18 September 2014

Mat Taib minta PAS menjaga hati orang bukan Melayu, tetapi Melayu dipersendakan dia tak sedar

Bekas Menteri Besar BN Selangor, Muhamad Taib meminta PAS supaya jangan mengorbankan sokongan bukan Melayu terhadap PAS. Kenyataan ini menunjukkan yang masalah perkauman masih belum pergi kemana walaupun di pihak ‘alternative’ kepada BN tidak lekang melaungkan isu keperbagaian kaum di negara ini. Bagi Muhamad dan mereka yang serupa dengan beliau, PAS parti yang baru beliau sertai itu, mesti memikirkan sentimen bangsa dan perkauman dalam menentukan hala tuju PAS itu.

Jika sebenarnya Muhamad begitu kuat kemahuannya, apa yang menjadi masalah bagi PAS dan apa masalahnya bagi kaum-kaum lain untuk menyokong parti Islam itu? Semua yang bercakap tentang isu kepelbagaian kaum itu sekarang ini, hanya melaungkan retorik kosong kerana sesungguhnya dipihak Pakatan Rakyat sendiri memainkan isu ini dengan begitu hebat, malahan dijadikan isu perkauman ini sebagai landasan bagi mereka mendapat sokongan rakyat.

Kita faham yang kesatuan diantara kaum perlu ditunjukkan dan dipaparkan melalui berbagai bidang dan sektor penting kehidupan kita. Salah satu sektor yang dijadikan wadah perjuangan kita dahulu ialah penyertaan Melayu dan Bumiputra dalam bidang ‘commerce and industry’ melalui penyertaan berbilang kaum dalam pengurusan syarikat dan badan-badan korporat besar di negara ini.

Itu dasar yang telah lama digubal dan dilaksanakan dengan baik satu ketika dahulu. Perkara ini harus di fahami dahulu terutamanya kepada pemimpin-pemimpin Melayu dan bukan Melayu yang masih muda. Dasar ini digubal dengan persetujuan semua kaum dahulu dan pemimpin semua kaum telah ‘commited’ untuk melaksanakan dasar ini dengan telus dan jujur.

Hasil dari penggubalan dasar ini, setiap kaum begitu jujur dan bersemangat untuk menjayakannya dengan sepenuhnya kerana masing-masing mengakui yang bidang ini perlu dilihat dan terlaksana dasar ini semata-mata untuk melihatkan penglibatan semua kaum dengan saimbang dalam pengurusan dan pentadbiran badan-badan swasta dan syarikat besar-besar khususnya yang tersenarai dalam Pasaran Saham Kuala Lumpur.

Tentulah Bukan Bumiputra yang sepatutnya memberikan sokongan kuat terhadap dasar ini kerana bangsa yang majoriti di negara ini tidak boleh diabaikan untuk mempastikan kestabilan negara dan mencapai idaman kerajaan untuk membentuk perpaduan kaum itu. Kita tahu dan menerima yang ‘national unity’ adalah ‘ultimate’ bagi mana-mana negara berdaulat yang mempunyai berbagai-bagai kaum di dalamnya. Matlamat semasa itu ialah untuk membina rakyat berbilang kaum yang ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ yang menghasilkan kerukunan hidup dalam negara yang sebenarnya merdeka.

Yang masih muda atau mereka yang belum lahir elok jangan terus melompat dan membidas saya kerana pandangan saya ini. Saya selalu berkata kita (negara) pernah berada di dalam situasi politik dan berbaik sangka yang kuat semasa itu dan saya akan menyebutnya sedikit dengan tujuan untuk bersama-sama kita merenungi dan cuba merasakan keseronokan kami semasa itu.

Peningkatan suasana perpaduan diantara kaum itu sangat dirasakan dengan masing-masing memberikan komitmen dan keyakinan terhadap dasar yang digubal dan ketelusan pemimpin semua kaum semasa itu. Banyak diantara gedung-gedung perniagaan dan syarikat-syarikat besar dalam negara kita telah mewujudkan ‘Management trainee programme’ dalam syarikat-syarikat besar dan gergasi untuk melatih Bumiputra yang tatkala itu masih terlalu berkurangan di pasaran kerja negara.

Kita telah melihat kejayaannya dan dalam beberapa tahun sahaja kita telah melihat begitu banyak syarikat-syarikat yang dikuasai oleh Bukan Bumiputra telah menampakkan penyertaan yang agak seimbang di dalam tahap pengurusan syarikat-syarikat tersebut. Sangat berbangga sesiapa yang masih ingat tentang keadaan yang memberangsangkan  ini.

Tetapi keadaan ini tidak disuburkan lagi pada tahun lapan puluhan kerana kerajaan lebih menumpukan kepada pembangunan yang cepat dan deras dan mengambil tanggungjawab untuk membina apa yang sedang nampak kejayaan itu amat berat bagi pimpinan semasa itu, maka dasar yang sempurna ini diabaikan terus.

Tiada siapa lagi yang membuat pantauan terhadap isu penyertaan Bumiputra dalam isu ini kerana kerajaan terlalu fokus kepada perkembangan industri yang ‘obsessive’ sehinggakan menggagalkan segala dasar dan program ‘economic and social engineering’ yang telah pesat perkembang semasa itu.

Sekarang kita dengan mudah melihat paparan iklan-iklan untuk pekerjaan yang telah menjadikan bahasa Mandarin yang fasih sebagai syarat untuk diambil sebagai kakitangan eksekutif dalam banyak syarikat dan ini merupakan satu kaedah menyekat kemaraan Bumiputra dalam bidang ‘commerce and industry’ tadi. Malahan dalam syarikat-syarikat awam yang dikuasai oleh kaum Bukan Bumiputra tidak mempunyai eksekutif Bumiputra lagi, lantaran menggagalkan niat dan ‘ultimate’ kita untuk menyaksikan keseimbangan dalam pengurusan syarikat dan korporat besar-besar dinegara ini.

Oleh itu elok kita berikan peringatan kepada Muhamad Taib supaya berfikir secara adil dan saksama jika beliau benar-benar seorang yang prihatin terhadap kepelbagaian kaum ini. Kata-kata beliau itu betul tetapi asas bagi beliau untuk memberikan amaran kepada PAS itu sangat longgar jika beliau memahami apa yang telah terjadi kepada Bumiputra dan melayu dalam sektor yang saya sentuh ini.

Muhammad Taib patut meminta DAP memperjuangkan kepelbagaian kaum dalam sektor ini dan jangan setakat meriuh rendahkan slogan kepelbagaian kaum sahaja sedangkan mereka melelapkan mata melihat salah satu dari kaum dan yang terbesar dinegara ini dipermainkan semata-mata kerana pemimpin kerajaan yang Melayu diatas sana telah buta hati dari melihat bagaimana kaum Melayu dan Bumiputra di persendakan dalam sektor ini.

Katakan kepada DAP kalau parti itu benar-benar ‘racial blind’, kenapa mendiamkan diri sahaja dengan kejadian ini, sedangkan bagi mana-mana pemimpin yang faham politik di negara ini, negara tidak akan aman tanpa penyertaan seimbang dalam sektor ‘commerce’ dan industri ini.

Jangan cari kesalahan PAS sahaja kerana rakan-rakan PAS juga tidak lekang dari kesalahan yang lebih besar lagi. Tetapi oleh kerana pemimpin Melayu macam Mat Taib itu sentiasa tidur sejak dari dulu maka apa yang dilakukan oleh setengah pihak kepada Melayu itu tidak di sedari oleh semua termasuk Mat Taib sendiri.

Perkara ini sekarang tidak ada siapa yang menyebutnya maka itu menjadi ‘advantageous’ kepada Bukan Bumiputra kerana mereka tahu semua pemimpin Melayu dan Bumiputra sedang tidur nyenyak tidak dapat dibangunkan sampai sekarang.

Baru-baru ini Khairy Jamaludin pernah menyuarakan isu ini, tetapi sekarang isu yang beliau sebut itu telah mati dan tidak menguit lagi. Apa tindakan susulan terhadap isu yang beliau bangkitkan itu hanya Tuhan sahaja yang tahu atau dalam bahasa yang pendeknya berbunyi ‘wallahualam!’

17 September 2014

Peringatan TGNA tentang dunia dan akhirat kepada UMNO itu salah sasaran

Tok Guru Nik Aziz mempersoalkan kenapa Sarawak dapat royalti minyak, Sabah pun dapat. Begitu juga Terengganu. Kenapa Kelantan ada JPP (Jabatan Penyelaras Persekutuan) sedangkan rakyat Kelantan ada kerajaannya. Kenapa JPP wujud untuk memberikan wang ehsan kepada rakyat Kelantan. Jika royalti minyak diberikan mengikut perjanjian dahulu, orang Kelantan tidak payah diberikan wang ehsan.

Perjanjian pada 1975 dahulu jelas Kelantan mempunyai hak sebanyak 5 peratus dari hasil jualan minyak yang keluar dalam perairan Kelantan berdasarkan kepada harga F.O.B sebanyak dua kali setahun, setiap awal bulan Mac dan bulan Septembar secara tunai. Wang royalti itu sepatutnya dibayar kepada kerajaan pilihan rakyat Kelantan.

TGNA berkata tindakan Kerajaan Pusat itu tidak berkat dan berdosa di dunia dan akhirat. Kata-kata Nik Aziz ini betul dan benar, tetapi salahnya beliau mencari sasaran yang salah dalam menyebut dunia dan akhirat tadi. Mana UMNO faham apa yang TGNA cakap itu. Mana UMNO berfikir tentang dunia dan akhirat ini?

Bagi UMNO dunia pun tidak ada, akhirat pun tidak ada. Bagi mereka ‘at all costs’ kuasa mesti dipertahankan, tanpa mengira hal moral dan agamanya, maka manakan mereka sensitif jika TGNA menyebut tentang dunia dan akhirat itu?

Mereka tahu yang mereka (Kerajaan Persekutuan) mempunyai tanggungjawab untuk memenuhi janji-janji itu tetapi mereka sengaja tidak mahu memenuhi tuntutan itu kerana rakyat Kelantan memberikan sokongan kepada PAS. Dalam perjanjian itu tidak disebut samada pembayaran royalti itu hanya kepada kerajaan yang dikuasai oleh UMNO.

Satu lagi perkara yang rakyat perlu tahu semua negeri-negeri dalam Persekutuan kita ini mempunyai perjanjian yang sama walaupun negeri-negeri tersebut belum menghasilkan minyak. Perjanjian yang sama ditandatangani diantara Petronas dengan Negeri Selangor, Negri Sembilan, Johor dan lain-lain negeri dalam Persekutuan ini.

Perjanjian itu bukan setakat diperairan negeri-negeri tetapi ia juga termasuk minyak yang dijumpai di daratan. Maknanya jika suatu hari nanti terjumpa minyak di Bahau misalnya, Petronas wajib membayar royalti itu kepada kerajaan Negeri Sembilan kerana perjanjian itu sudah tersedia ditandatangani dengan semua negeri pada tahun 1975 yang lalu.

Tetapi Kerajaan Pusat memilih untuk tidak mahu memenuhi tuntutan oleh Negeri Kelantan kerana negeri itu adalah negeri yang dikuasai oleh PAS.

Oleh yang demikian kata-kata TGNA itu betul dan benar, tetapi mereka di Putrajaya itu ambil pedulikah tentang dunia dan akhirat ini? Jawabnya tidak!!

Justeru TGNA hanya membuang tenaga menyebut perkara yang tidak mahu difahami atau dipedulikan oleh Putrajaya. Putrajaya hanya perlukan kuasa dan menggunakan kuasa itu dengan sewenang-wenangnya.

Saya percaya pemimpin-pemimpin Persekutuan di Putrajaya tidak tersentuh pun hati dan jiwa mereka apabila TGNA menyebut tentang pembalasan di akhirat itu. TGNA hanya membuang tenaga dan masa secara percuma sahaja menyebut isu dunia akhirat itu. kepada Putrajaya.

Mereka tidak tahu apa yang akan dihadapi diakhirat nanti kerana mereka belum sampai lagi ke akhirat. Apabila sudah sampai nanti baru lah mereka tahu. Pendeknya semua akan tahu tentang dunia akhirat ini.

Perbezaannya hanyalah setengahnya tahu tentang dunia akhirat ini sebelum mati, setengah yang lain hanya tahu adanya akhirat ini setelah mati.

15 September 2014

Meminta memenuhi perjanjian bukannya tindakan tidak bertamaddun

Isu royalti minyak untuk Kelantan bergema kembali. Mustapha Mohamad dan pimpinan tertinggi UMNO masih tidak mahu mengakui yang royalti minyak itu perlu dibayar kepada rakyat Kelantan mengikut perjanjian yang di tandatangani pada bulan Mei 1975 dahulu diantara Petronas dan Kerajaan Negeri Kelantan. Petronas di wakili oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan Kelantan di wakili oleh Menteri Besarnya iaitu Datuk Mohamad bin Nasir.

Perjanjian dua muka itu jelas yang Petronas diberikan kebenaran untuk menggunakan perairan Kelantan untuk mengeluarkan minyak buat selama-lamanya dan Petronas dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan sebanyak 5 peratus dari pengeluaran minyak itu mengikut harga FOB sebanyak dua kali setahun secara tunai.

Pembayaran itu dilakukan pada setiap 1hb Mac dan 1hb September setiap tahun. Perjanjian ‘vesting deeds’ itu terlalu ‘simple’ untuk difahami dan jika Petronas dan kerajaan Persekutuan tidak memahaminya lagi, nyatalah yang royalti minyak ini dijadikan isu politik oleh BN.

Perjanjian itu dimeterai diantara Petronas dengan semua kerajaan-kerajaan negeri walaupun negeri-negeri yang belum mengeluarkan minyak. Itu jugalah perjanjian yang ditandantangani oleh Petronas dengan Kerajaan-Kerajaan Sabah dan Sarawak, dan kerajaan Sabah dan Sarawak sekarang sedang menerima secara tunai pembayaran royalti itu.

Bukti apa yang Muhyidin dan Mustapha Mohamad mahukan. Takkan lah mereka berdua ini tidak tahu membaca walaupun perjanjian yang dirangka oleh Tun Salleh Abas itu adalah satu perjanjian yang sangat mudah untuk difahami. Kalau hendak berbohong itu, janganlah sampai menjejaskan imej mereka sebagai pemimpin yang tidak mempunyai kemampuan untuk memahami perjanjian yang begitu senang dan mudah untuk difahami.

Apa jawatankuasa lagi yang perlu dibentuk? Perjanjian itu sudah di meterai. Mustapha Mohamad berkata kalau hendak berunding buatlah cara yang bertamaddun, sambil memaksudkan yang PAS tidak bertamadun. Tamadun apa yang Mustapha nak sebutkan itu, sedangkan beliau tidak mahu memahami perjanjian yang begitu ‘simple’ untuk difahami. Tidak tahu membaca lebih buruk lagi dari tidak bertamadun.

Pihak yang tidak mahu memenuhi perjanjian yang telah dipersetujui itu lebih buruk tamaddun nya dari pihak yang memahami isu kandungi perjanjian itu. Meminta untuk memenuhi perjanjian itu bukannya tindakan tidak bertamaddun, tetapi sebaliknya pihak yang tercari-cari jalan untuk tidak memenuhi perjanjian itulah yang tidak bertamaddun.

14 September 2014

BN/UMNO, terlalu banyak bebanan, PR/PKR lagi besar bebanannya

PM Najib telah memberikan kritikan terhadap Pakatan Rakyat dan memberikan contoh apa yang berlaku di Selangor sebagai contoh yang Pakatan Rakyat gagal untuk menjadi ‘alternative’ kepada Barisan Nasional (BN). Katanya lagi yang Pakatan Rakyat telah gagal dalam laungan retorik mereka kehulu kehilir yang mereka adalah pejuang kepada perpaduan ummah dan kesatuan rakyat yang berbilang kaum dinegara ini dan berusaha untuk mengalihkan sokongan rakyat dari BN kepada mereka, tetapi nyata usaha mereka gagal.

Sebenarnya BN itu merupakan ‘coalition’ yang telah di bentuk oleh pemimpin yang terdahulu dari pimpinan hari ini, dan kewujuduan BN itu telah membina banyak persefahaman yang baik dikalangan berbagai kaum di negara ini. Kalau tidak masakan ‘coalition’ itu berjaya menyambung mandat sebegitu lama dan belum lagi pihak pembangkang berjaya menundukkan mereka setakat ini.

Tetapi BN yang sekarang telah terbeban dengan berbagai masalah kerana pemimpin-pemimpin mereka yang terlalu membebankan BN itu sendiri dengan bebagai-bagai macam isu yang buruk yang dihadapi oleh mereka.

Tetapi oleh kerana mereka penyandang kepada kuasa pemerintahan maka setakat ini belum lah lagi berpeluang bagi Pakatan Rakyat untuk menggantikan BN sebagai kerajaan di Putrajaya walaupun sudah berjaya sedikit sebanyak mendapat kejayaan berkuasa dalam beberapa kerajaan negeri-negeri dalam persekutuan ini.

BN sememangnya satu ‘coalition’ yang kuat yang terbentuk menyambung peranan ‘coaliton’ yang terdahulu iaitu Perikatan dengan menambah bilangan parti-parti yang menyertainya kepada 14 buah. Tetapi penerusan mandat yang diterimanya dari rakyat telah memnbuatkan BN itu sebagai satu buah parti yang begitu lemah dari segi perjuangannya kerana pemimpin-pemimpin yang mewarisi parti-parti di dalamnya sudah kehilangan punca dan arah.

Mereka menganggap sokongan ramai selama ini sebagai kelemahan dan tidak lagi pemimpin-pemimpin di dalamnya berfikir untuk memperkuatkan asas perjuangan parti itu dan yakin sokongan itu adalah satu yang pasti diperolehi tanpa perlu menunjukan daya kepimpinan yang baik.Mereka boleh menggunakan akta-akta yang karut marut untuk dikenakan kepada pihak yang mengintai untuk mengambil alih kuasa dari mereka.

Rasuah sudah dibudayakan, salah guna kuasa itu pun sudah dijadikan perkara yang halal serta memerangi mereka secara tidak adil mereka tidak bersetuju dengan mereka itu satu perkara tidak lagi menjadi kesalahan lagi. Apabila berkata-kata tidak perlu lagi berfikir panjang dan boleh mengata apa yang mereka suka dikhalayak ramai.

Baik pemimpin yang sedang berkhidmat mau pun dari mereka yang sudah bersara, mereka tetap aktif berpolitik semata-mata kerana BN khususnya UMNO itu adalah tempat mereka untuk memenuhi nafsu nafsi mereka semata-mata.

Tetapi dalam kelemahan mereka itu, mereka tetap selamat dipesada kuasa kerana kelemahan pihak pembangkang untuk menjadi ‘alternative’ yang baik dan bersungguh. Pihak yang membangkang juga tidak mempunyai nilai-nilai kepimpinan dan perjuangan yang betul untuk menjadi pilihan kepada BN yang sedang menghadapi masalah besar baik dikalangan parti-parti di dalamnya. Di sebaliknya parti-parti di dalam Pakatan Rakyat yang melaungkan perpaduan diantara kaum dan agama, ketelusan pentadbiran yang memperjuangkan segala-gala yang baik itu rupa-rupanya lebih buruk dari apa yang berlaku di dalam BN itu.

Belum pun sempat kePutrajaya mereka sudah melakukan penyembelihan politik sesama mereka dan telah mencicirkan semua yang dilaungkan mereka. Tidak dapat dibayangkan jika mereka mendapat mandat untuk berkuasa di Putrajaya dalam pilihanraya yang lepas. Maka kekalahan mereka dalam pilihanraya yang lepas itu merupakan hikmah besar buat rakyat dan biarlah kita menanggung masalah-masalah yang sama yang kita hadapi sekarang ini.

Yang pentingnya UMNO dan BN wajar memperbaiki dan mengambil iktibar dengan kesusahan yang mereka lalui dengan mencari kepimpinan yang lebih berguna bagi UMNO itu. Najib mempunyai masalah untuk melepaskan jawatannya itu kerana beliau juga mempunyai banyak kesalahan yang tidak terhingga besarnya dalam erti hakikat dan kesalahan kepimpinannya. Maka Hishamudin perlu mengambil tempat beliau untuk melindungi isu-isu yang terlau berat untuk dilepaskan kepada orang yang bukan dari keluarganya.

Jika Tun Razak meninggalkan kepimpinan negara kepada birasnya Hussein, Najib sedang bersedia untuk bersara tetapi jelas beliau pula mahu memberikan kepimpinannya itu kepada sepupunya Hishamudan seorang ‘biological son’ Hussein Onn tadi. Yang dulunya Razak memberikan pimpinan kepada Hussein, kali ini Najib Razak pula mahu kepimpinannya di serahkan kepada Hisham Hussein. Itu sudah menjadi pengetahuan umum.

Itu juga yang berlaku dalam Pakatan Rakyat. Jika Tun Razak sudah meninggalkan dunia ini selama 33 tahun sebelum anaknya menjadi Perana Menteri, Anwar pula jika mendapat kuasa tidak perlu meninggal dunia dahulu, dari awal lagi mahu meninggalkan waris kepimpinan kepada isterinya dan yang sedang menunggu seorang anaknya yang telah pun sampai ke Dewan Legislatif negara.

Sesungguhnya apa yang dikatakan oleh Najib terhadap pembangkang itu semuanya betul, dan di sebaliknya apa yang dituduh oleh Pakatan Rakyat terhadap Najib itu pun betul. Itu yang meyebabkan negara kita menjadi demikian rupa. Jika salah satu pihak itu betul kita boleh memberikan sokongan kepada pihak itu tetapi oleh kerana kedua-duanya itu sama seperti yang mereka terhadap lawannya, itulah yang menjadi delimma rakyat pada hari ini.

Sesungguhnya kedua-dua pihak baik BN mahu pun Pakatan Rakyat itu adalah dua parti yang baik tetapi parti-parti ini diperguna oleh pimpinan masing-masing seperti dahan bengkok, tempat kera-kera dan monyet-monyet meniti untuk menyeberang, itu sahaja.

Pihak mana pun yang mengambil alih tidak akan bertemu dengan penyelesaian terhadap isu-isu negara.

Kita memerlukan seorang pemimpin baru (bukan parti) yang berpengalaman dan tidak mempunyai ‘baggage’ besar pada dirinya untuk membetulkan apa-apa perkara yang tidak betul kepada negara.

Situasi sekarang amat serius dan rakyat serta sesiapa yang mempunyai perasaan tanggungjawab terhadap negara akan memulakan sebuah negara yang baru siasahnya dan pelan-pelan yang memulakan kita berada dalam ‘ambience’ politik yang baru.