27 July 2008

UMNO sudah pandai ber'muqabalah'

Sekarang ini pemimpin UMNO sudah pandai bercakap fasal ‘muqabalah’ dan kadangkala saya geli hati mendengarnya.

Pemimpin besar kita sudah berjumpa dengan pemimpin PAS untuk ‘bermuqabalah’ sebanyak tiga kali untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi berhubung dengan perselisihan faham antara UMNO dan PAS.

Apabila kita adakan muqabalah, ia bermakna berjumpa untuk menyelesaikan isu-isu yang bertentangan antara dua belah pihak dengan mencari kemuafakatan agar kedua-dua pihak tidak berpecah.

Parti komponen BN akan diberikan taklimat tentang usaha UMNO untuk mengadakan muqabalah ini selepas mesyuarat Pengurusan UMNO pada 6hb Ogos ini untuk mengelakkan rasa curiga di kalangan parti komponen BN.

Saya hairan apakah tujuan Abdullah untuk bermuqabalah dengan PAS sedangkan yang perlu beliau adakan muqabalah itu ialah di kalangan pemimpin UMNO dan ahli-ahlinya sendiri.

Masalah di kalangan kita dalam UMNO jauh lebih besar daripada masalah antara UMNO dengan PAS. Kita sesama kita yang patut adakan muqabalah kerana kita yang berpecah-belah.

Saya tidak nampak ia akan berjaya kerana kedua-dua parti mempunyai pandangan yang berbeza antara satu sama lain.

Kita boleh membuat andaian bahawa tujuan Abdullah berjumpa dengan pemimpin-pemimpin PAS itu tidak ada motif lain selain daripada meminta PAS bersetuju untuk berkongsi kuasa dengan UMNO di beberapa buah negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat.

Kita mesti ingat PAS bukannya parti yang lisut seperti UMNO dan pemimpin-pemimpin mereka jauh lebih berdisiplin daripada pemimpin-pemimpin UMNO kita.

Saya ingin mengingatkan para pemimpin kita supaya lihat ke dalam dahulu. Kita sendiri berpecah-belah, bagaimana nak sebut muqabalah dengan PAS pula?

Sesungguhnya rakyat termasuk ahli-ahli UMNO sendiri sudah lama bermuqabalah.

Kehilangan 5 kerajan negeri kepada pembangkang itu adalah hasil daripada muqabalah antara rakyat yang tidak ada keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah dan Najib.

Muqabalah ini masih lagi berlaku dan saya boleh berikan hasil muqabalah itu: Jika Abdullah dan Najib masih lagi berkuasa maka BN akan hilang kerajaan pusat selepas ini.

Muqabalah rakyat memang berterusan dan hasilnya akan kita lihat pada tengah malam semasa pilihanraya yang ke-13 akan datang.

Abdullah mesti sedar bahawa rakyat tidak ada keyakinan kepada kepimpinan beliau dan Najib.

Rakyat inginkan perubahan dan bukannya peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib.

Bagi mereka Najib patut bersara bersama Abdullah.

Rakyat sudah pun melakukan muqabalah di mana-mana, di kedai kopi, di majlis perkahwinan, kenduri tahlil, di pejabat-pejabat dan di mana-mana pun.

Saya ulangi hasil daripada muqabalah rakyat ini ialah menolak Abdullah dan Najib dan ingin melihat UMNO ada perubahan besar-besaran untuk terus releven kepada negara.

Selagi Abdullah berada di tempatnya sekarang rakyat akan terus mengadakan muqabalah! Muqabalah dan muqabalah!...kerana negara berpecah-belah.


Sekian………………………………………Aspan Alias

3 comments:

Anonymous said...

Pertemuan pemimpin tertinggi UMNO dan Pas tidak akan mencapai satu resolusi permuafakatan membela bangsa Melayu. Umumnya telah tahu kesediaan Pemimpin utama negara mengadakan perjumpaan sulit adalah bagi mendapat semula kepercayaan rakyat yang dilihat sebagai seorang pemimpin yang terdesak bagi mengekalkan kedudukannya. Kenyataan Menteri Besar Kelantan selaku Musyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat selepas pilihanraya yang lalu telah melebalkan UMNO sebagai parti yang "sesat lagi menyesatkan".

Sejak pemerintahan Tun Mahathir, PAS telah memberi kata dua terhadap UMNO bahawa PAS bersedia berkompromi bersama UMNO seandainya UMNO mengikut lunas-lunas islam yang sebenar. Saya bersetuju dengan pandangan saudara pengarang di dalam artikel "Di manakan kucari ganti", sekiranya PAS mampu menunjukkan imej natural dan mampu mengadaptasi kedalam budaya Melayu berserta wadah perjuangannya kini sudah pasti UMNO tidak lagi relevan dimata orang Melayu.

UMNO harus berubah dari menjadi sebuah parti "lubuk emas" atau melihat pengakhiran yang amat memilukan pada pilihanraya yang akan datang, di mana orang Melayu yang tiada berkepentingan di dalam organisasi UMNO akan terus menjauhkan diri dari parti tertua dinegara ini terutamanya angkatan generasi muda.

Anonymous said...

Pengabungan UMNO dan PAS.

Laporan Buletin Utama malam tadi menarik hati saya memberi komen ini. Cadangan ini merupakan satu cadangan yang membawa kebaikkan kepada bangsa Melayu, namun pada pandangan saya dalam keadaan situasi politik terkini ini lebih banyak membawa keburukkan dari kebaikkan. UMNO dan PAS mempunyai wadah perjuangan yang berbeza dan "attitude dan prinsip" ahli-ahlinya juga berbeza. UMNO kini menghadapi kecelaruan dan pepecahan dari peringkat atasan hingga ke akar umbi.

UMNO harus memperbaiki masalah dalamannya terlebih dahulu dan mencari pemimpin yang mampu mengangkat martabatnya sebagai parti yang membela bangsa Melayu kerana UMNO kini hanyalah umpama "tin kosong" tersegam indah hanya di luarnya. Sementara PAS kini dilihat sebagai satu parti yang semakin bertapak dihati orang Melayu dan cuba mengubah imej yang dikenali sebagai imej "orang masjid" kepada suatu imej yang lebih bersifat keterbukaan dan profesional dengan meletakkan calon-calon yang berlatarbelakang dari golongan profesional berbanding dahulunya hanya berprofilkan agama yang sama sekali gagal memikat hati keseluruhan orang Melayu.

Kita tidak mahu sejarah berulang apabila S46 memasuki UMNO selepas pilihanraya ke-9, orang Melayu kehilangan sebuah parti yang membela nasib orang Melayu apabila parti UMNO mengalami pergolakkan sekitar tahun 1998-1999 sehingga muncul sebuah parti baru yang berteraskan semua kaum dikenali sebagai parti Keadilan (Keadilan Rakyat).

PAS yang kini berimej baru sesuai bekerjasama dengan UMNO di dalam isu-isu yang melibatkan hal-hal orang Melayu dan Islam. Dimana UMNO dan PAS boleh berperanan membantu menyokong satu sama lain apabila sesuatu usul yang melibatkan isu-isu hak-hak orang Melayu dibangkitkan seperti mana yang dilakukan oleh MCA dan DAP apabila isu-isu sensitif perkauman dibicarakan. Namun mampukah kedua-dua parti ini bekerjasama demi bangsa Melayu? ekoran masih ada jurang diantara kedua-dua parti ini.

Orang Melayu sudah pasti mahu melihat kedua parti ini bersatu teguh membela bangsa Melayu, namun dalam situasi politik terkini, pengabungan kedua-dua parti ini hanya akan membawa lebih banyak keburukkan daripada kebaikkan. Persoalannya mampukah ahli-ahli UMNO menerima prinsip-prinsip islam yang dibawa didukung oleh PAS? mampukah ahli-ahli PAS menerima budaya yang ditonjolkan oleh ahli dan pemimpin UMNO? dan persoalan saya yang terakhir mampukah mereka ini bersikap profesional apabila didominasi oleh orang lain yang mempunyai matlamat yang sama namun mempunyai prinsip yang berbeza?....

Pemimpin utama UMNO yang sedia ada seharusnya berundur bagi memberi ruang kepada pemimpin lain yang lebih berkaliber dan berwibawa bagi menyelamatkan UMNO yang kian hari kian tenat. Jangan nanti apabila tiba waktunya semuanya telah terlambat. Adakah mungkin, nama pemimpin-pemimpin yang membarisi nama R.A.H.M.A.N. mampu dibertukar kepada R.A.H.M.A.T. atau sebaliknya ditukar kepada R.A.H.M.A.A jika Rakyat semakin bosan dan mual, Renungkanlah...

pakbelalang said...

Ber'muqabalah ! Apa peleset tu? Gunakan je lah perkataan Bahasa Melayu. Anyway, kalau nak ber'muqabalah pun, nak buat apa dengan pemimpin yang dah bergelar ITEK TEMPANG !!

Pendekkan cerita, masaalah sekarang yang paling prioriti sekali dalam UMNO ialah bilakah nak "dihumbankan" Pak Lah.

Pak Lah sekarang cuba nak mengalihkan perhatian supaya kisah dirinya yang dah tempang dilenyapkan untuk sementara waktu. Jadi apabila ada mesyuarat cawangan dan bahagian nanti, ahli-ahli akar umbi akan lupa untuk mencalunkan Presiden dan Timbalan Presiden yang baru. Mereka akan sibuk membincangkan hal muqabalah, muzakarah , tapi bukan hal Pak Lah !!