03 January 2007

22. Bangun sesudah mati

“Manusia itu sesungguhnya sedang tidur dan akan hanya bangun setelah mati”. Begitulah kata-kata alim ulamak serta mereka yang zuhud. Kata-kata seindah ini tentulah datangnya dari insan yang penuh dengan ilmu dan tahu fungsinya sebagai manusia kejadian Tuhan ini. Manusia yang sentiasa mencari kebenaran tidak ada jalan lain selain dari berzuhud terhadap Tuhannya, hatta ilmu itu terpancar dari a’rash Tuhan yang Maha Tinggi dan Suci.

Ilmu yang Haq ini tentulah datangnya dari hasil usaha keras untuk mencari jalan ke arahnya yang Maha Esa serta mengharapkan keredhaanNya dalam segala bidang kehidupan. Kalau kita menginginkan hidup dalam kehidupan mukmin, nescaya akan faham bahawa kita memerlukan nikmat dari hasil bekerja keras dan diiringi rahmat dan keredhaan Tuhan tatkala hidup di dunia ini dan mengecapi segala rahmat semasa hidup di alam akhirat. Itulah sebabnya ilmu itu adalah lebih tinggi nilainya dari harta dan takhta, kerana ilmu itu akan menjaga kita sedang harta itu membuatkan kita terpaksa berusaha untuk menjaganya.
Pendek kata, untuk mencapai kesejahteraan di dunia dan akhirat, harta yang memberikan kita nikmat di dunia ini hendaklah ditadbir dengan ilmu yang akan membolehkan kita mendapat keredhaan dari Tuhan dan mendapat tempat terpilih dan tergolong di kalangan yang terampun di alam akhirat kelak.

Bagi pemimpin, Negara dan Rakyat adalah harta yang diamanahkan Tuhan untuk dijaga dan ditadbir di dalam keredhaanNya. Malahan pemimpinlah yang paling mudah untuk ke syurga seandainya dia menjalankan tanggungjawab dengan penuh takzim dan sentiasa menjalankan pentadbiran dengan niat yang satu, iaitu untuk memenuhi kewajipan kapada Allah swt. Di sebaliknya pemimpin jugalah yang paling mudah ke neraka jika dia nya tidak melaksanakan tanggungjawab untuk mencapai keredhaan Tuhan dan sentiasa mendahulukan diri sendiri di samping tidak ada pengorbanan dengan menyalahgunakan kuasa yang di pinjamkan Tuhan itu.

Usaha yang intensif adalah diwajibkan kepada pemimpin untuk melaksanakan tanggungjawab mengikut lunas dan jalan yang telah ditentukan Tuhan jika benar-benar seseorang pemimpin itu ingin menjadikan pimpinannya sebagai ubudiyah serta amalan untuk mentauhidkan yang Maha Esa. Sifat bijaksana itu adalah sifat Tuhan maka adalah sangat penting bagi pemimpin untuk bertawajjuh dan bertawassul kepada Tuhan semoga sifat bijaksana tadi dipinjamkan olehNya kepada pemimpin tadi untuk mentadbir harta dan rakyat tadi agar sentiasa berada di atas jalanNya dan dalam keredhaanNya.

Ilmu inilah yang menjadi pakaian pemimpin-pemimpin agung dalam Islam dahulu seperti Al Malek Ashtar yang pernah mentadbir negara Mesir dengan bijaksana di zaman Khalifah Al Rashideen Ali k.wajhah, kerana kezuhudannya kepada Allah swt.

Maka adalah tidak afdal dan amat tidak baik jika kita gunakan agama, nama Tuhan serta menggunakan slogan-slogan agama jika niatnya semata-mata untuk politik dan kepentingannya sendiri. Bagi saya seorang, konsep Islam Hadhari anjuran Abdullah Badawi itu merupakan satu usaha untuk memberitahu umat Islam bahawa agama yang selama ini kita anuti itu ada kelemahannya. Yang lemah bukanlah Islam yang dibawa oleh Muhammad itu, tetapi yang lemah ialah penganutnya sendiri, termasuklah pemimpin-pemimpin yang menggunakan Islam sebagai tempelan semata-mata sedangkan apa yang dilakukannya amat jauh menyimpang dari landasan al-Quran dan al-Hadith yang ditinggalkan oleh Muhammad saw.
Apa yang kita nampak banyak pemimpin menggunakan agama untuk mendapat sokongan rakyat untuk berkuasa tetapi apabila berkuasa dia mencontohi Qarun yang kaya-raya di zaman jahiliah Firaun dulu. Perbalahan antara pemimpin adalah kerana harta dan kuasa; amat sedikit perbalahan dan perbezaan pendapat itu kerana kesejahteraan rakyat yang dipimpinnya.

Ingatlah ayat yang pertama tadi, kita sebenarnya sedang tidur, dan akan bangun setelah kita mati. Kepada pemimpin, ingatlah, anda sedang bermimpi di dalam tidur. Mimpi enak yang anda alami itu akan hilang apabila anda bangun nanti. Apabila anda terjaga, sudah terlalu lewat untuk menghadapi realiti hidup yang anda akan hadapi.


Sekian.WASSALAM


















No comments: