03 May 2014

Bersatunya UMNO dengan PAS tidak semestinya kita berjaya

Berbagai cara dilakukan oleh pembangkang bagi menggulingkan parti pemerintah sekarang ini dan begitu juga berbagai-bagai ‘intrigue’ politik dilakukan oleh kerajaan untuk mengelak mereka digulingkan. Masing-masing pihak bermain politik seratus peratus, satu untuk menggulingkan yang ada dan satu pihak yang lain untuk mempertahankan kuasa yang telah dipegangnya sejak negara mencapai kemerdekaan.

UMNO mencengkam kuasa dengan menggunakan kuasa eksekutifnya yang ada dan pihak pembangkang menggunakan tunjuk perasaan bagi mengekalkan sokongan yang kadangkala menurun dan mencemaskan mereka. Pilihanraya ke13 yang lepas merupakan waktu yang terbaik bagi pembangkang untuk mendapat mandat kerana semasa itu mereka dalam ketiga-tiga parti bersatu dan tidak nampak kesalahan masing-masing.

Semuanya nampak hebat malahan pimpinan tertinggi pihak pembangkang sudah merasakan yang kuasa sudah pasti berada dalam tangan mereka dan berlagak seperti pihak yang sudah berkuasa. Begitulah lagak mereka dan ada pemimpin yang sudah bersedia dengan memberikana amaran keras kepada badan-badan kerajaan yang mereka akan diambil tindakan selepas sahaja mereka dapat mengambil alih BN sebagai kerajaan di Putrajaya. Anwar Ibrahim sudah bercakap seperti Perdana Menteri dan lagak ‘glamour’ seperti beliau menjadi Timbalan PM dahulu sudah mula menyerlah kembali.

Tetapi rakyat juga yang akhirnya memberikan penentuan yang mereka belum sampai masanya untuk berkuasa. Tentunya di sebalik kegagalan itu ada hikmahnya, jika tidak untuk Anwar dan penyokongnya, hikmah itu mungkin untuk rakyat yang ramai. Pada pembangkang mungkin ada juga hikmahnya kerana jika mereka mendapat kuasa dalam PRU ke13 yang lalu, kita tidak dapat bayangkan betapa kelam-kabutnya parti-parti dalam Pakatan Rakyat, kerana sekarang jelas-jelasnya mereka bukanlah ‘coalition’ yang bersatu terutamanya dalam hal agama dan perkauman.

Jika Pakatan Rakyat menjuarai Putrajaya tidak mungkin PAS dapat bersuara dalam hal hukum hudud kerana parti-parti dalam komponennya tidak bersetuju dengan tindakan melaksanakann hukum hudud walaupun ianya hanya untuk negeri Kelantan. Tetapi hikmah bagi PAS, kekalahan Pakatan Rakyat itu mempunyai hikmah dalam hal hudud ini kerana seburuk-buruk UMNO, PAS lebih mudah untuk bercakap tentang hudud ini kerana ahli-ahli UMNO itu beragama Islam walaupun pemimpin-pemimpinnya lazim melanggar hukum asas agama seperti larangan rasuah dan sebagainya dilanggar tanpa halangan.

Oleh kerana orang Melayu merupakan kaum majoriti dinegara ini jika berkurangan perbezaan diantara PAS dan UMNO maka adalah tidak salah jika dikatakan yang UMNO akan terus menjadi pemerintah negara dalam jangka masa yang agak lama lagi. Hanya jika UMNO masih dipimpin oleh mereka dalam kumpulan sekarang ini, yang kita khuatiri negara kita akan jahanam dan merudum dalam semua bidang.  Oleh itu sekarang ini rakyat ada pilihan, samada mahu negara ini jahanam dibawah BN atau jahanam dibawah pimpinan Pakatan Rakyat..

Tetapi bagi orang Melayu mereka rela jahanam dibawah BN dari jahanam dibawah Pakatan Rakyat kerana Melayu akan tergugat dan akan hilang segala identitinya di bawah tadbiran Pakatan Rakyat kerana pengaruh bukan Melayu yang lebih kuat dan jelas dibawah Pakatan Rakyat.

Kelemahan UMNO itu juga membawa hikmah kerana dengan kelemahannya, ia membolehkan ramai dikalangan pimpinan parti itu terpaksa mengakui yang ia memerlukan sokongan PAS, maka bolehlah bercerita dan berbincang tentang hukum-hukum agama diantara mereka yang mempunyai agama yang sama. Bagi PAS adalah lebih mudah baginya berbincang dengan UMNO dalam matlamat hendak melaksanakan hukum dan kerajaan Islamnya dari parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Rakan-rakan dalam Pakatan jelas memberikan tentangan hebat terhadap usul persendirian di parlimen untuk melaksanakan hukum hudud itu.

Masalah yang ada dihadapan UMNO dan PAS sendiri ialah untuk memberikan kefahaman tentang hukum hudud ini secara terperinci agar ia tidak dianggap oleh mana-mana kaum yang beragama bukan Islam hanya menganggap hudud itu sinonim dengan potong tangan dan hukum rejam sahaja. Setakat ini PAS sendiri belum melakukan apa yang sepatutnya dilakukan untuk melaksanakan hukum hudud yang menjadi ketakutan bagi banyak pihak termasuk dalam PAS dan UMNO itu sendiri.

Selagi penerangan tidak menyeluruh dan kefahamannya belum merata, maka hukum hudud ini tidak perlu dilaksanakan secara tergesa-gesa. Tetapi yang penting sekarang UMNO dan PAS perlu mengemukakan komitmen yang sahih bagi perlaksanaannya di Kelantan dahulu. Jika ia terlaksana dengan baik di Kelantan dan terbukti boleh membawa keadilan yang lebih berbanding dengan hukum’ civil’ yang ada pada hari ini maka proses penerangan dan penerimaan rakyat dinegeri lain akan lebih mudah untuk dilakukan.

Tetapi hasil dari kepanasan isu ini secara politiknya akan memberikan kekuatan kepada UMNO dan PAS dan idaman DAP dan PKR untuk duduk di Putrajaya itu elok dilupakan sahaja dan saya tahu pandangan ini membuatkan yang berada dalam DAP dan PKR tidak selesa mendengar pandangan seperti ini.

Jika DAP atau PKR menggunakan isu hudud ini sebagai isu politik ia akhirnya akan membunuh mereka sendiri. Isu yang paling mampan bagi DAP dan PKR tetap isu rasuah dan salah guna kuasa yang merupakan isu yang real dan hakiki bagi mendapatkan sokongan rakyat berpindah kepada mereka menggunakan isu hudud ini. Situasi ini memperkuatkan UMNO dan membawa sekali gus kekuatan untuk PAS membuat tuntutan untuk perlaksanaan sebahagian besar perjuangan asal parti itu.

Pokoknya sekarang, mampu kah UMNO menunjukan kekuatan pemikirannya untuk menyatukan orang Melayu dengan kelemahan yang nyata yang terdapat dibarisan pimpinan parti itu? Mampukah UMNO mencari kepimpinan yang berkebolehan sebagai ‘planner’ berkesan dalam meneruskan tanggungjawab sebagai parti yang memerintah sekarang ini?

Kita perlukan bukan setakat mampu menyatukan kaum Melayu, kaum terbesar dalam negara ini. Jika sudah bersatu adakah ianya satu kejayaan tanpa menunjukan perbezaan untuk mencapai matlamat pembangunan negara dalam semua bidang termasuk menyatukan Melayu dengan kaum lain di negara ini.

Dulunya UMNO berfungsi sebagai parti penyatu bangsa Melayu di samping menyatukan mereka bersama dengan semua kaum untuk membawa negara kearah yang ‘ultimate’, iaitu ‘national unity’ seperti yang kita pernah alami dahulu.

Tentunya ia memerlukan seorang pemimpin Melayu yang matang yang jiwanya hanya untuk bangsa dan negaranya, bukan setakat menunjukkan otot besar untuk membantutkan pertumbuhan pemikiran bangsanya sendiri.

28 April 2014

Masih kah PR kekal dengan 52 peratus undi popular sekarang ini?

Anwar berkata ‘Pakatan Rakyat is the rightful government to this country’ kerana mendapat 52 peratus dari undi rakyat negara ini dalam pilihanraya yang lalu. Kerjasama secara tidak formal ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu telah berjaya mengumpul sebanyak 52 peratus dari undi rakyat berbilang kaum dalam PRU yang lalu walaupun BN memenangi dalam jumlah kerusi yang di pertandingkan. Itu sistem kita selama ini, dalam mana pihak yang mendapat jumlah kerusi yang terbanyak akan menjadi kerajaan.

Tetapi jumlah sokongan rakyat sebanyak 52 peratus itu mungkin tidak lagi menjadi kenyataan jika pilihanraya diadakan sekali lagi kerana tentunya sebilangan besar dari penyokong PAS tidak lagi akan menyokong Pakatan Rakyat apabila isu hukum hudud timbul. DAP menentang keras hukum hudud itu walaupun suatu ketika dahulu pimpinan utamanya telah berjanji untuk menghormati perjuangan bangsa dan agama lain dinegara ini.

Apa pun DAP ada hak untuk tidak bersetuju kerana Islam itu bukan agamanya kepada kebanyakan pemimpin dan ahli parti itu. Malahan parti itu telah meminta PAS agar keluar dari Pakatan Rakyat dan sekali gus dari segi moralnya Pakatan Rakyat hanya mempunyai dua parti sahaja dalam Pakatan pembangkang itu. Justeru peratusan sokongan yang memihak kepada pembangkang sudah pastinya berkurangan dari 52 peratus yang digembar gemburkan itu. 

Jadi pengakuan Anwar yang PR itu merupakan pihak yang secara politik dan moralnya adalah parti yang sepatutnya menjadi kerajaan itu sudah tidak relevan lagi. DAP telah dengan jelasnya meminta PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan parti itu berkata yang dalam politik tidak ada persahabatan dan permusuhan yang berkekalan, maka DAP merasakan ini adalah masanya untuk mengambil tindakan berpisah dengan PAS kerana perbezaan yang sangat jelas dalam banyak hal perjuangan dan matlamat parti masing-masing.

Seandainya PAS benar-benar tidak lagi bersama dalam Pakatan Rakyat parti itu tidak akan menghadapi masalah moral kerana sememangnya dari awal penubuhannya, perjuangannya adalah untuk meningkatkan Islam yang hendak diaddinkan dalam pentadbiran kerajaan negara ini. Malahan jika PAS benar-benar parti yang mempunyai moral dan maruah yang tinggi, parti itu sepatutnya menyahut cabaran DAP itu kerana ini merupakan keputusan yang menjadi penentu kepada masa depan parti itu samada parti yang boleh diyakini dan tidak berbohong dipandangan mata rakyat.

PAS boleh memberikan penjelasan yang baik dalam isu hudud ini jika parti itu benar-benar mahu melaksanakan hudud di negeri Kelantan. Kelantan adalah salah sebuah negeri yang menganggotai Persekutuan ini dan Kelantan adalah sama seperti negeri lain yang memberikan sumbangan kepada kedaulatan negara. Kedaulatan negara datangnya dari penyertaan negari-negeri yang berdaulat dalam Persekutuan ini kerana negeri itu juga mempunyai legislatif nya sendiri.

Tiada apa salahnya jika negeri itu mempunyai undang-undangnya sendiri yang berlainan dari undang-undang diperingkat persekutuan dan negeri-negeri yang lain. Amerika Syarikat juga adalah sebuah negara Persekutuan yang dianggotai oleh 52 negeri di dalamnya dan ada negeri-negeri dalam Amerika Syarikat yang mana sebahagian dari undang-undangnya berbeza dengan undang-undang dinegeri-negeri lain dalam AS itu.

Maka tidak ada kesalahannya jika di Malaysia ini Kelantan dibenarkan melaksanakan hukum hudud itu memandangkan negeri itu mempunyai 97 peratus dari rakyatnya adalah dikalangan orang Melayu yang beragama Islam.

Hanya yang perlu menjadi fokusnya sekarang ini, tentukan undang-undang hudud itu adalah hudud yang sebenarnya dan ini belum ternyata lagi berjaya atau gagalnya perlaksanaannya di Kelantan. Malahan sebagai seorang Islam saya ingin melihat undang-undang hudud ini terlaksana di Kelantan yang akhirnya nanti dapat membezakan undang-undang mana yang lebih baik dari yang ada sekarang ini.

Alasan hudud ini menyalahi perlembagaan negara adalah alasan yang lembek. Negeri-negeri berdaulat itu ada undang-undang tubuh dan enakmen syariahnya sendiri yang boleh dipinda untuk kehendak rakyat negeri itu. Yang penting kerajaan persekutuan memberikan sokongan yang secukupnya bagi negeri ini untuk melaksanakan undang-undang itu.

Kita bersetuju yang undang-undang hudud ini wajar dilaksanakan dengan begitu berhati-hati agar ia tidak menjejaskan negara, tetapi ia tidak semestinya menjadi alasan kenapa hudud itu tidak perlu dilaksanakan di Kelantan. Mungkin ia memerlukan penglibatan ramai sadaqiah Islam peringkat antarabangsa yang berwibawa untuk membantu bagi perlaksanaan cita-cita PAS untuk melaksanakan hukum itu di negeri Kelantan yang 97 peratus dari rakyatnya yang beragama Islam itu.

Mungkin bukan mudah untuk memulakan perlaksanaannya tetapi tidak salah untuk diusahakan dan memulakan perlaksanaannya dalam keadaan berhati-hati dan cermat. Yang pentingnya dalam tidak beberapa lama selepas perlaksanaannya kita dapat membuktikan hukum dan undang-undang Islam itu mampu untuk menunjukkan kewibawaannya dari hukum-hukum civil yang ada hari ini.

Jika ia gagal menunjukkan bukti itu maka yang gagal nanti ialah PAS, bukannya hukum Allah itu. Kegagalan adalah sifat mustahil bagi Allah s.w.t..  Tiada apa yang gagal bagi Allah kerana nyawa dan nafas kita sendiri adalah dari Allah dan terbentangnya dunia dan alam ini adalah kenyataan kehebatan yang mustahil boleh dibandingkan dengan sesuatu.

Masakan hukum dan undang-undang agama yang diturunkannya itu adalah undang-undang yang gagal memberikan keadilan kepada umat sejagat.

Berbalik kepada isu sokongan 52 peratus kepada PR yang di sebut oleh Anwar itu, hakikat sebenarnya sekarang ini keadaan 52 peratus yang memihak kepada PR itu bukan lagi satu kenyataan dan ia telah menjadi sejarah bukan kerana sesiapa tetapi kerana PR itu sendiri.

26 April 2014

Kita memerlukan politik baru sebelum terlambat

DAP meminta PAS keluar dari Pakatan Rakyat jika masih bertegas untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan, kerana perlaksanaan hukum hudud tidak termasuk dalam agenda Pakatan Rakyat yang menggabungkan 3 buah parti termasuk PAS. Selain dari DAP banyak parti-parti lain seperti MCA dan beberapa buah parti di Sabah dan Sarawak juga tidak bersetuju dengan perlaksanaan hukum hudud itu.

DAP berpendapat PAS tidak seharusnya berpendirian untuk mendapatkan semua kehendaknya, disamping mendapat sokongan dari gabungan Pakatan Rakyat tetapi tidak bersetuju dengan pendirian PR dalam isu hudud. Kata Pengerusi Organisasi DAP, dalam politik tidak ada kawan yang kekal dan tidak ada musuh yang kekal. Itu benar kerana politik itu hidup dan selalu berubah-ubah keadaan dan situasinya.

Semasa perdebatan diantara Setiausaha Agung DAP dengan Chua Soi Lek beberapa ketika dahulu, DAP telah mempertahankan perhubungannya dengan PAS kerana isu hudud itu menjadi isu hangat yang dipermainkan oleh MCA. Lim Guan Eng dengan jelas memberitahu hadirin dan masyarakat awam yang DAP menghormati perjuangan bangsa dan agama lain dan itu pun sebabnya ada perpaduan dalam Pakatan Rakyat.

Tetapi dalam keadaan akhir-akhir ini DAP nampaknya sangat keras menentang apa yang hendak dilakukan oleh PAS dan janjinya untuk menghormati perjuangan bangsa dan agama lain sudah jelas bukannya janji yang mudah dikotakan oleh parti yang dikuasai oleh kaum Cina itu. Jadi betullah kata pemimpin DAP itu yang dalam politik tidak ada kawan dan musuh yang kekal.

Maka dalam situasi sekarang ini perpecahan dan pertentangan berlandaskan agama dan perkauman semakin melebar. Sudah ramai yang memperjuangkan politik kepelbagaian kaum semakin cemas kerana nampaknya masing-masing bangsa sedang berusaha untuk menguasai politik negara. Kaum Cinanya sudah bersatu dengan kaumnya sendiri dan kaum bukan Cina seperti Melayu sudah mula bersama-sama memikirkan nasib bangsanya sendiri.

Saya mengambil isu ini untuk dikomen kerana blog ini sudah begitu lama berharap akan ada politik baru dalam negara ini kerana mereka yang sedang menguasai politik kerajaan dan pembangkang sudah jelas tidak mampu untuk memperjuangkan apa yang diperjuangkan oleh parti pimpinan mereka. UMNO yang menentang keras hukum hudud telah mula ada seruan dikalangan pimpinannya untuk parti itu dengan PAS bersatu dan melaksanakan agenda bangsa dan agamanya termasuk hukum hudud ini.

Dalam keadaan sekarang, tidak ada kemungkinan yang rakyat akan bersatu seperti yang kita alami dahulu. Yang kita nampak sekarang di semenanjung ini jika kuasa politik di perolehi oleh kaum Cina maka ini akan merupakan kematian bagi kaum Melayu dan bangsa itu akan hilang identitinya sendiri. Di sebaliknya jika mandat diperolehi oleh kaum Melayu maka kuasa politik itu tidak akan mampu dirasakan oleh kaum Cina seperti dahulu semasa MCA menjadi tulang belakang perjuangan untuk kaum Cina dahulu.

Justeru negara memerlukan kepimpinan yang berimej yang berlainan dari yang ada sekarang, baik dari pihak kerajaan mahu pun pihak pembangkang. Kita terpaksa memulakan politik baru yang membolehkan semua kaum tidak merasa ketinggalan dalam arus dan kuasa politik dan semua bidang kehidupan manusia yang tinggal dalam negara ini.

Dalam keadaan politik Melayu yang kian lemah, sudah timbul kesedaran yang Melayu perlu bersatu kerana orang melayu sudah tidak sanggup menahan cemuhan bangsa lain sekarang ini. Begitu juga lah bangsa lain sudah tidak lagi mampu untuk membendung perasaan tidak puas hati dalam keadaan politik kini.

Jika bersatunya Melayu maka ia akan membuktikan yang kuasa politik negara ini terletak ditangan Melayu dan pemimpinnya. Tetapi bolehkah Melayu itu bersatu dengan kepimpinan yang ada pada hari ini? Jawapannya tentulah tidak!, kerana pimpinan Melayu terutamanya dalam UMNO sudah hilang arah matlamatnya kerana mereka sudah membudayakan politik ampu mengampu dan bergantung kepada perut yang gondolan untuk berkuasa yang mengakibatkan perpecahan dikalangan pimpinan dan rakyat Melayu itu sendiri. Tetapi sebusuk-busuk melayu itu jika ia berkuasa ia masih ada terbau Melayu nya.

Mahu tidak mahu semua kaum mesti mengakui yang politik negara ini adalah bergantung kepada kaum Melayu jika mereka berpadu. Oleh yang demikian, jika ada usaha oleh bangsa Melayu yang berada dalam PAS, UMNO dan PKR, maka kedudukan dan kekuatan politik melayu itu akan tetap kekal menguasai politik tanahair kita ini.

Permainan ‘partisan politics’ sudah tidak lagi mampu untuk negara ini dikekalkan kerana masing-masing bangsa tidak mahu berkorban untuk kemahuan negara. Jika ini keadaannya dan tidak boleh di elakkan lagi maka perpaduan UMNO dengan PAS itu adalah satu usaha yang paling baik tetapi biarlah mereka yang melakukan jenayah politik dalam UMNO itu serta-merta berundur dan dicari pemimpin yang baru untuk melakukan pembaharuan siasah negara ini.

Saya secara peribadi merasakan yang lanskap politik tanahair akan berubah dengan pesatnya dengan keluarnya seruan lantang dari pemimpin DAP supaya PAS keluar dari Pakatan Rakyat. Apabila sudah hambur kata-kata seperti itu maka ia menunjukkan yang perhubungan dan penyatuan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu tidak akan kekal dan akan berpecah dalam jangka masa yang agak deras.

Blog ini meramalkan yang Pakatan Rakyat akan berbentuk lain tanpa PAS di dalamnya. Jika itu berlaku maka niat dan hasrat Pakatan Rakyat untuk duduk di Putrajaya hanyalah mimpi disiang hari sahaja. Mungkin ramai ‘polical novis’ tidak bersetuju dengan pandangan ini, tetapi itu tidak mengapa. Masing-masing perlu melalui hakikat ini dalam PRU yang akan datang sebelum yakin dengan apa yang saya katakan ini.

Itu sebab saya ulangi, jika mereka dalam DAP dan parti-parti berbangsa bukan Melayu yang lain mahu merasakan nikmat bersama berkuasa, wajar berfikir untuk menurunkan ego masing-masing dan bersama-sama melalui proses perubahan bagi mewujudkan politik dan siasah yang baru bagi negara ini. Jika sekarang ramai ahli-ahli parlimen sedang melakukan lobi melobi dikalangan mereka dalam isu hudud, mereka juga sepatutnya juga lobi melobi untuk memilih kepimpinan baru negara bagi mendapatkan ‘ambience’ baru dalam politik negara ini.

Sekali lagi blog ini mengulangi, ‘we need to start new politics urgently’ sebelum terlambat. Jangan dilengah-lengahkan.

16 April 2014

Jangan setakat hendak menggunakan nama Allah sahaja, gunakan undang-undangNya sekali

Saya mengambil keputusan untuk menulis isu yang lain dan tidak akan menyambung artikel yang lepas seperti yang saya janjikan. Saya tidak dapat menyentuh blog saya sendiri sejak beberapa hari yang lepas kerana kesibukan dan kesuntukan masa. Isu yang menarik bagi saya untuk memberikan komen ialah isu undang-undang hudud yang menjadi isu hangat sekarang ini setelah kerajaan negeri Kelantan telah mengambil keputusan untuk membentang ‘private bill’ di parlimen dan bertegas untuk melaksanakan hukum hudud di negeri Kelantan.

Isu ini telah mendapat reaksi yang bersalahan dari beberapa pihak termasuk dari MCA, komponen BN sendiri. Ketua Wanita MCA sendiri telah meminta Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang dengan PKR untuk bertegas menentang usul yang akan dibentangkan oleh PAS kerana PAS adalah rakan kongsi Pakatan Rakyat. Heng Seai Kie telah meminta Anwar untuk memberhentikan usaha PAS untuk membentangkan bill itu jika Anwar benar-benar Anwar dan Pakatan mengotakan apa yang mereka janjikan.

MCA telah turut membidas DAP kerana tidak melakukan apa yang sepatutnya mereka lakukan untuk menggagalkan usaha PAS itu kerana ia dianggap oleh MCA sebagai permainan politik yang mengelirukan rakyat Malaysia keseluruhannya. Permainan DAP, mengikut kata Ketua Wanita MCA itu adalah tindakan untuk mendapatkan undi semata-mata dan tidak membuat apa yang mereka perkatakan.

Tetapi pandangan MCA itu tidak sepenuhnya benar kerana DAP sememangnya telah berjanji yang kesemua 38 orang ahli legislatif nya di parlimen tidak akan menyokong usul itu dan menentang pembentangan bill tersebut. 

Sebagai rakyat biasa saya tidak ada masalah tentang kehadiran hukum hudud dinegara ini. Hanya saya hendak memberikan pandangan yang usaha itu perlukan usaha yang sangat berhemah dan teliti agar ia tidak memberikan kesan negatif kepada negara. Sebagai seorang Islam adalah tidak patut saya menolak hukum hudud itu kerana itu adalah hukum yang diturunkan Allah s.w.t. dan bukannya yang dicipta oleh PAS. PAS hanya hendak memberikan hukum Tuhan  itu keutamaan kerana kita semua bertuhan.

Mana mungkin oleh kerana Karpal Singh tidak setuju kita terpaksa membatalkan niat untuk melaksanakan hukum hudud itu. Takkanlah kita takut kepada Karpal dari hukum Tuhan.

Hudud ini wajar dilaksanakan kerana jika ia terlaksana dengan sempurna ia akan terbukti satu undang-undang yang berguna untuk semua manusia berbilang kaum, bukan setakat untuk orang Islam semata-mata.

Tetapi sebelum ia dilakukan ia perlu melalui penerangan yang teliti dan menyeluruh untuk kefahaman semua. Beri kefahaman kepada semua yang masih ramai mempunyai syak wasangka kepada hukum Islam ini. Ia perlu difahamkan dari hukum hududnya sehingga kepada hukum Qisasnya supaya ia akan di fahamkan yang hudud itu bukannya hukum yang tidak bertimbang rasa malahan undang-undang yang berupa undang-undang ‘preventive’ ini akhirnya menjadi undang-undang yang sesuai untuk diguna pakai oleh semua umat diakhir zaman ini.

Saya tidak memahami sepenuhnya undang-undang ini tetapi saya tahu dan yakin yang ianya adalah satu undang-undang yang boleh mengadili semua manusia dalam semua hal tanpa mengira bangsa dan agama. Hanya sekarang ini ia belum ada usaha meyakinkan semua pihak dalam isu ini.

Kepada pihak yang berkata undang-undang Tuhan ini tidak dapat disesuaikan dengan perlembagaan negara, elok kita perkuatkan iktiqad yang perlembagaan negara itu adalah ciptaan manusia sedangkan hudud itu adalah ciptaan Allah s.w.t..

Kita pernah mendengar ada usaha untuk membawa isu hudud ini ke mahkamah suatu ketika dahulu. Tindakan itu nyata adalah tindakan untuk undang-undang buatan manusia membicarakan undang-undang ciptaan Tuhan yang Maha Esa.

Bagi yang menentang hudud ini mereka akan memberikan berbagai-bagai alasan untuk menentang hukum Allah ini, tetapi mereka beriya-iya untuk menggunakan nama Allah dalam agama mereka.

Jangan kita setakat berperang menggunakan namaNya dan berperang untuk mempertahankan namaNya oleh setengah pihak sahaja. Kita gunakan undang-undangNya sekali. Allah tidak berbohong malahan berbohong itu adalah sifat mustahil bagiNya. Apa jua yang diturunkanNya adalah untuk kebaikan umat sejagat bukan setakat untuk kebaikan rakyat Kelantan sahaja.

Segala-galanya yang datang dari Allah s.w.t. itu ada hikmahnya bukan sahaja kepada yang beragama Islam malahan kepada keseluruhan umat manusia sejagat. Hanya setengah diantara kita tidak sesuai dengan undang-undang itu kerana ia tidak mahu melaluinya dahulu untuk menikmati hikmah dari Tuhan itu.

Hanya yang sangat perlu dilakukan ialah untuk berfikir habis-habisan dalam melaksanakan hukum hudud ini, kerana yang terpenting sekali seperti yang di sebutkan tadi ialah pemahaman yang terperinci wajar difahami sebelum ianya dilaksanakan dan tumpukan kepada kaedah perlaksanaan yang terbaik yang tidak menjejaskan imej agama itu sendiri.

Kita tidak mahu agama itu menjadi bahan ejekan dan dipandang rendah oleh umat manusia kerana ini adalah satu usaha yang amat drastik bagi negara kita dan juga bagi banyak negara yang lain. Ini merupakan satu usaha dan perubahan yang sangat besar yang mempunyai risiko ketidak tepatan perlaksanaan dengan hukum sebenarnya.

Setakat ini  PAS belum lagi melakukan semuanya ini termasuk mengadakan jawatankuasa perlaksanaan yang mungkin memerlukan penglibatan ulamak-ulamak yang muktabar dan sadiqiah Islam dari seluruh dunia untuk mempastikan ia terlaksana dengan betul dan tepat dengan hukum dan semangat undang-undang itu sendiri.