20 July 2013

Rakyat tidak mahukan orang baik, mereka mahukan pemimpin yang baik

Baiknya mengadakan pilihanraya dalam bulan puasa, adalah nyata. Pilihanraya kecil Kuala Besut memberikan buktinya. Tidak ada kata-mengata yang keras diantara kedua-dua belah yang bertanding kecuali beberapa insiden yang tidak menyenangkan telinga mendengarnya.

Walau bagaimanapun keseluruhannya, tetap tidak kedengaran tuduh menuduh yang kuat terutamanya dari pihak BN. Selalunya BN akan membuat berbagai cara untuk menang termasuk melakukan perkara yang tidak beretika terhadap PAS. Tiga puluh empat tahun yang lalu kawasan ini jugalah yang telah mengadakan pilihanraya kecil dalam bulan puasa jika tidak silap ingatan saya.

Kali ini BN menumpukan usaha dengan berkempen secara biasa sahaja, iaitu menumpukan kepada janji-janji pilihanraya. BN telah mengumumkan berbagai-bagai projek kepada penduduk Kuala Besut bagi memancing sokongan pengundi kerana Kuala Besut adalah tempat dalam mana PAS juga mempunyai pengaruh yang besar.

Hanya satu yang amat menarik dalam janji-janji BN apabila sampai pilihanraya. Muhyiddin Yassin, merupakan Pengarah PRK ini dan beliau mempunyai ‘tendency’ menjadikan sungai sebagai bahan kempen beliau. Dalam pilihanraya umum yang lalu Muhyiddin berjanji untuk mendalamkan Sungai Golok. Kali ini beliau berjanji pula untuk mendalamkan Kuala Sungai Besut  bernilai RM250 juta.

Tidak tahulah bagaimana rakyat Kuala Besut menerima janji mendalamkan sungai itu. Di Kelantan janji mendalamkan sungai Golok tidak mendapat perhatian rakyat di negeri itu. Selepas ini tidak tahulah sungai mana pula yang hendak didalamkan oleh Muhyiddin. Mungkin kita tunggu mana-mana PRK yang akan datang dimana kawasan-kawasan itu mempunyai sungai dan parit-parit yang besar.

Janji-janji BN untuk membangunkan kawasan negara dan negeri serta kawasan ini sememangnya isu biasa dan dalam sesuatu pilihanraya ia tidak lagi menjadi isu relevan bagi rakyat untuk menentukan sikap mereka untuk menyokong mana-mana pihak.

Pimpinan kita terlupa, rakyat bukannya mudah menerima umpan-umpan seperti ini untuk menyokong. Itu sebabnya dikawasan perbandaran dan separa bandar janji-janji dan sogokkan kerajaan tidak mendapat perhatian. Tindakan Najib memberikan bantuan besar kepada sekolah India dan Cina serta wang BRIM tidak memberikan banyak munafaat kepada BN itu sendiri.

Masalahnya Najib telah membentuk ‘equation’ pemikiran rakyat sama dengan pemikiran beliau sendiri. Beliau berfikir yang rakyat sama lahapnya dengan pimpinan UMNO dalam hal wang ringgit ini. Ternyata Najib tidak sensitif dengan naluri rakyat yang dahagakan kelainan dari yang biasa mereka alami.


Rakyat ramai masih menumpukan kepada isu nasional dan di antaranya ialah imej rasuah yang melekat rapat dengan BN itu menjadi penyebab kenapa BN tidak mampu mendapat tambahan kerusi dalam PRU yang lalu malahan mendapat jumlah kerusi yang lebih rendah lagi.

Hilangnya keyakinan terhadap institusi demokrasi itu menjadi tumpuan rakyat. Mereka masih mempersoalkan isu kebebasan institusi Kehakiman dan Polis misalnya. Sebanyak lebih dari RM4 billion telah dibelanjakan untuk BRIM tetapi rakyat tetap menunjukkan protes dalam PRU yang lalu.

Itu sebabnya pembangkang mendapat tambahan sedikit kerusi kerana rakyat sudah mengambil keputusan untuk memberikan sokongan kepada pembangkang walaupun ada parti-parti pembangkang yang tidak sebaik mana pun mendapat sokongan. Rakyat telah menerima janji pembangkang tanpa berfikir panjang. Bagi mereka UMNO dan BN mesti dikuburkan walaupun belum tentu parti yang mereka sokong sekarang ini mampu memenuhi janji-janji mereka.

Ramai yang percaya termasuk orang Melayu sendiri yang ada parti yang menjanjikan ‘multiracialism’ nya tetapi tidak ada bukti yang mereka telah dilakukannya. Rakyat masih menerima janji mereka kerana perasaan geram mereka kepada UMNO.

Bagi saya PAS merupakan parti yang sangat relevan bagi orang Melayu jika tidak berkehendakkan kepada UMNO lagi. Hanya yang perlu bagi PAS dari sekarang ini ialah untuk menentukan yang pimpinan parti itu mempunyai kemampuan untuk mentadbir kerajaan sahaja. Rakyat mahu melihat PAS menjadi parti yang proactive tentang memajukan parti itu kepada parti yang mampu mentadbir sebuah kerajaan.

Dalam tulisan saya beberapa minggu lepas saya menarik perhatian ramai dengan mengkritik parti yang sangat penting untuk orang Melayu dan Islam ini. Dari menumpukan kepada berhimpun PAS semestinya menghantar pimpinan mereka secara bergilir-gilir berkursus pentadbiran di universiti-universiti atau pusat latihan terkenal di dunia ini bagaimana untuk mentadbir sebuah kerajaan.

Itu sahaja yang kurangnya dalam PAS. Rakyat gusar kerana setelah PAS diberikan peluang mentadbir Kedah parti itu tidak sensitif untuk memberikan tanggungjawab mentadbir kepada mereka yang lebih mahir dari pimpinan yang sedang memimpin.

Bagi saya di Kuala Besut ini kemenangan PAS boleh memberikan anjakan pemikiran baru kepada PAS kerana tidak ada kekurangannya kepada PAS kecuali kekurangan imej mampu mentadbir itu sahaja.

PAS perlu ingat satu perkara penting. Rakyat bukan sahaja memerlukan orang yang baik, tetapi yang lebih penting ialah pemimpin yang baik. Orang yang baik dengan pemimpin yang baik itu adalah dua perkara yang berbeza. Ustaz Azizan misalnya, adalah orang yang sangat baik bagi saya, tetapi beliau bukanlah pentadbir yang baik. Jika PAS mampu menghilangkan imej tidak tahu menguruskan kejayaan, PAS akan menjadi parti yang paling relevan dihari muka.

Pemutusnya untuk PAS melakukan kerja penambah baikan keadaan ia memerlukan semangat untuk melakukannya dari rakyat. Pengundi Kuala Besut mungkin boleh memulakan untuk membina semangat itu dengan memberikan kemenangan kepada calon PAS walaupun dengan majoriti yang kecil sekali pun.

Lagi pun seperti yang saya sebutkan beberapa hari yang lepas, kemenangan kepada UMNO bukannya menguntungkan pun. Lagi pun janji Muhyiddin untuk mendalamkan sungai di Kuala Besut itu pun entahkan bila akan didapati oleh orang Kuala Besut.

Jangan terleka dengan janji-janji dari mana-mana pihak.

8 comments:

tinta hitam said...

Pak Aspan,

Saya amat setuju dgn pendapat Pak Aspan bahawa DAP sebenarnya masih lagi tegar dgn semangat "chinese chauvanist"nya walauoun tidak dinafikan ada beberapa org yg sudah mula mengorak langkah kearah multiracialism.

Peendapat kedua pula ialah rakyat perlukan pemimpin yg baik pentadbirannya dan bukan setakat baik shj.Mantan MB Kedah adalah contoh terbaik.Dia seorang baik,humble dan bersih dari rasuah.Kekurangan dia adalah dia tak pandai mentadbir dgn baik .Akibatnya Kedah jatuh ketangan BN didlm keadaan pengaruh PR sdg memuncak.Satu pengajaran baik pd PAS agar tidak mengambil mudah semua perkara..

ahmadyaniDotCom said...

Kebaikan yang tidak bersistem akan dikalahkan oleh kejahatan yang bersistem. Kata-kata ini patutnya diambil perhatian serius oleh Pas. Sistem ini ialah pentadbiran. Pas patut belajar mentadbir negeri walaupun belum dapat negeri.

Anonymous said...

Jelas sekali sekiranya dibuat andaian bahawa dasar perjuangan parti parti politik Negara ini tidak lari dari sifat perkauman. Laungan dan ajakan menjadi ahli 'multiracial' adalah hanya tercatit dalam perlembagaan parti sahaja sedangkan amalannya tetap berbau perkauman disertai fahaman keugamaan. Amalan ini bukan sahaja di Semenanjung tetapi corak yang sama berlaku di Sabah dan Sarawak.
Dimasa ini parti yang erat gabungannya di Negara ini hanyalah BN. Sedangkan gabungan PR ternyata rapuh di Sabah dan Sarawak kecuali DAP ada sedikit kelebihan.
Dalam hal ini nyata memberi kelebihan kepada BN yang diterajui olih UMNO. Sebab itulah orang Melayu semenanjung masih terpaut hati kepada UMNO untuk dapat kekal menguasai Putrajaya.
Walau ramai orang Melayu berpendapat PAS ada kelebihan berbanding UMNO tetapi perjuangan PAS kurang pengaruhnya di Sabah/Sarawak. Etnik bumiputra bukan Islam pasti tidak senang dengan dasar perjuangan PAS. PAS tidak bertapak dihati penduduk Sabah/Sarawak kecuali sebahagian kecil sahaja.
Kempen pedas PRU 13 yang lepas di semenanjung umpama badai melanda UMNO.UMNO dianggap sudah sakit tenat dengan virus korup dan krooni merebak seluruh urat saraf. Bau busuk UMNO terhidu seluruh Semenanjung. Melayu semenanjung sudah hilang harapan kepada UMNO dan mula menjenguh keluar dari rimbunan UMNO tempat orang Melayu berteduh. UMNO sudah tidak selamat bagi orang Melayu.
Kelebihan UMNO menguasai media kerajaan dan media swasta popular dapat menangkis serangan PR untuk kembali menyakinkan orang Melayu kepada perjuangan UMNO. Laungan refomasi, perubahan akan dilakukan dan penapisan barisan kepimpinan nyata mengembalikan semula keyakinan orang Melayu kepada UMNO.
Namun refomasi dan perubahan yang dilaungkan PM telah hilang di tiup angin bagitu sahaja. Tidak nampak tindakan positif di pihak kepimpinan atasan maupun bawahan UMNO. Tradisi biasa kerja jamu menjamu jin dan jembalang kepada ADUN dan MP tetap diteruskan untuk meraikan kemenangan PRU 13.
Kenaikan harga barangan mendadak sejak kebelakangan ini menggambarkan bertapa lemahnya kerajaan sekarang walaupun hanya untuk mengawal harga siling barang kawalan dipasaran.
Sekali lagi orang melayu terkilan dan berpatah hati dengan UMNO. Sungguh malang UMNO ibarat kudis lama belum berparut, sopak pula mula merebak.

Orang padang besar

Anonymous said...

Pada pemimpin itu katanya ada teladan yang baik, tidak banyak sikit. Pemimpin juga membawa kehancuran, kecuali mereka berpegang teguh kepada tali Allah.

Ulasan di atas fokusnya PRK 13 Kuala Besut. Amat menarik pertembungan ini diantara musuh klasik. BN yakin boleh menang dengan mudah. Lima puloh tahun lebih memerintah orang Melayu mereka sudah masak dengan kekuatan dan kelemahannya. Bahasa yang mudah mereka boleh di beli dgn janji dan wang ringgit. Acuan yang di buatnya (memperbodohkan) masih boleh di pakai.

Hujah saya itu memperlihatkan pemimpin sekarang lebih cerdik dari rakyat. Tetapi rakyat sekarang tidak semua lebih cerdik dari pemimpin pemerintah kerana mereka mempunyai maklumat media alam maya. Kedua mereka cerdik kerana menggunakan kepala akal, bukan kepala lutut. Itu semuanya dari aspek cerdik yang belum tentu baik.

Kita di utara oleh Pak Aspan dari sudut nilai baik pemimpin atau rakyat. Mudah konklusinya, kalau sudah ada unsor unsor penipuan, rasuah dan janji tidak di tepati maka siapakah layak untuk dikatakan baik? Ya rakyat dan tidak pada pemimpin.

Sebenarnya hasil keputusan pilihanraya kecil 13 Kuala Besut memperlihatkan siapa cerdik yang tidak semestinya baik berlandaskan kita sebagai orang Melayu Islam.

chua penang said...

If it takes 50 yrs for Mca to get to this level, it will take just 10 yrs for Dap to fall apart.

Trust me AA

cs wong said...

I adore yr truthfulness AA. You are very courageous in disposing your real view openly that opens yourself to nasty comments against you.

Cheers AA

Anonymous said...


You don't mix politics with religion....it's like oil and water.

It will provide opportunity for politicians to divide and do a lot of damage.

Look at the thousands years of religious conflict and hatred in the Middle East countries.

awangbatuburok said...


salam ramadhan tuan aspan,

saya sangat bersetuju dengan pandangan tuan tentang ketidakmampuan PAS mengurustadbir kemenangan dengan baik.

apa yang berlaku di terengganu (1999-2004) dan kedah (2008-2013) mempunyai banyak persamaan. Kedua duanya didominasi oleh kumpulan yang sama yang bergelar "Ulama Serba Tahu Serba Pandai". Lebih membimbangkan lagi wabak ini mula merebak ke Kelantan selepas persaraan TG Nik Aziz dan penyisihan Husam Musa.

wawasan kepimpinan ulama dalam PAS perlu kajian yang lebih mantap agar dapat menangani persoalan politik dan sosioekonomi yang lebih mencabar dimasa akan datang. Tidak cukup hanya baca dua tiga kitab lalu mendabik dada agar dipanggil ulama dan menuntut berbagai jawatan dalam organisasi PAS.

wallahualam.