Apa yang ditakutkan oleh UMNO
dengan himpunan menentang kenaikan harga barang oleh rakyat ini? kenapa ada
Menteri yang menuduh ada pihak yang melakukan subversif terhadap negara? Apa
‘subversif’ nya? Kenapa melatah sehinggakan membawa polis sendiri membuat
‘statement’ politik menghadapi isu ini? Perlu diingat rakyatlah yang paling
berhak untuk menzahirkan keresahan mereka kerana mereka tahu negara mereka
tidak diurus dengan baik malahan mereka tahu negara mereka sedang diambang
kehancuran.
Mereka juga tahu yang kerajaan
pimpinan hari ini sedang cuba
menutupi segala-gala kesalahan dan kelemahan dari pengetahuan rakyat. Sampai
bila mereka boleh bertahan, sama-sama kita lihat dan tengok. Himpunan yang
dibuat secara aman ini sudah menampakkan yang pihak kerajaan sedang cuba untuk
menunjukkan keadaan tidak aman.
Bagi saya secara peribadi saya
tidak menyokong dan menolak himpunan ini tetapi satu perkara yang harus diingat,
rakyat mempunyai hak untuk berhimpun kerana negara ini negara mereka. Ini bukan
negara kepunyaan pemimpin dan isterinya sahaja. Ini adalah negara yang akan
kita wariskan kepada anak-anak dan cucu-cucu kita dan setiap rakyat berhak
berusaha untuk mempastikan generasi kita tidak akan lebur dengan kerakusan
pimpinan hari ini.
Kepada pak Menteri dan pak Wazir
sekalian, marilah kita menjadi lebih matang sedikit. Tidak usah menuduh rakyat
hendak menggulingkan kerajaan melalui himpunan jalanan. Himpunan ini bukan
himpunan jalanan. Hanya mereka hendak berjalan menuju ke Dataran Merdeka,
tempat mereka hendak berhimpun itu sahaja.
Di sana mereka hendak berhimpun dan menuntut apa
yang perlu mereka tuntut dari kerajaan. Pasukan Polis yang dibayar gaji mereka
oleh rakyat termasuk mereka yang berhimpun itu perlu bekerjasama dan memberikan
pertolongan dalam perjalanan mereka ke Dataran Merdeka itu.
Biarkan mereka membuat tuntutan.
Jika kerajaan tidak mampu memenuhi tuntutan itu pun tidak mengapa, tetapi perlu
bertindak mengundurkan diri mereka secara terhormat dan jangan berbuat kecoh
terhadap mereka (rakyat). Saya tidak gemar mendengar seorang Menteri berkata
yang himpunan jalanan itu membuang masa sahaja. Pertamanya adakah ini
perhimpunan jalanan?
Apa yang membuang masanya.
Mungkin mereka membuang masa, tetapi mereka membuang masa untuk kepentingan
ramai. Sebaliknya Menteri itu yang membuang masa di Kementerian beliau kerana
tidak memberikan sumbangan terhadap masalah kenaikan harga barangan sekarang
ini.
Mereka bukannya menyokong
pembangkang tetapi pembangkang menyokong mereka kerana mereka sedang melakukan
sumbangan dan peranan untuk menurunkan harga barangan. Mereka ini hendak
menzahirkan tuntutan mereka kerana tidak ada tempat hendak mengadu. Hendak
mengadu kepada Menteri Pengguna, takut pula Menteri itu akan menjawab, ‘kalau
harga barangan mahal, jangan beli barang-barang’.
Justeru benarkan tanpa halangan
untuk mereka berhimpun. Alasan perhimpunan ini akan menjejaskan peniaga-peniaga
kecil itu tidak munasabah kerana dengan perhimpunan inilah peniaga-peniaga
kecil mendapat perniagaan yang laris kerana kehadiran ratusan ribu pelanggan
dari seluruh negara. Jualan minuman mereka akan laris dan karipap mereka akan
laku kerana yang berhimpun itu akan merasakan kelaparan apabila beramai-ramai diperhimpunan itu.
Kalau Menteri-Menteri merasakan
penat mengendalikan rakyat, bukankah jalan keluar nya ada? Bukankah berundur
dari memikul tanggungjawab ini adalah jalan yang terbaik? Bukankah mereka ini
sudah mengumpulkan kekayaan yang menimbun banyaknya dan tidak lagi susah-susah
memikirkan harga barang yang naik? Yang merasakan keperitan dengan harga
barangan naik ini adalah rakyat biasa sahaja dan itu pun sebabnya mereka ingin
berhimpun secara aman.
Baik Najib mau pun Zahid, jangan
'gabra' dan jangan tunjukkan jiwa yang lemah dan fakir itu. Berjiwa besarlah
saudara semua dan tolong sedikit sebanyak rakyat yang hendak berhimpunan itu.
Kalau pimpinan kita takut akan
digulingkan oleh rakyat yang ramai itu, apa salahnya? Mereka bukan hendak
memberontak secara ganas. Jika terpaksa terguling oleh kerana himpunan dan doa
ramai itu, maka semua pihak menerimanya, kerana kalau tidak ada perhimpunan ini
pun sudah sepatutnya kerajaan sekarang terguling secara demokrasi.
Pimpinan kita asyik menyalahkan
rakyat berhimpun, tetapi tidak pernah menyalahkan mereka sendiri kerana gagal mengesan
sebab-sebab mereka (rakyat) berhimpun itu.
Rakyat marah kerana segala
janji-janji BN dalam pilihanraya dahulu tidak terlaksana malah segala-gala
terbalik. Kenapa tidak berjanji yang mereka tidak dapat menunaikan kehendak rakyat
semasa berkempen siang dan malam diseluruh negara dan melalui media massa perdana itu?
Kalau pimpinan kita benar-benar
berfikir dengan jiwa yang tenang, tidak dapat tidak mereka akan dapat merasakan
apa yang dirasakan oleh rakyat ramai ini, tetapi pimpinan kita seolah-olah
pekak dan bisu dan tidak mendengar apa yang dirintihkan oleh rakyat itu.
Yang kita nampak pak Menteri kita
hanya melayan peniaga-peniaga yang mengambil kesempatan setiap hari yang
ramai-ramai membawa ‘envelope’ mengadap pak-pak Menteri kita.
Pak Menteri kita asyik berniaga
dengan bermodalkan UMNO dan BN itu. ‘Akhir bagi rakyat dan negara, hujung
hilang pangkal lesap, seperti berniaga buluh kasap’.
Hanya saya secara peribadi,
memohon agar yang berhimpun itu jangan memberikan pihak polis peluang untuk melakukan
kekerasan terhadap anda. Berhati-hati dengan penyamar-penyamar yang mungkin
ramai dihantar oleh pihak yang berkuasa untuk mencari alasan untuk memindahkan
tuduhan itu terhadap anda.
Kepada kepimpinan yang ada pada
hari ini, rasa-rasa dan agak-agak lah, jika terasa tidak mampu menahan tekanan
rakyat ini, elok berunding sesama sendiri dan meletakkan jawatan beramai-ramai.
Perlembagaan Persekutuan ada memperuntukan klausa yang jelas untuk menubuhkan
kerajaan baru yang lebih diterima dan menyenangkan hati dan jiwa rakyat.
Jika itu dilakukan, tidak akan
timbul masalah tuduh menuduh hendak menggulingkan kerajaan dan sebagainya. Jika
mereka berundur apa yang hendak digulingkan oleh rakyat lagi?