28 February 2014

Seperti UMNO, PKR juga wujud 'rent seekers' yang ganas

Tan Sri Khalid Ibrahim memeterikan MOU dengan kerajaan pusat tanpa memberitahu pimpinan PKR untuk mengelakkan ‘rent seekers’ dari mempengaruhi perjanjian dan urusan untuk menyelesaikan isu air terawat diantara kerajaan Persekutuan dan Negeri. Kata Khalid beberapa orang pimpinan PR telah menemukan beliau dengan beberapa orang untuk menentukan nilai dan harga aset air di Selangor.

Khalid berkata beliau merupakan ‘investment banker’ yang berpengalaman dan beliau tidak mahu ‘principal’ yang penting tidak di ikuti iaitu untuk menilai aset dahulu baru ditetapkan harganya. Tetapi di sebaliknya mereka (pimpinan PKR) mahukan ditentukan harganya dengan tinggi dahulu baru di buat penilaian mengikut harga yang telah ditetapkan itu.

Menentukan harga dan tentukan nilainya mengikut harga yang dipersetujui itu, merupakan perkara yang sangat selalu kita dengar dan itu merupakan perkara yang selalu dilakukan oleh projek-projek besar dalam kerajaan UMNO. Itu yang menyumbang kepada korupsi yang begitu menular dalam BN. Itu pun yang rakyat marah dan memilih untuk memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat khususnya kepada PKR dalam pilihanraya dahulu di Selangor.

Tetapi apabila PKR mentadbir, perkara yang sama nampaknya berlaku juga dan itu yang membuatkan Khalid tidak berpuas hati dan melaksanakan apa yang telah terurus dengan kerajaan Persekutuan dengan cepat tanpa memberi tahu parti terlebih dahulu. Zaid Ibrahim, bakal calon bebas, dalam PRK Kajang telah menyebut isu Anwar mahu menjadi MB Selangor untuk mempengaruhi ‘deal air’ yang merupakan satu ‘exercise’ yang begitu besar itu.

Dalam isu ini saya lebih cenderung untuk merasa yakin terhadap kenyataan beliau (Zaid) yang Anwar juga tidak terlepas dari budaya dalam UMNO itu. Maka tidak salah jika saya katakan beberapa kali dalam blog ini yang Anwar merupakan seorang yang mempunyai DNA yang menebal dalam dirinya. Dalam sejarah Anwar, beliau tidak pernah tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh UMNO semasa beliau berada di dalamnya, malahan beliau merupakan ‘proponent’ terbesar dalam pembentukan budaya ‘rent seeking’ ini.

Tetapi malangnya beliau dipecat dan baru lah beliau bercakap dengan nada yang nyaring yang UMNO di saratkan dengan budaya ‘rent seeking’ yang susah untuk dikawal. Tetapi kecenderungan budaya yang sama berlaku dalam PKR, juga nampaknya sangat besar dan ia diakui oleh Menteri Besar dari parti itu sendiri. Saya yakin dengan kata-kata TS Khalid ini kerana beliau merupakan ‘boss’ saya agak banyak tahun  juga, semasa saya berkhidmat dengan sebuah agensi pelaburan kerajaan yang besar dalam mana TS Khalid adalah ketuanya. Budaya kerja dan sikapnya mengenai tindakan yang ‘professional’ tidak pernah diabaikan beliau.

Dalam perjanjian yang ditanda tangani tiga hari yang lepas, Kerajaan Selangor akan mengambil alih semua aset air di Selangor yang dipegang oleh Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Syarikat pengeluar air Selangor (Splash) dan Konsortium ABASS (ABASS) dengan harga RM 9.6 billion.

Bagi kepentingan pihak kerajaan Persekutuan pula, Kerajaan negeri Selangor akan mengeluarkan ‘development order’ dalam tempoh 30 hari untuk pembinaan ‘Langat 2 water treatment plant (Langat 2) (package 2A) serta distribution system (LRAL2)’. Dengan termetrinya MOU ini maka selesailah perbezaan diantara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri yang sudah berlarutan selama enam tahun sehingga hari ini.

PKR akan memanggil Khalid Ibrahim untuk memberikan penerangan terperinci tentang perjanjian yang tidak di maklumkan oleh Khalid kepada PKR itu. Keadaan ini sudah pasti menjejaskan imej PKR yang tidak henti-henti melaungkan isu transperansi dan isu-isu keterbukaan tetapi kenyataan Khalid itu menampakkan dengan jelas yang PKR juga mempunyai dan mengalami budaya yang sama seperti yang ada di dalam UMNO itu.

Kedudukan PKR sebagai parti reformis tercalar kerana jika ada budaya-budaya yag sama di dalam PKR seperti yag ada dalam UMNO itu. Maka imej sebagai parti reformis itu tidak membawa apa-apa keuntungan kepada rakyat yang selama ini mengharapkan PKR untuk membetulkan keadaan buruk itu.

Imej reformis itu adalah kosong semata-mata. Samada DAP dan PKR boleh memulihkan kembali imej terbalik PKR itu, terpulang kepada keadaan. Pandangan sepintas lalu imej ini akan menusuk kedalam pemikiran dan jiwa rakyat yang sentiasa dikelirukan oleh pemimpin-pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab itu.

Laungan PKR selama ini sudah menunjukkan bukti yang ia hanyalah indah khabar dari rupa. Tiada sisik perjuangan seperti yang dilaungkan mereka.

Kita memerhatikan keadaan dengan dekat, lebih-lebih lagi sejak tindakan Anwar memaksa PRK Kajang itu dilakukan dengan tergesa-gesa itu. Mungkin benar kata-kata setengah pihak, Anwar dalam perjalanannya ke Putrajaya tidak henti-henti menyusahkan rakyat yang sedang hidup dalam keadaan tenang sekarang ini.

Tetapi pengikutnya yang fanatik tetap percaya yang beliau merupakan satu-satunya pemimpin yang layak menjadi Perdana Menteri…tidak dua , tidak tiga dan tidak ada yang lain pilihan Tuhan untuk memimpin kita. Kata mereka Anwar diturunkan kedunia ini untuk menyelesaikan semua masalah. Mungkin masalah dalaman yang sedang dihadapi oleh PKR ini, akan membawa penyelesaian kepada semua masalah yang lain pula.

Tuhan tidak menurunkan Anwar untuk menyelesaikan masalah beliau sendiri. Malah beliau, biar rakyat yang menyelesaikannya. Itu pun dengan izinNya jua. Masanya akan sampai. Itu pun dengan kehendak dan izinNya juga.

Tetapi hukum akal berkata Pakatan Rakyat akan berpecah, buka kerana DAP atau PAS tetapi oleh kerana parti tunjangnya, iaitu PKR. Telahan saya mungkin salah, tetapi itu adalah telahan yang telah difikirkan dengan panjang dan teliti. Dalil-dalil perpecahan itu semakin hari semakin terang dan jelas.

27 February 2014

Daim kritik Najib selepas kritik Anwar....sebenarnya mereka tu sama sahaja

Daim sudah terlalu jauh mengkritik Najib dan cuba menunjukkan bukti-bukti mengikut interpretasi beliau sendiri diatas segala kegagalan Najib sebagai Perdana Menteri. Sebenarnya baik Daim mahu pun Dr Mahathir, mereka tidak boleh dari segi moralnya mengkritik Najib sedemikian rupa. Yang boleh mengkritik Najib itu adalah orang lain…orang-orang seperti saya dan ramai yang lain kerana kami yang mengkritik ini tidak pernah bertanggungjawab menaikkan Najib sehingga menjadi Perdana Menteri.

Seperti Dr Mahathir, Daim juga merupakan pemimpin yang bersama Dr Mahathir menaikkan semua pemimpin yang mewarisi kepimpinan Dr  Mahathir yang mereka (Daim, Mahathir) menjadi Perana Menteri itu. Abdullah Badawi dan Najib merupakan pemimpin yang sudah diatur-atur oleh Dr Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri semasa mereka ini semuanya sebalok dengan Mahathir dan Daim ini.

Tanpa kemahuan Dr Mahathir dan sokongan Daim semasa itu Abdullah dan Najib tidak mungkin dengan mudah menjadi Perdana Menteri. Sesungguhnya Daim dengan Dr Mahathir itu adalah sama. Mahathir yang 'terkentut-kentut', Daim pula yang 'ke tandas'. Daim itu sendiri tidak akan kemana-mana jika beliau tidak di bawa oleh Dr Mahathir untuk menggantikan Tengku Razaleigh sebagai Menteri Kewangan selepas perhimpunan agung UMNO pada tahun 1984 dahulu.

Kami masih ingat Daim telah menjadi kaya raya selepas hanya beberapa bulan sahaja menjadi Menteri Kewangan. Sebelum itu seperti ramai yang lain menghadapi terlalu banyak masalah perniagaannya. Pendeknya kekayaan beliau sekarang bermula setelah beliau menjadi Menteri Kewangan dan Bendahari Agung UMNO pada tahun 1984 dahulu. Ramai yang tidak tergulung kedalam kumpulan ‘Melayu mudah lupa’ yang di sebut oleh Dr Mahathir suatu ketika dahulu.

Untuk mengingatkan Dr Mahathir dan Daim ini, masih ramai orang melayu atau ahli-ahli UMNO (asal) dahulu tidak lupa-lupa kepada apa-apa yang Daim lakukan untuk dirinya terutamanya selepas sahaja beliau diangkat menjadi Menteri kewangan dahulu. Kita boleh singkap segala kerja yang tidak senonoh yang bertentangan dengan etika kepimpinan sebuah negara demokrsi berparlimen negara kita.

Perlantikan beliau ke dalam kabinet pada Jun 1984 dahulu adalah untuk memudahkan segala niat dan kemahuan peribadi pucuk pimpinan semasa itu mudah diperlakukan. Selagi ada pemimpin seperti Tengku Razaleigh dalam kabinet beliau (Mahathir) selagi itulah beliau susah untuk melakukan sesuka hati beliau dalam kabinet itu.

Maka menggantikan TR dengan Daim itu merupakan tindakan yang menambah ‘expediency’ untuk beliau melakukan apa yang beliau mahukan dan melanggar etika kepimpinan sebuah kerajaan demokrasi itu. Malahan perlantikan beliau sebagai Menteri Kewangan melalui jalan Dewan Negara (senator ship) itu sendiri sudah melanggar etika jika dipandang dari sudut amalan sebuah negara berdemokrasi yang maju. Dalam banyak negara maju perlantikan Menteri Kewangan itu selalunya adalah dari ‘elected representative’.

Contohnya (the exchequer) atau Menteri yang bertanggungjawab tentang kewangan di Britain selalunya dilantik dari kalangan ‘elected representatives’ dan tidak dilantik mengikut kemahuan Perdana Menteri sahaja. Hanya di negara-negara dunia ketiga sahaja mungkin terdapat seorang Menteri Kewangan itu masuk kabinet melalui ‘pintu belakang’. Tetapi Daim yang belum pernah dipilih oleh rakyat semasa itu dilantik oleh Perdana Menteri Mahathir diatas kedudukan beliau sebagai Ahli Dewan Negara yang di lantik.

Daim telah menyelesaikan masalah beliau sebaik sahaja menjadi Menteri Kewangan dan dalam jangka masa yang pendek sahaja Daim terkenal sebagai  'the economic czar' oleh mereka yang menjadi kroni kepada beliau sedangkan beliau menjadi seorang yang begitu tinggi kehartawanannya hanya sesudah menjadi Menteri Kewangan. Beliau sendiri tahu hal ini.

Hanya beliau menggunakan ‘ignorance’ pihak ramai itu sahaja yang membuatkan beliau sebagai seorang yang kononnya sangat ber ‘consequence’ dalam politik dan kerajaan negara ini. Hanya semasa itu mereka yang sedang mengelilingi Daim itu masih ‘kencing bercabang’ dan kurang arif untuk membuat penelitian terhadap pemimpin yang dianggap ‘czar’ oleh setengah pihak ini.

Hanya sekarang kumpulan Daim dan Mahathir ini sedang mencari pilihan yang baru untuk memerintah negara dan jika boleh yang terpilih nanti biarlah dikalangan mereka yang kumpulan ini boleh genggam dan mempengaruhi kepimpinan baru itu nanti. Ini lah yang Dr Mahathir dan Daim belum mendapatnya….iaitu seorang Perdana Menteri yang boleh mengikut kata-kata dan kehendak mereka sekarang ini.

Semasa Anwar berkuasa, dan masih bersama Dr Mahathir, Daim sering ke rumah Anwar dan pernah menulis betapa hebatnya Anwar dan Anwar sahajalah yang boleh menjadi pemimpin negara walaupun pada kami yang memahami keadaan sebenarnya kami tahu yang Anwar itu dipilih atau dilantik oleh Dr Mahathir untuk kepentingan mereka sendiri.

Sekarang Anwar sudah menunjukkan siapa beliau sebenarnya maka Anwar menjadi sasaran mereka dan mengalih pula sokongan untuk Najib dengan membuang Pak Lah yang terbukti seorang yang ‘degil’ dan tidak mahu mempedulikan kehendak kumpulan ini. Sekarang Najib pula seorang yang ‘degil’ dan tibalah masa dan giliran Najib pula untuk menerima padah dari bersandar kepada kumpulan ini untuk menaiki takhta kepimpinan negara.

Justeru sekarang ini apa yang sedang berlaku dan kekalutan politik sekarang ini semata-mata kerana kepentingan mereka yang besar-besar ini sahaja. Mereka adalah dari acuan yang sama seperti yang disebut oleh blog ini acapkali. Mahathir, Daim, Anwar, Najib dan Muhyiddin serta pucuk pimpinan beberapa orang pemimpin dalam kerajaan yang tinggi itu sama sahaja.

Hanya kita yang dibawah-bawah ini cuba hendak bermain politik dan sanggup bergaduh sesama sendiri dengan ‘name calling’ yang buruk seperti mem'babi'kan sesama sendiri dan banyak lagi istilah-istilah yang terhambur dari mulut penggiat-penggiat yang baru hendak masuk politik sekarang ini.

Akhirnya mereka sesama mereka juga yang untung, baik dari pihak Anwar misalnya mahu pun dari pihak yang bertentangan. Pergaduhan diantara mereka tidak kena mengena dengan perjuangan untuk rakyat. Kata-kata memperjuangkan untuk rakyat itu hanyalah lagu yang dinyanyikan oleh 'lidah yang tidak bertulang' mereka sahaja.

Masing-masing pemimpin besar-besar sekarang yang sedang sibuk itu, hanya menggunakan rakyat sebagai kubu pertahanan masing-masing, kerana rakyat rela diperlakukan begitu.

Buat sekarang ini rakyat Kajang sedang dibawa kekancah perebutan harta rampasan yang ada di Putrajaya itu. Tidak kurang dan tidak lebih dari itu. Dalam perebutan itu adalah dikalangan pengikut masing-masing mendapat habuan atau berharap untuk habuan, jika kumpulan masing-masing berjaya mendapatkan harta rampasan itu.

26 February 2014

Apabila ketagih dengan kuasa semua janji di lupakan

(sambungan)

Pada sekitar 1985/86 kedengaran rakyat dan ahli-ahli UMNO sendiri tidak begitu selesa dengan perkembangan baru dalam kerajaan dan negara kerana budaya meninggalkan perjuangan asal UMNO itu semakin jelas. Ciri-ciri pemimpin menumpukan untuk mengumpulkan harta kekayaan sudah menjadi semakin nyata. DEB yang sebelum itu mendapat sokongan berbilang kaum sudah mula diabaikan oleh pimpinan semasa itu dan kerajaan mula menumpukan hanya kepada pembangunan fisikal untuk menjadi bahan tayangan dan ‘testimonial’ kepimpinan Mahathir yang baru berusia 6 tahun semasa itu.

Pimpinan mengambil pembangunan fisikal sebagai satu-satunya ciri pembangunan negara tanpa menghiraukan pembangunan nilai moral dan kemasyarakatan yang maju. Secara cepat masyarakat telah dibentuk sebagai masyarakat ‘materialistic’ dan menganggap kemajuan ekonomi seseorang itu sebagai petanda arah kemajuan negara. Pimpinan berbangga dengan lapangan terbang yang cantik dan besar, jambatan yang terpanjang dan bangunan yang tinggi-tinggi serta tiang bendera yang tertinggi dalam dunia sebagai tanda kemajuan. Suatu ketika dahulu dalam kawasan angkasapuri ada sebuah gong yang dibanggakan sebagai tanda kemajuan negara kerana gong itu merupakan gong yang terbesar di dunia.

Segala-galanya mesti di lakukan dengan tergesa-gesa untuk melihat negara berkembang kemajuan tanpa diperlakukan ‘planning’ yang difikirkan dengan cermat sebelum melaksanakan projek pembangunan. Dalam pembangunan fisikal negara yang tergesa-gesa itu banyak elemen penting untuk rakyat diabaikan dan dengan deras sikap ‘materialistic’ rakyat wujud dengan jelas sehinggakan ada yang bertanya, ‘berapa harga yang terpaksa ditanggung semata-mata kerana pembangunan yang begitu cepat’ tanpa sebarang perancangan yang teliti untuk membawa pembangunan negara yang seimbang diantara pembangunan fisikal, material dan sosial rakyat.

Maka perasaan dan keresahan rakyat terzahir dengan tindakan banyak bahagian UMNO mencadangkan supaya Mahathir diketepikan untuk menjaga masa depan negara dan rakyat. Sebanyak 38 bahagian UMNO telah mencadangkan T Razaleigh Hamzah untuk menyumbang kepada kepimpinan negara dengan meminta beliau bertanding dan menyaingi Dr Mahathir sebagai Presiden UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri negara ini. Hasilnya Mahathir berjaya mempertahankan kerusi Presiden itu dengan majoriti 43 undi sahaja…. satu keputusan yang sangat ‘controversial’ semasa itu.

Jika kita teringat janjinya (Mahathir) semasa mengambil alih kepimpinan UMNO pada tahun 1981 sebelumnya kita beranggapan yang Mahathir akan berundur dari kepimpinan negara. Beliau telah berjanji jika ada tanda-tanda yang sebahagian dari rakyat sudah tidak menyokongnya beliau akan berundur secara terhormat. Tetapi apa yang beliau lakukan adalah sebaliknya. Semasa berkempen dalam pemilihan itu beliau berkata menang satu undi pun itu adalah kemenangan.

Beberapa hari selepas itu beliau membuat kenyataan, jika beliau kalah sekali pun beliau masih boleh menjadi PM dengan bersandar kepada sokongan di Parlimen dan berbagai-bagai alasan yang lain yang bertentangan dengan janji beliau semasa mengambil alih kepimpinan dari Hussein Onn enam tahun sebelum itu.

Jika Mahathir mengambil sikap Tun Hussein Onn dan berundur dengan kekurangan keyakinan rakyat itu, ramai berpendapat keadaan sekarang tidak akan menjadi begitu nyata. Lagi pun itu bukan janji sesiapa, tetapi janji itu adalah janji beliau sendiri untuk berundur jika ada sebahagian rakyat yang sudah tidak menggemari beliau lagi.

Tetapi beliau mengambil tindakan yang terbalik dari apa yang beliau telah janjikan. Oleh kerana beliau mahu lagi meneruskan duduk dikerusi PM itu lebih lama lagi, beliau telah menghancurkan semua pihak termasuk membakar semua institusi demokrasi dan juga membunuh partinya sendiri yang kemudiannya diarahkan kesalahan kepada pihak lain.

Ini merupakan kejadian yang tidak dapat dilupakan oleh setengah pihak yang insaf dan kebanyakan dari mereka kini berada jauh dari politik ‘gutter’ seperti ini. Politik diambil alih oleh mereka yang tidak mempunyai roh perjuangan asal lagi. Dengan keadaan begitu, ramai yang menyertai pasukan Mahathir tidak lain dari hanya untuk mendapat laba kepimpinan dan kuasa, semata-mata untuk kuasa.

Lebih baik kita berterus terang kerana itu sahaja yang boleh membikin sesiapa yang ingin membetulkan keadaan poltik itu boleh menyelesaikan masalah. Masalah akan hanya selesai jika masing-masing memahami bagaimana masalah itu timbul dan dengan itu boleh membuka kembali kekusutan yang telah tersimpul sekian lama.

Pihak-pihak yang bergaduh sekarang tidak boleh menyelesaikan kekusutan ini, bukan parti-parti politik, dan bukannya mereka yang berjaya mengumpulkan orang untuk menolak kumpulan yang lain untuk mendapatkan kuasa.

Yang mampu membina kembali politik dan negara yang aman seperti yang pernah kita alami dahulu, hanya boleh dilakukan dengan jiwa yang sabar dan luhur dan tidak mungkin oleh mereka yang berjuang diatas landasan parti-parti politik semata-mata.

Tetapi saya ulangi, keadaan buruk yang wujud hari ini adalah keadaan yang boleh membawa keadaan untuk menunjukkan perbezaan jika kita telah bersedia untuk memulakan agenda baru politik negara, dalam negara yang baru dan dalam keadaaan dan situasi yang baru.

Kita telah terlalu jauh tersasar dan marilah kita memulakan langkah untuk berbaik-baik diantara satu dengan lain sampai ketahap kita rela untuk tidak mendapat apa yang kita hajati semata-mata kerana kepentingan negara yang kita dahulukan itu.

Tidak perlu kita merancang pilihanraya kecil misalnya, semata-mata kerana kepentingan politik peribadi dan menggunakan isu yang dirancang untuk menghalalkan tindakan politik ‘gutter’ yang mengelirukan ini.

Cukup-cukuplah, berikan pemimpin yang mampu membawa kesejukan kepada negara dari memilih diantara pemimpin yang sentiasa berperang diantara satu dengan lain, memilih salah satu diantara dua pihak yang berperang seperti sekarang ini, ia tidak akan membawa apa-apa kesejukan kepada negara.

Jangan di ikutkan hati, nanti mati.

UMNO yang sudah tidak ku kenali lagi

Najib sedang menghadapi tekanan lebih hebat dari apa yang dialami oleh Abdullah Badawi semasa Abdullah masih Perdana Menteri dahulu. Semasa Dr Mahathir mundar mandir ke darat dan ke baruh membidas Abdullah, masih ramai pemimpin dan ahli UMNO yang mempertahankan Abdullah Badawi. Kumpulan Abdullah telah memberikan reaksi yang agak kuat terhadap tindakan Dr Mahathir, sehinggakan Dr Mahathir sendiri telah dimalukan oleh Abdullah. Dr Mahathir telah di gagalkan oleh perwakilan Kubang Pasu untuk beliau menjadi perwakilan ke perhimpunan agung UMNO pada tahun 2006 dahulu.

Di sebaliknya sekarang ini tidak kedengaran suara mempertahankan Najib dikalangan pimpinan UMNO selain dari sekali sekala kedengaran Ketua Pemuda Khairy membela beliau dalam beberapa isu. Sesungguhnya Najib merupakan seorang ‘orphanage leader’ yang hanya dapat pembelaan mungkin dari isterinya sahaja. Satu dua insiden kedengaran Ahli Parlimen Kota Belut, seorang Menteri baru yang bernama Rahman Dahalan yang membela Najib dengan sambil lewa sahaja.

Kalaulah keadaan ini berlaku semasa tahun tujuh puluhan dahulu, seorang Perdana Menteri yang berada dalam situasi seperti Najib ini pasti akan meletakkan jawatan jika sudah ada tanda-tanda pemimpin mereka itu tidak mendapat sokongan padu dari ahli partinya. Pemimpin itu tidak akan bertahan kerana takut partinya akan perpecah belah dan mereka rela melepaskan jawatan tertinggi mereka demi kelangsungan perpaduan diantara ahli parti dan rakyat.

Saya ingin mengingatkan insiden-insiden yang masih segar dalam ingatan saya tentang isu isu ini yang anak-anak muda sekarang mungkin menganggapnya sebagai ganjil. Walaupun ia berlaku lebih tiga puluh tahun dahulu saya tetap ingat dan menjadikan sikap yang diambil oleh pucuk pimpinan semasa itu sebagai tauladan baik yang sepatutnya di ikuti oleh pimpinan hari ini.

Tetapi ia tidak ditauladani lagi kerana nilai kepimpinan sekarang sudah jauh berbeza kerana nilai yang baik dahulu itu tidak di gilapkan oleh pucuk pimpinan yang bernafsu kuat untuk berkuasa berseorangan. Nilai kepimpinan seperti itu sudah dianggap ‘out-of- date’ kata setengah yang baru main politik, hari ini.

Tun Hussein Onn merupakan contoh yang terbaik untuk kita buat contoh dalam isu ini. Selepas sahaja beliau ditentang oleh Hj Sulaiman Palestin sebagai Presiden UMNO pada tahun 1978 dahulu, beliau terus mengumumkan yang beliau tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan 1981 nanti. Beliau tahu walaupun beliau memenangi undi dengan majoriti yang sangat besar, beliau tahu ada sedikit dikalangan pimpinan dan ahli-ahli UMNO tidak menyokong beliau.

Beliau juga tahu yang beliau telah di sabotaj oleh Timbalannya sendiri yang tidak sabar mahu mengambil alih kepimpinan negara dari beliau. Hakikatnya penyertaan Hj Sulaiman Palestin untuk menandingi beliau adalah dari galakan ‘invisible hands’ yang mahu beliau berundur secepatnya kerana mahu mangambil alih kepimpinan negara itu. Beliau mengundurkan diri bukan kerana penolakan rakyat yang ramai tetapi oleh kerana ‘insubordinations’ yang dilakukan oleh pimpinan yang hampir dengan beliau.

Menyedari keadaan ini beliau mengambil keputusan untuk memberikan sahaja jawatannya kepada orang yang tidak sabar mahukan jawatan itu. Maka pada tahun 1981, Hussein tidak mempertahankan jawatannya dan memberikan laluan kepada Dr Mahathir secara percuma.

Pada perhimpunan itu dalam ucapan penangguhan Dr Mahathir telah mengucapkan kepada semua pihak kerana memberikan sokonagn terhadap beliau menerajui negara dan dengan nada yang jelas beliau telah meminta semua pihak memberi tahu beliau yang jika ada tanda-tanda yang menunjukkan ada yang tidak menyokong beliau lagi, supaya memberitahu beliau. Kata beliau yang beliau akan mengundurkan diri secara terhormat.

Beliau berkata demikian kerana beliau tahu yang Hussein bersara kerana kerenah beliau sendiri dan kata-kata itu tidak lebih dari mulut manis dengan janji-janji yang tidak akan terkota. Pada perhimpunan itu jugalah Dr Mahathir memulakan permainan politik 'pecah perintah' dengan berlaganya dua tokoh Tengku Razaleigh dan Musa Hitam dalam pertandingan yang amat sengit buat pertama kalinya dalam sejarah kewujudan parti UMNO itu. 

Dr Mahathir merasakan semua yang berada disekeliling beliau itu meresahkan beliau. ‘Inferiority complex’ yang menebal dalam diri beliau membuatkan beliau tidak boleh selesa dan siapa sahaja yang mempunyai kepimpinan tidak disenangi oleh Dr Mahathir. Secara sistematik mereka yang berkepimpinan hilang dari barisan kepimpinannya dan akhirnya beliau dikelilingi oleh mereka yang ada sekarang ini yang tidak pernah diperlukan pemikiran mereka oleh Mahathir.

Semasa pemerintahan Dr Mahathir semuanya tidak perlu berfikir kerana hanya beliau sahaja yang boleh berfikir. Ahli-ahli kabinetnya tidak perlu berfikir dan tugasan mereka amat mudah dan senang...hanya jadi burung balam dan bertepuk tangan jika beliau perlukan tepukan itu. Segala institusi demokrasi dikuasai oleh eksekutif dan sampai ke hari ini institusi itu belum lagi 'kebah dari sakit' hasil kerja tangan Dr Mahathir itu.

UMNO mula berpecah belah dan buat kali pertamanya rasa resah gelisah dikalangan ramai pemimpin kerajaan dari UMNO mula timbul. Dalam masa lima atau enam tahun pentadbiran beliau, sudah mula terserlah budaya pemimpin yang ingin menjadi kaya raya.

Budaya rasuah mula berputik dengan cepat melalui projek 'express' dengan penganugeraham kontrak secara runding terus yang kini sudah menjadi budaya dalam kerajaan semata-mata untuk memberikan ‘duit luar’ yang begitu besar jumlahnya tanpa memikirkan isu-isu yang berkepentingan rakyat. Inilah warisan Dr Mahathir yang paling besar kepada negara.

Budaya songsang pentadbiran kerajaan hari ini bermula dari Dr Mahathir dan ianya diwariskan kepada pentadbiran Pak Lah dan sekarang kepada Najib. Acuan ini sudah begitu 'terpahat' ke dalam sistem pentadbiran negara kita dan siapa pun dikalangan yang ada dalam MKT parti itu semuanya dari acuan itu.

(bersambung)