04 August 2014

Kata pepatah 'raja bertitah hanya sekali'

TS Khalid Ibrahim mencabar PKR untuk membuat laporan terhadapnya jika benar beliau menghadapi masalah intergriti. PKR boleh membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah jika mereka yakin beliau mempunyai bukti kukuh tentang apa yang mereka dakwa  melalui kenyataan Saifudin Nasution, Setiausaha Agung PKR.

Saifuddin telah membuat kenyataan yang beliau akan membentangkan laporan setebal 50 muka surat dalam mesyuarat tertinggi Pakatan Rakyat 10hb Ogos ini. Jika apa yang di bentangkan itu tidak ada kebenarannya maka secara natural tindakan itu hanyalah satu konspirasi setengah pihak untuk menjejaskan intergriti beliau sebagai pemimpin kerajaan negeri Selangor.

Tetapi beliau (Khalid) juga patut mempunyai ruang untuk membuat tindakan mengadu kepada pihak badan undang-undang untuk membersihkan nama beliau pada pandangan rakyat khususnya di Selangor.`

Diantara yang di sebut oleh Saifudin ialah isu ‘outside court settlement’ dengan Bank Islam sebanyak RM66 juta berhubung dengan pinjaman Khalid dari Bank Islam yang membiayai pembelian 5 peratus saham Guthries  semasa beliau menjadi Ketua Eksekutif Syarikat Perladangan itu.

Isu ini sememangnya telah menjadi pengetahuan umum semasa beliau belum menjadi aktif dalam politik PKR ini. Di mana letaknya kesalahan Khalid dalam isu ini Saifuddin sahaja lah akan membentangkannya dalam perjumpaan dengan ketua-ketua parti komponen Pakatan Rakyat nanti.

Tentunya Saifudin dengan pimpinan PKR yang mahu Khalid keluar itu sedang mencari segala kesalahan atau kesilapan Khalid sebelum ini. Sememangnya susah untuk mencari kesilapan itu dan jika ia masih dilakukan ia ibarat 'mencari kutu dalam rambut yang tebal'. Tidak kira apa, baginya Khalid mesti berhenti kerana itu adalah kehendak Anwar Ibrahim.

Saya seolah-olah tidak mahu mempercayai yang Saifuddin sanggup menunjukkan dendamnya sehinggakan berikrar akan menunjukkan segala kesalahan Khalid dan terpaksa keluar dari Pejabat Setiausaha Kerajaan di Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam. Bagi Saifuddin tindakan beliau untuk berkata dan bercakap dengan nada tinggi yang disulami dendam itu adalah satu tindakan yang ‘heroic’ untuk menzahirkan sokongan kepada Anwar Ibrahim.

Saifuddin mesti menunjukkan segala tuduhan beliau itu semuanya benar yang tidak boleh diragukan dan dipersoalkan. Jika kurang dari itu adalah hak Khalid Ibrahim untuk mengambil tindakan undang-undang dan apabila sampai ketahap itu Saifudin perlu meletakkan jawatan, jika beliau ada apa-apa jawatan yang beliau pegang sekarang ini.

PAS dan TGHA nya mungkin dipaksa membuat ikrar bersama untuk menyokong Khalid di ketepikan pada 10hb nanti, tetapi hakikatnya mereka adalah berbeza pandangan dan pegangan. TGHA pula akan menjadi sasaran pihak lain yang akan menganggap TGHA sebagai seorang yang mempunyai sikap ‘flip-flop’ seperti juga pemimpin dan pucuk pimpinannya yang selalu melakukannya. TGHA semasa itu akan dianggap seperti pemimpin yang senilai dengan pimpinan UMNO yang terlalu banyak dipersoalkan oleh orang ramai.

Bagaimana pun itu adalah hak TGHA untuk meletakkan dirinya di mana kata pepatah, selalunya, ‘raja bertitah hanya sekali’. Tidak tahu pula kita samada TGHA bertitah berkali-kali dan dalam setiap titahnya sentiasa berbeza-beza niat dan tindakannya.

Walau bagaimana pun dalam politik dunia ketiga seseorang pemimpin itu membuat tentangan hanya untuk diubah selepas ada perundingan. Sesungguhnya isu Khalid Ibrahim ini bukan sahaja melemahkan sokongan terhadap PKR, tetapi ia juga memberikan risiko yang tinggi terhadap sokongan rakyat terhadap PAS sendiri.

Kata pepatah lagi, ‘jika kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang dari kata-katanya’. Kalau kata-kata tidak dapat dipegang lagi, tidak tahu apa yang boleh dipegang dari seseorang manusia itu.

Walau bagaimana pun itu tidak menjadi perkara dan isu besar lagi hidup dalam akhir zaman ini. Dalam politik Malaysia kini semnemangnya slogan ‘Malaysia boleh’ itu terpakai di mana-mana dan bila-bila.

Semua mengharapkan isu Khalid Ibrahim ini akan selesai secepat yang mungkin walaupun penyelesaiannya terpaksa ada pihak yang mengubah pendiriannya  Jika terpaksa membuat U-Turn, elok bagi alasan yang kuat untuk melakukannya.

Takut-takut nanti ada yang terfikir untuk meminta mereka membuka mulut seluas-luasnya untuk melihat jenis apa lidah yang ada di dalam mulut mereka itu. Pemimpin yang berbohong akan memberikan bekas yang sangat mendalam dalam pemikiran mereka terhadap pemimpin seperti ini.

PAS hanya pengalas kaki rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat?

PAS secara tidak sedar telah di jadikan pengalas kaki oleh PKR serta satu lagi parti yang bersekutu dengannya. PAS dengan tenaga kerjanya yang begitu gigih dalam pilihanraya yang lepas mendapat keputusan yang berkurangan jumlah kerusi yang dimenanginya berbanding dengan PRU 2008. Parti itu hanya memangi 21 kerusi, satu berkurangan dari PRU 2008.

Yang mendapat lonjakan jumlah kerusi yang di menangi, ialah DAP dari 28 kepada 38. maka ramai yang bercakap dengan saya yang mereka tidak berpuas hati dengan ungkitan pemimpin dari DAP yang mengatakan “PAS is nowhere without DAP and the Chinese support”.

Sesungguhnya keadaannya adalah terbalik, PAS mendapat berkurangan kerusi jika dibandingkan dengan pilihanraya 2008 dahulu. Bak kata pepatah, 'sakit peha kanan peha kiri pun menumpang rasa juga sakitnya'. Saya terasa keadaan yang PAS akan kehilangan banyak kerusi dalam pilihanraya yang lalu.

Saya telah mengorbankan masa membantu calon-calon PAS terutamanya di Kedah dalam PRU itu dan dalam pengamatan saya orang Melayu Islam walaupun sudah tidak berapa selesa dengan UMNO mereka tidak dapat menumpukan sokongan terhadap PAS kerana beberapa isu yang panas yang di sentuh oleh DAP. Hanya saya tidak begitu pasti semasa itu kerana saya melihat sokongan secara terbuka amat jelas yang rakyat menyokong PAS dengan kuat.

“Kenapa Guan Eng menyentuh tentang isu nama Allah dalam ucapannya semasa menyambut hari Christmas sebab itu merupakan isu sensitif kepada orang Melayu kita? Kenapa PAS tidak berjaya memasukkan bersama hudud dalam manifesto Pakatan Rakyat, sedangkan itulah salah satu isu perjuangan PAS yang besar?” tanya ramai dikalangan yang hadir secara berbisik kepada saya.

Ada yang bertanya, “Adakah PAS ini hanya dijadikan sebagai tempat parti lain untuk mengalas kaki dan dianggapkan sebagai pelapik sahaja? pelapik untuk memberikan keselesaan kepada rakan kongsi dalam Pakatan itu sahaja?” Kesemuanya ini adalah pertanyaan dari kaum Melayu di atas pagar kerana mereka menghabiskan masa di tempat penginapan saya selepas majlis-majlis ceramah saya di banyak tempat.

Saya telah merasakan sedikit sebanyak risiko yang bakal dihadapi oleh PAS, tetapi oleh kerana semasa itu adalah masa kempen pilihanraya saya hanya memberikan jawapan yang setakat saya mampu menjawabnya. Selama tiga minggu saya berulang alik ke Kedah saya tidak berada dalam ketenangan kerana ‘feedback’ negatif yang saya terima dari yang hadir dalam ceramah saya.

Saya juga terasa bimbang tentang kerajaan PAS Kedah kerana saya merasakan dan nampak yang ramai pengundi diatas pagar tidak akan memberikan undi kepada PAS kerana isu siapa yang akan jadi Menteri Besar. Kebanyakan dari rakan kaum Cina saya memberikan ‘feedback’ yang PR Kedah akan kalah jika Uztaz Azizan masih dikekalkan sebagai MB. Apabila sah Uztaz Azizan di umum akan terus memegang jawatan MB jika kemenangan berpihak kepada PR, saya lihat dengan jelas yang orang ramai terutamanya kaum Cina telah beralih menyokong BN yang telah mengumumkan seorang yang muda sebagai MB Kedah jika mereka menang, iaitu Mukhriz Mahathir.

Saya menyebut isu ini kerana jika pucuk pimpinan PKR mengambil keputusan untuik meletakkan seorang calon lain menggantikan Khalid Ibrahim, ia tidak semestinya di ikuti oleh ahli-ahli dan penyokongnya lebih-lebih lagi kepada pengundi-pengundi di atas pagar.

Keputusan meletakkan Uztaz Azizan sebagai Menteri Besar itu adalah keputusan PR yang dipersetujui oleh semua parti yang berada di dalamnya tetapi akhirnya Uztas Azizan pun tidak berdaya mempertahankan kerajaan yang di pimpin beliau. Isu ini berlarutan sampai keseluruh negara dan jika DAP benar-benar berpengaruh untuk menentukan kemenangan bagi PAS, kenapa PAS mendapat kerusi yang berkurangan dari DAP yang telah melonjak kemenangannya dari 28 kepada 38 kerusi dalam PRU yang lalu?

Sebenarnya PAS menjadi korban kerana kebaikannya. Sesungguhnya isu hudud dan nama Allah yang di sebut oleh DAP itulah yang merenggangkan pengundi kaum Cina dan Melayu terhadap PAS dan ini tidak boleh dinafikan. PAS hanya menjadi korban rakan-rakan kongsinya dengan ‘intrigue’ politik yang telah mengaibkan PAS.

Lantaran kenyataan DAP yang “PAS is nothing without DAP and Chinese support” itu adalah kelakar dan sangat tidak jujur. Sebaliknya jika PAS dan orang melayu tidak serius menyokong DAP semasa itu masakan DAP mendapat lonjakan jumlah kerusi yang di menanginya.

Bagi saya kebaikan dan keterbukaan parti itu terhadap rakan kongsinya itu diambil sebagai kelemahan oleh parti-parti lain dalam PR. Mereka mengambil semuanya ‘for granted’ terhadap PAS. Seperti yang saya sebutkan beberapa kali rakan-rakan PAS hanya mahu menjadikan PAS sebagai orang semenda, 'dipanggil datang, di suruh pergi' sahaja.

Jika itu juga sikap parti-parti rakan kongsi dalam PR di Selangor kita tidak lagi berkeyakinan yang PR akan kekal mentadbir Selangor selepas ini.saya sebutkan dalam posting saya yang lepas, 'saya berharap pandangan saya ini salah'.

03 August 2014

Jalan ke Putrajaya semakin sempit, berliku-liku dan susah untuk di lalui

Sangat jelas kecelaruan sedang di hadapi oleh Pakatan Rakyat sekarang ini.. Setengah dari pimpinan dan ahli-ahli PAS mahukan Menteri besar sekarang kekal dan menyanggah kehendak PKR untuk menggantikan Khalid dengan isteri Anwar Ibrahim. Ada juga yang bersetuju untuk Khalid di gantikan, tetapi bukan Wan Azizah.

Ada yang mahukan PAS keluar sahaja dari Pakatan Rakyat dan berangan untuk bersama UMNO dan membentuk kerajaan dengan parti yang berkuasa di Persekutuan itu. Setengah bahagian di Selangor telah mengambil sikap mempertahankan Khalid Ibrahim dan meminta Khalid di kekalkan sahaja sebagai MB sehingga tamat penggal pilihanraya ini.

Diperingkat terrtinggi Pakatan Rakyat pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti pun tidak sehaluan kerana TGHA meminta agar Khalid di kekalkan dan di sokong pula oleh TGNA. Dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin PKR pusat mengungkit-ngungkit yang PAS menjadi parti yang besar di Selangor kerana sokongan PKR dan DAP.Tidak pula mereka sedar yang PKR dan DAP pun berjaya kerana sokongan PAS juga.

Sesungguhnya PAS mendapat kemenangan yang agak lebih kecil walaupun parti itu menyokong DAP dan PKR dalam pilihanraya yang lalu kerana PAS mendapat kekurangan kerusi dari 22 semasa PRU 2008 kepada 21 dalam pilhanraya yang lalu. Apa yang dikatakan PAS mendapat sokongan DAP itu tidak dapat dikenali kerana DAP telah memainkan isu ALLAH yang telah membuatkan rakan kongsinya PAS menjadi defensif dan kehilangan jumlah kerusi di Parlimen dengan satu kerusi.

Jika berlaku perpecahan diantara parti-parti dalam Pakatan Rakyat ia tidak mengejutkan dan keadaan ini tidak perlu menjadi isu yang menakutkan. Keadaan ini sememangnya satu keadaan yang ‘predictable’ sejak dahulu kerana masing-masing mempunyai pendirian yang berbeza, dan untuk mengelirukan rakyat mereka mempunyai persefahaman yang hanya boleh diterima oleh semua parti dalam PR. Tetapi isu-isu seperti memperjuangkan kerajaan islam di kutuk dan di persoal oleh DAP misalnya.

Bukan ada segan silunya pimpinan DAP membidas PAS dan memberikan amaran yang DAP tidak akan bersama dalam Pakatan jika PAS masih memperjuangkan untuk membentuk kerajaan islam. Pendekmnya perjuangan yang asas bagi PAS tidak termasuk dalam manifesto pilihanraya umum. PAS sebenarnya telah berkorban begitu banyak kepada DAP sehinggakan perjuangan ‘ultimate’ nya ia itu untuk membentuk kerajaan yang berteraskan islam sentiasa di jadikan alat untuk memberikan amaran kepada PAS walaupun mereka bersama dalam Pakatan Rakyat.

Jika ditanya sebabnya PAS mendapat kekurangan kerusi dalam pilihanraya 2008 berbanding dengan PRU 2003, ia adalah di sebabkan oleh rakan kongsinya sendiri. PAS telah dijadikan  sebagai parti pelapik oleh DAP dan juga PKR dan kesabaran serta kebaikan PAS itu diambil sebagai kelemahan oleh rakan-rakan kongsinya dalam Pakatan Rakyat. PAS telah dijadikan sebagai alas kaki kepada rakan-rakan kongsinya dan dalam masa yang sama pemimpin dalam gabungan itu sendiri membawa isu keagamaan dan isu rasis yang tidak berkesudahan dengan menuduh semua pihak rasis untuk menutupi sikap rasisnya sendiri.

Tetapi oleh kerana kelemahan UMNO dan BN sendiri tuduhan ini membuatkan mereka menjadi defensif dan tidak berdaya melawan ombak penentangan terhadap mereka. Kali ini sampai giliran PR pula menghadapi tanggapan yang mereka sedang berpecah seperti yang di alami oleh BN dahulu. Malahan mereka berpecah belum pun mendapat mandat di Putrajaya.

Kenyataan bersama Pakatan Rakyat semalam yang menjanjikan yang PR tidak akan berpecah dan tetap bersatu itu menunjukan lagi yang mereka sedang berpecah. Jika mereka benar-benar bersatu mereka tidak perlu membuat kenyataan seperti itu, tetapi kenyataan itu wujud setelah pucuk pimpinan parti-parti dalam PR itu serang menyerang di antara satu dengan lain.

Bersatunya pemimpin tidak boleh mempastikan dibawah akan bersatu sama sedangkan kekuatan kesatuan sesebuah parti itu letaknya di peringkat akar umbi. Baik dari BN mahu pun dari Pakatan Rakyat, pemimpin-pemimpin mereka terlalu ‘detached’ dengan akar umbi. Hanya PAS yang nampak hubungan yang berterusan dengan ahli bawahan kerana orang bawahan turut sama melakukan kerja politik melalui penglibatan Unit Amalnya yang begitu ramai diperingkat ranting parti itu.

Melalui penglibatan unit amalnya itulah yang membuatkan parti itu bertambah kuat selain dari kehadiran pimpinan parti itu secara berterusan di setiap ranting dan daerah. PAS tidak lagi parti yang pernah di tuduh sebagai parti yang bermusim.

Sesungguhnya Pakatan Rakyat tidak sekuat sokongan seperti setahun yang lalu. Masalah ‘inter-party’ begitu ketara dan dalam masa yang sama PKR berhadapan dengan masalah ‘intra-parti’ yang sehingga ini tidak dan masih belum selesai hasil dari kekecuhan semasa menyuarat agung tahun di banyak cabang parti itu.

Apabila masalah bertindih-tindih diantara masalah ‘inter-party’ dengan masalah ‘intra-party’ wujud, kecenderungan untuk ‘coalition’ ini bertambah lemah lebih besar dari kecenderungan untuk bertambah kuat.

Tidak terkejut jika apa yang ‘dikejar tidak dapat dan yang sedia ada akan berciciran’. Jika PAS bertindak untuk tidak bersama dengan Pakatan Rakyat lagi, ia bukanlah satu tindakan yang salah. Dengan kekecuhan ‘intra-party’ yang di hadapi oleh PKR sekarang ini, ia juga akan menjejaskan PAS secara ‘direct’. Malahan banyak pendapat yang menyatakan yang PAS sebenarnya boleh berdiri sendiri dan tidak aka nada elemen yang cuba membantutkan niat dan matlamat parti itu untuk Islam dan sebagainya.

Tidak akan ada lagi suara yang garang dalam pakatan parti-parti dalam PR itu membuat kenyataan tentangan kuat terhadap perjuangan parti itu sendiri. Tidak akan kita dengar lagi kenyataan ‘over my dead body’ jika PAS hendak kekal bersendirian untuk mewujudkan negara Islam itu.

Selalunya yang akan menjejaskan perjuangan parti itu ialah rakan kongsinya sendiri. Parti musuh tidak akan berjaya melakukan ‘insubordination’ terhadap PAS itu. Selalunya yang akan menjejaskan sesebuah parti itu ialah rakan kongsinya sendiri.

Tanda-tanda kebenaran itu semakin hari kian jelas dan tidak dapat di tutupi lagi. Dengan keadaan hari ini harapan PR untuk ke Putrajaya semakin hari semakin jauh. Walaupun ramai akan berada dalam ‘denial syndrome’ kenyataannya sama-sama kita lihatkan nanti. ‘Tidak akan lari gunung di kejar’.

Saya berharap pandangan saya ini adalah pandangan yang salah.

02 August 2014

Kita perlukan seorang 'planner' dan teknokrat berpengalaman untuk membawa politik baru

Terlalu kecuh pemikiran ramai berhubung dengan isu Khalid Ibrahim yang di desak untuk memberikan laluan kepada isteri Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor. Bermacam-macam cara masing-masing mempolimikan isu ini sehinggakan perhubungan diantara PKR dan PAS menjadi mangsanya. Ada suara yang mahukan PAS keluar sahaja dari Pakatan Rakyat kerana kenyataan TGHA, Presiden PAS yang mahukan Khalid dikekalkan.  

Pendeknya jika kesemua parti dalam PR untuk menurunkan Khalid, keadaan tidak akan menjadi sama lagi. Bolehlah mengambil gambar berpegang tangan dan mengangkatnya tinggi-tinggi di depan kamera media massa, diperingkat rakyat biasa keadaan akan tidak berubah dan kesatuan rakyat di belakang PR akan lemah dan tidak seiring dan selenggang lagi. Kesatuan mereka akan hanya satu kesatuan yang ‘superficial’ sahaja. Parut dari perselisihan diantara mereka dalam Pakatan Rakyat tetap ada dan akan memakan masa yang lama jika ia boleh dipadamkan.

Keadaan dan rasa curiga diantara satu dengan lain melibatkan rakyat seluruh negara. Nun di Sabah dan Sarawak pula sudah kedengaran dengan jelas seruan untuk kedua-dua negeri itu untuk berpisah dari Malaysia. Isu ini bukan isu kecil-kecilan yang boleh di diamkan sahaja. Ia memerlukan pencerahan yang cepat dan tepat. Perpisahan wilayah-wilayah dari sebuah negara itu bukan perkara yang ‘uncommon’. Kita mesti ingat jika ia boleh berlaku di negara lain, kita tidak boleh menganggap ia tidak boleh berlaku kepada kita.

Tetapi siapa yang akan berkemampuan untuk menyelesaikan masalah yang sangat merbahaya bagi sebuah negara yang di katakan berdaulat seperti negara kita? Siapa di pihak Kuala Lumpur mampu untuk membuat keputusan tepat bagi menangani isu berat ini?

Persoalan ini sangat penting kerana sesiapa yang bertindak untuk menyelesaikan kekusutan ini, ia memerlukan seorang yang berintergriti yang tinggi serta ‘magnanimity’ yang 'natural' dan dihormati oleh banyak pihak yang berbeza-beza pendapat ini. Pemimpin yang boleh menjayakan usaha ini bukannya pemimpin yang terlibat dengan terlalu banyak isu kelemahan peribadi dan berada dalam pertarungan politik yang membabitkan kredibiliti pemimpin tersebut.

Pemimpin yang terlalu pekat dengan perjuangan peribadi tidak mungkin berjaya menyatukan pemikiran yang berbelah-belah.  Pemimpin yang terlalu ‘parochial’ dengan wilayah dan jajahan masing-masing tidak mungkin berjaya jika diberikan tanggungjawab untuk memperbetulkan keadaan bahaya ini.

Apabila diberikan tanggungjawab menyatukan politik negara kepada mereka yang sedang berada di medan peperangan politik kepartian seperti sekarang ini, tidak mungkin dapat membuahkan keputusan yang berdaya maju. Ini ialah kerana segala keputusan mereka selalunya akan membawa isu parti dan wilayah masing-masing bagi mereka yang mempunyai sifat ‘parochial’ yang menebal.

Kita tidak mahu melihat pemimpin Sabah dan Sarawak yang hanya terlalu 'obsess' dengan negeri-negeri masing-masing di sana. Ia juga tidak boleh berjaya jika pemimpin dari Persekutuan Tanah Melayu terlalu bersifat ‘parochial’ yang menebal kerana ia akan hanya mewujudkan perasaan tidak puas hati dikalangan mereka dari Timur Malaysia itu.

Masalah ini masalah besar dan sesiapa yang mampu untuk menyatukan perhubungan diantara wilayah dan negeri dalam persekutuan ini hanyalah mereka yang memahami keadaan dan masalah-masalah yang ada ‘up to specific’. Apabila sudah memahami masalah secara terperinci segala masalah, barulah masalah-masalah dan kekusutan itu dapat di leraikan.

Pemimpin yang mempunayi ‘special relationship’ dengan semua pihak sahaja yang akan mampu untuk membawa ke meja perundingan mewakili setiap wilayah, bangsa dan politik yang ada dengan semangat cintakan penyatuan dan perpaduan. Pemimpin yang dipertanggungjawabkan itu seperti yang di sebutkan tadi memerlukan seorang yang ‘magnanimous’ dan mampu berdiri sendirian dalam isu-isu besar yang berbangkit nanti. Maksudnya ia mestilah seorang pemimpin yang tidak terikat dengan fahaman politik kepartian.

Kita tidak boleh memberikan tanggungjawab itu kepada pimpinan yang masih terikat dengan kemahuan peribadi mereka. Perubahan dan transformasi ini dan tidak boleh dilibatkan mereka yang terpalit dengan rasuah dan ‘nepotism’ serta mementingkan kehendak parti mereka sahaja. Kita tidak akan berjaya jika urusan untuk penyelesaian ini diberikan kepada mereka yang masih terlibat dengan kepentingan anak dan isterinya sahaja.

Pendeknya pemimpin itu mestilah pemimpin yang sudah menjadi ‘institution’ dan bukannya mereka yang masih bergerak merebut kuasa dengan cara terbuka. Itu sebabnya blog ini tidak pernah lupa menyebut dan berharap agar kita akan dibawa kepada ‘ambience’ politik yang baru bagi rakyat merasakan situasi yang baru yang lebih memberangsangkan kehidupan mereka.

Kita perlukan seorang ‘planner’ yang cukup ‘viable’ bukan sahaja yang berkemampuan untuk membawa poltik dan siasah yang baru yang boleh merangkumi masalah perlaksanaan yang betul dan adil. Isu GST merupakan isu yang sangat besar yang belum nampak jalan penyelesaiannya.

Maka hanya pemimpin yang saya katakan sebagai seorang ‘planner’ dan juga seorang teknokrat yang berpengalaman sahaja yang boleh membawa kita semua kepada ‘ambience’ politik yang baru. Kita mahu melupakan masalah-masalah yang terdahulu dengan penyelesaian yang rapi dengan dasar-dasar yang baru yang menyenangkan semua rakyat dan wilayah dalam persekutuan ini.


Jika tanggungjawab membawa pembaharuan ini di berikan kepada pemimpin dan ketua yang sedang ‘berperang’ politik, hasilnya adalah ‘predictable’….iaitu kegagalan. Rakyat akan terus tersepit dengan isu perbalahan yang kian hari kian menampakkan perpecahan yang tiada penghujungnya.