13 December 2013

A'uuzubillah Himinasyaitan Nirajeem

Saya sudah ada kecenderugan untuk mempercayai yang UMNO mahu melihat Syiah berkembang di negara ini tetapi ia tetap berada di dalam hati masing-masing dan tidak ditunjukkan. Malahan diluaran mereka (UMNO) bercakap mempertahankan ahli sunnah wal jamaah (ASWJ) tetapi jika Syiah berkembang ia boleh dijadikan modal untuk melemahkan PAS kerana PAS adalah parti yang amat ditakuti oleh UMNO.

Mohamad Sabu, seorang pengamal ASWJ, tetapi sengaja isu ini diisukan sebagai pengamal Syiah. Mohamad Sabu merupakan seorang pemimpin PAS yang tahap kekuatan dirinya begitu kental. Mat Sabu telah di jadikan ‘punching bag’ oleh UMNO sejak beberapa lama dahulu tetapi Timbalan Presiden PAS ini tetap menjadi pemimpin yang ber 'consequence' yang membuatkan Zahid melakukan apa yang sedang beliau lakukan sekarang ini.

Mat Sabu tetap unggul setidak-tidaknya dikalangan majoriti ahli PAS. Setakat mana perjuangan ASWJ mereka (UMNO) itu benar-benar jujur sama-sama kita nilai kerana mereka sarat dengan kesalahan-kesalahan yang di cegah oleh Ahli Sunnah Waljamaah itu sendiri. Katakan kepada mereka melakukan rasuah itu bukan ikutan ahli Sunnah. Itu ikutan syaitan yang di rejam.

Syiah dan Mat Sabu nampaknya telah dipilih oleh UMNO untuk dijadikan bahan kempen UMNO untuk menundukkan PAS. Itu sebabnya saya lebih cenderung untuk mempercayai yang jika Syiah berkembang di negara ini maka UMNO akan mempunyai isu besar terhadap PAS bagi memalingkan pandangan ramai tentang kedurjanaan yang dilakukan dan berlaku dalam UMNO di setiap peringkat.

Apa sahaja akan dilakukan oleh UMNO asalkan dapat berkuasa berterusan, dan inilah sebabnya juga yang UMNO semakin hari semakin hilang moralnya dalam perjuangan mereka. UMNO sudah hilang keupayaannya untuk mendapatkan sokongan kerana kebaikan perjuangan mereka tetapi dengan menunjukkan kelemahan pihak lain yang sengaja diadakan bagi memperolehi sokongan berterusan dari rakyat.

Jika UMNO mahu melakukan kebaikan pun, parti itu tidak dapat mengenali yang mana satu yang baik atau sebaliknya. Nampaknya hijab pimpinan UMNO sudah tertutup dan tidak mungkin tahu dan faham apa yang baik yang mereka ingin lakukan. Itu sebabnya kita nampak selalu yang mereka melakukan kerja yang tidak baik dan tidak bermoral, tetapi pada pandangan orang UMNO itu adalah kerja baik.

Kadangkala hendak salahkan pemimpin UMNO pun tidak boleh juga kerana mereka sememangnya tidak tahu mana yang baik. Hijab mereka sudah tertutup dan mengambil yang halal sebagai haram dan mengharamkan perkara yang halal.

Bagi saya UMNO merupakan penyumbang kepada populariti Mohamad Sabu ini. Itu sebab PAS bertambah popular di mata rakyat. Ini sememangnya isu yang hakiki. Jika kita teringat kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Wan Mokhtar, beliau tidak akan laku dalam UMNO jika tidak ada Haji Hadi di dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu semasa itu.

Dengan adanya Haji Hadi Awang di dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu maka Wan Mokhtar berguna kepada UMNO untuk melawan Haji Hadi dalam isu agama. Wan Mokhtar tidak ada mempunyai kelebihan selain dari bercakap pasal syariat dan hukum hakam agama. Justeru dalam isu Syiah dan Mohamad Sabu pula, ia dijadikan isu oleh pimpinan UMNO kerana UMNO terlalu banyak keburukan yang perlu ditutupinya. Jadi menjadi isu Syiah dan Mohd Sabu ini dikatakan isu yang sangat ampuh bagi UMNO menutupi kedurjanaan yang sedang berlaku dalam parti itu.

Maka UMNO berpendapat rakyat tidak akan memberikan fokus terhadap isu rasuah dan lain-lain yang melekat sebagai daki tebal dalam UMNO itu. UMNO mempunyai kemahiran dalam isu mengelirukan rakyat untuk kepentingan mereka.

Malahan dalam PRU yang lepas UMNO bukannya mendapat tambahan kerusi kerana kebaikan mereka. Mereka pandai memilih isu untuk membuatkan orang ramai tidak mahu berubah terutamanya orang Melayu yang beragama Islam. Mereka menjadikan Anwar Ibrahim dan tanggapan buruk terhadap Anwar oleh setengah pihak sebagai pemimpin yang tidak mempunyai moral peribadi menyebabkan ramai orang Melayu tidak mahu berubah.

Anwar dianggap oleh setengah pihak hanya sebagai aktivis politik kerana dalam ucapan beliau, Anwar tidak lebih dari menonjolkan sebagai aktivis bukannya sebagai pemimpin yang berwibawa. Hanya orang ramai terhibur dengan kepetahan beliau berucap dan membuat sedikit lawak yang sangat-sangat menghiburkan ramai. Saya sendiri berdekah-dekah ketawa mendengar lawak jenaka Anwar yang tidak habis-habis itu.

Pendeknya kehadiran Anwar sebagai pemimpin yang ditonjolkan sebagai PM pengganti kepada BN itu menyebabkan rakyat ramai terutamanya yang kuat agamanya memilih untuk memberikan sokongan kepada UMNO atau tidak keluar mengundi langsung.

Ini semua menjadikan UMNO dapat mengekalkan kuasa dan mendapat mandat walaupun sudah mengecil jika dinilai dari kemajuan BN itu sendiri. Pendeknya Pakatan Rakyat belum lagi mempunyai seorang ‘viable leader’ untuk diyakini dapat mengubah apa yang sepatutnya diubah itu.

Rakyat mahukan perubahan dalam nilai pentadbiran negara, bukannya hendak mengubah parti jika parti yang menawarkan itu juga dalam keadaan kekosongan kepimpinan. Kalau hendak berubah biar berubah betul-betul bukannya setakat mengubah parti semata-mata.

Walaupun melalui parti itu merupakan cara yang lazim dalam perubahan pimpinan negara, tetapi rakyat tidak mahu tertipu oleh pihak yang hendak menggantikan yang ada. Jika itu berlaku ia akan menjadi sesalan hidup yang tidak berkesudahan seperti orang Malaya mahukan kedatangan Jepun kerana marahkan British dahulu.

Mereka menunggu kedatangan Jepun untuk menakluk kita kerana mereka mempunyai andaian yang dibawah tadbiran Jepun barang keperluan harian akan bertambah murah dari bawah pentadbiran British. Akhirnya doa mereka semasa itu terkabul, Jepun datang dan barang betul-betul murah.

Rakyat hanya makan ubi kayu yang boleh ditanam ditepi halaman rumah masing-masing. Tidak perlu menggunakan wang kerana wang juga terlalu murah kerana wang semasa itu dipanggil wang batang pisang sahaja.

Berbalik kepada isu Mat Sabu, beliau tidak perlu gentar kerana anda sudah terbukti mempunyai kekentalan menahan segala cobaan dari pihak yang mungkar ini. Jika terjumpa pemimpin UMNO yang mengisukan Syiah dan ahli Sunnah ini, baca di dalam hati, A’uuzubillah Himinasyaitan Nirajeem sampai keakhirnya.

Selepas itu baru bercakap dengan mereka…

7 comments:

Anonymous said...

Bukan sahaja Mat Sabu, ramai lagi nama-nama pemimpin parti lawan diberi populariti oleh UMNO, percuma pula tu. Antaranya ialah Azmin Ali dan Fuziah Salleh. UMNO ni buat apapun tidak mencapai matlamat partinya sendiri. Untuk memberikan populariti tersebut, beberapa pemimpin UMNO pula terpaksa berkorban maruah diri seperti Shahidan Kassim, Bung Mukhtar dan Shahrizat. Ianya kelakar lagi melucukan, buang sahaja perasaan sakit hati pada mereka dan kita pun terhibur.

Anonymous said...

Betul tu pak aspan. Tapi kena igt, pak aspan dulu pun pernah dilihat mcm tu. 'friendly'. Fenomena Aspanisme pun pernah menjelma sekejap tetapi berjaya ditutup. Mahathirisme saja yg tak berjaya ditutup.

Anonymous said...

Satu ketika dulu pernah & kerap mengikuti Najib dlm program dgn orang ramai. Tertanya2 jugak & berdetik dlm hati.... bila masa Najib ni menunaikan kewajipannya sebagai seorg Islam. Sdg org lain berpusu2 & tergesa2 mengerjakan solat, dia selamba bersantai sehingga habis waktu... Apakah Najib bole dijadikan contoh pemimpin Islam yg sederhana? Apakah dia faham apa itu syiah? Apa kah dia tau rukun Islam, rukun Imam, dosa pahala sunnah, sunah, makroh haram halal?
Wahai Najib, jgn la kamu riak, angkoh & sombong mendabik dada sebagai pemimpin Islam & mengeluarkan sewenang2 fatwa hanya UMNO sebagai penyelamat Melayu...

Anonymous said...

Sebenarnya UMNO itu herot dan mengelat sejak dari mula penubuhannya, tetapi ciri-ciri itu hanya sedikit sahaja dan bolehlah diabaikan. Jika diperhatikan mulai sekitar 30 tahun kebelakangan ini, herotan dan pengelatan tersebut semakin menjadi-jadi dan tiada pula sebarang usaha ataupun ikhtiar dalaman untuk meletakkan UMNO di atas landasan yang hampir lurus, jika tidak dapat diluruskan sekalipun. Terkini mereka menambah herotkan lagi UMNO itu sendiri. Yang merosakkan UMNO adalah ahli-ahli UMNO juga, bukan disebabkan ajaran syiah, Tuhan Harun dan lain-lain seumpamanya. Nafsu tidak terkawal, peminggiran agama dan keegoan melayu UMNOnya antara menjadi penyebab. Sesama melayu juga dibuat supaya berantakan. Mungkin itulah yang dimaksudkan oleh Tun Mahathir (padahal diapun apa kurangnya), UMNO itu busuk hingga ke usus. Persoalannya, siapakah dikalangan ahli semasa yang betul-betul berkemampuan untuk memperbetulkan UMNO? Nil QED, right?

Anonymous said...

Betul sekali cakap tuan, bahawa ilmuan2 agama hanya laku di dalam UMNO kerana adanya PAS.Saya sangat yakin sekiranya PAS tidak kuat jangan haraplah ilmuan2 agama yang berkepentingan akan diajak dan diangkat sebagai pemimpin di dalam UMNO.

ahmadyaniDotCom said...

Selain untuk menutup kepincangan kepimpinan, isu syiah boleh digunakan untuk menutup isu-isu kenaikan harga yang akan melanda negara pada tahun hadapan.

Satu teknik yang terkutuk!

Anonymous said...

..berdegar2 zahid bagan datok la ni...ada udang sbalik mee ke dato'? Dato' jgn la tercebur dlm kelab shidang kasing n bang mokhtar zizie.... N mat maslang tuhh.... Takpelah..kami faham...big boss dato' pun ikut ckp lady boss....nak wat camne.