Perkembangan politik di Sabah akhir-akhir ini amat menarik dan menjadi tumpuan
ramai. Dengan perkembangan terakhir ini tidak dapat lagi dinafikan bahawa BN
Sabah sedang menerima tekanan yang amat berat untuk mempertahankan mandat yang
ada pada mereka (BN) apabila PRU sampai masanya untuk diadakan. Musa Aman,
pengerusi BN Sabah berkata penghijrahan Lajim Hj Ukin dan Wilfred Bumbering
tidak langsung menjejaskan BN di Sabah. Kita
faham bahawa kenyataan beliau (Musa) itu hanyalah satu kenyataan politik yang
liar sahaja.
Isu yang menyebabkan BN Sabah
khususnya UMNO tidak lagi mendapat perhatian rakyat sekarang ini terlalu banyak
sehinggakan kita tidak dapat memahami di antara sebab atau alasan yang
menyebabkan penolakan rakyat yang begitu ketara terjadi. Tetapi yang paling
nyata sekali ialah isu peribadi Musa Aman sendiri yang tidak lagi sanggup
diterima oleh rakyat Sabah sebagai pemimpin
utama mereka. DAN pemimpin ini jugalah yang dipertahankan bermati-matian oleh
Najib.
Tetapi kalau UMNO itu UMNO juga.
Parti itu sememangnya terlalu leka dengan mempertahankan pimpinan yang diragui
rakyat sejak tiga dekad yang lalu. UMNO tidak dapat menerima bahawa politik ini
adalah peperangan mental dan jika Musa yang sudah dipersepsikan sebagai
liabiliti kepada BN sepatutnya mengundurkan diri atau dipaksa oleh pimpinan
tertinggi UMNO untuk berundur.
Tetapi biasalah, dalam UMNO, untuk
memberhentikan seseorang itu terlalu susah kerana terlalu banyak pertimbangan
sampingan yang kebanyakannnya adalah pertimbangan peribadi semata-mata. Pucuk
pimpinan lebih cenderung untuk mendengar nasihat ‘warlords’ yang di sekeliling
mereka daripada mendengar pandangan ramai. Tidak kita ketahui apa yang menyebabkan
Najib khususnya terlalu terikat dengan Musa sehinggakan beliau (Najib) tidak
berdaya untuk memberhentikan seseorang yang telah begitu parah persepsinya di mata
rakyat itu. Hanya Tuhan sahaja yang mengetahuinya.
Najib masih mempertahankan Musa
sehinggakan rakyat Sabah merasakan bahawa UMNO hanya
mementingkan keuntungan dan pertimbangan peribadi daripada memberikan pertimbangan
terhadap keselamatan parti itu di mata rakyat. Isu ‘money laundering’ yang
dikaitkan dengan peribadi Musa itu adalah isu yang amat serius dan tidak boleh
lagi berada di dalam sebuah parti pemerintah jika kita pertimbangkan dari sudut
etika sesebuah negara yang merdeka yang mengamalkan sistem demokrasi.
Kerana Musa segala-galanya pecah
dan punah-ranah, dan itu belum lagi dilihat dari isu-isu besar yang lain. UMNO
tidak mempertahankan etika serta moral sebagai sebuah parti pemerintah. Sejak
tiga dekad yang lalu UMNO terlalu lalai dengan etika kepimpinan sehinggakan
mereka yang tidak sepatutnya menjadi pemimpin dijadikan pemimpin oleh parti
itu. Itulah sebabnya seseorang yang ingin menjadi pemimpin mesti seorang yang
berintergriti, bukannya seorang yang pandai berpolitik tanpa moral dengan
melaksanakan politik pecah perintah sejak zaman Dr Mahathir dahulu.
Akhirnya parti itu secara tidak
disedari sudah dikuasai oleh mereka yang tidak beretika dan secara beransur-ansur
juga rakyat memandang rendah terhadap kewibawaan parti itu seperti yang kita
lihat sekarang ini. Apabila sudah sampai ke tahap yang tidak boleh diperbaiki
lagi ini, barulah pucuk pimpinan hendak membetulkan keadaan tetapi sekarang
usaha itu sudah terlambat.
Pucuk pimpinan yang sedang
berusaha untuk memperbetulkan keadaan itu sendiri adalah dari kumpulan yang
terbentuk dengan budaya buruk yang saya sebutkan tadi. Justeru kita lihat apa
jua tindakan untuk memperbaiki keadaan yang dilakukan oleh Najib sekarang
adalah seperti ‘tikus memperbaiki labu’ sahaja.
Rakyat termasuk rakyat Sabah sendiri mempunyai had kesabaran mereka. UMNO
terlalu leka dengan kerja peribadi sehinggakan lupa bahawa yang mereka pimpin ini adalah sebuah negara bukannya persatuan murid tua sekolah kebangsaan Kuala Tahan.
Segala teguran dan kritikan terhadap pucuk pimpinan dianggap sebagai
penentangan dan tidak langsung diambil peduli.
Sekarang bagi BN, untuk
mempertahankan kedudukan mereka, ia amat
mahal harganya. Berbillion ringgit wang rakyat telah dibelanjakan untuk memberi
‘gula-gula’ kepada rakyat dan wang itu adalah wang rakyat sendiri. Saya
teringat semasa kecil dahulu, askar-askar Australia
dan New Zealand
yang masih berada di negara ini selepas merdeka selalu melemparkan gula-gula
kepada kanak-kanak sekolah semasa konvoi mereka melalui kawasan sekolah.
Murid-murid yang sedang menunggu
bas untuk balik ke rumah berebut-rebut untuk mendapatkan gula-gula yang dilemparkan oleh askar-askar orang putih itu dari trak dan land rover yang dinaiki oleh mereka. Maka kita masih lagi dilakukan seperti itu oleh Najib untuk
mempertahankan kedudukan mereka itu.
Zaman dan waktu ‘menggula-gulakan’
rakyat sudah berakhir termasuk bagi rakyat Sabah.
Najib akan ke Sabah dengarnya untuk
menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh BN Sabah. Bagi saya sikap BN, baik dari Pusat
dan di Sabah sendiri, tindakan ini ibarat
‘sudah hendak berak baru menggali lubang’. Segala rintihan rakyat selama ini
tidak dihiraukan: asyik dengan mempertahankan mereka yang dalam barisan kroni
mereka tanpa memerhatikan etika dan kewajaran untuk mempertahankan mereka,
termasuk pemimpin seperti Musa Aman.
BN jelas sudah menjadi pak
pandir. Sibuk hendak mengambil alih Selangor tetapi terlepas pula Sabah dan negeri-negeri lain. Tutup lubang sana terbentuk pula
lubang di sini. Yang dikejar tidak dapat yang dikendung berciciran.
Walaupun Najib akan ke Sabah
tetapi dalam masa beliau ke Sabah itu ramai lagi ahli legislatif dari Sabah berhasrat untuk meninggalkan BN yang mereka tidak
yakini itu dalam masa yang terdekat ini. Najib sudah mundar-mandir sampaikan
beliau tidak ada masa untuk menguruskan negara.
Dalam pada Najib sibuk ke hulu
dan ke hilir, ke darat dan ke baruh, untuk mengejar masa mempertahankan kuasa, sempat juga isterinya yang merupakan seorang ‘social climber’ yang terhebat di
dunia ini, bergegas-gegas terbang ke London. Tujuannya (Rosmah) ialah untuk
menyaksikan perlawanan akhir badminton di acara Olimpik yang akhirnya kita kalah di tangan jaguh China,
Lin Dan semalam.
Pingat emas tidak juga kita
perolehi walaupun pemain bermain di hadapan seorang wanita yang tersohor di
seluruh dunia kini, yang datang untuk memberikan semangat. Begitulah yang akan
dihadapi oleh BN serta Najib; bergegas ke sana dan ke sini tidak tentu siang dan
malam, tetapi BN berkemungkinan besar akan kalah juga akhirnya.
Pendeknya jika kita sudah sampai
ke penghujung nyawa kita, tidak ada sesuatu pun boleh menyambung nyawa dan
kehidupan kita. Begitu jugalah BN; apabila sudah sampai waktunya untuk
dikalahkan tidak ada apa kuasa yang ada di tangan makhluk seperti kita ini
mengelakkannya.
BN sepatutnya bersyukur dengan
sokongan rakyat sebelum ini yang menjangkau 55 tahun itu. BN patut bersyukur
dengan apa yang mereka telah perolehi selama ini dan jangan marah kepada apa
yang mereka (BN) tidak perolehi lagi sekarang ini.
Kelalaiann UMNO selama inilah yang menyebabkan parti itu merudum. Dulu-dulunya semuanya 'taken for granted'. Akhirnya membawa bencana. Bak kata perpatah 'kalau keruh di hulu, keruhlah di hilir'. Sekarang ini kekeruhan yang dialami oleh UMNO itu adalah hasil daripada kekeruhan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin sejak tiga dekad dahulu.
Kelalaiann UMNO selama inilah yang menyebabkan parti itu merudum. Dulu-dulunya semuanya 'taken for granted'. Akhirnya membawa bencana. Bak kata perpatah 'kalau keruh di hulu, keruhlah di hilir'. Sekarang ini kekeruhan yang dialami oleh UMNO itu adalah hasil daripada kekeruhan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin sejak tiga dekad dahulu.
