Tindakan parti-parti politik
berhubung dengan banyak isu telah melebarkan lagi jurang perbezaan di antara
parti-parti dalam kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat. Gerakan telah membawa isu
Hudud di Kelantan ke Mahkamah dan DAP telah bertindak begitu ‘robust’ terhadap
PAS yang kini sudah tidak diyakini oleh parti itu.
DAP tahu dan merasakan yang nyawa
politik parti itu berada dihujung tanduk apabila Pakatan Rakyat mungkin hilang
keahliannya dan akan hanya tinggal dengan dua parti sahaja, iaitu PKR dan DAP
sendiri. Justeru kedua-dua pihak sedang dalam permasalahan besar dan
masing-masing sedang berusaha untuk mengekalkan sokongan mengikut garis
perkauman dan agama.
Kedua-dua belah pihak adalah
pihak yang kalah dan tiada siapa yang menang dalam semua isu yang berbangkit. Di
antara BN dan Pakatan serupa seperti seorang tua yang mengejar seorang tua yang
lain. Yang mengejar penat dan dikejar pun penat dan letih. Apabila orang tua
yang dikejar itu berhenti keletihan, yang mengejar pun tidak dapat menangkap
yang dikejar kerana yang mengejar itu pun berhenti kerana keletihan.
Pihak pembangkang tidak boleh
lagi bercakap mempunyai 52 peratus undi popular kerana angka 52 peratus itu
termasuk undi yang dibawa oleh PAS dan kita tidak boleh menganggap BN itu hanya
mempunyai 48 peratus kerana dengan apa yang berlaku dalam PR hari ini sedikit
sebanyak BN bertambah sokongannya.
Itulah sebabnya DAP begitu resah
kerana mereka sangat khuatir jika kehilangan rakan kongsi PAS ia akan
menghadapi masalah untuk mendapatkan sokongan dari kaum Cina kerana MCA juga
sedang berusaha untuk mendapatkan sokongan kaum Cina. Pendeknya DAP serta MCA
sedang berada dalam keadaan yang sangat sukar sekarang ini apatah lagi dengan
timbulnya isu hukum Hudud yang sedang menjadi isu besar sekarang ini dikalangan
Pakatan Rakyat.
Tidak ada sebab untuk DAP
mengakui dan berbohongi dengan mengatakan yang mereka tidak perlu PAS dan
mereka akan bertambah kekuatan jika PAS tidak berada dalam Pakatan Rakyat lagi.
Bagi PAS pula parti itu sudah begitu biasa melalui masalah besar dalam sejarah
kewujudan parti itu.
Sekarang rakyat khususnya Melayu
Islam begitu terguris dengan kenyataan-kenyataan parti DAP yang mengecam PAS
dan DAP begitu fasih dan lancar mengeluarkan kata-kata kesat terhadap PAS.
Orang Melayu bukannya menilai dari segi siapa yang salah atau yang benar dalam
isu Hudud ini, tetapi orang Melayu terguris dengan tindakan DAP yang bercakap
tentang Islam lebih hebat dari orang Melayu Islam sendiri.
Salah benar sudah tidak menjadi ukuran
mereka lagi, tetapi mereka merasa tersinggung kerana DAP bercakap seolah-olah
parti itu lebih tahu tentang Islam dari orang Islam sendiri. Keadaan ini
bertambah buruk apabila ada gulungan liberal Melayu Islam telah meghentam hukum
Hudud ini begitu kuat dan ini membuatkan Melayu Islam yang mempunyai keyakinan
terhadap hukum Hudud ini lebih cekal dan bersatu untuk menentang kumpulan ini.
Bagi mereka ini parti politik
adalah perkara kedua dan tidak sepenting agama yang mereka anuti. Mungkin
mereka salah dalam mentafsir hukum agama itu sendiri tetapi itu bukan isunya. Isunya
ialah mereka tahu agama mereka sedang dijadikan modal oleh parti-parti bukan
Islam dan lebih mereka marah ialah kerana Melayu Islam liberal ini lebih kuat
menolak Hudud dibandingkan dengan kaum yang bukan beragama Islam sendiri.
Mereka telah melekat dengan persepsi sebagai kumpulan yang menangguk di air
yang keruh sahaja untuk mendapat ‘mileage’ politik. Mereka ini melabelkan diri
mereka sebagai Melayu Islam liberal yang belum tentu mengenali yang mana satu
tangan kanan atau kanan kiri apabila menyentuh tentang agama ini.
Maka mereka yang menuduh PAS
mengambil isu Hudud ini sebagai modal politik, penolakan oleh kaum lain dan
Melayu liberal itu sendiri adalah bermotifkan politik. Jika benar PAS
menggunakan isu Hudud ini sebagai modal politik penolakan kaum bukan Islam
terhadap hukum hudud ini juga adalah modal politik mereka.
Kedua-dua pihak sedang aktif
menangguk di air yang keruh dan ia telah membawa keadaan Negara kepada tahap
kerosakan yang amat besar kepada Negara.
Ada yang berpendapat hudud tidak
ada di sebut dalam Quran. Saya pun tidak tahu itu. Tetapi ia ada dalam akta-akta
yang diluluskan oleh Dewan Legislatif. Dalam hukum civil tidak ada peruntukan
untuk menggantung pesalah sampai mati, tetapi dalam akta-akta yang diluluskan
oleh Dewan Parlimen ada menyangkutkan hukum gantung sampai mati seperti jika
disabitkan kesalahan kerana mengedar dadah lebih dari jumlah yang ditetapkan
oleh akta tersebut.
Oleh yang demikian jika hukum gantung
sampai mati tidak ada dalam perlembagaan tetapi ianya ada dalam akta-akta
tertentu maka hukum hudud jika benar tidak ada dalam Quran maka ia ada dalam
akta lulusan Dewan undangan negeri atau Negara. Tentunya akta-akta tersebut
bersandar kepada kehendak agama dan agama kita lebih cenderung untuk menggubal
undang-undang bersifat ‘preventive’ dari undang-undang civil yang hanya menumpukan
kepada penghukuman pesalah melalu berbagai-bagai akta lulusan Dewan Parlimen Negara.
Bagi setengah pendapat tindakan
ramai yang tidak seimbang pengetahuan dan amal di antara agama dan ketuhanan
itu amat merbahaya kerana mereka mencampur-adukkan di antara ibadah dengan amalan. Maka lebih elok bagi banyak pihak
yang tidak mengenali agamanya dan hukum serta ibadah maka lebih baik tidak
menyertai polemik yang tidak memberi faedah itu.
Hukum civil tidak semestinya adil
dan tepat pengadilannya. Sirul dihukum mati kerana membunuh Altantuya tetapi
beliau tidak pernah dipersoal siapa yang mengarahkan pembunuhan itu. Motif
pembunuhan tidak pernah disebut dalam ratusan hari perbicaraan Sirul dan
Azilah. Akhirnya tidak ada pesalah yang menyebabkan pembunuhan itu sedangkan
keluarga Altantuya kehilangan ahli keluarganya seperti orang mati katak.
Sirul dan Azilah dihukum gantung
sampai mati sedangkan mereka yang menyebabkan pembunuhan itu berlaku masih
hidup bebas tanpa sesiapa yang mempersoalkan. Itulah yang dikatakan kebaikan hukum
civil.
Tentunya mereka yang bersalah itu
dilindungi oleh berbagai-bagai undang-undang dan akta dari hukum civil tadi.
Isu hudud ini tidak lebih dan tidak kurang dijadikan modal politik bagi mereka yang
gemar menangguk di air yang keruh.
Tanpa isu seperti isu hukum hudud
ini mereka tidak akan kemana-mana kerana banyak pemimpin yang lemah fikiran
akan menggunakan dan mengambil kesempatan menangguk di air yang kotor bagi
mereka memanjangkan ‘relevancy’ mereka dalam politik.