18 May 2012

UMNO berslogan, Pakatan Rakyat melaksanakannya

Slogan-slogan politik bercambah-cambah dan slogan-slogan itu bertukar apabila bertukar kepimpinan sehinggakan kita sudah kenyang dengan slogan-slogan itu. Slogan selalunya diperkenalkan oleh seseorang pemimpin itu untuk membezakan ‘brand’ kepimpinan masing-masing. Selalunya ia akan diwar-warkan yang dibawah pimpinannya keadaan itu berbeza dari keadaan yang lazim dialami rakyat dizaman kepimpinan sebelumnya.

Berslogan mula bercambah sejak kepimpinan Mahathir sahaja. Apabila Mahathir mengambil alih, rakyat telah cuba di dakyahkan sebagai zaman yang amat berbeza dengan pimpinan sebelum beliau. Gandingan beliau dengan Musa Hitam digambarkan sebagai pimpinan yang sangat berbeza dengan kepimpinan sebelumnya kerana bermula dari beliau zaman itu bermulalah zaman kepimpinan negara diterajui oleh orang biasa. Maka pimpinan itu telah dipanggil sebagai kepimpinan 2M (Mahathir Musa)

Pimpinan 2M terbengkalai dengan perletakkan jawatan Musa sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Februari 1986. Perletakkan jawatan Musa telah akhirnya membawa kepada pertandingan besar dalam UMNO pada tahun berikutnya 1987 diantara TR/Musa dan Mahathir /Ghaffar.

Apabila Mahathir mula-mula mengambil alih, maka terciptalah slogan ‘Bersih, cekap dan amanah’. Tetapi slogan ini hanya tinggal slogan kerana semasa itu tidak ada yang bersihnya, tidak ada kecekapan dan jauh sekali untuk melihat amanahnya. Zaman ini lah bermulanya rasuah yang begitu hebat dan budaya itu terus  diwarisi oleh kepimpinan Pak Lah dan pimpinan DS Najib sekarang ini.

Dalam masa yang sama tercipta juga slogan  ‘kepimpinan melalui tauladan’ dan inilah satu-satunya slogan yang amat berjaya yang dicipta Dr Mahathir Mohamad. Ini adalah kerana segala budaya rasuah itu telah diteladani oleh semua pemimpin setiap peringkat dalam kerajaan dan parti serta pimpinan-pimpinan yang mewarisi kepimpinan Mahathir sehingga  zaman sekarang ini.

Semua pimpinan UMNO dan BN benar-benar berjaya melaksanakan slogan ini sehinggakan susah untuk mendapatkan kepimpinan yang tidak rasuah. Semuanya ini adalah hasil dari kempen ‘kepimpinan melalui tauladan’ anjuran Mahathir itu. Di adakan pula slogan ‘penerapan nilai-nilai Islam’ dalam pentadbiran dalam masa yang sama tetapi tidak ada addin keislaman di dalamnya kerana kejayaan slogan kepimpinan melalui tauladan tadi.

Kita terus pula kepada slogan dalam pentadbiran Najib iaitu ‘1Malaysia’ yang masih belum difahami oleh rakyat satu Malaysia ini. Yang kita lihat hanyalah pin-pin 1Malaysia yang terlekat di dada dan kolor baju-baju pemimpin-pemimpin dan pegawai-pegawai kerajaan sahaja. Yang sedapnya Mahathir sendiri mengaku yang beliau tidak faham tentang slogan ini.

Bagaimana slogan 1Malaysia hendak berjaya sedangkan kepimpinan termasuk Najib yang mencipta slogan itu sendiri bercakap isu rasis apabila bertemu dengan ahli-ahli UMNO. Muhyiddin Yassin pula tidak menyokong slogan ini kerana beliau secara terbuka telah mengakui yang beliau mengambil sikap Melayu dahulu barulah rakyat yang lain.

Walau bagaimana pun rakyat tidak perlu gusar tentang slogan yang tidak terlaksana oleh penciptanya sendiri. Ada pihak lain yang mampu melaksanakan slogan ciptaan pemimpin-pemimpin UMNO itu. Kita tidak payah pergi jauh. Kita tinjau sahaja apa yang dilakukan oleh negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Selangor telah berjaya mempunyai bajet yang seimbang dengan ‘reserve’ hampir RM2 billion. Pulau Pinang telah berjaya untuk menghilangkan budaya rasuah dan telah menunjukkan nilai kesamarataan. Peruntukkan Hal Agama Islam sekarang telah meningkat sehingga RM63 juta sedangkan semasa BN memerintah negeri itu peruntukkan untuk hal ehwal Islam hanyalah RM12 juta sahaja.

Tidak ada kedengaran skandal kewangan sehingga RM12 billion seperti isu PKFZ di Selangor sekarang ini ataupun kedapatan pemimpin negeri itu yang telah membina rumah peribadi sehingga RM20 juta di Shah Alam. Tidak ada lagi kedengaran skandal kehilangan RM500 juta wang Yayasan Selangor.

Kedah dan Kelantan juga mempunyai rekod baik dan tidak kedengaran rasuah yang berbillion ringgit berlaku di negeri-negeri tersebut. Kedah merupakan salah satu negeri yang mendapat kemasukan pelaburan dalam bidang pembuatan yang besar dan negeri itu adalah salah sebuah dari lima negeri teratas berbanding dengan negeri-negeri tadbiran BN.

Pulai Pinang merupakan negeri yang berkedudukan nombor satu dan diikuti oleh Selangor. Sarawak menduduki tempat ketiga dan yang keempat Johor, satu-satunya negeri yang ditadbir BN yang masuk ke dalam kategori lima teratas itu.

Dalam kata-kata lain secara ringkasnya jika slogan ‘Bersih, cekap dan amanah’ adalah laungan BN semasa Dr Mahathir menjadi PM dalam senyap-senyap negeri-negeri tadbiran Pakatan Rakyatlah yang menjayakan slogan itu. Begitu juga slogan ‘1Malaysia’ ciptaan Najib, BN tidak mampu melaksanakannya tetapi yang berjaya melaksanakan konsep 1Malaysia ialah parti-parti dalam PR kerana setiap bangsa bersatu dan tidak ada parti untuk satu-satu kaum sahaja.

Oleh itu kita nampak dengan jelas yang BN hanya pandai berslogan tetapi  PR lah yang mampu melaksanakannya. Kita akui slogan-slogan ciptaan BN itu adalah baik kesemuanya. Hanya mereka tidak mampu melaksanakannya dan ia hanya tinggal retorik kosong BN sahaja.

Maka kita simpulkan sahaja isu ini: BN berslogan PR melaksanakannya. Maka tidak ada lagi masalah perlaksanaan slogan-slogan tersebut apabila Pakatan Rakyat diberi mandat oleh rakyat semasa pilihanraya yang akan datang ini.

UMNO dan BN boleh membantu mewujudkan slogan-slogan yang baik semasa jadi pembangkang nanti dan berikan tugas kepada Pakatan Rakyat untuk melaksanakannya dengan baik sebagai kerajaan baru yang begitu lama ternanti-nanti saat untuk membetulkan kebobrokan yang dilakukan oleh bekas parti pemerintah, iaitu Barisan Nasional (BN) yang semasa itu sudah duduk dikerusi pembangkang di semua Dewan-Dewan Lagislatif di negara ini.

Apabila perubahan berlaku maka bermula jugalah sistem 2 parti yang sangat penting untuk mendapatkan pimpinan yang mengakui yang kuasa dalam negara demokrasi ini terletak di tangan rakyat. Rakyat tidak payah lagi bersusah payah kerana jika Pakatan Rakyat  tidak melaksanakan tugas seperti yang dijanjikan maka rakya boleh memberikan kembali mandat itu kembali kepada BN.

Tetapi yang penting sekali kita mesti bermula untuk menunjukkan kepada kepimpinan yang bongkak dengan kuasa itu bahawa rakyat, jika diizin Tuhan, merupakan penentu kepada nasib mereka yang berkuasa. Rakyat boleh menggali dan menganjak kepimpinan negara, kerana negara ini sebenarnya adalah kepunyaan rakyat.

Hanya sebelum ini rakyat belum lagi sedar yang kuasa itu adalah kuasa mereka. Baru sekarang mereka (rakyat) sedar yang mereka lah yang mesti bertindak untuk melakukan usaha memperbetulkan keadaan negara kita ini.

Lagi pun BN sudah terlalu lama memerintah, iaitu selama 55 tahun. Kita mesti ingat jika pokok kelapa itu sudah berumur 55 tahun ia terlalu tinggi dan beruk pun takut untuk memanjatnya. Jika ditebang pokok kelapa yang berumur 55 tahun, umbutnya pun sudah keras dan tidak sedap lagi untuk digulai.

17 May 2012

Jika ayam tidak berkokok pun, hari akan siang juga

Saya diminta mengulas oleh begitu ramai pembaca tulisan saya tentang isu Tunku Aziz, bekas Naib Pengerusi DAP yang keluar parti baru-baru ini. Ada di antara mereka yang menghubungi saya memahami isu sebenarnya tetapi ada juga yang tidak memahami keadaan sebenar politik dan menganggap pemergian Tunku Aziz sebagai satu 'setback' kepada DAP.

Pertamanya, saya ingin memberitahu bahawa DAP bukannya parti rasis dan pemergian Tunku Aziz itu sebagai tanda yang Melayu sedang cuba dipinggirkan oleh DAP. Bersalah-salahan diantara Tunku Aziz dan DAP itu bukannya pertentangan di antara DAP dengan orang Melayu tetapi hanya setakat perselisihan di antara Tunku dan DAP bukannya perselisihan di antara Melayu dengan DAP.

Keduanya, saya ingin menekankan bahawa tidak ada banyak masalah dalam isu yang timbul ini. Malahan saya sebagai orang baru dalam DAP merasakan betapa ‘real’nya keadaan sekarang yang ramai orang Melayu tidak lagi termakan dengan momokan pihak UMNO dan penyokongnya yang nampak gembira dengan pemergian Tunku Aziz itu. Maklumlah mereka (UMNO) sedang sedaya upaya untuk memecahkan pandangan positif sesetengah Melayu yang sudah ada kecenderungan untuk menyokong parti ‘mulitiracial’ itu.

Pemimpin pergi dan datang. Patah tumbuh hilang berganti. Tetapi DAP tidak pernah mematahkan semata-mata untuk mengganti. Begitulah keadaan politik. Yang membesarkan isu ini adalah UMNO sahaja dan itu kita faham. Itu politik sempit UMNO sahaja dan kita tidak termakan dan terpengaruh dengan dakyah-dakyah parti pemerintah yang sedang dalam keuzuran itu.

Jasa Tunku Aziz tetap diingati dan tdak ada siapa yang menafikan jasa seseorang terhadap parti. Keluarnya Tunku Aziz dari DAP tidak mematahkan semangat parti untuk terus memperjuangkan 'transparency' di dalam mentadbir negara dan menghormati ‘rule of Law’ serta menghormati setiap apa yang tertulis di dalam perlembagaan negara dan sama-sama menjunjungnya. Malahan sokongan terhadap parti sedang berkembang dan saya berkeyakinan yang DAP akan akhirnya dapat membuktikan yang parti itu adalah parti muliracial yang akan memainkan peranan terhadap pembangunan negara dengan 'consequence' yang tinggi.

Ketiadaan Tunku Aziz di dalam parti tidak menjadikan parti itu terbantut dalam perjuangannya. DAP akan terus berusaha mengikut atur-peraturan dan tatacara yang terkandung di dalam perlembagaan parti. Bak kata pepatah Melayu, ‘jika tidak berkokok pun ayam, hari akan tetap siang’.

16 May 2012

UMNO: Tak payah guna kepala, sekarang guna punggung pula

Saya berasa geli hati dengan gelagat UMNO yang kian hari kian memalukan. Pagi semalam sekumpulan penyokong parti itu telah berbaris di hadapan kediaman Ambiga, Pengerusi Bersih, dengan menonggeng dan menunjukkan bontot pada rumah Ambiga. UMNO sudah menjadi parti lawak dan telah benar-benar jatuh martabatnya dengan sikap yang ditunjukkan oleh penyokong tegarnya itu.

Kemasukan saya ke dalam DAP dahulu disambut oleh seorang dua sebagai tindakan politik bangkrap. Tetapi sebenarnya apa yang berlaku semalam itu merupakan betul-betul politik bangkrap yang tidak ada tolok bandingnya.

Nampaknya politik UMNO ini tidak lagi boleh lari dari bontot dan punggung, sejak 14 tahun yang lalu. Sudah tidak terlarat untuk membesarkan isu bontot dan punggung. Saiful, sekarang mereka memanjangkan lagi perjuangan berlandaskan pada bontot dan punggung.

Dalam kesemua 213 negara yang berkerajaan di dunia ini, Malaysialah yang parti pemerintahnya mempertahankan kuasa dengan menggunakan bontot dan punggung dan ini amat memalukan. Saya tidak tahu bagaimanakah perasaan mereka-mereka ini semasa melakukan kerja keji ini.

Malah nampaknya mereka berbangga melakukannya. Masa demi masa UMNO melakukan kerja-kerja yang tidak menunjukkan tamadun yang asas sebagai rakyat sebuah negara yang mengaku sebagai negara sedang membangun yang termasyhur di dunia ini. Melakukan kerja menonggeng terhadap rumah Ambiga itu merupakan kerja sia-sia dan ianya amat mengerikan untuk memberikan mandat kepada parti yang sudah bankrap politiknya.

Tidak beberapa lama dahulu UMNO telah mengejutkan rakyat dengan tindakan penyokongnya menghantar kek berbentuk tahi kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Apabila politik BN sudah sampai ke tahap ini, bagaimanakah sesetengah pemimpin UMNO masih mengaku bahawa parti itu boleh mempertahankan maruah Melayu dan menjaga Agama Islam, agama anutan kesemua orang Melayu itu.

Mengapa UMNO sanggup melakukan kerja-kerja yang tidak semenggah ini, tetapi begitu marah apabila parti itu dikritik dan tidak mendapat sokongan orang Melayu yang rata-ratanya beragama Islam? Apa Islamnya dengan tindakan sekumpulan manusia yang hidup pada zaman ini melakukan ‘exercise punggung’ di hadapan rumah Ambiga?

Inikah mentaliti yang berjanji untuk membawa transformasi kepada negara dalam segala bidang sedangkan penyokong kepada kepimpinan yang ada pada hari semalam telah menunjukkan sikap kuno dan menjijikkan. Berapakah upah yang mereka terima untuk melakukan kerja itu tidak dapat dipastikan tetapi yang pasti UMNO sudah bankrap dan saya jangka masih ada yang mempertahankan kerja itu sebagai kerja mulia dan perlu untuk menyambung kuasa politik UMNO dan BN itu.

Tidak dapat dibayangkan bagaimanalah masyarakat antarabangsa memandang terhadap kita semua.  Sekolot-kolot negara-negara Afrika tidak ada kejadian seburuk dan sehina ini berlaku dalam politik mereka.

UMNO memang sah sebagai sebuah parti yang sudah hilang hidayah kerana mereka berbangga dengan melakukan kerja-kerja yang memalukan ini. Tidak pernah terfikir yang UMNO sudah jatuh sedemikian rendah darjat dan martabatnya.

Sesungguhnya kelemahan yang sedang dihadapi oleh UMNO ini berpunca dari kelemahan UMNO itu sendiri. UMNO sudah menjadi parti yang penuh dengan kekalutan dan marilah kita bertindak dan berdoa agar selepas pilihanraya ini nanti tidak akan  ada lagi kejadian-kejadian sehina ini berlaku dalam politik negara kita lagi.

Ianya amat memalukan kita semua. Kadang-kadang kesian juga melihat UMNO ini. Tapi sudah tidak dapat berbuat apa-apa lagi kerana ia sudah terlalu jauh tersasar dari sasaran perjuangan. Hilang agama, hilang budaya dan hilang adab serta adat Melayunya.

Melayu telah hilang segala identitinya. Itulah sumbangan terbesar UMNO terhadap bangsanya.

14 May 2012

UMNO patut berhimpun sekali lagi

Saya mencadangkan supaya UMNO mengadakan perhimpunan seperti yang diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 11hb Mei yang lepas sekali lagi. Pada perhimpunan UMNO di Bukit Jalil baru-baru ini seramai 100,000 orang telah dapat dihimpunkan oleh Najib untuk menunjukkan sokongan ramai terhadap UMNO dan BN.

Saya kira UMNO perlu melakukannya sekali lagi dan himpunkan seramai 2 juta manusia untuk menyamai ‘equation’ himpunan Bersih 3.0 yang dihadiri oleh 300,000 orang pada 28hb April yang lalu. Lain-lain perkataan hanya himpunan 2 juta rakyat sahaja boleh menyamai kekuatan 300,000 kehadiran dalam himpunan Bersih itu untuk mendapat ‘legitimacy’ sokongan rakyat. DAN dalam perhimpunan itu nanti bawa bersama rakyat dari kaum-kaum lain untuk menyatakan yang UMNO serta BN iu mendapat sokongan rakyat berbilang kaum.

Setakat 100,000 orang yang mampu dihimpunkan oleh UMNO itu sangat tidak seimbang dengan belanja dan kemudahan yang diberikan oleh UMNO kepada siapa yang datang untuk berhimpun di Stadium Bukit Jalil itu. Seperti biasa UMNO akan memberikan ‘5-T’ untuk menghimpunkan orang ramai.

Pertamanya mesti ada T-shirt secara percuma.; Keduanya mesti ada Tambang;  Ketiganya mesti ada Transport jika tidak diberikan tambang; Keempatnya mesti ada Topi dan yang akhir sekali Tempat Tidur.  Jika tidak ada ‘5-T’ ini jangan diharap ramai yang akan keluar untuk berhimpun.

Di IOI  Golf and Country Resort begitu ramai peserta himpunan dari Terengganu. Tidak tahu berapa jumlahnya tetapi mereka diangkut dengan 80 buah bas untuk meramaikan peserta Himpunan Ulang Tahun UMNO yang ke 66 itu walaupun parti itu telah mati 24 tahun yang lalu.

Hotel-hotel di Kuala Lumpur telah penuh ditempah oleh UMNO seluruh negara untuk menempatkan peserta yang telah diangkut dengan bas-bas yang di tempah dari seluruh pelusuk tanah air. Pada malam sebelum perhimpunan itu saya telah diberitahu oleh peserta-peserta yang saya kenali yang pusat-pusat hiburan seperti pusat karaoke dan kelab-kelab malam begitu sibuk melayan ramai pelanggan yang akan berhimpun di Stadium Bukit Jalil keesokan harinya.

Agaknya ini lah salah satu dari program transformasi ekonomi negara yang diusulkan oleh Perdana Menteri Najib kita.

Berbeza sangat dengan Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28hb April yang lalu. Bersih 3.0 telah menghimpunkan lautan manusia seramai 300,000 yang datang daripada  seluruh pelusuk  negara.  tanpa dibayar. Mereka datang memakai T-Shirt juga tetapi mereka mengeluarkan wang saku sendiri untuk membeli T-Shirt-T-Shirt tersebut. Bersih juga tidak membayar peserta-pesertanya untuk datang dalam perhimpunan mereka.

Perbezaan yang lebih jelas ialah Bersih 3.0 dihadiri oleh setiap bangsa, Melayu, Cina dan India. Buat pertama kalinya Bersih 3.0 disertai oleh rakyat kelas menengah dan ramai ahli-ahli korporat dan eksekutif-eksekutif dalam sektor swasta yang sebelum ini tidak pernah mengambil tahu untuk berhimpun dan memberikan sokongan kepada himpunan Bersih. Yang pasti sokongan terhadap himpunan Bersih itu adalah sokongan yang ‘legitimate’.

Bersih juga mendapat sokongan dari rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara dan diberitakan himpunan kecil dan besar telah di adakan di lebih dari 60 lokasi seluruh dunia. Itulah sebabnya saya membuat equation 2 juta himpunan UMNO baru boleh menyamai kekuatan sokongan dari 300,000 peserta himpunan Bersih.

Jika UMNO boleh menghimpunkan seramai 2 juta rakyat, barulah Najib boleh memikirkan untuk memanggil pilihanraya umum yang akan datang. Jika himpunan UMNO sekali lagi di adakan dan datang peserta perhimpunan itu seramai 300,000 dengan tanpa ‘5-T’ tadi barulah Najib cepat-cepat mengadap Yang Di Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Baginda bagi membubarkan parlimen.

Bagi rakyat yang prihatin terhadap kehendak demokrasi seperkara yang dikehendaki oleh rakyat ialah untuk mendapatkan kerajaan yang dipilih secara ‘legitimate’ oleh rakyat negara ini sendiri , bukannya dari pendatang-pendatang asing. Janganlah hendaknya PRU kali ini menjadi medan diantara pilihan rakyat sendiri dengan pilihan pendatang asing pula.

Jika kerajaan ingin menjadi kerajaan yang benar-benar ‘legitimate’ keluarkanlah nama-nama mereka yang tidak layak mengundi dari senarai daftar pengundi. Dapatkanlah kuasa secara ‘legitimate’. Barulah boleh mengaku sebagai kerajaan yang ber ‘moral’ dan ber ‘intergriti’.

Bila rakyat mendapat kepimpinan yang bermoral barulah rakyat hidup selesa dan menjauhi perasaan was-was yang selama ini menghantui perasaan mereka (rakyat).