04 May 2010

Kerbau pun tidak ikut semua kehendak tuannya

Ayahanda saya meninggal dunia pada minggu kedua bulan January 1966 semasa kami tinggal diIpoh Perak.

Setelah meninggalnya ayah saya kami adik-beradik dibawa balik ke kampong diKuala Pilah untuk hidup sebagai seorang anak kampong dan menyara hidup secara orang kampong.

Olih kerana kami sudah tidak ada tempat bergantung ibu saya yang gigih itu menerima cabaran untuk bekerja tanpa mengenal penat dan lelah bagi membesarkan kami dan mengadakan segala keperluan kami untuk kesekolah dan sebagainya.

Saya adalah anak yang tua dan Kamarulzaman adalah yang bongsu. Diantara kami ada 4 lagi adik-beradik dan didikkan ibu kami untuk mempunyai perasaan asih mengasihi diantara adik-beradik tetap kami ungguli.

Dalam menharungi kehidupan yang susah itu ibu saya hanya meminta kami supaya bersatu adik-beradik dan sayangi juga bapa-bapa dan ibu-ibu saudara serta darah daging yang lain.

"Hidup sedikit miskin tidak mengapa tetapi jangan fakir dijiwa" pesan ibu saya setahun dua sebelum ibu meninggalkan kami buat selama-lamanya.

Kami menyara hidup dengan bersawah yang ditinggalkan oleh almarhum datuk saya dan menambah sedikit pendapatan melalui jualan buah-buah seperti durian dan langsat apabila sampai musim buah-buahan.

Selain dari itu ibu saya membela seekor dua kerbau untuk dijual dihujung tahun untuk membiayai keperluan sekolah saya serta lima adik-adik saya yang sedang membesar semasa itu.

Selama tiga tahun ibu saya membela kerbau dan saya sebagai anak yang tualah yang diberikan tanggungjawab untuk membawa kerbau dari sawah tempat kerbau meragut rumput kedalam kawasan rumah yang telah kami tinggalkan sebegitu lama.

Setiap hari sebelum waktu magrib saya akan membawa kerbau-kerbau tersebut kedalam kawasan kampong dan menambat kerbau tersebut kepada tiang rumah yang telah kami kosongkan sejak tahun 1962 untuk tinggal ditempat yang baru yang tidak sampai pun 1 batu jauhnya dari rumah yang kosong itu.

Setelah unggun api dinyalakan saya berjalan balek kerumah yang tidak jauh dari situ.

Setiap kerbau itu akan dicucuk hidungnya dan diikat dengan rotan yang kita panggil kelikir oleh orang kampong saya.

Saya akan ikat tali kepada kelikir tersebut dan saya akan tarik kerbau itu sampai ke rumah kosong itu untuk diikat dan dipanaskan badannya dengan api yang dipasang dengan membakar unggun kayu yang telah kami sediakan.

Hampir setiap hari selama 3 tahun itu saya ditugaskan oleh ibu saya dengan tanggungjawab itu.

Rupa-rupanya ada juga pengalaman dan pelajaran dari tugasan yang kecil itu.

Selalunya kerbau itu akan mengikut sahaja tanpa membantah dan saya tidak payah menarik kerbau itu dan tali yang diikat kepada kelikir tadi kendur sahaja kerana kerbau tadi tahu kemana saya hendak membawanya dan jalan mana yang selalu saya ikuti.

Tetapi apabila saya cuba hendak membawanya mengikut jalan yang lain dari jalan yang selalu saya ikuti itu, kerbau tadi tidak mahu bergerak dan talinya menjadi terik dan saya terpaksa kembali mengikut jalan yang selalu saya tempuhi itu.

Moral ceritanya disini ialah; kenapa seseorang yang tidak ada kelikir dan tali pengikatnya mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh ketua dan pimpinan walaupun tindakkan mereka membawa padah kepada orang ramai dan tidak boleh UNTUK TIDAK bersetuju?

Kerbau yang ada kelikir dan tali untuk mengelaknya kemana-mana itu pun tidak mahu mengikut semua kehendak tuannya jika dia tidak bersetuju.

Itu sahajalah untuk pagi ini. Maaf, sekadar untuk renungan semasa minum pagi sahaja.

Hidup semasa membesar dikampung dulu memang tidak dapat saya lupakan. Kehidupan itu memang tidak dialami oleh anak-anak dan generasi yang serba moden sekarang ini.

Kata perbilangan, "tempat jatuh lagikan dikenang, masakan lupa tempat bermain'


Sekian………………………………………..Aspan Alias

03 May 2010

Ucapan menggegarkan bumi dan langit - Hasilnya apa?

Pada hakikatnya masih adakah kerjasama diantara parti-parti dalam BN? Benarkah BN masih kukuh dan ‘invincible’ serta tidak dapat digugat oleh mana-mana pihak?

Mampukah BN diterima rakyat berbilang kaum tanpa memberikan hadiah-hadiah dan sogokkan kewangan untuk memenangi sesuatu pilihanraya?

Mampukah BN khususnya UMNO mendapat tempat dihati rakyat kerana dasarnya yang disukai dan diterima sebagai dasar-dasar yang membina negara dalam erti kata pembangunan yang ‘legitimate’ yang selari dengan dasar pembentukkan BN yang ditunjangi oleh UMNO itu?

Hishammudin Husein semalam mengingatkan MCA supaya membuktikan yang parti itu masih relevan dan berguna kepada gagasan BN yang sudah berusia 36 tahun itu.

Sesungguhnya BN hanya lah terdiri dari UMNO dan MCA sahaja kerana kehilangan sokongan yang dialamai oleh Gerakkan dan kehilangan sokongan MIC dari kaum India sendiri.

Jika MCA sendiri sudah tidak mampu meraih sokongan kaum Cina maka BN itu hanya terdiri dari UMNO sahaja diSemenanjung ini dan parti-parti yang lain dalam BN hanya merupaka ‘parasite’ politik semata-mata.

Hakikatnya BN hanyalah nampak kehadziran dalam keadaan lebih baik diMalaysia Timur sahaja.

Konsep 1Malaysia tidak mampu mengembalikan sokongan rakyat berbilang kaum kepada BN kerana konsep 1Malaysia itu lebih ‘condusive’ dan terlaksana dipihak Pakatan Rakyat sahaja.

Konsep 1Malaysia sebenarnya memperkuatkan asas dan mengukuhkan perjuangan PR kerana elemen komposisi berbilang kaum yang wujud dalam Gagasan PR, terutamanya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam UMNO pula ahli-ahlinya sedang dalam keadaan serba salah kerana terlalu banyak ‘kompromi’ dibuat diatas tuntutan dan kemahuan bangsa bukan Melayu.

Dalam pilihanraya kecil Hulu Selangor baru-baru ini orang Cina mendapat berbagai-bagai imbuhan, peneroka Sg Buaya mendapat balek sebahagian wang hak mereka (bukan Imbuhan), orang Melayu hanya dapat makan nasi lemak dengan isteri PM sahaja. Itu sahajalah layaknya untuk orang Melayu.

Jika dahulu kemudahan biasiswa dan derma siswa kebanyakkannya di berikan kepada orang Melayu dan Bumiputra, sekarang ini keadaan sudah berubah dengan nyata yang kemudahan kewangan untuk pembelajaran keperingkat tertinggi diluar negara dibolot oleh bukan Bumiputra.

Jika kita ke seksyen 17 Shah Alam kita jangan lupa untuk meninjau dipusat persediaan pelajar kita untuk keluar negara yang dikendalikan oleh UiTM.

Disana kita akan melihat perubahan jelas tentang apa yang saya sedang perkatakan ini.

Kalau dahulunya pusat kendalian UiTM itu didudukki oleh 100 peratus anak-anak Melayu dan Bumiputra dari Sabah dan Sarawak, sekarang kita akan melihat dengan jelas yang 70 peratus dari pelajarnya adalah dari anak-anak Bukan Bumiputra dan hampir keseluruhan tenaga pengajarnya adalah dari kaum Bumiputra.

Dimanakah suara Pemuda UMNO? Dimana Khairy Jamaludin? DAN yang lebih menyangsikan dimana Ibrahim Ali, selaku Presiden Perkasa dan bekas pelajar UiTM dan bekas Presiden KSITM yang beliau selalu bangga-bangakan itu.

Dimana yang lain-lain yang bergegar-gegar berucap kononnya mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputra?

Ramai diantara rakyat terutamanya yang muda-muda ini, sudah lupa bagaimana Tun Razak terpaksa menghadapi tekanan dari seluruh dunia kerana mempertahankan usaha beliau mewujudkan sebuah institusi pelajaran tinggi khusus untuk orang Melayu dan Bumiputra bagi melatih anak-anak Melayu dalam bidang iktisas dan separa iktisas itu.

Jadi, dimanakah perjuangan yang dilaungkan selama ini, sedangkan apa yang sebenarnya berlaku adalah bertentangan dengan segala laungan-laungan yang menggegarkan bumi dan langit ini?



Sekian…………………………………………Aspan Alias

02 May 2010

Berapa orang ahli UMNO yang faham tentang perjuangan parti?

(Ya Allah, berkat syufaat junjungan besar Muhammad saw kau berikanlah keampunan kepada diri ku jika ada elemen-elemen kesombongan tercatat didalam tulisan ku ini. Aku berniat tidak lain dari memperingati perjuangan yang selama ini telah kau redhoi)


Untuk menyambung tentang apa yang telah saya tulis sebelum ini, sebagai rakyat yang sekerdil ini apa yang saya mampu ialah untuk mencatatkan didalam tulisan dan tulisan ini akan kekal, setidak-tidaknya untuk bacaan sekumpulan kecil sahabat-sahabat saya yang ingin membacanya.


Saya tidak pandai lagi untuk bergiat dalam politik, dan saya hanya mampu untuk menulis kerana saya adalah bekas penggiat parti.


Bagi saya yang sudah hampir 60 tahun ini kemungkinan untuk saya cergas kembali dalam siasah adalah terlalu ‘remote’ maka itu sebabnya saya berani untuk berkata benar dan saya tidak merasakan silu untuk berkata benar.


Berkata benar sesungguhnya adalah uasaha yang sangat susah kerana ianya selalu mendapat tentangan, kerana terlalu ramai ahli-ahli UMNO yang tidak lagi faham apa itu kebenaran dalam erta kata yang sebenarnya.


Mencari pimpinan yang luhur dan bijaksana merupakan kebenaran politik yang asasi dan jika ianya sedikit penyimpang dari asas ini maka perjunagan akan menyimpang jauh dari asas yang telah didefinasikan dalam perjuangan parti ini.


Kebenaran inilah yang sudah tiada lagi dala perjuangan UMNO, dan untuk memahami apa yang salahnya setiap manusia yang menjadi ahlinya mestilah menjadi seorang yang terbuka untuk menerima pandangan dan sanggup untuk melakukan introspeksi diri yang mendalam.


Tetapi apa yang dikatakan introspeksi ini pun tidak lagi menjadi asas pemikir UMNO lagi. Pemimpin UMNO sekarang hanya cuba untuk menguruskan sentiment keadaan semata-mata.


Kadangkala dalam menguruskan sentimen-sentimen ini pimpinan UMNO itu sendiri dengan tidak menyedarinya menyeleweng dari asas perjuangan yang telah dimaktubkan oleh perlembagaan parti, terutamanya dalam Bab 3 perlembagaan parti itu sendiri.


Kita mesti ingat dan mengakui yang Bab 3 perlembagaan itu adalah jantung dan nadi perjuangan UMNO dan orang Melayu, dan selebihnya dalam buku perlembagaan parti itu hanyalah merupakan atur-peraturan semata-mata.


TETAPI, satu lagi persoalannya dalam UMNO ini, BERAPA KERAT kah dari jumlah 3.4 juta ahli UMNO pernah membaca perlembagaan parti? Saya berani tuduh, yang perlembagaan parti ini masih belum dibaca oleh sebahagian pemimpin Majlis Tertinggi parti sendiri.


Saya mengalami masalah apabila dikritik oleh ramai pengkritik secara semborono apabila saya memberikan pendapat dan dari kenyataan pengkritik-pengkritik itu saya faham mereka belum lagi membaca perlembagaan parti, lantas menyalahkan beberapa manusia yang sudah hafal perlembagaan seperti menghafal ayat-ayat lazim sembahyang yang disyariatkan tuhan itu.


Sepatah kata perbilangan, ‘sekilas ikan didalam air, sudah tahu jantan betinanya.’


Kadangkala berpeluh badan didalam air jika mengingatkan yang terlalu ramai yang hendak menjadi ‘hero’ kepada UMNO tetapi belum pun membaca walau pun sepotong ayat didalam perlembagaan UMNO, tetapi handak menjadi ‘champion” kepada UMNO.


Sekarang kumpulan yang inilah yang paling lantang berkata dan menuduh orang lain belot kepada parti.

Mereka tidak menyedari yang mengikut tindakkan setengah pemimpin UMNO itu sendiri acapkali adalah tindakkan yang mempertualangkan perjuangan orang Melayu.


Saya mencadangkan kepada pimpinan UMNO supaya mencetak dan membekalkan senaskhah perlembagaan parti kepada semua ahli yang didaftarkan dalam UMNO.


Saya tidak dipayah dibekalkan kerana saya telah membacanya sebelum menyertai parti ini.


Jika semua ahli membacanya tidaklah banyak kekeliruan yang tidak menentu sebagai mana yang berlaku hari ini.


Itulah sebabnya saya selalu berkata yang ramai-ramai hari ini hanya penyokong tetapi bukam pendukung kepada parti itu.


Jangan pula kita bergaduh kerana tidak tahu membezakan diantara penyokong dan pendukung UMNO.

Kalau itu pun kita terpaksa bertengkar elok jangan bercakap pasal UMNO lagi…duduk diam diam dan jaga anak bini di rumah.


Kita akan sambung lagi apabila semua ahli UMNO sudah membaca kandungan perlembagaan parti.


Jika benar yang bercakap banyak ini nak terus berinteraksi dengan jujur, carilah buku perlembagaan itu…..dan jangan pula itu pun minta saya pula yang memberikannya…carilah sendiri.



Sekian……………………………………………..Aspan Alias

01 May 2010

Benarkah Abdullah Badawi menjual Negara?

Abdullah Badawi sekarang menjadi sasaran kritikkan banyak pihak kerana isu kegagalan PETRONAS untuk meneruskan kerjasama dengan Murphy Oil bagi pengeluaran minyak dikompatmen Block L dan M kerana didapati wilayah ini rupa-rupanya bukan lagi Wilayah Malaysia.

Kalau didarat ada kompatment Balak (kayu) dilaut pula rupanya ada kompatment minyak. Sekarang ini kedua-dua kompatment ini menjadi bahan jualan bagi ramai manusia untuk menjadi kaya raya.

Kalau dahulu cerita menjual negara ini dianggap hanyalah retorik party pembangkang sahaja, tetapi dengan cerita terbaru yang dikeluarkan oleh Dr Mahathir menunjukkan yang cerita menjual negara ini bukanlah cerita dongeng parti pembangkang sahaja.

Rupa-rupanya ianya adalah cerita benar dan ianya benar-benar dilakukan oleh pemimpin negara yang lemah dan tidak boleh dipercayaai.

Isu ini sekarang sudah terbuka kepada perbahasan banyak pihak dengan bermacam-macam andaian dan tuduhan yang kesemuanya menjadi bahan cemuhan kepada bekas Perdana Menteri yang bernama Abdullah Badawi, jika rakyat masih ingat kepadanya.

Ada pihak yang mengatakan yang Abdullah memberikan block L dan M ini untuk melupuskan tuntutan Brunei terhadap Limbang diSarawak dan Abdullah pernah membuat kenyataan yang isu Limbang telah selesai dan tidak lagi menjadi isu yang boleh menjadi isu yang menjejaskan hubungan dengan negara Brunei Darrussalam.

Tetapi Menteri Luar dan Perdagangan kedua Brunei Lim Jock Seng menafikan yang isu tuntutan Brunei keatas Limbang ada dibincangkan semasa Pertukaran surat-surat cara diantara Abdullah Badawi dan Sultan Hassanol Bolkiah itu.

Persoalannya, apakah sebenarnya yang berlaku diantara Tuanku Sultan Brunei dan Abdullah semasa perundingan diantara mereka.? Kenapa PETRONAS tidak mengetahui isi kandungan perjanjian itu. Kenapa Kementerian Luar Negara tidak menafikan kenyataan Lim Jock Seng yang isu Limbang tidak pernah timbula dala rundingan peringkat tertinggi itu?

Ada benar cerita yang berkisar, yang Kamaluddin Abdullah sedang menghadapi masalah besar dalm perniagaannya dan ini adalah cara Abdullah menyelesaikan masalah anak kesayangannya dengan mendapat imbuhan yang ratusan juta ringgit dengan ‘deal’ yang sangat menghiris isi hati kita rakyat Malaysia ini.

Jika betullah apa yang disebut oleh ramai orang ini, maka kita telah mengalami kejadian kedua kalinya dalam mana harta negara digunakan untuk menyelsaikan masalah anak Perdana Menteri.

Beberapa tahun dahulu Mirzan Mahathir telah menggunakan wang kepunyaan rakyat (PETRONAS) untuk menyelesaikan masalah perniagaan yang melebihi 1 billion ringgit.

Jika ada kesempatan dan ‘political will’ rakyat saya mencadangkan supaya kita pilih seorang Perdana Menteri yang mempunyai anak yang tidak berniaga atau pun seorang yang tidak mempunyai anak langsung.

Ini sahajalah nampak caranya untuk mengelakkan seorang Perdana Menteri menggunakan kuasanya untuk menggunakan wang pembayar cukai bagi menyelesaikan masalah peribadi dan perniagaan anak-anak mereka.

Kita perlu menyoal sebab-sebab kenapa perkara seperti kecuaian seorang pemimpin nombor 1 negara selalu sahaja berlaku kepada negara ini?

Oleh kerana masa dan keadaan tidak mengizinkan, eloklah saya sambung dalam posting saya yang akan datang.

Setakat ini dahulu. Wassalam.



Sekian,……………………………………..Aspan Alias