15 August 2014

Betulkah yang majoriti itu benar, yang minoriti itu salah?

TS Khalid Ibrahim berkata Wan Azizah perlu membuktikan yang beliau telah mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri melalui proses undi tidak percaya terhadapnya. Dakwaan Wan Azizah yang beliau mendapat sokongan seramai 30 orang dari 56 Ahli Dewan Undangan Negeri itu wajar diterjemahkan dengan undian, dan ia perlu dilakukan melalui usul tidak percaya terhadap beliau di dalam Dewan Undangan apabila Dewan bersidang pada November ini.

Sememangnya lah begitu. Buktikan dakwaan President PKR itu yang beliau mendapat kepercayaan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri secara resmi dan muktamad. Tetapi sehingga usul tidak percaya itu dilakukan TS Khalid tetap Menteri Besar. Itu hanya akan boleh dilakukan setelah Tuanku Sultan kembali dari bercuti pada 23hbOgos  ini.

PAS pula akan bermesyuarat pada 17hb ini untuk menentukan pendiriannya berhubung dengan cadangan PKR untuk meletakkan Wan Azizah sebagai Menteri Besar, satu isu besar bagi PAS kerana beliau adalah seorang wanita. Setakat ini PAS dilihat bersama Khalid dan tidak mahu Khalid diketepikan sehingga tamat penggal pilihanraya ini. Tidak ada isu Khalid tidak mahu berhenti, tetapi hanya selepas penggalnya tamat.

Menamakan Wan Azizah untuk menjawat jawatan Menteri Besar itu tidak mengejutkan kerana dua sebab. Pertamanya beliau adalah Presiden PKR dan keduanya beliau adalah isteri kepada Ketua Umumnya Anwar Ibrahim yang sedang bergelumang dengan isu sodomi yang telah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan sedang membuat rayuan terhadap ‘verdict’ itu di Mahkamah Persekutuan.

Keduanya dengan jawatan Menteri Besar itu, Anwar yang sepatutnya menjadi calon kepada jawatan dan menggantikan Khalid itu, boleh menjadi pelonjak dan benteng politiknya untuk tidak masuk penjara dan kedudukan itu boleh memberikan peluang kepada beliau untuk mengelak dari tersekat dari bergiat politik seandainya beliau terpaksa memasuki penjara selama 5 tahun nanti.

Pendeknya beliau mahu semua dalam jemaah kepimpinannya dan ahli-ahli serta parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat itu menumpukan waktu, masa dan wang ringgit untuk membela beliau sahaja. Untuk melaksanakan hajatnya itu PKR terpaksa melupakan segala sanjungan dan pujian terhadap Khalid Ibrahim di atas keberkesanan kepimpinannya dalam kerajaan Selangor itu.

Pendeknya segala tenaga politik PKR hanya untuk menyelamatkan Anwar dan tidak ada kena mengena dengan pembangunan rakyat dan kerajaan Selangor, dan ini membuatkan Khalid serta yang bersimpati dengan beliau merasakan kerja politik ini adalah sebagai ‘thankless job’.  Jika dipandang dari sudut itu keengganan Khalid untuk berhenti itu tidak dapat dipersalahkan kerana yang baik telah menjadi buruk dalam sekelip mata dan mungkin itu jugalah PAS dan Tuanku Sultan begitu besar dan kuat ‘apprehension’ nya untuk menggantikan Khalid, lebih-lebih lagi dengan seorang wanita.

Ramai yang berfikir termasuk diri saya, masalahnya bukan masalah wanita seratus peratus. Wan Azizah akan dianggap, malahan sudah pasti akan hanya seorang Menteri Besar ‘rubber stamp’ sahaja kerana sebab yang sama-sama kita ketahui dan tidak berniat untuk menyebutmnya kerana menghormati beliau sebagai seorang yang memegang jawatan Presiden, sebuah parti komponen Pakatan Rakyat. Maklumlah 'rubber stamp' boleh dibawa kesana kemari dalam beg eksekutif seseorang dan 'rubber stamp' itu akan dibawa ke Segambut setiap hari. Di siang hari 'rubber stamp' itu akan dibawa ke pejabat di Bangunan Sultan Aziz Sallehudin di Shah Alam.

Pendeknya perjuangan Pakatan Rakyat buat seketika ini hanyalah untuk penyelesaian isu peribadi individu sahaja dan jauh dari penyelesaian isu-isu kepentingan rakyat yang dikatakan dilalaikan oleh Barisan Nasional selama ini. Isu-isu terhadap BN selama ini hanya merupakan isu-isu untuk ‘expediency’ perjuangan peribadi seseorang itu sahaja, tidak lebih dan tidak kurang dari itu.

Jadi, laungan mandat yang diberikan untuk Pakatan Rakyat itu sebenarnya satu perkara yang benar tetapi kenapa mandat itu diberi tidak disebut. Apakah sebenarnya sebab-sebab rakyat memberikan mandat itu? Rakyat telah memberikan mandat besar kepada Pakatan Rakyat untuk melihat perubahan kerana rakyat begitu tertekan dengan sikap dan kemampuan BN mentadbir negara termasuk pentadbiran Selangor. Rakyat mahukan kepimpinan yang bersatu dan mengutamakan kepentingan rakyat dan menjauhi dari kemungkinan negeri menjadi bankrap.

Rakyat memberikan mandat bukannya untuk kepentingan peribadi seseorang individu atau kumpulan dan mereka tidak mahu mandat yang diberikan mereka itu dijadikan modal untuk kepentingan dan nafsu serakah beberapa orang tertentu sahaja. Jika apa yang berlaku hari ini disedari rakyat, mereka akan tahu yang memilih di antara Pakatan Rakyat dengan BN adalah seperti memilih diantara ‘the devil and the deep blue sea’ sahaja.

Memilih diantara BN dan Pakatan Rakyat sudah digambarkan oleh apa yang berlaku hari ini sebagai memilih diantara memelihara beruk dengan memelihara kera.. Kedua-duanya menjahanamkan tanaman dan dusun-dusun buah-buahan.

Dalam isu Selangor ini ‘it’s not about numbers in the Assembly , it’s about who is more responsible to the people’. Jika itu keadaannya tidak salah jika Raja yang memerintah mengambil tindakan yang baginda anggap boleh menyelamatkan keadaan negeri dan jajahan takluk baginda’. Apa gunanya memilih yang majoriti jika ia akan memudaratkan negeri? Kita semua telah belajar yang majoriti itu tidak semesti yang benar, kerana ia bergantung kepada keadaan dan situasi negeri dan kawasan itu?

Nabi Allah Nuh dahulu adalah dari kumpulan yang minoriti. Selama 800 tahun berdakwah Nuh alaihissalam hanya mempunyai 83 orang pengikutnya. Setengah ulama mengatakan jumlahnya hanya 81 orang. Tetapi akhirnya yang minoriti bersama Nuh itu yang benar dan majoriti itu telah membawa bala besar dan hanyut termasuk anak dan isteri baginda.

Jika Wan Azizah menjadi Menteri Besar apa yang akan kita saksikan ‘consequence’ nya. Tunggu, kita beristighfar dahulu dan sambung balik secepat yang mungkin.

13 comments:

Anonymous said...

memang lah betul takkan tak erti buat kira-kira

Mohd Nor Shariff said...

Betul tu Tuan Aspan
Kita pilih PR untuk lihat perubahan yang lebih BAIK dari BN bukan untuk lihat perebutan KUASA. Sejak PR pegang ada saja perbalahan pendapat yang boleh pengundi rasa jijik dan meluat.
PAS wajib keluar dari PR dan berdiri sendiri walaupun di lihat tidak setia dengan kawan. PAS Jangan rasa takut hilang sokongan, ramai pengundi 50 50 % berpihak kpd PAS. Jika adun d bubar, letak semua calun d semua tempat walaupun d kawansan itu PAS rasa tidak menang.

Anonymous said...

Rujuk kpd tulisan mso sebuah kata Dan bukan paksaan utk pas..!

Anonymous said...

copy dan paste:

honestly speaking nobody knows how this MB Khalid saga is going to play out.But the more PKR leaders keep on attacking PAS and it's leaders there is bound to be very bad blood when this circus is finally over.Why cannot these PKR leaders keep their cool for a few more days and let the PAS have their meeting and see what they have decided.

If after the meeting PAS wants to go it's own way then it is still not to late to counter whatever way the PKR or PR pact wants to take.They have painted the PAS leaders into a corner,without actually knowing whatever motives they had.And to save face they might even bite back too.The way things are going it is very difficult for them to make a u-turn.

Anonymous said...

Satu luahan rasa yang cantik, mesra dan jitu. Syabas, untuk renungan semua khususnya rakyat Selangor.

Ibni Ismail said...

Salam.

Keadaan sebeginilah yang menyebabkan UMNO tetap kekal berkuasa. UMNO ni hanya tunggu masa sahaja untuk tumbang namun bukanlah ditangan daki daki UMNO seperti DSAI & kuncu kuncu nya.

Anonymous said...

Stuju sy dgn ulasan tuan

Anonymous said...

pak aspan bg perumpaan yg cukup bernas, beruk dan kera, sama2 menjahamkan tanaman.. kiranya, apa lg pilihan yg ada pak aspan?

Anonymous said...

Konsistensi adalah asas demokrasi. Kalau tak nak konsisten, jangan menyorok di belakang demokrasi. Asasnya ialah majoriti lebih utama dari minoriti.HAdhaif

brown said...


It's dog eat dog game.

Shahrudin said...

"Apa gunanya memilih yang majoriti jika ia akan memudaratkan negeri? Kita semua telah belajar yang majoriti itu tidak semesti yang benar, kerana ia bergantung kepada keadaan dan situasi negeri dan kawasan itu?"

Kemana perginya DEMOKRASI????

Anonymous said...

PKR tahu ke apa itu Demokrasi....Demontrasi dan Baling Kerusi tahulah mereka.Hal di SGOR ini semua kerja orang gila...pangkat,kuasa,duit,apa sajalah.

Anonymous said...

Mengikut hukum adat memang yang menjoriti tu betul tetapi mengikut hukum islam, ia tidak semestinya.

Imam Ghazali pernah berkata;

"Jangan jadikan manusia itu kritiria menentukan kebenaran tetapi jadilah kebenaran itu kritiria menentukan manusia".

Kalau sesuatu itu betul, ia tetap betul walaupun ia berseorangan.

Hanya di dunia ini manusia akan bersama dengan yang banyak dan kuat walaupun yang majoriti itu tidak semestinya betul.

Inilah yang sedang berlaku sekarang.

Kata seorang peguan amerika yang terkenal (Gerry Spence); Manusia mempunyai "credibility detector".

Ada dalam diri setiap manusia "alat" yang boleh mengesan sama ada seseorang yang bercakap dengan kita itu sedang berbohong atau tidak. Tetapi manusia kadang-kadang tidak mahu mendengar suara sensor itu. Mungkin kerana emosinya atau prejudisnya terlalu kuat sehingga dia mengenepikan apa yang suara hatinya itu cuba memberitahunya - itulah bagaimana dia boleh tertipu.