Apabila kita mendengar guruh
di langit jangan dibuang air dalam tempayan dahulu. Itulah nasihat orang-orang tua
kepada mereka yang terlalu ghairah dengan kejayaan untuk mendapat sesuatu yang
banyak. Tunggu hujan lebat itu turun dahulu, barulah boleh kita buang air di dalam
tempayan itu. Jika pokok durian kita baru berbunga, belum tentu lagi ia akan
memberikan buah yang lebat. Jika ia berbuah lebat pun tidak semestinya isinya
tebal dan enak dimakan. Selalunya durian yang berisi nipis ini baunya kuat
tidak terhingga.
Dalam sejarah peperangan yang
dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW baginda memberikan air minuman yang dicampurkan
dengan rumput kering yang bersih di dalam air minuman itu. Tujuan baginda memberikan
air yang dicampurkan dengan rumput kering yang bersih itu ialah untuk mengelakkan
daripada tentera Islam meminum air dengan gelojoh kerana terlalu dahaga. Matlamat
Nabi SAW itu ialah untuk mereka meminum air itu dengan perlahan-lahan agar tidak
tercekik air yang tidak mustahil membawa maut.
Begitu juga yang sedang berkuasa
atau yang akan mengambil-alih kuasa politik negara. Jangan terlalu ghairah
kerana rakyat sedang memerhatikan mereka dengan rapi. Jangan tunjukkan sangat
lahap dengan kuasa semata-mata kita yakin akan berkuasa atau mengekalkan kuasa.
Rakyat sudah bijak membaca keadaan dan menyelam air dalam tunggak.
Sikap pemimpin dan parti ini yang
sebenarnya boleh dilihat dan diperhatikan dari tindak laku mereka yang kita
lihat sekarang ini. Jika kita tunjukkan sifat lahap kita itu, nanti rakyat
tidak percaya dan menarik balik sokongan. Setidak-tidaknya sekarang ini tunjukkan
sifat kepimpinan yang halus dan bersih dari tuduhan mana-mana pihak yang mereka
akan menjadi sesat-barat apabila mendapat kuasa.
Rakyat nampak perkara ini dengan
jelas dan mereka (rakyat) bukannya manusia yang boleh dipermainkan seperti yang
telah mereka alami selama ini. Kita mesti ingat rakyat akan tuai apa yang
terbit. Hormatlah kepada empunya negara ini, iaitu rakyat yang ramai-ramai ini.
Elakkan dari rakyat tertuai padi
yang hampa dan tidak berisi. Nanti rakyat kecewa dan akan melalui kepayahan
dalam kehidupan mereka. Rakyat tidak mahu pihak yang berjaya itu
berebut-rebut di kalangan pemimpin mereka segala harta rampasan perang. Harta
rampasan perang mesti masuk ke dalam perbendaharaan negara bukannya diambil-alih
oleh pemimpin yang gila harta.
Jangan sombong dengan kuasa
pinjaman Tuhan ini. Hidung kita mesti diletakkan pada tempatnya yang betul,
bukannya diletak di atas dahi kita. Tangan pula jangan terlalu panjang.
Bercakap biar beralas dan teratur, jangan tunjukkan sifat sombong.
Tunduklah kepada Tuhan Maha Esa.
Jangan tunduk kepada hawa nafsu. Sesungguhnya pemimpin yang baik itu adalah di kalangan
orang yang berakhlak dan terhindar daripada kerja-kerja yang menjelikkan.
Pimpinan yang melakukan kerja
menjelikkan akan melalui kepayahan untuk menyambung mandat seperti yang dialami
oleh pimpinan sekarang. Mereka mundar-mandir memuji diri dan melekehkan orang
lain tidak berhenti-henti.
Kita boleh belajar dengan
beberapa cara. Pertamanya ialah melalui kesilapan dan kesalahan kita sendiri.
Tetapi cara yang terbaik ialah kita belajar dari kesilapan orang dan pihak
lain.
Fikir-fikirkanlah.
8 comments:
Nasihat yang sangat bernilai. Sebab itu kami penyokong kuat blogger ini.
Ini adalah sebesar-besar ujian yang perlu dihadapi oleh PR. Dan Ujian yang paling berat ialah bila meraih kemenangan. Ada orang lulus ujian kepayahan tapi gagal ujian kesenangan. PR jangan menjadi seperti oang ini. Jika gagal, apa yang dapat diharapkan oleh rakyat lagi?
Sayugia pimpinan Pakatan Rakyat meneliti nasihat penulis.
jangan gelojoh dan tamak nak bertanding lebih dari satu kerusi seolah-olah dia sorang saje yang layak tanpa memberi peluang kapada pimpinan pelapis dalam PRU13 nanti.
Nasihat yang baik utk PR..
Nasihat yg sangat baik. Fikiran tenang dan ketepikan sikap tamak haloba adalah sifat yg menjadi kayu ukur pemilihan oleh rakyat.
AA, saudara pernah terbaca dalam tulisan sdr yang negara memerlukan negara baru dengan sistem yang baru dan kembali kepada budaya politik pre-Mahathir. Sekarang baru saya faham maksud sdr. Terima kasih kerana gigih memberikan pencerahan
buyung
Nasihat yang terbaik dari hati ikhlas
Pengutaraan sebuah nasihat yang baik....terima kasih tuan punya blog...memng betol..jangan terlalu gabra..insafi diri perbaiki segala kelemahan dan ikhlaskan diri kerana Allah swt..pasang niat baik2..Allah sentiasa suka dengan perjuangan membela rakyat dengan ikhlas...saya suka baca blog ini..tahniah....
Post a Comment