14 October 2014

Harga bahan bakar naik, harga cendul Bakar Kuala Selangor turun

Sekarang ini cendul merupakan produk yang sama kategorinya dengan bahan bakar petrol dan diesel. Jika harga minyak naik nasihat Menteri Hasan Malek semua pihak mesti mengikut langkah cendul Bakar di Kuala Selangor menurunkan harga jualan cendulnya sebanyak 0.20 sen. Pendeknya jika naik harga minyak, semua penjualan barangan dan perkhidmatan perlu menurunkan harga jualannya.

Rupa-rupanya baru sekarang kita ketahui yang cendul itu merupakan barangan keperluan untuk hidup, seperti petrol, tanpa petrol tidak dapat menyambung hidup dengan sempurna. Nasihat Menteri ini selalunya menggelikan hati dan saya secara peribadi sentiasa tertunggu-tunggu untuk mendengar nasihat beliau yang pelik dan kadangkala amat menghiburkan hati yang tidak dapat ditahan-tahan.

Saya berharap perkhidmatan bas dan keretapi juga akan menurunkan tambangnya dengan kenaikan harga bahan bakar sekarang ini. Teksi juga perlu menurunkan harga tambangnya dari sekarang untuk menyambut dan memberikan reaksi dengan kenaikan harga petrol dan diesel ini bagi mengikut contoh penjual cendul Bakar di Kuala Selangor itu.

Kalau pemandu teksi ditanya oleh pengguna perkhidmatannya kenapa harga tambang sudah turun, hanya jawab yang tindakannya menurunkan harga tambang itu ialah diatas nasihat Menteri Hasan Malek untuk mengikut contoh penjual cendul Bakar di Kuala Selangor yang menurunkan harga cendulnya sebanyak 0.20 sen semangkuk.

Kepada Menteri ini, dengan penurunan harga cendul Bakar Kuala Selangor itu ia akan mengurangkan tahap inflasi negara, dan jika semua mengikut nasihat beliau sudah tentu keadaan ekonomi negara akan bertambah baik. Formula ekonomi Hasan Malek ini, lagi petrol dan diesel serta bahan bakar yang lain naik semua mesti menurunkan harga jualan produk-produk dan perkhidmatan mereka.

Kita tunggu berapa ramai lagi akan mengikut nasihat Menteri ini kerana nasihat beliau ini terlalu lain dari yang lain dan terlalu pelik untuk didengar dan diterima, setidak-tidaknya oleh diri saya sendiri. 

Selalunya harga bahan bakar menjadi penentu harga barangan keseluruhannya, tetapi Menteri ini berpendapat yang harga cendul merupakan barometer yang terbaik untuk menentukan tahap harga bahan keperluan kehidupan kita.

10 October 2014

Pembentangan Bajet, dan pujian 'cendiakawan-cendiakawan' negara

Petang nanti, jika kita tidak ada apa rancangan untuk melakukan apa-apa program keluarga, kita boleh mendengar ucapan pembentangan bajet bagi tahun 2015 oleh Dato Seri Perdana Menteri Najib di Parlimen. Pembentangan bajet ini adalah satu yang dilakukan setiap tahun untuk memberitahu rakyat jumlah akan dibelanjakan untuk pengurusan negara dan jumlah wang yang akan diperuntukan untuk pembangunan negara bagi tahun hadapan, dan ianya perlu diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara kita.

Kita tidak tahu apa yang akan dibentangkan oleh Najib, apakah insentif-insentif untuk rakyat dan bagaimana kerajaan akan mendapatkan sumber kewangan bagi menguruskan kerajaan dan pembangunan negara keseluruhannya. Setiap tahun, kecuali semasa kita ditadbir oleh Mageran dahulu, kita dibentangkan dengan belanjawan negara dan setiap pembentangan bajet itu adalah untuk kebaikan rakyat dan negara.

Selalu dan biasanya Menteri Kewangan akan membentangkan cadangan untuk diluluskan oleh Parlimen bagaimana kerajaan mendapatkan sumber kewangan, dan apa-apa yang perlu seperti yang mana satu cukai yang akan diturunkan dan yang mana yang dinaikkan atau yang akan dimansuhkan mengikut perincian dan pertimbangan kerajaan untuk menghadapi rakyat dalam isu perbelanjaan negara pada tahun berikutnya dan dalam kes ini ialah bagi tahun 2015 nanti.

Tetapi yang pastinya sebahagian dari tindakan kerajaan dalam bajet tahun hadapan sudah pun dilaksanakan dengan menghapuskan subsidi bahan bakar sejak dua minggu yang lepas. Kenaikan harga petrol dan diesel dua minggu yang lepas sudah menunjukan yang kerajaan yang berslogankan ‘rakyat didahulukan’ sedang menghadapi masalah untuk mengekalkan subsidi bahan api itu sehinggakan telah dihapuskan subsidi bahan api ini sebanyak 0.20 sen bagi satu litre.

Slogan ‘rakyat didahulukan’ itu sesungguhnya dilaksanakan dengan mendahulukan rakyat untuk menanggung masalah di atas kekurangan sumber kewangan negara kita sekarang ini. Apabila masalah kewangan negara meruncing rakyatlah yang mendahului membayar kekurangan dan mengorbankan apa yang sedia dinikmati mereka. Dalam mereka sedang dihimpit dengan kos kehidupan yang sangat tinggi, rakyatlah yang didahulukan untuk menanggung beban kerajaan sekarang ini. Seorang Menteri yang paling lucu, Hasan Malek telah meminta rakyat bersyukur dengan kenaikan harga petrol dan diesel itu. Pandangan Menteri ini sungguh melucukan dan jangan diambil hati dengan kata-katanya itu.

Kita tidak tahu apakah kandungan ucapan Najib petang ini tetapi yang pastinya pihak media, terutamanya pihak media perdana sudah siap dan lengkap persediaan mereka untuk membariskan orang-orang yang bergelar dan bernama seperti professor-professor dan ahli perbankan yang terkenal di dalam negara ini. Mereka akan ditampilkan di khalayak ramai melalui kaca-kaca TV dari berbagai-bagai saluran untuk memuji dan menganggap apa yang akan dibentangkan petang ini merupakan satu bajet yang terbaik sejak negara merdeka.

Itulah yang selalu berlaku setiap tahun, bajet setiap tahun itu adalah bajet yang terbaik dari tahun-tahun atau pemimpin-pemimpin sebelumnya sejak merdeka dahulu. Professor-professor yang akan tampil dikaca TV pun sudah boleh diagak kerana itu sahajalah muka-muka yang akan ditonjolkan oleh media perdana kita dan mereka yang memuji itu pun sedang merangka strategi bajet pembangunan diri mereka masing-masing untuk tahun-tahun yang akan datang. Kesempatan itu akan mereka gunakan untuk menggeli pundi-pundi pemimpin yang membentangkan bajet itu walaupun belum pun berkesempatan untuk membaca teks ucapan yang panjang berjela-jela itu.

Walau bagaimana pun kita tunggu sahaja ucapan pembentangan bajet petang ini jika ada kelapangan. Kepada mereka yang sibuk dengan usaha untuk mencari rezki keluarga dan tidak ada masa untuk mendengar ucapan itu, elok teruskan sahaja tindakan mencari penghidupan kita kerana apa yang akan dibentangkan itu adalah ‘predictable’ bagi setengah pihak dan tidak ada apa-apa ‘consequence’ yang memberikan keuntungan kepada rakyat biasa seperti kita ini.

Pembentangan bajet hari ini merupakan satu ‘ritual’ tahunan sahaja tanpa mempunyai ‘consequence’ yang besar kebaikannya terhadap rakyat dan negara. Itulah yang terjadi setiap tahun. Jika kita hendak mendengar yang baik tontonlah pendapat ‘cendiakawan-cendiakawan’ dari universiti-universiti tempatan petang dan malam ini nanti.

Kita akan mendengar bajet hari ini sebagai bajet mesra rakyat, bajet yang terbaik dalam sejarah negara, bajet yang akan memberikan keuntungan kepada rakyat biasa, pemberian BRIM itu menunjukan kerajaan prihatin tentang masalah mereka, dan berbagai-bagai lagi pujian dari ‘cendiakawan-cendiakawan’ yang selalu dipanggil ke studio-studio TV untuk memuji dan menyokong bajet yang dibentangkan oleh Najib nanti.

Jika kita mahu, ‘template-template’nya boleh ditulis sekarang ini, tetapi kalau ditulis, takut pula ramai yang tidak seronok mendengar komen-komen mereka nanti.

03 October 2014

Yang tidak berkepimpinan, jangan berkeliaran di Putrajaya lagi

Harga petrol dan diesel naik lagi hasil dari penarikan balik subsidi bahan api oleh kerajaan sebanyak 0.20 dua hari yang lepas. Belum lagi kita dapat menerima pengenalan GST tidak berapa lama lagi kita dibebankan dengan kenaikan harga bahan api sebanyak 0.20 bagi setiap litre.

Kita bukan tidak menerima hakikat yang akhirnya nanti kita tidak akan dapat mengelak dari penarikan kembali subsidi bahan api ini, tetapi ia dilakukan diwaktu subsidi ini perlu dikekalkan buat sementara waktu kerana rakyat sedang dalam kesusahan yang keterlaluan sekarang ini.

Dalam keadaan harga minyak dunia sedang dalam keadaan menurun sejak beberapa tahun yang lalu kita menaikan harga ‘retail’ bahan api ini tidak henti-henti. Ini bukan masalah kita mahu subsidi itu kekal, tetapi ia adalah masalah waktu dan cara harga bahan api ini dinaikkan.

Sejak 2009 begitu banyak subsidi telah ditarik balik. Nampaknya kerajaan tidak mempunyai keupayaan untuk menambah pendapatan untuk menyelenggarakan negara dengan kadar yang baik dan terpaksa menyelindungi kelemahannya dengan menarik balik subsidi bahan api ini.

Kini rakyat bukan meminta tambahan subsidi tetapi sekadar mengekalkan subsidi itu di peringkat yang ada kerana waktu dan ketika ini rakyat sedang berperang dan berjuang untuk mengendalikan kehidupan dalam keadaan yang tersangat sempit ini.

Kerajaan sepatutnya buat sementara ini menyelesaikan masalah rakyat yang terhimpit dengan kesempitan ini dahulu, bukannya menggunakan rakyat untuk menyelesaikan masalah kerajaan yang boros dan tidak berbelanja dengan telus seperti yang difahami oleh ramai sekarang ini.

Apabila kerajaan bermasalah sahaja, maka rakyat terpaksa menanggung kelemahan kerajaan menguruskan perbelanjaan negara sedangkan kerajaan tidak pernah menyedari yang rakyat telah berkorban dengan membenarkan subsidi bahan api ini ditarik balik beberapa kali dalam tempoh setahun dua ini.

Yang bermasalah sekarang ini bukannya rakyat, tetapi yang mempunyai masalah sekarang ialah kita mempunyai pemimpin yang bermasalah besar. Pemimpin kita semuanya adalah dari golongan yang keliru, tidak tahu bagaimana dan cara mana mereka berada di atas sana dan memimpin kita dan negara.

Kita tidak ada ‘planner’ yang baik untuk menyusun dan mengendalikan isu kekurangan pendapatan kerajaan dengan mencari sumber lain selain dari memberikan tumpuan menarik balik subsidi yang sudah begitu besar sejak beberapa tahun yang lepas ini. 

Najib sepatutnya berhenti buat seketika bercakap bergegar-gegar hendak membawa negara ini kepada sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 sedangkan rakyat di bawah ini sedang bergelumang dengan kehidupan yang sempit dan memeritkan ini. Najib lebih mementingkan populariti peribadi beliau daripada menangani masalah rakyat yang lebih dari 70% yang berada di bawah purata pendapatan RM3000 sebulan ini. Cerita hendak menaikkan tahap negara berpendapatan tinggi, buat sementara ini masih lagi cerita dongeng Najib ‘and geng’ yang begitu sarat dengan dongengan itu.

Najib sepatutnya bercakap mengikut kadar yang sepatutnya sahaja dan elakkan diri dari hanya berucap tanpa mempunyai asas kukuh untuk mengaku yang negara kita bakal menjadi negara maju menjelang tahun 2020 nanti. Najib nampaknya bukannya memimpin negara dengan bermodalkan kepada kebijaksanaan atau kemampuan untuk membuat perancangan baik untuik rakyat, tetapi hanya bersandarkan kepada populariti beliau di dalam UMNO sahaja.

Najib jelas mempunyai lidah yang terlalu pantas dari pemikirannya. Najib sepatutnya sekarang berdiri di atas pentas dan mengumumkan yang beliau tidak lagi berdaya untuk menguruskan negara dan mengaku sahaja yang beliau telah gagal dalam serba serbinya dan mengumumkan apa yang sepatutnya yang beliau perlu lakukan.

Jika beliau menyedari keadaan itu, dan mengambil keputusan untuk mengangkat bendera putih dan bersara, maka semua barisan kepimpinan di bawahnya juga sepatutnya turut serta bersara dan memberikan rakyat membuat pilihan yang lain.

Kerajaan sekarang tidak sepatutnya bertahan lagi kerana jika diteruskan juga bertahan dengan memaksa rakyat untuk berkorban terus-terusan, maka kita berada dalam sebuah negara yang akan lumpuh dalam tidak berapa lama lagi. Najib tidak berhenti-henti bercakap tentang ekonomi, satu subjek  ‘which he knows too little’. Nampaknya beliau sama sahaja seperti kemampuan rakyat biasa seperti saya ini.

Takkanlah kerajaan sekarang hanya mempunyai satu kemahiran sahaja dalam kepimpinannya, iaitu untuk menarik subsidi sahaja untuk menyelesaikan masalah kewangan negara.

Kita tidak tahu apakah peranan yang dimainkan oleh Ahli-Ahli Legislature Negara kerana membiarkan Ketua Kerajaan Persekutuan ini masih dibiarkan berkeliaran (loitering) di Putrajaya itu hanya untuk mengelirukan rakyat. Tidak bolehkah mereka yang berada di peringkat Dewan Legislatif Negara melakukan sesuatu yang drastik dan berani untuk mencari kepimpinan yang mampu untuk memahami keadaan rakyat yang sangat terhimpit kehidupan mereka ini?

Tidak adakah di kalangan mereka ini mengenepikan sedikit masa untuk berfikir untuk membantu rakyat yang dalam keperitan ini? Bukankah berfikir sejenak itu lebih baik dari beramal sepanjang malam?

Najib, Muhyidin dan lain-lain di atas itu patut berkorban untuk rakyat. Berkorban bukan hanya dengan memegang jawatan. Meletakkan jawatan untuk kepentingan negara juga adalah pengorbanan.

Elok letak jawatan sekarang daripada diletakkan jawatan mereka ini oleh rakyat dalam pilihanraya yang akan datang. Pemimpin kerajaan (UMNO) sekarang ini jangan mengekalkan kuasa semata-mata disebabkan kekalutan yang sedang berlaku di pihak pembangkang sekarang sahaja.

01 October 2014

Azmin akan menghadapi cabaran besar

Anwar dengan penuh ‘politeness’ telah memberitahu kita secara halus yang beliau lah yang berkuasa di Selangor. Anwar telah mengumumkan yang beliau telah meminta atau mengarahkan Menteri Besar baru untuk membongkar semua ‘salah laku’ semasa Khalid menjadi Menteri Besar dahulu.

Ada dua perkara pokok yang terlihat dengan kenyataan Anwar itu. Pertamanya beliau telah memberitahu kita rakyat biasa ini yang beliau sudah merasa ‘enlightened’ dengan perlantikan Azmin Ali sebagai Menteri Besar kerana beliau boleh mengarahkan Azmin untuk melakukan sesuatu yang beliau kehendaki. Ini tidak dapat dirasanya semasa Khalid menjadi Menteri Besar dahulu.

Maka nyata yang matlamat untuk meletakkan isteri beliau menjadi Menteri Besar itu adalah masalah kuasa, tidak kira secara ‘direct’ atau secara ‘indirect’. Anwar seolah-olah mahu memberitahu supaya Khalid serta siapa yang beliau maksudkan supaya berhati-hati dengan beliau kerana beliau sudah mempunyai kuasa atau pengaruh melalui Menteri Besar yang baru ini.

Kalau dia gagal untuk meletakkan isterinya sekarang beliau ada orang kuatnya menjadi Menteri Besar. Kata setengah orang, kalau tak dapat meletakkan isterinya, dapat orang kuatnya menjadi MB itu sudah memadai. ‘Tak dapat dagingnya, dapat kuahnya pun rasa daging juga’. Tentu Azmin merasakan masalah sedang mula menghampiri beliau walaupun baru beberapa hari sahaja menjadi pengganti Khalid Ibrahim.

Inilah sebenarnya kemahuan Anwar yang tidak dapat dipenuhi oleh Khalid dahulu. Anwar perlukan tempat untuk memberikan beliau perangsang dengan mempunyai tempat untuk menyara kemahuannya untuk berkuasa. Untuk itu beliau mahukan semua orang terutamanya dalam partinya untuk menyokong beliau tanpa berbelah bagi dengan menggunakan isu-isu yang diada-adakan untuk menurunkan Khalid Ibrahim. Selain dari menjadi pemimpin de facto PKR beliau mahu menjadi Menteri de facto di Selangor.

Lebuhraya Kidex, pengambil alihan projek air serta berbagai-bagai lagi yang beliau fikirkan boleh diterima dan dibeli oleh pemikiran ramai. Pengumumannya untuk mencungkil segala-gala perjanjian dengan semua pihak semasa pentadbiran Khalid itu merupakan isyarat kepada semua, ‘I am in control of Selangor , and you better watch out’. Beliau sedang menunjukan ototnya kepada kita semua.

Kita tidak tahu apa untungnya kepada beliau dengan menunjukan ototnya itu. Yang pastinya sekarang ini Pakatan Rakyat sedang di ambang kesusahan untuk menghadapi rakyat selepas ini. Beliau tidak lagi mendapat sokongan ramai semasa berada di Seberang Jaya tiga hari yang lepas kerana masalah penyokong PAS yang kecewa dengan tindakan Anwar selama ini.

Bagi setengah pihak, inilah caranya untuk memberikan perbezaan di antara beliau dengan Khalid Ibrahim. Khalid telah melakukan yang terbaik, lebih baik dari mana-mana MB atau Ketua Menteri di negeri-negeri yang lain. Untuk menambah-baik keadaan pentadbiran adalah susah untuk menandingi Khalid, maka untuk menunjukan kelebihan dari Khalid ialah dengan mencungkil dan tercari-cari kesalahan Khalid, 'ibarat orang mencari kutu'.

Selalunya badan yang mempunyai tanggungjawab untuk mencari kesalahan sesiapa yang berkuasa, seperti MACC dan badan penguat kuasa yang lain yang bercakap tentang isu ini, bukannya pemimpin politik. Ahli politik merupakan penggubal dasar dan perlaksaan dasar dan penguatkuasaan dasar-dasar itu adalah tanggungjawab pihak pelaksana dasar.

Seperti apa yang berlaku dalam isu pertuduhan rasuah yang sedang dihadapi oleh berpuluh orang pegawai kastam negara sekarang ini adalah tugas pelaksana untuk mengumumkan apa-apa yang sedang berlaku. Kita boleh saksikan sekarang tidak ada pihak politikus untuk memberikan komen. Yang boleh mengolah keadaan dalam isu Kastam dan Eksais di Raja sekarang ini ialah pihak MACC sahaja dan ini menunjukan kematangan pimpinan pihak kerajaan yang jarang-jarang kita lihat berlaku.

Biar pihak MACC membuat apa-apa kenyataan yang berkaitan dengan pertuduhan pegawai Kastam itu. Begitu jugalah dengan isu Khalid Ibrahim. Biarkan pihak MACC mengendalikan kes Khalid Ibrahim jika ada kesnya. Anwar dan ahli politik yang lain tidak perlu membuat kenyataan kerana jika ahli-ahli politik yang membuat kenyataan, maka berbagai-bagai persepsi akan timbul dengan kenyataan mereka itu.

Saya tidak percaya ada kes terhadap Khalid, tetapi jika ada pun biarlah pihak penguatkuasa dan pihak pelaksana undang-undang untuk membuat kenyataan berhubung dengan isu yang dibangkitkan Anwar ini. Khalid sendiri meminta beliau disiasat dan Anwar boleh memulakan tindakan menyiasat ini.

Khalid pula dalam reaksinya telah memberitahu semua yang beliau pun mahu disiasat oleh mana-mana agensi termasuk MACC bagi membersihkan nama beliau dari tuduhan jahat pihak yang mahukan beliau digantikan dengan Wan Azizah. Tuduhan itu hanya tiba apabila sudah ada usaha untuk menggantikan beliau dan tercari-cari kesalahan yang di cipta oleh Anwar dan konconya semasa beliau (Khalid) menjadi Menteri Besar.

Khalid tentulah mahu namanya dibersihkan setelah dicemar oleh rakan dalam partinya sendiri yang akhirnya mendapat surat pemecatan yang pastinya dengan kehendak Anwar itu.

Samada Azmin mampu untuk menolak tekanan dari Anwar ini, sama-sama kita saksikan nanti. Jika semasa sebelum pilihanraya umum yang lalu Anwar telah memberikan amaran yang beliau akan mengambil tindakan kepada mana-mana agensi yang beliau mahu sebaik sahaja mendapat tempat di Putrajaya itu, menunjukan yang beliau mempunyai dendam kesumat yang tidak dapat disorokkan lagi.

Tetapi malang bagi beliau cita-cita hendak menjadi Perdana Menteri selepas PRU13 itu tidak kesampaian dan telah menyalahkan semua pihak diatas kegagalan beliau dan PR untuk memperoleh mandat yang cukup untuk mentadbir Putrajaya. Hajatnya tidak kesampaian walaupun ada beberapa doanya telah termakbul oleh Allah s.w.t..

Azmin sudah pasti berhadapan dengan dilemma yang besar, iaitu untuk akur kepada Anwar atau akur kepada keperluan moral dan politik rakyat Selangor. Apabila Anwar dengan yakinnya memberikan kata dua kepada Khalid itu, ia bermakna yang beliau seolah telah mendapat kuasa melalui Azmin dan akan bertindak terhadap mereka yang beliau sudah membencinya itu.

Jika Azmin lemah dalam menghadapi kerenah Anwar ini, maka tidak dapat dipersalahkan sesiapa dihari muka jika Azmin terpaksa memikul beban Anwar lagi. Di mana-mana rakyat sedang memikul bebanan yang dicetuskan oleh Anwar kerana matlamat beliau bukannya untuk memperbaiki keadaan negara dan negeri tetapi sebaliknya untuk menunjukan yang beliau mempunyai otot yang besar dan boleh memulas sesiapa sahaja yang beliau mahukan.

Tetapi buat masa ini orang ramai masih menaruh harapan terhadap Azmin. Jika sebaliknya berlaku, itu bukan salah siapa lagi, tetapi semua kesalahan itu adalah kesalahan Azmin kerana rela memikul beban pimpinan yang bermasalah dalam PKR itu.

Bagi rakyat biasa yang menumpang berteduh di Selangor ini, kita hanya mampu untuk berdoa agar Azmin akan terbuka hatinya untuk bersifat luhur dan mengurangkan tindakan bermusuhan dengan mana-mana pihak. Mencari musuh itu, kata orang, hanya mengecilkan padang kita sendiri.

Bersifat adil dan saksama itu sepatutnya menjadi matlamat kepimpinannya. Nelson Mandela tidak pernah memenjarakan lawan dan musuh beliau yang telah memenjarakan beliau hampir tiga dekad oleh kerajaan Arpatheid Afrika Selatan dahulu.

Kita berharap Azmin mempunyai jiwa besar dan akan menyatukan semua pihak seperti Mandela lakukan. Semakin berumur kita sepatutnya kita akan menambah kekayaan jiwa kita. Jangan terikut-ikut dengan pemimpin atau sesiapa yang melayani nafsu amarah mereka yang sentiasa meletakkan seseorang itu berada di dalam kefakiran jiwa.

Mencari ‘reconciliation point’ di antara kehendak pemikiran dan hati itu merupakan perjuangan besar bagi Azmin Ali. Itulah dia yang dinamakan pengorbanan, jangan setakat sedap bercakap sahaja.

Azmin perlu mengimbangi amal dan ibadahnya dan sentiasa merujuk kepada mereka yang berjiwa kaya dan elakkan dari menerima rujukan dari mereka yang terlalu ‘obsessed’ bisikan khatir yang sentiasa mahu melihat kita berpecah di antara kita.

Pemimpin yang lemah selalunya akan berjaya menguasai kita jika mereka lihat di antara kita berpecah belah. Jika keadaan aman, pimpinan yang buas nafsu untuk berkuasa semata-mata untuk kuasa itu tidak akan ke mana-mana.