08 January 2007

25. Doa makbul hajat tak sampai

Hidup dalam keadaan aman damai dalam sebuah negara yang makmur merupa harapan yang amat tinggi dan itu lah hajat kita rakyat Malaysia selama ini. Rakyat sentiasa berdoa agar UMNO meneruskan pimpinannya untuk mencapai hajat tersebut.

Pilihanraya umum yang lalu kita di berikan mandat yang besar setelah kita berdoa dan berusaha untuk mendapatkannya dari rakyat. Doa kita semua di kabulkan Tuhan. Kita bergembira kerana hajat kita ialah untuk melihat pemimpin yang dipilih mengendalikan negara dan rakyat dengan adil dan saksama serta berkorban seperti pemimpin yang terdahulu seperti Tunku Abd Rahman Putra, Tun Abd Razak serta Datuk Husein Onn. Semasa kepimpinan mereka ini tidak pernah timbul polimik dan isu tentang anak-anak mereka dengan politik dan proje- projek kerajaan.

Tetapi malangnya apa yang kita hajatkan tidak kesampaian kerana pemimpin hari ini tidak ada kekuatan dalaman untuk menjaga etika kepimpinannya dan membenarkan ahli keluarga menggunakan pengaruh pimpinannya untuk mengisi kehendak nafsu-nafsi mereka. Pucuk pimpinan tidak ada rasa bersalah dan malu dengan isu yang sedang panas di polimikkan di mana-mana oleh rakyat.

Malah kedapatan orang yang dilantiknya untuk menjawat jawatan yang besar menggunakan kesempatan untuk menggunakan kedudukkan mereka bagi menyelesaikan hutang dan masalah peribadi, sehingga terpaksa menyaingi rakyat yang dipimpinnya untuk mendapatkan projek-projek di kementerian masing-masing. Inilah yang membosankan rakyat, kerana mereka sudah nampak permainan pemimpin mereka.

Kita sebagai ahli UMNO wajib melihat secara objetif tentang keadan ini, kerana UMNO ini kepunyaan ahli dan bukannya kepunyaan Perdana Menteri atau pun keluarganya. Yang boleh memperbaikki keadaan ini ialah ahli-ahli sendiri. Jika kita tidak ada kudrat untuk mengubahnya, maka sampai bila-bila budaya menggunakan kuasa untuk peribadi ini akan terus subur dan menjahanamkan nasib anak cucu kita.

Negara ini adalah negara demokrasi. Parti kita pun parti demokrasi. Tentu ada jalan untuk menyelesaikan masalah ini secara demokrasi. Kita BERDOA dan pilih pemimpin yang betul Insyaallah barulah HAJAT kita sampai.

Setiap ahli UMNO wajib berfikir dan gunakan pemikiran kita untuk kebaikan dengan berani. Yang penting orang melayu lebih-lebih lagi ahli UMNO patut mula berfikir dengan akal yang telah di anugerah Tuhan. Selama ini mungkin kita belum menggunakan pemikiran kita.

WASSALAM




06 January 2007

24. Qarun dan Quran

Sekarang adalah zaman perkembangan antara budaya Quran dan Qarun. Pucuk pimpinan kita memperkayakan budaya ini dengan begitu mendadak sehinggakan kita menjadi begitu keliru.

‘Facet’ pentadbiran dan kepimpinan kita disolekkan dengan slogan-slogan berunsurkan agama, seperti konsep Islam Hadhari yang kini diseminarkan dan dibincangkan dalam upacara-upacara rasmi kerajaan. Kita tidak perlu mempunyai ‘intelligence’ yang tinggi untuk mengetahui motif penerapan konsep ini dalam kerajaan kita dewasa kini.

Di sebalik penerapan Islam Hadhari ini, semua orang tahu yang ianya merupakan ‘indah khabar dari rupa’ semata-mata. Tidak ada langsung amalan 'Islamic' dalam pengurusan rakyat dan negara.

Di kalangan kebanyakan orang yang bernama pemimpin, masing-masing sedang sibuk mengumpulkan harta yang begitu banyak dan tidak ada sempadan kerakusan mereka. Ada yang menjadi ‘billionaire’ dalam tempoh sesingkat empat atau lima tahun. Rakyat bukan sebodoh yang difikirkan mereka dengan mengatakan anak masing-masing kaya disebabkan penyertaan mereka dalam tender antarabangsa dan tidak ada unsur-unsur pengaruh daripada jawatan yang mereka pegang.

Usaha pengumpulan harta atas peluang rakyat adalah satu perkara yang tidak boleh dimaafkan. Harta kekayaan negara kita ini bukan datuk nenek mereka yang punya. Inilah cara Qarun mengumpulkan harta semasa zaman jahiliah Firaun dahulu. Kalau zaman Firaun ada Qarun, zaman sekarang pun dah ada Qarun.

Adakah pemimpin-pemimpin kita ini merupakan pembawa dalil dunia akan kiamat? Kita bertanya kerana antara dalil yang jelas apabila dunia hendak kiamat ialah; yang benar nampak salah dan yang salah nampak benar. Selain daripada itu, yang benar terhimpit dan yang bersalah bermaharajalela. Yang paling jelas dalil yang dunia hampir hendak kiamat ialah rakyat dipimpin oleh orang-orang bodoh.

Tanyalah guru-guru, apakah jenis manusia yang menjadi pembawa dalil dunia hendak kiamat ini. Apabila sudah tahu jawapan nanti beritahulah saya kerana saya pun hendak belajar juga sedikit sebanyak tentang hal yang sangat penting ini.

WASSALAM.

05 January 2007

23. Pemimpin glamour

Hari ini sudah lima hari kita melalui tahun 2007. Kedatangan tahun baru kali ini tidak ada apa-apa yang memberi kita perangsang untuk menaikkan taraf kehidupan seperti empat lima tahun yang lalu. Yang hanya rakyat dapati ialah kenaikkan bayaran tol selain dari kenaikkan harga keperluan yang semuanya membebankan mereka. Rakyat tidak tahu lagi hendak mengadu pada siapa. Hendak mengadu kepada kerajaan, sudah mustahil. Belum pun sempat kita hendak mengadu, kerajaan menambah lagi beban rakyat dengan menaikkan harga petrol dengan kadar yang begitu tinggi.

Di Johor, banjir melanda begitu ganas sehinggakan ianya merupakan banjir yang terbesar dalam seratus tahun, dan setakat ini telah mengorbankan lima belas nyawa. Ia menenggelamkan hampir tujuh puluh peratus negeri tersebut, dan rakyat begitu tertekan dengan malapetaka ini. Ramai rakan-rakan telah ke Johor untuk membantu kenalan-kenalan yang terlibat dalam banjir tersebut setakat mana yang termampu, untuk membantu pihak berkuasa menangani kesempitan rakyat negeri itu. Walaupun sekecil mana pun bantuan yang diberikan ia tetap di hargai oleh mangsa banjir itu. Kecil tanda bersama besar tanda berada.

Malah ramai di antara kawan-kawan saya yang sepatutnya pergi bercuti telah membatalkan hasrat mereka kerana merasa begitu bersalah untuk bersantai ke luar negara sedang rakan-rakan mereka di Johor sedang menghadapi malapetaka besar.

Hanya pemimpin besar kita sahaja yang tidak mampu untuk membatalkan hasratnya untuk bercuti kerana sikap tidak prihatin kepada masalah rakyat di Johor. PM kita hanya balik sehari dari luar negara dan terbang semula untuk bercuti sehinggalah ke hari ini. Ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa pemimpin kita ini bukan pemimpin yang tulen. Beliau bukan pemimpin rakyat. Beliau tidak selesa bersama rakyat tatkala rakyat berada dalam kesusahan. Memang kita tidak nafikan bahawa berada di Australia ataupun di Turkey tentu lah lebih seronok daripada berada bersama-sama rakyat yang sedang dilanda banjir.

Glamour…glamour…..glamour….. seolah-olah tidak ada masa yang lain untuk bersantai. Dia tidak mampu untuk menangguhkan percutiannya seolah-olah sudah tiada lagi hari esok baginya. Sikap Abdullah Badawi sudah berubah dalam sekelip mata daripada manusia yang dikatakan baik kepada seorang pemimpin yang tidak langsung mempunyai jiwa rakyat. Beliau bersikap rakyat berjiwa raja.

Teringat pula saya kepada nasihat seorang tua di kampung saya semasa saya remaja dahulu, “kalau dapek pangkat, jangan jadi macam sakai dapek padi, botanak siang dan malam. Kalau dapek kuaso, jangan pulak toloncek ko sini dan toloncek ko sano….malu!! Kito ghaso kito hebat tapi tak soda oghang ghamai menyampah!!” kata atuk itu. Walaubagaimana pun sehingga ke hari ini saya tidak berpangkat, tidak bernama dan tidak bergelar.

Kalau dinilai nasihat ‘atuk’ tadi, memang sesuai diberikan kepada pemimpin kita ini. Agaknya memang begitu sifat seorang yang baru merasakan nikmat. Kita bercuti apabila telah penat bekerja. Tetapi pemimpin kita ini, kita tidak tahu pun apa kerja yang telah dibuatnya. Kerja tidak seberapa cutinya yang lebih. Tetapi kita kena ingat, kalau hendak glamour pun jangan sampai ketahap kufur nikmat. Ada hadith yang di riwayatkan oleh Baihaqqi yang Nabi kita amat benci kepada manusia yang kufur nikmat. Marilah kita berdoa agar kita semua dan pemimpin Hadhari ini tidak tergolong ke dalam kumpulan orang yang kufur nikmat.

Bukan sedikit kesusahan yang dihadapi oleh rakyat Johor. Memang tidak patut PM pergi bercuti waktu ini, dan ramai rakyat Johor berkecil hati kerana orang Johor lah selama ini yang memberikan sokongan yang kuat kepada beliau. Sepatutnya inilah waktunya untuk beliau menunjukkan perhatian kepada kubu kekuatannya itu. Rakyat hanya dianggapnya seperti ‘dahan bongkok’, digunakan untuk kera-kera dan monyet -monyet meniti. Itu sahaja gunanya kita semua ini kepada pemimpin kita.

Dari contoh yang ditulis ini sudah mencukupi untuk menilai siapa sebenarnya Abdullah Badawi. Rupa-rupanya Pak Lah ini memang pandai membaca hati orang melayu . Dia tahu orang melayu akan menyokong mana-mana pihak yang menipu mereka, termasuklah oleh pemimpin partinya sendiri. Itulah sebabnya kita semua sentiasa ditipu dengan bermacam-macam helah termasuklah menggunakan agama suci kita untuk kepentingan peribadi mereka. Dalam pada itu rasuah dan penyalahgunaan kuasa tetap terus subur di dalam negara kita.


WASSALAM.


03 January 2007

22. Bangun sesudah mati

“Manusia itu sesungguhnya sedang tidur dan akan hanya bangun setelah mati”. Begitulah kata-kata alim ulamak serta mereka yang zuhud. Kata-kata seindah ini tentulah datangnya dari insan yang penuh dengan ilmu dan tahu fungsinya sebagai manusia kejadian Tuhan ini. Manusia yang sentiasa mencari kebenaran tidak ada jalan lain selain dari berzuhud terhadap Tuhannya, hatta ilmu itu terpancar dari a’rash Tuhan yang Maha Tinggi dan Suci.

Ilmu yang Haq ini tentulah datangnya dari hasil usaha keras untuk mencari jalan ke arahnya yang Maha Esa serta mengharapkan keredhaanNya dalam segala bidang kehidupan. Kalau kita menginginkan hidup dalam kehidupan mukmin, nescaya akan faham bahawa kita memerlukan nikmat dari hasil bekerja keras dan diiringi rahmat dan keredhaan Tuhan tatkala hidup di dunia ini dan mengecapi segala rahmat semasa hidup di alam akhirat. Itulah sebabnya ilmu itu adalah lebih tinggi nilainya dari harta dan takhta, kerana ilmu itu akan menjaga kita sedang harta itu membuatkan kita terpaksa berusaha untuk menjaganya.
Pendek kata, untuk mencapai kesejahteraan di dunia dan akhirat, harta yang memberikan kita nikmat di dunia ini hendaklah ditadbir dengan ilmu yang akan membolehkan kita mendapat keredhaan dari Tuhan dan mendapat tempat terpilih dan tergolong di kalangan yang terampun di alam akhirat kelak.

Bagi pemimpin, Negara dan Rakyat adalah harta yang diamanahkan Tuhan untuk dijaga dan ditadbir di dalam keredhaanNya. Malahan pemimpinlah yang paling mudah untuk ke syurga seandainya dia menjalankan tanggungjawab dengan penuh takzim dan sentiasa menjalankan pentadbiran dengan niat yang satu, iaitu untuk memenuhi kewajipan kapada Allah swt. Di sebaliknya pemimpin jugalah yang paling mudah ke neraka jika dia nya tidak melaksanakan tanggungjawab untuk mencapai keredhaan Tuhan dan sentiasa mendahulukan diri sendiri di samping tidak ada pengorbanan dengan menyalahgunakan kuasa yang di pinjamkan Tuhan itu.

Usaha yang intensif adalah diwajibkan kepada pemimpin untuk melaksanakan tanggungjawab mengikut lunas dan jalan yang telah ditentukan Tuhan jika benar-benar seseorang pemimpin itu ingin menjadikan pimpinannya sebagai ubudiyah serta amalan untuk mentauhidkan yang Maha Esa. Sifat bijaksana itu adalah sifat Tuhan maka adalah sangat penting bagi pemimpin untuk bertawajjuh dan bertawassul kepada Tuhan semoga sifat bijaksana tadi dipinjamkan olehNya kepada pemimpin tadi untuk mentadbir harta dan rakyat tadi agar sentiasa berada di atas jalanNya dan dalam keredhaanNya.

Ilmu inilah yang menjadi pakaian pemimpin-pemimpin agung dalam Islam dahulu seperti Al Malek Ashtar yang pernah mentadbir negara Mesir dengan bijaksana di zaman Khalifah Al Rashideen Ali k.wajhah, kerana kezuhudannya kepada Allah swt.

Maka adalah tidak afdal dan amat tidak baik jika kita gunakan agama, nama Tuhan serta menggunakan slogan-slogan agama jika niatnya semata-mata untuk politik dan kepentingannya sendiri. Bagi saya seorang, konsep Islam Hadhari anjuran Abdullah Badawi itu merupakan satu usaha untuk memberitahu umat Islam bahawa agama yang selama ini kita anuti itu ada kelemahannya. Yang lemah bukanlah Islam yang dibawa oleh Muhammad itu, tetapi yang lemah ialah penganutnya sendiri, termasuklah pemimpin-pemimpin yang menggunakan Islam sebagai tempelan semata-mata sedangkan apa yang dilakukannya amat jauh menyimpang dari landasan al-Quran dan al-Hadith yang ditinggalkan oleh Muhammad saw.
Apa yang kita nampak banyak pemimpin menggunakan agama untuk mendapat sokongan rakyat untuk berkuasa tetapi apabila berkuasa dia mencontohi Qarun yang kaya-raya di zaman jahiliah Firaun dulu. Perbalahan antara pemimpin adalah kerana harta dan kuasa; amat sedikit perbalahan dan perbezaan pendapat itu kerana kesejahteraan rakyat yang dipimpinnya.

Ingatlah ayat yang pertama tadi, kita sebenarnya sedang tidur, dan akan bangun setelah kita mati. Kepada pemimpin, ingatlah, anda sedang bermimpi di dalam tidur. Mimpi enak yang anda alami itu akan hilang apabila anda bangun nanti. Apabila anda terjaga, sudah terlalu lewat untuk menghadapi realiti hidup yang anda akan hadapi.


Sekian.WASSALAM