Tuanku Sultan Selangor begitu
murka dengan YB Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam berhubung dengan kritikan
ahli Legislatif Persekutuan itu terhadap MAIS bulan lepas. Khalid Samad telah
meminta Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Selangor untuk menghapuskan kuasa MAIS yang terletak dibawah kuasa baginda.
Tuanku Sultan telah mengambil kritikan terhadap MAIS oleh Ahli Parlimen Shah
Alam itu sebagai mencabar kuasa istana, dan Tuanku telah menyebut isu ini dengan
panjang lebar dalam titah ucapan baginda di masjid Pekan Sepang semalam.
Satu pertiga dari ucapan baginda
telah menyentuh isu ini dan ia membayangkan betapa murkanya Kebawah Duli Tuanku
terhadap Khalid Samad secara peribadi. Tuanku telah menyebut nama Khalid secara
‘direct’ dan bukannya secara sindiran yang selalu dan lazim disebut baginda
dalam banyak isu tanpa menyebut nama orang yang dimaksudkan itu.
Dalam kes ini Tuanku telah
menyebut nama Khalid Samad berulang kali dan salah satu ingatan baginda kepada
Khalid ialah untuk memahami negeri Selangor dan ‘attribute’ nya sebagai sebuah
negeri yang berdaulat dalam Persekutuan ini. Sebagai seorang yang bukan anak jati
Selangor atau dilahirkan di Selangor Khalid patut memahami isu dengan
terperinci sebelum membuat kritikan. Isu anak jati Selangor ini jelas di sebut
oleh Tuanku dalam titah ucapan baginda semalam.
Tuanku Sultan telah mengingatkan
semua pihak yang dalam isu dalam mana baginda diberikan kuasa untuk mengambil
keputusan tidak sesiapa akan mengajar baginda dan ia termasuklah isu mengganti TS Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Negeri Selangor.
Dalam ucapan Tuanku Sultan itu
ada dua perkara yang sangat menarik perhatian ramai, iaitu perkataan ‘anak jati
Selangor’ dan mengganti Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar. Dalam ucapan
baginda semalam, Tuanku Sultan telah mengingatkan semua pihak untuk tidak
mengajar baginda dalam isu-isu yang ada dibawah kuasa baginda.
Isu yang mengaitkan Wan Azizah
akan diusulkan untuk mengganti Khalid yang tersebar luas itu akan menjadi isu
yang sangat rumit kerana isu ‘anak jati Selangor’ tadi. Saya tidak tahu samada
Wan Azizah adalah anak jati Selangor atau dilahirkan di Selangor. Jika
kedua-duanya tidak ada kepada Presiden PKR itu maka peluang untuk beliau diangkat
dan diperkenan oleh Kebawah Duli Tuanku menjadi Menteri Besar itu adalah tipis atau
tidak mempunyai peluang seratus peratus.
Tuanku Sultan mempunyai hak untuk
memperkenankan atau memilih untuk mengekalkan TS Khalid Ibrahim sebagai Menteri
Besar atau pun sebaliknya. Lain-lain perkataan jika ada pihak atau parti politik
yang cuba
untuk melanggar perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri Selangor, ia akan
mengundang krisis perlembagaan di negeri itu.
Jika Wan Azizah tidak mempunyai
kelayakan maka hanya tinggal Azmin Ali sahaja yang berkelayakan untuk
menggantikan Khalid Ibrahim jika ia diperkenan oleh Kebawah Duli Tuanku. Azmin
adalah anak jati Selangor dan dilahirkan di Selangor seperti Khalid Ibrahim
juga. Sekiranya Tuanku Sultan memberikan perkenan kepada Azmin untuk menjadi
Menteri Besar, persoalannya, adakah rakan komponen dalam Pakatan Rakyat, iaitu
DAP dan PAS bersetuju dengan pencalonan Azmin sebagai Menteri Besar itu?
Pandai-pandailah membuat keputusan dan jangan menggamit krisis perlembagaan di
negeri Selangor ini
Pendeknya apa yang berlaku di
Selangor dari angkara PKR ini menjadi perhatian secara dekat oleh mereka yang
berada dalam ‘fraternity’ politik terkini di Selangor yang menjadi tontonan
seluruh rakyat Persekutuan ini.
‘Tan Sri Khalid, ‘you may still
be where you are at least until next General Election, and therefore just keep
your fingers crossed’. Teruskanlah tugasan sebagai Ketua Kerajaan Negeri
Selangor dalam ketenangan. Biarkan sahaja mereka yang memilih untuk berada
dalam keresahan itu terus berada dalam keresahan, kerana itu adalah pilihan mereka
sendiri, bukan pilihan sesiapa yang lain.