21 September 2008

Serba tidak kena

Isu peralihan kuasa samada dilakukan sekarang atau bila-bila pun tidak releven lagi.

Samada Abdullah ditentang oleh Najib ataupun Abdullah serta Najib mendapat cukup pencalonan bukan lagi penting untuk keselamatan orang Melayu dan keselesaan bangsa-bangsa lain di negara ini.

Jika Najib berjaya menewaskan Abdullah ataupun Abdullah berjaya mengekalkan jawatan tidak akan dapat menyelesaikan masalah pokok yang kita semua hadapi sekarang.

Masalah kepimpinan dalam UMNO walaupun besar, tetapi ianya hanyalah cebisan daripada masalah yang amat besar yang kini dihadapi oleh rakyat dan negara.

Jika bersatu pun setiap orang di dalam Majlis Tertinggi UMNO itu keruncingan kedudukan orang Melayu tetap tidak dapat diselesaikan dan keresahan rakyat antara kaum tetap akan menjadi masalah yang tidak akan kunjung selesai.

Masalah yang kita hadapi hari ini adalah jauh lebih besar daripada masalah pemilihan di dalam parti ataupun masalah pemindahan kuasa daripada Abdullah kepada Najib atau kepada sesiapa sekalipun.

Masalah kita terlalu besar dan tidak boleh diselesaikan hanya dengan Abdullah bersalaman dengan Najib, Muhyiddin atau sesiapa sahaja di antara mereka yang duduk dalam koridor kuasa.

Masalah hubungan antara kaum (inter-racial) dan masalah sesama kaum (intra-racial) di dalam negara ini sudah terlalu membimbangkan sesiapa yang selalu berfikir jauh ke hadapan.

Tahap ekonomi yang kian luntur dan pembahagian kekayaan yang tidak seimbang (equitable distribution of wealth) samada di antara kaum dan intra kaum sudah menjadi barah yang berada di peringkat terminal.

Orang Melayu dan pribumi sudah terlalu tertekan dan tidak lagi berasa selamat kerana mereka sudah mula bimbang identiti bangsa mereka akan terkubur.

Orang Melayu sudah mula bimbang jika keadaan ini tidak diubati segera mereka akan lenyap kehilangan dunia mereka dan akan hilang Raja-Raja Melayu dan institusi yang mereka pertahankan selama ini.

Generasi ketiga daripada bangsa-bangsa lain tidak mampu untuk menerima beberapa perenggan di dalam perlembagaan yang memberikan keistimewaan kepada pribumi Melayu kerana mereka tidak diberikan kefahaman oleh pemerintah sejak dua dekad yang lalu.

Pemimpin-pemimpin daripada bangsa-bangsa ini tidak pula mahu berkerja keras untuk meyakinkan kaum yang mereka pimpin tentang pentingnya bangsa yang mundur diberikan keistimewaan untuk memberi jaminan kepada keselamatan negara dalam jangka masa panjang.

Keadaan ini diburukkan lagi oleh isu rasuah yang begitu berleluasa yang banyak diantara kes-kes ini dilindungi oleh Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang menjadi duri dalam daging kepada rakyat.

Bagaimana kita hendak menyelesaikan masalah besar ini? Siapa yang hendak diberikan tanggungjawab untuk mencari penyelesaian ini?

Itu sebabnya dari awal tadi saya katakan UMNO atau parti mana sekali pun tidak akan mampu untuk mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu-isu negara yang begini besar walaupun berlaku peralihan kuasa dengan aman antara pemimpin-pemimpinnya.

Pencarian kita tidak akan ke mana jika dengan hanya Abdullah, Najib, Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin lain bercium mulut antara mereka dari pagi hingga ke malam sekalipun.

Kita memerlukan pengorbanan yang sejati setiap pihak yang berani berfikir dan bertindak di luar kotak demi keselamatan bangsa kita Melayu dan keselesaan rakan-rakan bangsa-bangsa senegara kita.

Mungkin dengan melakukan pembaharuan drastik dan berani kepada sistem pentadbiran, pemilihan kepimpinan dan pindaan sebahagian daripada Perlembagaan Negara samada besar atau kecil adalah satu perkara yang tidak boleh tidak, mesti dilakukan dengan segera.

Perlembagan Negara kita mempunyai cukup peruntukan untuk memberi sokongan terhadap usaha membaik pulih keadaan dan kedaulatan negara kecintaan kita ini.

Kita perlu pastikan negara Malaysia kembali pulih sebagai sanctuary kepada kehidupan rakyat berbilang kaum yang berada di dalamnya.

Yang pastinya tidak seorang pun yang berada dalam barisan kepimpinan hari ini mampu melakukannya kerana tidak terdapat di antara mereka yang memiliki attribute-attribute yang istimewa untuk menjana perubahan ini.

Kebenaran itu selalunya sangat pedih dan susah untuk diterima…Percayalah.


Sekian………………………………………Aspan Alias.

1 comment:

pakbelalang said...

Hanya Ku Li sahaja yang boleh menyelesaikan masalah UMNO ?????? Is that what you want to say again and again?