilakukan dengan cepat bagi menempatkan Mukriz menjadi Timbalan Perdana Menteri negara.

Kumpulan ini juga saya lihat cuba mempengaruhi kedudukan Khairy Jamaludin dan Akramsyah Sanusi itu adalah proxy kepada kumpulan yang menekan kedudukan Najib. Permainan politik ini amat merbahaya bagi Najib dan jika Najib masih lagi ‘melopong’ dan ‘terngango’ beliau akan menjadi korban keadaan.

Saya pernah menulis dalam blog ini Najib merupakan seorang pemimpin yang tidak mengenali siapa musuhnya yang sebenar. Musuh yang sebenarnya ialah mereka yang paling hampir dengan beliau kerana hanya mereka yang hampir sahaja yang mengetahui kelemahan Najib dengan begitu ‘detail’. Orang yang mengkritik secara terbuka beliau anggap sebagai musuh. Tetapi yang mengkritik secara terbuka ini mudah untuk dikendalikan. Orang yang mengkritik seperti saya mudah bagi beliau untuk menanginya.

Yang payah dan susah bagi Najib untuk mengendalikannya ialah musuh yang hampir yang ibarat seperti harimau yang sentiasa mengendap untuk menangkap beliau. Harimau yang mengendap ini akan menangkap beliau secara kilat, yang beliau tidak sedar dan tidak sempat untuk menepisnya. Segala persediaan sedang dilakukan oleh kumpulan yang ingin mengubah, menganjak dan mengalih kepimpinan dalam UMNO dengan rapi.

Dalam keadaan sekarang ini kita akan dapat melihat sejauh mana Zahid dan regu beliau seperti Hishamudin, dan Shafie Apdal dapat menunjukkan kecekapan mereka untuk menolak arus yang sedang beransur-ansur mengalir dalam UMNO sekarang ini. Zahid dan dua lagi penyandang ini harus ingat, seperti yang saya katakan tadi, yang mereka hanya dijadikan sebagai pemimpin pelapik dan bukannya pemimpin pelapis sekarang ini.

Jika Isa Samad dan Ali Rustam dapat merebut jawatan Naib Presiden ini mereka juga adalah pemimpin pelapik bagi pemimpin pelapis yang bernama Mukhriz itu. Jika semua perancangan ini berhasil maka hiduplah legasi Dr Mahathir dalam politik negara kita yang sedang berkecamuk dan tidak menentu ini.

Tetapi saya juga ada keyakinan yang, 'Mahathir cannot be lucky all the time'.

Tahniah Liew Chin Tong

Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Liew Chin Tong (LCT), seorang penggubal undang-undang dari DAP kerana mendapat undi tertinggi dalam pemilihan CEC parti itu semalam. Beliau mendapat 1438 undi mengatasi undi Lim Kit Siang sebanyak dua undi. LKS mendapat sebanyak 1436 undi dan ia menunjukkan kemerosotan jika dibandingkan dengan undi yang diperolehinya semasa pemilihan CEC yang terbatal Disember lepas.

LCT juga mendahului undi Lim Guan Eng (LGE) yang hanya mendapat tempat kelima dengan 1304 undi sahaja. Pemimpin yang mempunyai cita-cita menjadi Setiausaha Agong DAP, Loke Siew Fook mendapat tempat ketujuh dengan memperolehi sebanyak 1263 undi.Kemerosotan undi dan sokongan LGE itu jelas telah di pengaruhi oleh keadaan tidak menentu parti itu semasa berhadapan dengan isu pembatalan keputusan pemilihan parti itu Disember lepas.

Semua yang terpilih pada Disember tahun lepas kembali menduduki CEC itu dan ia bermakna tidak ada perubahan dalam struktor pemgimbang dalam isu penyertaan semua kaum seperti yang terkandung dalam perlembagaan parti itu. Hanya, jika kita semua mengiktiraf Zairil sebagai Melayu maka hanya seorang sahaja Melayu yang terpilih dalam barisan kepimpinan parti itu. Dalam usia hampir setengah dekad itu hanya 5 peratus sahaja penyertaan kaum Melayu dalam kepimpinan parti itu. Jika ini pun kita bersetuju untuk mengakui satu kejayaan DAP, maka berjayalah parti itu.

Lompatan 13 mata tangga bagi LCT, dan mendahului yang lain dalam pemilihan kali ini, ia dianggap sebagai ‘signal’ dari ahli-ahli DAP siapa yang mereka sudah mula mahu  menggantikan kepimpinan yang sudah lama di dalam parti itu apabila sampai waktunya. Parti mereka mahukan pimpinan baru yang mempunyai ‘attribute’ sebenar sebagai pemimpin berbilang kaum bagi mengekalkan DAP sebagai parti yang relevan buat waktu yang lama.

LCT adalah seorang yang sangat menarik bagi banyak pihak kerana sifatnya yang sederhana dan dalam usinya yang masih muda ini beliau telah menunjukkan sifat ‘magnanimous’ beliau, untuk menjadi pemimpin harapan masa depan parti itu.

Pada pandangan orang ramai, LCT seorang yang di hormati bukan sahaja oleh ahli-ahli DAP, tetapi juga oleh masyarakat ramai. Beliau terhindar dari tanggapan ramai sebagai pemimpin rasis yang ada kepada ramai pemimpin-pemimpin yang lain dalam parti itu.

LCT merupakan pemimpin muda yang selari dengan kehendak waktu dan zamannya. Tahniah yang setinggi-tingginya kepada LCT.

28 September 2013

Jika Mukhriz menjadi Naib Presiden, ia tidak membawa apa-apa perbezaan

Kerajaan dan pimpinan hari ini sedang menghadapi krisis keyakinan yang terburuk dalam sejarah kewujudan negara ini. Tiada lagi kita mendengar orang atau kumpulan yang bersetuju dengan segala apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang. Suasana ini wujud mesti bersebab. Sebab-sebab itulah yang belum di fahami oleh pimpinan kerajaan sejak hampir dua dekad dahulu. Tahap keyakinan yang terendah ini bukannya wujud dalam sekelip mata tetapi setelah ia meyemarak sejak dua dekad dahulu secara beransur-ansur.

Ibarat sebuah kereta, jika ia di selenggara dengan baik, kereta itu akan bertahan lama untuk dipandu. Tetapi jika tidak di selenggara dengan baik dan konsisten kereta itu tidak akan bertahan lama dan akhirnya kita tidak aka ada lagi keyakinan kereta itu boleh dipandu dengan selamat.

Begitu jugalah sebuah negara. Jika tidak di selenggara dengan baik oleh pemimpin, maka pemimpin itu tidak akan diyakini mampu untuk menyelenggara negara ini. Rasuah menjadi perkara dan isu terbesar di negara ini kerana ia berlaku di setiap peringkat dan oleh semua yang mempunyai kuasa walaupun kuasa yang kecil. Pegawai kerajaan tertinggi dengan penggubal dasar melakukan rasuah dalam skala yang bersesuaian dengan pangkatnya dan kedudukannya. Budak pejabat pun melakukan rasuah tetapi mengikut skala dan kedudukan mereka.

Pendeknya rasuah berlaku di setiap tempat dan setiap tahap dan itu sudah menjadi lumrah dan telah pun di budayakan oleh keadaan sekarang. Rasuah telah dianggap sebagai satu yang halal dan mereka yang tidak mengambil serta mengamalkan rasuah sudah dianggap ketinggalan zaman dan bodoh. Kuasa dinegara ini berjalan selari dengan rasuah kerana rasuah itu adalah sinonim dengan rasuah.

Selalau saya katakan rasuah dan kuasa itu seperti aur dengan tebing, saling memerlukan diantara satu dengan yang lain. Tanpa kuasa tidak dapat melakukan rasuah dan tanpa rasuah tidak akan dapat kuasa yang di idamkan. Malahan melakukan rasuah itu menjadi kebanggaan. Bukan aneh jika kita mendengar peniaga berkata yang mereka layak untuk mendapatkan projek kerana mereka telah membayar dan memberi rasuah kepada sesiapa yang berkuasa bagi memberikan mereka projek-projek besar dinegara ini.

Dua hari yang lepas Tengku Razaleigh (TR) telah mendesak semua Menteri, termasuk Perdana Menteri dan bekas-bekas Menteri termasuk bekas Perdana Menteri, mengisytiharkan harta mereka. TR mengatakan beliau sendiri bersedia untuk melakukannya demi untuk menjaga imej kepimpinan negara dan memastikan UMNO dan kerajaan itu terus relevan dimata dan hati rakyat yang telah memberi mandat kepada mereka.

Jika benar apa yang dinyatakan oleh pimpinan yang mereka mahu mendapatkan mandat terus itu semata-mata untuk memberi khidmat kepada rakyat, kenapa pengisytiharan harta ini menjadi masalah besar kepada semua pemimpin kita? Jika benar apa yang dikata mengisytiharkan harta ini akan mendapat sambutan dan setiap diantara pemimpin kita akan dengan rela hati dan menyokong seruan untuk pengiystiharan harta itu.

Seruan itu sepatutnya mendapat sokongan kuat kerana dengan pengisytiharan harta itu akan memulihkankan imej dan pandangan serong masyarakat tempatan dan antarabangsa terhadap negara kita yang telah melekat dengan stigma rasuah itu. Malahan inilah formula terbaik bagi kerajaan dan pimpinan hari ini terhindar dari tuduhan rasuah yang di lemparkan terhadap pimpinan hari ini.

Tetapi jika seruan dan pandangan ini tidak di hiraukan maka ia sekali gus mengiyakan pandangan dan tuduhan ramai yang pimpinan hari adalah pimpinan yang sarat dengan rasuah itu. Tiada sebab barisan pimpinan hari ini tidak bergembira untuk membersihkan imej mereka dengan mengisytiharkan harta mereka. Perdana Menteri dan barisan kabinet beliau sepatutnya bertindak cepat untuk mengisytiharkan mereka kerana itu merupakan cara yang terpantas bagi membersihkan nama mereka.

Jika mereka (pimpinan) tidak mahu atau bergembira untuk mengisytiharkan harta mereka maka sah dan benarlah wujudnya perlakuan rasuah yang besar di kalangan pimpinan negara. Jika rakyat mengambil tindakan membenamkan kerajaan hari ini, itu adalah tindakan yang sangat wajar.

Rakyat benar-benar tertekan dengan rasuah ini kerana pimpinan yang rasuah tidak mungkin dapat mengambil keputusan dengan baik dan betul. Kerajaan boleh menggubal dasar demi dasar untuk rakyat, dan boleh mewujudkan pelan memperkasakan ekonomi Bumiputra dan berbagai-bagai tindakan yang mempunyai jargon-jargon besar, tidak ada yang akan dapat dijayakan dengan betul dan berkesan.

Ketirisan akan berlaku di mana-mana, akhirnya Bumiputra itu sendiri akan merasakan tekanan itu kerana mereka tidak akan dapat merasakan nikmat penggubalan dasar-dasar itu. Malahan Bumiputra akan dipandang rendah oleh kaum bukan-bumiputra kerana mereka akan menyangka mereka (bumiputra) itu telah mendapat nikmat-nimat dasar itu yang sebenarnya mereka tidak rasai itu. Maka perasaan benci membenci di antara kaum itu akan bertambah besar, rakyat bumiputra pula akhirnya mendapat nama busuk dari kegagalan pelaksanaan dasar-dasar ‘affirmative’ untuk mereka (bumiputra).

Setakat ini janji-janji kerajaan semasa pilihanraya belum diusahakan tetapi di keluarkan pula dasar-dasar baru yang kini dirasakan ramai akan tinggal sebagai dasar sahaja.

Sebenarnya kerajaan yang baru mendapat mandat ini tidak akan berjaya dalam kesemua tindakan mereka kerana selagi mereka yang ada dalam pimpinan UMNO hari ini tidak boleh dipercayai dan di yakini kemampuan mereka. Mereka wajib berhenti dan bersara sahaja seperti saranan Dr Mahathir tiga hari lepas.

Hanya yang tidak mahu diakui Mahathir ialah,mereka yang memimpin sekarang ini adalah hasil dari kepimpinan beliau sendiri. Beliau tidak menumpukan pembinaan kepimpinan yang bersih dan yang mempercayai hakikat yang rasuah itu adalah kerja yang paling hina, sama seperti pelaku sodomi dan setaraf dengannya.

Apa yang kita alami hari ini adalah warisan beliau dan pengkaji sejarah akan mempunyai bahan yang besar untuk penulisan mereka untuk dibaca oleh generasi yang akan datang. Sekarang Mahathir berusaha untuk menyangkutkan anak beliau di dalam barisan kepimpinan tertinggi parti kononnya untuk memberikan nafas baru kepada UMNO yang kini mempunyai kepimpinan yang tua dan sudah buruk dan tidak elok dipandang mata lagi.

Rupa-rupanya beliau dan generasi beliau sahaja yang layak untuk dianggap terbaik untuk negara. Beliau menuduh semua pimpinan dalam UMNO kini bodoh Jika tuduhan Mahathir itu benar, maka benar jugalah anggapan setengah pihak yang sepandai mana pun seseorang itu, mereka akan menjadi bodoh setelah menyertai kepimpinan UMNO.

Maka itu jugalah yang akan berlaku kepada Mukhriz dan beliau akan menjadi seperti pemimpin lain jika berjaya menjadi Naib Presiden UMNO dalam pemilihan yang bakal diadakan nanti. Penyakit rasuah dalam UMNO dan kerajaan begitu ‘contagious’ dan Mukhriz tidak akan dapat memberikan apa-apa perbezaan kepada parti jika beliau di bariskan sebagai Naib Presiden UMNO itu.

Semua mereka sama sahaja dan elok di gilirkan jawatan itu dengan Isa Samad dan Ali Rustam sahaja. Kalau digilirkan dua orang diantara tiga penyandang itu, Isa bolehlah mengambil giliran kali ini. Seperti yang saya katakan tadi, mereka itu sama sahaja...tidak ada yang lebih dan yang kurang diantara mereka. Lebihnya Isa beliau tidak sombong. Hidungnya terletak ditempatnya, tidak diatas dahi.

Begitulah adanya.

26 September 2013

Dr Mahathir baru terjumpa pemimpin yang 'smart'

Akta Pencegahan Jenayah (PCA) pula diperkenalkan dan ia nampaknya adalah pengganti kepada ISA yang telah dimansuhkan. Sesungguhnya ia merupakan ISA dengan nama yang berlainan. Ia ibarat menukar nama dari goreng pisang ke pisang goreng. Pisang goreng dan goreng pisang itu sama saja rasanya.Sanusi Joned yang termasyur dengan kepandaiannya pernah menukar nama goreng pisang kepada nama ringkas, iaitu gorpis. Semuanya sama.

Saya bukan hendak menyokong atau menentang pindaan ini. Tetapi saya lebih cenderung untuk menuduh kerajaan sedang cuba untuk membohongi rakyat kerana itu merupakan janji BN dalam pilihanraya yang lalu. Kadangkala kita bukan marah sangat kepada apa-apa akta yang digubal itu atau apa-apa pindaan kepada apa-apa akta. Yang kita kadangkala marah dan merungut itu ialah kerana tindakan mengelirukan rakyat.

Jika kerajaan mahukan perkara yang sama kenapa dimansuhkan ISA dahulu sedangkan penggantinya itu serupa ISA juga? Sebenarnya kita tahu tidak ramai yang tidak setuju dengan ISA itu dahulu kerana ia wujud untuk mejaga keselamatan rakyat dan negara. Yang menjadi isu ialah ISA itu disalah gunakan oleh kerajaan. Tidak ada apa bahayanya pemimpin-pemimpin pembangkang atau kerajaan suatu ketika dahulu tetapi oleh kerana kepentingan politik peribadi maka kerajaan mengambil langkah untuk menangkap pemimpin politik dalam operasi lalang pada 1988 dahulu.

Ramai pemimpin politik pembangkang menjadi mangsa ISA. ISA itu wujud untuk menghapuskan jenayah yang dilakukan oleh pihak komunis yang telah berusaha untuk merampas kuasa dengan membuat kacau bilau. Akta keselamatan dalam negeri itu telah dipergunakan untuk meyelamatkan atau menyambung usia politik pimpinan yang telah mula lemah dan tidak disokong rakyat.

Sesungguhnya UMNO telah selamat begitu lama bukannya oleh kerana keindahan dan kebaikan parti itu tetapi oleh kerana tekanan terhadap rakyat melalui Akta tersebut. Ia bukan kerana kebaikan kepimpinan parti itu.

Mahathir sendiri dua hari yang lepas meminta UMNO memilih pimpinan yang ‘smart’ kerana mengikut beliau UMNO sekarang ini dipenuhi oleh mereka yang bodoh dan tidak pandai. Sekarang Mahathir sudah semakin jelas mengakui hakikat yang UMNO sudah tidak lagi ada pemimpin yang ‘smart’ seperti yang diperlukan oleh parti. Tetapi oleh kerana terlalu banyak bercakap dan bertindak dengan segala ‘intrigue’ beliau dalam parti lebih dari dua dekad, akhirnya UMNO berada di dalam keadaan yang beliau katakan hari ini.

Hanya yang tertinggal sedikit dalam kenyataan Mahathir itu, ialah ayat yang mengakui yang beliaulah yang memulakan budaya mencantas orang yang ‘smart’ dalam UMNO itu. Beliau tidak pernah merasa lega dan selesa semasa UMNO itu dipenuhi oleh orang-orang ‘smart’ semasa itu, lebih-lebih lagi setelah beliau memegang tampuk kuasa.

Di hari pertama beliau mendapat kuasa itu pada 1981 dahulu sudah di cantasnya seorang arkitek pembinaan asas ekonomi negara yang telah banyak jasa kepada negara berserta dengan pengorbanan diri beliau seratus peratus terhadap pembangunan negara. Orang itu tidak lain dari Tengku Razaleigh Hamzah yang sinonim dengan pembangunan dan pengurusan Petronas, Bank Bumiputra, PNB dan banyak lagi bekas tangan dalam pembinaan negara Malaysia ini.

Mahathir mahu menutup apa jasa TR dengan pimpinan lain kerana beliau hanya mahu semua pihak menumpukan kepada beliau sahaja. Mahathir tidak mahu mengakui dan sesiapa pun tahu bagaimana kepimpinan muda negara seperti TR menjadi seorang yang pertama di luar AS yang terpilih menjadi Pengerusi Bank Dunia.

Dalam masa yang sama TR juga merupakan pengerusi kepada IMF, Bank Pembangunan Asia dan Bank Islam Antarabangsa. Keempat-empat jawatan dan tanggungjawab ini dipikul oleh TR dalam masa serentak. Keempat-empat institusi kewangan ini mempunyai fungsi yang berlainan diantara satu dengan yang lain.

Di mana letaknya keikhlasan Dr Mahathir yang kini mahukan pemimpin yang muda untuk menerajui pimpinan negara sedangkan beliau terkenal dengan sikap menutup kebaikan dan jasa orang lain yang benar-benar jitu dan di sebaliknya mencari segala kelemahan untuk menafikan kemampuan orang lain.

Bagaimana sekarang Dr Mahathir pula yang bercakap mengatakan pimpinan UMNO sekarang semuanya pemimpin bodoh dan wajar mengundurkan diri untuk memberi mereka yang lebih muda untuk tampil kehadapan. Adakah apabila Mukhriz anak bongsu beliau sekarang sedang mencuba nasib bertanding Naib Presiden UMNO baru beliau hendak bercakap tentang peranan penting orang muda.

Khairy Jamaludin merupakan anak muda dan beliau merupakan ‘budding leader’ yang kini menjadi perhatian ramai tidak mendapat sokongan Mahathir sedangkan Khairy jauh lebih muda dari anak bongsunya sendiri? Mahathi is Mahathir. Sekarang apabila anak bongsunya mahu mencelah untuk menjadi Naib Presiden parti, maka Zahid Hamidi sudah menjadi pemimpin tua, Shafie Apdal sudah tua dan Hishamudin pun sudah tua. Bagi beliau pemimpin muda yang layak hanyalah anaknya Mukhriz.

Kita tidak menafikan Mukhriz itu ada sedikit kemampuan tetapi tidak payahlah mengata orang itu tua dan orang ini sudah lanjut usia dan sebagainya. Sekarang ini Mahathir baru mengatakan yang UMNO itu di penuhi dengan pemimpin bodoh. Jika itu benar maka kepimpinan yang beliau anggap bodoh itu adalah pemimpin yang beliau gunakan untuk bertepuk tangan menyokong beliau sendiri. Kalau dahulu berguna kenapa sekarang tidak berguna lagi, semata-mata kerana anak kesayangannya hendak mengambil alih.

Bagi Mahathir, jika anak atau ahli keluarganya berkehendakan jawatan dalam UMNO orang lain mesti ketepi dan berikan laluan mudah untuk anaknya sahaja. Apabila anaknya mahukan jawatan, orang lain mesti berundur dan menganggap pemimpin lain itu sebagai ‘Red Indian’ semata-mata. Orang lain itu di ibaratkannya sebagai orang semenda, dipanggil datang di suruh pergi’. Negara ini beliau yang punya.

Setiap pemimpin UMNO telah beliau mangsakan untuk kepentingan beliau. Mahathir berjaya memperbodohkan pimpinan UMNO kerana tidak ada seorang pun yang berani meminta Dr Mahathir untuk menutup mulut seperti beliau lakukan kepada ‘predecessors’ beliau apabila mereka (TUNKU dan Hussein) mengkritik pentadbiran beliau.

Jika benar barisan pimpinan UMNO sekarang adalah barisan yang bodoh, ketahuilah yang membariskan pimpinan bodoh ini adalah beliau sendiri. Kita mesti ingat yang anaknya sendiri itu adalah hasil didikan beliau. Justeru tidak terkejut kita jika anaknya itu adalah dari kategori yang beliau anggap bodoh itu.

Selagi UMNO berada dalam cengkaman pemimpin ini, selagi itulah UMNO tidak akan berubah kerana kelemahan yang beliau wujudkan dalam barisan kepimpinan UMNO itu sememangnya untuk menjadikan anaknya nampak cerdik..…kata perbilangan seorang yang celik dikalangan yang buta.

Puas Dr Mahathir mencari pemimpin yang smart selama ini di mana-mana, rupanya ia berada dalam rumahnya sendiri. Alhamdulillah!