09 August 2012

Fatwa tentang DAP: Dalil dunia nak kiamat

Dalil hari kiamat hendak sampai sudah kian nampak jelas. Apabila dunia sudah hampir hendak kiamat Tuhan akan menunjukkan dalil-dalil jelas tentang ketibaan kiamat itu. Dalil-dalil itu merupakan elemen atau kejadian yang songsang dengan keadaan dan elemen yang biasa dalam kehidupan umat dan makhluknya.

Sebenarnya dalil-dalil ini sudah lama dilihat oleh manusia yang celek agama dan ketuhanan mereka. Hanya kita tidak tahu siapa yang celek dalam segi ketuhanan kerana itu hanyalah berada dalam pengetahuan Tuhan yang maha Esa. Kita diberitahu oleh agama dan kitab-kitab kita yang unsur yang terbalik dari norma-norma biasa merupakan dalil-dalil tentang ketibaan kiamat.

Di antara dalil-dalilnya yang jelas ialah yang bathil itu bermaharajalela dan yang haq itu sentiasa tertindas di dunia ini. Perkara yang baik itu diambil sebagai perkara yang tidak baik dan jahat dan sebaliknya mana-mana yang jahat dan bathil itu dianggap baik dan diterima sebagai perkara dan tindakan baik. Perempuan berkuasa dan lelaki tunduk kepadanya. Itu adalah dalil yang telah kita lihat di hadapan mata kita sentiasa di akhir zaman ini. Di sekeliling kehidupan kita seharian pada hari ini kita menyaksikan bagaimana perempuan mempunyai kuasa yang boleh menundukkan suami mereka.

Kita juga mendengar buah-buah akan berbuah di luar musim dan ini juga sudah menjadi perkara dan kejadian biasa sahaja. Dulu-dulu kita akan hanya mendapat memakan sesuatu jenis buah-buahan itu apabila sampai musimnya. Sekarang kita boleh mendapatkannya setiap hari dan waktu. Kita hanya perlu ada wang untuk membelinya.

Tetapi dalil yang paling jelas yang dunia akan kiamat ialah apabila timbul ulamak-ulamak songsang yang akan menyesatkan umat Muhammad pada zaman sekarang. Memang janji iblis dan syaitan kepada Tuhan yang mereka (syaitan) akan berterusan berusaha untuk menyesatkan umat Muhammad.

Yang terakhir yang kita dengar serta lihat ialah satu fatwa yang dikeluarkan oleh seorang yang bergelar ‘ulamak’ yang menyokong DAP itu adalah haram. Fatwa ini diperbesarkan oleh media arus perdana negara iaitu Utusan Malaysia dua hari yang lepas. Saya begitu terkejut dan sejurus selepas mendengar fatwa itu saya dihujani oleh ramai rakan-rakan dari utara ke selatan serta dari timur ke barat bertanyakan apa yang telah terjadi kepada negara kita kerana di negara kita pula menjadi tempat orang membawa dalil hari kiamat itu.

Saya hanya mengambil sikap rileks dan tidak mahu memberikan reaksi pada mulanya. Tetapi di atas desakan ramai yang menghubungi saya, saya terpanggil untuk memberikan komen ringkas dan memang pun saya menjadi tumpuan ramai rakan-rakan kerana saya adalah seorang ahli DAP sejak lapan bulan yang lalu.

Saya hanya hendak memberitahu seseorang yang beriman itu ibarat ikan hidup di laut dalam. Ikan boleh hidup bertahun-tahun di dalam lautan yang masin tetapi ikan itu tidak masin. Tetapi sebaliknya jika ikan mati dimasukkan ke dalam laut sehari dua dan dijemur selepas itu ikan itu akhirnya akan jadi ikan kering masin kerana elemen masin sudah menyerap ke dalam tubuh ikan yang mati itu.

‘Ulamak’ yang mengeluarkan fatwa buruk itu merupakan seorang yang boleh digoyahkan dengan elemen sekelilingnya seperti ikan mati tadi. Apabila dihasut dan dipengaruhi oleh alam sekeliling yang jahat, maka dia pun memberikan fatwa buruk itu kerana kepentingan mereka yang berpengaruh yang berhampiran dengannya.

Saya telah katakan selalu, orang seperti saya hanya bertukar wadah dan bukannya bertukar akidah. “Ulamak” itu sepatutnya mengeluarkan fatwa tentang rasuah dan mencuri serta merompak wang dan harta rakyat secara terang-terangan yang dilakukan oleh pimpinan sekarang ini. Kenapa ‘ulamak’ bebal itu tidak memberikan fatwa yang mengharamkan bekerjasama dengan perasuah-perasuah ini? Kenapa pula ‘ulamak’ ini mengeluarkan fatwa yang tidak berdosa jika bersama MCA sedangkan MCA terang-terangan menentang  hukum hudud dan berbagai-bagai lagi yang dilakukan oleh MCA selama ini.

“Ulamak” dari Tumpat, Kelantan ini patut diberitahu bahawa seseorang itu, selagi ianya terus bertawajjuh kepada Rasulnya dan bertawassul kepada Tuhannya ia tidak akan boleh dialih dan dianjak keimanannya. Tetapi ‘ulamak’ ini lebih cenderung untuk bermain politik dan sanggup mengeluarkan fatwa yang gila itu, sahih telah dipengaruhi oleh pihak yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia terutamanya kepada mereka yang warak zahirnya. Iblis tidak takut kepada orang yang warak, tetapi iblis takut kepada mereka yang berilmu kerana mereka yang berilmu (alim) itu selalunya diiringi dengan keimanan yang tinggi.

Kerja-kerja seperti mengeluarkan fatwa seperti inilah yang menyebabkan agama Islam dipandang rendah oleh umat manusia yang beragama lain. Orang-orang seperti ini dipergunakan oleh mereka yang terdesak dan sanggup melakukan kerja-kerja yang tidak boleh diterima akal langsung.

Tetapi apa yang kita mesti awasi diri kita ialah untuk tidak menjadi sebahagian daripada pembawa dalil ini kerana pembawa dalil itu merupakan kumpulan yang berdosa. Kita jangan terlibat dengan fatwa-fatwa politik ini.

Saya mesti memberitahu sesiapa yang ingin tahu yang tindakan saya meninggalkan UMNO ialah kerana terlalu banyak kerja-kerja kafir yang berlaku di dalam parti itu yang jelas bertentangan dengan Islam.

Kita mesti jauhi diri dari bersama dengan pihak yang terang-terangan mencuri itu kerana kita akan disamakan dengan mereka yang mencuri itu. Saya bukannya ulamak tetapi saya tahu kita tidak boleh bekerjasama dengan yang mencuri dan merompak harta dan wang rakyat.

Dalam musim pilihanraya mendatang ini kita harus waspada dengan fatwa-fatwa yang tidak berunsurkan kepada hakikat ketuhanan dan menyesatkan itu. Semuanya itu kerana politik. Ingat kita sedang hidup di akhir zaman. Yang bathil akan menghampiri kita dengan penampilan yang seolah-olah bercirikan yang haq.

Kita lihat dengan mata hati. Jangan tengok setakat menggunakan mata zahir kita...jangan kita butakan mata hati kita kerana menutup mata hati kita itu adalah pengakhir kepada hidup dalam keredhoan Tuhan.

Bayar royalti minyak sekarang, buktikan 'janji ditepati'

Isu pembayaran royalti minyak negeri Kelantan menjadikan banyak pihak merasakan bahawa UMNO sedang bermain silap mata lagi. Mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan perjanjian yang telah ditandatangani oleh Petronas dan kerajaan negeri Kelantan pada bulan Mei 1975 yang lalu amat jelas. Tindakan Najib mengumumkan penubuhan jawatankuasa untuk meneliti pembayaran royalti itu adalah satu tektik yang boleh dibaca oleh banyak pihak dengan mudah.

Tengku Razaleigh telah mempersoalkan penubuhan jawatankuasa itu dan menganggap penubuhan jawatankuasa itu sebagai tindakan dolak-dalik kerajaan Persekutuan terhadap rakyat negeri Kelantan. Jawatankuasa itu ditubuhkan seolah-olah masih belum ada tata-cara untuk membayarnya sedangkan semuanya itu telah pun disempurnakan dengan perjanjian yang telah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak pada bulan Mei 1975 yang lalu.

Hanya yang perlu dilakukan ialah pihak Petronas menghormati perjanjian itu sebagaimana yang telah dipersetujui dan ditandatangani itu. Pembayaran yang perlu dilakukan oleh Petronas ialah secara tunai sebanyak dua kali setahun sebanyak 5% daripada harga FOB minyak yang dikeluarkan dari perairan Kelantan. Pembayaran itu wajib dibayar pada setiap 1hb Mac dan 1hb September setiap tahun dan setakat ini Petronas belum lagi menghormati perjanjian itu. Anggaran jumlah tunggakan yang perlu dibayar oleh Petronas kepada kerajaan Kelantan sekarang ialah sebanyak RM7 billion.

Apa yang perlu dilakukan oleh Petronas ialah membayar sahaja jumlah itu kepada kerajaan dan rakyat Kelantan sebelum pilihanraya yang akan datang ini. Tidak perlu lagi menubuhkan jawatankuasa khas untuk pembayaran ini kerana segala tata-cara dalam perjanjian itu sudah lengkap dan dengan penubuhan jawatankuasa itu tidak akan dapat mengelakkan sesiapa untuk beranggapan bahawa itu hanyalah sebagai satu ‘political ploy’ pihak BN untuk mendapatkan sokongan dari rakyat Kelantan dalam PRU yang akan datang ini.

Penubuhan jawatankuasa itu belum pasti lagi dapat menentukan bahawa perjanjian yang telah ditandatangani itu akan dilaksanakan. Helah yang dibuat oleh Perdana Menteri ini ibarat menyorok di belakang pelita yang terang atau menyuluh di sebalik telunjuk. Inilah masalahnya jika pemimpin kita masih berfikir yang rakyat khususnya rakyat Kelantan masih boleh diperbodoh-bodohkan.

Pada pandangan saya, rakyat Kelantan tidak boleh berganjak walau seinci daripada perjuangan untuk mendapatkan hak mereka dalam isu royalti minyak ini. Selagi pembayaran tidak sampai ke perbendaharaan negeri Kelantan, mereka (rakyat Kelantan) wajib untuk menolak keengganan kerajaan Persekutuan untuk membayar apa yang sepatutnya dilakukan terhadap Kelantan.

Tubuhlah apa-apa jawatankuasa sekali pun, jika pembayaran tidak sampai sebelum pilihanraya, jawatankuasa itu hanyalah merupakan satu helah politik yang sangat dangkal dan mudah dibaca dengan jelas oleh kita, lebih-lebih lagi oleh rakyat Kelantan yang telah dinafikan hak mereka selama ini. Najib nampaknya menubuhkan jawatankuasa untuk menepati janji-janji yang telah pun tertulis dalam perjanjian yang sudah lama dipersetujui dan ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak.

Najib dan BN tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana perasaan curiga mereka terhadap kepimpinan beliau (Najib), kerana rakyat bersandarkan penilaian mereka daripada apa yang telah mereka alami dikelirukan oleh UMNO sejak pimpinan Dr Mahathir lagi.

Oleh itu, janji Najib dan kerajaan Persekutuan akan hanya diakui jujur apabila sejumlah yang tertunggak untuk dibayar kepada kerajaan Kelantan itu sungguh-sungguh sampai kepada perbendaharaan rakyat dan kerajaan pilihan mereka di Kelantan….titik!

Najib mesti laksanakan slogan yang sedang dimainkan, ‘janji ditepati’ semasa merayau-rayau di seluruh negara berkempen dengan menggunakan slogan itu. Inilah masanya yang paling sesuai untuk menepati janji yang tidak pernah ditepati itu.

Jika pembayaran yang telah dipersetujui itu tidak dibayar sekarang maka tindakan merayau-rayau ke seluruh negara berkempen slogan ‘janji ditepati’ itu akan hanya berakhir dengan menghabiskan karipap sahaja. Sekali pergi puluhan ribu karipap dibuat untuk memberi ‘refreshments’ kepada yang telah dipunggah dengan bas untuk menunggu kedatangan PM yang sedang dalam kekeliruan itu.

08 August 2012

Kalau DAP menang bersama PAS dan PKR, apa masalahnya?

Kali ini saya kembali menyebut satu isu yang pada saya sepatutnya menjadi satu isu basi dan tidak lagi diperbesarkan. Isunya ialah isu penyertaan saya dan beberapa orang Melayu dalam Parti Tindakan Demokratik, DAP. Saya tahu ini merupakan isu yang tidak berapa laku lagi sekarang kerana orang ramai tahu yang momokan UMNO dan penyokongnya dalam isu ini semakin hari semakin pudar dan sudah tidak diterima oleh rakyat yang ramai.

Saya tidak berminat untuk melayan momokan ini, tetapi terlalu ramai sahabat dan rakan-rakan yang menyokong saya menyertai DAP ini meminta saya menyebutnya sekali lagi, setidak-tidaknya buat kali terakhir. Mereka yang menyokong saya meliputi penyokong-penyokong saya dari seluruh negara dan ramai di antara mereka meminta saya menulisnya lagi.

“Penyokong UMNO ini malas berfikir. You mesti beritahu mereka selalu, kalau tidak mereka lupa. Orang yang malas berfikir mesti diperingati selalu sebab mereka payah untuk memahami isu-isu penting ini. Mereka ini tidak pernah dilatih untuk berfikir sebaliknya dilatih untuk mengangguk sahaja,” kata beberapa orang yang menyokong saya menyertai DAP walaupun mereka ini hanya sekadar penyokong yang akan memberikan undi kepada DAP.

Sebenarnya apa yang hendak saya sebutkan lagi kerana semuanya sudah disebut banyak kali. Apakah benar yang DAP itu adalah parti Cina? Mungkin DAP itu disertai oleh ramai orang Cina tetapi ia bukan parti Cina. DAP adalah parti berbilang kaum yang memperjuangkan nasib semua bangsa. Parti ini memperjuangkan kebersihan dalam pentadbiran kerajaan yang sangat kotor pada masa kini. DAP memperjuangkan ketelusan dan menolak isu rasuah yang banyak berlaku dalam kerajaan dan pimpinan BN sekarang ini.

Di mana-mana saya pergi, dari utara ke selatan, dari timur ke barat saya berjumpa dengan ribuan orang dan tidak ramai yang membangkang saya setelah saya berikan ‘rationale’ kenapa kita tidak perlu takut untuk memberi sokongan kepada DAP yang merupakan salah satu komponen dalam Pakatan Rakyat ini. Saya bukannya duduk di rumah berdiam diri. Saya selalu meninggalkan rumah untuk pergi ke merata-rata daerah dan tempat dalam negara ini. Saya dijemput untuk berceramah dan memberikan penerangan kenapa kita tidak perlu gusar untuk memberikan sokongan kepada DAP.

BN khususnya UMNO memang begitu takut dengan pengaruh DAP tetapi sebesar mana pun pengaruh DAP itu ia tidak akan menguasai kerajaan dan Putrajaya jika Pakatan menduduki Putrajaya itu. DAP akan menurunkan hanya seramai lebih kurang 50 kerusi sahaja dalam pilihanraya yang akan datang. Jika DAP menang kesemuanya, parti yang saya anggotai ini tidak akan terjadi apa yang dikhuatiri oleh segelintiran orang Melayu. Takkanlah nak buat kiraan yang senang ini pun mereka (penyokong BN totok) tidak mampu?

Tetapi jika DAP menang semua kerusi, ia memang penting untuk perjuangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Pertamanya, parti ini mempunyai rekod ketelusan dalam pentadbiran, Pulau Pinang misalnya. Jika DAP bersama-sama dengan PAS dan PKR menguruskan Putrajaya itu sudah pasti DAP akan memainkan peranan untuk keadilan ini. Yang pentingnya kita mempunyai kerajaan yang bersih daripada noda rasuah yang menggila dan menjadi benteng kepada perompak harta rakyat seperti yang lazim berlaku sekarang ini.

Saya menjadi ahli UMNO selama 40 tahun dan di dalamnya saya telah menjerit dan berbuat segala-galanya untuk mengingatkan parti itu supaya berbuat yang baik dan jauhi segala kemungkaran terhadap politik dan ekonomi negara. Tetapi saya siapa? Tidak ada siapa yang mendengarnya kerana saya hanya seorang picisan dalam UMNO yang begitu kuat budaya mengampu dan membodek ini. Saya yakin dengan sebenar-benarnya yang kebaikan itu tidak akan datang malahan hanya kerosakan sahaja yang akan wujud, ‘from bad to worst’.

Maka saya bertindak untuk bersama DAP dan, ‘I want to grow old with this party’. Saya merasakan bahawa parti ini juga boleh memperbaiki diri saya kerana saya telah begitu lama dalam UMNO dan saya memerlukan parti yang boleh memperbaiki sikap dan nilai dalaman saya dalam perjuangan politik negara ini. Bunyinya besar tetapi saya tetap seperti dahulu, bukannya orang yang mempunyai apa-apa kedudukan dan tidak bergelar serta bernama seperti rakan-rakan yang lain yang mengampu ke hulu dan ke hilir itu.

Saya sebutkan kita mesti menyertai parti yang boleh memperbaiki diri kita dan saya merasakan DAP telah pun sedikit sebanyak memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada sedikit sebanyak di dalam diri saya. Kalau saya masih berada di dalam UMNO saya tidak akan memperbaiki diri saya kerana UMNO tidak terjumpa nilai-nilai kemanusiaan yang baik dalam perjuangan selain daripada memperjuangkan nasib peribadi mereka semata-mata.

Bermacam-macam yang saya alami sejak menyertai DAP. Ada sahabat karib yang meninggalkan saya terus kerana marah-marah kerana mereka percaya pada momokan UMNO dan BN. Tetapi saya mendapat penyokong baru yang begitu ramai dan mereka tidak putus-putus menghubungi saya dan bertukar-tukar fikiran sesama kita. Alhamdulillah, usaha saya itu berbaloi dan ramai orang Melayu yang akan bersama saya untuk mendokong DAP sebagai sebuah komponen dalam Pakatan Rakyat.

Saya sekarang yakin bahawa PAS, DAP serta PKR akan mendapat dokongan rakyat dalam pilihanraya kali ini dan saya tidak sabar juga untuk melihat perubahan untuk kebaikan itu dalam pilihanraya kali ini. Saya akan bergembira melihat perubahan untuk kebaikan ini berlaku semasa saya masih hidup dan bernyawa ini.

Kepada rakan-rakan saya yang berada jauh dan dekat, ayuh kita teruskan usaha kita dan kepada mereka yang tidak gemar oleh kerana momokan UMNO itu, biarkan sahaja mereka di sana. Kita wajar memandang ke hadapan tanpa menoleh kebelakang lagi. Yang penting negara kita ini kita ubah untuk kebaikan bersama.

Sekarang apa masalahnya lagi? Pemimpin yang rasuah sekarang mungkin bermasalah, tetapi rakyat tidak ada masalah.

07 August 2012

Kita dengar nasihat Sahibul Samahah Najib Tun Razak

Semalam Najib bercakap tentang Islam, agama yang maha suci. Akhir-akhir ini beliau sudah bercakap agak kerap tentang Islam. Baguslah begitu kerana sesiapa yang beragama khususnya Islam tentulah wajar menjadikan Islam itu sebagai cara hidup kita. Nampaknya selain daripada menjadi seorang peniaga, beliau juga sudah menjadi pendakwah akhir-akhir ini dan itu tidak salah. Untuk kebaikan Islam dan umatnya tentulah kita alu-alukan kata-kata PM kita itu.

Kalau dipandang dan didengar dari satu sudut Najib berkata benar. Beliau berkata Islam itu moden dan Islam itu juga tidak mahu umatnya miskin. Kita tidak boleh mengaitkan Islam dengan miskin dan kemunduran. Islam itu katanya, suka kepada kecantikan dan Islam itu mesti dikaitkan dengan kemajuan dalam kehidupan dan bermacam-macam lagi yang beliau sebut tentang Islam itu.

Tetapi apa yang beliau tidak sebut, Islam tidak suka kepada rasuah dan pimpinan yang mengambil laba dari pembangunan rakyat. Islam tidak menggalakkan kronism dan jika Najib benar-benar mengimarakkan Islam beliau tidak sepatutnya membiarkan atau bersama-sama membina kekayaan yang tidak terhingga kerana kedudukan beliau sebagai PM. Beliau tidak sepatutnya ada pegawai-pegawai di sekeliling beliau yang menjadi ‘toll gate’ dan memerah peniaga dan usahawan yang meminta bantuan di pejabat PM.

Islam juga tidak mahu dan tidak suka melihat pimpinan mengelirukan pemikiran rakyat tentang isu-isu melibatkan orang ramai dan jauh sekali untuk membohongi rakyat. Islam menyuruh kita menepati janji, bukannya sekadar menjadikan ‘janji ditepati’ sebagai slogan pilihanraya sahaja.

UMNO selama ini hanya pandai berkata-kata dengan perkataan yang enak didengar. Najib hanya pandai berkata-kata semata-mata setiap hari seolah-olah yang beliau katakan itu datangnya dari penasihat yang kita tidak tahu siapa. Beliau tidak tahu samada satu-satu ayat yang beliau sebut itu memakan diri beliau dan partinya sendiri.

Kalau benar apa yang beliau kata itu kenapa kemiskinan di negara ini dikaitkan dengan orang Islam? Bukankah UMNO sudah memerintah sejak merdeka? Kenapa masih ramai di antara orang Islam yang miskin? Jika benar kata-kata Najib itu kenapa kerajaan pimpinan beliau (yang beragama Islam) tahap kegiatan rasuah tidak dapat dikawal sehinggakan rasuah itu menjalar di setiap lapisan pentadbiran negara?

Kenapa UMNO dan BN kotorkan imej Islam itu? Islam menggalakkan pembangunan pemikiran umatnya mengikut zaman dan waktunya. Tetapi kenapa orang Islam ‘dipengap’ pemikiran mereka oleh UMNO sehinggakan orang Islam pimpinan UMNO tidak lagi boleh berfikir secara bebas mengikut lunas-lunas Islam itu?

Saya tidak berhajat untuk membuat kupasan yang lebih daripada ini kerana terlalu banyak perkara yang anti-Islam yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan hari ini. Tetapi saya tahu sebabnya kenapa Najib akhir-akhir ini bercakap tentang Islam. Sebabnya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana beliau terlalu banyak kekurangan pada diri beliau. Islam itu hanya menjadi salutan untuk membawa imej baru yang amat penting dalam menghadapi pilihanraya ini. Bak kata seorang sahabat saya, “he has too much to cover about himself.”

Najib lebih mementingkan ‘packaging’ daripada ‘quality’ barangan yang berada di dalam 'packaging'nya itu. Itu sahaja. Tetapi mungkin ada yang percaya dengan kata-katanya, tetapi lebih ramai lagi yang tidak mahu mendengarnya dan hanya menganggapnya sebagai angin lalu sahaja.

Sesungguhnya Islam itu mesti diaddinkan. Bukan setakat retorik politik semata-mata. Islam tidak boleh setakat diterap-terapkan atau menjadi tempelan semata-mata. Ia wajib dilaksanakan sepenuhnya.

Kalau boleh biarlah mereka yang sewajarnya bercakap tentang Islam ini.