31 August 2009

Alam terbentang dijadikan GURU Bhg 1

Dalam kehidupan kita sebagai manusia, yang dicipta oleh Maha Pencipta sebagai makhluk termulia, kita diberikan otak dan pemikiran bagi mempelajari nilai kehidupan dalam semua bidang dengan menggunakan akal fikiran.

Manusia dicipta dalam bentuk Muhammad yang tidak diberikan kepada makhluk-makhluk ciptaan-Nya yang lain untuk menjaga kerahsiaan dan kebesaran-Nya.

Tanggungjawab ini tidak diberikan kepada makhluk yang lain seperti gunung, haiwan dan sebagainya.

Manusia diberikan kemampuan untuk mencipta sesuatu dengan menggunakan apa yang disediakan-Nya dan kesemuanya ini adalah menggunakan modal-modal yang asli yang dicipta-Nya dalam bentuk asal.

Dengan pemikiran dan akal anugerah Tuhan ini, manusia mencipta kapal terbang dengan menggunakan besi keluli, kayu, minyak, getah dan ribuan bahan asli yang dicipta Tuhan.

Akal fikiran inilah yang membuatkan kita mampu memakmurkan kehidupan manusia untuk Pencipta menunjukkan dalil-dalil kebesaran dan keperkasaan-Nya.

Lebih jauh lagi manusia boleh belajar daripada haiwan yang juga merupakan kejadian asal Tuhan Maha Pencipta.

Perlakuan manusia diberikan tahap yang tinggi berbanding dengan perlakuan haiwan, tetapi kita mampu berfikir dan belajar secara perbandingan dengan haiwan.

Oleh kerana itu amatlah besar tanggungjawab yang diberikan kepada kita manusia untuk menggunakan akal fikiran kita dan belajar daripada af-aal Tuhan yang lain termasuklah haiwan seperti kerbau dan lain-lain.

Salah satu perkara yang dituntut Tuhan ialah untuk menggunakan akal agar tidak menerima perkara yang tidak baik yang datang daripada manusia yang tidak menggunakan akal fikiran dalam berbuat sesuatu.

Ini adalah kerana kita tidak mahu disamakan dengan kerbau contohnya, yang hanya mengikut sahaja ke mana hendak dibawa oleh elemen-elemen yang hendak menyesatkan kita.

Sebagai seorang yang hidup serba kekurangan semasa membesar di kampung dahulu saya banyak belajar secara applied learning ini.

Dalam keadaan dan situasi Negara yang tidak memberangsangkan ini saya teringat bagaimana saya boleh belajar tentang kehidupan daripada tingkah laku haiwan ternakan ibu saya.

Semasa berumur 12 tahun saya ditugaskan oleh ibu kesayangan saya untuk membawa balik kerbau dari sawah padi ke dalam kandangnya yang berhampiran dengan rumah.

Kerbau ini dicucuk hidungnya dengan rotan yang dipanggil kelikir oleh orang kampung saya.

Saya ikatkan kelikir tadi dengan tali yang disebut sebagai dendan dan tugas saya ialah untuk menarik kerbau ini ke dalam kandangnya hampir setiap hari sehingga kerbau itu disembelih untuk jamuan kenduri kahwin seorang saudara kami.

Kerbau ini sebenarnya tidak susah untuk mengikut kerana tali yang diikat di kelikirnya itu kendur sahaja dan ini bermakna kerbau ini mengikut sahaja.

TETAPI apabila saya menariknya untuk mengikut jalan yang lain kerbau itu tidak mahu mengikut. Saya cuba menaikkannya tetapi dia meronta dan tidak mahu mengikut saya.

Maka saya terpaksalah mengikut jalan yang biasa saya bawanya untuk sampai ke rumah saya.

Di sini saya menghargai pelajaran ini. Rupa-rupanya haiwan seperti kerbau tadi pun tidak mengikut secara membabi buta segala arahan saya.

Maka saya sangat hairan kenapa kita sebagai manusia yang diberikan akal oleh Tuhan mengikut sahaja segala perkara oleh manusia yang lain seperti pemimpin yang cuba membawa elemen-elemen yang boleh membinasakan bangsa kita yang sedang terumbang-ambing dalam siasah bangsanya.

Saya dikritik oleh seorang dua yang tidak mahu menyingkap benak mereka yang tidak nampak kenyataan bahawasanya kita sudah sampai ke tahap kehancuran siasah kita.

Saya menulis dengan terbuka kerana saya tidak mahu terlibat dalam menjatuhkan bangsa saya sendiri yang kian hari kian tersinggung kehidupannya oleh kerana kekosongan kepimpinan yang begitu jelas.

Saya mengambil sikap ini kerana suatu hari nanti saya yakin apa yang saya perkatakan hari ini akan menemui kebenaran.

Selagi kita tidak mahu menerima hakikat yang kita sedang berada dalam keadaan yang tidak stabil, selagi itulah kita menghampiri kebinasaan yang memangsakan bangsa kita sendiri.

Nuh (a.s) dikatakan gila oleh masyarakatnya kerana membina kapal yang besar di tengah-tengah padang pasir yang kontang. Selama 800 tahun Nuh membawa risalah kebenaran, baginda hanya mempunyai 83 orang pengikut.

Akan tetapi, akhirnya ditunjuk oleh Tuhan bahawa 83 orang itulah yang benar dan seluruh umat semasa itu ditenggelami air bah yang besar termasuklah anak dan isteri Baginda yang ingkar dengan seruan Nuh untuk berubah ke arah kebaikan.

Siasah kita sudah sampai ke tahap yang tidak boleh bertahan lagi sekiranya penghormatan rakyat tidak dapat diraih oleh pemimpin-pemimpin yang sedang memimpin kita.

Sudah terlalu banyak keaiban yang dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab dan bayangan untuk berubah tidak juga terbayang.

Keretakan di dalam parti-parti yang memerintah semakin hari semakin ketara; baik UMNO, MCA & MIC mahupun parti-parti lain.

Kesemuanya ini tidak lain dan tidak bukan disebabkan oleh kegagalan pemimpin-pemimpin untuk berlaku adil dan mengenepikan impian rakyat yang sudah mual dengan politik kotor yang tiada batasnya.

Mahu tidak mahu perubahan tetap akan berlaku. Jika pemimpin tidak mahu berubah rakyat akan mengubahnya.

Hanya masa akan menentukan. Tidak ada dalam sejarah dunia mana-mana keadaan politik seperti yang kita alami dewasa kini akan bertahan. Ianya akan berkecai.

Yang menjadi mangsa ialah rakyat marhin seperti saudara dan diri saya yang kerdil ini.

Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.

Kalau tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya.

Mencipta perbilangan-perbilangan di atas oleh orang-orang tua dahulu bukan secara kebetulan; ianya tercipta atas hakikat kehidupan manusia yang sebenarnya.


Sekian…………………………………………..Aspan Alias

3 comments:

Anonymous said...

Tuan

Pilihanraya di Jepun menunjukkan parti yg memerintah selama lebih 50 tahun pun boleh ditumbangkan.

...Rakyat Berkuasa Akhirnya...

RimbaCinta

Anonymous said...

Ada banyak perbezaan di antara masyarakat Jepun dan masyarakat Malaysia. 98% masyarakat Jepun adalah bangsa Jepun(yang bukan Jepun pun saperti asal Korea pun diasimilasikan dalam budaya masyarakat majoriti) bukan macam Malaysia yang berbilang etnik dan ugama yang tidak bersimilasi ke budaya masyarakat majoriti. Realitinya parti PAS sahaja tidak mampu membentuk kerajaan persekutuan tanpa sokongan PKR dan DAP. Parti DAP tidak pernah luntur sikap chauvinis China-nya dan PKR tiada halatuju khusus kerana ia di tubuhkannya untuk membela Anwar Ibrahim yang hingga kini bukan ahli PKR tapi setakat penasihat sahaja. PAS tidak boleh diharapkan untuk menjaga kepentingan orang Melayu. Selama ini pun ia mengharapkan UMNO menjaga kepentingan orang Melayu sementara ia memfokuskan agenda politiknya. Sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan, adakah nasib orang Melayu akan terbela? Keadaan di Perak,Selangor dan Pulau Pinang menjadi pembayangnya. Orang Melayu perlu berhati hati dengan apa yang diimpikan. Jangan nanti orang Melayu macam Pak Kadok menang sorak kampung tergadai.

Anonymous said...

anom 05.33 jangan la nak dicipta metos jika parti lain memerintah hak Melayu terhakis...

Perlembagaan kan ada dan jamin hak Melayu tapi bukan jamin hak UMNO...

Banyak dah negara tukar pemerintah...takdak masalah pun...orang dah taknak kalau jenama tu dulu...kini dan selamanya...membesarkan perut sendiri...anak beranak...ntah duit betul ntah duit rasuah...salahguna kuasa dan sebagainya.

Sekarang ni bila sebut jer Malaysia...orang luar negraa dah kaitkan corruption lebih buruk dari Indonesia yg semakin baik.

Selamat Hari Malaysia 16 September

Junaidi