06 October 2013

Macam beruk dapat bunga, macam sikudung mendapat cincin

Rakyat tahu yang kerajaan sekarang merupakan kerajaan yang berbelanja secara membazir dan budaya ini sudah terbentuk hampir tiga dekad dahulu. Dari waktu Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri belanja untuk menyelenggarakan perbelanjaan seorang Perdana Menteri sangat besar dan semuanya itu dibayar dari wang rakyat.

Oleh kerana mereka tidak merasakan bagaimana susahnya rakyat berkerja dan membayar cukai maka mereka hanya membelanjakan wang rakyat itu mengikut hawa nafsu mereka masing-masing. Tidak ada perasaan bersalah dan tidak peduli dengan apa yang rakyat kata. Perasaan malu sudah tidak ada lagi dalam diri mereka.

Baru-baru ini Dewan Rakyat di beritahu bahawa dalam tempoh tiga tahun sahaja belanja untuk perjalanan Perdana Menteri Najib dengan Jet Eksekutifnya memakan perbelanjaan sebanyak hampir RM100 juta. Hampir RM 30 juta setahun di bazirkan dengan membayar bill jet peribadi Perdana Menteri dan ini merupakan satu budaya yang sangat gila dan tidak masuk akal.

Kita tidak faham kenapa Perdana Menteri kita mesti menggunakan jet peribadi untuk terbang ke merata dunia. Kenapa tidak menggunakan penerbangan komersial MAS misalnya seperti lazim digunakan oleh banyak pemimpin negara lain. Perdana Menteri Singapura hanya menggunakan penerbangan SIA sahaja dan beliau boleh juga sampai kemana-mana dalam dunia ini.

Sejak Dr Mahathir sehinggalah Najib budaya Perdana Menteri terbang keseluruh dunia dengan kerapnya ini terbentuk dengan jelas, seolah-olah seorang Perdana Menteri itu mesti keluar negara setiap bulan. Ini masalah biasa bagi pemimpin yang baru dan datang dari negara yang baru menjumpai kehidupan. Ada seorang pemimpin kita yang berkata, membawa keluar seseorang dari kampung itu senang, tetapi hendak mengeluarkan kampung dari orang itu sangatlah susah.

Ada juga perbidalan yang lain yang sesuai di gunakan untuk pemimpin-pemimpin seperti ini, iaitu 'seperti beruk dapat bunga'. kadangkala boleh juga di gunakan perbidalan 'macam sikudung mendapat cincin' dan beberapa perbidalan yang lain. Baginya menjadi Perdana Menteri itu merupakan 'privilege' untuk berbelanja sesuka hati mereka tanpa bertanggung jawab seolah-olah wang itu adalah wang datuk nenek mereka.

Malahan apabila sudah berhenti menjadi Perdana Menteri pun mesti juga naik jet kemana-mana seolah-olah dari kecil sampai ke tua mereka ini sememangnya naik jet ke mana-mana. Mereka sudah tidak boleh lagi terbang dengan penerbangan komersial dan cara perjalanan yang lain.

Mentaliti kekampungan inilah yang menjadikan kepimpinan itu tidak dihormati lagi dan akhirnya mereka ini menyalahkan rakyat kerana tidak menyokong mereka. Itu sebab diawal artikel ini saya mengingati seorang pemimpin yang berkata yang membawa keluar seseorang dari kampung itu senang dan mudah dilakukan, tetapi untuk mengeluarkan kampung dari diri mereka sangat susah.

Itulah keadaan kita yang sedang dipimpin dengan pemimpin seperti ini. Malunya kurang, adabnya tiada dan adatnya entah kemana. Tidak ada langsung usaha untuk meninggalkan nama yang baik apabila sudah tiada nanti. Setidak-tidaknya harimau pun mati ditinggalkannya belang.

05 October 2013

CSL patut cari 'face saving devices' dan berundur

Semalam saya menyebut tentang pengorbanan pemimpin kepada parti dan negara. Pemimpin utama sesebuah parti dan kerajaan, jika tidak berjaya membina negara dan partinya, cara untuk menunjukkan kemuliaan kepimpinannya ialah dengan bersara dan memberi peluang kepada parti memilih pemimpin yang lain. Dengan tindakan bersara ia akan membuktikan kejujuran dan keikhlasan seseorang itu terhadap kepentingan partinya dan tidak mahu melihat parti dan kerajaan jika ia pemimpin kerajaan.

Dalam isu MCA Chua Soi Lek sebenarnya tidak mahu partinya berjaya dengan melekat di jawatan yang beliau pegang sekarang. Beliau bermain-main politik dan tidak mengutamakan kepentingan partinya dan di sebaliknya CSL lebih mementingkan dirinya dari parti. Walau bagaimana pun itu sudah menjadi resam kepada mana-mana parti sekarang ini, samada parti-parti pembangkang mahu pun parti kerajaan.

UMNO sudah mengamalkan perkara buruk ini sebegitu lama. Sekarang ia sudah menjadi kebiasaan dalam MCA dan juga DAP dan parti-parti lain seperti MIC , PKR dan lain-lain. Semasa MCA di bawah ketuanya, Ling Liong Sik dahulu pun, MCA sudah mempunyai ciri ini. Lee Kim Sai, Timbalan Presidennya telah cuba untuk menumbangkan Ling Liong Sik dan keadaan semasa itu lebih mirip dan cenderung untuk kemenangan bagi Lee Kim Sai.

Tetapi oleh kerana tindakan Lim Ah Lek, Naib Presiden parti itu juga berpengaruh, Lim Ah Lek telah menggunakan pengaruhnya untuk mengamankan perbalahan di antara Ling dan Lee Kim Sai. Maka tiada pertandingan diantara Lee Kim Sai dan Ling. Sebenarnya bagi seorang rakyat biasa saya merasakan Lim Ah Lek merupakan pemimpin MCA yang jujur dan beliau sepatutnya menjadi Presiden semasa itu, bukannya Ling mahu pun yang lain.

Seorang lagi pemimpin MCA yang lebih berwibawa dan tidak mempunyai banyak masalah moral ialah Ong Tee Kiat, tetapi MCA telah dihinggapi penyakit yang menghinggapi UMNO, maka pemimpin yang ‘controversial’ Dr Chua Soi Lek telah berjaya menjadi Presiden MCA sejak dua penggal yang lepas.

Dalam isu MCA kali ini CSL sedang berusaha memainkan politik untuk mempertahankan jawatan beliau sahaja sedangkan pandangan ramai kenapa MCA tercalar dengan teruknya itu ada lah di sebabkan imej beliau yang begitu ‘controversial’ yang melibatkan isu moral peribadi beliau. Kadangkala kita tidak dapat memahami kenapa seseorang yang sudah tercalar moral dengan isu seks, tidak mahu mengakui yang mereka tidak akan dapat memberikan kepimpinan yang betul jika terus memimpin.

Ada yang terlibat dalam isu ini selalunya mengambil mahkamah sebagai tempat berlindung dengan berbagai-bagai helah secara undang-undang. Dalam isu moral, undang-undang sahaja tidak boleh membersihkan mereka yang terlibat dalam isu buruk seperti ini. Banyak pembunuh terlepas dari hukuman kerana masalah teknikal undang-undang, tetapi moralnya mereka ini tidak akan terlepas. Begitu juga dalam isu seks haram ini. Berbagai-bagai cara perbahasan undang-undang yang akhirnya melepaskan pesalah-pesalah laku terlepas dari hukuman.

Politik adalah ‘game of perception’. Apabila persepsi sebahagian masyarakat itu tidak baik terhadap seseorang pemimpin itu, maka adalah tidak wajar pemimpin seperti ini diangkat menjadi pemimpin. Ini bukan sahaja seruan masyarakat dan sosial masyarakat, tetapi yang lebih penting lagi ialah kaitan dengan agama dan hukumnya. Manusia pemimpin yang terlibat dengan isu ini jika diangkat menjadi pemimpin, ia tidak akan membawa berkat dan kebaikan kepada negara dan seisi rakyat yang berada di dalamnya.

Berbalik kepada MCA, CSL tidak boleh menafikan yang isu yang beliau hadapi merupakan isu besar dan ia adalah penentu kepada masa depan MCA itu sendiri. Isu yang beliau terpalit itu adalah sama besar dengan isu rasuah yang dihadapi oleh pimpinan UMNO dan pemimpin MCA itu sendiri.

Isu seperti ini memudahkan pihak dan parti lawan untuk mendapatkan perhatian rakyat sedangkan parti yang menjadi ‘alternative’ itu bukannya parti yang jujur sebenarnya. Dalam kes MCA ini ia memudahkan parti DAP mengambil tempat dihati rakyat kaum Cina dan ia merupakan isu percuma bagi DAP dalam pilihanraya yang lalu. Kesalahan ini merupakan kesalahan yang terlalu besar sehinggakan kekurangan yang ada pada DAP mudah dilupakan oleh rakyat kaum Cina dan rakyat keseluruhannya.

Jika MCA dapat memperkuatkan kudratnya untuk menolak CSL, maka rakyat akan mula melihat apa-apa kelemahan dalam DAP jika ada kelemahannya.

Mesyuarat Agung tergempar MCA yang bakal diadakan akan menentukan arah MCA selepas ini. Jika perwakilan masih memilih untuk mempertahankan individu dari mempertahankan kebaikan parti, maka MCA bakal akan terjerumus ke lembah keaiban yang lebih besar pada masa yang akan datang.

Rakan-rakan saya dari MCA yang bergiat mempunyai keyakinan yang CSL akan menentukan samada MCA akan relevan atau sebaliknya selepas ini. Kebanyakan yang saya kenali dan hampiri merasakan jika Ong Tee Kiat masih memimpin parti itu sekarang ini, MCA tiak akan menjadi seburuk yang ada pada hari ini.

Mereka merasakan CSL sepatutnya berusaha mencari ‘face saving devices’ untuk keluar dari kepimpinan parti yang sudah sedia uzur itu. Ramai berpendapat jika CSL benar-benar mahukan MCA itu kembali pulih cara CSL untuk membantu usaha itu ialah dengan berundur dari jawatan Presiden parti itu secepat yang mungkin.

Tidak usahlah berdalih lagi dengan memanggil EGM parti untuk melambakkan semua kesalahan kepada Timbalannya kerana kekalahan teruk MCA dalam PRU yang lalu. Sesungguhnya Presiden parti itu lah yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kekalahan dalam PRU itu dan bukannya sesiapa yang lain.

Kalau Presidennya sudah sebegitu aib dipandangan ramai sehandal mana pengerusi yang bertanggungjawab dalam PRU itu tidak akan mampu berbuat apa-apa. CSL sepatutnya pergi dahulu sebelum orang lain.

04 October 2013

Tindakan bersara juga adalah sumbangan besar kepada negara

Tidak ada lagi kita mendengar yang baik di sebut oleh masyarakat tentang kerajaan yang ada pada hari ini. Tetapi perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan sekarang ini adalah pilihan rakyat. Rakyat yang mempunyai kuasa untuk memilih mana-mana parti dan kerajaan yang lebih mantap dari yang ada, tetapi kenapa kerajaan itu tidak juga berubah sampai kehari ini. Sejak merdeka sampai kehari ini kita ditadbir oleh Perikatan dan selepasnya ditukar nama ke BN dengan jumlah keahlian parti yang lebih besar di dalam ‘coalition’ BN itu.

Dalam dua pilihanraya yang lepas kalau di pandang dari sudut kemampuan BN, pihak pembangkang sudah sepatutnya menjadi pengganti kepada BN yang dianggap seperti parti yang tidak relevan kepada rakyat dan negara. tetapi akhirnya BN tetap mendapat perhatian dan diberi kuasa untuk menjaga mandat rakyat walaupun ramai yang amat menyesali keadaan ini berlaku.

Bagi saya keadaan dan sistem yang telah kita guna pakai membuatkan UMNO itu susah hendak di ketepikan. Apa tidaknya? Dalam seburuk-buruk keadaan, UMNO tetap sebuah parti yang akan memenangi kerusi terbanyak walaupun BN itu kalah dalam pilihanraya. Tidak ada satu parti dalam Pakatan akan berjaya memenangi setidak-tidaknya satu kerusi lebih dari UMNO.

Maka UMNO akan tetap di berikan peluang untuk membentuk kerajaan. Mungkin keaadaan ini lah yang menyebabkan UMNO begitu lalai dan tidak mahu berubah walaupun berjanji untuk berubah setiap kali parti itu mengadakan perhimpunan agung.  UMNO terlalu lalai dalam semua perkara sehinggakan tidak ada pucuk pimpinan sejak tahun lapan puluhan dahulu berusaha untuk mendidik kepimpinan yang baik dalam parti itu.

Hasil dari keengganan untuk berubah dengan jujur maka UMNO sudah tidak lagi memahami segala-galanya walaupun dalam keadaan dan sistem politik dinegara ini parti itu akan tetap menjadi parti yang memenangi jumlah kerusi yang lebih dari mana-mana parti samada dalam BN mahupun dalam Pakatan Rakyat. Maka jelas sistem yang ada kini telah mengorbankan rakyat yang tidak dapat pimpinan yang berusaha untuk kebaikan dan terpaksa duduk dalam tekanan jiwa yang begitu hebat sekali.

Najib dan kerajaan kini sudah tidak tahu lagi apa yang baik yang hendak dibuatnya. Saya percaya, baik Najib mahu pun Muhyiddin dan lain-lain, ingin melakukan kebaikan, tetapi mereka tidak tahu apa kah kebaikan hendak dilakukan selari dengan kehendak politik dan negara semasa. Mereka sudah tidak tahu mengenali yang mana satu yang baik dan yang buruk. Itu sebabnya kita melihat dan mendengar banyak perkara yang dilakukan mereka walaupun untuk kebaikan tetapi hasilnya tidak nampak perkara yang baik berlaku.

Hasilnya berlakulah polimik politik di serata tempat tidak kira dikedai kopi atau di masjid dan surau. Kita pun tahu oleh kerana perubahan itu hanya boleh dilakukan oleh kerajaan jika pemimpin tahu apa dan cara untuk berubah itu. Maka tidak henti-hentilah rakyat ramai berpolimik dan berbahas sesama sendiri yang tidak membawa apa-apa hasil kepada negara. Oleh kerana masing-masing tidak tahu masalah sebenar maka perbahasan tidak tepat dan sentiasa lari dari isu sebenar yang mereka tidak memahaminya.

Buatlah pemilihan setiap bulan untuk UMNO ini, keadaan tetap tidak berubah, kerana yang mengganti, yang ada pun tidak faham apa yang hendak diubahnya. Tetapi ia tetap berlaku kempen-mengempen diantara puak-puak dalam UMNO itu kerana mereka lebih mengejar kepentingan diri dan politik keluarga masing-masing. Mereka masih menganggap memegang jawatan yang besar dan glamor itu adalah ‘ultimate’ bagi mereka, tidak kira dari pihak kerajaan dan pembangkang.

Oleh kerana perubahan tidak juga akan berlaku jika diubah dan dianjak pimpinan dan parti mereka, maka inilah yang membuatkan UMNO itu tetap menjadi parti yang memenangi kerusi terbanyak dalam mana-mana pilihanraya umum di negara ini.

Bagi saya sekarang ini realiti politik itu wajar diterima tanpa prejudis terhadap mana-mana parti dan pihak. Tidak ada pihak yang boleh membetulkan keadaan hari ini. Contohnya jika kita mahu menyelesaikan masalah perkauman, kita perlu memilih DAP sebagai alternatifnya tetapi hasilnya DAP tetap dengan kecinaannya. Maka tidak wajar kita memilih mana-mana pihak yang lain jika kita tahu masalah yang dicontohkan sekarang, iaitu perkauman tidak dapat diselesaikan oleh parti-parti alternatif. Tidak akan ada pihak yang mahu mengalih dan menganjak yang ada jika yang menggantikannya itu tidak juga dapat menyelesaikan isu pokok dalam negara iaitu perpaduan kaum.

Blog ini selalu memberikan ‘input’ tentang apa masalah yang ada. Itu sebabnya blog ini percaya agar dimulakan negara baru dan memberikan seorang yang berpengalaman untuk menerajui dialog diantara semua kaum dan mengambil serius tentang perpaduan kaum yang sedang menjadi masalah besar kepada kita sekarang ini.

Kita perlu mengakui, apa yang sedang berlaku dalam parti UMNO saat ini semata-mata politiking yang besar dalam mana pihak-pihak yang terlibat sedang berusaha untuk mengelirukan pimpinan-pimpinan yang sedang berusaha untuk menaiki tangga dan tahap kepimpinan dalam parti. Entah siapa yang memerangkap dan siapa yang terperangkap dan permainan setiap pemimpin yang memegang jawatan penting dalam UMNO itu.

Struktur asas UMNO dan kepimpinannya wajar dilakukan dalam masa yang terdekat jika tidak mahu melihat kebinasaan kepada UMNO. Banyak orang berkata hendak berbuat baik itu susah, tetapi jika pimpinan besar UMNO menerima hakikat yang pengorbanan terhadap kepentingan peribadi mereka itu juga merupakan kerja baik terhadap negara. Terlalu banyak di sebut oleh rakyat tentang kelemahan Najib dan Muhyiddin.

Tetapi jika Najib benar-benar mahukan berbuat jasa kepada negara, beliau sepatutnya melakukan tindakan yang ‘unorthodox’ dengan memberikan kepimpinan kepada seseorang yang boleh berbuat kebaikan dan perubahan. Jika Najib melakukan perkara ini maka beliau akan dianggap sebagai penyumbang besar keada kepentingan negara dengan pengorbanan yang benar dan jelas yang dilakukan dihadapan mata rakyat yang ramai.

Bagi seorang pemimpin utama yang tidak berjaya membuat kebaikan, kelemahan ini akan dapat ditutupi dengan mengaku kelemahan dan menyerahkan kuasa untuk pembaikan negara itu kepada sesiapa yang berkemampuan. Orang ramai tidak akan mengambilnya sebagai kekalahan, tetapi sebaliknya rakyat akan menerima pimpinan yang sebegini sebagai pemimpin yang bertanggungjawab kerana memberikan kepimpinan itu kepada mereka yang lebih berkelayakan. Itu merupakan sumbangan besar kepada negara dan akan dikenang rakyat buat selama-lamanya.

02 October 2013

Jangan tak tahu, negara ini Dr Mahathir yang punya

Semalam saya menyebut perbezaan diantara pemimpin pelapis dan pelapik. Mungkin ramai yang masih belum tahu apa dia pelapis dan apa pula maknanya pelapik. Malahan ramai yang meminta saya mendefinasikan pelapis dan pelapik itu. Mahathir seperti memakai kasut besar, maka untuk membuat beliau selesa memakai kasut itu beliau menggunakan pelapik untuk menyesuaikan kasut besar itu dengan kakinya.

Saya telah sebut dengan jelas yang pemimpin-pemimpin UMNO yang lain itu hanyalah diperlakukan sebagai pelapik kepada kasut yang longgar yang di pakai oleh Mahathir itu. Justru semua pemimpin-pemimpin UMNO selama initermasuk Musa, Ghaffar, Anwar, Abdullah Badawi dan sekarang Najib, semua mereka ini diperlakukan sebagai pelapik kasut sahaja oleh Dr Mahathir selama ini. Bolehlah saya tulis sedikit tentang ini sekali lagi, tetapi tidak perlu panjang kerana ia amat mudah difahami.

Dr Mahathir tidak pernah membina pemimpin pelapis dan itulah sebabnya selepas beliau bersara, negara diambil alih oleh pemimpin yang tidak kena pada tempatnya.  Beliau hanya membina pemimpin pelapik untuk melapik kedudukan beliau supaya tidak terjejas buat selamanya.Beliau sendiri pernah menganggap yang pimpinan dalam UMNO dan ahlinya sekali sebagai Red Indian sahaja. Beliau tidak peduli apa yang akan terjadi kepada parti beliau. Bagi beliau semua orang UMNO mesti bersedia untuk menjadi pelapik untuk kepentingan beliau semata-mata.

Sebelum beliau menaiki hireaki parti yang tertinggi, beliau tidak mahu melihat Tengku Razaleigh berada di samping beliau kerana rasa takut dan gerun akan menjejaskan kedudukan beliau. Maka beliau mengambil Musa sebagai pemimpin pelapiknya. Beliau tidak pun berniat untuk menaikkan Musa selepas beliau kerana beliau hendak berkuasa lama. Musa hanya di gunakan olehnya untuk menjadi pemimpin pelapik bagi mengelak dari ancaman bayangan Tengku Razaleigh semasa itu. Maka berlagalah Musa dan TR dan Mahathir berasa gembira kerana musuh hakikinya telah bergaduh dan bertelagah.

Semasa menjadi Timbalannya Musa pula dirasakan menjadi ancaman kepada beliau, maka segala perkara yang boleh menjadikan Musa merasa terhina dilakukan oleh Mahathir. Musa pun berhenti dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan pemimpin yang menjadi pelapiknya ialah Ghaffar Baba. Semasa Ghaffar jadi Timbalan beliau, Mahathir merasa senang hati sedikit kerana Ghaffar bukanlah orang yang dianggap begitu cerdik dan perasaan gundah gulana beliau berkurangan.  Mahathir menukar timbalannya seperti orang menukar seluar dalam sahaja.

Ghaffar pula akhirnya di ganti dengan pelapik yang baru kerana dalam beliau menukar dan mengganti Timbalannya ada seorang yang baru menyertai UMNO begitu pantas menaikkan dirinya untuk naik tunggak kekuasaan, ia itu Anwar Ibrahim. Ghaffar terpaksa berhenti kerana pengaruh dan permainan Anwar menyebabkan beliau terpaksa berundur dan di waktu yang sama beliau (Anwar) pula diperguna untuk menjadi pelapik beliau yang baru.

Dalam pada itu dibawah-bawah di dalam UMNO sudah mula merasakan kebosanan terhadap Dr Mahathir dan perkabaran telah sampai ke Mahathir yang pelapiknya kali ini akan menentang beliau untuk menggantikan kepimpinan negara. Mahathir bertindak dengan ganas terhadap Anwar dengan menggunakan isu sodomi dan berbagai-bagai salah laku pemimpin pelapiknya ini.

Akhirnya pemimpin pelapiknya ini dipecat kerana isu-isu nakal ini dan menggantikan pelapik baru bernama Abdullah Badawi. Benar atau tidak isu-isu terhadap pemimpin pelapiknya ini Tuhan sahaja yang tahu kerana saya tidak pernah melihat perkara itu dilakukan dihadapan mata saya.

Pelapiknya yang bernama Abdullah ini juga tidak mahu mendengar nasihat dan arahan beliau (Mahathir) dari luar maka berbagai-bagai isu dipalitkan terhadap Abdullah dan Mahathir menggunakan bakal pelapiknya, Muhyiddin untuk meletakkan Najib sebagai PM. Akhirnya telah jelas yang Mahathir kali ini mahukan pelapik yang terakhir iaitu Muhyiddin Yassin untuk menjadi pelapik sementara menunggu Mukhriz, orang muda yang sebenar-benarnya calon pimpinan pelapis bagi negara..

Sekarang pemimpin pelapis itu sedang berikhtiar untuk memenangi jawatan Naib Presiden, satu jawatan yang sangat penting dalam UMNO. Jika pemimpin pelapis ini berjaya maka dua orang yang lain itu merupakan pelapik kepada Mukhriz sahaja.

Selepas ini berlaku, Dr Mahathir tidak akan lagi mencari pelapik lagi kerana anaknya sudah akan menjadi pelapis kepada kepimpinan negara. Kali ini adalah pusingan terakhir bagi Mahathir bermain politik kerana selepas Mukhriz mendapat apa yang di kehendakinya maka barulah Mahathir berhenti bercakap hal politik negara dan semasa ini lah beliau mungkin menumpukan masanya bercuti dan hidup dalam persaraan.

Cita-cita beliau untuk mencari pemimpin yang cerdik untuk menggantikan pemimpin-pemimpin yang beliau anggap bodoh sekarang ini, akan tercapai apabila Mukhriz mendapat tempat di tahap Naib Presiden.Rupa-rupanya pemimpin yang beliau maksudkan sebagai pemimpin cerdik dan pandai itu adalah anaknya sendiri.

Barulah kami semuanya tahu. Kita pun tidak tahu setara mana cerdiknya Mukhriz ini, tetapi oleh kerana Mahathir maksudkan Mukhriz lah yang cerdik itu maka kita terimalah.  Kalau kita tidak terima nanti Mahathir akan kata kita bodoh lagi. Untuk mengelak kita dari dikatakan bodoh marilah kita semua bersetuju bahawa Mukhriz itu seorang pemimpin cerdik.

Apabila Mukhriz menjadi pemimpin utama negara nanti nescaya kita tidak akan mendengar lagi Mahatahir memanggil dan menganggap pemimpin UMNO itu bodoh-bodoh lagi. Pendeknya kita akhirnya mesti mengakui yang negara ini adalah kepunyaan Mahathir. Beliau boleh mendapat apa yang beliau mahukan.

Hanya orang Melayu khususnya orang UMNO yang perasan negara ini kita semua yang punya.