Akhirnya Khalid Ibrahim dipecat
dari PKR. Hilang satu lagi kerusi bagi Pakatan Rakyat di Dewan Undangan Negeri
Selangor dan di satu lagi di Dewan Legislatif Parlimen. Pakatan telah hilang
satu kerusi di Parlimen setelah kalah dalam pilihanraya kecil Teluk Intan
beberapa bulan yang lalu.
Di Parlimen Pakatan 87 kerusi dan
di Dewan Undangan Negeri Selangor Pakatan Rakyat tinggal 43 kerusi. Selepas
ini tidak tahu siapa yang akan dipecat atau di minta mengundurkan diri oleh
pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.
Sekarang Khalid masih Menteri
Besar dan jika hendak mengeluarkan Khalid dengan cepat tindakan selanjutnya
ialah dengan mencadangkan usul undi tidak percaya terhadap Khalid di Dewan
Undangan Negeri Selangor dan adakan usul undi kepercayaan kepada Wan Azizah Wan
Ismail salah seorang anggota DUN Selangor sebagai Menteri Besar yang baru. Jika
Wan Azizah tidak di terima, Azmin Ali sememangnya orang yang paling layak untuk
menggantikan Khalid kerana beliau adalah pengerusi PKR Negeri Selangor.
Jika usul tidak percaya kepada
Khalid lulus, barulah di persembahkan keputusan itu kepada kebawah Duli Sultan
Selangor dengan membawakan cadangan seorang yang baru untuk menjadi Menteri
Besar yang menggantikan Khalid. Sementara ini Khalid tetap Menteri Besar kerana
Khalid mempunyai 14 hari selepas menerima surat
pemecatannya dari Jawatankuasa Disiplin PKR.
Jika Dewan Undangan Negeri gagal
untuk melepasi usul undi tidak percaya Khalid boleh melantik semula Exco-Exco
baru dikalangan yang menyokong beliau dalam Dewan semasa usul tidak percaya itu
di lakukan.
Buat masa ini PKR hanya mempunyai
13 kerusi sahaja setelah Khalid di pecat sementara PAS dan DAP masing-masing
mempunyai 15 kerusi. Kerusi-kerusi yang
lain adalah kerusi yang di menangi oleh UMNO. Pakatan terpaksa mempastikan yang
kesemua ahli-ahli Dewan Undangan dari PAS, DAP dan PKR sendiri bersatu dan
bulat dalam keputusan memberikan usul tidak percaya terhadap Khalid.
Persoalannya, sejauh mana
sokongan yang akan di perolehi dari parti-parti komponen PR itu? Jika itu menjadi
persoalannya, elok jangan sesiapa memberikan telahan kerana apa-apa sahaja akan
berlaku dalam kemelut yang sebegini. Hanya apa yang di harapkan oleh semua,
keadaan akan pulih dan kerajaan Selangor berjalan dengan baik seperti yang kita
alami selama ini.
Kemelut politik adalah biasa dan
mana-mana negara terutamanya di negara-negara dunia ketiga seperti kita ini
akan berlaku dalam tiga atau empat dekad sekali. Di Selangor terutamanya ini
bukanlah kemelut kali pertama berlaku. Ia telah berlaku dalam era pemerintahan
Perikatan dan BN dan kenapa Selangor acap kali menghadapi kemelut seperti ini
adalah kerana negeri Selangor ini adalah negeri terkaya dalam Malaysia .
Di mana ada gula di situlah semut
berpusu-pusu. Di mana ada minyak di negara itulah peperangan sering berlaku. Kita tunggu apa yang akan berlaku setelah parti-parti dalam PR bermesyuarat dan mengambil keputusan. Tetapi apa pun
keputusannya waimma jika semua parti bersetuju untuk menggantikan Khalid dengan
Wan Azizah, kerajaan Selangor tidak akan berada dalam keadaan sediakala lagi.
Sesungguhnya perkelahian diantara parti dan pemimpin-pemimpin dalam Pakatan Rakyat ini merupakan insiden yang sangat serius kerana ia membabitkan perasaan rakyat yang ramai yang telah memberikan sokongan kepada mereka dalam pilihanraya yang lalu.
Setengah pihak menyamakan keadaan sekarang seperti apa yang berlaku diantara Dr Mahathir dengan Anwar pada tahun 1998 dahulu. Tetapi saya memohon untuk membezakan diantara kedua-dua insiden ini. Semasa kes Dr Mahathir dan Anwar dahulu ia hanya melibatkan perpecahan dalam UMNO sahaja, tetapi kes ini melibatkan perbezaan dan pertentangan diantara dua parti komponen di dalamnya, dan ia melibatkan 'cross-section' rakyat yang lebih meluas.
Apa pun ada atau tidak perbezaannya apa yang berlaku sekarang ini akan mempengaruhi sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat. Cita-cita untuk mengatasi BN akan berhadapan dengan kerumitan dan masalah yang lebih besar lagi.
Nampaknya Pakatan Rakyat tercari-cari peluang untuk hanya kekal sebagai parti pembangkang sahaja. Mungkin itu sahajalah yang layak bagi mereka selepas ini. Jika itu yang mereka mahukan, mereka akan mendapatinya dengan mudah tanpa masalah.
Kita ingatkan dulu mereka mahu menjadi parti alternatif kepada BN, tetapi rupa-rupanya mereka hanya mahu kekal sebagai pembangkang sahaja. Kenapa tak cakap dari dulu lagi? Bermaharajalela lagi lah UMNO!
3 comments:
Pas dgn Umno bg sokongan penuh pd TSKI, manakala kemungkinan akan ada di kalangan Adun PKR yg juga menyebelahi TKSI, maka terbentuklah kerajaan campuran, PAS, UMNO dan Bebas sementara menanti penggal berakhir..
tanya anwar.....
Mimpi disiang hari. Adalah mustahil kesemua ADUN PAS akan sokong MB.
Post a Comment