Mungkin kah Tun Mahathir akan
sama keadaannya dengan Tunku Abdul Rahman dan Hussein Onn? Maksud saya Tun
Mahathir jika ditakdirkan meninggal dunia beliau tidak berada dalam UMNO seperti
kedua-dua bekas Perdana Menteri itu. Kalau begitu hanya Abdullah Badawi sahaja
yang akan meninggal berada dalam UMNO, dan Tun Razak meninggal semasa beliau
masih dalam UMNO dan masih dalam jawatan Perdana Menteri.
Tunku Abdul Rahman dan Hussein
Onn tidak mati dalam UMNO kerana mereka tidak bersetuju dengan penubuhan UMNO
Baru ini. Kepada Tunku dan Hussein penubuhan UMNO baru sememangnya dirancang
dengan membunuh UMNO lama itu. Tun Mahathir pula meninggalkan UMNO kerana tidak
bersetuju dengan Perdana Menteri Najib Razak kerana beliau berpendapat UMNO itu
sekarang bukan lagi UMNO dan ianya hanyalah parti ‘Najib’ dan segala identiti
UMNO itu sudah hilang dipandang mata. Sifat dan rupa bentuk UMNO itu sudah
hilang samasekali dan tidak berguna lagi untuk berada dalam parti itu.
UMNO sekarang terlalu sarat
dengan penyalahgunaan kuasa oleh pucuk pimpinannya dan juga setiap peringkat
kepimpinannya. Malah pemimpin UMNO sekarang sedang ketagih dengan rasuah dan
salah guna kuasa. Jika tidak makan rasuah seolah-olah nya ia bukan lagi pemimpin
UMNO. Pendeknya UMNO dan rasuah itu ibarat aur dengan tebing, saling menyandar
di antara satu dengan lain. Rasuah tidak akan berkembang tanpa UMNO dan UMNO
tidak akan berjaya tanpa rasuah dan salah guna kuasa.
UMNO itu merupakan parti yang
rendah moral pemimpinnya. Tidak seperti dahulu kala. Pelajaran tinggi tidak
berjaya menjadikan seseorang pemimpin UMNO itu berfikir secara baik dan sentiasa
memilih kerja ‘cari duit luar’ yang banyak sebagai perjuangan utama mereka. Kos
untuk menanggung pemimpin hari ini amat tinggi dan yang menjadi mangsa adalah
perbendaharaan negara. Dulu kita menganggapkan apabila seseorang itu mempunyai
pelajaran yang tinggi mereka akan tahu untuk membuat penilaian kepada
diri masing-masing. Tetapi sebaliknya mereka yang belajar tinggi pun akan menjadi
bodoh bila menyertai UMNO.
Satu lagi ‘attribute’ yang buruk
dalam UMNO itu ialah sifat kurang ajar pemimpin-pemimpin UMNO yang begitu
sombong bila bercakap. Bila berbahas kerana perbezaan kuasa pemimpinnya
bercakap tanpa ‘decorum’ yang baik.Bukan sedikit di antara pemimpin yang seperti
Nazri Aziz dan pemimpin inilah yang diharapkan untuk menyelamatkan bangsa dan
agama kita.
Jika benar niat Dr Mahathir untuk
menjatuhkan Najib yang paling ‘controversial’ dalam dunia sekarang ini ia patut
disokong ramai. Najib pun bukan lagi melaksanakan tugas sebagai Perdana
Menteri, di sebaliknya beliau berpusing merata-rata dunia untuk menyelesaikan
masalah yang beliau tidak dapat sorokkan lagi. Najib telah berbohong hingga ke
Parlimen dan satu pun percakapan beliau tidak dapat dipercayai. Tiada apa lagi
yang kita boleh harap dan minta dari Najib sekarang ini. Jika ada pun permintaan
ramai sekarang ialah untuk Najib membuka mulutnya luas-luas kerana orang ramai
nak tengok apakah jenis lidah yang ada di dalam mulut beliau itu.