1) Saya hendak bercakap tentang
masa depan politik dan lanskapnya mengikut pandangan saya yang cetek bagi
setengah pengkritik saya, walaupun saya bukan seorang yang telah berjaya dalam
politik seperti setengah pengkritik saya tuduh. Mereka
yang sudah beranggapan negatif terhadap orang seperti saya yang lantang
bercakap dan berkata dengan komitmen yang tinggi tentang ketulusan dalam apa
yang saya hendak perkatakan ini.
2) Bagi saya kejayaan seorang
ahli politik itu ialah kejayaan mereka untuk tidak terlibat dengan kerja
mungkar terhadap negara, tetapi ramai yang lain beranggapan kepada siapa yang
tidak berjaya mendapat kerja dengan kerajaan melalui politik itu adalah seorang
politikus yang gagal. Siapa yang berjaya menjadi menteri pada mereka itu adalah
ahli politik yang berjaya. Pada siapa yang tidak mendapat apa-apa dalam kerja
politiknya, itu dianggap sebagai ahli politik yang gagal (failed politician).
3) Walau bagaimana pun bagi saya
seorang yang berjaya dalam politik ialah mereka yang bijak memimpin dan tidak terlibat dengan
kerja-kerja rasuah dan salah guna kuasa seperti yang kita lazim lihat pada masa
kini. Dalam kontek politik negara kita ini, mendapat kerja sebagai menteri dan
sebagainya itu adalah kerja yang boleh memuaskan kehendak hati untuk menjadi
kaya raya dan memperkuatkan ego yang digunakan untuk menunjukkannya sebagai satu
kejayaan dalam hidup.
4) Memegang kuasa itu merupakan
‘ultimate’ bagi mereka dan apabila mendapat kuasa idaman itu mereka tidak akan
mampu menggunakan kuasa untuk kepentingan ummah, sebaliknya kuasa itu
dipergunakan untuk kepentingan peribadi mereka yang lebih menjurus untuk
kepentingan harta benda dan kekayaan diri dan keluarga mereka.
5) Itulah sebabnya belum tentu
seseorang itu menjadi menteri misalnya, dia telah mendapat kejayaan, kerana
ramai diantara mereka telah terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa itu sendiri adalah mereka yang
secara otomatiknya seorang pemimpin yang gagal.
6) Selalunya mereka yang tidak
mempunyai kepimpinan akan melakukan kerja hina itu semata-mata untuk menutup
kelemahan pimpinan mereka, maka itu jugalah penyebabnya kenapa politik wang itu
sudah menjadi kelaziman bagi mereka yang sedang memegang kuasa dalam kerajaan.
Mereka yang seperti ini adalah pemimpin yang gagal kerana tidak berjaya
memunafaatkan kepimpinan mereka untuk kebaikan ummah dan rakyat yang mereka
tadbir.
7) Bagi mereka ini, mereka hanya
berjaya menjadi ketua tetapi ketua-ketua yang tidak berkepimpinan dan itulah
yang sedang berlaku dinegara ini. Ketua-ketua yang tidak berkepimpinan ini lah
yang menjadi penyebab kepada salah laku pimpinan yang membawa kepada rasuah
tidak terhalang, penyalahgunaan kuasa yang tidak terbatas, retorik yang
besar-besar dan lebih-lebih lagi mereka tidak akan membuat keputusan yang betul
dalam semua keputusan yang dibuat mereka.
8) Apabila negara dan kerajaan di
tadbir oleh mereka yang seperti ini maka politik negara akan menjadi kucar
kacir kerana kebanyakan keputusan yang dibuat mereka mempunyai kecenderungan
untuk keputusan yang tidak betul dan tepat. Mereka yang seperti ini jika kekal
lama ia akan membina budaya pentadbiran yang tidak sihat dan politik yang kotor
kerana mereka tidak mampu untuk mengekalkan sokongan yang di dasarkan kepada perolehan
yang baik dari kepimpinan yang baik dan jujur. Mereka tidak akan mampu untuk
mempamirkan kemahiran dalam mentadbir negara sebagai ‘testimonial’ yang baik
untuk memimpin, sebaliknya pengekalan kuasa semata-mata berdasarkan kepada
‘otot’ yang kuat sebagai pihak yang mempunyai kuasa semata-mata.
9) Otot-otot yang kuat ini akan
mempengaruhi dan memaksa semua institusi kerajaan dan demokrasi telah dijahanamkan
kerana institusi-institusi ini tidak lagi bebas untuk bertindak mengikut kaedah
yang betul. Otot-otot ini akan menggunakan tekanan dan paksaan kepada semua
institusi demokrasi yang sepatutnya berfungsi dengan bebas tanpa pengaruh
mana-mana pihak. Pemimpin yang lemah akan memusatkan kuasa kepada mereka dan
institusi-institusi demokrasi ini hanya digunakan sebagai alat untuk kepentingan
pemimpin-pemimpin yang lemah tadi.
10) Inilah yang dialami oleh
negara ini dan ia akan tetap dalam keadaan ini selagi tidak ada perubahan yang drastik
dengan menggunakan kaedah yang agak ‘unorthodox’ yang belum pernah dilakukan
semata-mata untuk merubah acuan buruk yang telah terpakai sekian lama oleh
pimpinan kita. Kita memerlukan pimpinan yang mempunyai akal fikiran yang baik
dan betul, bukan pemimpin yang hanya membina otot yang pejal untuk menyalah
gunakan kuasa.
11) Kenapa saya mencadangkan agar peralihan dan
perubahan itu mesti dilakukan secara ‘unorthodox’? Saya hendak sebut semuanya
itu dalam posting yang akan datang, mungkin besok atau lusa.