30 December 2013

Tinggi mana pun cukai, kita bayar...nanti kita tidak patriotik pula


Besok dan lusa sahaja lagi tinggal untuk ibu bapa membuat persediaan untuk menyekolahkan anak-anak masing-masing. Siapa yang akan memulakan persekolahan anak buat kali pertamanya persediaan lebih rapi terpaksa dilakukan. Ibu bapa terpaksa kesekolah bersama anak-anak mereka. Maklum sajalah ada anak-anak yang akan menangis di hari pertama persekolahan mereka dan terpaksalah ibu bapa berada di sekolah bersama-sama buat seketika. Setidak-tidaknya menghulurkan lengan mereka ke dalam kelas untuk anak-anak mereka tahu yang ibu bapa mereka ada di luar kelas itu.

Bagi mereka yang menghantar anak yang sudah sedia bersekolah seperti juga mereka yang mempunyai anak kali pertama ke sekolah,  mereka terpaksa bersedia dengan kos persekolahan yang tinggi. Ia bukan sahaja dari segi persediaan membeli buku-buku dan pakaian seragam sekolah, kali ini ibu bapa terpaksa bersedia dengan perbelanjaan tinggi dengan kos perjalanan yang bertambah begitu mendadak.

Kali ini mereka terpaksa membayar tol dari RM3 perjalanan menghantar anak ke sekolah dan RM3 lagi perbelanjaan kos tol menjemput anak dari sekolah setiap hari. Kini adalah yang terpaksa berbelanja untuk tol sebanyak RM12 sehari dari RM6. Belum lagi kos petrol dan kos yang berkaitan setiap hari.

Rakyat tidak boleh bercakap dan bertanya kerana itu akan dianggap rakyat merungut pula oleh pemimpin kita seperti yang acap kita dengar. Rasanya hendak juga bertanya kepada Menteri yang bernama Hasan Malek, tetapi kita sudah mengagak jawapan dari beliau yang akan menyakitkan hati mendengarnya kerana jawapannya selalunya bersifat ‘clownish’.

Beliau mungkin akan menjawab, “kalau mahal sangat hendak menghantar anak ke sekolah jangan sekolahkan mereka”. Justeru yang pasti rakyat sudah tidak ada tempat untuk mengadu dan mendapat jawapan yang boleh menyenangkan hati mendengarnya.

Apabila kita tidak komplain dan berdiam diri, beliau akan mengatakan yang rakyat semua bersetuju dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ini. Dalam kita berperang dengan kenaikan harga barangan seperti harga bahan api, kita mendengar pemimpin kita mengelilingi dunia, seolah-olah jika sudah jadi PM beliau wajar terbang setiap bulan keluar negara. Tetapi kita mendengar juga yang banyak PM di negara-negara lain tidak sebegitu kerap keluar negara. tetapi di negara ini PM kita keluar masuk negara ini seperti keluar masuk jamban sahaja.

Semasa PM negara Cina datang ke sini kita semua nampak PM negara terbesar dunia itu terbang dengan penerbangan nasional mereka sahaja. Tidak pula beliau terbang dengan jet-jet eksekutif yang canggih-canggih. Mungkin negara Cina tidak mampu untuk menanggung kos perjalanan PM mereka, dan mereka tidak seperti kita di sini.

Kita adalah negara yang paling kaya kerana buktinya PM dan isterinya naik jet-jet mewah  ke mana-mana tanpa ada sekatan dan halangan. Jika rakyat mempersoalkannya rakyat akan diberitahu yang mereka ada bakti dan jasa besar, maka mereka boleh menggunakan jet-jet yang mahal itu. Tidak seperti PM negara Cina dan Singapura yang tidak mempunyai apa-apa jasa kepada negara, itu sebab mereka hanya terbang dengan syarikat penerbangan nasional mereka sahaja. Entah bila PM Singapura, Cina dan PM-PM lain akan menabur jasa kepada negara mereka tidaklah kita ketahui.

Di negara ini rakyatnya semuanya baik-baik dan pengampun sifatnya. Rakyat di negara ini akan membayar segala hutang yang dibuat oleh pemimpin mereka. Pemimpin-pemimpin mereka, baik dari pihak kerajaan dan pembangkang yang berbohong, rakyat akan mengampun dan memaafkan pemimpin-pemimpin ini. Malahan lagi banyak pemimpin-pemimpin mereka membohongi mereka, bertambah kuat mereka memberikan sokongan kepada pemimpin-pemimpin ini. Mereka amat seronok dibohongi maka tidak teragak-agak mereka memberikan dukungan terhadap pemimpin-pemimpin mereka ini.

Apabila rakyat tidak cukup untuk membayar hutang mereka rakyat rela dicukai tanpa halangan. Kalau tidak bayar cukai mereka tidak melakukan kebaikan untuk negara dan kepimpinan mereka. Begitu banyak wang rakyat dilarikan dengan berbagai bagai cara yang susah untuk dibuktikan walaupun kita tahu mereka (pemimpin) melakukannya. Tetapi tidak mengapa rakyat yang baik-baik ada. Mereka akan bayar cukai lebih lagi pada tahun hadapan.

Kalau tidak sanggup bayar cukai nanti bak kata PM kita, kita tidak patriotik pula. Oleh kerana patriotik punya pasal kita akan bayar cukai banyak mana yang pimpinan kita tuntut. Jangan lawan, nanti mereka (pemimpin) akan tuduh kita nak gulingkan kerajaan pula.

Yang pemimpin kita mahukan apabila mereka mahukan kita membayar cukai dengan banyak mereka mahukan kita berjoget dan menari kesukaan kerana berpeluang untuk menunjukkan semangat patriotik kita dengan mengambil beban cukai itu.

Itulah serba sedikit yang boleh di sebut dalam posting ini dari sebahagian dari isu-isu yang berlaku dan disebut oleh rakyat negara ini. Insyaallah, jika kerajaan kehabisan wang lagi kita ramai-ramailah bergolok bergadai dan membayar segala cukai dan hutang melalui kos barangan dan perkhidmatan yang tinggi nanti.

Yang pasti dalam pembentangan bajet 2015 nanti rakyat akan bersedia untuk memulakan membayar cukai GST pula. Kita mesti ikut 160 negara lain yang membayar GST ini. Kita mesti ikut untuk mengelakkan dari dituduh tidak patriotik.

Sekarang ini begitu banyak lapuran polis dibuat oleh rakyat patriotik seluruh negara kerana mereka tidak bersetuju sebahagian rakyat yang tidak patriotik berhimpun untuk menyekat kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di negara ini.

Mereka marah kerana ada kumpulan yang cuba untuk mengurangkan harga barangan. Mereka hendak bayar harga barangan yang tinggi, maka mereka pun membuat lapuran polis di merata-rata negara ini.

Banyak kumpulan yang mendesak polis menahan dan menangkap mereka yang tidak mahu membayar harga barangan yang tinggi ini. Kumpulan ini macam mana sekali pun keadaan, mahukan harga barangan keperluan kita tinggi. Lebih tinggi lebih baik. Negara dan rakyat akan lebih aman.

Daripada dituduh tidak patriotik, mari kita menari dan berjoget sambil mambayar cukai-cukai yang tinggi ini.

14 comments:

Anonymous said...

Mmg meluat dgn kepimpinan kerajaan sedia ada. apabila si jahil melantik si dungu untuk sama sama perintah negara. Dah kehabisan kata nak luahkan apa apa lagi. Heran masih ada si marhaen yg duk memandang tinggi pemerintah disebalik semua kejahilan kebodohan yang terang lagi bersuluh.

Anonymous said...

Mereka adalah pengampu penyokong membabi buta.lain org kata lain yg dia faham. Org kata nk tunjuk rasa tk puas hati harga brg mahal dia kata nk guling kerajaan .sebab itu ank muda gelar PENCACAI .jgn lupa bayar cukai.

Anonymous said...

Nak joget macam mana lagunya sumbang tuan.

Anonymous said...

Menaikkan kos sara hidup adalah suatu penindasan ekonomi terhadap rakyat.Rakyat boleh bayar tapi mampukah pemimpin membuang tabiat boros mereka ? sama-sama kita tolak pemimpin umno bn yang tidak pernah berhenti-henti menindas politik,ekonomi,sosial rakyat malaysia.

Anonymous said...

Lebih elok kalau harga gas masak naik syorkan rakyat guna kayu pokok yang senang dicari percuma lagi.

Anonymous said...

Menaikkan kos sara hidup adalah suatu penindasan ekonomi terhadap rakyat.Rakyat boleh bayar tapi mampukah pemimpin membuang tabiat boros mereka ? sama-sama kita tolak pemimpin umno bn yang tidak pernah berhenti-henti menindas politik,ekonomi,sosial rakyat malaysia.

Anonymous said...

Buat apa nak kecoh-kecoh asalkan UMNO masih memerintah, ada juga bau melayu dan islamnya. Jadi kita kenalah berlapang dada. Hidup melayu, hidup UMNO!

Anonymous said...

Pada tahun 2014 nanti, yang kekal murah adalah nyawa dan duit ringgit saja...benda lain semuanya mahal. Tapi janganlah merungut sebab ini adalah untuk kebaikan semua...kalau merungut juga, baik pindah negara lain....sebab tak patriotik kalau menegur apa yang kerajaan lakukan...Parlimen pun patut ditutup sahaja sebab tak boleh nak tegur apa pun yang dibuat...pendek kata, Kerajaan ini memahami denyut nadi rakyat, sebab itu harga barangan perlu dinaikkan sebab itulah yang diminta oleh rakyat marhein ini.

Anonymous said...

Yang menyakitkan hati ialah bila Najib bagi brim dekat pilihan raya nanti, semuanya akan dilupakan. Rakyat terutama dari luar bandar akan terus menyokong UMNO demi wang ringgit yang tak sebanyak itu. Dicaci,dimarah, dibodohkan oleh "pemimpin" UMNO, takpa, asalkan ada kata kata manis dari mereka mejelang PRU dan sedikit sedekah dari UMNO dari wang mereka sendiri. How crazy is that?

ahmadyaniDotCom said...

Inilah masanya nama-nama kecil dalam umno untuk menonjolkan diri dengan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tanpa sedar menampakkan kebodohan diri sendiri. Kasihan mereka, tidak apalah asalkan...pak najib tahu mereka telah bercakap dan mungkin akan dicalonkan pada PRU14 nanti.

Anonymous said...

Syukur Malaysia masih aman...pagi keluar...malam balik....kerja..kerja...mana sempat bersama famili lg....semua sudah naik....hujan saja turun..oh Malaysiaku....warga asing senang lenang kat sini...myanmar...nepal...vietnam....indon.....negro...

GOOD GOVERNANCE said...

Tuan Aspan,

Lack of Accountability is a major stumbling to Malaysia’s progress

Anonymous said...

Saya tertarik dengan artikel ini, mesejnya adalah jelas dan bersahaja. Tahniah kerana peka dengan keadaan semasa negara.

Anonymous said...

hebat pak AA..memang hebat karya ni....

badrul kuantan.